Jul 25, 2013

AWRA_bab 8

sila tegur jika ada typo dan sebagainya :)

****
AWRA 8

“Ehem ehem.” Sengaja Faiq berdaham sedikit kuat apabila melihat Awra leka di bawah meja kerja. Entah apa yang dilakukan gadis itu pun dia tidak pasti hingga tidak sedar akan salam yang diberi tadi.

“Kejap-kejap.” Balas gadis itu yang masih di bawah meja.

Faiq menarik senyum sebelum terus melabuhkan duduk. Rasanya sudah terlalu lama dia tidak masuk ke pusat tuisyen adiknya itu. Banyak perubahan telah berlaku sejak dibuka dua tahun lalu.

“Encik..Sorr..” Mati ayatnya di situ apabila wajah majikannya meniti ruang mata. Terus keningnya hampir bertaut sebelum dia kembali duduk di kerusi kerjanya. “Bukan ke..” Dia cuba mengingati tarikh pada hari itu. Setahunya majikannya akan kembali pada Isnin minggu hadapan.

“Macam mana kerja? Okey?” Soal Faiq lagak seperti majikan sebenar gadis itu.

“Er.. Okey.. Macam biasa aje.” Awra pura-pura tidak memandang wajah Faiq kerana dia masih pelik dengan kehadiran lelaki itu.

Faiq mengulum senyum lagi. Begitu lama dia tidak melihat wajah Awra sejak majlis makan malam pejabat Firdaus beberapa bulan lalu.

“Er.. Encik Faisal, bukan Encik Faisal balik minggu depan ke?” Serba salah Awra bertanya.

“Kenapa? Awak suka ya kalau saya tak datang?” Balas Faiq yang cuba menjadi adik kembarnya. Bukan dia tidak tahu Faidh masih di Melaka.

“Er.. Bukan macam tu..” Serba tidak kena Awra menjawab. Wajahnya juga hanya sesekali sahaja diangkat. Pura-pura sibuk mengemaskini rekod pelajar.

“Erm.. Saya saja nak tengok macam mana awak buat kerja. Sebab sebelum ni Khairi selalu ada temankan awakkan?” Sengaja Faiq menduga.

Awra menarik senyum tawar. Terasa tersindir dengan kata-kata lelaki di hadapannya itu. Memang selama ini Khairi ada membantunya di situ. Tetapi sejak beberapa hari lalu tidak lagi. Dia keseorangan di situ. Tiada lagi teman untuk berbual dan bergurau.

“Awra..” Senyuman di bibirnya sudah pun mati apabila melihat wajah gadis di hadapannya itu mula berubah riak.

Awra mengangkat wajah. Bertaut seketika pandangan mata mereka sebelum dia membuang pandang ke arah fail rekod pelajar yang terbuka. “Encik Faisal ada apa-apa nak bagi tahu saya ke?” Soalnya lambat. Kurang selesa apabila lelaki itu tidak lepas memandangnya sejak tadi. Ada perasaan pelik mula menular di hati.

Faiq menghela nafas panjang. Dia sedar Awra masih tidak mampu menerima kehadirannya. Pandangan mata gadis itu masih lagi dingin seperti kali pertama mereka bertemu di restorannya.

“Awra.. Saya nak mintak maaf fasal..”

“Takpa.. Dah lama pun hal tu.. Saya pun dah kerja dengan Encik Faisal..” Pintas Awra cepat. Hal beberapa bulan lalu tidak mahu diungkit semula kerana ia sudah pun dilupakan. Sedar dia kini bekerja dengan lelaki itu. Jika tidak kerana peluang yang diberi kepadanya, mungkin kini dia masih bergelar penganggur.

“Tapi saya rasa, saya dah..”

“Takpa Encik Faisal. Saya dah lupa pun hal tu.. Handphone saya tu pun memang handphone lama kan.. Memang patut pun kena buang.” Sekali lagi Awra memintas dengan senyuman kelat. Dia terpaksa melupakan hal itu semata-mata terasa terhutang budi dengan lelaki itu. Apa yang dimiliki hari ini lebih bermakna berbanding peristiwa di restoran lelaki itu.

