May 27, 2014

BMJM_bab 10_edited version

BMJM 10

Tangan menghentak stereng kereta apabila lampu isyarat bertukar merah. Baru empat buah kereta di hadapannya melepasi lampu hijau, kini dia terpaksa menanti kembali apabila lampu sudah bertukar merah semula. Hampir setengah jam dia menanti di situ memandangkan kawasan tersebut memang selalu sesak tidak kira waktu. Sudahlah dia baru tiba dari Penang. Terpaksa pula bergegas pulang ke vila selepas memungkiri janji untuk pulang pada minggu lalu. Semua gara-gara menemani Julia ke Thailand dan semalam ke Butterworth pula.

You kenapa nak elakkan diri dari I Shaq? You lupa ke perjanjian kita? Dah berapa minggu I cari you. You buat tak tahu aje. I call you tak angkat. You ke mana sebenarnya Shaq?” Tanya wanita itu bertalu-talu pada suatu hari sebelum dia bersetuju untuk ke Thailand dan Pulau Pinang.

I busy.” jawabnya pendek. Jujur dengan apa yang terucap. Sememangnya dia baru sahaja habis engagement audit di salah satu syarikat pengeluar aksesori wanita terkenal tanah air. Hampir dua minggu dia bergelumang dengan fail kewangan yang memeningkan. Baru hari itu dia mempunyai sedikit ruang.

“Itu ajelah alasan you kan? I bosanlah Shaq macam ni. Time I perlukan you, you tak ada!” Rungut wanita itu menyebabkan bahang di hati segera terasa.

“Habis tu, you nak I buat macam mana? Dah memang I kerja macam tu kan? Bukan I tak kerja. I pun, ada life I jugak Jue. Takkan twenty four seven I nak escort you!” Hamburnya dengan dada sedikit berombak menahan kemarahan yang mula bertingkat.

Hello Shaq. You escort I bukan hari-hari tau. Dua kali dalam sebulan. Tu pun susah ke Shaq? Satu sen pun you tak keluar. Susah sangat ke?” Sindiran tajam yang meniti bibir wanita itu memang sudah cukup menyemarakkan api kemarahan yang sedia menyala. Direnung tajam wajah Julia dengan rasa tidak puas hati. Sudahlah dia tertekan dengan kerja, kini ditambah pula dengan kerenah Julia yang tidak pernah habis.

You sebenarnya nak apa jumpa I hari ni?” Marahnya masih terkawal memandangkan mereka berada di tempat awam. Bukan di hotel lima bintang seperti biasa.

“Sabtu ni I nak pergi Thailand. I tahu you ada. Minggu depan Butterworth.” jawab wanita itu tegas menyebabkan dia memang tidak punya pilihan. Disebabkan itu dia terpaksa memungkiri janji dengan mamanya untuk pulang ke vila. Oleh sebab tidak mahu keadaan bertambah lebih buruk, dia terpaksa juga pulang hari itu tanpa sempat menghantar beg bajunya lagi. Sebaik tiba dari lapangan terbang dia terus mengambil kereta dan memandu pulang.

Bibir melepaskan nafas berat sebaik kereta yang dipandu masuk ke kawasan perumahan elit. Sebaik enjin kereta dimatikan, lambat-lambat langkah diatur mendapatkan mamanya di gazebo kayu penjuru halaman bersama pembantu rumah kesayangan mereka, Mak Lijah. Masing-masing leka memangkas tunas pokok bunga kertas yang ditanam sekeliling pagar. Pokok yang tidak perlu penjagaan rapi itu sudah menjadi kesayangan mama sejak dahulu lagi.

“Mama.” sapanya seraya menyalami dan mengucup kedua-dua belah pipi Puan Sri Amna sebelum berpindah kepada Mak Lijah. Wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.

“Mama ingat dah tak tahu jalan balik.” sindir Puan Sri Amna selamba.

