BMJM 10
Tangan menghentak stereng kereta apabila lampu
isyarat bertukar merah. Baru empat buah kereta di hadapannya melepasi lampu
hijau, kini dia terpaksa menanti kembali apabila lampu sudah bertukar merah
semula. Hampir setengah jam dia menanti di situ memandangkan kawasan tersebut
memang selalu sesak tidak kira waktu. Sudahlah dia baru tiba dari Penang.
Terpaksa pula bergegas pulang ke vila selepas memungkiri janji untuk pulang pada
minggu lalu. Semua gara-gara menemani Julia ke Thailand dan semalam ke
Butterworth pula.
“You
kenapa nak elakkan diri dari I Shaq? You lupa ke perjanjian kita? Dah berapa
minggu I cari you. You buat tak tahu
aje. I call you tak angkat. You ke mana sebenarnya Shaq?” Tanya wanita
itu bertalu-talu pada suatu hari sebelum dia bersetuju untuk ke Thailand dan
Pulau Pinang.
“I
busy.” jawabnya pendek. Jujur dengan
apa yang terucap. Sememangnya dia baru sahaja habis engagement audit di salah satu syarikat pengeluar aksesori wanita
terkenal tanah air. Hampir dua minggu dia bergelumang dengan fail kewangan yang
memeningkan. Baru hari itu dia mempunyai sedikit ruang.
“Itu ajelah alasan you kan? I bosanlah Shaq macam ni. Time
I perlukan you, you tak ada!” Rungut
wanita itu menyebabkan bahang di hati segera terasa.
“Habis tu, you nak I buat macam
mana? Dah memang I kerja macam tu
kan? Bukan I tak kerja. I pun, ada life I jugak Jue. Takkan twenty
four seven I nak escort you!” Hamburnya dengan dada sedikit
berombak menahan kemarahan yang mula bertingkat.
“Hello
Shaq. You escort I bukan hari-hari
tau. Dua kali dalam sebulan. Tu pun susah ke Shaq? Satu sen pun you tak keluar. Susah sangat ke?” Sindiran
tajam yang meniti bibir wanita itu memang sudah cukup menyemarakkan api
kemarahan yang sedia menyala. Direnung tajam wajah Julia dengan rasa tidak puas
hati. Sudahlah dia tertekan dengan kerja, kini ditambah pula dengan kerenah
Julia yang tidak pernah habis.
“You
sebenarnya nak apa jumpa I hari ni?” Marahnya
masih terkawal memandangkan mereka berada di tempat awam. Bukan di hotel lima
bintang seperti biasa.
“Sabtu ni I nak pergi Thailand. I
tahu you ada. Minggu depan
Butterworth.” jawab wanita itu tegas menyebabkan dia memang tidak punya
pilihan. Disebabkan itu dia terpaksa memungkiri janji dengan mamanya untuk
pulang ke vila. Oleh sebab tidak mahu keadaan bertambah lebih buruk, dia
terpaksa juga pulang hari itu tanpa sempat menghantar beg bajunya lagi. Sebaik
tiba dari lapangan terbang dia terus mengambil kereta dan memandu pulang.
Bibir
melepaskan nafas berat sebaik kereta yang dipandu masuk ke kawasan perumahan
elit. Sebaik enjin kereta dimatikan, lambat-lambat langkah diatur mendapatkan
mamanya di gazebo kayu penjuru halaman bersama pembantu rumah kesayangan
mereka, Mak Lijah. Masing-masing leka memangkas tunas pokok bunga kertas yang
ditanam sekeliling pagar. Pokok yang tidak perlu penjagaan rapi itu sudah
menjadi kesayangan mama sejak dahulu lagi.
“Mama.” sapanya
seraya menyalami dan mengucup kedua-dua belah pipi Puan Sri Amna sebelum
berpindah kepada Mak Lijah. Wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.
“Mama ingat
dah tak tahu jalan balik.” sindir Puan Sri Amna selamba.