“Betul ni?” Ujar Faiq seperti tidak percaya.

“Betul.” Awra cuba memaniskan senyum.

“Erm.. Kalau macam tu, bolehlah kita jadi kawankan?” Jawab Faiq yang turut mengoyak senyum. Ada perasaan lega di hatinya. Cuma dia perasan Awra tetap kurang selesa dengan kehadirannya di situ.

Awra mengerutkan wajahnya. Sedikit pelik dengan permintaan lelaki itu.

“Kalau awak dengan Khairi boleh jadi kawan, mesti dengan saya pun bolehkan?” Lanjut Faiq lagi yang masih setia dengan senyumnya.

“Er.. Khairi tu..”

“Saya tahu awak suka dia..” Celah Faiq sengaja menduga.

Awra memandang pelik. “Memanglah saya suka dia.” Jawabnya selamba. Sepanjang bekerja di situ dia memang cukup menyenangi Khairi. Lelaki itu selalu mengambil berat akan dirinya.

“Erm.. Patutlah awak macam tak suka bila awak kena kerja dengan saya..” Balas Faiq berserta keluhan. Tidak menyangka telahannya benar seperti mana yang diperkatakan oleh Firdaus.

“Macam takda kena mengena aje..” Balas Awra dengan kerutan di wajahnya. Pelik benar dengan kata-kata majikannya.

“Memanglah takda kena mengena dengan saya..”

“Kejap-kejap.” Awra menegakkan tapak tangannya di hadapan wajah Faiq. “Saya tak faham sekarang ni. Encik Faisal sebenarnya cakap fasal apa eh?” Soalnya yang mula keliru.

“Fasal awak dengan Khery la.. Awak kata awak suka dia kan?” Jawab Faiq senang.

“Memanglah saya suka dia. Tapi kenapa tiba-tiba nak cakap fasal hal tu eh?” Balas Awra dengan kerutan yang masih tidak hilang di dahinya.

Faiq mula telan liur. Termalu sendiri. “Erm.. Entah.” Jawabnya sambil membuang pandang ke arah lain. Punggung diangkat. Terus dia melangkah ke papan kenyataan yang tersangkut di dinding. Cuba meneliti apa sahaja yang tertulis di situ demi menyembunyikan perasaannya yang sebenar. Sedar yang dia sudah terlepas kata. Tidak sewajarnya dia mempersoalkan hal peribadi gadis itu walaupun hal itulah yang menyebabkan dia ke situ.

Awra menahan tawa. Lucu melihat Faiq yang serba tidak kena. “Encik Faisal, sebenarnya ada hal penting ke Encik Faisal nak bagi tahu saya?” Ujarnya yang sudah sembunyi senyum.

“Er.. Takda apa.. Erm, saya balik dululah.” Putus Faiq sebelum melangkah ke pintu. Dia tidak lagi menoleh. Risau Awra sedar perubahan warna kulit wajahnya saat itu. Laju dia mengatur langkah. ‘Kau dah kenapa Faiq!’ Kutuk hatinya sendiri sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
…………

“Encik Faisal.” Sapa suara di belakang membuatkan dia sedikit tersentak. Senyuman kelat dilemparkan.

“Buat apa dekat sini? Ingat dah balik tadi.” Lanjut Awra sambil menyembunyikan senyum. Tidak menyangka akan bertemu lagi dengan majikannya di situ.

“Er.. Saya ada hal sikit tadi.” Bohong Faiq. Padahal Firdaus yang memintanya menghantar Awra pulang hari itu. Firdaus terpaksa menghantar Athirah yang pengsan ke hospital.

“Oh..” Itu sahaja yang terluah di bibir Awra sambil tangannya mendail nombor telefon Firdaus. Abangnya tidak pernah tiba selewat itu. Biasanya Firdaus sedia menanti terlebih dahulu.

“Er.. Semua dah tutup?” Sengaja Faiq berbasa-basi. Cuba melupakan apa yang berlaku di antara mereka sebentar tadi.

“Dah..” Jawab Awra ringkas. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semua suis bertutup sebelum turun tadi.