Eshaq Hakimi tersenyum kelat seraya menyambut gelas yang berisi jus oren yang dihulurkan oleh Mak Lijah. Wanita yang hampir sebaya dengan mama itu hanya tersenyum. “Sibuk sikit ma..” jawabnya sebaik gelas di tangannya kosong.

“Ialah sibuk. Macamlah mama nak percaya.” jawab Puan Sri Amna bersama jelingan. Dia sedia faham akan perangai anak sulungnya itu. Begitu banyak alasan setiap kali disuruh pulang ke vila.

“Betul ma. Kimi baru aje balik dari Penang ni. Sampai aje terus balik ambik kereta. Tak sempat pun naik rumah hantar beg baju.” Eshaq Hakimi cuba meyakinkan.

“Habis tu, minggu lepas pun pergi Penang jugak ke? Janji dengan mama nak balik. Tapi tak balik pun. Penat-penat aje mama masak.” tingkah Puan Sri Amna seperti berjauh hati.

Sorry la ma. Last week Kimi betul-betul ada kerja. Tak sempat balik ma..” pujuk Eshaq Hakimi terpaksa berbohong. Tidak mungkin dia akan berterus-terang tentang kerja yang dimaksudkan itu. “Erm, Suzy mana? Kereta ada.” Cepat-cepat dia mengalih topik sambil menuang lagi jus oren ke dalam gelasnya.

“Suzy dengan papa pergi ambik Siti.” jawab Puan Sri Amna sambil mata tidak lepas membelek pokok bunga kertas warna merah jambu yang siap dipangkas. Sudah menjadi rutin hujung minggu dia bersama pembantu rumah akan banyak menghabiskan di sudut halaman itu untuk memanjakan bunga-bunga yang ditanam. Dan hari itu, sudah tiba untuk membaja.

Eshaq Hakimi yang sedang minum terus tersedak sebaik mendengar sebaris nama gadis yang meniti di bibir mamanya. Terimbau kembali kejadian di restoran di mana dia bertemu dengan Julia sebelum terbang ke Thailand.

“Kau buat apa dekat sini?” Dengan selamba dia menyambar lengan gadis yang langsung tidak sedar dia terpacak di hadapan tandas lelaki.

“Err.., abang.” Gadis itu mendongak. Beradu seketika renungan mereka menyebabkan dia segera melepaskan pegangan dan cepat-cepat mengalihkan wajah. Berdeham dia beberapa kali apabila ada debar halus mengetuk ruang dada sebelum soalan yang sama diulang.

“Er.., ni kan tempat makan.” jawab gadis itu menyebabkan bibir diketap rapat. Rasa tersindir dengan soalan sendiri.

“Dengan siapa?” Sedaya upaya dia mengawal nada. Tidak berperasaan.

“Er.., Siti dengan Suzy.” Tergagap-gagap gadis menjawab tanpa mengangkat wajah lagi. Dia yang tidak senang hati gadis itu langsung tidak memandang, kembali menyentuh lengan berlapik baju kurung itu tanpa berfikir panjang.

“Kau, kalau bercakap, pandang muka aku boleh tak?” Tekannya sedikit geram menyebabkan gadis itu mengangkat sedikit wajah namun mata tidak pun dihalakan ke wajahnya. Dia merengus sebelum kembali melepaskan lengan gadis itu. “Mana Suzy?” Soalnya serius.

“Dekat depan sana.” Gadis itu menunjuk ke arah yang dimaksudkan dengan ibu jarinya.

Mata Eshaq Hakimi menyorot sama ke arah yang ditunjukkan. “Siapa lelaki tu?” Laju dia menyoal apabila perasan ada seorang lelaki yang duduk bersama-sama tiga gadis termasuk adiknya di meja yang dimaksudkan.

“Kawan.”

Eshaq Hakimi mengerutkan dahi. Kurang yakin dengan jawapan yang diberi. Dari pandangan matanya dia yakin lelaki yang dimaksudkan sebagai kawan itu mempunyai hubungan istimewa dengan salah satu daripada gadis di situ. Dari cara mereka berbual, dia tahu ada kemesraan yang sudah lama terjalin.