Eshaq Hakimi
tersenyum kelat seraya menyambut gelas yang berisi jus oren yang dihulurkan
oleh Mak Lijah. Wanita yang hampir sebaya dengan mama itu hanya tersenyum. “Sibuk
sikit ma..” jawabnya sebaik gelas di tangannya kosong.
“Ialah sibuk.
Macamlah mama nak percaya.” jawab Puan Sri Amna bersama jelingan. Dia sedia
faham akan perangai anak sulungnya itu. Begitu banyak alasan setiap kali
disuruh pulang ke vila.
“Betul ma.
Kimi baru aje balik dari Penang ni. Sampai aje terus balik ambik kereta. Tak sempat pun naik rumah hantar beg baju.” Eshaq
Hakimi cuba meyakinkan.
“Habis tu,
minggu lepas pun pergi Penang jugak
ke? Janji dengan mama nak balik. Tapi tak balik pun. Penat-penat aje mama masak.”
tingkah Puan Sri Amna seperti berjauh hati.
“Sorry la ma. Last week Kimi betul-betul ada kerja. Tak sempat balik ma..” pujuk
Eshaq Hakimi terpaksa berbohong. Tidak mungkin dia akan berterus-terang tentang
kerja yang dimaksudkan itu. “Erm, Suzy mana? Kereta ada.” Cepat-cepat dia
mengalih topik sambil menuang lagi jus oren ke dalam gelasnya.
“Suzy dengan
papa pergi ambik Siti.” jawab Puan
Sri Amna sambil mata tidak lepas membelek pokok bunga kertas warna merah jambu
yang siap dipangkas. Sudah menjadi rutin hujung minggu dia bersama pembantu
rumah akan banyak menghabiskan di sudut halaman itu untuk memanjakan
bunga-bunga yang ditanam. Dan hari itu, sudah tiba untuk membaja.
Eshaq Hakimi
yang sedang minum terus tersedak sebaik mendengar sebaris nama gadis yang
meniti di bibir mamanya. Terimbau kembali kejadian di restoran di mana dia
bertemu dengan Julia sebelum terbang ke Thailand.
“Kau buat apa
dekat sini?” Dengan selamba dia menyambar lengan gadis yang langsung tidak
sedar dia terpacak di hadapan tandas lelaki.
“Err..,
abang.” Gadis itu mendongak. Beradu seketika renungan mereka menyebabkan dia
segera melepaskan pegangan dan cepat-cepat mengalihkan wajah. Berdeham dia
beberapa kali apabila ada debar halus mengetuk ruang dada sebelum soalan yang sama
diulang.
“Er.., ni kan
tempat makan.” jawab gadis itu menyebabkan bibir diketap rapat. Rasa tersindir
dengan soalan sendiri.
“Dengan
siapa?” Sedaya upaya dia mengawal nada. Tidak berperasaan.
“Er.., Siti
dengan Suzy.” Tergagap-gagap gadis menjawab tanpa mengangkat wajah lagi. Dia
yang tidak senang hati gadis itu langsung tidak memandang, kembali menyentuh
lengan berlapik baju kurung itu tanpa berfikir panjang.
“Kau, kalau
bercakap, pandang muka aku boleh tak?” Tekannya sedikit geram menyebabkan gadis
itu mengangkat sedikit wajah namun mata tidak pun dihalakan ke wajahnya. Dia
merengus sebelum kembali melepaskan lengan gadis itu. “Mana Suzy?” Soalnya
serius.
“Dekat depan
sana.” Gadis itu menunjuk ke arah yang dimaksudkan dengan ibu jarinya.
Mata Eshaq
Hakimi menyorot sama ke arah yang ditunjukkan. “Siapa lelaki tu?” Laju dia
menyoal apabila perasan ada seorang lelaki yang duduk bersama-sama tiga gadis
termasuk adiknya di meja yang dimaksudkan.
“Kawan.”
Eshaq Hakimi
mengerutkan dahi. Kurang yakin dengan jawapan yang diberi. Dari pandangan
matanya dia yakin lelaki yang dimaksudkan sebagai kawan itu mempunyai hubungan
istimewa dengan salah satu daripada gadis di situ. Dari cara mereka berbual,
dia tahu ada kemesraan yang sudah lama terjalin.
