“Ma, kenapa nasi Kimi panas ni?”
Soal Eshaq Hakimi yang selepas mengambil tempat di sebelah kanan papanya di
kepala meja.
“Ala… Mama
lupa nak sejukkan tadi. Kimi makan ajelah nasi panas tu. Kan lagi sedap.” jawab
sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan suaminya. Sudah menjadi kebiasaan,
segala urusan rumah pada setiap malam akan diuruskan sendiri memandangkan Mak
Lijah hanya datang pada sebelah petang sahaja untuk memasak. Manakala hal
mengemas, diserahkan kepada pembantu rumah yang diupah dan akan datang tiga
kali dalam seminggu.
“Ala ma… Kimi
tak bolehlah nak makan panas-panas ni.” Wajah Eshaq Hakimi mula berubah kelat.
“Apa yang tak
bolehnya? Panas lagi elok dari yang dah sejuk.” sampuk Tan Sri Kamil pula.
“Entah abang
ni. Makan ajelah. Apa yang susahnya. Nasi panas lagi best dari nasi sejuk abang tu la..” sambung Suzila di sisi mama.
“Ish! Abang
tak bolehlah!” Eshaq Hakimi terus bingkas meninggalkan ruang makan. Laju
langkahnya ke ruang dapur.
Siti Shafura
yang masih di ruang dapur sedang menyusun gelas di dalam dulang sedikit
terkejut dengan kemunculan Eshaq Hakimi di situ. Dia hanya memerhati Eshaq
Hakimi sedang mengeluarkan segala jenis makanan ringan dari dalam kabinet. “Er,
abang. Tak makan nasi ke?” Ringan mulutnya bertanya.
“Tak.” Eshaq Hakimi
jawab sepatah.
Siti Shafura
mengukir senyum nipis dan tidak lagi berniat mahu bertanya sebelum beredar ke
ruang makan sambil membawa gelas yang siap disusun. “Suzy, kenapa abang tak nak
makan?” soalnya perlahan sebaik melabuhkan duduk di sebelah Suzila.
“Nasi panas, dia
tak nak. Mama lupa nak sejukkan nasi dia tadi.” jawab Suzila sambil menuangkan
jus anggur yang siap dibancuh oleh sahabatnya itu tadi.
Siti Shafura berkerut.
Tidak faham.
“Abang tak
suka makan nasi panas Siti. Lauk panas takpa. Jangan nasi panas. Nanti dia
boikot tak nak makan kalau nasi panas.” jelas Suzila lanjut.
Bibir Siti
Shafura membentuk o sebelum senyum kecil dibiaskan. Tidak berani dia memberi
komen lebih mengenai kegemaran Eshaq Hakimi yang dirasakan sedikit pelik itu.
“Macamlah
kenyang makan tu semua.” tegur Suzila sebaik Eshaq Hakimi melewati ruang makan
yang sarat dengan pelbagai jenis makanan ringan ke ruang rehat utama keluarga.
Siti Shafura
turut memandang ke arah yang sama. Dia perasan ketegangan yang terpamer di
wajah lelaki itu. Ada rasa simpati muncul di hati. Dia tahu lelaki itu jarang
berpeluang pulang ke vila dan dapat makan bersama keluarga. Tetapi kini,
terpaksa pula makan makanan ringan.
“Sudah tu.
Pedulikan dia. Nanti lapar, pandailah dia cari makan.” ujar Tan Sri Kamil yang
sedia menadah tangan untuk mula membacakan doa makan.
…………….
Eshaq Hakimi resah di tempat
tidurnya sendiri. Pelbagai bunyi yang keluar dari perutnya. Makanan ringan yang
dimakan tadi, sedikit pun tidak memberikan kesan memandangkan belum ada sebiji
nasi pun yang masuk ke dalam perut sejak bertolak balik dari Pulau Pinang siang
tadi. Dari ke kanan, dia berkalih ke kiri. Dengan mata yang terpejam, dia tetap
juga cuba tidur. Namun masih juga gagal. Perutnya tetap juga minta diisi
menyebabkan dia terus bingkas bersama helaan berat. Terasa malas untuk turun ke
dapur di kala malam yang kian lewat. Tangan mencapai jam kecil di meja sisi
katil. Hampir tiga pagi.
