Nov 4, 2016

Dambaan Bahagia_bab 5_edited version

DB 5
“Puas hati kau sekarang ni? Tunggu apa lagi? Jomlah kita nikah. Aku tak sabar sangat nak nikah dengan kau!” Tajam Fathiyah menyindir sebaik Shah menghampirinya di buaian tepi rumah.
Sengaja dia mengasingkan diri dari ahli keluarga yang lain sejak tadi. Tak mampu dia berhadapan dengan wajah-wajah kecewa orang yang disayangi dengan apa yang dah jadi. Terutamanya wajah ibu dan kedua-dua orang tua lelaki itu. Mereka antara orang yang terlalu istimewa dalam hatinya.
“Tiya, aku…”
Fathiyah lepas rengus.
“Apa sebenarnya tujuan kau Shah? Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?” Tajam matanya menikam ke wajah Shah yang jelas kusut.
“Tiya, kau ingat aku mintak semua ni jadi? Aku tak sangka ada jiran-jiran yang nampak aku masuk rumah.” Shah cuba membela diri meskipun jelas dia di pihak yang salah.
“Masalahnya sekarang ni, bukan salah jiran-jiran tu. Kau tu yang bermasalah! Sakit otak! Pukul dua pagi? D-U-A P-A-G-I!” Tekannya sakit hati. “Orang tak sekolah pun boleh fikirlah! Padahal kau dah tahu Angah takde! Kau tu yang saja cari penyakit! Kalau kau terdesak sangat, pergilah cari perempuan lain! Tapi bukan aku!” Dihamburkan kemarahan yang tertahan sejak subuh tadi.
Shah lepas keluh. Cukup berat. Hati yang tergores mendengar tuduhan yang dilemparkan terpaksa ditahan. Sedar apa yang berlaku berpunca darinya.
“Tiya… Aku mintak maaf..” Itu sahaja yang mampu diluahkan kerana yakin segala penjelasannya takkan diterima bulat-bulat.
Fathiyah tarik senyum sinis.
Mintak maaf.. Tu ajelah yang kau tahu! Kau ingat dengan mintak maaf tu, boleh betulkan balik apa yang jadi ni ke?” Sekali lagi dia menyindir.
Kemarahan yang begitu membuak di hatinya cuba dikawal memandangkan keluarga lelaki itu masih ada di dalam rumah. Mujur ada Haji Ridhuan. Lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu telah membantu untuk menguruskan segala-galanya tadi.
“Tiya… Kalau aku ada kuasa ubah semua benda ni, dah lama aku buat.” Perlahan Shah menuturkannya seperti seorang pesalah.
Sekali lagi Fathiyah koyak senyum sinis.
“Dah tahu kau takde kuasa, lain kali fikir sebelum buat suatu benda! Jangan nak ikut suka kepala kau aje! Patutlah kau selalu kena repeat paper! Benda baik dengan benda buruk pun kau tak pandai nak beza. Kesian!”
“Tiya!” Tingkah Shah yang terasa setiap patah kata yang meniti bibir gadis itu sedang menghiris halus hatinya. Sakit!
“Kenapa? Tak betul apa aku cakap? Kau sedar tak apa yang kau buat ni dah menyusahkan semua orang? Paling aku geram, sebab kau dah susahkan aku dengan keluarga aku! Kau memang suka tengok ibu dengan umi menangis sebab kita kan? Tu yang kau nak? Hah Shah?” Luah Fathiyah yang kini cuba tahan air matanya dari gugur. Entah kenapa baru saat itu air matanya mahu menunjukkan diri. Tidak di saat dia ditangkap berkhalwat subuh tadi.
“Berapa kali aku nak cakap dengan kau? Aku tak mintak semua ni jadilah Tiya!” Tingkah Shah dalam nada yang mula meninggi. Dadanya sedikit berombak menahan marah yang mula berputik. Kata-kata gadis itu begitu mencabar kesabarannya.
Hei Shah! Benda ni semua takkan jadi kalau kau boleh bezakan mana baik mana buruklah! Kau letak dekat mana otak kau? Kau masuk bilik aku! Apa semua tu?” hambur Fathiyah mula tidak mampu mengawal kemarahan yang terbuku. Gugur juga air matanya yang sejak tadi ditahan.
