Jun 16, 2014

BMJM_bab 14_edited version

BMJM 14

You nak apa lagi ni Meen? I rasa, I dah takda apa-apa hutang lagi dengan you.” Eshaq Hakimi tenang. Dia tidak mahu meninggi suara di tempat awam begitu demi menjaga air muka masing-masing.

“Shaq, I nak kita jadi macam dulu balik.” Jasmeen penuh mengharap.

Saban hari dia menanti Eshaq Hakimi pergi dan balik kerja semata-mata ingin bertemu dengan lelaki itu. Tetapi dirinya langsung tidak dihiraukan. Dan hari itu pula, dia terpaksa menanti Eshaq Hakimi di luar bangunan pejabat. Dia tidak boleh menafikan perasaan kasih yang sedikit pun tidak luntur walaupun selepas apa yang berlaku di antara mereka.

Excuse me? I salah dengar ke.. atau  telinga I ni yang dah tersumbat? You cakap apa ni Meen?” Eshaq Hakimi pura-pura tidak faham dengan apa yang diperkatakan. Jika tidak kerana Jasmeen menghalang laluannya tadi, pasti dia kini sudah tiba di vila. Malam nanti dia perlu menghantar ahli keluarganya ke lapangan terbang.

“Shaq, bagilah I peluang untuk I betulkan semua. I dah tak buat benda-benda yang you cakap tu Shaq. Please Shaq..” rayu Jasmeen yang sanggup menebalkan wajah hanya kerana mahu menagih semula cinta lelaki itu.

Eshaq Hakimi tersenyum sinis. Meluat mendengar rayuan wanita di hadapannya itu. Sememangnya sejak dari dahulu lagi dia tidak pernah menaruh perasaan terhadap Jasmeen. Yakin dengan kata-kata cinta yang pernah diungkap dahulu hanyalah sekadar ingin mengaburi hati wanita itu selain mahu menutup segala kegiatannya selama ini. “You pergilah cari lelaki lain Meen. I ni jahat. Kikis duit perempuan, ada perempuan simpanan. You tak malu ke, ada boyfriend macam I ni?” jawabnya lambat. Tekad hatinya tidak akan kembali kepada Jasmeen mahupun wanita itu sanggup melutut. Takkan!

I tak kisah Shaq. I tahu you buat semua tu bersebab. Please la Shaq. I nak kahwin dengan you aje Shaq. I tak nak lelaki lain. Please Shaq..”

You tak takut ke jadi anak dara tua kalau couple dengan I? You tahukan yang I takkan kahwin dalam masa terdekat ni? I tak nak sebab I, you jadi andartu. You jugak yang cakap, yang I ni kalau kahwin lambat pun still ada perempuan nak kan? I tak nak you salahkan I nanti, kalau I cari perempuan yang lagi muda dari you.” balas Eshaq Hakimi menyakitkan hati menyebabkan wanita itu terdiam. Keputusannya adalah muktamad.

See? You tak nak kan? I think you can get someone better Meen. So, please. You jangan nak merayu-rayu macam ni. Jangan buat malu kaum you. Banyak lagi lelaki lain dekat luar tu yang you boleh buat husband daripada I..” Pandangan di buang ke tengah tasik yang terbentang luas. Ramai pengunjung yang beriadah pada petang Sabtu itu.

I tahu you tak sejahat mana Shaq. I tahu you takkan sanggup buat I sampai macam tu. Please Shaq. You bagilah I peluang. Kita sama-sama berubah Shaq..” Dalam getar Jasmeen tetap cuba memujuk.

Sekali lagi Eshaq Hakimi tersenyum sinis. ‘Perempuan ni memang tak faham bahasa betul!’ Hati mula mengutuk. “Sebab I tak sangguplah, I tak nak you meletak harapan pada I Meen! I rasa, you sebenarnya faham apa yang I maksudkan. Tapi kenapa you tak nak faham Meen? I penatlah Meen. You tak payahlah nak suruh I ulang banyak kali. Kalau you melutut pada I pun, I takkan terima you. You faham tak Meen?!” Kesabarannya mula tercuit.

“Tapi kenapa you tak boleh terima I Shaq? You dah ada perempuan lain? Sebab perempuan hari tu? You cakap dengan I Shaq..” Jasmeen mula mengalirkan air mata. Hati wanitanya benar-benar terguris.

