May 12, 2014

BMJM_bab 7_edited version


“Siti, awak okey ke?” Suzila menyentuh lembut jemari halus sahabatnya itu. Dia perasan akan ketidakceriaan wajah Siti Shafura sejak gadis itu mengadu cincin pemberian ummi hilang. Ditambah pula dengan keadaan ummi yang kian uzur.

Siti Shafura tersenyum. Tetapi tidak semanis biasa. Mata dihalakan ke sekitar kafe yang mula dipenuhi penghuni kampus.

“Awak belum jumpa ya cincin awak yang hilang tu?” tanya Suzila lagi.

Siti Shafura menggeleng perlahan. Sudah puas dia mencari cincin tersebut di rumah ibu saudaranya dan di hostel. Tidak pasti kali terakhir dia menanggalkan cincin tersebut.

“Erm.., kalau sebab cincin, awak macam ni, nanti kita pergi rumah Abang Kimi. Agaknya tercicir dekat sana. Kan awak solat dekat bilik dia hari tu. Biar saya call dia kejap.” cadang Suzila seraya mengeluarkan telefon.

“Eh, tak payahlah Suzy. Susahkan abang aje nanti.” Cepat Siti Shafura menghalang. Tidak mahu melibatkan Eshaq Hakimi pula memandangkan masih ada urusan di antara mereka yang belum selesai. Tambahan pula dia tahu lelaki itu terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mungkin ada masa mahu mencari cincinnya yang hilang.

“Apa pulak susahnya. Bukan suruh bayar pun. Nanti abang mesti carikan. Awak jangan risau okey?” Balas Suzila yang terus mendail nombor telefon Eshaq Hakimi. Dia terus bangun menjauhi Siti Shafura memandangkan suasana kafe itu agak bising. Setelah beberapa minit, baru dia kembali semula ke tempatnya.

“Siti, abang kata dia suruh kita cari sendiri. Dia tengah sibuk sekarang ni. Selalu lambat balik. Ikmal tak tahu sampai pukul berapa. Papa saya hantar dia pergi Johor semalam..” Beritahu Suzila.

“Hm.., kalau macam tu, tak payah carilah Suzy. Agaknya memang tak ada dekat rumah abang. Kalau ada, mesti abang dah bagi tahu.” Siti Shafura tidak meletak harapan. Reda jika tiada rezeki untuk menyimpan pemberian umminya itu lagi.

“Awak janganlah macam tu Siti. Sebelum tawakal, kita kena berusahakan? Tak apa, kita pergi cari ajelah dulu. Kalau tak ada, tu belakang kira. Awak jangan risau okey? Abang dah bagi green light, nanti sebelum saya hantar awak balik rumah mak cik awak, kita singgah rumah abang. Saya tak bolehlah tengok awak macam ni..” balas Suzila menenangkan.

Siti Shafura memaniskan senyum. Syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana dikurniakan seorang sahabat yang begitu prihatin dan memahami. Walaupun cincin yang hilang itu tidak setinggi mana harganya, namun ia begitu bermakna buatnya memandangkan itulah satu-satunya pemberian ummi sebelum wanita itu sakit. Kata umi, itu cincin pernikahan bersama arwah walidnya dahulu.

“Terima kasih Suzy. Awak dah banyak tolong saya.” ucapnya kemudian merendah diri. Dia terlalu bersyukur kerana setiap kesulitan yang dialami, akan ada petunjuk yang Allah berikan kepadanya.

“Ala.., apa sangatlah yang saya tolong awak Siti. Awak lagi dah banyak tolong saya dengan kawan-kawan. Macam-macam yang dah awak ajar tau. Takkan saya tak boleh tolong awak. Awak dah lupa? Awakkan adik-beradik saya jugak.” balas Suzila dengan senyuman manis seraya memaut bahu sahabatnya itu. Dia terlalu sayangkan Siti Shafura. Teringat kata-kata mamanya yang cukup berkenan dengan Siti Shafura dan berangan ingin menjadikan gadis itu sebagai calon menantu.

“Terima kasih Suzy. Saya tak tahu nak balas macam mana…”

“Erm.., awak boleh balas.” Suzila mengukir senyum nakal.

“Macam mana?”