“Buat hal betul
kau ni perut! Selalu okey aje tak makan nasi sehari pun!” Rungutnya sendirian.
Dengan malas, dia tetap juga turun dari katil.
Saat kaki
melewati bilik tetamu, langkahnya mati apabila terdengar suara orang sedang
berbual. Mata terhala pula ke bawah pintu. Ada sinar cahaya yang kelihatan. Kemudian
matanya memandang pula ke arah pintu bilik adik dan ibu bapanya. Gelap. Dia
yakin semua ahli keluarganya sudah lena diulit mimpi pada ketika itu. Dia yang
masih berdiri terpacak di hadapan bilik yang dimaksudkan tadi, terus melekapkan
telinganya di situ untuk memastikan suara yang didengari tadi.
“Cakap dengan
siapa pagi-pagi buta budak ni?” Desisnya sendiri bersama kerutan. “Lantaklah!”
Lanjutnya kemudian apabila terasa irama dari dalam perutnya lebih kuat
berbanding suara yang didengari. Dia terus menapak turun untuk ke dapur.
“Abang.”
Sapaan yang
tiba-tiba itu menyebabkan pinggan dari tangan Eshaq Hakimi hampir terlepas.
“Kau ni kan..”
getus Eshaq Hakimi dengan suara yang tertahan. Risau pula akan mengejutkan ahli
keluarga yang lain walaupun sebenarnya dia terkejut dengan kemunculan gadis itu
tiba-tiba.
“Sorry… Siti ingat siapa tadi.” tutur
Siti Shafura yang berdiri di tengah pintu pemisah ruang makan dan ruang dapur.
Terasa bersalah dengan perlakuannya yang menegur tanpa didahului dengan salam.
“Kalau aku
penyangak pun, berani betul kau turun.” balas Eshaq Hakimi sinis selepas
menyenduk nasi masuk ke dalam pinggan.
Siti Shafura
tersenyum kelat. Dia terdengar pintu bilik ditutup saat berbual dengan abang
sepupunya di telefon tadi. Dan seperti biasa, aroma dari tubuh itu memang mampu
mengganggu-gugat hatinya setiap kali mereka bertemu. Kadang-kala pula,
hidungnya sendiri seperti terbau-bau aroma yang menyenangkan itu walau ke mana
sahaja langkahnya pergi. Seperti sudah sebati dalam hidupnya.
“Apa yang kau
buat sampai tak tidur lagi dah lewat-lewat macam ni?” Soal Eshaq Hakimi sambil
mengeluarkan lauk-pauk dari dalam peti sejuk.
“Er.., abang
nak makan ke? Biar Siti tolong panaskan lauk.” Siti Shafura memberanikan diri
menawarkan khidmat untuk membantu tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Abang
angkatnya itu sudah meletakkan lauk-pauk tadi di atas kaunter top di ruang
tengah dapur dan sedia untuk dimakan tanpa memanaskannya terlebih dahulu.
“Kau ni, lain
kali kalau nak tanya, jangan tanya soalan yang kau dah tahu jawapan. Kau
nampakkan aku tengah buat apa? Takkan aku duduk sini, senduk nasi, aku nak
tidur pulak.” balas Eshaq Hakimi sedikit
geram apabila rasa terganggu pula dengan kehadiran gadis yang sentiasa
bertudung itu di situ.
Siti Shafura kemam
bibir rapat. Malu dengan pertanyaannya sendiri. Minggu lalu dia ada berkata
perkara yang sama dengan Eshaq Hakimi ketika lelaki itu bertanya apa yang
dilakukan di restoran. “Er.., sorry kalau
Siti ganggu. Siti naik dulu.” ucapnya
perlahan dan berkira-kira ingin berlalu kerana tidak mahu mengganggu ketenteraman
lelaki itu.
“Adik sayang!
Tadi kau kata nak tolong panaskan lauk-lauk aku. Lepas tu, kau nak balik bilik pulak.” Eshaq Hakimi tiba-tiba bersuara
menyebabkan langkah gadis itu terhenti. Idea nakalnya tiba-tiba datang menjengah.
Siti Shafura
berpaling dan memaniskan wajah. Demi tidak mahu mendengar sindiran demi
sindiran dari bibir lelaki itu, terpaksa menunaikan kata-katanya tadi. Dua
bekas kedap udara di hadapan Eshaq Hakimi dicapai. Daging masak kicap dan sayur
campur itu dikeluarkan dari bekas dan dimasukkan ke dalam mangkuk. Kemudian
baru dimasukkan ke dalam tempat pemanas tersedia.