“Erm.., abang
Kimi, Siti masuk toilet dulu.” ujar
gadis itu sebelum dia kembali berpaling.
“Aku belum
habis lagi cakap dengan kau.” balasnya dingin.
“Abang nak
cakap apa? Erm, kalau pasal ganti
rugi tu, boleh tak kalau Siti bayar lepas habis exam nanti? Habis aje exam
Siti cari kerja.”
“Ada aku kata,
suruh kau bayar pakai duit ke sebelum ni?” Sebenarnya dia hampir terlupa akan
ganti rugi yang masih belum dituntut itu.
“Shaq, kenapa
ni? Lama I tunggu sorang-sorang.” Celah Datin Julia yang
tiba-tiba muncul lalu dengan selamba memaut mesra lengannya menyebabkan
perbualan mereka tamat begitu sahaja. Dan sebelum keluar dari restoran, dia
perasan adiknya sedar akan kelibatnya di situ bersama Julia.
“Dah kenapa
kamu Kimi? Dekat Penang tak dapat fresh
orange ke sampai tersedak macam tu?” Tegur Puan Sri Amna sambil
menghulurkan kain bersih yang ada di situ.
Eshaq Hakimi
tersenyum payau sebelum dia mengelap mulutnya. Baju-t putih yang dipakai sudah
bertompok warna oren. Cepat sahaja dia menanggalkan baju yang tersarung. “Erm..,
ambik ‘adik kesayangan’ Kimi tu dari
mana ma?” Soalnya berbasa-basi demi mengawal perasaannya sendiri. Debar halus
yang masih belum dikenal pasti itu kembali lagi menyapa.
Puan Sri Amna
sempat menghadiahkan jelingan sebaik anak lelakinya itu menekankan perkataan
‘adik kesayangan’ sebelum membalas. “Kan ummi dia sakit.” jawabnya sambil
menyambut sarung tangan yang dihulurkan oleh Mak Lijah. “Hm.., sebenarnya dia
nak tidur sana jaga ummi dia. Tapi mama yang tak bagi. Biar dia berulang dari
rumah ni kalau dia nak pergi tengok ummi dia. Itu yang Suzy dengan papa pergi
jemput tu.” lanjutnya tanpa dipinta.
Kasih dan
sayangnya sudah tumpah buat Siti Shafura hingga tidak sanggup membiarkan gadis
itu tidur dalam keadaan tidak selesa di pusat penjagaan khas itu. Cuma, dia
tidak dapat menghalang apabila Siti Shafura tetap bertegas mahu tinggal di
pusat jagaan untuk menjaga umminya yang sakit sementara menanti kertas
peperiksaan yang terakhir. Dan malam nanti, akan menjadi malam terakhir gadis
itu bermalam di situ.
Kerutan masih
kekal di dahi Eshaq Hakimi. “Erm.. Bukan ke makcik dia ada. Kenapa dia nak
susah-susah tidur sini pulak ma?” Soalnya
lagi yang tahu gadis itu masih mempunyai ahli keluarga lain.
Puan Sri Amna
menjeling lagi ke wajah anak sulungnya. Kali ini lebih tajam berbanding tadi
kerana tidak menyenangi apa yang terucap. “Kenapa Kimi tanya macam tu? Mama
yang nak dia duduk sini. Bukan dia yang beria sangat nak tinggal dengan kita.” jawabnya
sedikit geram.
Kehadiran Siti
Shafura dalam keluarganya seperti memberi satu sinar baru dalam hidup mereka
sekeluarga. Dia dan suami semakin sedar akan hakikat hidup di dunia. Anak
bongsunya seorang yang agak sosial sebelum ini, sudah semakin jauh berubah. Dan
satu lagi harapan yang masih belum tercapai adalah dengan keadaan anak
sulungnya itu. Terlalu sukar untuk dikawal. Dia perasan anak sulungnya itu
semakin jauh dari keluarga. Lebih suka melakukan hal sendiri. Cuma sejak
akhir-akhir itu dia baru perasaan ada sedikit perubahan yang berlaku.
