“Perasan bujanglah tu kak…” celah
Awra pula sengaja mengusik. Faham benar dengan perangai abangnya yang gemar
keluar malam sejak bujang lagi.
“Sibuklah kau dik…” balas Firdaus
sambil melemparkan kusyen kecil kepada Awra. Tepat mengenai wajah adiknya itu.
“Abang nak pergi tengok bola dekat
kedai mamaklah.” Lanjut Firdaus sambil tangan kanannya menyisir rambut agar
sedikit kemas.
“He’eleh… habis tu, yang beli channel sukan buat apa? Membazir aja… Nak
jugak pergi kedai mamak… Tv kedai mamak jugak yang laku…” kata Awra yang mengambil
tempat di sebelah kakak iparnya.
“Kau mana tau dik. Kalau tengok
ramai-ramai barulah feel… Semangat
nak tengok pun ada. Kalau tengok sorang-sorang
dekat rumah ni, langsung takda feel. Nanti
bukan aku tengok bola. Bola yang tengok aku...” jawab Firdaus. Jika sebelum
berkahwin dahulu, agak kerap dia keluar malam semata-mata ingin menonton
perlawanan bola dengan rakan-rakannya.
“Eleh… Apa yang best sangat kak? Akak pernah ikut abang
kan…” soal Awra kepada Athirah.
“Pernah. Sekali aja akak ikut.
Lepas tu, memang taklah. Bosan aja akak rasa.” Akui Athirah. Sudah fitrahnya
seorang wanita yang tidak gemarkan sukan bola sepak. Jika ada pun, hanya
segelintir sahaja yang betul-betul minat akan sukan itu.
“Sebab sayang tak minat bola.
Cuba sayang minat bola. Mesti selalu nak ikut abang.” Balas Firdaus yang
tersengih.
“Aku nak ikut boleh tak bang?”
ujar Awra dengan mata yang terkelip-kelip memandang Firdaus.
“Ahh… jangan nak mengadalah. Kau
teman ajalah Kak Ati dekat rumah.” Larang Firdaus.
“Ala… sekali aja bang… Abang
jugak yang kata ada feel tengok
ramai-ramai kan… Nak try jugak macam
mana feel yang abang cakap tu… Please…” Awra sudah mengeluarkan ayat kesiannya
untuk memujuk Firdaus.
“Bawak ajalah bang…” sokong
Athirah pula.
“Ala… dia bukan minat bola pun…”
Firdaus beralasan lagi masih tidak mahu Awra mengikutnya.
“Ee,… kedekut betul abang ni
kan…” rungut Awra yang sudah masam mencuka wajahnya. Sengaja buat-buat merajuk.
“Bukan kedekut. Kau tu kan
perempuan. Dah malam-malam macam ni… Nanti orang kata apa pulak. Lagipun dekat
kedai tu mesti ramai lelaki… Tak selesa kau nanti dik.. Kalau ayah tahu kau
ikut aku, lagi sia-sia aja. Elok-elok ayah bagi kau datang rumah aku, terus
ayah keluarkan surat larangan.” ujar Firdaus lagi sebab dia tidak bersetuju
Awra menyertainya. Tambahan pula ayahnya sudah mengamanahkan supaya menjaga
Awra sebaiknya.
“Ala… kan aku duduk dengan kau bang.. Bukan dengan lelaki lain… Kalau ayah tahu pun, takda mulut lain yang
bagitahu… except mulut terlebih insurance abang tu.” kata Awra masih berdegil.
Tidak mahu mengalah dengan abangnya.
“Kalau macam tu, Ati ikut
sekalilah bang. Ada jugak partner
bosan nanti...” Sampuk Athirah dengan senyuman yang tidak sampai hati melihat
wajah penuh mengharap adik iparnya itu. Dia tahu Awra bukanlah jenis gadis yang
suka keluar pada waktu malam. Hanya ada sebab tertentu sahaja baru gadis itu
akan keluar. Itupun dengan orang yang hanya dikenali oleh ahli keluarga.
“Cayalah kak… jom kita pergi.” Cepat benar suara Awra berubah ceria.
Dia tahu kakak iparnya itu sengaja membantunya. Secepat itu juga Awra masuk ke
dalam bilik untuk menukar pakaian.
“Hmm… nampaknya, dah takda
genglah abang lepas ni…” usik Firdaus dengan suara yang sengaja dilirihkan.
Athirah kini lebih banyak berpihak kepada adiknya berbanding dirinya. Athirah
yang merupakan anak tunggal, memang rapat dengan adiknya itu. Tidak hairanlah
jika Awra bermalam di rumahnya, Athirah akan sentiasa menyebelahi adiknya itu.
“Alah…bukan selalu…” balas
Athirah manja. Sempat dicuit hujung hidung suaminya sebelum masuk ke bilik
untuk menukar pakaian.
……………….
“Bang, kau sokong team mana ni? Game
sekarang Liverpool dengan Manchester United. Aku tengok baju Arsenal yang
abang pakai malam ni kenapa pulak.” Tanya Awra apabila melihat suasana kedai
mamak itu dipenuhi dengan kaum Adam. Gamat dengan soarakan mereka. Pelbagai
rupa dan cara dalam menyokong pasukan kegemaran masing-masing. Mujur mereka
tiba awal tadi. Jika tidak pasti mereka tidak mendapat tempat duduk. Dengan
sekelip mata restoren 24jam itu dipenuhi dengan peminat bola sepak. Dia perasan
juga ada beberapa orang kaum Hawa yang turut sama menonton.
“Aku kan memang penyokong setia
Arsenal. Saja aja nak tengok game
malam ni.” Jawab Firdaus dengan mata melekat ke skrin besar di hadapan
mereka. Air teh tarik menjadi pilihan
Firdaus dan Athirah malam itu. Tetapi tidak pada Awra. Gadis itu memilih untuk
minum air teh krisentimum. Sejak dulu lagi Awra memang peminat teh bunga itu.
Ke mana sahajalah dia pergi, pasti air itu yang dicari.
“Apalah kau ni bang. Baik tak payah
datang…” ejek Awra melihat mata abangnya sedikit pun tidak bergerak dari skrin
besar itu.
“Diamlah kau dik.” Balas Firdaus
sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata adiknya.
Athirah pula hanya tersenyum
melihat kedua beradik itu.
“Awra, kalau nak makan apa-apa, order ajalah. Malam ni akak belanja.”
Ujar Athirah apabila dia perasan mata adik iparnya itu liar memandang ke
sekeliling. Matanya sedikit pun tidak fokus pada skrin besar itu.
“La… kenapa tak cakap dari tadi.
Penat Fir tunggu akak offer. Hihi…”
jawab Awra sambil tersengih.
“Kan kita dekat kedai makan sis. Dah nama pun kedai makan kan… Makan
ajalah Awra.” Balas Athira seraya menggelengkan kepala. Tahu benar perangai
Awra yang suka sangat bergurau.
“Kak Ati, Fir gurau ajalah… bukan
nak makan sangat pun. Tapi disebabkan akak dah offer kan… apalah salahnya.” Jawab Awra dengan kening yang
terangkat. Sebaik tiba di restoren 24 jam itu, dia teringin merasai mi rojak di
situ. Tetapi, abangnya yang melarang kerana mereka baru sahaja lepas sebelum
mereka ke situ tadi.
“Ada-ada ajalah Awra ni… Awra order ajalah nak makan apa pun… akak
bayar. Jangan risau…” balas Athirah senang. Sedikit pun tidak keberatan untuk
membayar harga makanan yang dipesan oleh Awra.
“Terbaiklah kak…” ucap Awra
ceria. Tangannya sudah dinaikkan sedikit untuk menggamit pelayan restoren.
“Eh, kau nak tambah air lagi ke
dik?” soal Firdaus yang perasan apabila Awra mengangkat tangan.
“Taklah. Nak order makanan.” Jawab Awra selamba.
Seorang pelayan restoren
menghampiri meja mereka dengan membawa menu.
“Bang, saya nak mi rojak satu,
roti canai satu.” Kata Awra kepada pelayan lelaki yang datang itu.
“Lagi?” soal pelayan lelaki itu
kepadanya pula.
“Abang nak order apa-apa ke?” soal Awra kepada Firdaus.
“Tak naklah. Kau ajalah yang
makan.” Jawab Firdaus dengan mata tertumpu semula ke skrin besar.
“Okaylah. Tu aja.” Ujar Awra
sambil menghadiahkan senyuman sebelum pelayan itu berlalu.
“Awra memang betul lapar atau
sengaja nak rasa makanan dekat sini?” soal Athirah yang sedikit terkejut dengan
makanan yang dipesan oleh Awra.
“Nak makanlah kak…” balas Awra
sambil tersengih. Entah kenapa tekaknya ingin merasai makanan di restoren 24
jam itu. Kebanyakan pelanggan yang datang ketika itu tidak pun memesan makanan.
Sebaliknya memesan bergelas-gelas air teh tarik. Berlonggok-longgok gelas di
atas satu meja.
“Jangan membazir sudah. Akak tak
boleh jawab kalau Awra jadi kekasih Encik Syai malam ni sebab tak habis makan.”
Usik Athirah.
“InshaAllah tak… Fir tengah
bersemangat nak makan ni kak.” Jawab Awra seraya tersenyum lebar. Dia berdoa agar
makanan di restoren itu menepati piawaian tekaknya.
“Kalau tak habis… siap kau dik…”
celah Firdaus pula sebelum menghirup perlahan air teh yang sudah pun suam.
“Bilanya nak gol ni? Lambat
sangat.” Omelnya sendiri apabila melihat penyokong-penyokong pasukan yang
bermain begitu khusyuk menonton. Tidak sabar untuk melihat aksi mereka apabila
pasukan yang diminati menjaringkan gol.
Daripada pemerhatiannya,
kebanyakan pelanggan yang datang menonton perlawanan ketika itu adalah
penyokong kuat Liverpool. Sebuah meja berhampiran dengan meja yang mereka
duduki juga merupakan penyokong Liverpool. Dia perasan tiga orang lelaki di
meja itu lebih awal tiba dari mereka. Cuma wajah mereka tidak dapat dilihat
kerana duduk mengadap skrin. Sesekali dia terdengar ketiga-tiga lelaki itu
memberi komen terhadap perlawanan yang sedang berlangsung. Di mana dilihat
permainan lebih dikuasai oleh pasukan Manchester United.
Seketika kemudian, seorang
pelayan mengahampiri mereka untuk menghantar makanan yang dipesan oleh Awra.
Bersinar-sinar matanya melihat mi rojak dan roti canai yang tersedia. Seperti
biasa dia dengan gaya pengkritik makanannya meneliti makanan yang terhidang.
Tangan mencapai sudu dan garfu yang siap dilap dengan sehelai tisu. Satu tabiat
Awra sebelum makan. Dia akan memastikan sudu dan garfu yang akan digunakan
bersih dari sebarang kekotoran. Matanya cukup tajam jika melihat ada sebarang
kekotoran pada sudu dan garfu yang digunakan.
“Kak Ati, tak nak rasa ke?” soal
Awra selepas suapan pertama mi rojak masuk ke dalam mulut.
“Kalau Kak Ati nak, Kak Ati
mintak. Akak kenyang lagi ni.” Jawab Athirah menolak.
“Bang, kau nak tak?” soal Awra
kepada abangnya pula.
“Kau makan ajalah.” Jawab Firdaus
dengan mata masih tertumpu kepada skrin besar itu.
Awra hanya menggelengkan kepala. Pelik benar dengan peminat-peminat fanatik sukan bola sepak. Sanggup duduk berjam-jam semata-mata kerana bola sepak. Dia yang baru sepuluh minit perlawanan bermula sudah buat muka bosan. Inikan pula ingin duduk lebih dari satu jam. Memang tidurlah jawabnya.
“Gol!!!!!!” sorak abangnya dan
segelintir penonton lain apabila pasukan Manchester United berjaya menjaringkan
gol.
Awra yang sedang leka mengunyah
mi rojak yang kena dengan tekaknya, tersedak dengan tiba-tiba. Terkejut dengan
sorakan kuat abangnya beserta beberapa lagi penyokong Manchester United.
“Apa benda abang ni! Tadi kata
penyokong setia Arsenal. Apahal pulak dia yang paling excited!” marah Awra yang terbatuk-batuk. Terasa perit tekaknya dek
kerana kuah kacang yang pedas. Athirah pula sudah ketawa kecil melihatnya.
“Awra minum dulu…” Athirah
menghulurkan air mineral seraya mengusap perlahan belakang tubuh adik iparnya.
Awra menyambut huluran Athirah
dan meneguk perlahan air mineral untuk melegakan tekaknya. Belum lagi dia
meletakkan botol air mineral tadi, sekali lagi dia tersedak apabila kali ini
pasukan Liverpool berjaya menyamakan kedudukan. Sorakan kuat yang bergema
membuatkannya terkejut sekali lagi. Agak bingit telinganya apabila hampir
keseluruhan mereka yang menonton adalah penyokong pasukan Liverpool bersorak
gembira. Dia perasan sebuah meja di hadapannya itu. Merekalah yang paling kuat
sorakannya. Tak terkecuali, abangnya sendiri bersorak gembira.
“Abang, kau ni sokong mana? ManU
gol kau sorak, Liverpool gol pun kau sorak.” Ujar Awra dengan hidung yang mula
berair kerana termasuk air. Mujur air yang diminum tadi tidak terhambur ke
wajah pasangan di hadapannya itu. Hanya Mi rojaknya yang menjadi mangsa.
“Aku sokong dua-dua…” balas
Firdaus selamba sambil tersengih. “Yang kau pulak dik, apa pasal sampai
tersedak-sedak ni? Mesti kau gelojoh makan kan…” tebak Firdaus apabila melihat
adiknya yang masih berair mata selepas tersedak tadi. Perasan hujung hidung
adiknya itu mula memerah.
“Tolong sikit eh… Kalau dah semua
tiba-tiba menjerit macam orang gila apa hal. Sebab bola sebiji sorak macam
orang sewel. Macamlah sorak tu dapat duit. Dah la sokong kelab luar. Kelab
sendiri tak nak pulak sokong.” Komen Awra tidak mengalah. Mujur suasana
restoren itu sedikit bising selepas gol tadi. Cuma dia perasan tiga orang
lelaki yang duduk di hadapan meja mereka menoleh sedikit kepadanya. Mungkin
terdengar apa yang diucapkan tadi. Ah! Lantaklah! Siapa suruh jerit kuat-kuat
sampai aku terperanjat. Sempat hatinya membebel sendirian. Dia berbuat muka
selamba. Sedikit pun tidak memandang ke wajah ke tiga-tiga lelaki di hadapannya
itu. Perit tekaknya masih terasa kerana tersedak tadi.
“Tu la feel namanya.” Balas Firdaus dengan mata terhala pada skrin besar
itu semula. Perlawanan masih lagi berlangsung. Sedikit pun tidak peduli dengan
adiknya yang membebel.
Awra menjuihkan bibirnya. Pelik
dengan orang-orang fanatik ni!
“Awra, tukarlah mi rojak ni. Dah
masuk air yang Awra tersedak tadi.” Ujar Athirah apabila melihat pinggan mi
rojak tadi di penuhi air.
“Takpalah kak. Dah takda selera
nak makan.” Balas Awra yang sesekali batuk. Air tehnya tadi disedut perlahan.
“Ada pulak macam tu. Kan Awra
baru makan sikit. Akak order lain
ya..?” Athirah sudah mengangkat tangan untuk menggamit pelayan restoren. Serentak dengan itu, seorang lelaki dari meja
hadapan mereka menghampiri.
“Bang! Tak perasan abang duduk
sini. Selalu lepak dekat sini jugak ke?” Ramah lelaki itu menegur sambil duduk
di kerusi kosong hadapan Awra. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan Firdaus. Senyuman
dilempar pula kepada Athirah.
Awra sedikit pun tidak memandang
ke wajah lelaki yang duduk di hadapannya. Dia leka pula memotong roti canai
agar menjadi cebisan-cebisan kecil. Suara lelaki itu seperti dikenali. Tetapi
dia buat tidak endah. Pasti rakan-rakan abangnya yang duduk di kawasan
berhampiran. Dia meneka sendirian.
“La… Kau ke.. Ingat siapalah yang
dapat duduk seat depan tu tadi.”
Balas Firdaus mesra sambil tersengih apabila lelaki yang menghampiri meja mereka
duduki itu Faiq.
“Faiq. Ingat pasukan sorak mana
tadi.” Seloroh Athirah pula.
Sebaris nama yang meniti bibir
kakak iparnya membuatkan tangannya terhenti dari membuat cebisan kecil roti
canai. Wajah ditegakkan untuk melihat ke arah suara yang menegur tadi agar
tidak tersalah orang. Awra kertap bibir saat mata mereka bertemu. Namun, cepat
dilarikan. Darah menyerbu ke muka tiba-tiba apabila melihat lelaki itu
tersenyum kepadanya.
“Hai. Awak ni yang jatuh tergolek
dekat kedai saya hari tu kan?” soal Faiq dengan sengaja menekan sedikit
suaranya.
Awra diam membatu. Cuba mengawal
perasaan saat itu. Rasa geram dan malu bergabung menjadi satu. Dia perasan dua
lagi rakan semeja Faiq turut menoleh kepadanya. Begitu juga dengan penghuni
meja-meja berhampiran dengan meja yang dia duduki. Suara Faiq mampu didengari
di situ kerana keadaan yang sudah sedikit tenang selepas lima minit gol
penyamaan.
Sempat matanya singgah ke wajah
abang dan kakak iparnya yang sudah ketawa kecil yang memandangnya. Kurang asam!
Sepakat gelakkan aku!
“Kak, saya nak pergi toilet kejap.” Kata Awra pantas seraya
bangun. Sakit hatinya melihat senyuman mengejek di bibir Faiq Faisal.
“Cik Adik, nanti keluar toilet tu pandang-pandang sikit. Takut
terjatuh lagi.” Terdengar suara itu berpesan selepas beberapa langkah menjauhi
meja.
Awra kertap bibir geram.
Terdengar tawa halus dari meja-meja lain. Berkilo-kilo malam ni dia malukan
aku!
Tiba di tandas, lama dia berdiri
di hadapan cermin besar itu. Jelas kedua pipinya merah menahan rasa malu kerana
mulut celupar Faiq. Terasa berbahang wajahnya saat itu. Ingin sahaja dia
menjerit sekuat hati melepaskan rasa geram dan marah kerana dimalukan di
khalayak ramai. Gila punya lelaki! Sempat hatinya mengutuk. Cepat dia
membasahkan wajahnya dengan harapan agar merah di kedua belah pipinya tidak kelihatan.
Ada kari, ada rempah Babas. Ada hari, siaplah kau, aku balas! Katanya dalam
hati sebelum menapak keluar.
Dari jauh, dilihat lelaki itu
tidak lagi menempel di mejanya tadi. Entah ke mana hilangnya. Pandangan mata
dibuang ke sekitar restoren namun tidak kelihatan. Dalam tidak sedar dia
mengukir senyum. Lapang hatinya apabila bayang lelaki itu hilang dari
pandangan.
“Hai!” tegur satu suara rapat di
telinga menyebabkan telefon bimbit yang dipegang terlepas. Habis terburai isi
perut telefon bimbit kesayangannya itu.
“Lain kali jalan tu jangan
berangan.” Kata suara itu lagi membuatkan Awra menjeling tajam. Dia ni lagi! Dengan
rasa geram dia mengutip semula isi perut telefon yang terburai tadi.
“Ada lagi rupanya orang pakai handphone macam ni.. Ketinggalan zaman
betul…” komen lelaki itu yang turut sama mengutip komponen yang tercabut. Pada
perkiraannya, model telefon itu sudah pun tidak ada di pasaran lagi. Dia
sembunyi senyum. Tetapi dalam hati sudah berdekah-dekah tawanya apabila melihat
wajah yang masam mencuka itu dengan mulut yang terkumat-kamit. Entah apa yang
dibebelkan gadis itu.
“Bagi sini bateri saya tu!” kata
Awra dengan sedikit keras apabila Faiq mendahului capai bateri
telefonnya yang tercampak di kaki lelaki itu tadi. Dia sudah berdiri di hadapan
lelaki itu dengan perasaan berbuku marah dalam dada.
“Erm...Saya rasa dah tiba masanya
awak tukar handphone buruk awak tu.
Dah teruk sangat saya tengok. Keypad
pun sampai dah tercabut. Ni kalau jadi tukun pun, ikan tak sudi.” Tambah lelaki
itu tanpa mempedulikan wajah Awra yang merah padam merenung tajam kepadanya.
Dia masih membelek bateri telefon Awra yang berada di tapak tangannya.
“Hey! Suka hati sayalah nak pakai
handphone buruk ke apa. Awak paduli
apa saya pakai handphone apa pun!
Bagi sini bateri saya tu!” balas Awra geram. Suka hati dia aja nak kutuk handphone aku! Aku tahulah kau kaya! Tak
payahlah nak kutuk orang! Mujur kedudukan tandas itu sedikit jauh dari tempat
duduknya tadi. Jika tidak, pasti mereka menjadi perhatian.
“Memanglah… Saya peduli apa awak
pakai handphone apa pun kan. Kalau
betulkan iphone saya yang rosak hari tu, harganya lagi mahal dari harga handphone awak ni tau. Erm.. Tapi
rasanya handphone awak ni mesti dah
rosak kan… Tengok ni, skrin pun dah retak. Mesti dah tak boleh guna lagi.
Bateri ni pun mesti dah takda function
lagi kan. Biar saya tolong buangkan ajalah.” Balas lelaki itu selamba sambil
menghampiri tong sampah berhampiran dan membuang bateri telefon yang dipegang
tadi.
Hampir terlopong mulutnya apabila
melihat tindakan selamba Faiq Faisal membuang bateri telefon bimbitnya. Tidak
sempat Awra menghalang, lelaki itu terus sahaja berlalu ke meja semula.
Membulat matanya melihat tindakan Faiq yang tidak rasa bersalah. Dia kertap
bibir geram. Diakui telefon bimbitnya itu sudah pun uzur benar dilihatnya.
Tetapi masih lagi boleh digunakan sebelum terhempas kerana terkejut dengan
lelaki itu tadi. Menggunung tinggi rasa marah di dalam dada pada lelaki yang
baru tiga kali dia temui itu. Gila punya lelaki! Jeritnya dalam hati.
Dengan perasaan marah dia kembali
ke mejanya tadi. Ketika dia tiba, sekali lagi sorakan bergema di dalam restoren
itu. Tetapi hanya penyokong Manchester United sahaja yang bersorak termasuk
abangnya yang menjadi penyokong lalang malam itu. Paling jelas kekecewaan yang
boleh dilihat adalah di meja hadapannya. Meja lelaki yang sudah membuang
telefon bateri telefon bimbitnya tadi.
“Padan muka kalah!” kutuknya
geram dengan pandangan tajam memanah ke arah belakang tubuh lelaki yang duduk
membelakanginya itu.
“Abang, jomlah balik. Confirm Liverpool kalah. Dah tak payah
nak sokong-sokong lagi.” Ujar Awra sedikit kuat sengaja ingin Faiq
mendengarnya. Hatinya yang geram dengan tindakan lelaki itu tadi masih belum
reda.
“Awra kenapa ni?” soal Athirah
yang melihat wajah merah padam adik iparnya itu.
“Penatlah kak tengok team kalah main… macam tak reti nak main
bola..” jawab Awra dengan mata tidak lepas memandang ke arah meja di
hadapannya. Dia perasan dua orang lagi teman Faiq sudah tertoleh-toleh kepadanya. Hanya lelaki itu sahaja masih duduk membatu di situ.
Athirah yang masih tidak memahami
terus mendiamkan diri. Tidak sesuai pula untuk bersoal jawab di situ memandangkan perkawanan yang sedang berlangsung masih lagi belum tamat.
Suaminya sendiri masih tekun menonton. Sedikit pun tidak terusik dengan
kata-kata Awra.
Awra sudah berpeluk tubuh dengan
wajah yang masam mencuka. Roti canai yang sudah dipotong kecil tadi pun tidak
lagi disentuh. Terus mati seleranya setelah apa yang berlaku di antara dirinya
dan Faiq di hadapan tandas tadi. Panas membahang dirasakan wajahnya saat itu
menahan marah. Tindakan selamba lelaki itu benar-benar menyakitkan hatinya. Dia
masih tidak faham kenapa lelaki itu boleh bertindak seberani begitu kepadanya.
Padahal, dirasakan dia tidak pernah pun menyakitkan hati lelaki itu. Bertemu
pun baharu tiga kali. Dia yang berkali-kali dimalukan adalah. Sempat lagi
hatinya membebel itu ini tentang Faiq.
Awra tetap sabar menanti di situ
walaupun perlawanan bola itu langsung tidak menarik minatnya. Matanya tetap
sahaja singgah ke belakang tubuh Faiq yang tidak langsung menoleh ke arahnya.
Sebaik sahaja mendengar pengadil permainan meniup wisel penamat, Awra terus
berdiri untuk mengatur langkah ke tempat letak kereta. Tidak betah lagi
berlamaan di situ untuk bersua muka dengan lelaki yang telah menyakitkan
hatinya tadi. Menyampah teramat!
“Dik.. Lajunya.. relax la..” terdengar suara abangnya
menegur membuatkan langkah Awra mati. Dia menoleh ke wajah abang dan kakaknya
yang masih duduk. Serta-merta matanya membulat apabila melihat seraut wajah
yang tersenyum sinis kepadanya. Dia yang tiada hati untuk kembali ke meja
kertap bibir kuat sebelum menyambung semula langkahnya. Berbakul perasaan marah
di hatinya saat itu.
4 comments:
sweetnya ai awra.....
Erks.. Apa masalah faisal ni?? Sian awra
HEHE..bibit cinta dah nak bermula..
tak sabar nak tunggu next episod..
faiq faisal ni memang nak kena ni..
cian la c awra ni..
Post a Comment