Nov 4, 2016

Dambaan Bahagia_bab 4_edited version

DB 4
“Ehem-ehem! Malu bertanya sesat jalan.”
Fathiyah menoleh. Mata lempar jeling tajam pada suara garau yang menyapa.
“Menyibuk ajelah!” Gumamnya menyampah.
Shah senyum senget.
“Kau ni kenapa? Kalau kau tak kacau aku tak boleh ke?” Bentak Fathiyah tertahan sebaik Shah melabuhkan duduk ke sisi.
“Aku cuma nak tolong aje…” selamba Shah jawab. Mata terhala pada kertas yang hampir koyak di tangan gadis itu. “Haii… dah dekat sebulan kau dalam ni, takkan sesat lagi?” tanpa rasa bersalah dia menyindir kerana sedia faham akan kelemahan Fathiyah sejak dulu lagi. Sukar mengingati jalan melainkan laluan yang biasa digunakan.
“Suka hati akulah! Aku bukan susahkan kau pun!” Dingin Fathiyah jawab. Perasaan benci mula meluap-luap di hatinya.
Shah terus sengih.
“Macamlah aku tak kenal kau Tiya...” giatnya. Bukan senang dia dapat berbual dengan gadis itu. Apabila terserempak dengan kelibatnya, pasti Fathiyah cepat-cepat mengelakkan diri.
Fathiyah angkat muka. Peta kampus dihempas ke riba. Wajah lelaki yang masih tak lekang dengan senyuman itu dipandang macam nak ditelan.  
“Kau siapa nak sibuk hal aku? Aku ada ganggu hidup kau ke? Takde kan? So, boleh tak kau pergi dari sini? Aku menyampah tengok muka lelaki gila macam kau ni!” hamburnya bengang.
“Siapa kata kau tak ganggu hidup aku? Kau sambung study dekat sini, kau ingat hati aku boleh duduk diam? Memang takkanlah! Aku terganggu kau tahu tak?” Tingkah Shah berterus terang. Langsung tak berselindung apa yang tersirat di hatinya walaupun yakin hubungan mereka takkan sebaik dulu. Dia sendiri tak pernah meletakkan harapan kerana sedar akan keadaan diri. Namun disebabkan amanah yang dipikul kini, terpaksa diturutkan juga hasrat hati kerana sememangnya gadis itu sentiasa dekat di hati.
Fathiyah rengus. Senyum sinis terbentuk. Dibuang pandang ke arah  lain.
“Ada aku kesah kau terganggu ke tak? Tapi sekarang ni, kau tu yang dah ganggu aku!”
“Kau ingat, aku nak sangat ganggu kau? Dengan muka ketat kau macam ni, aku pun tak nak. Dah! Jom aku hantar balik!” tingkah Shah mula geram. Malas mahu terus bertekak memandangkan mereka di tempat awam. Tambahan pula dia perasan api kebencian yang marak menyala dalam sepasang mata bundar itu tak pernah surut sikit pun.
“Balik dengan kau? Terima kasih ajelah. Aku ada kaki boleh balik sendiri.”
Shah lepas rengus. Bengang.
“Kau tengok jam kau sekarang pukul berapa?” Lengan Fathiyah ditariklalu di bawa ke depan muka sebelum gadis itu merentap semula. “Dah dekat pukul tujuh tahu tak? Kau ingat, aku suka-suka datang sini ganggu ketenteraman kau? Banyak lagi kerja yang berfaedah aku boleh buat dari jumpa kau dekat sini!” Sabar masih cuba dikawal. Hanya kerana Amir dia ke situ.
“Habis tu, kau tunggu apa lagi dekat sini? Pergilah buat kerja sangat berfaedah kau tu! Tak payah nak sibuk hal aku dekat sini.”
Shah ketap rahang. Hela berat dilepaskan.
“Kau tengok sekeliling kau sekarang. Ada tak orang lagi? Dah dekat maghrib ni, Tiya. Kau nak tunggu bas sampai bila dekat sini? Sampai esok?” Dia mula berlembut. Sememangnya perhentian bas di hadapan perpustakaan itu sedikit sunyi jika menginjak senja.
“Asalkan aku tak susahkan kau, tak jadi masalah pun.” jawab Fathiyah kurang yakin. Hati mula dihambat risau. Selama dia di situ, hanya abangnya sahaja yang akan datang jemput setiap kali tamat kelas. Cuma hari itu, dia terpaksa pulang sendiri kerana abangnya berkursus di Ipoh selepas menghantarnya pagi tadi. Bakal kakak iparnya pula sedang bercuti di kampung.