“Awak jadi kakak ipar saya nak?” Terangkat-angkat kening Suzila.

“Awak ni Suzy, suka sangat berguraulah. Siapalah saya. Tak sesuai dengan abang awak tu.” Tutur Siti Shafura bersama senyuman nipis. Dia sedar akan kedudukannya.

“Apa yang tak sesuai? Cuba awak cakap dengan saya..” Balas Suzila yang masih setia dengan senyuman. Sebenarnya dia maksudkan dengan apa yang terluah di bibirnya sebentar tadi.

“Ialah. Saya tengok cara hidup dia.., err…” Siti Shafura tidak jadi meneruskan kata. Tahu sekiranya dia meneruskan kata, seperti mengumpat pula. Lagi pula, tidak mahu sahabatnya itu terasa hati.

Daripada jawapan yang telah diberi oleh Eshaq Hakimi tentang tugasan mereka, dia sebenarnya kurang percaya dengan cara hidup ‘abang’nya itu. Ini kerana cara hidup keluarga Suzila sudah cukup mewah. Dia berasakan tiada perlunya Eshaq Hakimi untuk hidup mewah atas rezeki yang agak meragukan keberkatannya. Terutamanya apabila ada salah satu soalan mereka berkenaan tugasan gigolo tersebut menyentuh tentang hubungan intim. Jawapan Eshaq Hakimi yang mengiakan soalan itu membuatkan dia yakin lelaki itu tidak terkecuali dalam perbuatan terkutuk itu demi mendapatkan habuan yang diidamkan.

Menjalinkan hubungan seks merupakan salah satu perkhidmatan yang sanggup ditawarkan kepada mereka-mereka yang terlibat hanya kerana bayaran yang diberi cukup lumayan. Ada di antara wanita yang mendapatkan khidmat gigolo ini, semata-semata ingin memuaskan nafsu semata-mata. Dan yang paling mengejutkan, kebanyakan wanita yang terlibat pula merupakan yang berstatus isteri selain mempunyai profil tinggi dalam masyarakat.

Dia beristighfar sendiri apabila memikirkan perkara itu dilakukan oleh Eshaq Hakimi. Hal halal haram tidak lagi menjadi kepentingan. Terutamanya kepada wanita-wanita yang sanggup mendapatkan khidmat golongan gigolo ini. Sanggup membelakangkan suami kerana nafsu semata. Tidak cukup dengan itu, dengan selamba menghabiskan ribuan ringgit tanpa ada rasa bersalah semata-mata kerana perkara yang jauh menyimpang dari landasan Allah.

“Siti…” Panggil Suzila membuatkan Siti Shafura tersentak kecil. Jauh dia mengelamun memikirkan masalah sosial itu.

Sorry…” ucap Siti Shafura serba salah. Bukan niatnya untuk memperkecilkan Eshaq Hakimi.

It’s okay Siti. Saya faham. Tapi, untung sesiapa yang jadi husband awak Siti.” Ikhlas Suzila memuji tetapi gadis di hadapannya itu hanya tersenyum kecil.

‘Pujian makanan syaitan.’ Itulah yang sering diingatkan oleh Siti Shafura apabila ada di antara mereka memuji atau menyanjung sesuatu. Pujian boleh menyebabkan penyakit hati yang paling kronik dalam diri manusia dan Allah tidak suka manusia yang membangga diri. Pujian hanya berhak buat Maha Pencipta kata Siti Shafura.

“Amboi rancaknya?” Sapa Nadia yang baru sahaja tiba dengan Amylia. Terus mati perbualan antara Suzila dan Siti Shafura.

*******

“Suzy, tak apa ke kita pergi rumah abang ni?” Luah resah hati Siti Shafura. Selepas maghrib mereka berdua bertolak ke rumah Eshaq Hakimi. Nadia dan Amylia pula telah pulang ke rumah masing-masing sejak petang tadi. Selepas pulang dari rumah Eshaq Hakimi nanti, Suzila akan terus menghantarnya pulang ke rumah ibu saudaranya pula.

“Takpalah Siti. Abang saya, abang awak jugak. Kan dia dah suruh kita datang sendiri kan?” Jawab Suzila sambil tersenyum senang.