Shah terdiam. Hanya bibirnya sahaja yang mampu diketap rapat. Cuba menahan rasa hati sendiri.
“Agaknya, kau memang ada niat buruk dengan aku kan? Entah apa yang kau dah tengok masa aku tengah tidur. Agaknya kalau orang pejabat agama tak datang, mesti kau dah…”
“Tiya!” Laju Shah mencelah. Tak sanggup dengar tuduhan yang tak pernah terdetik di hatinya. Dia masih waras. Kedatangannya malam tadi, hanya mahu memastikan gadis itu dalam keadaan baik. Tidak lebih dari itu.
“Aku benci dengan kau Shah… Sampai bila-bila aku benci kau…” Lirih Fathiyah menuturkannya dengan air mata yang semakin laju menuruni pipi. Hatinya benar-benar sakit dengan apa yang dah jadi. Maruah keluarganya tercalar dek kebodohan Amirudin Shah Lutfi!
“Tiya.. Aku..” Shah cuba menyentuh bahu Fathiyah yang menunduk menangis.
“Jangan peganglah! Kau nak kita kena tuduh lagi ke?” Jerkah Fathiyah meninggi. Terus sahaja dia bingkas dari buaian itu untuk masuk ke dalam rumah.
“Kenapa lagi ni?” Muncul Haji Ridhuan di muka pintu membuatkan langkah Fathiyah terhenti. Wajah lelaki yang cukup dihormati itu dipandang sayu.
“Abah… Abah tolonglah cakap dengan anak abah ni. Tiya tak boleh lagi tengok muka dia. Hati Tiya sakit sangat bah…” Luah Fathiyah tanpa segan. Tak mampu dia sembunyikan apa yang disimpan selama ini.
“Shah… Apa lagi yang dah kamu buat ni?” Lembut Haji Ridhuan menuturkannya. Wajah kusut anak kesayangannya dipandang.
Shah hela nafas panjang. Wajahnya diraup beberapa kali untuk menenteramkan hati sendiri. Tidak mampu dia menjawab.
“Abah dengan abang-abang kamu dah setuju nak kamu berdua mengaku dalam mahkamah nanti. Tak payah turun naik mahkamah banyak kali.” ujar Haji Ridhuan tegas akan tujuannya ke situ tadi. Kata sepakat sudah dicapai. Hanya dengan cara itu sahaja segala-galanya dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
Fathiyah tergamam, Shah terpempan.
“Er… Apa abah cakap ni? Abah nak Tiya mengaku?” Bergetar bibir Fathiyah mengucapkannya.
“Tiya… Abah tahu Tiya dengan Shah tak buat apa-apa. Tapi ni semua untuk kebaikan Tiya, masa depan Shah, maruah keluarga kita. Abah tak nak, dari orang tak tahu, jadi tahu bila kes ni berpanjangan.” Tenang Haji Ridhuan menerangkan. “Pasal duit denda tu, nanti abah uruskan semua.” lanjutnya lagi.
“Apa ni bah?” Fathiyah seperti tak percaya dengan apa yang baru saja didengari.
“Along rasa, tu yang terbaik. Ibu pun dah setuju.” Muncul pula Amrizan di situ. Berdiri di sebelah Haji Ridhuan.
“Along…” Fathiyah kemam bibir kuat. Air mata kian laju menuruni pipi. Kecewa dengan apa yang diucapkan oleh abang sulungnya. Dia menoleh ke arah Shah yang mendiamkan diri. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia menghampiri lelaki itu.
“Puas hati kau sekarang kan?” Cukup perlahan dia meluahkan buat pendengaran Shah yang menunduk. “Macam tak berharga langsung maruah aku pada kau kan? Sampai mati aku benci kau Shah…” Lanjutnya sebelum terus berpusing. Dirempuh tubuh Amrizan yang menghalang laluan di muka pintu.
“Tiya!” Amrizan memanggil.
“Sudahlah tu Am. Biar dia cool down dulu.” Haji Ridhuan menyentuh bahu anak muda di sisinya itu. “Shah..” Wajah ditalakan ke wajah satu-satunya anak lelaki yang dia ada pula.
“Shah ni memang suka menyusahkan semua orang kan bah” Tutur Shah dengan senyuman tawar. Terasa kebodohan diri dengan apa yang dah jadi.