“Tolong jangan degil, Tiya. Kalau jadi apa-apa, aku jugak yang susah nanti.” Shah terus saja sambar beg sandang bersama buku-buku kulit tebal yang ada bersama.
“Shah!” Terkocoh-kocoh Fathiyah mengekori langkah panjang Shah ke tempat letak kereta.
“Masuk!” Tegas Shah bersuara sebaik dia membuka pintu kereta.
“Kalau aku tak nak macam mana?” Cabar Fathiyah berani.
Shah kecilkan mata sebelum wajahnya terus sahaja dirapatkan ke wajah Fathiyah hingga gadis itu tersandar ke badan kereta. “Kau ni memang suka cabar aku kan?”
“Ada apa ni?” Ada suara garau lain menegur.
Shah jarakkan diri. Dipandang wajah pensyarah mudah yang turut mengajarnya dalam semester itu.
“Er.. Doktor..” Fathiyah kalut.
“Fathiyah. Are you okay?” Kamarulzaman prihatin.
“Er… Okey…” Sengih pahit dilemparkan pada penyelia tesisnya.
“Cepat masuk! Kita dah lambat ni!” Tegas Shah dengan suara tertahan kerana tak senang dengan kehadiran pensyarah muda itu dengan tiba-tiba.
Fathiyah lempar jeling tajam sebelum senyuman manis yang dibuat-buat pula buat lelaki berkemeja hijau muda itu. “Er… Doktor, saya balik dulu. Appointment kita esokkan? Esok saya datang jumpa Doktor. Bye!” Ucapnya sebelum terus sahaja meloloskan diri ke dalam kereta.
Sorry Doktor. Assalamualaikum.” Shah pula berbahasa sebelum dia terus mengambil tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Tanpa peduli wajah Kamarulzaman yang masih terpinga-pinga, kereta dipecut keluar dari kawasan parkir.
“Aku cakap elok-elok kau tak nak dengar! Kau memang suka aku paksa-paksa kau kan?” bebelnya sambil melihat bayang pensyarah muda tadi semakin mengecil dalam cermin pandang belakangnya.
Diam. Fathiyah buang pandang ke luar tingkap. Masam kelat wajahnya saat itu. Kalau bukan sebab rasa segan dengan penyelianya tadi, memang dia dah sekolahkan Shah. Tak semena-mena dia kena ikut kata lelaki itu.
“Aku nak hantar balik pun susah! Mengalahkan macam orang kena paksa kahwin!” Shah terus membebel.
Fathiyah menoleh.
“Kau jangan sebut pasal kahwin dan segala tok nenek kahwin! Aku tak nak dengar! Nak sangat hantar aku balik kan? Drive ajelah elok-elok! Tak payah nak membebel macam mak nenek!” Hamburnya geram. Sakit hati dengar perkataan yang bersangkut paut dengan kisah lalu.
Shah kerling sekilas.  
“Macam manalah aku boleh suka dengan perempuan macam kau ni.” ucapnya perlahan namun cukup tajam di pendengaran Fathiyah.
Excuse me? Kau suka aku lagi? Ha ha ha.. Kelakar!” Fathiyah hadiahkan jeling lagi.
“Suka hati akulah nak suka kau ke tak. Hati aku. Bukan hati kau! Bukan aku usik kau pun!”
Fathiyah juling mata ke atas.
“Apa-apa ajelah!” Dia malas nak layan. Risau topik yang melibatkan hati dan perasaan itu hanya akan memakan diri sendiri.
“Kau jangan risaulah Tiya… Aku suka kau, takkan sampai aku nak nikah dengan kau. Aku tahu aku tak layak untuk kau. Ada ramai lagi lelaki baik dekat luar tu.” sambung Shah serius. Kata-kata yang menghiris hatinya sendiri.
Fathiyah ketap bibir.
“Tolong berhenti dari cakap benda-benda macam ni boleh tak? Aku tak nak dengar.” balasnya dengan pelbagai rasa mula menjelma. Luka di hati yang belum cukup sembuh, terasa berdarah kembali. Hingga ke hari ini, dia tak faham. Kenapa perlu ada sayang di hati lelaki itu tapi perpisahan juga yang menjadi pilihan.
Sepi. Cuma helaan nafas yang kedengaran.