“Erm.., abang Kimi, Siti masuk toilet dulu.” ujar gadis itu sebelum dia kembali berpaling.

“Aku belum habis lagi cakap dengan kau.” balasnya dingin.

“Abang nak cakap apa? Erm, kalau pasal ganti rugi tu, boleh tak kalau Siti bayar lepas habis exam nanti? Habis aje exam Siti cari kerja.”

“Ada aku kata, suruh kau bayar pakai duit ke sebelum ni?” Sebenarnya dia hampir terlupa akan ganti rugi yang masih belum dituntut itu.

“Shaq, kenapa ni? Lama I tunggu sorang-sorang.” Celah Datin Julia yang tiba-tiba muncul lalu dengan selamba memaut mesra lengannya menyebabkan perbualan mereka tamat begitu sahaja. Dan sebelum keluar dari restoran, dia perasan adiknya sedar akan kelibatnya di situ bersama Julia.

“Dah kenapa kamu Kimi? Dekat Penang tak dapat fresh orange ke sampai tersedak macam tu?” Tegur Puan Sri Amna sambil menghulurkan kain bersih yang ada di situ.

Eshaq Hakimi tersenyum payau sebelum dia mengelap mulutnya. Baju-t putih yang dipakai sudah bertompok warna oren. Cepat sahaja dia menanggalkan baju yang tersarung. “Erm.., ambik ‘adik kesayangan’ Kimi tu dari mana ma?” Soalnya berbasa-basi demi mengawal perasaannya sendiri. Debar halus yang masih belum dikenal pasti itu kembali lagi menyapa.

Puan Sri Amna sempat menghadiahkan jelingan sebaik anak lelakinya itu menekankan perkataan ‘adik kesayangan’ sebelum membalas. “Kan ummi dia sakit.” jawabnya sambil menyambut sarung tangan yang dihulurkan oleh Mak Lijah. “Hm.., sebenarnya dia nak tidur sana jaga ummi dia. Tapi mama yang tak bagi. Biar dia berulang dari rumah ni kalau dia nak pergi tengok ummi dia. Itu yang Suzy dengan papa pergi jemput tu.” lanjutnya tanpa dipinta.

Kasih dan sayangnya sudah tumpah buat Siti Shafura hingga tidak sanggup membiarkan gadis itu tidur dalam keadaan tidak selesa di pusat penjagaan khas itu. Cuma, dia tidak dapat menghalang apabila Siti Shafura tetap bertegas mahu tinggal di pusat jagaan untuk menjaga umminya yang sakit sementara menanti kertas peperiksaan yang terakhir. Dan malam nanti, akan menjadi malam terakhir gadis itu bermalam di situ.

Kerutan masih kekal di dahi Eshaq Hakimi. “Erm.. Bukan ke makcik dia ada. Kenapa dia nak susah-susah tidur sini pulak ma?” Soalnya lagi yang tahu gadis itu masih mempunyai ahli keluarga lain.

Puan Sri Amna menjeling lagi ke wajah anak sulungnya. Kali ini lebih tajam berbanding tadi kerana tidak menyenangi apa yang terucap. “Kenapa Kimi tanya macam tu? Mama yang nak dia duduk sini. Bukan dia yang beria sangat nak tinggal dengan kita.” jawabnya sedikit geram.

Kehadiran Siti Shafura dalam keluarganya seperti memberi satu sinar baru dalam hidup mereka sekeluarga. Dia dan suami semakin sedar akan hakikat hidup di dunia. Anak bongsunya seorang yang agak sosial sebelum ini, sudah semakin jauh berubah. Dan satu lagi harapan yang masih belum tercapai adalah dengan keadaan anak sulungnya itu. Terlalu sukar untuk dikawal. Dia perasan anak sulungnya itu semakin jauh dari keluarga. Lebih suka melakukan hal sendiri. Cuma sejak akhir-akhir itu dia baru perasaan ada sedikit perubahan yang berlaku.

