“Siti, awak okey
ke?” Suzila menyentuh lembut jemari halus sahabatnya itu. Dia perasan akan
ketidakceriaan wajah Siti Shafura sejak gadis itu mengadu cincin pemberian ummi
hilang. Ditambah pula dengan keadaan ummi yang kian uzur.
Siti Shafura tersenyum. Tetapi tidak semanis biasa. Mata dihalakan
ke sekitar kafe yang mula dipenuhi penghuni kampus.
“Awak belum jumpa ya cincin awak yang hilang tu?” tanya Suzila lagi.
Siti Shafura menggeleng perlahan. Sudah puas dia mencari cincin
tersebut di rumah ibu saudaranya dan di hostel. Tidak pasti kali terakhir dia
menanggalkan cincin tersebut.
“Erm.., kalau sebab cincin, awak macam ni, nanti kita pergi rumah
Abang Kimi. Agaknya tercicir dekat sana. Kan awak solat dekat bilik dia hari tu.
Biar saya call dia kejap.” cadang
Suzila seraya mengeluarkan telefon.
“Eh, tak payahlah Suzy. Susahkan abang aje nanti.” Cepat Siti
Shafura menghalang. Tidak mahu melibatkan Eshaq Hakimi pula memandangkan masih
ada urusan di antara mereka yang belum selesai. Tambahan pula dia tahu lelaki
itu terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mungkin ada masa mahu mencari
cincinnya yang hilang.
“Apa pulak susahnya. Bukan
suruh bayar pun. Nanti abang mesti carikan. Awak jangan risau okey?” Balas
Suzila yang terus mendail nombor telefon Eshaq Hakimi. Dia terus bangun
menjauhi Siti Shafura memandangkan suasana kafe itu agak bising. Setelah
beberapa minit, baru dia kembali semula ke tempatnya.
“Siti, abang kata dia suruh kita cari sendiri. Dia tengah sibuk
sekarang ni. Selalu lambat balik. Ikmal tak tahu sampai pukul berapa. Papa saya
hantar dia pergi Johor semalam..” Beritahu Suzila.
“Hm.., kalau macam tu, tak payah carilah Suzy. Agaknya memang tak
ada dekat rumah abang. Kalau ada, mesti abang dah bagi tahu.” Siti Shafura
tidak meletak harapan. Reda jika tiada rezeki untuk menyimpan pemberian umminya
itu lagi.
“Awak janganlah macam tu Siti. Sebelum tawakal, kita kena
berusahakan? Tak apa, kita pergi cari ajelah dulu. Kalau tak ada, tu belakang
kira. Awak jangan risau okey? Abang dah bagi green light, nanti sebelum saya hantar awak balik rumah mak cik
awak, kita singgah rumah abang. Saya tak bolehlah tengok awak macam ni..” balas
Suzila menenangkan.
Siti Shafura memaniskan senyum. Syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana
dikurniakan seorang sahabat yang begitu prihatin dan memahami. Walaupun cincin
yang hilang itu tidak setinggi mana harganya, namun ia begitu bermakna buatnya
memandangkan itulah satu-satunya pemberian ummi sebelum wanita itu sakit. Kata
umi, itu cincin pernikahan bersama arwah walidnya dahulu.
“Terima kasih Suzy. Awak dah banyak tolong saya.” ucapnya kemudian
merendah diri. Dia terlalu bersyukur kerana setiap kesulitan yang dialami, akan
ada petunjuk yang Allah berikan kepadanya.
“Ala.., apa sangatlah yang saya tolong awak Siti. Awak lagi dah
banyak tolong saya dengan kawan-kawan. Macam-macam yang dah awak ajar tau.
Takkan saya tak boleh tolong awak. Awak dah lupa? Awakkan adik-beradik saya jugak.” balas Suzila dengan senyuman
manis seraya memaut bahu sahabatnya itu. Dia terlalu sayangkan Siti Shafura.
Teringat kata-kata mamanya yang cukup berkenan dengan Siti Shafura dan berangan
ingin menjadikan gadis itu sebagai calon menantu.
“Terima kasih Suzy. Saya tak tahu nak balas macam mana…”
“Erm.., awak boleh balas.” Suzila mengukir senyum nakal.
“Macam mana?”
“Awak jadi kakak ipar saya nak?” Terangkat-angkat kening Suzila.