“Tapi, Ikmal dengan abang awakkan tak ada..” Balas Siti Shafura yang merasakan kurang enak untuk datang ke kondominium mewah itu.

“Awak janganlah risau sangat. Abang kata tadi, malam ni mungkin dia balik lambat jugak. Tapi Ikmal dah on the way..” Terang Suzila.

Siti Shafura mengeluh halus.

Mereka sudah masuk ke kawasan kondominium mewah itu. Seperti biasa pengawal keselamatan membenarkan mereka terus masuk tanpa perlu banyak soal. Kereta diparkirkan.

“Siti, awak naik dulu boleh tak? Saya nak tunggu Ikmal kejap dekat sini. Dia dah dekat sampai. Awak nanti terus aje masuk bilik abang. Dia kata tak kunci pun.” Ujar Suzila sambil mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi Ikmal. Dia ingin memaklumkan yang mereka sudah pun tiba.

“Ala.., tak beranilah saya. Kita naik sekalilah…” Balas Siti Shafura yang sudah mengerutkan keningnya. Suzila pula sudah meletakkan kunci rumah di atas tapak tangannya.

“Sekejap aje saya tunggu Ikmal dekat sini. Awak naiklah dulu. Lepas Ikmal sampai, saya terus naik ya? Awak cari dulu dekat mana awak letak hari tu..” Pujuk Suzila lagi. Padanya tiada apa yang perlu ditakutkan kerana rumah abangnya itu sememangnya kosong.

“Erm.., ialah. Tapi awak cepat naik tau. Nanti saya masuk terus kunci pintu. Awak sampai nanti tekan loceng ya?” Siti Shafura akhirnya terpaksa mengalah. Dia berpesan begitu kerana risau apabila pintu rumah dibiar terbuka sedangkan dia akan leka mencari cincinnya nanti. Pelbagai perkara yang tidak diingin boleh berlaku tanpa sedar. Dengan berat hati dia terus keluar dari kereta dan melangkah ke pintu lif.

Sampai sahaja di muka pintu rumah Eshaq Hakimi, dia cepat sahaja mencapai mangga yang tergantung di pintu gril besi. Gril besi itu dibiar terbuka sebelum dia melangkah ke pintu utama. Menolak sahaja pintu bercat putih itu, alangkah terkejut apabila melihat lampu di ruang tamu sudah terpasang. Hatinya mula terdetik sesuatu yang tidak senang namun cuba ditepis jauh dari menjengah akal.

“Lupa tutup lampu agaknya.” Bisiknya sendirian menyedapkan hati. Zikrullah tidak pernah lekang dari bibirnya walaupun di hati tetap mengundang resah yang tidak ketepian. Langkah terus diatur ke bilik Eshaq Hakimi kerana yakin, hanya di bilik lelaki itu dia menghabiskan masa agak lama selain ruang tamu.

Memulas sahaja tombol pintu, sekali lagi dia terkejut apabila bilik sudah diterangi lampu tidur. Debar mula menjentik tangkai hati apabila berasakan ada orang lain di dalam rumah itu. Dia tidak jadi untuk melangkah apabila melihat lampu bilik air turut terpasang walaupun tiada langsung bunyi yang kedengaran. Dia serba salah untuk masuk. Dengan rasa hati yang kurang enak, tanpa menutup kembali pintu bilik, dia ke ruang tamu. Cuba mencari di situ sementara menanti kehadiran Suzila dan Ikmal.

Hampir sepuluh minit di situ, bayang cincin langsung tidak ditemui. Punggung dilabuhkan sebentar di sofa. Serentak itu bunyi ketukan di pintu berserta loceng rumah kedengaran. Laju dia bingkas kerana yakin Suzila dan Ikmal sudah pun tiba.

“Suzy saya rasa….” Kata-katanya mati sebaik pintu dikuak. Susuk tubuh seorang wanita yang sedang merenung tajam di muka pintu.

Masing-masing terkaku sambil memandang antara satu sama lain sebelum mereka tersedar ada tubuh lain menghampiri. Lekas Siti Shafura menoleh lantas menekup mulutnya yang hampir terlopong dengan kedua-dua belah tapak tangan. Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihat kini. Terasa lemah kedua-dua lututnya. Mahu pitam. Berisitighfar dia berulang kali bagi menenangkan hati yang diamuk resah.