Eshaq Hakimi tersenyum kecil. Tahu yang dia sudah tersalah bicara. Lupa yang Siti Shafura sudah menjadi anak kesayangan keluarganya. “Alah mama... Kimi tanya aje. Tu pun nak marah.” cuba berseloroh.

“Tak adalah marah… Mulut Kimi tu jaga-jaga sikit kalau bercakap. Siti Shafura bukan macam kita. Keadaan dia tak sama dengan kita Kimi.” tegas Puan Sri Amna sekadar ingin mengingatkan.

Dia bersimpati dengan nasib yang menimpa Siti Shafura. Mereka sekeluarga bersedia membantu sekiranya gadis itu memerlukan bantuan. Tetapi dia tahu Siti Shafura bukanlah seorang yang mudah menerima bantuan orang lain melainkan jika benar-benar memerlukan.

“Sama aje ma…” jawab Eshaq Hakimi selamba.

Puan Sri Amna yang sedang mencabut anak rumput di salah sebuah pasu bunganya, menoleh.

“Tak payahlah pandang Kimi macam nak telan ma. Kimi gurau ajelah..” Cepat-cepat Eshaq Hakimi beralah.

Puan Sri Amna ketap bibir. Geram dengan keceloparan mulut anak sulungnya itu. Memang dari kecil mulut Eshaq Hakimi petah berkata-kata. Ada sahaja jawapan yang akan diberi. “Hah.. Kamu tu, kalau mama tak call, jangan harap nak balik kan? Sibuk sangat ke kerja sampai tak sempat balik sini? Bukan jauh pun.” getusnya terus menukar topik lain pula. Sengaja mencari topik yang lebih sesuai dibualkan walaupun dia sudah tahu reaksi anaknya itu nanti.

“Janganlah mulakan ma… Kimi penatlah.. Kan Kimi dah balik ni. Bukan Kimi langsung tak balik kan?” Keluh Eshaq Hakimi yang mula tunjuk wajah bosan. Topik wajib mama jika dia pulang ke vila. Belum lagi soal ambil alih syarikat yang akan diutarakan oleh papanya.

“Bulan lepas, sekali aje Kimi balik sini.” sindir Puan Sri Amna selamba.

“Bulan lepas Kimi banyak kerja luar ma.” jawab Eshaq Hakimi malas yang sudah berkira-kira ingin masuk ke dalam rumah. Dia lebih sanggup terperap di dalam bilik dari menghadap mama yang akan sentiasa cuba mencari kesalahannya.

“Hah! Nak ke mana pulak tu? Mama baru cakap sikit Kimi dan nak lari. Belum lagi papa yang cakap.” tingkah Puan Sri Amna sambil mencekak pinggang.

“Mama ni saja ajelah…” rungut Eshaq Hakimi yang sedia berdiri terpaksa kembali duduk.

Serentak itu juga kereta Tan Sri Kamil masuk ke perkarangan vila. Mata masing-masing terhala ke arah Camry hitam yang berlalu. Kelibat papanya bersama dua orang gadis, kelihatan sebaik kereta berhenti di bawah garaj. Papa terus melangkah masuk ke dalam rumah manakala dua gadis itu beriringan ke mendapatkan mereka. Dia tidak lepas memandang Siti Shafura yang kian mendekat.

“Assalamualaikum mama.” ucap Siti Shafura lembut seraya menyalami tangan Puan Sri Amna tanda hormat. Diikuti dengan Suzila.

“Mama, mimpi apa pulak putera raja mama ni balik?” Sindir Suzila sengaja mahu mengusik abangnya yang turut sama ada di situ.

Puan Sri Amna hanya mengangkat kedua-dua bahunya dengan bibir menguntum senyum mengusik kepada anak bujangnya yang sudah berubah riak.

Siti Shafura saat itu hanya merendahkan pandangan. Tidak berani memandang ke arah Eshaq Hakimi yang terdedah aurat.

“Nak sindir la tu!” rungut Eshaq Hakimi sedikit geram.

