DB 9
“Kau kenapa dari semalam lagi
macam nak tak nak aje cakap dengan aku?” Tanya Fathiyah sebaik Shah
memberhentikan kereta di tepi pagar hostelnya.
Sejak
pertengkaran kecil tentang ularnya di kedai
Azlan, lelaki itu langsung menjadi seorang yang pendiam. Seperti sudah
hilang modal untuk bercakap dengannya dan dia perasan lelaki itu seperti
sengaja mahu mengelakkan diri.
“Takda
apa-apalah.” Balas Shah acuh tidak acuh tanpa menoleh. Masih berbekas lagi apa
yang diperkatakan oleh gadis itu semalam dan juga yang diucapkan oleh Azlan.
“Kau tak
payahlah nak tipu aku dengan muka macam tu. Kau ingat, aku baru kenal kau
semalam ke?” Fathiyah tidak puas hati. Jelas lagi nyata lelaki itu cuba mengelak
dari menjawab pertanyaannya.
“Aku penatlah
Tiya..” Shah mencipta alasan lain hanya kerana tiada hati meluahkan apa yang
terbuku kala itu. Risau akan ada pertengkaran pula yang berlaku.
“Penat? Apa
yang kau buat semalam? Malam tadi pun kau dengan Abang Amir balik lambat. Kau
pergi mana?” Tanya Fathiyah lagi masih belum puas hati.
Shah
melepaskan keluhan berat. Dia menoleh. “Tiya.. Please.. Aku penatlah. Aku nak terus balik rumah ni. Esok aku ada
kelas pagi.” Dia mula tahan hati. Terasa rimas pula kerana terpaksa menjawab
soalan demi soalan yang ditanyakan oleh gadis itu.
Fathiyah
senyum tepi. Wajah Shah dipandang dengan rasa tidak puas hati. “Apa-apa ajelah
Shah. Sorry kalau aku dah susahkan
kau. Lain kali, aku boleh balik rumah sendiri. Lain kali kau tak payah nak ikut
aku.” ucapnya sebelum menolak pintu kereta.
Shah menghela
nafas berat lagi sebelum dia turut sama keluar. Tidak senang hatinya melihat
wajah kelat gadis itu. “Tiya..” Dia memanggil perlahan menyebabkan langkah
gadis itu terhenti.
“Kau pergilah
balik. Esok kau ada kelas pagi kan? Kau kan penat.” Laju Fathiyah menjawab
sebelum dia kembali melangkah. Meninggalkan Shah yang masih setia berdiri di
tepi kereta.
Melihat Shah
begitu, dia sendiri tiada hati mahu melanjutkan bicara. Itu yang terbaik. Risau
akan ada perselisihan lain pula yang boleh menyebabkan perhubungan yang baru sahaja
pulih itu kembali keruh.
Shah melurut
rambutnya sekali bersama helaan panjang. Matanya tidak lepas memandang tubuh
Fathiyah yang kian menjauh hingga hilang di sebalik bangunan lima tingkat di
hadapannya itu, sebelum dia kembali masuk ke dalam kereta. Dia tidak terus
memandu, sebaliknya mengeluarkan telefon bimbitnya. Jemarinya laju menaip di
atas skrin.
+ Sorry Tiya.
Dia menanti.
Yakin gadis itu akan membalas
+ Kau ada buat salah dengan aku ke?
Dia senyum
tawar membaca sebaris ayat berbaur sindiran itu sebelum jemarinya kembali
bermain di atas skrin untuk membalas.
+ Siapa yang patut merajuk ni. Aku ke, kau
sebenarnya my dear?
+ Entah! Mana aku tahu. Kau tu yang sentap
dari semalam.
Shah sengih
sendiri.
+ Mana aku tak sentap. Semalam kau samakan
aku dengan Gina.
+ Erk? Ada ke?
+ Tu la.. Cakap tak fikir perasaan aku. Ikut
sedap mulut kau aje.