Eshaq Hakimi yang hanya bertuala sedang mencekak pinggang berdiri di belakang Siti Shafura dengan wajah yang tegang. “Apa hal ni?” Mata bersilih ganti memandang Jasmeen dan gadis bertudung di hadapannya.

“Kau buat apa dekat sini?” Soalnya pelik ditujukan kepada Siti Shafura yang menekur lantai. “You pulak, kenapa datang rumah I malam-malam ni?” Soalan lain diajukan terus kepada Jasmeen pula yang sedang menyinga.

Jasmeen tersenyum sinis. “Patutlah you tak nak kahwin dengan I. Macam-macam alasan yang you bagi pada I sebelum ni. Tak sedialah, banyak masa lagilah… Rupanya, dah ada perempuan lain. Berapa banyak pulak yang dia bayar pada you hah Shaq?” Selamba dia menyindir sambil melirik sinis ke arah Siti Shafura. Atas bawah dia memandang gadis itu dengan hati yang terbakar. Tidak menyangka gadis itu yang akan membuka pintu tadi.

“Kalau dia bayar I berapa banyak pun, none of your business!” Eshaq Hakimi turut membalas sindiran. “We are finished! You remember that?!” sambungnya sedikit tinggi.

Jasmeen merengus. “Entah perempuan mana yang you kutip, tak sangka pulak macam ni taste you. Budak hingus macam ni yang you suka!” hamburnya tidak puas hati melihat Siti Shafura yang bertudung labuh. Dia cemburu melihat kecantikan asli yang dimiliki oleh gadis itu.

So what? Dah lah Meen. Pergilah you balik! I tak nak jiran-jiran I tengok you dekat sini.” tingkah Eshaq Hakimi yang tidak menyenangi kehadiran Jasmeen di situ. Setahunya wanita itu tidak pernah menjejakkan kaki di rumahnya sejak mereka berkawan. Tambahan pula dia telah memberi peringatan kepada pengawal keselamatan agar tidak memberi kebenaran kepada sesiapa yang tidak dikenali datang ke rumahnya.

“Yang kau ni pulak, datang dengan siapa? Mana Suzy?” Soalnya kemudian kepada Siti Shafura yang hanya diam menunduk bersandar di tepi dinding.

“Err.., dengan..” Siti Shafura tergagap-gagap menyambung kata apabila melihat dua pasang mata di hadapannya itu sedang merenung tajam.

Jasmeen merengus lagi. “You dah angkut dia duduk dengan you, sekarang you nak berlakon buat-buat tanya dia ke, apa Shaq?” Sindir Jasmeen lagi sambil berpeluk tubuh. Terasa mahu ditelan gadis itu hidup-hidup.

Eshaq Hakimi ketap bibir. Dia mara ke hadapan. “Kalau I angkut dia pun, apa problem you ha? Suka hati I la nak angkut siapa pun! You peduli apa!” tekannya geram dituduh perkara yang tidak pernah dilakukan.

Siti Shafura saat itu hanya mampu melihat pertelingkahan yang berlaku. Sedikit pun tidak berani bersuara melainkan dia terus menerus berdoa agar Suzila dan Ikmal segera tiba.

Jasmeen merengus lagi dengan senyuman sinis. “Dasar lelaki!” kutuknya geram sebelum menolak tubuh Eshaq Hakim di hadapannya untuk mendapatkan Siti Shafura.

Hey Perempuan! Kau buat apa sebenarnya dekat rumah bakal suami aku ni ha?! Kau tahu tak dia akan kahwin dengan aku tak lama lagi!” Jerkahnya tidak sabar sambil menolak kasar tubuh kecil Siti Shafura hingga gadis itu terjelepuk ke lantai belum sempat Eshaq Hakimi menghalang. “Kau ni kan perempuan, nama aje pakai tudung. Tapi datang rumah jantan! Baik kau buang aje tudung kau ni!” Marahnya tidak tertahan seraya menarik tudung kepala Siti Shafura hingga menampakkan aurat yang tersimpan rapi selama ini.

“Meen! You ni dah gila ke apa!” Eshaq Hakimi terus menarik Jasmeen menjauh apabila wanita itu cuba untuk memukul Siti Shafura pula.