“Kalau I ada perempuan lain pun, I rasa, tak perlu I bagi tahu you Meen. Itu hal peribadi I. You tak ada kena mengena pun.” jawab Eshaq Hakimi mudah. Tiada perlunya dia memberitahu segala hal peribadinya kepada Jasmeen kerana dia yakin yang wanita itu tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Jasmeen yang dikenali bukanlah seorang wanita yang cepat berputus asa. Akan terus berusaha untuk mendapatkan apa yang diinginkan walau dalam apa cara sekalipun.

“Takkan takda langsung rasa cinta you pada I selama ni Shaq? Tiga tahun Shaq kita bersama..” rintih Jasmeen. Entah kenapa dia sanggup mengenepikan perasaan marah yang pernah wujud di hatinya sebelum ini hanya kerana rasa cinta yang terbuku. Sanggup dia melupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini hanya kerana desakan hati.

Eshaq Hakimi melurut perlahan rambutnya ke belakang berserta keluhan berat. Entah apa yang perlu dijelaskan lagi kepada Jasmeen agar wanita itu faham akan keadaan hatinya. “I tak tahu nak cakap apa lagi dengan you Meen. You sebenarnya bukan tak faham apa yang I cakap. Tapi, sengaja you tak nak faham! I memang tak boleh dengan you Meen. You faham tak?” Tekannya dengan rasa hati yang mula membahang kerana perlu mengulangi perkara yang sama.

“Shaq, you janganlah buat I macam ni.. I betul-betul sayangkan you Shaq..” rayu Jasmeen seraya ingin memaut lengan Eshaq Hakimi yang berdiri membelakangkannya tetapi cepat lelaki itu menepis.

I penatlah Meen! You kena terima, yang I ni bukan untuk you!” bentak Eshaq Hakimi mula hilang sabar.

“Shaq..” Jasmeen masih mahu memaut lengannya namun tetap ditepis dan dia terus bergerak menjauh. Tidak mahu aksi mereka menjadi tontonan umum di situ.

Stop it Meen!” Herdik Eshaq Hakimi apabila Jasmeen cuba mendekati dirinya lagi. Tajam matanya menikam ke wajah Jasmeen yang berairmata itu. “You jangan jadi bodoh sebab lelaki! Please lupakan I. And I tak nak jumpa you lagi. Sorry Meen.” Dia bertegas sebelum terus berlalu meninggalkan Jasmeen yang teresak-esak menangis. Panggilan wanita itu langsung tidak dihiraukan lagi. Terasa menyesal kerana bersetuju memenuhi permintaan wanita itu tadi. Dan kini dia perlu terburu-buru pula untuk tiba ke vila sebelum waktu maghrib kerana hari semakin lewat. Jika tahu semua ini akan berlaku, sejak tengah hari tadi lagi di sudah pulang ke vila.

Sementara Jasmeen yang sudah terduduk di kerusi rehat di situ berterusan menangis. Hancur berkecai hatinya kerana rayuan dan rintihannya langsung tidak didengari oleh Eshaq Hakimi. Malah dipandang sepi oleh lelaki itu. Air mata yang membasahi wajah cepat-cepat diseka kerana perasan dia mula menjadi tumpuan pengunjung yang lalu-lalang. Kemudian dia terus mengeluarkan cermin mata hitam dari dalam beg tangannya untuk menyembunyikan mata yang dirasakan mula membengkak. Dalam pada itu juga, sempat matanya menangkap kelibat kereta Eshaq Hakimi yang semakin menjauh meninggalkan taman rekreasi itu. Berderai lagi air matanya tanpa dipaksa.

I will never give up Shaq. Never!” Bisiknya sendiri menanam tekad. Dia akan berusaha selagi terdaya dan hanya akan berhenti jika Eshaq Hakimi berkahwin dengan wanita yang benar-benar mencintai lelaki itu seperti mana dia mencintai Eshaq Hakimi sepenuh hatinya. Itu sumpahnya.

*******
“Ma, tak nak masuk lagi ke? Semua kawan-kawan mama tu dah tunggu dekat sana.” kata Eshaq Hakimi sambil memandang ke arah pintu masuk balai pelepasan. Sekumpulan jemaah yang akan sama-sama menunaikan umrah sedia menanti.

