Jun 10, 2014

Dambaan Bahagia_bab 7_repost

DB 7

“Janganlah kau berhenti..” Gumam Fathiyah perlahan sambil menundukkan wajah. Mengelak dari Shah perasan akan kelibatnya di situ. Namun jangkaannya meleset apabila kereta Vios warna hitam berhenti betul-betul di hadapannya di perhentian bas itu.

“Tiya!”

Bibir diketap rapat apabila Shah menurunkan cermin tingkap. Dalam keadaan yang sedikit sesak dengan pelajar-pelajar lain yang turut sama menanti bas, membuatkan kewujudan Shah di situ menjadi tumpuan. Terutamanya pelajar perempuan. Bukan dia tidak perasan kemunculan Shah memang sentiasa mampu menarik tumpuan kaum Hawa walau di mana pun lelaki itu berada sejak dahulu lagi.

“Tiya!” Laung Shah lagi menyebabkan dia tidak punya pilihan. Sedar yang dia juga mula menjadi tumpuan, punggung terus diangkat. Dengan langkah yang berat dia terus sahaja meloloskan diri dalam kereta lelaki itu. Ada perasaan menyesal mula terbit di hati apabila mengenang kembali perjanjian yang sudah dibuat seminggu yang lalu.

“Kau nak pergi mana?” tanya Shah cukup tenang sebaik kembali memandu. Lagak seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini.

“Er.. Nak balik hostel.” Jawab Fathiyah yang cuba menenangkan hatinya sendiri. Dia agak pelik melihat wajah Shah yang begitu tenang apabila bertemu dengannya. Sedangkan dia, hatinya kini sedang bergolak hebat untuk berpura-pura baik dengan lelaki itu.

“Kau dah makan?” Lembut Shah bertanya yang sesekali menoleh. Bibir sembunyi senyum. Dia tahu Fathiyah masih sukar menerima dirinya walaupun gadis itu sudah berjanji untuk berbaik.

“Belum.” Sepatah Fathiyah menjawab dengan wajah dipalingkan ke luar tingkap.

“Kita makan dulu nak? Lepas tu aku hantar balik hostel eyh?”

“Kau dah takda kelas ke lepas ni?” Fathiyah cuba mengikut rentak lelaki itu.

“Ada. Tapi aku malas nak pergilah.” selamba Shah menjawab dengan sengihan.

“Kau ni, macam manalah tak repeat. Asyik nak ponteng kelas aje. Sekarang pun kau dah stop hoki kan? Pergilah kelas.” balas Fathiyah lancar. Tanpa sedar dia kini sudah kembali kepada karakternya yang sebenar apabila bersama lelaki itu.

Shah tersenyum lebar. ‘Welcome back my dear…’ Bisik hatinya. Fathiyah yang suka membebel dengannya sudah kembali. “Ala.. Aku baru sekali nak ponteng. Bukan selalu.” jawabnya lambat. “Erm… Kau nak makan dekat mana?” Mesra dia melayan gadis itu sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Erm.. Mana-mana ajelah. Tapi jangan jauh sangat. Lepas zuhur nanti aku nak pergi fakulti. Ada discussion sikit.” Balas Fathiyah mula selesa walaupun jauh di sudut hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu. Dia kini amat keliru dengan perasaannya sendiri.

“Erm.. Lama ke discussion?” Shah mengajukan soalan. Ingin tahu akan segala kegiatan gadis itu.

“Tak tahu lagi. Er… Kenapa?” Fathiyah mula tidak senang. Risau andai pertemuan mereka lebih kerap selepas ini.

“Erm.. Nanti balik aku ambik. Tak payah kau susah-susah berebut naik bas.” Shah menggariskan senyum. Dengan senang hati dia mahu menjadi pemandu khas gadis itu.

“Eh, takpalah. Susahkan kau aje. Kau pun bukan duduk hostel kan? Tak payahlah kau susah-susah. Nanti member-member aku pun ada. Aku boleh tumpang dengan dia orang nanti.” Fathiyah cuba mencipta alasan. Tidak sanggup dia berlamaan dengan lelaki itu. Risau luka di hatinya bertambah dalam.