“Awra..” Faiq cuba menjelaskan keadaan yang sebenar. Cuma dia ragu-ragu untuk menuturkannya memandangkan Awra bukanlah seperti gadis lain.

“Hm..” Itu sahaja yang kedengaran sambil jemarinya sudah berkali-kali mendail nombor Firdaus namun langsung tidak bersambung. “Mana abang ni?” Soalnya lebih kepada diri sendiri.

“Awra..” Panggil Faiq lagi apabila Awra tetap juga cuba menghubungi Firdaus.

“Kenapa tak dapat ni? Abang ni lupa ke apa..” Bebel Awra lagi tanpa menghiraukan panggilan Faiq.

Faiq menarik senyum nipis. Lucu melihat wajah cemberut gadis itu. “Jomlah saya hantar awak balik.” Pelawanya kemudian. Tidak sampai hati melihat Awra berterusan begitu.

“Eh, takpalah.” Awra menolak. Mana mungkin dia pulang dengan lelaki itu kerana belum pernah dia berdua-duaan dengan seorang lelaki bukan mahram dalam sebuah kereta melainkan abang dan abahnya.

“Jomlah.. Abang awak yang suruh saya hantar awak balik. Kakak ipar awak pengsan dekat rumah tadi. Dia sekarang dekat hospital.” Jelas Faiq akhirnya.

“Hah! Biar betul Encik Faisal ni. Kenapa abang tak call saya pun..” Balas Awra sedikit terkejut.

Faiq angkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. Saat Firdaus menghubunginya tadi dia hampir sahaja bertolak pulang memandangkan kedatangannya di situ memang dimaklumkan kepada lelaki itu.

“Habis tu, macam mana saya nak balik ni..” Rungut Awra sendiri.

“La.. Kan saya ada. Saya nak hantar awak baliklah ni.. Jom..” Balas Faiq seraya berlalu ke arah keretanya yang terpakir di hadapannya.

Awra mula mengerutkan wajah. Agak ragu-ragu dengan kata-kata Faiq sebentar tadi.

“Encik Faisal, awak cakaplah betul-betul. Betul ke abang saya yang suruh awak hantar ni? Entah-entah awak saja aje nak kenakan saya..” Ujarnya seraya mendapatkan Faiq yang sudah berdiri di sisi kereta.

“La.. Buat apa saya nak tipu awak. Tadi lepas saya jumpa awak, saya dah nak balik tau. Tiba-tiba abang awak call suruh saya hantar awak balik.” Jawab Faiq cuba meyakinkan.

“Tapi kenapa dia tak call saya dulu? Kenapa dia call awak?” Awra masih tidak berpuas hati.

“Manalah saya tahu Cik Awra sayang.. Lagipun dia memang tahu saya datang sini hari ni. Dah alang-alang saya ada dekat sini, takkan dia nak biar awak balik sorang naik teksi malam-malam macam ni.” Balas Faiq lag sambil menggelengkan kepala melihat wajah tidak puas hati gadis di hadapannya itu. “Jomlah saya hantar awak balik. Semua orang dah tengok kita tu. Nanti dia orang ingat laki bini bergaduh pulak.” Lanjutnya sebelum meloloskan diri dalam kereta. Bibir sembunyi senyum.

Awra ketap bibir geram. Tidak punya pilihan. Dia sendiri tidak berani pulang sendirian memandangkan dia belum pernah lagi pulang ke rumah menaiki teksi lewat malam begitu. Dalam tidak mahu, terpaksa juga dia masuk ke dalam kereta Faiq. “Kejap!” Sempat dia menghalang saat Faiq mahu menghidupkan enjin kereta.

“Kenapa?” Faiq berpaling.

“Macam mana saya nak tahu awak terus hantar saya balik rumah?” Soal Awra penuh rasa curiga.

“Cik Awra sayang.. Ada ke muka penjenayah handsome macam saya ni?” Balas Faiq dalam sengihan sebelum terus menghidupkan enjin kereta.

“Kejaplah!” Sekali lagi Awra menghalang hingga tidak sedar tangannya terlekap di lengan lelaki itu.