“Awak ni Suzy, suka sangat berguraulah. Siapalah saya. Tak sesuai
dengan abang awak tu.” Tutur Siti Shafura bersama senyuman nipis. Dia sedar
akan kedudukannya.
“Apa yang tak sesuai? Cuba awak cakap dengan saya..” Balas Suzila
yang masih setia dengan senyuman. Sebenarnya dia maksudkan dengan apa yang
terluah di bibirnya sebentar tadi.
“Ialah. Saya tengok cara hidup dia.., err…” Siti Shafura tidak jadi
meneruskan kata. Tahu sekiranya dia meneruskan kata, seperti mengumpat pula.
Lagi pula, tidak mahu sahabatnya itu terasa hati.
Daripada jawapan yang telah diberi oleh Eshaq Hakimi tentang tugasan
mereka, dia sebenarnya kurang percaya dengan cara hidup ‘abang’nya itu. Ini
kerana cara hidup keluarga Suzila sudah cukup mewah. Dia berasakan tiada
perlunya Eshaq Hakimi untuk hidup mewah atas rezeki yang agak meragukan
keberkatannya. Terutamanya apabila ada salah satu soalan mereka berkenaan
tugasan gigolo tersebut menyentuh tentang hubungan intim. Jawapan Eshaq Hakimi
yang mengiakan soalan itu membuatkan dia yakin lelaki itu tidak terkecuali
dalam perbuatan terkutuk itu demi mendapatkan habuan yang diidamkan.
Menjalinkan hubungan seks merupakan salah satu perkhidmatan yang
sanggup ditawarkan kepada mereka-mereka yang terlibat hanya kerana bayaran yang
diberi cukup lumayan. Ada di antara wanita yang mendapatkan khidmat gigolo ini,
semata-semata ingin memuaskan nafsu semata-mata. Dan yang paling mengejutkan,
kebanyakan wanita yang terlibat pula merupakan yang berstatus isteri selain
mempunyai profil tinggi dalam masyarakat.
Dia beristighfar sendiri apabila memikirkan perkara itu dilakukan
oleh Eshaq Hakimi. Hal halal haram tidak lagi menjadi kepentingan. Terutamanya
kepada wanita-wanita yang sanggup mendapatkan khidmat golongan gigolo ini. Sanggup
membelakangkan suami kerana nafsu semata. Tidak cukup dengan itu, dengan
selamba menghabiskan ribuan ringgit tanpa ada rasa bersalah semata-mata kerana
perkara yang jauh menyimpang dari landasan Allah.
“Siti…” Panggil Suzila membuatkan Siti Shafura tersentak kecil. Jauh
dia mengelamun memikirkan masalah sosial itu.
“Sorry…” ucap Siti Shafura
serba salah. Bukan niatnya untuk memperkecilkan Eshaq Hakimi.
“It’s okay Siti. Saya
faham. Tapi, untung sesiapa yang jadi husband
awak Siti.” Ikhlas Suzila memuji tetapi gadis di hadapannya itu hanya tersenyum
kecil.
‘Pujian makanan syaitan.’ Itulah yang sering diingatkan oleh Siti
Shafura apabila ada di antara mereka memuji atau menyanjung sesuatu. Pujian
boleh menyebabkan penyakit hati yang paling kronik dalam diri manusia dan Allah
tidak suka manusia yang membangga diri. Pujian hanya berhak buat Maha Pencipta
kata Siti Shafura.
“Amboi rancaknya?” Sapa Nadia yang baru sahaja tiba dengan Amylia.
Terus mati perbualan antara Suzila dan Siti Shafura.
*******
“Suzy, tak apa ke
kita pergi rumah abang ni?” Luah resah hati Siti Shafura. Selepas maghrib mereka
berdua bertolak ke rumah Eshaq Hakimi. Nadia dan Amylia pula telah pulang ke
rumah masing-masing sejak petang tadi. Selepas pulang dari rumah Eshaq Hakimi
nanti, Suzila akan terus menghantarnya pulang ke rumah ibu saudaranya pula.
“Takpalah Siti. Abang saya, abang awak jugak. Kan dia dah suruh kita datang sendiri kan?” Jawab Suzila
sambil tersenyum senang.
“Tapi, Ikmal dengan abang awakkan tak ada..” Balas Siti Shafura yang
merasakan kurang enak untuk datang ke kondominium mewah itu.
