DB 12
Gelas tembikai laici ditolak ke
hadapan si pemilik sebelum dia melabuhkan duduk di hadapannya.
Sepi.
“Tiya, kalau
kau datang sini semata-mata nak tenung aku, baik tak payah. Nanti aku tak boleh
tidur, kau jugak yang susah.” Azlan
cuba bergurau memandangkan hampir setengah jam Fathiyah di situ, hanya sepatah
dua perkataan sahaja yang kedengaran. Lebih sebulan gadis itu tidak menjejakkan
ke restoran ibunya itu.
Fathiyah
menghela nafas panjang. Mata tunak memandang gelas tinggi berisi air tembikai
laici ketiga yang dipesan.
“Mana aku nak
cari ular eyh?” Itu yang terpacul di
bibirnya menyebabkan Azlan hampir sahaja terlopong.
“Kau ni gila
ke apa?” Azlan berkerut sambil mengurut belakang tengkuk. Merinding bulu roma apabila
haiwan eksotik itu disebut.
Fathiyah
menarik senyum segaris. “Aku baru cakap ular, muka kau dah tak boleh blah. Macam mana aku nak terima kau
Alan, kalau dengan ular pun kau takut.” ucapnya sebelum menyedut perlahan air
tembikai laici di hadapannya.
“Kau ni,
punyalah banyak binatang dalam dunia ni, yang kau nak pergi jaga ular jugak kenapa? Nanti hilang, kau jugak yang menangis.” balas Azlan
bersama gelengan. Fathiyahlah satu-satunya sahabat dan gadis yang begitu obses
dengan haiwan eksotik tersebut.
“Si Gina tu,
Abang Am yang buang. Bukan hilang. Saja mendengki dengan aku dia tu! Nasib aku
tak jual Si Alex dengan Si Mary tu. Biar dia menangis pulak!” rengus Fathiyah sedikit geram. Dia masih lagi tidak berpuas
hati dengan tindakan Amrizan yang melepaskan haiwan kesayangannya itu tanpa
pengetahuannya.
Azlan tergelak
pula. “Habis tu, kau nak cari ganti Gina la ni?” Sengaja menduga dan gadis itu
terus mengangguk menyebabkan sekali lagi dia menggeleng perlahan.
“Nantilah,
kalau ada mana-mana anak ular sawa melintas depan ni, aku tangkapkan untuk
kau.” Dia berlelucon menyebabkan lengannya menerima habuan jemari runcing gadis
itu.
“Sebab kau
peliklah, aku suka kau Tiya..” sambung Azlan kemudian berubah serius.
Fathiyah hanya
tersengih. Tidak ambil pusing apa yang terluah di bibir lelaki itu kerana sudah
acap kali didengari. Dan dia sendiri pernah berterus-terang akan perasaannya
yang sebenar. Dia lebih selesa mereka berhubung atas tiket persahabatan yang
terjalin.
Sepi seketika
apabila masing-masing hanya bertukar renungan sebelum tawa meledak dari bibir
kedua-duanya.
“Sebab ni la
aku suka kawan dengan kau Alan.” ujar Fathiya sebaik tawanya reda. Azlan
seperti penyejuk hati di kala duka.
Semenjak
peristiwa kakinya terseliuh bulan lepas, dia tidak lagi berhubung dengan Shah.
Bukan tidak pernah terserempak, malah agak kerap mereka bertembung di kampus.
Berkali-kali Shah cuba bercakap dengannya. Cuma dia sahaja yang memilih untuk
mengelakkan diri. Segala panggilan dan SMS lelaki itu, hanya dipandang sepi.
Dikebalkan hatinya hingga ke hari ini semata-mata mahu membuang segala jenis
perasaan yang pernah tersimpan buat lelaki itu walaupun begitu payah sekali.
“Ialah tu.. time susah, barulah cari aku. Time senang? Jangan harap!” sindir Azlan
selamba.
Fathiyah
tersengih lagi.
“Kali ni,
hikayat mana yang kau nak cerita dengan aku ni hm?” Azlan jongket kening
sebelah. Melihat wajah yang sedikit cengkung itu, dia yakin ada sesuatu yang
telah berlaku selama gadis itu tidak ke situ.