“Abang…” rintih Siti Shafura perlahan yang sudah terduduk sambil mencapai semula kain tudungnya yang terdampar di lantai. Terkial-kial dia menyarungkan semula kain tudung itu dengan tangan yang sedikit bergetar.

“Lepaskan I! Biar I ajar perempuan tu hormatkan hak orang lain!” Jasmeen tetap berusaha ingin mendakati Siti Shafura namun Eshaq Hakimi segera menghalang.

Excuse me? Hak apa yang you ada? You jangan nak merepeklah! Baik you pergi balik sebelum I panggil security!” Eshaq Hakimi menolak kasar tubuh Jasmeen agar menjauh. Dia terpaksa berkeras.

“Perempuan tak tahu malu tu yang patut you halau Shaq. Bukannya I!” Marah Jasmeen dengan wajah merah padam.

I said go Meen!” Herdik Eshaq Hakimi dengan perasaan marah yang kian memuncak.

Jameen merengus lagi. Diketap kejap bibirnya. “Patutlah selama ni you tak pernah nak bagi I datang rumah you. Rupanya you ada simpan betina lain. Apa kurangnya I Shaq? You cakap dengan I? Kalau you nak, I boleh bagi Shaq. You tak payah nak simpan betina hodoh macam tu!”

Pang!

Tangan kiri Eshaq Hakimi selamat melayang ke wajah yang tebal dengan solekan itu.

You jaga sikit mulut you tu Meen! You ingat I jantan apa?! Sejahat-jahat I, I bukan bodoh nak buat kerja terkutuk macam tu!” Melengking tinggi suaranya menghamburkan marah yang mencanak.

Jasmeen menggosok pipinya yang terasa hangat. “You lempang I Shaq? Mummy dengan daddy I pun tak pernah nak jentik I tau! Sampai hati you lempang I sebab betina tu..” Balasnya dengan suara yang bergetar.

“Sepatutnya, dari dulu lagi Mummy dengan daddy you lempang muka you tu. Sebab tak pernah kena jentiklah you jadi perempuan macam ni. Naik lemak! Biadab!” Hambur Eshaq Hakimi geram.

Hey Shaq! You jangan nak tunjuk baik macam malaikatlah dengan I. Habis tu, semua yang you buat selama ni elok sangat ke? Kikis duit betina lain, ke hulu ke hilir entah dengan mak datin tak sedar diri mana entah, tu kerja baik ke Shaq? Hah? Entah-entah, dah berapa banyak perempuan you tidur semata-mata sebab duit!” Balas Jasmeen dengan pandangan jengkelnya.

You dengar sini baik-baik Meen..” Eshaq Hakimi menunding jari telunjuknya di hadapan wajah Jasmeen. “You jangan ingat, I tak tahu apa yang you buat dekat belakang I selama ni. Sejahil-jahil I, I belum pernah tidur dengan mana-mana perempuan la! Bukan macam you! Terdesak!” Tingkah Eshaq Hakimi bersama senyuman sinis sebelum berpaling. Ikut panas hati, ringan sahaja tangannya ingin dilayangkan sekali lagi ke mulut Jasmeen yang terlalu biadab menutur kata.

“Memang I akui yang I ni bukan baik. I sanggup temankan mana-mana perempuan, semata-mata sebab duit. Tapi, nafsu I ni belum pernah tergoda dengan perempuan-perempuan tak guna tu semua sebab duit! And for your information, duit yang dia orang bagi dah lebih dari cukup. I tak perlu sampai nak gadai body I semata-mata nak duit dia orang tu. Lainlah macam you! Sanggup gadai body you sebab you tak dapat I!” Hamburnya lagi sepuas hati. Membuka pekung yang disimpan selama ini.  Oleh sebab itu dia tidak pernah terlintas pun untuk mengahwini perempuan seperti Jasmeen. Hubungan yang ada semata-mata mahu mengaburi perbuatannya selama ini.

Jasmeen ketap bibir. Dadanya berombak.

Bro, kenapa ni?” Muncul Ikmal yang baru keluar dari perut lif bersama Suzila. Kedua-duanya terkejut melihat kewujudan Eshaq Hakimi yang bertuala di situ bersama seorang wanita.