“Awak janganlah risau sangat. Abang kata tadi, malam ni mungkin dia
balik lambat jugak. Tapi Ikmal dah on the way..” Terang Suzila.
Siti Shafura mengeluh halus.
Mereka sudah masuk ke kawasan kondominium mewah itu. Seperti biasa
pengawal keselamatan membenarkan mereka terus masuk tanpa perlu banyak soal.
Kereta diparkirkan.
“Siti, awak naik dulu boleh tak? Saya nak tunggu Ikmal kejap dekat
sini. Dia dah dekat sampai. Awak nanti terus aje masuk bilik abang. Dia kata
tak kunci pun.” Ujar Suzila sambil mengeluarkan telefon bimbit untuk
menghubungi Ikmal. Dia ingin memaklumkan yang mereka sudah pun tiba.
“Ala.., tak beranilah saya. Kita naik sekalilah…” Balas Siti Shafura
yang sudah mengerutkan keningnya. Suzila pula sudah meletakkan kunci rumah di
atas tapak tangannya.
“Sekejap aje saya tunggu Ikmal dekat sini. Awak naiklah dulu. Lepas
Ikmal sampai, saya terus naik ya? Awak cari dulu dekat mana awak letak hari
tu..” Pujuk Suzila lagi. Padanya tiada apa yang perlu ditakutkan kerana rumah abangnya
itu sememangnya kosong.
“Erm.., ialah. Tapi awak cepat naik tau. Nanti saya masuk terus
kunci pintu. Awak sampai nanti tekan loceng ya?” Siti Shafura akhirnya terpaksa
mengalah. Dia berpesan begitu kerana risau apabila pintu rumah dibiar terbuka
sedangkan dia akan leka mencari cincinnya nanti. Pelbagai perkara yang tidak
diingin boleh berlaku tanpa sedar. Dengan berat hati dia terus keluar dari
kereta dan melangkah ke pintu lif.
Sampai sahaja di muka pintu rumah Eshaq Hakimi, dia cepat sahaja
mencapai mangga yang tergantung di pintu gril besi. Gril besi itu dibiar
terbuka sebelum dia melangkah ke pintu utama. Menolak sahaja pintu bercat putih
itu, alangkah terkejut apabila melihat lampu di ruang tamu sudah terpasang. Hatinya
mula terdetik sesuatu yang tidak senang namun cuba ditepis jauh dari menjengah
akal.
“Lupa tutup lampu agaknya.” Bisiknya sendirian menyedapkan hati.
Zikrullah tidak pernah lekang dari bibirnya walaupun di hati tetap mengundang
resah yang tidak ketepian. Langkah terus diatur ke bilik Eshaq Hakimi kerana
yakin, hanya di bilik lelaki itu dia menghabiskan masa agak lama selain ruang
tamu.
Memulas sahaja tombol pintu, sekali lagi dia terkejut apabila bilik sudah
diterangi lampu tidur. Debar mula menjentik tangkai hati apabila berasakan ada
orang lain di dalam rumah itu. Dia tidak jadi untuk melangkah apabila melihat
lampu bilik air turut terpasang walaupun tiada langsung bunyi yang kedengaran. Dia
serba salah untuk masuk. Dengan rasa hati yang kurang enak, tanpa menutup
kembali pintu bilik, dia ke ruang tamu. Cuba mencari di situ sementara menanti
kehadiran Suzila dan Ikmal.
Hampir sepuluh minit di situ, bayang cincin langsung tidak ditemui. Punggung
dilabuhkan sebentar di sofa. Serentak itu bunyi ketukan di pintu berserta
loceng rumah kedengaran. Laju dia bingkas kerana yakin Suzila dan Ikmal sudah pun
tiba.
“Suzy saya rasa….” Kata-katanya mati sebaik pintu dikuak. Susuk
tubuh seorang wanita yang sedang merenung tajam di muka pintu.
Masing-masing terkaku sambil memandang antara satu sama lain sebelum
mereka tersedar ada tubuh lain menghampiri. Lekas Siti Shafura menoleh lantas
menekup mulutnya yang hampir terlopong dengan kedua-dua belah tapak tangan. Hampir
tidak percaya dengan apa yang dilihat kini. Terasa lemah kedua-dua lututnya. Mahu
pitam. Berisitighfar dia berulang kali bagi menenangkan hati yang diamuk resah.
