Jun 23, 2014

Dambaan Bahagia_bab 14

DB 14

“Macam mana?” Fathiyah jongket kening. Senyum dilebarkan.

“Orang cantik, pakai apa-apa pun cantik.” balas Emma ikhlas diiringi rasa terharu. Kagum melihat sahabatnya yang mahu berhijab hingga dia sendiri terasa ingin melakukan perkara yang sama. Cuma ia tidak terluah di bibirnya.

“Alah.. aku bukan suruh cakap cantik ke tak? Shawl ni. Okey ke tidak aku lilit ni..” Fathiyah membelek shawl yang sudah dililitkan ke kepala seperti mana yang dipelajari di youtube malam tadi.

Itu tekadnya yang baru sempena ulang tahun kelahirannya semalam setelah memikirkan semasak-masaknya sejak akhir-akhir itu selepas menerima teguran Azlan.

Perihal lelaki itu, terpaksa ditolak tepi buat sementara waktu walaupun keresahan hati tidak dapat dibuang. Sepanjang malam menanti lelaki itu menghubunginya semula, namun hampa. Sudahnya, dia melayari youtube untuk melihat pelbagai cara untuk menggayakan hijab mengikut tren masa kini.

“Dah cantik tu beb.” Puji Emma ikhlas dalam getar suara. Ada perasaan aneh mula menyelinap masuk ke dalam hati sejak Fathiyah memberitahu mahu berhijab selepas mereka menunaikan solat subuh awal pagi tadi.

Fathiyah yang menghadap cermin panjang di hadapannya berpaling. Wajah Emma dipandang.

“Kau tak apa ke, aku nak pakai tudung?” soalnya terasa serba salah melihat Emma yang merenungnya sejak tadi.

Emma tersenyum nipis, hati menahan sebak. “Tak apa Tiya. Tapi tengok kau cantik pakai tudung, aku pun rasa macam..” Bibir dikemam kuat.

Fathiyah terus mendapatkan sahabatnya itu di birai katil.

“Kita pakai tudung sama-sama Emma..” ucapnya perlahan bersama harapan.

Dia tahu, hal menutup aurat agak sensitif jika dibicarakan walaupun sebenarnya masing-masing tahu akan kewajipan seorang wanita Islam. Hal yang wajib tetap wajib. Hukum yang telah ditetapkan tuhan dan bukannya undang-undang ciptaan manusia. Dia tahu itu. Namun, hanya kerana kejahilan diri masing-masing, hal itu dipandang mudah sungguhpun azab yang bakal diterima di akhirat nanti, tidak akan tertanggung.

“Er..aku..” Emma menunduk. Pelupuk mata memberat. Keinsafan diri terasa mula menjalar ke seluruh tubuh.

“Emma.. kita sama-sama cuba. Aku tahu, aku pun tak cukup baik Emma. Terlalu lalai sebelum ni. Tuntutan yang ringan macam ni pun aku tak boleh buat, apatah lagi yang lain. Banyak lagi yang aku kena belajar. Tapi tak salahkan kalau kita nak berubah ke arah yang lebih baik? At least, kita mulakan dengan yang ni. Kita takkan rugi pun Emma..” pujuk Fathiyah agak berhati-hati demi tidak mahu menggores hati dan perasaan sahabatnya itu.

Sungguhpun syurga itu masih terlalu jauh dari jangkauannya, tidak mungkin dia mahu memilih ke gaung api neraka. Dia tahu dugaan untuk orang yang berubah bukan sedikit. Namun dia akan tetap berusaha.

Emma angkat wajah. Sepasang mata Fathiyah yang berkaca-kaca cukup menyentuh hati menyebabkan air matanya terus merembes.

“Emma..” Air mata tidak mampu lagi dibendung. Tubuh sahabatnya itu terus didakap erat. Ya Allah.. berkatilah keputusan yang kami pilih ini.. Dititipkan buat yang Maha Esa yang telah membuka hati-hati hamba-Nya yang Dia kehendaki. Allahu..

********

“Tiya! Nur Fathiyah!”