“Kejaplah abang ni. Siti kan belum sampai. Tadi dia dah janji nak datang.” sahut Suzila sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. Memang sahabatnya itu tadi ada menghubunginya dan sudah berjanji akan datang ke situ sebelum mereka berlepas. Tetapi bayang wajah tenang itu masih juga belum muncul.

“Hah.. Entah-entah dia dah lupa. Bukan boleh percaya tu.” kutuk Eshaq Hakimi selamba. Mudah sahaja dia membuat kesimpulan sendiri walaupun hatinya ternanti-nanti sama kehadiran gadis yang berjaya mengusik hatinya itu sejak akhir-akhir ini.

“Siti tak pernah mungkir janjilah bang!” Bidas Suzila yang kurang bersetuju.

“Ada hal penting agaknya.” celah Tan Sri Kamil tenang yang sama-sama menanti di situ.

“Suzy, try call Siti lagi. Mama risaulah.” arah Puan Sri Amna yang amat berharap dapat bertemu lagi dengan Siti Shafura sebelum mereka berlepas.

Suzila yang sentiasa memegang telefon bimbitnya dari tadi terus membuat panggilan. Malangnya nombor yang dihubungi tidak berjawab. Dalam diam dia berdoa agar tiada perkara yang buruk menimpa sahabatnya itu.

“Tu Siti.” kata Tan Sri Kamil yang ternampak kelibat seorang gadis seperti tercari-cari sesuatu.

Suzila yang turut memandang ke arah yang sama terus mendapatkan Siti Shafura. “Siti, nasib baik saya sempat jumpa awak. Lama saya tunggu. Ingat awak tak datang.” ujarnya selepas meleraikan pelukan.

Sorry Suzy. Saya hantar ummi pergi hospital. Dia demam panas.” jawab Siti Shafura sambil beriringan mendapatkan Tan Sri Kamil dan Puan Sri Amna. Terus sahaja dia menyalami dan memeluk erat tubuh ibu angkatnya itu. Sejuk matanya memandang wajah bersih Puan Sri Amna yang bertudung. Jauh berbeza dari sebelum ini. Begitu juga dengan Suzila. Ayu sahabatnya menutup seluruh aurat yang terdedah sebelum ini. “Maaf mama, papa. Siti Ada hal sikit tadi.” ucapnya serba salah.

“Ma, ummi Siti masuk hospital.” adu Suzila seperti yang diberitahu oleh sahabatnya itu tadi.

“Habis tu macam mana? Siti datang sini, siapa yang jaga ummi?” Soal Puan Sri Amna sedikit cemas. Simpati dengan nasib yang menimpa anak anak angkatnya itu.

“Ada Kak Wan tunggu, mama.” Siti Shafura cuba memaniskan wajah. Matanya sempat singgah ke wajah Eshaq Hakimi. Tetapi tidak lama. Tujuan lainnya terpaksa datang ke situ kerana janji lelaki itu. Dia mahu menyelesaikan hutangnya pada malam itu juga.

“Siti kalau ada apa-apa jangan malu, jangan segan cakap dengan papa.” celah Tan Sri Kamil prihatin. Siti Shafura sudah dianggap seperti darah dagingnya sendiri. Tidak luak hartanya jika hanya untuk membantu Siti Shafura dan umminya yang sedang sakit.

“Tak apa pa. Insya-Allah Siti boleh. Terima kasih banyak-banyak papa. Papa dan banyak tolong Siti.” Ikhlas Siti Shafura menolak. Bukan tidak mahu menerima bantuan lelaki itu. Tetapi sudah terlalu banyak bantuan yang dihulurkan kepadanya selama ini. Dia tidak mahu terhutang budi lagi.

“Pa, tu kawan papa tu dah panggil.” Eshaq Hakimi bersuara saat terlihat lambaian seorang lelaki yang berjubah putih tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

Masing-masing menoleh ke arah yang sama.

“Jom kita. Semua dah nak masuk tu.” kata Tan Sri Kamil sebaik membalas lambaian lelaki tersebut.

“Selamat pergi selamat balik ma. Doakan Siti dekat sana nanti.” ucap Siti Shafura lembut sambil memegang kedua-dua tangan Puan Sri Amna. Kemudian tubuhnya diraih sekali lagi dalam pelukan wanita itu.

“Terima kasih sayang. Siti hati-hati. Kalau ada apa-apa masalah, boleh cari Abang Kimi. Nanti balik biar abang hantar. Siti tak payah naik cab malam-malam macam ni. Bahaya.” balas Puan Sri Amna sempat berpesan dengan mata yang mula memerah. Sebak mula memenuhi ruang dadanya saat itu.