Suzila menjuihkan bibir sebelum meminta sarung tangan dari Mak Lijah untuk membantu sama. Memang sudah menjadi minatnya untuk membantu jika berpeluang.

“Er… Mama, boleh Siti masuk dulu? Siti belum solat asar tadi. Nanti Siti tolong mama.” ujar Siti Shafura yang tidak selesa berlamaan di situ dengan pandangan tajam Eshaq Hakimi.

“Siti tak payahlah tolong mama. Mama tahu Siti penat. Pergilah masuk.” balas Puan Sri Amna lembut.

“Siti masuk dulu ma.. Suzy, saya masuk dulu tau.” kata Siti Shafura lagi sebelum berlalu.

“Okey Siti!” Senang Suzila membalas walaupun mata tidak lagi ke arah sahabatnya itu.

Eshaq Hakimi yang hanya memerhati, ligat mencari idea untuk mengusik ‘adik kesayangan’nya itu. “Adik kesayangan!” Panggilnya kepada Siti Shafura yang sudah menjauh.

Siti Shafura memberhentikan langkah dan berpaling. Cukup kenal dengan suara yang memanggil memandangkan hanya seorang sahaja yang menggelarnya begitu.

“Nak masuk rumah kan?”

Siti Shafura menganggukkan kepala.

“Tolong ambik beg abang dalam kereta tu bawak masuk dalam bilik sekali eyh?” Ujar Eshaq Hakimi yang sudah sembunyi senyum.

“Abang! Jangan nak buli Siti ya!” Celah Suzila yang sudah mencekak pinggang.

“Alah! Mintak tolong pun tak boleh ke? Bukan berat pun.” balas Eshaq Hakimi selamba.

“Suzy, tak apa. Saya boleh buat. Bukan susah.” sahut Siti Shafura cepat. Dia tidak mahu adik-beradik itu bertikam lidah kerananya pula. Lebih-lebih lagi apabila di hadapan ibu angkatnya.

Puan Sri Amna hanya menggelengkan kepala walaupun sebenarnya dalam diam, dia senang dengan apa yang berlaku. Dia mahu Eshaq Hakimi dan Siti Shafura dapat bergaul mesra.

Mengada betul abang ni! Angkatlah sendiri. Sibuk aje suruh Siti!” Gerutu Suzila geram. Mujur dia masih sedar yang mamanya ada sama. Jika tidak, pasti hal di restoran minggu lalu sudah diungkit.

“Eleh! Adik kesayangan abang tu okey aje.. Suzy pulak bising!” Eshaq Hakimi tidak mahu mengalah. Kini, semenjak ada Siti Shafura dalam hidup mereka, dia sering bertekak dengan adiknya itu walaupun hanya kerana perkara kecil.

Suzila ketap bibir. Anak rumput yang sudah dicabut tadi sempat dicampak ke arah abangnya yang ingin beredar.

“Hoi!” Marah Eshaq Hakimi apabila sisa tanah dari akar anak rumput itu mengenai tubuh.

Suzila menjelirkan lidah mengejek.

Kini giliran Eshaq Hakimi pula ketap bibir sebelum mengatur langkah ke arah Suzila kerana ingin membalas.

“Mama, tengok abang ni!” Suzila kelam-kabut menyorok di belakang Puan Sri Amna.

“Hish! Budak-budak ni! Tak malu ke Siti tengok tu.” Marah Puan Sri Amna sambil menunjuk ke arah anak angkatnya yang memerhati.

Siti Shafura ketawa kecil. Entah kenapa hatinya terhibur melihat gelagat Eshaq Hakimi dan Suzila. Terasa seperti dia mempunyai adik-beradik.

Eshaq Hakimi yang memandang ke arah Siti Shafura telan liur tiba-tiba. Dia ternampak lekuk di kedua-dua belah pipi gadis itu buat kali pertama dalam hidupnya. Entah kenapa debar halus yang muncul di hatinya tadi kini kian berubah rentak.