“Seminggu ni aku yang akan ambik, jemput kau dari rumah. Apa-apa hal call aje aku.” Suara garau Shah memecah sepi membuatkan Fathiyah kembali berpaling.
“Tak payahlah susahkan diri. Aku mampu lagi nak pergi balik sendiri.” jelas Fathiyah menolak.
“Jangan nak degil. Aku cakap tu, ikut ajelah!” Shah bertegas.
Fathiyah lepas rengus. Sekali lagi paling wajah ke sisi. Sakit hati! Tak menyangka hidupnya masih terikat dengan lelaki itu walaupun hubungan mereka sudah lama berakhir.
“Kau nak bawak aku ke mana pulak ni? Kata nak hantar aku balik?” Soalnya sebaik Shah memperlahankan kereta saat tiba di satu persimpangan.
“Kau tak nampak tu apa?” balas Shah sinis.
Fathiyah pandang ke arah yang dimaksudkan. Matanya membulat. Terasa seperti ada orang mengetuk kepalanya saat mata terpandang akan sebuah masjid yang tersergam indah. Terlupa yang waktu itu sudah pun masuk waktu maghrib.
“Lain kali jangan nak fikir jahat aku aje!” Selamba Shah menyindir sebelum memakirkan kereta di tempat tersedia.
Fathiyah berlagak tak bersalah.
“Kau boleh solat ke tak? Kalau tak, aku tak matikan enjin ni.” tanya Shah sebaik menolak daun pintu.
“Tak.” Ringkas Fathiyah jawab dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak terpandang wajah Shah saat itu.
“Jaga kereta aku baik-baik. Kunci pintu. Risau ada hantu masuk usik kau nanti.” Sempat Shah mahu berseloroh sebelum keluar. Sengaja mahu menambah sakit hati gadis itu dan ingin meraikan kemenangan di pihaknya.
******
Puas dia memusingkan tubuh untuk melelapkan mata. Namun tetap juga gagal. Kipas siling yang berputar ligat dipandang kosong. Mata yang layu terasa segar.
“Kenapalah aku jumpa kau…” Keluhan terlepas dari bibir bila mengingati apa yang berlaku tadi. Mata dipejamkan cuba untuk lena. Namun hasratnya terganggu bila telinga menangkap bunyi getaran. Bersama rengusan tangan terus menyambar telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil.
“Siapa pulak yang call aku malam-malam ni?” rungutnya sebaik melihat sebaris nombor tak bernama di skrin. Tiada hati mahu menjawab, dibiarkan panggilan itu terputus sendiri. Dan apabila sekali lagi gajet itu kembali mengeluarkan getaran, dia merengus geram. Laju jemarinya menyambungkan talian.
“Siapa ni?” Kasar dia menyoal kerana tak suka orang yang tidak dikenali menghubunginya lewat malam begitu.
“Aku dah agak kau tak boleh tidur punya.” Suara garau menyapa diiringi tawa membuatkan hatinya mula mendidih. Darah panas mencanak ke kepala. Talian terus diputuskan. Walaupun nombor tidak bertuan, dia cukup kenal dengan suara garau yang baru saja menyapa gegendang telinganya. Terkumat-kamit mulut memarahi. Tak sampai seminit, gajet yang masih dipegang bergetar semula. Tetapi di aplikasi Whatsapp.
Sorry la kacau kau malam-malam ni. Aku tak boleh tidur la..
Bibir diketap. Serentak itu laju dia membalas.
Peduli apa kau tak boleh tidur. Takde kena mengena dengan aku pun!
Sengaja dia bagi ayat menyakitkan hati.
Eleh.. Tak peduli konon. Kalau tak peduli, yang kau balas mesej aku kenapa? :P
Sekali lagi bibirnya diketap rapat. Nafas keras dilepaskan sebelum tubuhnya direbahkan kasar. Mengambil keputusan untuk tidak lagi membalas. Hatinya benar-benar geram dengan Shah yang sengaja menduga kesabarannya. Mata dipejamkan rapat. Cuba untuk melelapkan mata. Namun ketenangannya tak berlanjutan bila telefonnya masih lagi bergetar.
Takkan sentap kut.. Relax la.. Nak gurau pun tak boleh. Kita pun dah lama tak berbualkan? Kau tak rindu dekat aku ke? :P
Rengusan dilepaskan lagi selepas membaca pesanan yang dihantar Shah.
Kau memang tak faham bahasakan? Kau lupa apa aku cakap dulu? Kita dah takde apa-apa la! Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau lagi! Kau tak faham ke?