+ Ala.. Aku tengah marah kut. Mana perasan
apa yang aku cakap.
Shah
menggeleng pula membaca balasan gadis itu. Sedar yang dia kini mengalah lagi.
Itu sahaja yang mampu dilakukan demi menjaga perhubungan mereka.
+ Ialah Tiya.. Apa-apa ajelah. Janji kau tak
buat muka ketat tadi tu. Aku tak suka la. Susah aku nak tidur malam nanti.
Dia reka ayat
manis demi memulihkan suasana yang sedikit dingin tadi. Selebihnya untuk
memujuk hatinya sendiri. Terpaksa melupakan sahaja rajuknya tadi.
+ Tak payah nak buat ayat tahap madu sangat.
Aku tak suka madu okey! Kau tu buat muka sentap, takpa pulak?
Shah senyum.
Namun, belum pun sempat dia membalas, SMS Fathiyah masuk lagi.
+ Pergilah balik. Tadi sibuk kata penat, ada
kelas pagi. SANGAT drama ayat kau tadi.
Dia terus
tergelak sendiri. Lucu apabila teringat akan jawapan yang diberi kepada gadis
itu tadi.
+ Kita sekarang hidup pun dalam pentas dunia
kan? Kitakan pelakon. Memang kena drama lah. Cuma, aku tahu drama kau semalam
tak berapa nak jadi. Scene cari Gina dalam hutan tak berjaya sebab hari hujan.
Ha ha ha… :P
Balasnya
sengaja mahu mengusik.
+ Grr…
Lepas tawanya
melihat tiga huruf itu menghiasi skrin nipis yang dipegang. Tanpa menanti lama,
nombor gadis itu terus didail. Tidak betah lagi dia berbalas SMS kerana hari
semakin lewat petang. Dia perlu tiba di rumah sebelum maghrib.
“Ala.. Baru
usik sikit dah sentap. Relaxlah dear. Bukan selalu kan?” Ujarnya sebaik talian
bersambung.
“Eh, buang
masa aku nak sentap. Tu geram aje. Nasib kau takda depan aku. Kalau tak..”
“Kalau tak
apa?” Laju dia memintas.
“Perut kau
dengan percuma dapat ‘urutan’ ekstra kasih sayanglah.” jawab gadis itu diiringi
tawa halus yang kedengaran.
“Urutan ekstra
kasih sayang? Kalau macam tu, aku naik sekarang ya?” Balasnya nakal sengaja
mahu mengusik menyebabkan hujung talian sunyi sepi. “Tiya! Hello?” Cuba memanggil. “Tiya, kau dengar tak aku cakap ni? Kau ada
lagi ke tak?” Dia melihat beberapa kali skrin telefonnya. Yakin yang gadis itu
masih di hujung talian.
“Kau pergilah
balik. Nanti lambat kau sampai. Kirim salam dengan umi. Bye!” Talian terputus. Shah kerut dahi. Pelik.
…………
“Weh.” Emma yang tiba-tiba masuk membuatkan Fathiyah sedikit tersentak.
Pura-pura mengemaskan meja belajar yang sedia kemas.
“Ala.. Tak
payahlah nak berlakon sangat beb. Macamlah
aku tak nampak apa yang kau buat. Terintai-intai tepi tingkap. Kau ingat aku
tak tahu siapa hantar kau tadi?” Ujar Emma sambil meletakkan beg galas serta
beberapa buah buku yang dibawa, ke atas meja sebelum dia merebahkan tubuhnya di
katil.
“Siapa?” Soal
Fathiyah tanpa menoleh. Tidak mahu sahabatnya itu perasan akan wajahnya yang
memerah gara-gara kata-katanya yang menjerat diri tadi. Sudahnya, Shah galak
mengusik.
“Kekasih awal
akhir kau tu la. Macamlah aku tak nampak kereta dia dekat bawah tu tadi.” Balas
Emma sebelum menegakkan tubuh semula apabila terdengar bunyi dari dalam beg
galasnya.