Eshaq Hakimi yang
memerhati, sembunyi senyum. Debar halus yang bertandang saat itu tidak
dihiraukan. Kini tumpuannya hanya kepada gadis itu. ‘Siapa suruh kau turun. Kan
dah masuk mulut buaya..’ Bisik suara nakalnya.
Siti
Shafura pula, yang terasa gerak-gerinya diperhatikan, mula tidak selesa. Hampir
semua bulu roma menegak apabila membayangkan dia berdua-duaan dengan lelaki
yang pernah.. Spontan dia menggeleng beberapa kali. Cuba menafikan apa yang
baru sahaja terlintas di hati dan fikiran. Cepat-cepat dia beristighfar. Tidak
mahu terus terpengaruh dengan bisikan makhluk yang dilaknat Allah hingga
bersangka buruk kepada lelaki itu. Dia yakin masih ada sisi baik mengenai Eshaq
Hakimi yang tidak terlihat.
“Kepala
kau kenapa? Baru panaskan lauk macam tu aje dah sakit kepala?” tegur Eshaq
Hakimi bersama senyum tepi.
Siti Shafura menggeleng
perlahan tanpa berpaling. Kesabaran cuba dipupuk dalam hati diiringi istighfar.
Sedar yang dia bakal berhadapan dengan pelbagai lagi ragam yang sukar dijangka
dari lelaki itu.
“Tu jampi apa pulak yang kau baca tu? Kau nak kenakan
aku ya?” Tebak Eshaq Hakimi apabila perasan bibir Siti Shafura terkumat-kamit
sendiri. Tidak pasti apa yang dilakukan oleh gadis itu sebaik mengeluarkan
mangkuk daging masak kicap dari dalam tempat pemanas.
“Tak baik
bersangka buruk bang..” jawab Siti Shafura berani dengan suara sehabis tenang.
Bukan mahu mengajar, sebaliknya sekadar mahu mengingatkan dirinya sendiri. Dia
yakin apa yang dilakukan saat itu sentiasa di bawah perlindungan Maha Pencipta.
Niatnya ikhlas untuk membantu. Tidak lebih dari itu.
Eshaq Hakimi
mencebik. “Ialah ustazah.” balasnya malas.
“Erm.., nasi
tu belum panas.” tegur Siti Shafura apabila melihat Eshaq Hakimi sudah memegang
sudu dan garfu. Tahu lelaki itu bersedia untuk makan sebaik dia meletakkan dua
mangkuk lauk yang sudah dipanaskan tadi.
“Tak payah!” jawab
Eshaq Hakimi mendatar.
“Erm.., kalau
macam tu, abang makanlah. Siti naik dulu.” balas Siti Shafura yang baru
teringat akan kata-kata Suzila ketika makan malam tadi. Hanya kerana nasi panas
Eshaq Hakimi tidak jadi makan bersama mereka.
“Eh, kau nak
ke mana?” Eshaq Hakimi sempat menghalang sebaik gadis itu melangkah.
“Nak naik
bilik. Dah lewat ni. Siti tak nak ganggu abang makan.” jawab Siti Shafura
lembut.
“Erm.., air
minum aku, kau belum sediakan.” selamba Eshaq Hakimi mengeluarkan arahan.
Sengaja mahu gadis itu mahu berlamaan di situ lagi. ‘Lagi best kalau ada orang teman aku makan..’ Hatinya gelak jahat.
Siti Shafura mencorakkan
senyum seikhlas mungkin. Dia sedia menghulurkan bantuan lagi demi membina ukhuwah
bersama Eshaq Hakimi yang selalu dingin dengannya sebelum ini. “Abang nak air
apa?” Soalnya senang.
Eshaq Hakimi berkerut.
Liur yang ditelan terasa kesat. Suara lembut yang menyapa menyebabkan dia
sedikit terkedu. Debar halus yang tidak dihiraukan tadi mula berubah rentak.
Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari. Suara lembut itu menusuk jauh hingga
ke dasar hati walaupun sekadar pertanyaan ringkas dan bukannya ungkapan cinta.