Siti Shafura hanya mengukir senyum manis. Sayu dirasakan pesanan itu di pendengarannya. Selayaknya pesanan seorang ibu kepada seorang anak. “Papa, selamat pergi selamat balik pa.” ucapnya kepada Tan Sri Kamil pula. Ingin sahaja dia menyalami tangan lelaki itu sebagai tanda hormat. Namun hasratnya itu terpaksa dipendam.

Tan Sri Kamil yang menggariskan senyuman, menyentuh atas kepalanya yang berlapik tudung. Hati terasa sebak kerana perlakuan itu persis arwah walidnya dahulu. Seperti dia benar-benar terasa akan kehadiran walidnya. Kali kedua Tan Sri Kamil berbuat demikian dan lelaki itu sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.

Kemudian Siti Shafura beralih pula kepada sahabatnya. Terus dia memeluk tubuh Suzila erat dengan linangan air mata. “Awak jaga diri baik-baik. Jaga mama dengan papa. Doakan ummi saya cepat sembuh ya Suzy.” bisiknya hanya untuk pendengaran Suzila sahaja. Entah kenapa hatinya tiba-tiba sebak melihat wajah Suzila yang cukup berseri-seri hari itu.

“Insya-Allah. Awak jaga diri baik-baik tau. Kalau ada rezeki, kita pulak pergi sama-sama. Nanti ada masa, saya call awak.” balas Suzila yang sejak tadi sudah memerah mata. Simpati dengan keadaan yang menimpa sahabatnya itu. Sanggup datang walaupun hari sudah lewat.

“Insya-Allah. Terima kasih Suzy.” jawab Siti Shafura lantas meleraikan pelukan. Air mata yang mengalir di pipi cepat-cepat diseka.

“Alahai.. macam jejak kasih pulak.” tegur Eshaq Hakimi yang perasan dua gadis di hadapannya itu menangis.

Suzila sempat menghadiahkan jelingan kepada Eshaq Hakimi yang tersenyum mengejek. Lelaki itu tidak henti mahu mengusiknya dari tadi.

“Hakimi.” tegur Tan Sri Kamil membuatkan sengihan di bibir lelaki itu terpadam.

Eshaq Hakimi mendekat. Tangan papanya dicapai sebelum mendakap tubuh tua yang masih segak itu bersama ucap selamat. Kemudian beralih pula kepada mamanya.

 “Kamu jangan nak suka-suka sangat bila mama dengan papa tak ada ni. Duduk vila.” pesan Puan Sri Amna tegas.

Yes Mem!” Jawab Eshaq Hakimi sambil membuat tabik hormat.

“Bukan boleh percaya sangat abang ni ma..” celah Suzila sengaja memulangkan semula kata-kata lelaki itu tadi.

“Nasib baik dah cantik pakai tudung sekarang. Kalau tak, mesti rambut kau tu abang dah kerjakan.” balas Eshaq Hakimi tidak mengalah.

Suzila hanya menjuihkan bibir. “Abang. Nanti Suzy nak doakan abang dekat sana biar cepat kahwin. Nanti cepat abang balik vila. Tolong company papa.” ucapnya dengan kedua-dua kening diangkat menyebabkan lelaki itu mencebik.

Siti Shafura saat itu hanya mampu mengukir senyum.

“Sudah tu. Jom. Ustaz Aman dah panggil tu.” ujar Tan Sri Kamil yang perasan ketua kumpulan mereka sedang menanti.

“Selamat jalan papa, mama.” ucap Siti Shafura lagi sebelum keluarga itu beredar.

“Siti, awak jaga diri.. Assalamualaikum.” sahut Suzila dengan senyuman manis dilemparkan kepada pasangan yang berada di hadapannya itu. Dalam diam dia memasang tekad untuk mengotakan apa yang diperkatakan tadi. Dia sendiri amat berharap agar abangnya itu turut sama berubah dan menjalani hidup sebagai seorang muslim dalam erti kata yang sebenar. Hatinya kini sudah ditanamkan untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Siti Shafura melambaikan tangan sebaik salam berbalas. Tidak lepas dia memandang hingga kelibat ketiga-tiganya hilang dari pandangan.