Eshaq Hakimi
tersenyum kecil. Tahu yang dia sudah tersalah bicara. Lupa yang Siti Shafura
sudah menjadi anak kesayangan keluarganya. “Alah mama... Kimi tanya aje. Tu pun
nak marah.” cuba berseloroh.
“Tak adalah
marah… Mulut Kimi tu jaga-jaga sikit kalau bercakap. Siti Shafura bukan macam
kita. Keadaan dia tak sama dengan kita Kimi.” tegas Puan Sri Amna sekadar ingin
mengingatkan.
Dia bersimpati
dengan nasib yang menimpa Siti Shafura. Mereka sekeluarga bersedia membantu
sekiranya gadis itu memerlukan bantuan. Tetapi dia tahu Siti Shafura bukanlah
seorang yang mudah menerima bantuan orang lain melainkan jika benar-benar
memerlukan.
“Sama aje ma…”
jawab Eshaq Hakimi selamba.
Puan Sri Amna
yang sedang mencabut anak rumput di salah sebuah pasu bunganya, menoleh.
“Tak payahlah
pandang Kimi macam nak telan ma. Kimi gurau ajelah..” Cepat-cepat Eshaq Hakimi
beralah.
Puan Sri Amna
ketap bibir. Geram dengan keceloparan mulut anak sulungnya itu. Memang dari
kecil mulut Eshaq Hakimi petah berkata-kata. Ada sahaja jawapan yang akan
diberi. “Hah.. Kamu tu, kalau mama tak call,
jangan harap nak balik kan? Sibuk sangat ke kerja sampai tak sempat balik sini?
Bukan jauh pun.” getusnya terus menukar topik lain pula. Sengaja mencari topik
yang lebih sesuai dibualkan walaupun dia sudah tahu reaksi anaknya itu nanti.
“Janganlah
mulakan ma… Kimi penatlah.. Kan Kimi dah balik ni. Bukan Kimi langsung tak
balik kan?” Keluh Eshaq Hakimi yang mula tunjuk wajah bosan. Topik wajib mama
jika dia pulang ke vila. Belum lagi soal ambil alih syarikat yang akan
diutarakan oleh papanya.
“Bulan lepas,
sekali aje Kimi balik sini.” sindir Puan Sri Amna selamba.
“Bulan lepas
Kimi banyak kerja luar ma.” jawab Eshaq Hakimi malas yang sudah berkira-kira
ingin masuk ke dalam rumah. Dia lebih sanggup terperap di dalam bilik dari menghadap
mama yang akan sentiasa cuba mencari kesalahannya.
“Hah! Nak ke mana
pulak tu? Mama baru cakap sikit Kimi
dan nak lari. Belum lagi papa yang cakap.” tingkah Puan Sri Amna sambil
mencekak pinggang.
“Mama ni saja ajelah…”
rungut Eshaq Hakimi yang sedia berdiri terpaksa kembali duduk.
Serentak itu
juga kereta Tan Sri Kamil masuk ke perkarangan vila. Mata masing-masing terhala
ke arah Camry hitam yang berlalu. Kelibat papanya bersama dua orang gadis, kelihatan
sebaik kereta berhenti di bawah garaj. Papa terus melangkah masuk ke dalam
rumah manakala dua gadis itu beriringan ke mendapatkan mereka. Dia tidak lepas
memandang Siti Shafura yang kian mendekat.
“Assalamualaikum
mama.” ucap Siti Shafura lembut seraya menyalami tangan Puan Sri Amna tanda
hormat. Diikuti dengan Suzila.
“Mama, mimpi
apa pulak putera raja mama ni balik?”
Sindir Suzila sengaja mahu mengusik abangnya yang turut sama ada di situ.
Puan Sri Amna
hanya mengangkat kedua-dua bahunya dengan bibir menguntum senyum mengusik
kepada anak bujangnya yang sudah berubah riak.
Siti Shafura saat
itu hanya merendahkan pandangan. Tidak berani memandang ke arah Eshaq Hakimi
yang terdedah aurat.
“Nak sindir la
tu!” rungut Eshaq Hakimi sedikit geram.