Hampir serentak Haji Ridhuan dan Amrizan pula melepaskan keluh. Tak tahu apa yang harus diucapkan lagi untuk meredakan keadaan yang sememangnya tegang.
******
“Tiya nak pergi mana dengan beg banyak-banyak ni?” Soal Amir bila melihat gadis itu menolak dua buah beg besar keluar dari bilik.
“Tiya tak nak duduk dengan Angah lagi. Tiya nak duduk hostel. Hostel pun dah bayar. Membazir aje kalau tak duduk.” jawab gadis itu tidak bernada.
“Kenapa pulak?” Amir mula tak senang hati.
Tanpa menjawab, Fathiyah kembali semula ke dalam bilik. Masih banyak lagi barang yang ingin dibawa.
“Kan lagi baik Tiya duduk dengan Angah?” Zainab pula mencelah sebaik gadis itu kembali muncul.
“Tiya serik duduk dengan Angah. Nanti entah siapa lagi yang masuk rumah. Tak pasal-pasal Tiya kena mengaku berkhalwat lagi.” Sinis Fathiyah menjawab sebaik dia kembali dengan sebuah beg pakaian lain. Teringat akan seraut wajah itu membuatkan dia mahu menangis.
Zainab dan Amir sudah berpandangan antara satu sama lain. Tahu yang Fathiya sedang berjauh hati dengan mereka sekeluarga kerana keputusan yang telah dibuat. Selepas keluarga Shah pulang, baru Fathiyah kembali menunjuk muka. Jika tidak, hanya berkurung di dalam bilik.
“Siapa pulak yang nak pindah ni?” Muncul Amrizan dari dalam bilik. Dia memandang wajah Amir dan ibunya yang duduk di ruang tamu.
“Tu…” Amir menunjuk ke arah Fathiyah yang sudah berulang-alik ke bilik untuk mengeluarkan segala jenis barang yang ingin dibawa ke hostel.
“Tiya…” Amrizan cuba menegur. Dia tahu Fathiyah kini merajuk dengannya. Gadis itu menentang keras dengan keputusan yang telah dibuat.
Fathiyah mendiamkan diri. Sengaja dia buat tak endah akan kewujudan abang sulungnya itu. Hati yang terluka masih lagi tak terubat. Selamba dia berlalu ke dalam bilik semula.
“Sudahlah Long… Dia tengah marah tu..” ujar Amir lebih tenang.
“Ibu…” Amrizan melabuhkan duduk di sisi Zainab yang berwajah muram sejak siang tadi.
“Banyaknya barang yang Tiya nak bawak. Macam dia tak balik sini lagi…” Luah Zainab perlahan akan kerunsingan hatinya bila melihat barang-barang yang sudah berlonggok di tepi pintu utama.
Amir dan Amrizan memandang ke arah yang sama. Masing-masing berpandangan seketika.
“Takdelah bu… Hari tu dekat rumah Angah, dia bawak sikit aje barang dia.” Amir cuba menenangkan walaupun sebenarnya dia perasan akan hal tersebut. Terlalu banyak barang yang ingin dibawa oleh adik bongsunya itu.
“Tiya, kita balik esoklah. Angah penatlah drive hari ni.” Dia cuba mencipta alasan walaupun sememangnya keletihan masih terasa kerana terpaksa bergegas pulang dari Ipoh siang tadi selepas dimaklumkan apa yang berlaku.
“Siapa kata Tiya nak balik dengan Angah? Tiya nak bawak kereta ayah.” Selamba Fathiyah menjawab sambil meletakkan sangkar Gojes yang ingin dibawa bersama. Selama dia tinggal di rumah Amir, haiwan peliharaannya langsung tak berjaga.
“Jangan nak mengada-ngadalah Tiya. Along tak izinkan. Nanti entah ke mana-mana Tiya pergi. Bukan boleh percaya sangat Tiya tu.” Sahut Amrizan sedikit tegas.
Fathiyah yang sedang memasukkan sebungkus habuk kayu ke dalam sebuah beg kertas terus terhenti. Wajah abang sulungnya dipandang tajam. Bibir mengoyak senyum sinis.
“Dari dulu pun, Along memang tak pernah percayakan Tiya kan?” tuturnya dengan sebak yang mula mengusik hati.