Fathiyah
melepaskan halus. Senyumannya mengendur.
“Jom, ikut aku
pergi pet shop. Aku nak cari ikan kecik kaler-kaler tu la. Tak berseri
meja study aku dekat hostel lepas aku
hantar Gojes balik. Nak study pun tak
ada mood.” Fathiyah bingkas. Kunci
kereta Saga putih milik arwah ayahnya dihulurkan. Mahu lelaki itu yang memandu
dan sememangnya Azlan tidak menghampakan apabila kunci sudah pun bertukar
tangan.
“Air tiga
gelas ni, kau belanjakan?” Fathiyah menayangkan barisan gigi yang tersusun
kemas.
Azlan hanya
mampu menggeleng sebelum mereka sama-sama beriringan ke tempat letak kereta.
……………….
“Habis tu, kaki kau sekarang
macam mana? Dah okey?” Azlan sedikit terkejut mendengar apa yang diceritakan
kepadanya.
“Kau ni kan, nama
aje cikgu. Tapi tanya soalan, macam budak umur sepuluh tahun. Kau nampak aku
tak pakai tongkat, kaki tak berbalut kan? Maknanya dah eloklah.. Kalau tak,
jangan harap aku balik rumah. Kau tahu ajelah ibu aku macam mana. Memang kena
bebel la kalau dia tahu aku jatuh sampai kaki terseliuh. Nasib tak patah. Kalau
tak, memang hujung sem nanti baru aku
jumpa kau Alan..” balas Fathiyah bersama sengihan.
Azlan yang
tenang memandu pula terus meledakkan tawa. Lucu dengan pertanyaan sendiri.
“Sorry la.. aku cuma risau aje. Kau tu
dari dulu memang careless. Bukan careless aje, clumsy sekali. Tapi, memang patutlah pun kau jatuh. Siapa suruh
mulut kau macam puaka. Memang patutlah si Shah tu tinggalkan kau. Tapi
disebabkan dia memang cinta mati pada kau kan, tak sanggup biar kau balik
sendiri.” Dia tersengih. Mengusik.
Fathiyah
mengeluh. Teringat akan Shah, sehingga kini dia tidak lagi meminta maaf akan
keceloparan mulutnya. Sedar akan sakit yang dialami sebenarnya satu kifarah
daripada perbuatannya sendiri.
“Dah.. kau
jangan nak buat muka touching-touching
dekat sini. Aku tak nak tengok. Rugi aje tengok muka touching kau tu. Alang-alang dah keluar ni, kita pergi tengok
wayang ke, makan-makan ke, nak? Lepas tu, baru pergi pet shop. Amacam hm?”
Azlan cepat-cepat memulihkan keadaan. Tidak mahu Fathiyah terus berwajah muram
begitu.
“Boleh jugaklah. Tapi kau belanja.” Fathiyah
sudah tersengih kembali.
“Everything for you Nur Fathiyah..” Azlan
sudah melunakkan suara. Ada lirikan nakal di hujung mata sengaja mahu menduga
gadis itu.
“Tak payah nak
pandang aku macam tu. Buat seram aje. Kau bukan boleh percaya sangat ni!”
Fathiyah memberi amaran. Jari telunjuknya sudah menunjal bahu Azlan menyebabkan
lelaki itu mengekek gelak.
“Ialah..
Faham.. Aku ni kan, tempat luah perasaan aje. Lainlah Amirudin Zulkarnain Shah
tu..” balas Azlan pura-pura berjauh hati sebaik tawanya reda.
Kereta yang
dipandu kala itu, sudah masuk ke tempat parkir pusat membeli-belah.
Fathiyah
mencebik. “Kau ni, tak ada nama orang lain ke nak sebut? Aku dah jemulah dengar
nama dia.” balasnya tahan rasa. Bohonglah andai dia tidak merasai apa-apa.
Setiap kali nama itu menyapa gegendang telinga, akan ada getaran halus mengetuk
kamar hati.
“Okey. Kalau
macam tu, cuba kau sebut nama aku banyak kali. Muhammad Nurazlan Lee bin Muhammad
Aznan Lee. Gantikan tempat Amirudin Zulkarnain Shah dalam hati kau tu hm?”