“Nur Fathiyah..”

Fathiyah menoleh. Gemeresik suara Shah mengusik hati membuatkan wajahnya serta-merta terasa hangat. Segera dia palingkan wajahnya ke sisi.

Shah senyum. “Nanti habis discussion, call aku. Aku ada aje dekat stadium. Sementara tunggu kau, aku boleh join Nuar training. Aku pun dah lama tak training. Nanti boleh terus dinner sama-sama. Dah lama sangat kita tak dinner sama kan?” tuturnya cukup menyenangkan.

“Er…” Serba salah Fathiyah ingin memberi persetujuan. Sememangnya ada cebisan rindu jauh di sudut hatinya untuk melalui detik-detik seperti dahulu. Namun cukup tabahkah hatinya untuk mengulangi detik itu semula?

“Diam tandanya setuju..” Shah mengusik. Dia tahu Fathiyah masih belum dapat menyesuaikan diri kerana semuanya berlaku terlalu drastik. Masih ada kekok. Dia sendiri cuba menyesuaikan diri akan keadaan baru itu setelah  dua tahun mereka bermusuh.

Fathiyah senyum tawar.

“Kira jadilah eyh?” Shah memandang sekilas. Senyuman yang cukup manis dilemparkan buat gadis itu.

“Aku takda pilihan kan?” Fathiyah terpaksa mengalah.

………….
“Er… Ni rumah siapa? Tadi kau kata nak dinner?” Fathiyah tidak senang. Ada debar berkunjung dalam hatinya apabila melihat rumah banglo dua tingkat itu.

“Ni la rumah family aku. Umi dah lama teringin nak ajak kau datang sini.” jawab Shah sebaik mematikan enjin kereta.

Selepas pertunangan mereka dibatalkan, keluarganya terus berpindah ke situ memandangkan ayahnya sudah membuka syarikat kontraktor sendiri.

“Alah… Kenapa kau tak cakap awal-awal? Kau tengok aku sekarang pakai apa? Malulah aku nak jumpa umi dengan abah macam ni…” Rungut Fathiyah apabila perasan akan pakaian yang dipakai kurang sesuai. Dia hanya mengenakan bottom track bersama baju-t lengan panjang.

“Umi dengan abah tak kisahlah… Kau macam tak biasa. Sebelum ni, okey aje kau pakai macam ni.” balas Shah sebelum mereka sama-sama keluar dari kereta.

“Alah… Tu dulu… Sekarang dah lainlah Shah…” Fathiyah tetap resah. Terasa malu untuk bertemu dengan ahli keluarga Shah walaupun sebelum ini mereka cukup akrab.

“Dulu, sekarang, sama aje Tiya.. Kau tetap Fathiyah yang aku kenal dulu.” ucap Shah menenangkan. “Jom. Dah lama family aku tunggu. Lepas isyak nanti, aku hantar kau balik. Jom…” sambungnya seraya menghulurkan tangan.

Fathiyah memuncung. Serba salah. Mahu atau tidak, dia sudah pun tiba.

“Kak Tiya!” Muncul Aween di muka pintu. Terus sahaja gadis itu mendapatkan Fathiyah yang masih kaku berdiri di tepi kereta.

“Lamanya Aween tak jumpa akak. Kurusnya akak sekarang ni. Tak makan ke?” soal Aween sebaik meleraikan pelukan.

“Takdalah.. Akak macam biasa ajelah Ween. Aween tu yang makin cantik sekarang.” Fathiyah mencuit hujung hidung remaja itu. Terlalu lama dia tidak bertemu dengan gadis itu sejak dia dan Shah memutuskan hubungan.

“Jom akak.. Umi dah lama tunggu akak.” Aween terus menarik tangannya tanpa sempat dia membalas. Dia memandang ke wajah Shah namun lelaki itu hanya mampu tersengih.