Fathiyah lambat-lambat menoleh kerana cukup kenal dengan suara garau tersebut. Senyum nipis dilemparkan sebaik lelaki itu datang mendekat.

“Tiya.. kau..”

Shah kematian kata. Seperti tidak percaya dengan apa dilihat kini. Penampilan gadis di hadapannya itu jauh berbeza dari kali terakhir mereka bertemu di rumahnya minggu lepas.

“Shah.. kau janganlah pandang macam tu. Macam aku tak pakai baju pulak.” Fathiyah mengawal riak. Terasa malu apabila sepasang mata itu tidak berkelip memandangnya.

Shah melepaskan tawa kecil. “Dah makan? Jom lunch sama.” Pelawanya mesra dengan debar indah bertamu di ruang dada.

“Err.. boleh jugak.” Tidak sampai hati untuk menolak memandangkan mereka sudah berjanji untuk berkawan seperti biasa.

Langkah diatur ke kafeteria di sebelah bangunan pentadbiran universiti. Tidak menyangka akan bertemu dengan Shah di situ selepas seminggu berlalu. Dia tahu masing-masing sibuk memandangkan minggu hadapan peperiksaan akhir akan bermula.

“Sejak bila ni hm?” tanya Shah sebaik masing-masing melabuhkan duduk dengan sepinggan nasi campur yang diambil.

Fathiyah tersengih. “Sehari selepas birthday aku hari tu..” jawabnya malu.

Tekad dia mahu menutup aurat yang begitu diagung-agungkan sebelum ini, walaupun keputusan yang diambil kelihatan agak drastik.

“Kalau dari dulu macam ni kan, cantik..” puji Shah ikhlas. Senang benar hatinya melihat penampilan baru gadis itu.

“Jangan nak puji kalau tak ikhlas eyh? Mesti buruk rupa aku sekarang ni kan? Orang pakai tudung lilit, aku pun nak lilit. Nasib tak terbelit.” balas Fathiyah sambil membetulkan kedudukan shawl rona biru muda yang baru dibeli beberapa hari lalu bersama Emma. Masing-masing masih berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.

Shah tergelak. Lucu melihat Fathiyah yang berkali-kali menggunakan telefon bimbitnya sendiri untuk dijadikan cermin.

“Dah cantiklah tu. Slow-slow la. Baru lagi kan..” Dia menenangkan sungguhpun hatinya sendiri tidak begitu tenang. Rasa cinta yang tidak pernah terpadam dalam hatinya selama ini terasa subur kembali.

“Tu la..” keluh Fathiyah perlahan sebelum kembali mencapai sudu dan garfu di tepi pinggan.

Jeda. Masing-masing leka menikmati makan tengah hari dengan tenang. Cuma Fathiyah tidak sedar Shah sering kali mencuri pandang ke arahnya.

“Tiya..” Cukup lunak suaranya memanggil nama gadis itu.

Fathiyah angkat wajah. Berlaga seketika mata mereka sebelum dia menunduk kembali. Terasa nasi yang telan berpasir. Renungan yang mampu menyuburkan kembali rasa cinta yang cuba dipadamkan selama ini.

“Shah, boleh tak jangan panggil macam tu? Aku nak makan ni.” katanya dalam menunduk. Sungguh dia tidak senang begitu walaupun dia telah bersetuju untuk berbaik dengan lelaki itu seperti biasa.

Shah ketawa kecil. Wajah yang mula memerah di hadapannya itu begitu mengusik hati.

“Kan bagus kalau aku tak batalkan majlis..”

“Shah!” Fathiyah terus mengangkat wajahnya. Tidak senang dengan apa yang terucap di bibir lelaki itu. Tidak mahu sejarah lalu disingkap kembali kerana dia sedang berusaha melupakan semuanya kini.

Sorry..” Shah serba salah.

“Kita lupakan semua tu please. Kau dah janji nak jadi kawan aku kan?” balas Fathiyah mengingatkan.

Shah menghela nafas panjang. Terlalu sukar menerima perkataan kawan itu.