Suzila menjuihkan
bibir sebelum meminta sarung tangan dari Mak Lijah untuk membantu sama. Memang
sudah menjadi minatnya untuk membantu jika berpeluang.
“Er… Mama,
boleh Siti masuk dulu? Siti belum solat asar tadi. Nanti Siti tolong mama.” ujar
Siti Shafura yang tidak selesa berlamaan di situ dengan pandangan tajam Eshaq
Hakimi.
“Siti tak
payahlah tolong mama. Mama tahu Siti penat. Pergilah masuk.” balas Puan Sri Amna
lembut.
“Siti masuk
dulu ma.. Suzy, saya masuk dulu tau.” kata Siti Shafura lagi sebelum berlalu.
“Okey Siti!”
Senang Suzila membalas walaupun mata tidak lagi ke arah sahabatnya itu.
Eshaq Hakimi yang
hanya memerhati, ligat mencari idea untuk mengusik ‘adik kesayangan’nya itu. “Adik
kesayangan!” Panggilnya kepada Siti Shafura yang sudah menjauh.
Siti Shafura memberhentikan
langkah dan berpaling. Cukup kenal dengan suara yang memanggil memandangkan
hanya seorang sahaja yang menggelarnya begitu.
“Nak masuk
rumah kan?”
Siti Shafura
menganggukkan kepala.
“Tolong ambik beg abang dalam kereta tu bawak masuk dalam bilik sekali eyh?” Ujar Eshaq Hakimi yang sudah
sembunyi senyum.
“Abang! Jangan
nak buli Siti ya!” Celah Suzila yang sudah mencekak pinggang.
“Alah! Mintak tolong pun tak boleh ke? Bukan
berat pun.” balas Eshaq Hakimi selamba.
“Suzy, tak apa.
Saya boleh buat. Bukan susah.” sahut Siti Shafura cepat. Dia tidak mahu
adik-beradik itu bertikam lidah kerananya pula. Lebih-lebih lagi apabila di
hadapan ibu angkatnya.
Puan Sri Amna hanya
menggelengkan kepala walaupun sebenarnya dalam diam, dia senang dengan apa yang
berlaku. Dia mahu Eshaq Hakimi dan Siti Shafura dapat bergaul mesra.
“Mengada betul abang ni! Angkatlah
sendiri. Sibuk aje suruh Siti!” Gerutu Suzila geram. Mujur dia masih sedar yang
mamanya ada sama. Jika tidak, pasti hal di restoran minggu lalu sudah diungkit.
“Eleh! Adik
kesayangan abang tu okey aje.. Suzy pulak
bising!” Eshaq Hakimi tidak mahu mengalah. Kini, semenjak ada Siti Shafura
dalam hidup mereka, dia sering bertekak dengan adiknya itu walaupun hanya
kerana perkara kecil.
Suzila ketap
bibir. Anak rumput yang sudah dicabut tadi sempat dicampak ke arah abangnya
yang ingin beredar.
“Hoi!” Marah
Eshaq Hakimi apabila sisa tanah dari akar anak rumput itu mengenai tubuh.
Suzila menjelirkan
lidah mengejek.
Kini giliran Eshaq
Hakimi pula ketap bibir sebelum mengatur langkah ke arah Suzila kerana ingin
membalas.
“Mama, tengok abang
ni!” Suzila kelam-kabut menyorok di belakang Puan Sri Amna.
“Hish!
Budak-budak ni! Tak malu ke Siti tengok tu.” Marah Puan Sri Amna sambil
menunjuk ke arah anak angkatnya yang memerhati.
Siti Shafura ketawa
kecil. Entah kenapa hatinya terhibur melihat gelagat Eshaq Hakimi dan Suzila.
Terasa seperti dia mempunyai adik-beradik.
Eshaq Hakimi
yang memandang ke arah Siti Shafura telan liur tiba-tiba. Dia ternampak lekuk
di kedua-dua belah pipi gadis itu buat kali pertama dalam hidupnya. Entah
kenapa debar halus yang muncul di hatinya tadi kini kian berubah rentak.