“Tiya..” Hajah Aznah sedia menanti di muka pintu dengan senyuman.

“Umi..” Tubuhnya terus didakap erat. Tergamam dia seketika.

“Dah lama sangat Umi nak Tiya datang rumah umi ni..” Tutur Hajah Aznah dengan genangan air mata.  Terharu dengan kedatangan gadis itu sebaik dimaklumkan oleh anak lelakinya tengah hari tadi walaupun pada mulanya ada rasa tidak percaya di hati. Namun selepas Shah menerangkan keadaan yang sebenar, dia mengucap syukur tidak terhingga. Peluang yang ada tidak akan dilepaskan demi memulihkan hubungan yang dingin sebelum ini.

Fathiyah mengukir senyum. Ada sebak yang bertandang apabila melihat wajah wanita yang cukup disayangi seperti ibunya sendiri itu.

“Tiya!” Muncul pula Aqilah bersama Azrina. Kedua-dua wanita itu pula memeluknya bersilih ganti membuat sebak yang bertandang di hatinya kian membukit. Penerimaan keluarga itu tetap sama seperti dulu.

“Tiya malu dengan semua… Tengok Tiya pakai apa… Shah la ni… Dia tak cakap pun dengan Tiya nak datang sini…” Ucapnya sedikit lirih sebaik meleraikan pelukan Azrina.

“Takpalah. Macam ni pun dah cantik.” Balas Azrina sambil menjeling ke wajah Shah yang menjadi pemerhati setia sejak tadi. “Jom.. Umi masak special untuk dinner malam ni tau.” Katanya lagi saat mereka beriringan.

“Buat susah umi aje…” Fathiyah memandang ke wajah wanita yang sebaya dengan ibunya itu.

“Takda susahlah. Kalau untuk Tiya, apa-apa pun boleh.” Balas Hajah Aznah sambil menyentuh pipinya.

“Terima kasih umi..” Fathiyah menahan sebak lagi. Terharu dengan keikhlasan wanita itu. “Erm… Abah mana?” Soalnya pula apabila perasan kelibat Haji Ridhuan tidak kelihatan.

“Abah tengah mandi. Dah nak maghrib ni, kalau Tiya nak mandi pun boleh. Lepas tu kita jemaah sama-sama.” Sahut Aqilah pula.

“Ha’ah kak. Akak boleh pakai baju kita orang.” Tambah Aween pula senang.

Fathiyah tersenyum pahit. Kemesraan yang ditunjukkan oleh keluarga itu benar-benar menyentuh hatinya. Sedikit pun tidak kurang seperti mana dahulu.

“Umi.. Shah naik dululah. Shah pun nak mandi ni.” Celah Shah yang mahu segera meloloskan diri. Tidak sanggup dia memandang wajah Fathiyah yang jelas serba tidak kena apabila bertemu dengan ahli keluarganya. Dia tahu gadis itu kian terluka dengan apa yang berlaku kini.

Shah sempat menoleh sekilas ke wajah Fathiyah sebelum dia terus berlalu.

“Jom kak.. Naik dulu.” Mesra Aween menarik tangan Fathiyah agar menurutinya ke bilik.

“Tiya pakai baju akaklah. Nanti akak ambikkan.” Tambah Azrina pula sebelum memanjat tangga.

Fathiyah saat itu pula tidak lagi mampu menolak. Terpaksa menuruti langkah gadis-gadis itu naik ke bilik. Sempat dia melemparkan senyum buat Hajah Aznah yang memerhati.

…………….
“Senyap aje..” Shah bersuara apabila hampir sepuluh minit mereka bertolak, gadis di sisinya itu hanya mendiamkan diri.

Fathiyah menoleh. Wajah Shah dipandang. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya ingin diluahkan namun tidak terluah kerana yakin ia akan mengundang air matanya.

“Kenapa pandang aku macam tu?” Ujar Shah bersama kerutan di wajahnya.