“Abang! Jangan nak pandang Siti lama-lama. Pandangan pertama rezeki. Kali kedua nafsu! Berdosa bang.” tegur Suzila dengan suara yang sengaja dikuatkan kerana mahu sahabatnya itu mematikan tawa. Dia faham akan maksud pandangan abangnya tadi.

Eshaq Hakimi segera mengawal riak. Dia kembali ke gazebo untuk mengambil baju-tnya tadi dan ingin segera masuk ke dalam rumah. Hati mula berperang dengan perasaannya sendiri. Belum pernah dia berperasaan begitu dengan mana-mana perempuan selama ini. Termasuklah bekas kekasih yang telah curang dengannya dahulu. “Ada bas ada lori. Nanti abang balas, sorry, jangan harap Suzy boleh lari.” sempat dia berkata sebelum dia berlalu.

“Er, abang… Biarlah Siti tolong angkatkan beg.” tutur Siti Shafura saat Eshaq Hakimi melewatinya.

Eshaq Hakimi berhenti namun tidak berpaling. Terasa segan sebenarnya dengan keadaannya yang tidak berbaju untuk menatap wajah Siti Shafura walaupun hatinya mendesak. “Suka hatilah.” jawabnya ringkas sebelum terus berlalu ke dalam rumah.

Siti Shafura mengukir senyum kecil. Sebenarnya dia ingin sekali berbaik-baik dengan Eshaq Hakimi sebagaimana dia berbaik dengan Qayyum dan Izzat Fakhri walaupun sebenarnya masih ada urusan yang masih belum selesai di antara mereka. Dia tidak mahu kekok berhadapan dengan lelaki itu kerana ingin menganggap Eshaq Hakimi sebagai abangnya sendiri. Seperti mana dia menganggap Qayyum dan Izzat Fakhri. Tidak lebih dari itu.

Senyum manisnya melebar saat membuka pintu kereta yang tidak berkunci itu. Aroma yang cukup menenangkan menyapa rongga hidung seperti mana saat Eshaq Hakimi melewatinya tadi. Beg pakaian yang tidak sebesar mana di tempat duduk belakang terus dicapai sebelum terus masuk ke dalam rumah.

Saat kaki berhenti betul-betul di hadapan bilik Eshaq Hakimi yang terbuka, dia teragak-agak untuk melangkah kerana risau dianggap menceroboh hak peribadi lelaki itu.

“Yang kau tercegat depan pintu tu kenapa? Kau nak campak aje beg aku dari luar tu ke?” Sergah Eshaq Hakimi tidak bernada yang sedang terbaring di tengah katil. Memang sengaja dia membuka luas pintu biliknya untuk membenarkan gadis itu masuk. Belum pernah dia membenarkan mana-mana perempuan masuk ke biliknya sebelum ini kecuali isi rumah. Itu pun di atas kebenarannya sahaja.

Siti Shafura tersenyum kelat. Terasa kurang manis gadis sepertinya masuk ke bilik seorang lelaki yang bukan mahramnya. Terutamanya di rumah keluarga angkatnya itu. Risau akan pandangan serong Tan Sri Kamil dan Puan Sri Amna kepadanya nanti. Dengan istighfar di hati berserta bismillah, dia melangkah masuk. Dia belajar tenangkan hatinya untuk berhadapan dengan lelaki itu.

“Erm, abang nak Siti letak dekat mana beg ni?” ucapnya sehabis tenang. Seperti tadi, dia sedaya upaya menjaga pandangan mata.

Eshaq Hakimi menegakkan tubuh. Mata terhala ke wajah Siti Shafura yang berdiri tidak jauh dari muka pintu. Walaupun hati dilanda suatu perasaan yang dia sendiri tidak pasti, akalnya masih cuba mencari helah agar gadis itu lebih lama di situ. Belum puas lagi matanya menjamah wajah yang manis bertudung itu. “Erm.., keluarkan semua baju dalam tu. Lepas tu, asingkan baju putih dengan yang berwarna masuk dalam bakul sana tu.” arahnya selamba sambil menunjukkan ke arah sebuah bakul baju berhampiran pintu bilik air.