“Kita buka buku baru Shah. Kau ada hidup kau, aku ada hidup aku. Banyak hikmah dari apa yang jadi kan? Mungkin ni salah satu darinya.” sambung Fathiyah perlahan.

“Aku mengaku Shah.. sebelum ni, aku memang tak boleh terima apa yang jadi pada kita. Tapi, bila fikir balik, perjalanan hidup kita ni semua, memang dah tertulis. Mungkin ini takdir kita Shah..”

Lebih sebulan tidak bertemu dengan lelaki itu, memberinya peluang untuk bermuhasabah diri. Dia belajar reda, belajar terima hakikat apa yang sudah ditentukan oleh-Nya walaupun sukar.

Shah mengangguk berat. Terpaksa akur, terpaksa menelan setiap bait kata yang terucap di bibir gadis itu.

“Kita jadi kawan baik?” ujar Fathiyah penuh mengharap walaupun sebenarnya masih lagi ada sisa kasih buat lelaki itu di hatinya. Dia belum mampu menyingkirkan ke semuanya.

Shah menarik senyum paksa. Mungkin sudah tiba masanya dia juga melakukan perkara yang sama. Gadis itu berhak memilih kebahagiaannya sendiri. Begitu juga dia.

Thanks Shah.” Fathiyah lempar senyum ikhlas.

Most welcome Fathiyah.” jawab Shah berat. Roman wajah sedaya upaya dimaniskan buat tatapan gadis itu.

“Erm… esok balik rumah? Nak aku hantar?” lanjutnya terus menutup topik yang cukup menggores hati.

“Erm.. tak tahu lagilah. Isnin ni aku mula exam. Kau exam bila?” jawab Fathiyah sebelum menyedut perlahan jus tembikai di sisinya.

“Selasa. Erm.. doakan aku Tiya. Aku dah tak nak repeat dah. Penat.” luah Shah tertunduk. Malu dengan pencapaian sendiri.

“Insya-Allah. Kau pun doakan aku.”

Shah senyum. “Sentiasa Tiya. Insya-Allah..” Penuh makna.

Jeda lagi.

“Erm… Shah..”

Shah panggung kepala. Kening terjongket.

“Kau ada jumpa Alan?” tanya Fathiyah cuba mengawal riak.

Shah yang sedang menyedut air limau, terhenti. Senyum tepi ditarik sungguhpun sekali lagi hati tercarik.

“Kenapa tanya aku? Kau tahu, aku dengan dia macam mana kan?” Terlayar kembali kemesraan yang dilihat beberapa hari sebelum ulang tahun kelahiran gadis itu.

Fathiyah meletakkan sudu dan garfunya di tepi pinggan. Ada keluhan halus terlepas di bibirnya.

“Kau gaduh dengan dia ke?” soal Shah berbasa-basi. Padahal, teringin benar dia tahu akan status hubungan kedua-duanya.

“Tak adalah..” Fathiyah cepat-cepat mengulum senyum. Air tembikai disedut lagi.

“Kata kawan.. kalau ada apa-apa yang kau nak aku tolong, bagi tahulah Tiya hm?” Shah cuba memujuk. Melihat wajah yang tidak seceria mana sebaik nama Azlan terucap tadi, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena.

 Fathiyah merenung wajah di hadapannya seketika sebelum pandangan dihalakan ke arah pinggan yang ditolak ke hadapan. Cuba menimbang baik buruk dia memberitahu akan keresahan yang ditanggung beberapa hari itu.

“Erm.. dia merajuk dengan aku kut..” keluhnya perlahan.

Shah tersenyum.

Sorry Tiya, kalau aku masuk campur hal peribadi kau.”

Fathiyah pula tersenyum walaupun tawar. Lelaki itu sudah berjanji tidak akan masuk campur segala urusan peribadinya sebelum ini.

It’s okay selagi kau tak buat aku rimas.” balasnya bersama sengihan.

“Okey. Erm.. boleh aku tahu, kau dengan dia sebenarnya macam mana?” Shah sedaya upaya mengawal rasa. Terpaksa bersedia dengan jawapan yang bakal meranapkan hatinya sendiri.

