“Dik, kau kenapa
muka macam tu?” Suara Firdaus memecah kesunyian selepas beberapa minit mereka
dalam perjalanan. Dari tadi dia perasan adiknya yang bermulut becok itu
mendiamkan diri sejak masuk ke dalam kereta. Entah apa yang tidak kena.
Awra tidak
menjawab. Matanya ralit memandang ke luar tingkap yang gelap gelita. Dia tiada
hati mahu membalas oleh sebab rasa marah masih kekal berbuku d dalam hati.
“Awra, okey ke
tak ni?” Tanya Athirah pula yang menoleh ke belakang mencari wajah adik iparnya
itu.
“Fir takda
apalah kak…” Jawab Awra lambat.
“Iyalah takda
apa-apa.. Bijak sangat muka kau menipu dik..” Sahut Firdaus. Dia lebih memahami
perangai adiknya itu.
“Orang cakap
takda apa, takda apalah..” Balas Awra malas.
“Kau ni mesti
pasal si Faiq tadi kan?” Serkap Firdaus yang sesekali mengerling cermin pandang
belakang.
“Kau tak
payahlah sebut nama dia bang… Buat sakit hati aku ajelah. Dialah lelaki paling
gila yang aku pernah jumpa lepas kau bang… Dahlah muka bajet handsome. Padahal tak handsome mana pun. Berlagak! Suka hati
nak kutuk-kutuk aku punya handphone.
Aku tahulah dia kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk-kutuk aku kan. Kau tengok
bang apa yang jadi dengan handphone
aku ni?” Luah Awra sambil menunjukkan telefon bimbitnya yang sudah tidak serupa
telefon. Habis terburai semuanya. Hanya baterinya sahaja yang tiada. Semua
gara-gara Faiq Faisal.
Firdaus sudah
menahan tawa melihat komponen telefon bimbit yang bercerai itu.
“Lepas tu boleh pulak dia ikut kepala dia aje nak buang
bateri aku. Macamlah aku beli telefon ni dengan duit dia! Entah apa yang dia
sakit sangat dengan handphone aku ni pun
aku tak tahulah!” Hambur Awra lagi dengan rengusan kasar. Sakit benar hatinya
dengan lelaki yang baru dikenali itu.
“Alah.. Memang
patutlah pun dia kutuk handphone kau tu.
Sekarang aku rasa dekat kedai dah takda jual lagi handphone kau tu. Nak repair pun dah tak boleh agaknya. Nak
jual pun aku rasa dah tak laku dik. Memang boleh buang dah. Aku rasa, orang pun
dah tak pakai dah handphone macam tu.
Kau punya dah ketinggalan zaman sangat dik oi…” Balas Firdaus diiringi tawa.
Sengaja mengusik.
Dia tahu adiknya
itu seorang yang cermat. Terlalu sayang dan menjaga semua barang kepunyaannya. Termasuklah
gajet yang baru sahaja rosak itu. Hampir enam tahun digunakan.
“Kau pun sama ajelah
dengan dia bang. Tak payahlah nak kutuk-kutuk aku. Kau ingat aku suka-suka nak
jadi ketinggalan zaman ke? Aku pun tahulah semua orang dah pakai handphone canggih-manggih sekarang. Ada wassap-wassup bagai. Aku aje yang takda
semua bende alah tu sebab aku pakai handphone
buruk aku ni kan.” Bidas Awra geram.
“Tapi memang
betul pun kan..” Sahut Firdaus dengan tawa yang terhambur.
“Kau tu lain
bang.. Aku ni lain.. Kau tu ada kerja, ada gaji.. Aku? Aku ada apa? Kalau aku
bergaji macam kau, tak payah cakaplah. Memang aku dah lama tukar.. Tak payahlah
kena kutuk dengan kau selalu.. Siap kena kutuk dengan mamat perasan hansome poyo gila tu..” Tambah Awra yang
mula bergenang air mata. Nada suaranya juga sudah berubah. Hatinya mula terusik
dengan dengan sindiran Firdaus walaupun tahu ia hanyalah gurauan.