Eshaq Hakimi yang hanya bertuala sedang mencekak pinggang berdiri di
belakang Siti Shafura dengan wajah yang tegang. “Apa hal ni?” Mata bersilih
ganti memandang Jasmeen dan gadis bertudung di hadapannya.
“Kau buat apa dekat sini?” Soalnya pelik ditujukan kepada Siti
Shafura yang menekur lantai. “You pulak,
kenapa datang rumah I malam-malam
ni?” Soalan lain diajukan terus kepada Jasmeen pula yang sedang menyinga.
Jasmeen tersenyum sinis. “Patutlah you tak nak kahwin dengan I.
Macam-macam alasan yang you bagi pada
I sebelum ni. Tak sedialah, banyak
masa lagilah… Rupanya, dah ada perempuan lain. Berapa banyak pulak yang dia bayar pada you hah Shaq?” Selamba dia menyindir
sambil melirik sinis ke arah Siti Shafura. Atas bawah dia memandang gadis itu
dengan hati yang terbakar. Tidak menyangka gadis itu yang akan membuka pintu
tadi.
“Kalau dia bayar I berapa banyak pun, none of your business!” Eshaq Hakimi
turut membalas sindiran. “We are finished!
You remember that?!” sambungnya sedikit tinggi.
Jasmeen merengus. “Entah perempuan mana yang you kutip, tak sangka pulak
macam ni taste you. Budak hingus macam ni yang you
suka!” hamburnya tidak puas hati melihat Siti Shafura yang bertudung labuh. Dia
cemburu melihat kecantikan asli yang dimiliki oleh gadis itu.
“So what? Dah lah Meen.
Pergilah you balik! I tak nak jiran-jiran I tengok you dekat sini.” tingkah Eshaq Hakimi yang tidak menyenangi kehadiran
Jasmeen di situ. Setahunya wanita itu tidak pernah menjejakkan kaki di rumahnya
sejak mereka berkawan. Tambahan pula dia telah memberi peringatan kepada
pengawal keselamatan agar tidak memberi kebenaran kepada sesiapa yang tidak
dikenali datang ke rumahnya.
“Yang kau ni pulak, datang
dengan siapa? Mana Suzy?” Soalnya kemudian kepada Siti Shafura yang hanya diam menunduk
bersandar di tepi dinding.
“Err.., dengan..” Siti Shafura tergagap-gagap menyambung kata
apabila melihat dua pasang mata di hadapannya itu sedang merenung tajam.
Jasmeen merengus lagi. “You
dah angkut dia duduk dengan you,
sekarang you nak berlakon buat-buat
tanya dia ke, apa Shaq?” Sindir Jasmeen lagi sambil berpeluk tubuh. Terasa mahu
ditelan gadis itu hidup-hidup.
Eshaq Hakimi ketap bibir. Dia mara ke hadapan. “Kalau I angkut dia pun, apa problem you ha? Suka hati I la nak angkut siapa pun! You peduli apa!” tekannya geram dituduh
perkara yang tidak pernah dilakukan.
Siti Shafura saat itu hanya mampu melihat pertelingkahan yang
berlaku. Sedikit pun tidak berani bersuara melainkan dia terus menerus berdoa
agar Suzila dan Ikmal segera tiba.
Jasmeen merengus lagi dengan senyuman sinis. “Dasar lelaki!”
kutuknya geram sebelum menolak tubuh Eshaq Hakim di hadapannya untuk mendapatkan
Siti Shafura.
“Hey Perempuan! Kau buat apa
sebenarnya dekat rumah bakal suami aku ni ha?! Kau tahu tak dia akan kahwin
dengan aku tak lama lagi!” Jerkahnya tidak sabar sambil menolak kasar tubuh
kecil Siti Shafura hingga gadis itu terjelepuk ke lantai belum sempat Eshaq
Hakimi menghalang. “Kau ni kan perempuan, nama aje pakai tudung. Tapi datang
rumah jantan! Baik kau buang aje tudung kau ni!” Marahnya tidak tertahan seraya
menarik tudung kepala Siti Shafura hingga menampakkan aurat yang tersimpan rapi
selama ini.