Azlan sekali lagi lirik senyum nakal sebaik memberhentikan kereta.
“Erk? Perasan
tak habis kau ni!” Fathiyah tolak hujung dagu Azlan dengan hujung jarinya
sebelum terus menolak pintu kereta. Mengelak daripada lelaki itu perasan akan
rona merah yang mula menjelma di wajahnya apabila diusik begitu. Tambahan pula
dengan senyuman nakal yang tersungging di bibir lelaki itu yang mudah mengusik
hati mata-mata yang melihat.
“Kita nak
tengok cerita apa ni?” soalnya sebaik mereka beriringan. Cuba mengawal debar
aneh yang tiba-tiba datang menyapa.
“Kau nak
tengok cerita apa?” Azlan memulangkan soalan kembali. Mencerun mata memandang
Fathiyah yang hanya separas bahunya.
“Erm..
Need for Speed 3D.” Fathiyah senyum
comel. Terkelip-kelip mata bulatnya.
“Kau jangan
sekali-kali berani buat muka macam tu lagi depan aku eyh? Kalau tiba-tiba muka kau tu kena cium, kau jangan salahkan
aku.” Azlan tahan hati.
Sungguh
Fathiyah mampu membuatkan imannya yang tidak setebal mana itu goyah. Dia lelaki
normal dikurniakan 1 nafsu dan 9 akal. Nafsu yang satu itulah yang begitu sukar
dikawal jika berterusan menerima godaan syaitan terlaknat.
“Muka macam
mana? Macam ni ke?” Sekali Fathiyah membuat muka comelnya sebelum tergelak.
“Okey.. sekarang
aku dah tahu kelemahan kau.” sambungnya nakal.
Azlan ketap
bibir. Langkah dipanjangkan. Sengaja meninggalkan gadis itu kerana wajahnya
yang mula terasa pijar.
Fathiyah
tergelak lagi seraya melajukan langkah untuk kembali menyaingi Azlan.
“Alah! Aku
gurau ajelah! Slow la sikit. Pancit
aku kejar kaki panjang kau tu.” Fathiyah paut lengan Azlan agar lelaki itu
memendekkan langkah yang panjang. Dia terasa megah apabila terpaksa berlari-lari
anak untuk mengejar Azlan yang terlalu cepat melangkah.
“Ish! Jatuhlah
saham aku. Tak payahlah pegang.” Azlan menarik semula lengannya. Seperti ada
arus elektrik mengalir ke seluruh tubuh apabila gadis itu menyentuhnya walaupun
masih berlapik. Tingkah lepas laku gadis itu memang sukar dijangka hingga
kadang-kadang dia tidak sempat mengelak.
“Eleh..
sebelum ni okey aje.” ejek Fathiyah mencebik.
Azlan diam.
Malas mahu bersoal jawab lagi. “Kau tunggu sini. Aku pergi beli tiket.” ujarnya
kemudian sebaik tiba di hadapan panggung. Terus dia beredar ke kaunter tiket.
Dalam pada
itu, tanpa mereka sedari ada mata yang memandang. Ada hati yang tercarik
melihat gelak tawa mesra pasangan tersebut.
………………
Azlan jeling sebelah. Bibir
diketap kuat apabila perasan gadis di sisi galak tersenyum sambil menikmati
berpiring-piring sushi sejak tadi tanpa jemu. Tetapi tidak baginya. Perut
terasa sebu apabila teringat kembali insiden dalam panggung wayang.
“Tiya, mintak sikit popcorn tu.” bisiknya demi tidak mahu mengganggu konsentrasi
penonton lain. Dia menoleh apabila tiada respon dari si gadis.
“Kau ni pekak
ke?” tekannya seraya mengambil kotak bertih dari tangan Fathiyah yang begitu
khusyuk. Dia sedia maklum keadaan gadis itu jika menonton. Terlalu khusyuk
hinggakan tidak sedar akan keadaan di sekeliling.
“Alah.. Kacau
la kau ni! Tadi berlagak tak nak beli!” rungut gadis itu tertahan sebelum
matanya kembali ke skrin besar apabila tiba di scene berlumba antara tiga buah kereta mewah.