“Er.., abang..”
panggil Siti Shafura menyebabkan Eshaq Hakimi sedikit tersentak.
“Er.., air
suam.” tergagap-gagap dia menjawab dan segera mengawal gejolak yang terasa.
Pandangan dibuang ke arah lauk yang terhidang dan mula menyuap nasi. ‘Kenapa
kau ni Shaq..’ Hati mula mengutuk kelekaannya tadi.
Tanpa menyoal
lagi, Siti Shafura terus bergerak ke tepi kabinet untuk mengambil air panas
dari alat pemanas automatik yang tersedia. Puas ditekan punat hijau, namun air
panas tidak juga keluar.
Eshaq Hakimi
yang perasan dengan tingkah laku gadis itu dengan ekor matanya, lantas menegakkan
wajah. “Benda tu rosak.” katanya dalam nada tertahan. Tetapi dalam hati, ada
sorakan pula yang bergema. Hampir terlepas senyumnya. Seperti keadaan sengaja
mahu Siti Shafura berlamaan menemaninya di situ.
“Erm.., kalau
air sejuk tak boleh ke?” Ujar Siti Shafura serba tidak kena walaupun sudah
dapat meneka yang dia mungkin perlu menjerang air pula.
“Ada aku kata
aku nak air sejuk ke? Tak ada kan?” Balas Eshaq Hakimi yang sengaja kembali
menegaskan suaranya. Tidak mahu kelihatan gelabah di hadapan gadis hingusan
seperti Siti Shafura walaupun separuh hatinya sudah mengejek akan kekalutannya
tadi.
Siti Shafura
menghela nafas perlahan. Seperti yang dijangka, dia tidak punya pilihan. Tangan
terus mencapai pemanas air elektrik dan mengisi air dari alat penapis yang
tersedia. Sebaik menekan butang ‘on’,
dia ingin segera berlalu ke ruang hadapan. Tidak mahu dia menanti di situ
sementara air masak. Kekok untuk berdua-duaan begitu walaupun sebelum ini dia
ada menanam tekad mahu mewujudkan hubungan yang lebih baik bersama lelaki itu.
“Kan air tu belum
masak. Kau nak ke mana?” Sengaja sekali lagi Eshaq Hakimi menghalang.
“Erm.., Siti
nak tunggu dekat depan.” jawab Siti Shafura yang hanya membuang pandang ke arah
Eshaq Hakimi sekilas sebelum dihalakan ke arah lain.
“Bukan ada siapa
pun dekat depan tu. Duduk aje dekat sini.” tegas Eshaq Hakimi selamba yang
tidak mahu wajah manis itu hilang dari ruang matanya.
“Er.., tapi..”
“Tak ada
tapi-tapi. Duduk sini sampai air tu masak.” tekan Eshaq Hakimi lebih tegas.
Bibir sembunyi senyum puas.
Sekali lagi
Siti Shafura tiada pilihan. Punggung terus dilabuhkan ke salah satu kerusi
bulat di hadapan lelaki itu.
Eshaq Hakimi
menyambung semula makan tanpa sepatah perkataan keluar dari bibirnya. Dalam
diam, mata akan curi-curi pandang walaupun dia perasan tidak sekali pun mata
gadis itu singgah ke wajahnya. Dia perasan gadis di hadapannya itu sedikit
resah. Namun, sengaja dia buat tidak peduli.
Hampir lima
minit menanti, air yang dijerang, masak. Siti Shafura segera bingkas. Lagi
cepat tugasnya selesai, lagi cepat dia beredar. Air panas tadi dicampur dengan
air sejuk untuk menjadikannya suam sebelum muk itu diletakkan ke sisi Eshaq
Hakimi. “Erm.., ada apa-apa lagi ke yang abang nak, sebelum Siti naik?” soalnya
kemudian.
“Kau perli aku
ke apa?” Eshaq Hakimi rasa tersindir.
“Bersangka
baiklah abang.” cukup lembut Siti Shafura membalas. Tidak terdetik pun di
hatinya ingin menyindir.
“Tak habis-habis
dengan sangka baik.” gerutu Eshaq Hakimi sebelum menyisip perlahan air suam yang
diletakkan oleh gadis itu.
Siti Shafura
melepaskan keluhan halus. Tanpa mahu lagi bersoal jawab menyebabkan dia terus
mengorak langkah mahu meninggalkan ruang itu.