“Meen! You ni dah gila ke
apa!” Eshaq Hakimi terus menarik Jasmeen menjauh apabila wanita itu cuba untuk
memukul Siti Shafura pula.
“Abang…” rintih Siti Shafura perlahan yang sudah terduduk sambil
mencapai semula kain tudungnya yang terdampar di lantai. Terkial-kial dia
menyarungkan semula kain tudung itu dengan tangan yang sedikit bergetar.
“Lepaskan I! Biar I ajar perempuan tu hormatkan hak orang
lain!” Jasmeen tetap berusaha ingin mendakati Siti Shafura namun Eshaq Hakimi
segera menghalang.
“Excuse me? Hak apa yang you ada? You jangan nak merepeklah! Baik you
pergi balik sebelum I panggil security!” Eshaq Hakimi menolak kasar
tubuh Jasmeen agar menjauh. Dia terpaksa berkeras.
“Perempuan tak tahu malu tu yang patut you halau Shaq. Bukannya I!”
Marah Jasmeen dengan wajah merah padam.
“I said go Meen!” Herdik
Eshaq Hakimi dengan perasaan marah yang kian memuncak.
Jameen merengus lagi. Diketap kejap bibirnya. “Patutlah selama ni you tak pernah nak bagi I datang rumah you. Rupanya you ada simpan
betina lain. Apa kurangnya I Shaq? You cakap dengan I? Kalau you nak, I boleh bagi Shaq. You tak payah nak simpan betina hodoh macam tu!”
Pang!
Tangan kiri Eshaq Hakimi selamat melayang ke wajah yang tebal dengan
solekan itu.
“You jaga sikit mulut you tu Meen! You ingat I jantan apa?!
Sejahat-jahat I, I bukan bodoh nak buat kerja terkutuk macam tu!” Melengking tinggi
suaranya menghamburkan marah yang mencanak.
Jasmeen menggosok pipinya yang terasa hangat. “You lempang I Shaq? Mummy dengan daddy I pun tak pernah
nak jentik I tau! Sampai hati you lempang I sebab betina tu..” Balasnya dengan suara yang bergetar.
“Sepatutnya, dari dulu lagi Mummy
dengan daddy you lempang muka you tu.
Sebab tak pernah kena jentiklah you
jadi perempuan macam ni. Naik lemak! Biadab!” Hambur Eshaq Hakimi geram.
“Hey Shaq! You jangan nak tunjuk baik macam
malaikatlah dengan I. Habis tu, semua
yang you buat selama ni elok sangat
ke? Kikis duit betina lain, ke hulu ke hilir entah dengan mak datin tak sedar
diri mana entah, tu kerja baik ke Shaq? Hah? Entah-entah, dah berapa banyak
perempuan you tidur semata-mata sebab
duit!” Balas Jasmeen dengan pandangan jengkelnya.
“You dengar sini baik-baik
Meen..” Eshaq Hakimi menunding jari telunjuknya di hadapan wajah Jasmeen. “You jangan ingat, I tak tahu apa yang you
buat dekat belakang I selama ni. Sejahil-jahil
I, I belum pernah tidur dengan mana-mana perempuan la! Bukan macam you! Terdesak!” Tingkah Eshaq Hakimi bersama
senyuman sinis sebelum berpaling. Ikut panas hati, ringan sahaja tangannya
ingin dilayangkan sekali lagi ke mulut Jasmeen yang terlalu biadab menutur
kata.
“Memang I akui yang I ni bukan baik. I sanggup temankan mana-mana perempuan, semata-mata sebab duit. Tapi,
nafsu I ni belum pernah tergoda
dengan perempuan-perempuan tak guna tu semua sebab duit! And for your information, duit yang dia orang bagi dah lebih dari
cukup. I tak perlu sampai nak gadai body I
semata-mata nak duit dia orang tu. Lainlah macam you! Sanggup gadai body you sebab you tak dapat I!” Hamburnya
lagi sepuas hati. Membuka pekung yang disimpan selama ini. Oleh sebab itu dia tidak pernah terlintas pun untuk
mengahwini perempuan seperti Jasmeen. Hubungan yang ada semata-mata mahu
mengaburi perbuatannya selama ini.
Jasmeen ketap bibir. Dadanya berombak.
“Bro, kenapa ni?” Muncul
Ikmal yang baru keluar dari perut lif bersama Suzila. Kedua-duanya terkejut
melihat kewujudan Eshaq Hakimi yang bertuala di situ bersama seorang wanita.