“Macam mana kau boleh tenang macam ni Shah?” Terpacul soalan itu dari bibir Fathiyah.

Sepanjang bersama keluarga lelaki itu tadi, sedaya upaya dia mengawal hatinya. Tetapi lelaki itu, kelihatan lebih bersahaja dan tenang sentiasa.

Shah melemparkan senyum manis sebelum membalas. “Sebab aku senang hati dengan apa yang aku buat sekarang ni.” Dia memandang sekilas ke wajah gadis itu.

“Semudah tu?”

Shah mengangguk yakin. “Kata orang, ikhlas tu tak boleh kita gambarkan dengan kata-kata. Sebab ikhlas dah libatkan soal hati. Allah aje yang tahu hati kita. Cuma apa yang aku boleh cakap, kita boleh tahu orang tu ikhlas ke tak dalam buat sesuatu perkara. Tengok aje cara dia. Orang yang ikhlas ni, akan senang hati dengan apa yang dia buat. Tak macam orang yang tak ikhlas. Mesti dia tak senang hati sebab rasa terpaksa.” Dia meluahkan pendapatnya.

“Erm… Maknanya kau nak kata aku tak cukup ikhlas la kan?” Fathiyah rasa tersindir.

Shah senyum lagi. “Aku bukan tuhan Tiya… Aku tak boleh nak tuduh kau ikhlas ke tak.” Jawabnya tenang. Tiada niat mahu menyindir gadis itu.

Fathiyah melepaskan keluhan panjang.

“Tiya… Aku tahu kau rasa terpaksa dengan semua ni. Tapi kau dah janji dengan aku kan?” Lembut dia menuturkannya. Bukan untuk mengungkit. Jauh sekali untuk mencari gaduh. Dia sekadar mahukan kerjasama agar dia mampu mencipta kenangan terindah dalam memori sebelum gadis itu pergi jauh darinya.

Fathiyah mula menahan sebak. Wajahnya dipalingkan ke sisi untuk menyembunyikan air jernih yang mula bertakung di tubir mata. Dia gagal untuk menjadi seikhlas lelaki itu. Bukan dia tidak perasaan akan layanan yang diterimanya. Seluruh ahli keluarga lelaki itu cukup ikhlas menerima kehadirannya.

“Tiya…”

“Susah aku nak terima semua ni Shah… Lepas dua tahun kita tak jumpa, tak bercakap… Tiba-tiba…”

“Fathiyah…”

“Hati aku sakit sangat Shah… Baru sehari aku dengan kau, aku dah rasa macam ni… Aku tak tahu apa yang jadi kalau…” Fathiyah mula mengalirkan air mata. Tidak mampu ditahan lagi.

Keluhan berat meniti bibir Shah pula. Tidak tahu apa yang harus diucapkan demi menenangkan hati yang sedang menangis itu. Sudahnya dia berterusan mendiamkan diri. Membiarkan gadis itu memujuk hati sendiri.

Fathiyah menyeka air mata yang membasahi pipi. Terasa malu pula kerana menangis di hadapan lelaki itu. Jelas benar yang dia tidak begitu kuat untuk menghadapi segala-galanya.

“Er… Jumaat nanti, boleh kau hantar aku balik rumah ibu? Dah lama aku tak balik rumah…” Ujarnya dengan suara yang sedikit bergetar. Dia memasang tekad baru. Jika Shah mampu setabah dan setenang itu, dia juga mahu begitu. Biarlah walaupun hatinya semakin terluka.

Shah menoleh. Senyuman tawar dilemparkan. Walaupun sedikit terkejut dengan permintaan gadis itu, dia akan tetap turutkan. Sememangnya ada satu matlamat lain yang mahu dicapai daripada keputusan yang dibuat. Dia ingin merapatkan kembali hubungan ahli keluarga Fathiyah. Dia tahu hubungan gadis itu bersama ahli keluarga yang lain agak renggang gara-gara kes khalwat mereka.