“Abang… Sudah la
tu…” Celah Athirah yang perasan perubahan dalam nada suara adik iparnya yang
seorang itu.
Dia simpati
dengan Awra yang masih tidak bekerja walaupun punya kelulusan. Dia tahu hati
gadis itu cukup sensitif jika menyentuh soal kerja dan perkara-perkara yang
berkaitan. Bukan dia tidak pernah membantu adiknya itu untuk mendapatkan tempat.
Namun gadis itu yang memilih untuk berdikari. Katanya jika dia mendapat kerja
hanya semata-mata pertalian darah yang dimiliki, kebersihan pendapatan tidaklah
sebaik mana. Sebab bukan atas keupayaan dan kelayakan yang dimiliki. Tetapi hanya
bergantung kepada kelebihan orang yang membantu.
“Betullah apa
abang cakap… Dah memang telefon tu patut ditukar.” Jawab Firdaus yang masih
tidak perasan akan perubahan pada wajah adiknya. “Dik, kau cepat-cepatlah cari
kerja.. boleh tukar handphone canggih
sikit..” Lanjutnya seraya menyambung tawa.
Awra tidak lagi membalas.
Mulutnya dikatup rapat.
Athirah yang
duduk di sisi pula mula tidak senang. Suaminya itu memang suka mengusik Awra
tidak kira masa.
“Abang.. Sudah
la tu…” Tegur Athirah perlahan sambil menyentuh lengan suaminya.
Firdaus terus
berhenti ketawa seraya mengerling cermin pandang belakang.
“Ala dik.. Takkan
touching kut… Kau macamlah tak biasa
dengan aku kan…” Pujuk Firdaus yang baru perasan wajah adiknya yang keruh
benar. “Nanti kau pakailah handphone
lama aku dulu. Sementara cari handphone
baru.” Lanjutnya lagi. Lupa pula yang adiknya itu agak sensitif jika
bercakap soal kerja.
“Tak payahlah.
Biar aku tak payah pakai handphone.
Bukan ada orang yang nak call aku pun..”
Jawab Awra yang sudah berjauh hati.
“Hek eleh.. Merajuk pulak..” Giat Firdaus lagi.
Awra kembali
mendiamkan diri. Tidak menjawab kata-kata Firdaus. Hanya jarinya sahaja sudah
naik ke wajah untuk menyeka air jernih yang bertakung di hujung mata.
Firdaus turut
diam. Sedar usikannya tadi membuatkan Awra muram begitu.
“Erm.. Kalau
Awra tak nak pakai handphone Abang Daus, Awra pun boleh pakai handphone akak. Akak pun tak pakai yang
lagi satu tu.” Celah Athirah pula setelah dua beradik itu senyap. Dia mahu
menceriakan suasana semula.
“Takpalah kak. Handphone Fir ni boleh pakai lagi. Nanti
Fir cari bateri lain.” Jawab Awra perlahan. Sungguh dia berjauh hati dengan apa
yang berlaku. “Kak, boleh pinjam handphone
kejap.. Fir nak call abah.” Lanjutnya
yang terasa ingin pulang ke kampung.
“Takkan merajuk
sampai nak balik kampung kut dik.. Aku main-main ajelah..” Ujar Firdaus yang
mula tidak senang hati. Pada masa yang sama dia perasan jelingan tajam
isterinya di sisi.
“Er.. Awra dah
nak balik ke? Tunggulah seminggu lagi.. Nanti kita orang hantar balik..” Sahut
Athirah pula sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Awra.
“Takpalah kak.
Fir nak balik esok. Nak suruh abah ambik
dekat komuter aje.” Tolak Awra. Tawar hatinya mahu tinggal bersama abang dan
kak iparnya itu lagi.
“Ala… Kau kenapa
sentap sangat malam ni? Relax la. Handphone tu nanti aku belikanlah yang baru.
Kau dah boleh buang yang tu.. Kalau kau nak yang macam tu pun aku boleh cari.”
Firdaus cuba memujuk lagi apabila perasan akan isyarat maya yang diberi oleh
isterinya.
“Tak payahlah.
Aku ni mana ada duit nak bayar.. Nanti aku boleh pakai handphone lama abah.” Jawab Awra yang masih di dalam moodnya tadi.
Sebentar
kemudian Awra sudah bercakap dengan Mejar Shukor dan pasangan di hadapannya itu
terus mendiamkan diri. Dia memang lebih rapat dengan abahnya berbanding
adik-beradik yang lain.
“Kau boleh ke
balik sendiri esok?” Tanya Firdaus selepas adiknya habis berbual dengan
abahnya.
“Boleh.” Jawab
Awra sepatah seraya menyerahkan semula gajet tadi kepada Athirah. Wajah terus
dipalingkan ke luar tingkap. Tiada hati lagi mahu bercakap membuatkan
masing-masing terus mendiamkan diri.
*************
“Faiq, kau tadi
apa hal dengan budak comel tu?” Soal Amir saat melangkah masuk ke dalam kereta
Inspira merah milik Faiq.
“Budak comel
mana pulak kau ni?” Soal Faiq kembali
sambil menghidupkan enjin kereta. Rasanya tiada lagi budak comel yang ditemui
melainkan si gadis garang yang menjatuhkan iphonenya minggu lepas.
“Yang duduk
belakang kita tadi la.. Yang mulut dia bukan main lancang lagi kutuk pasukan
kita tu..” Sampuk Naim pula yang duduk di belakang.
“Oh..” Balas
Faiq pendek sebelum mengundurkan kereta untuk keluar dari tempat parkir. Dia
perasan wajah gadis yang diusik tadi masam mencuka ketika melangkah ke tempat
letak kereta.
“Ni bateri handphone baru kau ke?” Soal Amir seraya
mencapai bateri telefon bimbit yang baru diletakkan di atas dashboard.
“Taklah. Tu
bateri awek comel yang kau kata tu la..” Jawab Faiq diiringi senyuman penuh
makna di bibir apabila teringat peristiwa yang baharu sahaja berlaku tadi.
“Kau jangan
cakap dengan kita orang yang dia mengamuk tadi sebab kau ambik bateri dia ni..” Tebak Naim yang mula mengesyaki sesuatu
telah berlaku pada sahabatnya itu. Dia tahu Faiq sukar untuk mendekati
mana-mana gadis pun selepas pengalaman lalu.
Faiq
menghamburkan tawa.
“Kau biar betul
bro?” Tanya Amir pula seperti tidak percaya dengan tindakan berani sahabatnya itu.
“Dah dia yang
buat hal dulu.. Aku balas la balik.” Jawab Faiq selamba dalam sisa tawanya.
“Takkanlah sebab
dia kutuk pasukan kita tadi kau sampai nak ambik
bateri budak tu. Bukannya kau boleh pakai pun bateri ni.” Balas Amir tidak
faham.
“Tu satu hal jugak. Siapa suruh mulut dia takda sivik.
Ikut suka mulut dia aje nak bercakap. Geram betul aku. Lain kali cakap biar
cantik sikit. Kalau tak, takdalah aku nak susah payah terkejutkan dia depat toilet tadi.” Jawab Faiq yang sudah
mematikan senyumnya. “Tapi tu bukanlah sebab utama aku ambik bateri murah dia tu. Sebab utamanya dia memang ada hutang
dengan aku.” Jelasnya lanjut dengan mata masih terbayang-bayang wajah tegang
gadis comel tadi. Awra… Sebaris nama itu akan diingati sampai bila-bila.
“Hutang? Kau memang
dah kenal dengan dia ke?” Naim mula berminat mengetahui apa sebenarnya yang telah
berlaku.
Dilihat dari
perwatakan gadis itu tadi, dia yakin Faiq sudah bertemu dengan ruasnya. Tidak
pernah ada mana-mana gadis yang berani bertekak dengan sahabatnya itu sebelum
ini. Selebihnya hanya gadis yang ingin mengambil kesempatan di atas kesenangan
dan kedudukan Faiq kini.
“Kau ingat tak
yang aku cerita pasal iphone aku jatuh minggu lepas?” Ujar Faiq yang tetap
fokus dalam pemanduan. Amir yang duduk di sisinya itu pula hanya diam dan
mendengar.
“Kenapa? Dia
yang langgar?” Tebak Naim terus.
“Dialah..” Jawab
Faiq pendek.
“Habis tu? Apasal kau tak mintak aje ganti rugi? Ni yang kau ambik bateri dia buat apa?” Celah Amir yang tidak faham dengan
tindakan sahabatnya yang seorang itu.
“Aku ambik sebab handphone dia terhempas masa aku sergah depan toilet tadi..” Jawab Faiq yang sudah tersengih sendiri. Lucu
apabila teringat kembali apa yang pernah berlaku di restorennya minggu lalu.
Mudah benar gadis itu terkejut walaupun hanya sekadar bisikan. Belum lagi dia
sergah betul-betul. “Kelakar gila aku tengok muka dia tadi. Aku rasa kalau kau
tengok model bateri tu pun korang
tahu kan model apa. Habis terburai handphone
dia tadi.” Sambung Faiq yang kembali menyambung ketawa.
“Macam
budak-budaklah kau ni.. Kesian dia weh.
Tadi aku tengok muka dia bukan main ketat lagi. Pandang kau pun macam dia nak
telan hidup-hidup.” Ujar Naim yang turut ketawa mendengar cerita sahabatnya
itu.
“Entah kau ni.. Budak
perempuan la pun.. Ada pulak kau
sergah. Kan kau boleh aje mintak
dengan dia baik-baik ganti rugi. Tak payah main sergah-sergah..” Sokong Amir
pula yang turut tidak ketinggalan ketawa. Namun di hati, tetap ada rasa simpati
dengan gadis comel yang diperlakukan oleh sahabatnya itu. “Atau.. Melainkan kau
ada agenda lain ke bro..” Lanjut Amir dengan senyuman penuh makna sambil
melirik ke wajah sahabatnya di sisi.
Naim sudah
menepuk bahu kiri Faiq yang masih tersenyum-senyum sendiri. Tindakan sahabatnya
itu memang sukar dijangka.“Bro, make sure
jangan terlepas kali ni..” Ujarnya penuh makna tersirat.
Faiq hanya
tersenyum. Masih terlalu awal untuk dia menjangkakan sesuatu yang baik
menantinya. Apa pun, gadis bernama Awra itu memang benar berjaya mencuit
hatinya walaupun gadis itu sekeras batu. Hanya cubaan sahaja yang mampu
dilakukan tambahan pula keupayaan gadis itu merasa setiap masakan memang
menarik perhatiannya dari apa yang diperkatakan oleh Firdaus dan Athirah. Rasa
simpati tiba-tiba muncul di celah hati apabila teringat roti canai yang dipesan
gadis tadi belum sempat dijamah. Semua kerana kehadirannya.
*******
Seawal jam 7.30
pagi lagi Awra sudah keluar dari rumah semata-mata ingin cepat sampai ke
kampung. Dia tidak mahu lagi berlamaan di rumah abangnya walaupun kakak iparnya
puas memujuk. Dan kini dia sedia menanti ketibaan komuter. Berulang kali dia
menoleh ke arah jam. Sudah lewat lima belas minit dari waktu yang sepatutnya.
Kiri kanannya sudah dipenuhi dengan penumpang lain yang mungkin sama-sama sibuk
ingin ke tempat kerja memandangkan waktu baharu 8.30 pagi.
Baharu sahaja
dia menoleh ke arah jam sekali lagi, dari jauh kelibat komuter yang dinanti mula
kelihatan. Dan dengan cepat dia bingkas berdiri kerana tidak mahu ketinggalan
memandangkan perhentian itu agak sesak pada waktu begitu.
Sempat dia
mengucap syukur apabila pintu salah satu gerabak kamuter berhenti betul-betul
di hadapannya dan juga merupakan salah satu gerabak yang disediakan khas buat
penumpang wanita. Kaki terus sahaja melangkah masuk memandangkan tiada
penumpang yang keluar dari gerabak berlabel merah jambu itu. Disebabkan agak
ramai penumpang wanita, dia cepat mencari tempat duduk kosong memandangkan
perjalanannya perlu melalui lebih dari tujuh perhentian.
Sebaik sahaja
dia melabuhkan duduk di tempat duduk sebelah tingkap, ada seorang lagi yang
turut duduk di sisinya. Membulat matanya apabila pandangannya singgah ke wajah
yang dikenali duduk di sisi tanpa rasa bersalah. Dahinya berkerut berserta
rengusan kasar. ‘Sah buta dia ni. Tak nampak ke ni coach wanita.’ Pagi-pagi lagi hatinya sudah mengumpat.
Tidak pula dia
perasan kewujudan lelaki itu ketika melangkah masuk tadi. Dia tidak lagi
menoleh ke sisi sebaliknya hanya membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya yang
tenang tadi kini mula berombak. Tidak mungkin dia dapat melupakan apa yang
telah berlaku malam tadi. Dan kini lelaki itu seperti tidak mengenalinya. ‘Apasal muka dia ni macam orang tak
bersalah!’ Bentaknya dalam hati. Ringan sahaja mulutnya saat itu untuk
memarahi. Tapi keadaan komuter yang agak sesak dengan penumpang, membataskan
segalanya. Lelaki itu tetap beriak selamba dan sedikit pun tidak menghiraukan
kewujudannya.
Kini dia pula
yang sibuk mengerling ke wajah lelaki yang segak dalam persalinan pejabat itu.
Memang kebanyakan penumpang ketika itu antaranya pekerja-pekerja pejabat jika
dilihat dari penampilan masing-masing. Kemudian dia menoleh ke arah
penumpang-penumpang lain yang turut sama ada di dalam gerabak. Rupanya ada lagi
tiga hingga empat orang lelaki yang menaiki gerabak yang sama. Termasuklah yang
duduk tanpa rasa bersalah di sisinya itu.
“Are you okay?” Tegur lelaki yang duduk
di sisinya itu tiba-tiba tanpa menoleh. Lelaki itu sejak tadi sibuk dengan gajet
nipis di tangan.
‘Boleh pulak dia tanya aku okey ke tak..’ Desisnya
geram dalam hati.
“Awak memang
takda rasa bersalah langsung fasal semalam kan. Dah lah naik coach wanita. Lepas tu tanya orang okey
ke tak..” Jawab Awra sinis sambil berpeluk tubuh. Marah di hati kembali lagi.
“Sorry?” Giliran lelaki itu pula
mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“Dah buat salah,
boleh pulak awak buat-buat tak tahu
kan? Mesti kepala awak ni dah terhantuk dekat kedai makan semalam. Tak pun dah
sewel sebab Liverpool kalah. Tu yang sampai tak boleh ingat apa yang dah jadi.
Dah buat salah tak nak mengaku pulak.”
Awra berterusan menyindir. Rasa marah dengan hal semalam memang tidak hilang
sebaik sahaja melihat wajah tenang itu.
“Semalam? Kedai
makan? Sorry cik. Saya memang tak
faham langsung apa yang awak cakap. Bila masa saya pergi kedai makan? Liverpool
kalah? Liverpool kalah dah betullah tu.. Padan muka dorang kalah sebab saya die
hard Manchaster United. Tapi, saya rasa awak salah orang kut..” Balas
lelaki itu berserta senyuman nipis. Wajah gadis comel yang merah padam di
sisinya itu agak menarik di matanya.
“Salah orang?
Awak ingat saya buta ke? Cuba awak bukak
mata awak tu luas-luas pandang muka saya ni. Takkan awak langsung tak ingat muka
perempuan yang awak kutuk malam tadi? Mentang-mentanglah orang kaya. Tapi tak payahlah
nak kutuk handphone orang.” Marah
Awra dengan suara yang tertahan. Dan saat itulah mereka sudah tiba di
perhentian yang pertama.
“Cik, saya rasa
awak dah salah faham. Erm, sorry saya
tak dapat nak berbual panjang dengan awak. Awak ambik kad saya ni, kalau awak nak sambung marah ke, awak call aje saya.” Ujar lelaki itu sambil
menghulurkan sekeping kad.