“Abang…” seru Suzila perlahan sebelum matanya terhala ke arah sahabatnya
terduduk di lantai sambil memeluk kedua-dua belah lutut. Yakin ada perkara
buruk yang telah berlaku apabila melihat keadaan sahabatnya begitu. Dilihat
wajah itu sudah memucat dengan mata yang memerah.
“Meen, I rasa baik you balik dulu. Tak elok bergaduh macam
ni Meen. Malu orang tengok.” Ujar Ikmal lembut cuba menenangkan suasana yang agak
tegang itu.
“Huh! You pun samalah
Ikmal!” Bentak Jasmeen kasar. “You
ingat sini baik-baik Shaq. I takkan
lepaskan you macam tu aje. You ingat tu! You dengan perempuan bodoh tu takkan hidup senang!” Ugutnya sebelum
berlalu dengan wajah yang merah padam.
“Perempuan gila! Menyusahkan aku aje! Pergi jahanamlah!” Bentak
Eshaq Hakimi yang berdengus kasar sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia
perasan ada jirannya yang melihat pertengkaran dia dan Jasmeen tadi.
“Suzy ni kenapa nak datang tak call
abang dulu?! Pandai-pandai bagi kunci rumah abang pada orang lain!” Marahnya
pula pada Suzila sebelum terus masuk ke dalam bilik. Dihempas kuat daun pintu
menggambarkan hatinya yang terbakar saat itu.
Terpempan Suzila dan Siti Shafura yang sudah duduk di ruang tamu.
Ikmal pula hanya menggelengkan kepala. Faham benar dengan perangai Eshaq Hakimi
apabila marah. Ada sahaja yang akan dihempasnya.
“Suzy, awak kata Abang Kimi tahu kita nak datang. Kalau saya tahu
dia ada, kita tak payah datang sini.” Siti Shafura bersuara lirih. Terasa ingin
menangis namun masih lagi mampu ditahan. Dia kesal dengan apa yang baru sahaja
terjadi.
“Sorry Siti. Saya tak tahu
nak jadi macam ni. Kan saya dah bagi tahu abang kita nak datang. Dia lupa
agaknya.” Balas Suzila dalam nada yang sama. Sedih apabila melihat wajah murung
sahabatnya itu. Entah apa yang telah abangnya lakukan pada Siti Shafura sebentar
tadi. Dia cuba membantu membetulkan kedudukan tudung di kepala sahabatnya itu.
“Saya mintak maaf Siti. Kalau bukan
sebab saya suruh awak naik sendiri tadi, mesti semua ni tak jadi.” sambungnya
serba salah.
Siti Shafura hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyalahkan Suzila.
Perkara yang berlaku bukan kehendaknya dan memang sudah ditakdirkan dia bertemu
dengan Eshaq Hakimi dan dijerkah oleh wanita yang tidak dikenalinya tadi.
“Suzy, bawaklah Siti masuk
bilik abang betulkan tudung dia.” Arah Ikmal yang tidak sampai hati melihat
keadaan Siti Shafura yang sedikit serabut. Yakin gadis itu dalam keadaan tidak
selesa.
“Jom Siti.” Suzila menarik lengan Siti Shafura dan gadis itu hanya
akur.
Saat melewati bilik Eshaq Hakimi, langkah masing-masing terhenti
apabila tubuh abangnya tiba-tiba muncul di situ.
“Nak ke mana?” Soalan tidak bernada menyapa.
“Err.., nak tolong Siti betulkan tudung dia bang. Err.., nak tumpang
bilik Ikmal kejap..” jawab Suzila takut-takut apabila melihat wajah abangnya
yang masih menegang.
“Tak payah guna bilik Ikmal. Guna bilik abang.” kata Eshaq Hakimi berbaur
arahan sebelum dia berlalu ke ruang hadapan.
Siti Shafura yang menunduk sejak tadi, mengangkat wajah. Wajah
Suzila dipandang dan sahabatnya itu hanya melepaskan keluhan sebelum mereka
lambat-lambat melangkah ke bilik yang sedia ternganga. Di situ Siti Shafura mencuci
wajah dan membetulkan kain tudung yang direntap kasar wanita yang dipanggil Meen
oleh Eshaq Hakimi tadi.