“Memang pun! Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat dekat luar tu?” balas Amrizan tak mahu mengalah.
“Am..” Zainab terpaksa mencelah. Tak mahu ada pertelingkahan terus berlaku di antara anak-anaknya. Cukuplah dengan apa yang dah jadi.
Fathiyah ketap bibir. Tergores lagi hatinya.
“Tak bagi takpe. Tapi Tiya nak balik malam ni jugak.” Dia juga bertegas sambil memandang ke wajah Amir.           
“Ala… Kita balik esok ye? Pagi-pagi esok kita balik. Kelas Tiya pun petang kan?” Amir cuba memujuk. Dia cukup faham akan makna pandangan mata adiknya itu.
“Kalau Angah nak balik esok, Angah balik sendiri! Tiya boleh balik dengan kawan Tiya.” Putus Fathiyah geram. Laju dia melangkah ke dalam bilik untuk menghubungi rakan-rakan yang mempunyai kereta.
“Tiya! Okey-okey kita balik malam ni.” Amir terpaksa mengalah. Dia tak mahu menambah ketegangan yang ada.
Zainab hanya mampu melepaskan nafas berat.
*******
“Shah…” Hajah Aznah menyentuh lembut bahu anak lelakinya itu.
Sudah beberapa anaknya itu lebih banyak mengasingkan diri. Sememangnya apa yang berlaku telah memberi kesan yang cukup mendalam. Bukan sahaja maruah keluarganya tercalar, masa depan anaknya itu juga turut terjejas. Baru sebentar tadi pihak pengurusan pasukan hoki anaknya itu pulang. Entah apa yang dibualkan, tidak dapat dipastikan.
“Ummi…” Shah memberi ruang agar uminya melabuhkan duduk di kerusi panjang tepi kolam itu. Senyum nipis dilemparkan.      
“Surat apa tu?” Soal Hajah Aznah apabila terpandang akan surat yang dipegang.
“Surat cuti ummi.” Cukup tenang Shah jawab. Pandangan dilemparkan ke arah kolam ikan yang dihiasi air terjun buatan rekaan abahnya sendiri.
“Shah..” Hajah Aznah menyentuh lembut jemari Shah sebelum dibawa ke ribanya.
Shah menoleh.
“Lepas ni, bolehlah Shah fokus dengan study…” ujarnya cukup tenang. Cuba menyembunyikan kesedihan hatinya yang sebenar.
Dia baru sahaja menerima surat daripada pihak pengurusan pasukan hokinya dan dia diarahkan berehat buat beberapa ketika dari menyertai sebarang perlawanan dalam tempoh terdekat itu.
“Shah tak kesah kalau tak main hoki lagi lepas ni?” Hajah Aznah sengaja menduga.
Shah senyum lagi.
“Takpelah ummi.. Takde rezeki Shah nak main buat sementara waktu ni. Allah dah tetapkan yang terbaik untuk Shah. Mesti ada hikmahnya kan? Nanti Shah bolehlah attend kelas selalu. Shah tak nak repeat lagi.” Dia tetap juga cuba menceriakan hati.
Aznah tarik senyum tawar. Terasa hangat pelupuk matanya saat itu.
“Ummi, janganlah nangis. Shah takde apa-apalah. Memang semua salah Shah. Shah akan tanggung semuanya ummi.” Shah meraih bahu umminya. Tak sanggup dia melihat ada air mata menghiasi wajah wanita yang cukup disayangi itu.
Hajah Aznah seka air mata yang mula menuruni pipi. Tak mampu dia menahan sebak yang terasa.
“Ummi… Shah mintak maaf ye ummi. Shah dah malukan keluarga kita. Malukan abah. Shah ni selalu susahkan ummi dengan abah. Susahkan semua orang.” Sedikit bergetar suaranya menuturkan. Sedar kesalahan yang dilakukan bukannya kecil. Dan kali ini hingga melibatkan ramai pihak. Salah percaturan, masa depannya mungkin sahaja gelap. Mujur sahaja dia tidak dikenakan tindakan berat kerana adanya Anuar bersama. Cukup dia sahaja yang dikenakan tindakan tanpa melibatkan sahabatnya itu.