Fathiyah tersengih
kelat. “Erm.. Kau dari mana ni?” Soalnya pula terus menukar topik.
“Library.” Jawab Emma pendek dengan
matanya terhala ke arah skrin nipis selebar tapak tangannya.
“Hari Ahad ni
pergi library? Dengan siapa?”
Fathiyah sedikit pelik. Setahunya gadis itu hanya akan ke perpustakaan pada
hari biasa. Dan sepanjang mereka kenal, sahabatnya itu cukup tidak suka ke perpustakaan
melainkan terpaksa.
“Siapa lagi.
Aminuddin Zahril la.” Jawab Emma malas sambil merebahkan tubuhnya kembali.
Terasa letih benar tubuhnya kerana satu hari itu terpaksa mengikut Zahril ke
perpustakaan untuk mencari bahan rujukan bagi menyiapkan tugasan mereka. “Beb, lepas maghrib ni dia ajak makan
sama. Dia suruh ajak kau sekali.” Lanjutnya menyampaikan pesanan yang diterima
daripada Zahril sebentar tadi.
“Ala.. Aku
malaslah nak keluar lagi.” Fathiyah menolak. Cuba mengelakkan diri dari bertemu
dengan lelaki itu.
“Beb, dia ada dalam kampus ni aje tau.
Dan dia memang sengaja tak balik sebab nak ajak kita dinner sama.” Balas Emma yang sudah berjanji.
“Kita? Kita ke
aku?” Sengaja Fathiyah menekan setiap patah perkataan yang meniti bibirnya.
Mudah dia membaca rancangan Zahril apabila mereka keluar bersama. Perhatian
lelaki itu sudah pasti lebih kepadanya.
“Whateverlah. Yang penting aku dah lapar
sangat sebenarnya ni. Si Zahril tu pergi beli dua biji karipap aje masa lunch tadi. Gila betul!” rungut Emma
sebelum bingkas. Tuala yang tersangkut di belakang pintu dicapai.
“Ala.. Kau
ajelah pergi. Sebab tadi pun aku dah makanlah dekat rumah..” Fathiyah tetap
juga cuba mencipta alasan.
“Ah! Aku dah
cakap okey aje kau nak keluar malam.” Balas Emma dengan sengihan tanpa rasa
bersalah. Cepat-cepat dia melangkah keluar kerana tahu yang teman sebiliknya
itu akan membebel sebentar nanti.
Fathiyah ketap
bibir. Tidak mampu menolak.
…………..
“Ril, kau takda
tempat lagi jauh ke nak bawak kita
orang pergi makan?” Selamba Emma menyindir sebaik keluar dari kereta. Lebih
setengah jam mereka dalam kereta semata-mata mahu ke tempat itu. Matanya sempat
menjeling ke arah Fathiyah yang pura-pura mengoyak senyum lebar. Dia tahu
sahabatnya itu tidak suka apa yang sedang berlaku kini.
“Tiya tak bising pun.” Jawab Zahril
selamba yang jalan beriringan dengan gadis itu.
Fathiyah senyum kelat. Sempat
juga dia menghadiahkan jelingan ke arah Emma. “Erm.., ni kedai siapa?” Soalnya apabila
melihat suasana restoran yang begitu meriah dengan kehadiran pelanggan yang
ramai. Dan kebanyakannya adalah lelaki.
“Tiya ingat tak hari tu, Zahril
ada cakap pasal kedai Uncle Izzy? Ni
la kedai yang Zahril cakap tu.” Jelas Zahril dalam senyuman. Tenang sahaja
hatinya apabila gadis itu ada di hadapan mata.
“Oh.. Yang arwah wife dia dulu atlet renang ke?” Fathiyah
cuba mengingati semula.
“Yup!” Zahril tersenyum lebar.