“Abang! Jangan
nak pandang Siti lama-lama. Pandangan pertama rezeki. Kali kedua nafsu! Berdosa
bang.” tegur Suzila dengan suara yang sengaja dikuatkan kerana mahu sahabatnya
itu mematikan tawa. Dia faham akan maksud pandangan abangnya tadi.
Eshaq Hakimi segera
mengawal riak. Dia kembali ke gazebo untuk mengambil baju-tnya tadi dan ingin
segera masuk ke dalam rumah. Hati mula berperang dengan perasaannya sendiri.
Belum pernah dia berperasaan begitu dengan mana-mana perempuan selama ini. Termasuklah
bekas kekasih yang telah curang dengannya dahulu. “Ada bas ada lori. Nanti abang
balas, sorry, jangan harap Suzy boleh
lari.” sempat dia berkata sebelum dia berlalu.
“Er, abang…
Biarlah Siti tolong angkatkan beg.” tutur Siti Shafura saat Eshaq Hakimi
melewatinya.
Eshaq Hakimi
berhenti namun tidak berpaling. Terasa segan sebenarnya dengan keadaannya yang
tidak berbaju untuk menatap wajah Siti Shafura walaupun hatinya mendesak. “Suka
hatilah.” jawabnya ringkas sebelum terus berlalu ke dalam rumah.
Siti Shafura
mengukir senyum kecil. Sebenarnya dia ingin sekali berbaik-baik dengan Eshaq
Hakimi sebagaimana dia berbaik dengan Qayyum dan Izzat Fakhri walaupun
sebenarnya masih ada urusan yang masih belum selesai di antara mereka. Dia
tidak mahu kekok berhadapan dengan lelaki itu kerana ingin menganggap Eshaq
Hakimi sebagai abangnya sendiri. Seperti mana dia menganggap Qayyum dan Izzat
Fakhri. Tidak lebih dari itu.
Senyum
manisnya melebar saat membuka pintu kereta yang tidak berkunci itu. Aroma yang
cukup menenangkan menyapa rongga hidung seperti mana saat Eshaq Hakimi
melewatinya tadi. Beg pakaian yang tidak sebesar mana di tempat duduk belakang terus
dicapai sebelum terus masuk ke dalam rumah.
Saat kaki
berhenti betul-betul di hadapan bilik Eshaq Hakimi yang terbuka, dia
teragak-agak untuk melangkah kerana risau dianggap menceroboh hak peribadi
lelaki itu.
“Yang kau
tercegat depan pintu tu kenapa? Kau nak campak aje beg aku dari luar tu ke?” Sergah
Eshaq Hakimi tidak bernada yang sedang terbaring di tengah katil. Memang
sengaja dia membuka luas pintu biliknya untuk membenarkan gadis itu masuk.
Belum pernah dia membenarkan mana-mana perempuan masuk ke biliknya sebelum ini
kecuali isi rumah. Itu pun di atas kebenarannya sahaja.
Siti Shafura
tersenyum kelat. Terasa kurang manis gadis sepertinya masuk ke bilik seorang
lelaki yang bukan mahramnya. Terutamanya di rumah keluarga angkatnya itu. Risau
akan pandangan serong Tan Sri Kamil dan Puan Sri Amna kepadanya nanti. Dengan
istighfar di hati berserta bismillah, dia melangkah masuk. Dia belajar
tenangkan hatinya untuk berhadapan dengan lelaki itu.
“Erm, abang
nak Siti letak dekat mana beg ni?” ucapnya sehabis tenang. Seperti tadi, dia
sedaya upaya menjaga pandangan mata.
Eshaq Hakimi
menegakkan tubuh. Mata terhala ke wajah Siti Shafura yang berdiri tidak jauh
dari muka pintu. Walaupun hati dilanda suatu perasaan yang dia sendiri tidak
pasti, akalnya masih cuba mencari helah agar gadis itu lebih lama di situ.
Belum puas lagi matanya menjamah wajah yang manis bertudung itu. “Erm.., keluarkan
semua baju dalam tu. Lepas tu, asingkan baju putih dengan yang berwarna masuk dalam
bakul sana tu.” arahnya selamba sambil menunjukkan ke arah sebuah bakul baju
berhampiran pintu bilik air.