“Abang…” seru Suzila perlahan sebelum matanya terhala ke arah sahabatnya terduduk di lantai sambil memeluk kedua-dua belah lutut. Yakin ada perkara buruk yang telah berlaku apabila melihat keadaan sahabatnya begitu. Dilihat wajah itu sudah memucat dengan mata yang memerah.

“Meen, I rasa baik you balik dulu. Tak elok bergaduh macam ni Meen. Malu orang tengok.” Ujar Ikmal lembut cuba menenangkan suasana yang agak tegang itu.

“Huh! You pun samalah Ikmal!” Bentak Jasmeen kasar. “You ingat sini baik-baik Shaq. I takkan lepaskan you macam tu aje. You ingat tu! You dengan perempuan bodoh tu takkan hidup senang!” Ugutnya sebelum berlalu dengan wajah yang merah padam.

“Perempuan gila! Menyusahkan aku aje! Pergi jahanamlah!” Bentak Eshaq Hakimi yang berdengus kasar sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia perasan ada jirannya yang melihat pertengkaran dia dan Jasmeen tadi.

“Suzy ni kenapa nak datang tak call abang dulu?! Pandai-pandai bagi kunci rumah abang pada orang lain!” Marahnya pula pada Suzila sebelum terus masuk ke dalam bilik. Dihempas kuat daun pintu menggambarkan hatinya yang terbakar saat itu.

Terpempan Suzila dan Siti Shafura yang sudah duduk di ruang tamu. Ikmal pula hanya menggelengkan kepala. Faham benar dengan perangai Eshaq Hakimi apabila marah. Ada sahaja yang akan dihempasnya.

“Suzy, awak kata Abang Kimi tahu kita nak datang. Kalau saya tahu dia ada, kita tak payah datang sini.” Siti Shafura bersuara lirih. Terasa ingin menangis namun masih lagi mampu ditahan. Dia kesal dengan apa yang baru sahaja terjadi.

Sorry Siti. Saya tak tahu nak jadi macam ni. Kan saya dah bagi tahu abang kita nak datang. Dia lupa agaknya.” Balas Suzila dalam nada yang sama. Sedih apabila melihat wajah murung sahabatnya itu. Entah apa yang telah abangnya lakukan pada Siti Shafura sebentar tadi. Dia cuba membantu membetulkan kedudukan tudung di kepala sahabatnya itu. “Saya mintak maaf Siti. Kalau bukan sebab saya suruh awak naik sendiri tadi, mesti semua ni tak jadi.” sambungnya serba salah.

Siti Shafura hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyalahkan Suzila. Perkara yang berlaku bukan kehendaknya dan memang sudah ditakdirkan dia bertemu dengan Eshaq Hakimi dan dijerkah oleh wanita yang tidak dikenalinya tadi.

“Suzy, bawaklah Siti masuk bilik abang betulkan tudung dia.” Arah Ikmal yang tidak sampai hati melihat keadaan Siti Shafura yang sedikit serabut. Yakin gadis itu dalam keadaan tidak selesa.

“Jom Siti.” Suzila menarik lengan Siti Shafura dan gadis itu hanya akur.

Saat melewati bilik Eshaq Hakimi, langkah masing-masing terhenti apabila tubuh abangnya tiba-tiba muncul di situ.

“Nak ke mana?” Soalan tidak bernada menyapa.

“Err.., nak tolong Siti betulkan tudung dia bang. Err.., nak tumpang bilik Ikmal kejap..” jawab Suzila takut-takut apabila melihat wajah abangnya yang masih menegang.

“Tak payah guna bilik Ikmal. Guna bilik abang.” kata Eshaq Hakimi berbaur arahan sebelum dia berlalu ke ruang hadapan.

Siti Shafura yang menunduk sejak tadi, mengangkat wajah. Wajah Suzila dipandang dan sahabatnya itu hanya melepaskan keluhan sebelum mereka lambat-lambat melangkah ke bilik yang sedia ternganga. Di situ Siti Shafura mencuci wajah dan membetulkan kain tudung yang direntap kasar wanita yang dipanggil Meen oleh Eshaq Hakimi tadi.