Dia tersengih
puas dalam gelap. Cermin mata 3D dibetulkan kedudukannya sebelum sama-sama
memberi fokus sambil makan bertih. Berselang-seli tangannya dan tangan Fathiyah
masuk ke dalam kotak bertih dalam keadaan masing-masing leka menonton. Dalam
kelekaan itu jugalah, saat dia mengangkat kotak bertih dari riba untuk mencapai
botol air mineral, tidak sedar tangan Fathiyah yang menjangkau kotak bertih
hingga akhirnya mendarat ke tempat yang tidak sepatutnya. Tersembur air mineral
yang sedang diteguk menyebabkan kotak bertih tergolek ke bawah tidak sempat
diselamatkan.
Sama-sama
terkejut dengan apa yang berlaku hingga mereka menjadi perhatian seketika.
Sudahnya, dia terpaksa keluar dari panggung apabila melihat Fathiyah langsung
tidak beriak.
Dan
disebabkan hal itu, terasa seleranya tertutup. Untuk berhadapan dengan gadis itu
pun dia terasa segan.
“Kau tak
payahlah nak cover-cover Tiya. Kau
ingat, aku tak tahu kau nak gelakkan aku? Lain kali nak tengok wayang, jangan
haraplah dapat duduk sebelah aku!” Rungutnya tertahan apabila melihat gadis itu
hanya beriak selamba sejak habis menonton tadi. Seperti tiada apa-apa yang
berlaku di antara mereka.
Fathiyah
terhenti mengunyah. Wajah di sisi dipandang seketika sebelum tawanya meletus.
Hampir sahaja soft shell crab yang
masih berbaki dalam mulut tersembur. Cepat-cepat dia mencapai tisu yang
dihulurkan Azlan untuk menekup mulutnya.
“Sampai hati
kau Tiya..” Azlan sedikit berjauh hati.
“Alololo.. merajuk pulak. Macam mana kau nak ganti nama si polan tu? Aku baru gurau
sikit aje, kau dah tergores hm?”
Fathiyah koyak senyum dengan keningnya terangkat-angkat.
“Gurau sikit
kau kata? Aku malu tahu tak? Tahu tak, kau boleh didakwa sebab buat sexual harassment pada aku.” tingkah
Azlan sambil memalingkan wajah ke arah lain.
“Sorry sikit eyh? Sikit pun aku tak tergoda dengan kau.” Fathiyah mencebik. “Kau
nak malu apanya? Bukan aku buat apa-apa pun.” sambungnya selamba walaupun
sebenarnya dia sedaya upaya menahan tawa yang ingin terhambur lagi apabila
teringat apa yang berlaku tadi.
“Kau lupa apa
yang kau pegang tadi? Tadi kau pengang aku punya..” Mulut tidak dapat
meneruskan kata apabila tangan gadis itu sudah terlekap di situ.
“Kau jangan
buat fitnah eyh? Aku T-E-R-pegang
aje. Bukan sengaja. Itu pun tak sempat kena. Tangan aku sampai celah peha kau
aje kan?” Jelas Fathiyah perlahan di tepi telinga lelaki itu.
Azlan menolak
jemari runcing yang terlekap di mulutnya apabila perasan mereka mula menjadi
perhatian di situ.
“Ish!
Cepatlah makan.” getusnya tertahan. Tidak sanggup rasanya berlamaan di situ
lagi.
“Alah.. sorrylah Alan.. aku tak sengaja. Sumpah!”
Fathiyah mula membuat wajah comelnya semata-mata ingin memujuk lelaki itu.
Azlan
mencebik. “Tak payah nak sumpah-sumpah sangat! Kang tersumpah kahwin dengan aku baru tahu! Time tu, kau nak pegang apa pun aku dah tak kisah!” balasnya sambil
menarik sebelah tangan Fathiyah yang tegak seperti membaca ikrar. “Muka tu, tak
payah nak buat perasan comel. Tak ingat ke, apa yang aku cakap tadi hm?”
lanjutnya seraya merapatkan wajah. Sengaja mahu menduga gadis itu walaupun
selebihnya cuba mengawal debar yang bertandang.