“Erm… Kalau aku duduk rumah kau hujung minggu ni boleh? Aku pun dah lama tak lepak dengan kawan-kawan lama kita… Er… Ahad, aku hantar kau balik hostel.” Pintanya sekadar mencuba nasib.

“Kau tahu ibu macam mana kan? Dia takkan pernah tolak kau Shah…” Balas Fathiyah perlahan tanpa menoleh.

Satu lagi hakikat yang tidak mampu ditolak. Kehadiran Shah dalam keluarganya begitu diterima baik sejak arwah ayahnya masih ada. Malah, Shah begitu akrab dengan arwah ayahnya dahulu.

Shah memaniskan senyum. Lega kerana hasratnya tercapai.

“Tiya…”

Fathiyah menoleh.

“Terima kasih.”

Fathiyah mengerutkan wajah. “Buat apa?”

“Sebab kau sudi lagi nak baik dengan aku… Family aku… Er… Aku harap dan sangat berharap aku boleh terus jadi kawan kau walaupun kau dah jumpa dengan…”

Stop it la Shah… Tak payah ingatkan aku pasal tu.” Fathiyah memintas. Hatinya sakit apabila memikirkan hal tersebut.

Sorry…”

Fathiyah menggeleng perlahan. “Kalau kau nak kita terus baik, kau tak payah sebut hal tu. Aku tahu apa yang aku buat. Dan aku harap, kau pun pegang janji kau. Kita takkan ada apa-apa lagi urusan lepas aku nikah.” Walaupun terasa payah, namun akan tetap dikotakan. Yakin akan rencana Allah. Mungkin memang sudah ditakdirkan lelaki itu bukan jodohnya.

“Er… Aku nak tanya sikit boleh tak?” Shah menoleh sekilas.

“Sejak bila kau pandai nak mintak izin bagai ni.” Sindir Fathiyah bersama jelingan.

Shah tersengih payau. “Ialah… Aku takut kau marah…” Akuinya.

Fathiyah menjuihkan bibir. “Selama ni memang aku marah kau apa.” Selamba dia menjawab.

Shah tersengih lebar pula. Terlupa tentang itu. “Erm… Selama kita tak contact, ada tak mana-mana lelaki yang rapat dengan kau?” Sengaja dia ingin tahu. Sekurang-kurangnya dia dapat pastikan lelaki yang akan mendekati gadis itu, lebih layak darinya.

Fathiyah menjeling tajam ke wajah lelaki di sisinya itu. “Kenapa kau nak tahu?”

“Saja.” Shah pura-pura tenang.

“Ada. Alan.” Jawab Fathiyah jujur. Salah seorang sahabat mereka sejak kecil lagi.

“Alan? Azlan?” Shah sedikit terkejut.

Fathiyah mengangguk bersama senyuman nipis. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu.

“Er… Kau ada apa-apa ke dengan dia?” Shah cuba tahan hati. Tidak menyangka sahabat yang pernah menaruh perasaan terhadap Fathiyah dulu yang menjadi pilihan.

“Kalau ada apa-apa kenapa? Tak boleh ke?” Sengaja Fathiyah menduga.

“Kau boleh tak cari lelaki lain? Alan tu…”

“Dia cukup baik apa… Tak pernah nak sakitkan hati aku.” Balas Fathiyah selamba berbaur sindiran.

Shah ketap bibir. Entah kenapa hati lelakinya terusik. Tercabar atau cemburu?

Fathiyah mengulum senyum. Dia perasan riak wajah Shah mula bertukar tegang. Padan muka! Sempat lagi hatinya mengejek. Bukan dia tidak tahu akan hubungan Azlan dan Shah sejak dahulu sedikit dingin. Semua gara-gara Azlan pernah meluahkan isi hati kepadanya. Dan hingga ke hari ini juga, dia cukup baik dengan lelaki itu.


1 comment:

Kak Sue said...

Tahu pulak cemburu bila Alan nak berbaik dgn Tiya...Sabarrr... bagi Shah rasa cemburu dan tercabar sedikit...hihihi