“Ril, ramainya lelaki? Ni memang
kedai makan untuk lelaki ke apa?” Emma mencelah saat kaki terhenti di muka
pintu gerbang restoran yang memilih konsep kampung sebagai tema.
Zahril tersengih. “Takdalah. Jom
masuk.” Dia mendahului dua gadis itu.
Fathiyah memegang lengan Emma.
Agak tidak selesa saat berjalan masuk apabila perasan banyak pasang mata yang
tertumpu pada mereka menyebabkan dia tidak berani menoleh ke kiri mahupun ke
kanan. Fokusnya hanya buat Zahril yang berjalan di hadapan. Menurut sahaja ke
mana langkah kaki lelaki itu.
Tiba di sebuah meja paling
belakang, baru dia menarik nafas lega. Dari situ, baru dia perasan yang
sememangnya hanya ada seorang dua sahaja pelanggan wanita dan selebihnya adalah
lelaki. Dia menggeleng. Penangan dua skrin besar yang sedang menayangkan
perlawanan bola sepak. Tidak hairanlah kaum Adam akan memenuhi restoran itu.
“Korang nak makan apa?” Tanya Zahril.
“Zahril, saya nak air tembikai
ajelah. Makan tak nak. Saya kenyang lagi makan dekat rumah tadi.” Sahut
Fathiyah dengan senyuman nipis.
“Aku apa-apa ajelah. Tapi nak
nasi. Air macam biasa.” Tambah Emma pula.
“Okey.” Zahril terus berlalu ke
kaunter berhampiran.
“Beb, aku rasa macam tak pakai baju dekat sini.” Luah Emma perlahan
sambil menarik sweater yang dipakai.
“Hm.. Mata lelaki beb. Tahu ajelah. Sekali pandang rezeki
kan? Dua kali pandang, rezeki jugak.”
Jawab Fathiyah selamba walaupun sebenarnya dia turut merasai perkara yang sama.
Padahal, masing-masing mengenakan baju-t lengan panjang dan jeans yang longgar.
Cuma hanya mereka tidak menutupi aurat di hujung kepala yang mendedahkan
pemandangan di bahagian dada.
“Assalamualaikum.” Sapa satu
suara garau yang menghampiri meja mereka tiba-tiba.
Fathiyah sudah melemparkan
senyum manis sebaik menjawab salam. Emma pula berkerut dahi.
“Macam pernah tengoklah Uncle ni..” Ujar Fathiyah kepada lelaki
yang melabuhkan duduk di hadapan mereka.
Emma tidak lepas memandang wajah
lelaki yang sudah berusia tetapi masih segak itu.
“Fathiyah kan? Yang ni Emma.”
Syed Azizi melemparkan senyum kepada kedua-dua gadis itu.
“Ni ke Uncle Izzy?” Balas Emma
ragu-ragu. Dia hanya kenal pada nama. Namun dia sendiri belum pernah bertemu
dengan lelaki itu seperti mana yang diceritakan oleh Zahril sebelum ini.
Syed Azizi angguk sekali. Tidak
lekang dengan senyuman di bibirnya.
Fathiyah yang memerhati, terus mematikan
senyum saat melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. ‘Macam kenal
senyum tu..’ Desis hatinya. “Uncle,
kita pernah jumpa ke?” Ringan mulutnya bertanya.
Syed Azizi senyum lagi. “Nur
Fathiyah Abdul Rahman. Girlfriend Amirudin
Zulkarnain Shah. Siapa tak kenal.” Balasnya dengan senyum penuh makna sebelum
dia memandang ke arah sekumpulan lelaki yang sedang leka menonton perlawanan bola
sepak Liga Piala Inggeris.
Mata Emma membulat memandang ke
wajah teman sebiliknya itu. “Kau kenal Uncle Izzy?” Soalnya separa terkejut.
Fathiyah senyum kelat. Cuba
mengingati seraut wajah di hadapannya itu. Pelik bagaimana lelaki itu tahu dia
berkawan dengan Shah.