Dia membalas geram.
Aku faham, aku ingat. Aku takkan lupa sampai aku mati. Tapi tak boleh ke, kalau kita jadi kawan macam dulu-dulu? Aku tahu kau tak pernah nak maafkan apa yang aku dah buat. Aku faham tu. Tapi, boleh tak kalau kau lupakan hal tu? Aku janji aku nak kawan aje dengan kau. Dua tahun aku hidup dalam dendam kau Tiya.. Aku dah penat.. Please Tiya.. Aku janji takkan ada rasa cinta lagi dalam hati kau untuk aku.. Aku cuma mintak kita boleh jadi kawan.
Ada air hangat mula bertakung di tubir mata saat membaca ayat panjang yang terpapar di skrin. Dalam kekeliruan akan susunan ayat yang dibaca, hatinya tetap digamit rasa sedih. Sesungguhnya dia tidak dapat menafikan apa yang tersirat di hatinya. Masih ada sisa kasih yang sukar disingkirkan buat lelaki itu. Cuma dia sahaja yang sedaya upaya menafikannya.
Semua ni takkan jadi kalau kau tak batalkan pertunangan kita dulu…
Itu sahaja yang mampu dibalas sekali gus meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Shah. Hingga ke hari ini dia tak mampu menerima alasan yang diberi demi membatalkan majlis pertunangan mereka dahulu.
Aku tahu aku salah Tiya. Tapi aku nak kau tahu, aku buat semua tu bersebab. Dan mungkin kita memang takde jodoh.
Kalau kau dah tahu kita takde jodoh, apa lagi yang kau nak dari aku? Kenapa kau cuba lagi nak berkawan dengan aku? Kau tahu tak, hati aku sakit bila nampak muka kau. Pleaselah Shah. Aku dah tak nak ada kena mengena dengan kau lagi.
Dia membalas dalam esakan yang mula kedengaran sebelum telefon bimbitnya terus dimatikan. Tidak lagi aktif. Dia tak mahu membaca ayat-ayat yang mampu menggoyahkan tembok kebencian yang telah kukuh ditanamkan di dalam hatinya selama dua tahun itu.
………………
“Kau ni biar betul bro. Dah tengah malam ni tahu tak? Kalau jiran-jiran dia nampak macam mana? Tak pasal-pasal kita ke dalam nanti. Kau nak muka kita keluar front page semua paper esok?” Anuar ragu-ragu dengan apa yang ingin dilakukan oleh Shah.
“Biarlah! Bukan luak pun. Paling teruk pun jadi glemer sekejap. Dua bekas pemain hoki kebangsaan ditangkap kerana mengendap bekas kekasih.” Shah sengih nakal dengan mata meliar ke sekeliling memerhati kawasan perumahan yang sudah pun sunyi dari keriuhan. Yakin semuanya sudah lena diulit mimpi memandangkan jam menginjak dua pagi.
Hotak kau! Kau nak kita kena singkir dari team ke apa?” Anuar meluahkan kerisauan. Lebih setengah jam mereka berdiri di hadapan pintu pagar itu.
“Alah! Dari elok-elok orang tak tahu kita dekat sini, silap-silap wartawan pun datang kalau dengar kau membebel dari tadi.” Tingkah Shah dengan suara yang tertahan.
“Masalahnya sekarang ni, yang kau susah-susah nak skodeng malam-malam buta ni kenapa? Dah takde hari siang? Bukan ke kau kena hantar dia pergi kelas esok?” Anuar merendahkan sedikit nada suaranya.
“Aku ni pegang amanah orang Nuar. Kalau jadi apa-apa pada dia, aku jugak yang kena marah dengan Si Amir tu nanti. Tu belum lagi kalau Along tahu. Mahunya dia kurung aku dalam sangkar Si Gina tu.” Shah masih tetap dengan rancangannya dia. Dia mahu melihat sendiri keadaan Fathiyah kerana sudah berkali-kali dia menghubungi gadis itu, talian langsung tak bersambung.
“Lantak kaulah! Aku nak tunggu dalam kereta. Aku tak nak masuk campur. Apa-apa jadi, kau tanggung sendiri. Aku tak nak terlibat!” Dia beredar dari pintu pagar rumah teres dua tingkat itu untuk kembali ke kereta di seberang jalan.