“Siti…” Suzila yang duduk di birai katil memerhati Siti Shafura yang berdiri di hadapan cermin. Ada senyuman hambar di wajah sahabatnya itu. “Siti.., mesti abang dah marah-marah awak tadi kan? Sorry ya Siti…” ucapnya perlahan. Dia sendiri berasa takut apabila berhadapan dengan abangnya yang sedang marah.

“Tak apalah Suzy. Benda dah jadi.” balas Siti Shafura mengendur. Tidak pula dia menyalahkan Eshaq Hakimi atas apa yang berlaku. Semua yang terjadi kerana kesilapan diri sendiri.

Terlayar wajah tegang Eshaq Hakimi di ruang mata. Wajah itu jugalah yang terpamer saat pertama kali mereka bertemu secara tidak sengaja. Hal kehilangan cincin pemberian uminya terpaksa dilupakan. Mungkin memang bukan rezekinya untuk memiliki cincin itu lagi.

Masih terngiang-ngiang lagi tuduhan yang dilemparkan oleh wanita yang ditemui tadi.  Teganya wanita itu merentap tudung yang dipakai kerana rasa cemburu melihat dia di dalam rumah Eshaq Hakimi. Rasa sedih bukan kepalang di dalam hati apabila aurat yang dijaga selama ini menjadi tontonan Eshaq Hakimi secara tidak sengaja.
…………………

“Boleh ke drive ni? Kalau tak, biar abang hantar.” Ikmal prihatin. Agak risau membiarkan dua gadis itu pulang walaupun malam masih muda.
           
           “Tak apalah bang. Abang pun baru sampai. Suzy dengan Siti boleh balik sendiri. Insya-Allah tak ada apa-apa.” jawab Suzila lembut sambil mengerling ke arah sahabatnya yang lebih banyak mendiamkan diri sejak tadi.

“Abang hantar.” Muncul abangnya di situ menyebabkan mereka berpandangan antara satu sama lain. Tadi lelaki itu hanya mendiamkan diri apabila dia memberitahu ingin pulang.

Tanpa sebarang kata yang sempat dibalas, kelibat lelaki itu sudah hilang ke dalam perut kereta yang diparkir selang beberapa kereta dari tempatnya. Keluhan berat dilepaskan.

“Suzy ikut ajelah cakap dia. Angin dia tak berapa baik tu.” Nasihat Ikmal yang sedia faham akan perangai Eshaq Hakimi. Semua arahnnya perlu dituruti.

Suzila mengeluh perlahan.

“Tunggu apa lagi tu?” Eshaq Hakimi sudah memberhentikan kereta di hadapan Swiftnya dengan wajah yang tidak berperasaan. “Cepat jalan!” Tegas.

“Suzy.., jomlah kita balik.” tutur Siti Shafura di sisi.

Suzila mengeluh lagi sebelum mengucap salam kepada Ikmal dan mula meninggalkan ruang parkir apabila abangnya memberi laluan.


9 comments:

Bella Daud said...

bila nak bukukan citer ni...x sabar nak baca full storyyyyy....

MaY_LiN said...

achaaaaa
nk lg
nk lg

arsha said...

Andailahh saya punya kuasa untuk bukukan.. adehh

kak edah said...

Tak sabo juga arsa nak peluk bmjm.iam waiting .....

kak na said...

yeahhhh buku kn tau
kami tunggu...
kali ni akak nk BELI

Anonymous said...

I don`t mine kalau do it e-booking pun OK lagi cepat untuk kami yg duduk jauh. Untuk buku sampai ke switzerland tks time.

sal miza said...

Kak Arsha, da lama tunggu novel ni kak. Suka time diaorg da kawen dulu walaupun niat kawen tu cuma sebab nak menghalalkan apa yg haram. :) cepat2 la boleh kuar novel...

arsha said...

Anonymous

Jauh perjalanan tu.. huu
Mula2 mmg nk buat ebook. Tapi, sebab dah hntar nilai.. maaf..

Kak Edah, kakna, Sal miza

InsyaAllah. Doakan! Thanks!

Anonymous said...

Ahhh kak acha....sian Pureen. Maluuuunyaaaa..saya tau macamana rasa bila aurat kita tanpa sengaja dilihat org lain. Esp ajnabi. Huwaa..maluu. Sian Pureen :( Nak BMJM kak acha..nak beli..huhu. Sabar menunggu.