“Tiya, Uncle Izzy ni coach kelab hoki ex-boyfriend awak tu.” Celah Amin yang kembali bersama tiga gelas
air berperisa di dalam dulang yang dibawa.
“Oh.. Patutlah macam kenal.”
Fathiyah terus mengoyak senyum lebar.
Dia baru teringat akan seraut
wajah itu. Dahulu dia sering mengikuti Shah ke padang jika lelaki itu mempunyai
latihan mahupun perlawanan penting. Cuma, dia belum pernah melihat seraut wajah
lelaki yang berumur lewat 40-an itu dengan lebih dekat. Dan pastinya, dia hanya
perasan wajah garang dan tegas Syed Azizi ketika mengendalikan pasukan hoki di
padang. Susah benar melihat wajah lelaki itu tersenyum seperti di hadapannya
kini. Cuma, senyuman itu persis seseorang yang cukup dekat di hatinya..
“Uncle dah lama tak nampak
Fathiyah datang masa Shah training
sebelum ni. Tu yang nampak Tiya masuk tadi, Uncle rasa macam kenal.” Balas Syed
Azizi senang.
“Nama Uncle Syed Azizi, tapi
kenapa nama kau takda Syed Ril?” Ujar Emma tiba-tiba. Baru perasan akan
perbezaan itu walaupun sebelum ini Amin ada memberitahu akan nama sebenar Uncle
Izzy.
“Memanglah takda. Uncle Azizi ni
kahwin dengan Aunty aku. Kan Aunty aku dah takda. Sekarang ni, Uncle Izzy aku
ni la, Uncle paling hot yang aku ada
tahu tak?” Jawab Zahril sambil menepuk beberapa kali bahu suami arwah ibu
saudaranya itu.
“Ada-ada ajelah kamu Ril.
Makanan dah siap ke belum dekat belakang tu? Kamu pergi tengok.” Balas Syed
Azizi pula. Segan dipuji begitu oleh Zahril yang sudah dianggap seperti anaknya
sendiri memandangkan dia tidak punya zuriat sepanjang bernikah selama hampir
tiga puluh tahun lalu bersama bekas isterinya.
“Uncle, kedai uncle ni memang kedai lelaki ke?” Emma
berbasa-basi apabila perasan semua pekerja yang ada adalah lelaki.
Syed Azizi tergelak. “Ha’ah.
Memang sengaja Uncle pilih lelaki. Senang nak handle.” Senang dia menjawab.
“Ia ke senang handle Uncle? Macam susah aje Emma tengok.”
Balas Emma bersama kerutan. Gerun juga tadi dia mahu masuk ke restoran itu.
Syed Azizi hanya senyum.
“Okeylah. Enjoy your dinner okey?
Makanan dah siap tu.” Ujarnya apabila kelibat anak saudaranya sudah kembali
bersama seorang pekerja sambil membawa makanan yang dipesan. “Nanti kalau ada apa-apa,
panggil aje Uncle dekat depan tu dengan budak-budak tu..” Sambungnya sebelum
bingkas. Dia mahu mendapatkan anak-anak didik pasukan hokinya yang turut sama
ada di situ.
“Okey Uncle!” Mesra Emma
menjawab manakala Fathiyah hanya melemparkan senyum sambil menghantar langkah
Syed Azizi mendapatkan sekumpulan lelaki yang mengenakan baju-t hampir sama di
meja panjang di hadapan skrin besar. Dia cuba memerhati satu persatu wajah
lelaki di situ hinggalah matanya terhenti ke seraut wajah yang dikenali sebelum
terhenti lama ke seraut wajah yang satu lagi. Liur ditelan kesat. Bibir
mengoyak senyum payau.
“Kau senyum dengan siapa beb?” Emma menyiku perlahan lengannya
membuatkan dia segera berpaling.
“Er.. Shah..” Jawabnya perlahan
tidak mahu didengari Zahril yang sudah mengambil tempat Syed Azizi tadi.