Faiq menahan tawa. Bola matanya terarah pada jemari halus yang melekap di lengannya.

Sorry..” Laju Awra menarik tangannya semula apabila melihat senyuman nipis yang terukir di bibir Faiq. “Er.. Awak janganlah gerak dulu. Tunggu sampai saya dapat call abang saya kejap.” Ujarnya serba tidak kena sambil jemarinya sibuk menekan papan kekunci telefon bimbit. Wajahnya dipalingkan ke luar tingkap saat gajet itu dilekapkan ke telinga. Tidak mampu menatap wajah Faiq yang sedang tersenyum. “Abang ni.. Takkan tak dengar!” Omelnya sendiri apabila panggilannya langsung tidak berjawab.

Handphone dia tertinggal dalam kereta agaknya. Tadi masa dia call saya, dia dah on the way pergi hospital.” Ujar Faiq lebih tenang.

Awra melepaskan keluhan berat. Hatinya berbelah bahagi. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Macam ni la.. Awak call abah awak. Saya hantar awak balik rumah family awaklah. Esok pun hari Sabtu, awak tak kerja kan? Risau abang awak balik lambat nanti. Bahaya awak tinggal sorang-sorang dekat rumah.” Tambah Faiq ikhlas.

“Awak ni biar betul? Saya lagi sanggup duduk sorang-sorang dekat rumah dari duduk berdua dengan awak dekat tiga jam tau. Rumah saya jauh kut dari sini..” Balas Awra dengan kerutan yang kian bertambah di wajahnya.

So sekarang ni, awak sebenarnya nak balik ke tak? Ke.. Awak nak kita sama-sama tidur dekat sini?” Duga Faiq dengan lirikan nakal. Sengaja mahu mengusik.

“Awak buat macam tu, lagi saya susah nak percaya awak tahu tak?” Bentak Awra sedikit geram.

“Okey-okey sorry. Saya gurau ajelah. Erm.. Sekarang ni awak decide. Awak nak balik ke tak? Saya tengah murah hati nak hantar awak balik ni. Bukan senang-senang saya nak bagi perempuan naik kereta saya ni tau.” Jawab Faiq cuba melakukan provokasi. Dia tidak mahu berlamaan  lagi di situ memandangkan Firdaus sudah menyerahkan amanah untuk menghantar si gadis itu pulang.

Awra menjuihkan bibir. “Hish! Time-time macam ni la kau nak habis bateri.” Bebelnya sendirian apabila gajet yang dipegang sudah terpadam.

“Biar saya call abah awaklah kalau tak percaya.” Ujar Faiq sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

Awra berkerut dahi. “Macam mana awak ada nombor abah saya?” Soalnya seperti tidak percaya melihat lelaki di sisinya itu sedang menghubungi abahnya.

Faiq menjungkitkan keningnya dua kali berserta segaris senyuman. “Nah.” Dia terus menghulurkan telefon bimbitnya.

Awra yang masih tidak percaya, teragak-agak untuk menyambut. Gajet itu dilekapkan ke telinga.

“Awra.” Suara abahnya menyapa.

“Er.. Abah..” Balasnya sambil memandang pelik ke wajah Faiq yang sedang tersengih.

“Ala.. Abah percaya ke pada dia ni?” Keluhnya apabila abahnya sendiri suruh dia pulang bersama Faiq kerana Firdaus terpaksa bermalam di hospital.

“Iyalah iyalah..” Jawabnya berat dengan wajah yang memuncung. Wajah Faiq di sisi dijeling sekilas sebelum talian diputuskan. Gajet itu diserahkan semula kepada Faiq.

“Apa abah awak cakap?” Soal Faiq walaupun sudah dapat meneka apa yang diucapkan oleh ayah gadis itu.

“Macam mana abah saya boleh percayakan awak ni? Senang-senang aje suruh anak dara dia balik dengan orang dia tak kenal.” Gerutu Awra yang tidak punya pilihan. Abahnya sendiri menyuruhnya pulang bersama Faiq. Berlegar-legar pelbagai persoalan di dalam kepalanya saat itu namun tidak mampu diluahkan.