Awra yang
sedikit terpinga-pinga, terus sahaja menyambut kad kecil itu tanpa banyak soal.
“Assalamualaikum.”
Tambah lelaki itu sebelum bingkas berdiri dan berlalu ke arah pintu keluar.
Awra masih kaku
di tempatnya. Hanya bola matanya sahaja terhala ke wajah lelaki yang sedang
melemparkan senyum dan melambaikan tangan dari luar komuter. Bibir diketap rapat.
‘Apalah kau ni Fir. Kau belum mintak
lagi ganti telefon kau yang hancur semalam!’ Rungutnya dalam hati. Kad nama yang
masih berada di tangan terus direnyuk kasar hingga menjadi bulat sebelum
dicampak ke dalam beg sandang yang dibawa. Melepaskan geram pada benda yang
tidak bersalah.
*****
“Kenapa kau call aku ni?” Faiq sudah berkerut dahi
menerima panggilan telefon daripada adiknya awal pagi itu.
“Kau ada buat
hal ke semalam? Ada minah comel mana
entah membebel dengan aku dalam komuter tadi.” Ujar suara dia hujung talian
membuatkan senyuman serta-merta terbit di bibirnya.
“Aku takdalah
buat hal.. Dah dia yang buat hal dulu. Aku balaslah balik.” Jawabnya diiringi
tawa. Faham siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
“Marah betul dia
dengan aku. Tak pernah-pernah ada perempuan marah aku macam tu tadi.”
“Sorrylah bro.. Nak buat macam mana.”
Faiq menyambung tawa. Kesian dengan adiknya yang sering menjadi pesalah yang
tidak bersalah.
“Siap kutuk team Liverpool yang kalah semalam.” Ujar
suara itu lagi diiringi tawa besar.
“Alah.. Semalam
tu nasib aje Man U menang.” Jawab Faiq dalam senyuman. Teringat kembali
kata-kata Awra yang mengutuk pasukan kegemarannya semalam gara-gara apa yang
berlaku.
“Sudahlah kau.
Dah kalah buat cara kalah. Jangan lupa belanja aku makan nanti.”
“No hal la.. Datang aje bila-bila masa
kau suka.” Jawabnya terpaksa mengalah. “Erm.. Kau ada cakap apa-apa tak dengan
budak comel tu?” Lanjutnya ingin tahu perihal gadis yang secara rasmi menjadi
musuhnya kini.
“Takda apa-apa
pun. Sekejap sangat aku duduk sebelah dia. Dia yang membebel banyak. Boleh
tahan jugak mulut dia mengata orang.
Nasib baik cute.” Balas adiknya
diiringi tawa besar.
Faiq menarik
senyum penuh makna tanpa adiknya sedari. “Okeylah weh. Aku nak masuk dapur ni. Kejap lagi ada VIP mana entah nak
datang. Nanti jumpa, aku story fasal budak
cute tu pada kau.” Ujarnya kemudian
ingin menamatkan perbualan. Ada tugasan yang sedia menanti.
“Okaylah. Bye.”
Ringkas suara itu membalas sebelum talian terputus. Dia terus menyimpan telefon
bimbitnya ke dalam saku. Senyuman manis masih tetap bergayutan di bibir. Seraut
wajah yang terlayar dalam kepala mencuit tangkai hati lelakinya. Awra..
5 comments:
tgk betul2 kalau nk sembur org,serupa tak mesti sama kan
faiq tu ada kembar dia ke???ntah2 si adik pun ada hati jgk kt awra...hahaha....
Haha...slh org...
Best...nk lgi...
Aik, diorang ni kembar ke, hehe, makin menarik
Kasihan Awra .... sedih tau ..
Abang tu kalau nak kutuk adik pun ingatlah hati Awra yg tengah sedih tu.... padan muka Awra dah merajukkkk...
ni lagi seorang ... Faiq dia punya pasal adik dia juga jadi mangsa...
jangan sampai adik pun jatuh hati kat Awra sudah.... hehehe...
Post a Comment