“Adik sayang,
air kau ni tawarlah..” kata Eshaq Hakimi membuatkan sekali lagi langkah gadis
itu terhenti.
Siti Shafura berkerut
tanpa mahu berpaling. Kesabaran yang dipupuk tadi, terasa mula terhakis namun
segera dikawal. Mata dipejamkan dan sebelah tangan dilekapkan ke dada kiri
diiringi doa di dalam hati. ‘Ya Allah ya tuhanku, Engkau lindungilah aku
daripada syaitan yang dilaknat. Engkau buanglah perasaan marah yang ada dalam
hatiku ni ya Allah.. Hanya kepada-Mu ku berserah, hanya kepada-Mu aku meminta
pertolongan…’ Kelopak mata diangkat dan nafas ditarik dalam-dalam sebelum
dihembus perlahan. Kemudian, baru dia berpaling.
“Kan senang
kalau abang cakap aje nak air apa tadi. Siti boleh buatkan.” ucapnya sehabis
lembut berserta senyuman yang sedaya upaya diikhlaskan sebelum dia merapati
semula lelaki itu. “Abang nak air apa?” Soalnya lembut dengan sabar di hati.
Dia tidak mahu kalah dengan bisikan syaitan yang suka menyesatkan anak Adam
dalam keadaan marah.
Eshaq Hakimi
mengulum senyum. “Air Horlicks panas
kurang manis satu.” jawabnya dengan senyuman lebar. Minuman kegemarannya. Hati
tercuit melihat wajah Siti Shafura yang sedikit memerah hingga menyebabkan
tawanya hampir terlepas. Yakin gadis itu mula marah apabila terpaksa melayan
kerenahnya yang terlebih cerewet. Kini, puas hatinya kerana dapat mengusik seperti
mana yang diharapkan pada siang tadi.
Siti Shafura
pula terus sahaja melakukan seperti yang diminta. Lincah tangannya melakukan
kerja. “Abang, ni air yang abang nak tadi. Siti mintak maaf kalau tak sedap.” katanya ikhlas sebaik meletakkan muk yang
mengeluarkan asap nipis di sisi lelaki itu.
Eshaq Hakimi
yang sedang tersenyum nakal terus mencapai muk tersebut dan disisip perlahan.
Siti Shafura
setia menanti untuk mendengar komen lelaki itu. Risau jika dia perlu membancuh
sekali lagi air tersebut.
“Hm… Sekarang
kau boleh naik.” ulas Eshaq Hakimi ringkas.
Siti Shafura
melemparkan senyum nipis. Ada nafas kelegaan terhela. “Siti naik dulu..” ucapnya
sebelum berlalu.
“Adik sayang!”
Baru beberapa
langkah, kakinya berhenti lagi apabila terdengar suara Eshaq Hakimi memanggil. Serentak
itu keluhan berat terlepas tanpa sempat dikawal sebelum dia kembali berpaling.
“Tak ada
apa-apa!” ucap Eshaq Hakimi selamba dengan senyuman lebar. Hati digeletek lagi
apabila melihat wajah gadis itu mula merah padam.
Siti Shafura
beristighfar perlahan. Senyum paksa dibiaskan. “Terima kasih abang!” ucapnya
sedikit geram sebelum cepat-cepat menyambung langkah kembali. Terasa
kesabarannya benar-benar tercabar kala itu dek kerana melayan perangai gila
Eshaq Hakimi.
8 comments:
suka nye......
Hihi..
Thanks kakna!
mengada2 betul ler si shaq nih....sian kat siti....nak lagi boleh takkkk....
Morning....best bila nak dibukukan adik sayang kak edah pinjam ayat hakimi.he....
nakal.... tapi tu yang best. hehehe... :)
haha..Siti Siti.comel la awak ni
>>k<<
so sewiiiit sangat! As usual tak puas nak lagi almaklum baru habis baca terus masuk waktu insyak perfect timing boleh tidur dgn senang hati.
Maaf Akak yg peminat dari zurich itu yg timing lari sikiit
nasib baik siti x jawab "Terima Kasih Abang SAYANG'... mahu tersedak air yg dia minium... baru padan muka...hahaha.. berbaik sangka abang Kimi..
Post a Comment