Faiq melebarkan senyum. Dia tidak mahu menjawab soalan yang ditanya. Belum tiba masanya lagi dia menerangkan semuanya selepas apa yang diberitahu Firdaus tempoh hari. “So, boleh kita bertolak sekarang?” Soalnya senang tanpa menghiraukan jelingan gadis itu lagi.

Awra tidak pun menjawab. Sebaliknya pandangan mata dibuang ke luar tingkap. Sedar yang dia langsung tidak punya pilihan. Terpaksa berserah majikannya itu yang akan menghantarnya terus pulang ke rumah ibu bapanya. Selama hampir tiga jam juga mereka akan bersama membuatkan dia tidak senang duduk.

Faiq menghela nafas panjang apabila tiada balasan daripada gadis itu. Tanpa menunggu lama lagi di situ dia mula memandu. Faham akan kedinginan yang ditunjukkan oleh Awra.

*****

“Firdaus kata kamu nak jumpa pakcik. Ada apa Faiq? Awra ada buat apa-apa salah ke?” Soal Shukor sebaik Faiq meletakkan makanan yang dipesan tadi.

“Haah Faiq. Apa Awra dah buat?” Celah Faridah pula.

“Mak, mesti Angah ada buat apa-apa tu.” Alya menyampuk.

“Eh, takdalah.. Awra takda buat apa-apa pun.” Faiq segera menjawab kerana tidak mahu ada salah faham di situ.

Sebenarnya dia mahu berterus terang dengan keluarga di hadapannya itu kerana tidak mahu ada perselisihan di kemudian hari nanti memandangkan dia mahu mendekati Awra. Tidak mahu hubungan yang sedia dingin bertambah keruh. Tambahan pula Firdaus sudah mengingatkannya semalam membuatkan dia memberanikan diri untuk bertemu dengan keluarga itu sendiri.

“Habis tu? Ni sampai nak belanja makcik dengan pakcik makan. Mesti ada apa-apa ni..” Sahut Faridah dalam senyuman. Yakin ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh anak muda di hadapannya itu mengenai anak keduanya.

“Er.. Sebenarnya memang fasal Awra makcik..” Balas Faiq dengan senyuman payau. Serba tidak kena dia mahu berterus terang akan hasrat hati. Belum pernah dia meminta izin pada mana-mana keluarga gadis yang mahu didekatinya sebelum ini. Cuma kali ini, ada suatu perasaan yang tidak mampu digambarkan setiap kali bertemu dengan gadis itu.

“Jaja dah agak dah.. Mesti Angah ada buat hal ni..” Tebak Afza pula yang selalu sependapat dengan kembarnya.

“Awra dah buat apa dekat tempat tuisyen kamu tu Faiq?” Shukor terus sahaja menambah seraya menyambut pinggan yang sudah berisi nasi daripada isterinya.

Faiq mengoyak senyum nipis. Terasa bersalah kerana tidak berterus terang dengan keluarga itu sebelum ini. “Pakcik.. Makcik.. Sebenarnya macam ni. Selama ni Awra bukan kerja dengan saya..” Tuturnya sehabis tenang.

“Habis tu? Kerja dengan siapa?” Laju Faridah bertanya dengan kerutan di wajah. Perasaan risau mula mengganggu hati tuanya.

“Sabar Faridah. Bagi budak Faiq ni habis cakap dulu.” Tenang Shukor mencelah.

Pasangan kembar yang mula menjamah makanan sudah berpandangan sesama sendiri.

“Macam ni.. Saya ni kembar makcik.. Awra kerja dengan adik saya. Faidh. Nama dia Faidh Faisal.” Jelas Faiq jujur. Serentak itu juga pasangan kembar di hadapannya terserdak.

“Ya Allah.. Dah kenapa kamu berdua ni..” Tegur Shukor sambil menggelengkan kepala melihat si kembarnya.

“Abang Faiq ni abah. Siapa suruh dia buat lawak.” Jawab Afza sambil menghulurkan tisu kepada kembarnya di sisi.