“Nuar!” Shah ketap bibir. Geram melihat sahabatnya hanya melambaikan tangan sebelum meloloskan diri dalam kereta. “Hampeh! Aku suruh tunggu sini, dia blah pulak!” Gerutunya sendiri kerana mula ragu-ragu apa yang ingin dilakukan. Sememangnya dia punya kunci pendua rumah teres itu kerana dia pernah sama-sama tinggal di situ sebelum berpindah ke rumah keluarganya.
Telefon dikeluarkan. Dia mahu cuba sekali lagi menghubungi Fathiyah sebelum bertindak. Beberapa saat menanti, talian masih tetap sama. Rumah yang gelap-gelita itu dipandang lagi.
“Berani betul perempuan ni tidur dalam gelap.” omelnya sendiri bila perasan memang tiada satu lampu pun yang terpasang. Perasaan risau kembali menjentik hati.
Telefon yang masih dipegang tiba-tiba mengeluarkan getaran. Nama Anuar terpampang membuatkan dia menoleh ke arah kereta.
“Kenapa?” Dia mendahului sebaik talian bersambung.
“Jomlah kita balik. Aku tak sedap hati la. Kalau tiba-tiba pencegah maksiat datang macam mana?”
“Mulut kau memang mintak kayu hoki aku kan?” Dia memandang wajah sahabatnya yang sedang tersengih-sengih.
“Kau jangan cakap aku tak ingatkan.”
“Kau ni bukan nak support aku. Lagi nak doakan aku yang bukan-bukan!”
“Iyelah-iyelah. Aku support kau la ni. Kalau tak support, aku tak datang buang masa dekat sini. Cepat sikit buat kerja gila kau tu! Aku dah mengantuk ni. Kalau aku tertidur, pandai-pandailah kau.” balas suara garau sahabatnya sebelum talian diputuskan. Ibu jari dinaikkan menunjuk ke arah sahabatnya di seberang jalan. Bibir mengoyak senyum yakin. Segugus kunci dikeluarkan.
Sebaik sahaja pintu utama terbuka, dia terus sahaja melangkah masuk. Tanpa mahu menghidupkan suis lampu, kakinya terus menginjak tangga. Dengan bantuan samar cahaya lampu jalan, dia masih dapat melihat tiga buah pintu yang bertutup rapat. Cuba meneka di mana Fathiyah berada. Kaki diatur ke pintu yang paling hujung kerana teringat akan bilik yang pernah didiami lebih setahun itu.
Pintu yang tak berkunci ditolak. Suis lampu dicari. Gerakannya kaku saat terlihat sekujur tubuh yang sedang lena. Liur ditelan. Aurat yang tidak sewajarnya menjadi tatapan, kini terlihat. Lambat-lambat kakinya melangkah merapati katil. Tidak senang melihat panorama itu, dengan hati-hati kain selimut di hujung kaki ditarik untuk menutupi tubuh yang agak terdedah. Wajah Fathiyah yang sedang lena dipandang dalam-dalam. Terusik hatinya melihat ada sisa air jernih di hujung mata gadis itu.
Bunyi ketukan yang tiba-tiba di tingkat bawah cukup menyentakkan kelekaan. Sepantas kilat tubuhnya terundur bila Fathiyah mula bergerak. Bunyi ketukan kembali kedengaran malah bertambah kuat menyebabkan laju dia meninggalkan bilik kerana yakin Anuar yang memanggilnya. Dan di saat pintu utama dibuka, wajah Anuar terpampang bersama beberapa orang lelaki yang tak dikenali.
“Err… Nuar…” Dia mula memucat. Tapi cuma keluhan berat yang terlepas di bibir sahabatnya itu. Dia tak bodoh mengenali lelak-lelaki berkopiah yang ada di depannya kini.
Manakala Fathiyah yang terpisat-pisat bangun, terus sahaja turun dari katil bila terdengar suara-suara asing. Namun langkahnya mati di muka pintu yang terbuka bila mula terasa pelik. Keningnya hampir bertaut. Cuba mengingati kembali apa yang berlaku sebelum dia terlena tadi. Biliknya terang benderang dengan pintu bilik luas terbuka. “Bila masa aku…” Ayatnya mati di situ bila suara asing semakin jelas kedengaran. Mata terus terhala ke arah tangga yang terang. “Angah dah balik ke?” omelnya sendiri sebelum menyambung langkah.
“Angah…” Langkahnya mati di tengah tangga saat mata terpandang akan wajah-wajah yang tidak dikenali sebelum akhir sekali terhenti pada seorang lelaki yang cukup dikenali sedang duduk menunduk di sofa.


No comments: