Jun 3, 2014

BMJM_bab 11_edited version


“Ma, kenapa nasi Kimi panas ni?” Soal Eshaq Hakimi yang selepas mengambil tempat di sebelah kanan papanya di kepala meja.

“Ala… Mama lupa nak sejukkan tadi. Kimi makan ajelah nasi panas tu. Kan lagi sedap.” jawab sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan suaminya. Sudah menjadi kebiasaan, segala urusan rumah pada setiap malam akan diuruskan sendiri memandangkan Mak Lijah hanya datang pada sebelah petang sahaja untuk memasak. Manakala hal mengemas, diserahkan kepada pembantu rumah yang diupah dan akan datang tiga kali dalam seminggu.

“Ala ma… Kimi tak bolehlah nak makan panas-panas ni.” Wajah Eshaq Hakimi mula berubah kelat.

“Apa yang tak bolehnya? Panas lagi elok dari yang dah sejuk.” sampuk Tan Sri Kamil pula.

“Entah abang ni. Makan ajelah. Apa yang susahnya. Nasi panas lagi best dari nasi sejuk abang tu la..” sambung Suzila di sisi mama.

“Ish! Abang tak bolehlah!” Eshaq Hakimi terus bingkas meninggalkan ruang makan. Laju langkahnya ke ruang dapur.

Siti Shafura yang masih di ruang dapur sedang menyusun gelas di dalam dulang sedikit terkejut dengan kemunculan Eshaq Hakimi di situ. Dia hanya memerhati Eshaq Hakimi sedang mengeluarkan segala jenis makanan ringan dari dalam kabinet. “Er, abang. Tak makan nasi ke?” Ringan mulutnya bertanya.

“Tak.” Eshaq Hakimi jawab sepatah.

Siti Shafura mengukir senyum nipis dan tidak lagi berniat mahu bertanya sebelum beredar ke ruang makan sambil membawa gelas yang siap disusun. “Suzy, kenapa abang tak nak makan?” soalnya perlahan sebaik melabuhkan duduk di sebelah Suzila.

“Nasi panas, dia tak nak. Mama lupa nak sejukkan nasi dia tadi.” jawab Suzila sambil menuangkan jus anggur yang siap dibancuh oleh sahabatnya itu tadi.

Siti Shafura berkerut. Tidak faham.

“Abang tak suka makan nasi panas Siti. Lauk panas takpa. Jangan nasi panas. Nanti dia boikot tak nak makan kalau nasi panas.” jelas Suzila lanjut.

Bibir Siti Shafura membentuk o sebelum senyum kecil dibiaskan. Tidak berani dia memberi komen lebih mengenai kegemaran Eshaq Hakimi yang dirasakan sedikit pelik itu.

“Macamlah kenyang makan tu semua.” tegur Suzila sebaik Eshaq Hakimi melewati ruang makan yang sarat dengan pelbagai jenis makanan ringan ke ruang rehat utama keluarga.

Siti Shafura turut memandang ke arah yang sama. Dia perasan ketegangan yang terpamer di wajah lelaki itu. Ada rasa simpati muncul di hati. Dia tahu lelaki itu jarang berpeluang pulang ke vila dan dapat makan bersama keluarga. Tetapi kini, terpaksa pula makan makanan ringan.

“Sudah tu. Pedulikan dia. Nanti lapar, pandailah dia cari makan.” ujar Tan Sri Kamil yang sedia menadah tangan untuk mula membacakan doa makan.
…………….

Eshaq Hakimi resah di tempat tidurnya sendiri. Pelbagai bunyi yang keluar dari perutnya. Makanan ringan yang dimakan tadi, sedikit pun tidak memberikan kesan memandangkan belum ada sebiji nasi pun yang masuk ke dalam perut sejak bertolak balik dari Pulau Pinang siang tadi. Dari ke kanan, dia berkalih ke kiri. Dengan mata yang terpejam, dia tetap juga cuba tidur. Namun masih juga gagal. Perutnya tetap juga minta diisi menyebabkan dia terus bingkas bersama helaan berat. Terasa malas untuk turun ke dapur di kala malam yang kian lewat. Tangan mencapai jam kecil di meja sisi katil. Hampir tiga pagi.

“Buat hal betul kau ni perut! Selalu okey aje tak makan nasi sehari pun!” Rungutnya sendirian. Dengan malas, dia tetap juga turun dari katil.

Saat kaki melewati bilik tetamu, langkahnya mati apabila terdengar suara orang sedang berbual. Mata terhala pula ke bawah pintu. Ada sinar cahaya yang kelihatan. Kemudian matanya memandang pula ke arah pintu bilik adik dan ibu bapanya. Gelap. Dia yakin semua ahli keluarganya sudah lena diulit mimpi pada ketika itu. Dia yang masih berdiri terpacak di hadapan bilik yang dimaksudkan tadi, terus melekapkan telinganya di situ untuk memastikan suara yang didengari tadi.

“Cakap dengan siapa pagi-pagi buta budak ni?” Desisnya sendiri bersama kerutan. “Lantaklah!” Lanjutnya kemudian apabila terasa irama dari dalam perutnya lebih kuat berbanding suara yang didengari. Dia terus menapak turun untuk ke dapur.

“Abang.”

Sapaan yang tiba-tiba itu menyebabkan pinggan dari tangan Eshaq Hakimi hampir terlepas.

“Kau ni kan..” getus Eshaq Hakimi dengan suara yang tertahan. Risau pula akan mengejutkan ahli keluarga yang lain walaupun sebenarnya dia terkejut dengan kemunculan gadis itu tiba-tiba.

Sorry… Siti ingat siapa tadi.” tutur Siti Shafura yang berdiri di tengah pintu pemisah ruang makan dan ruang dapur. Terasa bersalah dengan perlakuannya yang menegur tanpa didahului dengan salam.

“Kalau aku penyangak pun, berani betul kau turun.” balas Eshaq Hakimi sinis selepas menyenduk nasi masuk ke dalam pinggan.

Siti Shafura tersenyum kelat. Dia terdengar pintu bilik ditutup saat berbual dengan abang sepupunya di telefon tadi. Dan seperti biasa, aroma dari tubuh itu memang mampu mengganggu-gugat hatinya setiap kali mereka bertemu. Kadang-kala pula, hidungnya sendiri seperti terbau-bau aroma yang menyenangkan itu walau ke mana sahaja langkahnya pergi. Seperti sudah sebati dalam hidupnya.

“Apa yang kau buat sampai tak tidur lagi dah lewat-lewat macam ni?” Soal Eshaq Hakimi sambil mengeluarkan lauk-pauk dari dalam peti sejuk.

“Er.., abang nak makan ke? Biar Siti tolong panaskan lauk.” Siti Shafura memberanikan diri menawarkan khidmat untuk membantu tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Abang angkatnya itu sudah meletakkan lauk-pauk tadi di atas kaunter top di ruang tengah dapur dan sedia untuk dimakan tanpa memanaskannya terlebih dahulu.

“Kau ni, lain kali kalau nak tanya, jangan tanya soalan yang kau dah tahu jawapan. Kau nampakkan aku tengah buat apa? Takkan aku duduk sini, senduk nasi, aku nak tidur pulak.” balas Eshaq Hakimi sedikit geram apabila rasa terganggu pula dengan kehadiran gadis yang sentiasa bertudung itu di situ.

Siti Shafura kemam bibir rapat. Malu dengan pertanyaannya sendiri. Minggu lalu dia ada berkata perkara yang sama dengan Eshaq Hakimi ketika lelaki itu bertanya apa yang dilakukan di restoran. “Er.., sorry kalau Siti ganggu. Siti naik dulu.” ucapnya perlahan dan berkira-kira ingin berlalu kerana tidak mahu mengganggu ketenteraman lelaki itu.

“Adik sayang! Tadi kau kata nak tolong panaskan lauk-lauk aku. Lepas tu, kau nak balik bilik pulak.” Eshaq Hakimi tiba-tiba bersuara menyebabkan langkah gadis itu terhenti. Idea nakalnya tiba-tiba datang menjengah.

Siti Shafura berpaling dan memaniskan wajah. Demi tidak mahu mendengar sindiran demi sindiran dari bibir lelaki itu, terpaksa menunaikan kata-katanya tadi. Dua bekas kedap udara di hadapan Eshaq Hakimi dicapai. Daging masak kicap dan sayur campur itu dikeluarkan dari bekas dan dimasukkan ke dalam mangkuk. Kemudian baru dimasukkan ke dalam tempat pemanas tersedia.

Eshaq Hakimi yang memerhati, sembunyi senyum. Debar halus yang bertandang saat itu tidak dihiraukan. Kini tumpuannya hanya kepada gadis itu. ‘Siapa suruh kau turun. Kan dah masuk mulut buaya..’ Bisik suara nakalnya.

Siti Shafura pula, yang terasa gerak-gerinya diperhatikan, mula tidak selesa. Hampir semua bulu roma menegak apabila membayangkan dia berdua-duaan dengan lelaki yang pernah.. Spontan dia menggeleng beberapa kali. Cuba menafikan apa yang baru sahaja terlintas di hati dan fikiran. Cepat-cepat dia beristighfar. Tidak mahu terus terpengaruh dengan bisikan makhluk yang dilaknat Allah hingga bersangka buruk kepada lelaki itu. Dia yakin masih ada sisi baik mengenai Eshaq Hakimi yang tidak terlihat.

“Kepala kau kenapa? Baru panaskan lauk macam tu aje dah sakit kepala?” tegur Eshaq Hakimi bersama senyum tepi.

Siti Shafura menggeleng perlahan tanpa berpaling. Kesabaran cuba dipupuk dalam hati diiringi istighfar. Sedar yang dia bakal berhadapan dengan pelbagai lagi ragam yang sukar dijangka dari lelaki itu.

“Tu jampi apa pulak yang kau baca tu? Kau nak kenakan aku ya?” Tebak Eshaq Hakimi apabila perasan bibir Siti Shafura terkumat-kamit sendiri. Tidak pasti apa yang dilakukan oleh gadis itu sebaik mengeluarkan mangkuk daging masak kicap dari dalam tempat pemanas.

“Tak baik bersangka buruk bang..” jawab Siti Shafura berani dengan suara sehabis tenang. Bukan mahu mengajar, sebaliknya sekadar mahu mengingatkan dirinya sendiri. Dia yakin apa yang dilakukan saat itu sentiasa di bawah perlindungan Maha Pencipta. Niatnya ikhlas untuk membantu. Tidak lebih dari itu.

Eshaq Hakimi mencebik. “Ialah ustazah.” balasnya malas.

“Erm.., nasi tu belum panas.” tegur Siti Shafura apabila melihat Eshaq Hakimi sudah memegang sudu dan garfu. Tahu lelaki itu bersedia untuk makan sebaik dia meletakkan dua mangkuk lauk yang sudah dipanaskan tadi.

“Tak payah!” jawab Eshaq Hakimi mendatar.

“Erm.., kalau macam tu, abang makanlah. Siti naik dulu.” balas Siti Shafura yang baru teringat akan kata-kata Suzila ketika makan malam tadi. Hanya kerana nasi panas Eshaq Hakimi tidak jadi makan bersama mereka.

“Eh, kau nak ke mana?” Eshaq Hakimi sempat menghalang sebaik gadis itu melangkah.

“Nak naik bilik. Dah lewat ni. Siti tak nak ganggu abang makan.” jawab Siti Shafura lembut.

“Erm.., air minum aku, kau belum sediakan.” selamba Eshaq Hakimi mengeluarkan arahan. Sengaja mahu gadis itu mahu berlamaan di situ lagi. ‘Lagi best kalau ada orang teman aku makan..’ Hatinya gelak jahat.

Siti Shafura mencorakkan senyum seikhlas mungkin. Dia sedia menghulurkan bantuan lagi demi membina ukhuwah bersama Eshaq Hakimi yang selalu dingin dengannya sebelum ini. “Abang nak air apa?” Soalnya senang.

Eshaq Hakimi berkerut. Liur yang ditelan terasa kesat. Suara lembut yang menyapa menyebabkan dia sedikit terkedu. Debar halus yang tidak dihiraukan tadi mula berubah rentak. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari. Suara lembut itu menusuk jauh hingga ke dasar hati walaupun sekadar pertanyaan ringkas dan bukannya ungkapan cinta.

“Er.., abang..” panggil Siti Shafura menyebabkan Eshaq Hakimi sedikit tersentak.

“Er.., air suam.” tergagap-gagap dia menjawab dan segera mengawal gejolak yang terasa. Pandangan dibuang ke arah lauk yang terhidang dan mula menyuap nasi. ‘Kenapa kau ni Shaq..’ Hati mula mengutuk kelekaannya tadi.

Tanpa menyoal lagi, Siti Shafura terus bergerak ke tepi kabinet untuk mengambil air panas dari alat pemanas automatik yang tersedia. Puas ditekan punat hijau, namun air panas tidak juga keluar.

Eshaq Hakimi yang perasan dengan tingkah laku gadis itu dengan ekor matanya, lantas menegakkan wajah. “Benda tu rosak.” katanya dalam nada tertahan. Tetapi dalam hati, ada sorakan pula yang bergema. Hampir terlepas senyumnya. Seperti keadaan sengaja mahu Siti Shafura berlamaan menemaninya di situ.

“Erm.., kalau air sejuk tak boleh ke?” Ujar Siti Shafura serba tidak kena walaupun sudah dapat meneka yang dia mungkin perlu menjerang air pula.

“Ada aku kata aku nak air sejuk ke? Tak ada kan?” Balas Eshaq Hakimi yang sengaja kembali menegaskan suaranya. Tidak mahu kelihatan gelabah di hadapan gadis hingusan seperti Siti Shafura walaupun separuh hatinya sudah mengejek akan kekalutannya tadi.

Siti Shafura menghela nafas perlahan. Seperti yang dijangka, dia tidak punya pilihan. Tangan terus mencapai pemanas air elektrik dan mengisi air dari alat penapis yang tersedia. Sebaik menekan butang ‘on’, dia ingin segera berlalu ke ruang hadapan. Tidak mahu dia menanti di situ sementara air masak. Kekok untuk berdua-duaan begitu walaupun sebelum ini dia ada menanam tekad mahu mewujudkan hubungan yang lebih baik bersama lelaki itu.

“Kan air tu belum masak. Kau nak ke mana?” Sengaja sekali lagi Eshaq Hakimi menghalang.

“Erm.., Siti nak tunggu dekat depan.” jawab Siti Shafura yang hanya membuang pandang ke arah Eshaq Hakimi sekilas sebelum dihalakan ke arah lain.

“Bukan ada siapa pun dekat depan tu. Duduk aje dekat sini.” tegas Eshaq Hakimi selamba yang tidak mahu wajah manis itu hilang dari ruang matanya.

“Er.., tapi..”

“Tak ada tapi-tapi. Duduk sini sampai air tu masak.” tekan Eshaq Hakimi lebih tegas. Bibir sembunyi senyum puas.

Sekali lagi Siti Shafura tiada pilihan. Punggung terus dilabuhkan ke salah satu kerusi bulat di hadapan lelaki itu.

Eshaq Hakimi menyambung semula makan tanpa sepatah perkataan keluar dari bibirnya. Dalam diam, mata akan curi-curi pandang walaupun dia perasan tidak sekali pun mata gadis itu singgah ke wajahnya. Dia perasan gadis di hadapannya itu sedikit resah. Namun, sengaja dia buat tidak peduli.

Hampir lima minit menanti, air yang dijerang, masak. Siti Shafura segera bingkas. Lagi cepat tugasnya selesai, lagi cepat dia beredar. Air panas tadi dicampur dengan air sejuk untuk menjadikannya suam sebelum muk itu diletakkan ke sisi Eshaq Hakimi. “Erm.., ada apa-apa lagi ke yang abang nak, sebelum Siti naik?” soalnya kemudian.

“Kau perli aku ke apa?” Eshaq Hakimi rasa tersindir.

“Bersangka baiklah abang.” cukup lembut Siti Shafura membalas. Tidak terdetik pun di hatinya ingin menyindir.

“Tak habis-habis dengan sangka baik.” gerutu Eshaq Hakimi sebelum menyisip perlahan air suam yang diletakkan oleh gadis itu.

Siti Shafura melepaskan keluhan halus. Tanpa mahu lagi bersoal jawab menyebabkan dia terus mengorak langkah mahu meninggalkan ruang itu.

“Adik sayang, air kau ni tawarlah..” kata Eshaq Hakimi membuatkan sekali lagi langkah gadis itu terhenti.

Siti Shafura berkerut tanpa mahu berpaling. Kesabaran yang dipupuk tadi, terasa mula terhakis namun segera dikawal. Mata dipejamkan dan sebelah tangan dilekapkan ke dada kiri diiringi doa di dalam hati. ‘Ya Allah ya tuhanku, Engkau lindungilah aku daripada syaitan yang dilaknat. Engkau buanglah perasaan marah yang ada dalam hatiku ni ya Allah.. Hanya kepada-Mu ku berserah, hanya kepada-Mu aku meminta pertolongan…’ Kelopak mata diangkat dan nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Kemudian, baru dia berpaling.

“Kan senang kalau abang cakap aje nak air apa tadi. Siti boleh buatkan.” ucapnya sehabis lembut berserta senyuman yang sedaya upaya diikhlaskan sebelum dia merapati semula lelaki itu. “Abang nak air apa?” Soalnya lembut dengan sabar di hati. Dia tidak mahu kalah dengan bisikan syaitan yang suka menyesatkan anak Adam dalam keadaan marah.

Eshaq Hakimi mengulum senyum. “Air Horlicks panas kurang manis satu.” jawabnya dengan senyuman lebar. Minuman kegemarannya. Hati tercuit melihat wajah Siti Shafura yang sedikit memerah hingga menyebabkan tawanya hampir terlepas. Yakin gadis itu mula marah apabila terpaksa melayan kerenahnya yang terlebih cerewet. Kini, puas hatinya kerana dapat mengusik seperti mana yang diharapkan pada siang tadi.

Siti Shafura pula terus sahaja melakukan seperti yang diminta. Lincah tangannya melakukan kerja. “Abang, ni air yang abang nak tadi. Siti mintak maaf kalau tak sedap.” katanya ikhlas sebaik meletakkan muk yang mengeluarkan asap nipis di sisi lelaki itu.

Eshaq Hakimi yang sedang tersenyum nakal terus mencapai muk tersebut dan disisip perlahan.

Siti Shafura setia menanti untuk mendengar komen lelaki itu. Risau jika dia perlu membancuh sekali lagi air tersebut.

“Hm… Sekarang kau boleh naik.” ulas Eshaq Hakimi ringkas.

Siti Shafura melemparkan senyum nipis. Ada nafas kelegaan terhela. “Siti naik dulu..” ucapnya sebelum berlalu.

“Adik sayang!”

Baru beberapa langkah, kakinya berhenti lagi apabila terdengar suara Eshaq Hakimi memanggil. Serentak itu keluhan berat terlepas tanpa sempat dikawal sebelum dia kembali berpaling.

“Tak ada apa-apa!” ucap Eshaq Hakimi selamba dengan senyuman lebar. Hati digeletek lagi apabila melihat wajah gadis itu mula merah padam.

Siti Shafura beristighfar perlahan. Senyum paksa dibiaskan. “Terima kasih abang!” ucapnya sedikit geram sebelum cepat-cepat menyambung langkah kembali. Terasa kesabarannya benar-benar tercabar kala itu dek kerana melayan perangai gila Eshaq Hakimi.


8 comments:

kak na said...

suka nye......

Ehem said...

Hihi..

Thanks kakna!

Unknown said...

mengada2 betul ler si shaq nih....sian kat siti....nak lagi boleh takkkk....

kak edah said...

Morning....best bila nak dibukukan adik sayang kak edah pinjam ayat hakimi.he....

MzaMuhd said...

nakal.... tapi tu yang best. hehehe... :)

Anonymous said...

haha..Siti Siti.comel la awak ni

>>k<<

Anonymous said...

so sewiiiit sangat! As usual tak puas nak lagi almaklum baru habis baca terus masuk waktu insyak perfect timing boleh tidur dgn senang hati.

Maaf Akak yg peminat dari zurich itu yg timing lari sikiit

Kak Sue said...

nasib baik siti x jawab "Terima Kasih Abang SAYANG'... mahu tersedak air yg dia minium... baru padan muka...hahaha.. berbaik sangka abang Kimi..