Siti Shafura mengerutkan dahi tidak faham akan arahan yang diberi. Beg pakaian lelaki itu masih lagi kemas dipegang. Dia ragu-ragu sama ada mahu melakukan seperti yang diarahkan ataupun tidak.

“Kimi.”

Tegur satu suara membuatkan mata kedua-duanya terhala ke muka pintu.

“Papa.” Siti Shafura mula tidak sedap hati melihat bapa angkatnya sudah melemparkan renungan tajam.

“Kenapa ni?” Tanya Kamil mendatar. Serius wajahnya memandang pasangan di hadapannya itu.

“Er.. Siti tolong hantar beg Abang Kimi.” Akui Siti Shafura jujur.

“Letak aje beg dia dekat situ, Siti balik bilik. Tadi Siti kata belum solat asarkan? Asar dah nak habis ni.” tegas Kamil. Kurang senang dengan panorama yang terhidang di hadapan mata tuanya.

“Er… ialah.” Siti Shafura mengukir senyum nipis kepada bapa angkatnya itu. “Abang, Siti letak dekat sini. Sorry..” sambungnya seraya meletakkan beg pakaian tersebut tadi di atas sofa panjang sudut bilik sebelum berlalu.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Sebaliknya pandangan tajam sahaja sempat dilemparkan kepada Siti Shafura yang menapak keluar dari biliknya. Kemudian matanya cepat dialihkan apabila bertemu dengan mata papanya.

“Kimi dah solat?” Soal Kamil tegas seperti tadi.

“Erm, belum.” jawab Eshaq Hakimi jujur. Memang dia belum bersolat asar. Bukan sahaja solat asar, satu hari itu tiada solat pun yang dilakukan.

“Habis tu, tunggu apa lagi? Dah dekat enam setengah ni.”

“Iaa pa..” Eshaq Hakimi terus turun dari katil dan menapak ke almari untuk mengambil tuala. Dengan tujuan dia boleh berlamaan di dalam bilik air nanti tanpa perlu papanya menunggu dia bersolat.

Sebaik masuk dalam bilik air, pancuran air terus dibuka dan dia berdiri tegak di hadapan cermin besar yang ada. Terdengar pintu ditutup, dia tahu papa sudah meninggalkan biliknya. Nafas lega dilepaskan sebelum dia keluar kembali. Lega kerana dia tidak perlu berhadapan dengan papanya.

Tubuhnya dihempas ke tengah katil semula. Tanpa sedar bibir mengoyak senyum apabila teringat kembali wajah manis Siti Shafura. Rancangan untuk mengusik gadis itu tidak menjadi apabila papanya muncul tanpa dijangka. Senyuman semakin melebar apabila merasakan ada lagi masa untuk terus mengusik gadis itu.


9 comments:

Bella Daud said...

ini yng dikatakan diam2 jatuh cinta....bila lak nak sambung ni...hari2 akak terjah....

MaY_LiN said...

nakal abg kimi ni
achaaaa cecepat jd buku ye
(:

Anonymous said...

suka sgt part bau-wangi-mendebarkan-hati-siti tu...jgn lupakan part tu lagi dlm n3-n3 lain...

>>k<<

Anonymous said...

Likewise Akak pun selalu check, ada masukkan untuk hari ini. Perbezaan timing buat teruja, kami di zurich pukul 8pagi bangun minum kopi on PC check.

Anonymous said...

Tiap2 pagi waktu Zurich 8 pagi minum kopi anak ke sekolah check PC ada tak masukkan. Bila nak sambung lagi ni. tak sabar lah

arsha said...

Bella

Sis, adehh nanti sis. Hee

Maylin

Doakan dear!

Sis anonymous

Adehh jauhnya. Thanks ya.. :)

arsha said...

K- amboii kkkk.. haha

kak edah said...

Nak sambung tak puas bab kimi n siti.dlm hati ada taman .....best

Siti Klinkner said...

Hari hari check blog nie, perasaan ingin tahu kisah Siti & Abang