 “Siti!” Panggil satu suara menyebabkan dia dan Eshaq Hakimi menoleh ke arah suara.

“Abang..” Siti Shafura melemparkan senyum sebelum terus mendapatkan Qayyum. Dia datang bersama-sama dengan lelaki itu tadi kerana ibunya dimasukkan ke hospital di mana tempat Qayyum bertugas. Dan kebetulan juga waktu kerja lelaki itu sudah tamat, Qayyum sendiri yang menawarkan diri untuk menghantarnya ke situ.

Eshaq Hakimi yang memandang tajam akan kelibat Qayyum di situ sudah tidak senang hati. Terasa panas ruang dada melihat kemesraaan kedua-duanya. Jelaslah kini yang Siti Shafura bukan datang berseorangan. Amanah mamanya tadi juga tidak diperlukan lagi kerana ada orang lain yang menemani gadis itu. Dengan nafas berat yang terbit di bibirnya, kaki diatur juga mendapatkan pasangan tersebut kerana tidak mahu dianggap sombong pula.

“Kau balik dengan Qayyum kan? Kalau takda apa-apa lagi, aku nak balik dulu.” katanya sambil mengukir senyum tawar sebelum menghulur salam kepada Qayyum. Dia ingin segera berlalu dari situ. Dia tiada hati untuk berbual mesra dengan lelaki yang masih belum dikenali itu. Tambahan pula dia ada hal lain lagi yang mahu dilakukan.

“Abang.” Siti Shafura bersuara menyebabkan Eshaq Hakimi berpaling semula.

“Kenapa?”

Siti Shafura memberi isyarat kepada Qayyum dan lelaki itu beredar menjauhi mereka. Kemudian kakinya diatur merapati Eshaq Hakimi. “Abang, boleh kita cakap sekejap?” Tuturnya lembut dengan harapan Eshaq Hakimi berlembut dengannya.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Sebaliknya terus mencari tempat yang sesuai untuk mereka berbual. “Ada apa?” Soalnya mendatar dengan pandangan mata lurus ke hadapan sebaik melabuhkan duduk. Matanya masih dapat menangkap kelibat susuk tubuh Qayyum tidak jauh dari mereka.

“Erm.. hari tu abang dah janji kan dengan Siti nak cakap pasal hutang Siti tu.” luah Siti Shafura masih dalam nada yang sama.

Eshaq Hakimi menghela nafas berat seraya menoleh sekilas ke wajah Siti Shafura yang lebih banyak menunduk. Sebenarnya dia langsung tidak ingat akan janji yang sudah dibuat dua minggu lalu. Apa yang ada di fikirannya hanyalah ingin bertemu dengan gadis itu. Dia tidak memikirkan langsung tentang hutang yang dimaksudkan. “Kau balik kampung bila?” Dia pula mengajukan soalan tanpa menjawab soalan yang ditanyakan. Otaknya saat itu ligat mencari alasan lain agar Sit Shafura tidak jauh darinya. Hatinya masih mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat walaupun akalnya menegah.

Siti Shafura menegakkan wajah. “Tak tahu lagi. Tunggu ummi keluar hospital.” jawab Siti Shafura lemah.

“Kalau macam tu, kau ada lagi dekat sini kan?”

Siti Shafura hanya mengangguk.

“Maknanya, ada lagi la masa aku fikir apa yang kau kena ganti nanti.” Lanjut Eshaq Hakimi dengan senang hati.

“Tapi bang… Siti takut tak sempat jumpa abang lepas ni.” balas Siti Shafura yang masih tetap memandang ke sisi wajah Eshaq Hakimi.

“Kau nak ke mana?”

“Er.., takda ke mana. Kalau abang sibuk, macam mana kita nak jumpa?” Kalut Siti Shafura menjawab dengan suara yang mengendur. Sebenarnya dia berasa sedikit kecewa kerana Eshaq Hakimi masih mahu menangguhkan untuk dia melangsaikan hutangnya.

“Kau bagi number phone kau. Nanti aku yang cari kau.” Eshaq Hakimi menutur kata dengan wajah tiada perasaannya. Namun di hati sudah mula menyanyi riang. Telefon pintar dari dalam saku seluar dihulurkan kepada gadis itu. “Masukkan number phone kau.” arahnya sedikit tegas kerana hulurannya masih tidak bersambut.