“Jangan cakap macam tu Shah. Ummi dengan abah tak pernah salahkan Shah. Shah pun tak mintak semua ni jadi kan? Ummi faham Shah cuma nak pastikan Tiya selamat. Cuma nasib Shah tak berapa baik semalam. Ummi tahu Shah takkan buat benda-benda yang akan memalukan keluarga kita.” Hajah Aznah memberi keyakinan.
“Tapi Tiya…” Shah terasa air matanya mahu gugur menyebut sebaris nama itu. Sedar, hati gadis yang dicintai itu kian terluka dengan perbuatannya. Ibarat dia menabur garam pada luka yang masih berdarah.
“Pasal Tiya, ummi nak Shah banyak bersabar. Mana-mana perempuan pun akan marah dengan apa yang jadi sekarang ni. Nanti ummi cuba pujuk dia.” Hajah Aznah memberi harapan.
Shah cuba corakkan senyum manis.
“Tiya sekarang bukan macam Tiya yang dulu, ummi. Tiya takkan maafkan Shah sampai bila-bila. Dah banyak kali Shah sakitkan hati dia. Bukan salah kecik yang Shah dah buat. Mana-mana perempuan pun takkan maafkan Shah.” balas Shah sambil menyeka air jernih yang memberat di kolam matanya.
“Siapa kata?”
Muncul Aqilah bersama Azrina datang menghampiri.
“Relakslah bro. Kita orang tak marah pun. Kita orang pun perempuan apa?” ujar Azrina yang sudah berdiri di belakang Shah sambil mengurut-urut bahu adiknya itu.
“Betul! Kak Long tak marah pun apa yang Shah buat. Shah tak buat apa-apa pun dengan Tiya kan? Lainlah kalau Shah ada buat apa-apa dengan dia. Kalau Shah buat, memang akak benam Shah dalam kolam ikan ni. Kan ummi?” Sambung Aqilah pula yang mengambil tempat di sisi kiri lelaki itu.
Hajah Aznah tarik senyum nipis. Begitu juga dengan Shah. Terharu akan sokongan yang diberi oleh kedua-dua orang kakaknya itu.
“Akak tahu… Kalau adik akak ni bijak sikit lagi, akak rasa benda ni tak jadi. Harapan Tiya jadi adik ipar akak mungkin lagi besar.” Azrina sengaja mengusik.
“Mana ada perempuan nak lelaki tak tahu asal usul keturunan macam Shah ni. Bukan dari keturunan yang baik-baik.” Shah merendah diri apabila teringat akan status dirinya selama ini.
“Shah ni kan!” Aqilah sudah menepuk kuat paha adik keduanya itu.
“Akak dengar Shah cakap lagi macam tu depan ummi, akak sendiri yang benam Shah dalam kolam tu.” tambah Azrina pula sedikit geram sambil menggosok rambut Shah hingga kusut.
“Shah…” Sedikit lirih nada suara Hajah Aznah. Hatinya terasa sakit setiap kali ayat itu meniti bibir anak lelakinya.
“Tapi memang betul pun macam tu kan ummi?” Shah masih mahu melanjutkan bicara. Rasa sakit, rasa kecewa yang ada dalam hatinya selama dua tahun itu terpaksa dipendam. Dia perlu bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Dia perlu menghargai orang-orang yang telah banyak berkorban demi hidupnya selama ini. Malah dia terasa berhutang nyawa dengan umminya itu.
Hajah Aznah menggeleng perlahan dengan air mata yang bergenang.
“Shah… Please lah! Elok-elok akak dengan Kak Long tak marah, sekarang terus nak marah tahu tak?” Azrina menepuk beberapa kali bahu adik lelakinya itu.
“Ummi, jomlah kita masuk! Tinggalkan dia sorang dekat sini mi! Penatlah cakap dengan orang yang tak faham ni!” Aqilah bersuara tegas sebelum bingkas. Tangan umminya terus ditarik agar bingkas sama.
“Shah memang dah tak sayang ummi ke? Tak cukup ke Shah, apa yang ummi dengan abah buat untuk Shah selama ni? Kenapa mesti Shah cakap lagi hal tu?” luah Hajah Aznah bernada kecewa.
“Tapi Shah kena terima hakikat tu ummi..” Lemah Shah menjawab.
Hajah Aznah menggeleng lagi.