“Erk? Jangan
nak perasan sangat! Aku belum nak kahwin.” selamba Fathiyah menjawab sebelum
mencapai gelas air teh hijau dan diteguk laju. Perutnya sudah pun kenyang.
“Eleh.. Allah
kalau nak bagi kau jodoh, tak payah tunggu esok lusa beb.” Azlan angkat kening dan gadis itu mencebik pula.
“Dah la. Tak
naklah cakap pasal kahwin ni. Kita
cakap pasal tadi. Barulah syok.”
Fathiyah sumbang senyum nakal menyebabkan Azlan ketap bibir kuat menahan geram.
Terasa berbahang wajahnya.
“Kau ni
kan..” Ditarik klip rambut warna ungu yang dikepilkan di atas ubun-ubun gadis
itu menyebabkan semua anak rambut terlepas dan terjuntai ke dahi. Senyumnya
lebar sebelum dia terus bingkas memanggil pelayan restoran makanan Jepun itu.
Fathiyah
ketap bibir. Pantang sungguh jika rambutnya diusik. Kembali dirampas klip
rambutnya pada tangan Azlan yang sudah tersengih-sengih.
“Dah. Jom
balik! Kata nak cari ikan kaler-kaler
kau tadi.” ujar Azlan sebaik kertas bil berada di tangannya sebelum terus
berlalu ke kaunter pembayaran di tepi pintu masuk.
Fathiyah akur
dengan wajah yang mencuka. Dituruti langkah lelaki itu ke kaunter pembayaran.
“Okey..
Sekarang, aku dah tahu kelemahan kau.” Bisik Azlan di tepi telinga Fathiyah
bersama sengihan nakal. Dipulangkan semula kata-kata gadis itu dengan senang
hati.
Fathiyah mencebik.
“Patutlah
selama ni, aku tak pernah nampak kau warnakan rambut kau dengan warna pelangi.”
giat Azlan lagi saat mereka beriringan keluar sebaik menyelesaikan pembayaran.
“Gila ke apa
nak warnakan rambut? Ingat aku tak solat ke?” tingkah Fathiya yang masih tidak
hilang wajah kelatnya.
“Nur Fathiyah
sayangku. Kalau dah tahu solat, pakailah tudung. Biar amalan kita, seiring
dengan perbuatan kita.. Simpan sikit aurat tu untuk yang berhak aje Tiya.”
Azlan melunakkan suara menyebabkan gadis itu memberhentikan langkah dengan
tiba-tiba.
Fathiyah
terpempan. Hatinya terpukul. Tidak berkelip dia memandang Azlan yang turut
mematikan langkah. Entah kenapa kata-kata lelaki itu begitu menusuk hingga ke
dasar hati. Ada satu perasaan yang tidak pernah dirasai kini menjalar ke
seluruh tubuhnya.
“Kenapa pulak ni?” Azlan berkerut. “Tiya?”
Dicuit bahu gadis itu dengan hujung jarinya.
Fathiyah tersedar.
Cepat-cepat dia menarik senyum namun tidak semanis biasa. “Er.., jomlah balik.”
Dia mengorak langkah. Meninggalkan Azlan yang sedikit terpinga-pinga. Tidak
faham apa yang berlaku.
Dan sekali
lagi, ada hati yang sudah tercarik, kian parah apabila melihat pasangan
tersebut.
13 comments:
xnk kn ckp je xnk,xyh nk sentap le shah
Hikhik
Ha...ha..ha..ha..ha....memang best lah kak...tak dpt dibayangkan muka azlan....
padan muka shah..huhuhu
best 3x.
Dah beberapakali hari ni saya baca bab ni..setiap kali baca mesti gelak sorang2...........
err..tukar Azlan jadi herolah
>>k<<
K
Hahaha. Pulak tukar.. hahah
Nakkk lagii . Nak azlan hero hehe
Nak azlan jd hero ble x..hehe
Nak azlan jd hero ble x..hehe
Best.....nak lagi ler....huhuhu shah melepas nanti hang....:)
Azlan pandai ambil hati Tiya..
Shah ni sebenarnya EGO... kalau berterus terang lagi senang... dari makan hati berulam jantung pisang... cecah sambal belacan....hihihi
Post a Comment