Siti Shafura yang masih teragak-agak, terpaksa menyambut juga. Perlahan-perlahan jemari halusnya bermain di atas skrin nipis itu. Disebabkan model gadjet itu sama dengan yang digunakan kini, tidak sukar untuk dia menggunakan aplikasi yang ada. Sebentar kemudian, dia serahkan semula gadjet itu.

“Abang… kalau Siti balik awal nanti macam mana?” Siti Shafura mengajukan soalan. Dia masih tidak senang dengan cara Eshaq Hakimi.

“Hari-hari aku call kau nanti. Ada masa, aku nak pergi tengok ummi sebelum kau balik kampung.” Itu yang meluncur laju di bibir Eshaq Hakimi sebaik S5 bertukar tangan. Entah kenapa senang pula dia membuat janji baru. Bertambah pula tugasan harian dia nampaknya selepas ini.

Siti Shafura hanya terkelip-kelip memandang wajah Eshaq Hakimi yang beriak selamba. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengari. Selama ini, lelaki itu tidak pernah mengambil tahu akan keadaan umminya. Bertanya apatah lagi. Hanya ibu bapa angkatnya  bersama Suzila yang selalu melawat ummi jika berkesempatan.

Eshaq Hakimi menoleh, pandangan mereka bertemu. “Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau mesti ingat aku ni jahat sangat kan?” Tebaknya seraya memalingkan wajah semula. Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan wajah tenang itu. Risau tidur malamnya kian terganggu kerana wajah itu semakin kerap muncul dalam mimpinya.

Siti Shafura menarik senyum. Memang begitu Eshaq Hakimi yang dikenali. Mudah membuat kesimpulan jika tiada sebarang kata yang keluar dari bibirnya.

“Senyum-senyum pulak budak ni. Ingat aku buat lawak ke?” Gumam Eshaq Hakimi sendiri apabila perasan dengan ekor matanya.

“Abang cakap apa?” Soal Siti Shafura mulut Eshaq Hakimi yang terkumat-kamit sendiri tanpa mendengari butirnya.

“Takda apalah!” bohong Eshaq Hakimi dengan suara sedikit dingin. “Erm.., ada apa-apa lagi kau nak cakap?” Lanjutnya cepat bagi menutup perasaannya sendiri.

“Abang… Siti harap, berapa pun yang abang mintak nanti untuk bayar balik baju abang tu, biarlah yang Siti mampu bayar.” Cukup lembut Siti Shafura meluahkannya. Berharap Eshaq Hakimi dapat memberi kerjasama yang baik.

“Tengoklah macam mana nanti. Sebab aku rasa, sampai bila-bila pun kau tak mampu nak bayar. Jangan kata kau, papa aku pun takkan mampu bayar.” Bicara Eshaq Hakimi dengan suara yang tertahan. Sebenarnya sedikit sebanyak dia masih rasa terkilan dengan apa yang berlaku hingga menyebabkan baju kemeja kesaangannya itu tidak boleh dipakai lagi. Terasa pedih hatinya saat seraut wajah yang dirindui terlayar di ruang mata tiba-tiba. Tambahan pula sudah lama dia tidak menziarahi pusara sahabat baiknya itu.

“Apa maksud abang?” Siti Shafura berkerut. Sedikit terkejut.

“Kau ni banyak tanyalah! Jangan tanya boleh tak!” Bentak Eshaq Hakimi yang mula tidak senang. Tidak akan sesekali dia memberitahu tentang baju kemeja itu kepada sesiapa pun. Apa yang telah berlaku terhadap sahabat baiknya dahulu cukup memberi kesan dalam hidupnya hingga kini.

Siti Shafura sedikit terpempan “Er… maaf abang.” ucapnya perlahan. Serba salah kerana lelaki itu tidak menyenangi soalan yang diajukan.

“Maaf, maaf.. Itu ajelah yang kau tahu!” Balas Eshaq Hakimi sedikit geram. Dan sememangnya dia geram dengan diri sendiri kerana hati mula berperang dengan perasaan yang dirasai kini. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham kenapa dia akan berkasar apabila bertemu dengan  gadis yang tidak bersalah itu. Lain yang terancang di hatinya, lain pula yang meluncur di bibirnya. Bertambah dingin apabila lelaki yang datang bersama-sama gadis itu tadi sentiasa memerhatikannya. ‘Macamlah aku nak peluk awek kau ni!’ Sempat lagi hatinya mengutuk. “Ada apa-apa lagi kau nak cakap? Aku ada hal lain lagi lepas ni.” sambungnya dingin.