Emma yang sedang menyedut jus
oren dari gelasnya hampir tersedak. Kepalanya segera diangkat untuk mencari
seraut wajah yang dimaksudkan.
“Korang pandang apa?” Zahril yang perasan akan reaksi kedua-dua
gadis di hadapannya itu turut memandang ke arah yang sama. Helaan halus
terlepas di bibirnya.
………..
“Kau cakap nak
balik cepat tadi sebab ada kelas pagi esok. Sekarang kenapa kau ada dekat
sini?” Fathiyah menyoal kembali apabila Shah mempersoalkan kenapa dia berada di
restoran itu.
“Kau lupa rumah aku dekat mana?
Rumah aku dekat perumahan belakang ni aje. Yang kau tu, datang jauh-jauh macam
ni kenapa? Bukan dekat rumah tadi kau dah makan ke?” Balas Shah yang cukup
tidak senang saat melihat gadis itu melangkah masuk ke restoran tadi. Tambahan
pula bersama seorang lelaki yang pernah ditemui sebelum ini.
“Ala.. Manalah aku tahu Zahril
nak bawak aku ke sini. Aku cuma
temankan roommate aku aje. Aku tak
makan pun la.” Balas Fathiyah dengan wajah yang mencuka. Tidak suka melihat
ketegangan di wajah lelaki di hadapannya itu.
“Kau ada apa-apa ke dengan mamat tu?” Selamba Shah bertanya demi
meredakan api cemburu yang menghangatkan hati.
Fathiyah kerut dahi. “Soalan apa
tu?” Dia memulangkan soalan juga. Yakin yang mungkin sahaja Shah lupa akan
perjanjian mereka. Dia berhak untuk mengenali sesiapa pun sebelum dia benar-benar
bertemu dengan jodohnya.
Shah ketap bibir. Wajah gadis di
hadapannya itu dipandang geram. ‘Lepas sorang,
sorang datang pada dia ni.. huh!’ Merungut-rungut hatinya apabila ada dua
orang lelaki yang cuba mendekati gadis itu. Bukan dia sukar tafsir cara lelaki
bernama Zahril memandang bekas kekasihnya tadi.
“Tiya.. Jom..” Ada suara garau
mencelah membuatkan kedua-duanya berpaling. Amin kian menghampiri mereka di
tempat letak kereta itu.
Fathiyah serba salah. “Er.. Aku
balik dululah. Kirim salam pada Nuar.” Ujarnya serba tidak kena sebelum
bergerak meninggalkan Shah di situ. Terus sahaja dia mendapatkan Zahril dan Emma
yang sudah sedia menanti di kereta selang beberapa buah kereta dari tempat
mereka berdiri.
Shah tidak membalas. Sebaliknya
pandangan matanya tajam menghantar langkah si kekasih hati yang kian menjauh.
Telefon dari saku seluar dikeluarkan. Jemarinya ligat di atas Samsung Galaxy S4
yang dipegang.
+ Beb, kau sampai bagi tahu aku. Terus balik! Kau jangan nak merayau ke
tempat lain pulak.
Mesej berbaur amaran dihantar.
Langsung tiada keyakinan di hatinya apabila membiarkan Fathiyah keluar malam
bersama kawan lelaki walaupun masih ada kawan yang lain turut serta. Bukan dia
tidak tahu yang sejak dulu lagi Fathiyah mudah sahaja berkawan dengan lelaki.
Telefon yang dipegang bergetar
beberapa saat kemudian sebaik matanya melihat kereta yang dipandu oleh Zahril
mula bergerak meninggalkan petak parkir.
+ Kalau aku merayau kenapa? Kau nak ikut ke? :P
Sekali lagi Shah ketap bibir
rapat hingga menampakkan rahangnya. Fathiyah memang suka mencabar tahap
kesabarannya yang tidak setebal mana.
1 comment:
macamana nak melapaskan kalau hati masih sayang... shah....
Post a Comment