“Kawan.” jawab Fathiyah sepatah. Jawapan yang dia sendiri tidak pasti sejak akhir-akhir itu.

“Kau lagi faham dia dari aku Tiya..” balas Shah penuh makna. Hati belum cukup kuat untuk bertemu dengan Azlan semata-mata mahu membantu merapatkan hubungan mereka.

Fathiyah tersenyum hambar. Terasa pahit liur yang ditelan.

……………..
+ Alan, kau kata nak call aku. Kau dah sampai ke? Hujan ni.  Harap kau dah selamat sampai.. Aku tidur dululah.

+ Alan. Thanks bunga. Cantik sangat. Love it! Tapi tadi, malu aku nak bawa ke naik bilik. Semua orang pandang. Ikan tu pun cantik. Sorry sebab dah susahkan kau, carikan untuk aku. Shawl tu pun. Aku suka. Sorry Alan, pasal malam tadi.. huu..

+ Alan. Kenapa ni? Kenapa aku call kau tak angkat? Whatsapp aku, kau tak balas. Aku tahu kau baca ni Alan. Tapi kenapa kau tak balas.

+ Alan, angkatlah phone. Please.. Jangan buat aku rasa bersalah macam ni. Aku tahu, kau marah aku pasal aku membebel-bebel semalam. Manalah aku tahu kau ada nak bagi hadiah lain..

+ Alan.. aku penatlah call kau. Sekali pun kau tak nak angkat. Sorry la kalau kau marah pasal aku tersasul sebut nama kau tu.

+ Alan.. Janganlah buat aku macam ni..

+ Alan.. kau tak sayang aku ke? Kata sayang aku..

+Alaaann!!

+ Muhammad Nurazlan Lee bin Muhammad Aznan Lee!

+ Alan.. please.. aku dah macam orang bodoh ni..

+ Alaaann!!! *aku dah jerit kuat-kuat ni. Dengar tak???

+ Alan, malam ni aku ada dinner dekat rumah Shah. Umi jemput aku. Hmm.. Babe, angkatlah phone. Penatlah taip mesej ni. Bukan kau nak balas satu pun.. :(

+ Alan.. Aku tak tahu nak cakap apa dengan Shah ni. Tolong aku!

+ Alan, kau memang marah aku kan? Dengar suara kau pun, aku dah tahu. Sorry aku ganggu. Aku tunggu kau call balik..

+ Alan, penat aku tunggu kau call balik. Kata nak call balik. Tipulah kau ni..

+ Alan… Sampai hati kau diam macam ni. :’(

+ Alan, kau tak habis-habis lagi marah aku ke?

+ Alan, aku tahulah aku salah. Tapi janganlah buat aku macam orang bodoh. Aku ada perasaan Alan. Kau ingat, kau sorang aje tahu marah? Aku pun tahu! Suka hati kaulah! Kalau kau dah tak nak kawan aku, sudah!

Tersengih lagi. Itulah yang dia lakukan apabila setiap kali baca pesanan-pesanan yang diterima daripada Fathiyah sejak beberapa hari lalu. Tiada satu pun yang dibalas. Cuma pesanan yang terakhir itu agak mengusik hati kerana tiada lagi panggilan atau pesanan yang diterima selepas itu. Seminggu berlalu, tiada lagi kata-kata pujukan yang diterima menyebabkan dia resah sendiri.

Iphone5 yang dipegang, dibelek lagi. Berkira-kira untuk menghubungi gadis itu namun terhenti apabila pintu bilik terkuak.

“Alan, jom makan! Kau dah habis packing kan?” Muncul Amir.

Sudah dua malam mereka berkongsi bilik yang sama kerana menghadiri kursus di pusat peranginan itu. Walaupun mengajar di sekolah yang berlainan, tidak menyangka mereka akan bertemu di situ.

“Dah.” Dia bingkas dari katil.

Bro, kau free tak dalam hujung bulan ni..” tanya Amir saat mereka beriringan.