“Erm… Siti nak mintak maaf atas apa yang dah jadi.. Siti yang careless sampai terlanggar abang.” ucap Siti Shafura perlahan. “Er… Pasal girlfriend abang tu pun, Siti mintak maaf. Bukan Siti sengaja nak buat abang dengan dia bergaduh. Siti cuma nak cari cincin Siti tu aje. Siti takda niat lain pun sampai buat girlfriend abang tu salah faham dengan abang.” sambungnya sayu.

Eshaq Hakimi hanya mendiamkan diri. Tetapi tetap mendengar setiap butir bicara gadis di sisinya itu. Mengenai cincin yang hilang, beberapa hari lepas Mak Lijah ada menyerahkan sebentuk cincin emas sewaktu berkemas di dalam biliknya. Yakin itu cincin yang dicari oleh Siti Shafura sebelum ini. Bibir mengukir senyum tanpa sedar. Terasa seperti apa yang berlaku selama ini membuatkan mereka terus terikat.

“Erm… Pasal dekat restoren hari tu. Kalau Siti ada terkasar bahasa dengan abang, Siti mintak maaf banyak-banyak sampai abang bergaduh dengan kawan abang tu.” kata Siti Shafura lagi mengimbau kembali kejadian di hadapan tandas sebuah restoren. Ketika dia bersama rakan-rakan yang lain dan juga Qayyum.

Kali ini Eshaq Hakimi menoleh tepat ke wajah Siti Shafura sebaik gadis itu habis menuturkan ayat yang terakhir. Dia ingat lagi peristiwa yang dimaksudkan. Mati senyum di bibirnya tadi. Dia bersama Julia. Keadaan dirinya yang masih terikat dengan Julia menyebabkan berbakul makian dilemparkan dalam hatinya.

Siti Shafura membalas renungan tajam lelaki itu namun hanya seketika sebelum membuang pandang ke sisi. Nafas dihela panjang. “Erm.. pasal malam yang…”

“Tak payahlah kau risau. Semua tu tak jadi kudis pun pada aku.” Pintas Eshaq Hakimi tidak sedingin tadi. Sekali lagi mata mereka bertemu sebelum masing-masing membuang pandang ke arah lain.

Sepi.

“Erm.. nanti kalau abang nak datang, abang bagi tahulah. Siti ada aje dekat hospital.” Siti Shafura kembali bersuara. Cukup perlahan.

“Hm..”

“Erm.., kalau takda apa-apa, Siti balik dulu abang. Er.., abang hati-hati.” lanjut Siti Shafura apabila perasan Qayyum memberi isyarat kepadanya. Dia sedar malam semakin lewat.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Hanya matanya terhala ke arah Qayyum.

“Assalamualaikum abang.” ucap Siti Shafura lembut seraya bingkas walaupun lelaki itu tetap diam.


Eshaq Hakimi hanya memerhati langkah kedua-duanya yang kian menjauh bersama getaran di dada. Entah kenapa ada api cemburu yang mengusik. Rambut dilurut kasar bersama helaan berat sebelum bingkas.

8 comments:

Unknown said...

A lahai si Abang Kimi dah sah2 cemburu tu. As usual nak lagi dik ooiiii tak sabor lah. BTw, million thanks for the upload very much appreciated.

Ehem said...

Sama-sama kak :)

MzaMuhd said...

alahai... jeles plak dia. comeinya la... hahahaha.
semakin hari semakin comei plak eshaq hakimi ni. terbayang-bayang dia kawen nnt. nak lagi sis...

Ehem said...

Miza, jangan terkejut. Depa kawen tak macam org lain. Hukhuk. Lagi dua bab depa kawen. Hikhik

MaY_LiN said...

acha..suka ye
xkira nak lg
nak gak
ho ho ho

Unknown said...

citer ni habis kat blog ke... atau dibukukan....tak sabarrrr nak tgk derang tu kawen......shaq dah cemburu tahap gaban dah tu....

Unknown said...

Ho...ho...ho...jom maylin kenduri tawen arshaa....erk pureen ngan kimi kat hospital.....hihihi

Ehem said...

Dewi maylin

Tite belum nak tawen ar... -___-"

Bella

Sis, sbnrnya tgh siap kan mss penuh nak hantar nilai. Huu.