“Siti…” Suzila yang duduk di birai katil memerhati Siti Shafura yang
berdiri di hadapan cermin. Ada senyuman hambar di wajah sahabatnya itu. “Siti..,
mesti abang dah marah-marah awak tadi kan? Sorry
ya Siti…” ucapnya perlahan. Dia sendiri berasa takut apabila berhadapan dengan
abangnya yang sedang marah.
“Tak apalah Suzy. Benda dah jadi.” balas Siti Shafura mengendur. Tidak
pula dia menyalahkan Eshaq Hakimi atas apa yang berlaku. Semua yang terjadi
kerana kesilapan diri sendiri.
Terlayar wajah tegang Eshaq Hakimi di ruang mata. Wajah itu jugalah
yang terpamer saat pertama kali mereka bertemu secara tidak sengaja. Hal
kehilangan cincin pemberian uminya terpaksa dilupakan. Mungkin memang bukan
rezekinya untuk memiliki cincin itu lagi.
Masih terngiang-ngiang lagi tuduhan yang dilemparkan oleh wanita
yang ditemui tadi. Teganya wanita itu
merentap tudung yang dipakai kerana rasa cemburu melihat dia di dalam rumah
Eshaq Hakimi. Rasa sedih bukan kepalang di dalam hati apabila aurat yang dijaga
selama ini menjadi tontonan Eshaq Hakimi secara tidak sengaja.
…………………
“Boleh ke drive ni? Kalau tak, biar abang hantar.”
Ikmal prihatin. Agak risau membiarkan dua gadis itu pulang walaupun malam masih
muda.
“Tak apalah bang. Abang pun baru
sampai. Suzy dengan Siti boleh balik sendiri. Insya-Allah tak ada apa-apa.”
jawab Suzila lembut sambil mengerling ke arah sahabatnya yang lebih banyak
mendiamkan diri sejak tadi.
“Abang hantar.” Muncul abangnya di situ menyebabkan mereka
berpandangan antara satu sama lain. Tadi lelaki itu hanya mendiamkan diri
apabila dia memberitahu ingin pulang.
Tanpa sebarang kata yang sempat dibalas, kelibat lelaki itu sudah
hilang ke dalam perut kereta yang diparkir selang beberapa kereta dari
tempatnya. Keluhan berat dilepaskan.
“Suzy ikut ajelah cakap dia. Angin dia tak berapa baik tu.” Nasihat
Ikmal yang sedia faham akan perangai Eshaq Hakimi. Semua arahnnya perlu
dituruti.
Suzila mengeluh perlahan.
“Tunggu apa lagi tu?” Eshaq Hakimi sudah memberhentikan kereta di
hadapan Swiftnya dengan wajah yang tidak berperasaan. “Cepat jalan!” Tegas.
“Suzy.., jomlah kita balik.” tutur Siti Shafura di sisi.
Suzila mengeluh lagi sebelum mengucap salam kepada Ikmal dan mula
meninggalkan ruang parkir apabila abangnya memberi laluan.
9 comments:
bila nak bukukan citer ni...x sabar nak baca full storyyyyy....
achaaaaa
nk lg
nk lg
Andailahh saya punya kuasa untuk bukukan.. adehh
Tak sabo juga arsa nak peluk bmjm.iam waiting .....
yeahhhh buku kn tau
kami tunggu...
kali ni akak nk BELI
I don`t mine kalau do it e-booking pun OK lagi cepat untuk kami yg duduk jauh. Untuk buku sampai ke switzerland tks time.
Kak Arsha, da lama tunggu novel ni kak. Suka time diaorg da kawen dulu walaupun niat kawen tu cuma sebab nak menghalalkan apa yg haram. :) cepat2 la boleh kuar novel...
Anonymous
Jauh perjalanan tu.. huu
Mula2 mmg nk buat ebook. Tapi, sebab dah hntar nilai.. maaf..
Kak Edah, kakna, Sal miza
InsyaAllah. Doakan! Thanks!
Ahhh kak acha....sian Pureen. Maluuuunyaaaa..saya tau macamana rasa bila aurat kita tanpa sengaja dilihat org lain. Esp ajnabi. Huwaa..maluu. Sian Pureen :( Nak BMJM kak acha..nak beli..huhu. Sabar menunggu.
Post a Comment