“Apa yang Shah cakap ni, lagi buat ummi sedih dari apa yang Shah buat hari tu..” lanjutnya sebelum bingkas. Sungguh hati tuanya tersentuh dengan apa yang diungkit.
“Jomlah umi kita masuk. Jiwa dia tengah kacau tu, memang suka cakap benda yang merepek.” Tambah Aqilah sambil memimpin Hajah Aznah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Azrina dan Shah di situ.
Azrina terus ambil tempat umminya tadi. Wajah adik lelakinya itu dipandang tajam.
“Kenapa Shah jadi macam ni? Kenapa Shah ungkit lagi hal yang dah lepas? Berapa kali lagi ummi, Kak Long dengan akak nak ulang? Bahagian mana lagi yang Shah tak faham? Cuba Shah cakap dengan akak.” Dia bersuara tegas sebaik kelibat ummi dan kakaknya hilang.
“Shah ni dah banyak susahkan semua orang…” jawab Shah bersama keluhan.
So what? Shah nak pergi cari mak Shah yang entah hidup entah mati tu? Kalau Shah jumpa Shah nak buat apa? Shah nak duduk dengan dia? Shah nak tinggalkan keluarga kita? Tu yang Shah nak?” Lantang dia menghamburkan rasa tak puas hatinya.
“Akak tak faham apa yang Shah rasa…” keluh Shah perlahan. Hatinya terusik dengan setiap patah kata kakak keduanya itu. Antara Azrina dan Aqilah, memang kakak keduanya itu lebih tegas berbanding kakak sulungnya.
“Memang akak tak faham! Tapi, boleh tak Shah tak payah lagi fikir pasal tu? Sekarang ni, takde siapa pun tahu siapa mak ayah Shah tahu tak? Dah lamalah Shah. Shah pun dah jadi anak umi dengan abah. Apa lagi? Apa lagi yang Shah nak cari? Tak cukup dengan apa yang Shah ada sekarang ni?” Hambur Azrina lagi.
Shah raup wajahnya beberapa kali diiringi helaan panjang. Wajah tegang Azrina dipandang sekilas sebelum pandangan matanya dibuang ke arah ikan hiasan yang bebas berenang. Air hangat yang kembali bertakung di hujung mata diseka perlahan.
“Shah ni anak terbuang kak. Bukan aje terbuang, mak ayah Shah buat Shah ni tak layak hidup dekat dunia ni. Shah susah nak terima tu semua akak.” Lirih dia meluahkan rasa yang dipendam sendiri selama dua tahun itu. “Tapi Shah sedar. Allah lagi sayangkan Shah. Sebab tu dia hantar ummi untuk Shah. Bukan aje ummi… Shah ada abah, Kak Long, akak.. Awin.. Semua orang sayang Shah...” Shah menyentuh tangan adik-beradik susuannya itu.
Azrina mula tahan sebak. Genggaman tangan adiknya itu dibalas. “Habis tu, kenapa Shah sebut lagi hal ni? Shah kesiankanlah ummi dengan abah. Please Shah… Akak rayu sangat dengan Shah. Tolong lupakan hal ni. Akak tak nak dengar lagi…” rayunya cukup sayu.
“Akak…” Shah terus meraih tubuh kurus Azrina dalam pelukan. “Thank you so much akak…” Bergetar suaranya meluahkan.
Promise?” Azrina leraikan pelukan. Air mata yang mengalir di wajah lelaki itu diseka lembut.
Shah mengangguk peralahan. Cuba berpegang pada janjinya. Dia akan cuba walaupun membuak rasa mahu mencari asal-usul keturunannya.
“Kalau akak dengar lagi Shah sebut hal ni depan ummi, akak tak nak lagi cakap dengan Shah. Jangan haraplah akak nak back up Shah lagi lepas ni kalau ada apa-apa jadi.” Azrina cuba mengugut pula dengan harapan Shah tidak lagi mengungkit akan hal lalu. Seluruh ahli keluarganya akan menahan pilu setiap kali membincangkan hal tersebut.

Shah paksa bibirnya memaniskan senyum. Apa yang pasti, ada desakan hati yang terpaksa dipendam demi menjaga hati-hati orang tersayang.

1 comment:

MaY_LiN said...

😭