“Hujung bulan ni? Dua minggu lagi la?” Kerutan terbentuk di wajah Azlan.

Amir mengangguk.

“Kenapa?”

“Adik Suhana nikah. Dapat pulak orang Kedah. So, dia ajak aku satu family ikut sekali ke sana.”

So?”

“Tiya balik hari Sabtu. Aku dah bertolak ke rumah family Suhana, Jumaat malam. Abang Am pun tak ada. Dia ada operasi. Tak tahu dia balik bila. Sekarang ni, tak ada siapa nak angkut semua barang dia bawa balik sebab dah cuti sem kan..” jelas Amir lanjut.

“Shah kan ada?” Azlan tarik senyum tepi. Maha hebat getar yang memalu ruang dada sebaik nama gadis yang dicintai menyapa gegendang telinga. Namun, ia segera dikawal dari dikesan oleh lelaki itu.

Amir melepaskan keluhan. “Sekarang aku tak tahulah dia orang macam mana. Lepas dinner dekat rumah Shah hari tu, nampak macam okey la. Tapi, dah tak macam dulu. Aku pun dah tak tahu nak buat apa dengan budak berdua tu. Agaknya memang dah tak ada jodoh kut..” lanjutnya.

“Erm.. dia tahu kau tak boleh jemput dia?” Azlan tidak mahu menyentuh perihal hati dan perasaan pasangan tersebut. Tidak berhak untuk ikut campur walaupun sebelum ini Fathiyah terbuka untuk bercerita soal hati dan perasaan.

“Belum. Suhana pun baru bagi tahu tadi..”

Sepi sehingga mereka tiba di ruang kafeteria.

“Boleh tak bro?” Soal Amir inginkan kepastian.

“Erm.. kau percayakan aku ke?” Azlan memulangkan soalan juga.

“Kalau tak percaya, aku tak suruh kau. Ibu aku pun dah kenal kau kan? Siap dia nak kahwinkan kau dengan Tiya, sebab sebelum ni Tiya selalu lepak dekat kedai kau sampai dua tiga pagi..” Amir tergelak sendiri apabila teringat ibunya merungut tentang adik bongsunya itu.

Azlan tidak mampu tertawa sungguhpun kata-kata itu hanya gurauan. Rasa tidak tertelan liurnya saat itu. Tapi kalau betul… dia tarik senyum pula.

“Tiya ada Shah, Mir.. Manalah dia pandang aku ni..” balasnya lambat merendah diri.

Best men win bro. Takkanlah belum cuba dah give up. Buat malu golongan pendidik ajelah kau ni!” Amir menepuk beberapa kali bali bahu sahabatnya sebelum terus berlalu ke meja bufet tersedia.

Azlan terkaku sendiri. Rasa tidak sanggup dia memusnahkan kebahagiaan sahabat sendiri. Walaupun hubungannya dengan Shah tidak begitu akrab, mereka masih bersahabat.


9 comments:

Anonymous said...

Entahlah kenapa rasanya alan sesuai unt tiya

Anonymous said...

mcm dgn Azlan jee...sy nk tiya n shah..

MaY_LiN said...

nk lg!!
nk lg!!

achaaaaa
:(
nk donlod file cam sipot sedut
:( :( :(

Anonymous said...

vote for azlan..hihi

Kak Sue said...

Rasa nak Tiya dgn Alan..
tapi bila baca cerita ni macam Tiya dan Shah masih saling menyayangi... cuma Shah yang EGO x mahu berterus terang tu yg buat kak sue geram...
kalau Tiya terima Alan kerana kasihan pun x adil kan...

Anonymous said...

NK TIYA DGN SHAH

MzaMuhd said...

hurm... niat shah baik. tapi, org sekarang ni kebanyakannya da boleh terima benda-benda macam ni. azlan, kalau dia fight pun, mza harap tiya xkan terima. sebab nak tiya still dgn shah. hati perempuan, xnak la cepat berubah mcm tu.

Ehem said...

Hahaha bertabahlah la miza kalau tiya pilih alan. Kekekek

Unknown said...

Nak lagi....nak lagi....best!