Siti Shafura
mengerutkan dahi tidak faham akan arahan yang diberi. Beg pakaian lelaki itu
masih lagi kemas dipegang. Dia ragu-ragu sama ada mahu melakukan seperti yang
diarahkan ataupun tidak.
“Kimi.”
Tegur satu
suara membuatkan mata kedua-duanya terhala ke muka pintu.
“Papa.” Siti
Shafura mula tidak sedap hati melihat bapa angkatnya sudah melemparkan renungan
tajam.
“Kenapa ni?” Tanya
Kamil mendatar. Serius wajahnya memandang pasangan di hadapannya itu.
“Er.. Siti
tolong hantar beg Abang Kimi.” Akui Siti Shafura jujur.
“Letak aje beg
dia dekat situ, Siti balik bilik. Tadi Siti kata belum solat asarkan? Asar dah
nak habis ni.” tegas Kamil. Kurang senang dengan panorama yang terhidang di
hadapan mata tuanya.
“Er… ialah.”
Siti Shafura mengukir senyum nipis kepada bapa angkatnya itu. “Abang, Siti letak
dekat sini. Sorry..” sambungnya seraya
meletakkan beg pakaian tersebut tadi di atas sofa panjang sudut bilik sebelum
berlalu.
Eshaq Hakimi
tidak menjawab. Sebaliknya pandangan tajam sahaja sempat dilemparkan kepada
Siti Shafura yang menapak keluar dari biliknya. Kemudian matanya cepat
dialihkan apabila bertemu dengan mata papanya.
“Kimi dah
solat?” Soal Kamil tegas seperti tadi.
“Erm, belum.”
jawab Eshaq Hakimi jujur. Memang dia belum bersolat asar. Bukan sahaja solat
asar, satu hari itu tiada solat pun yang dilakukan.
“Habis tu,
tunggu apa lagi? Dah dekat enam setengah ni.”
“Iaa pa..” Eshaq
Hakimi terus turun dari katil dan menapak ke almari untuk mengambil tuala.
Dengan tujuan dia boleh berlamaan di dalam bilik air nanti tanpa perlu papanya
menunggu dia bersolat.
Sebaik masuk
dalam bilik air, pancuran air terus dibuka dan dia berdiri tegak di hadapan
cermin besar yang ada. Terdengar pintu ditutup, dia tahu papa sudah
meninggalkan biliknya. Nafas lega dilepaskan sebelum dia keluar kembali. Lega
kerana dia tidak perlu berhadapan dengan papanya.
Tubuhnya
dihempas ke tengah katil semula. Tanpa sedar bibir mengoyak senyum apabila
teringat kembali wajah manis Siti Shafura. Rancangan untuk mengusik gadis itu
tidak menjadi apabila papanya muncul tanpa dijangka. Senyuman semakin melebar
apabila merasakan ada lagi masa untuk terus mengusik gadis itu.
9 comments:
ini yng dikatakan diam2 jatuh cinta....bila lak nak sambung ni...hari2 akak terjah....
nakal abg kimi ni
achaaaa cecepat jd buku ye
(:
suka sgt part bau-wangi-mendebarkan-hati-siti tu...jgn lupakan part tu lagi dlm n3-n3 lain...
>>k<<
Likewise Akak pun selalu check, ada masukkan untuk hari ini. Perbezaan timing buat teruja, kami di zurich pukul 8pagi bangun minum kopi on PC check.
Tiap2 pagi waktu Zurich 8 pagi minum kopi anak ke sekolah check PC ada tak masukkan. Bila nak sambung lagi ni. tak sabar lah
Bella
Sis, adehh nanti sis. Hee
Maylin
Doakan dear!
Sis anonymous
Adehh jauhnya. Thanks ya.. :)
K- amboii kkkk.. haha
Nak sambung tak puas bab kimi n siti.dlm hati ada taman .....best
Hari hari check blog nie, perasaan ingin tahu kisah Siti & Abang
Post a Comment