“Entah abang ni.” Sokong Alya pula.

“Betul kamu kembar Faiq?” Soal Shukor berwajah serius.

“Er.. Betul pakcik. Erm.. Saya mintak maaf banyak-banyak dengan pakcik, makcik sebab tak bagi tahu awal-awal hal ni..” Jawab Faiq serba tidak kena memandang pasangan di hadapannya itu.

“Awra tahu hal ni Faiq?” Soal Faridah pula.

“Erm.. Belum lagi makcik.” Faiq semakin tidak senang duduk di situ apabila melihat wajah Shukor yang tidak beriak. Lelaki itu sudah meletakkan sudu dan garfu yang dipegang tadi. Berhenti dari makan sambil memandang tajam ke wajahnya.

“Kamu adik-beradik saja nak mainkan anak pakcik ke Faiq?” Soal Shukor tidak bernada. Ada perasaan kurang senang hadir di hati tuanya.

“Er.. Bukan macam tu pakcik. Sebenarnya saya tak tahu pun yang Awra akan kerja dengan adik saya. Saya pun tak tahu ofis Athirah dekat dengan tempat tuisyen adik saya tu. Bila Awra dah interview baru adik saya bagi tahu.” Faiq cuba menjelaskan keadaan yang sebenar. “Erm.. Lagi satu, saya ingat dia cam saya dengan adik saya tu. Masa pakcik satu family datang makan dekat sini, adik saya ada sekali. Dia orang ada terlanggar depan toilet. Tapi Awra ingat tu saya.” Tambahnya lagi.

Faridah memandang wajah suaminya.

Shukor menghela nafas panjang sebelum dia kembali menyambung makan. Agak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Faiq.

“Er.. Pakcik, saya mintak maaf fasal hari tu.. Saya tak sengaja nak tipu pakcik sekeluarga.” Lanjut Faiq dengan perasaan bersalahnya.

“Takpalah Faiq.. Benda dah jadi. Kamu pun dah mengaku.” Sahut Faridah sambil melemparkan senyuman nipis. Yakin yang anak muda itu tidak berniat untuk menipu mereka sekeluarga. Semuanya kerana sedikit salah faham.

“Kembar kamu tahu yang Awra tak tahu semua ni?” Ujar Shukor ingin tahu.

“Tahu pakcik..” Akui Faiq ringkas. “Erm.. Sebenarnya saya ada hal lain nak bincang dengan pakcik, dengan makcik.” Dia memberanikan diri untuk menyampaikan hasrat hatinya pula.

“Fasal Angah lagi ke bang?” Celah Afza sambil menjungkitkan keningnya. Manakala Alya sudah melepaskan tawa.

Faiq mengukir senyum pahit.

“Ada apa lagi ni Faiq?” Shukor kembali menajamkan pandangan matanya ke wajah anak muda itu.

“Er.. Macam ni pakcik..” Faiq cuba menenangkan diri. Peluh yang mula merenik di dahinya diseka perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam.

“Cakap ajelah Faiq apa kamu nak cakap.” Sahut Faridah menenangkan. Dia perasan riak resah di wajah lelaki itu.

“Er.. Saya nak mintak izin pakcik dengan makcik. Er.. Saya nak kawan dengan Awra.” Luahnya sedikit tergagap-gagap.

Alya dan Afza sekali lagi berpandangan sesama sendiri sebelum kedua-duanya melepaskan tawa kecil.

“Abang ni memang kelakarlah. Nak kawan dengan Angah pun nak bagi tahu abah. Kawan ajelah.” Ujar Alya dalam sisa tawa.

Faridah mengoyak senyum. Begitu juga dengan suaminya.

“Belum pernah ada mana-mana lelaki yang berani datang jumpa pakcik kamu ni semata-mata nak kawan dengan anak makcik tu Faiq.” Ujar Faridah sambil mengerling ke wajah suaminya yang masih tersenyum.

Sekali lagi Faiq mengukir senyum kelat. Tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Malu dengan apa yang baru sahaja diucapkan.

“Kamu nak kawan biasa aje ke atau nak kawan yang luar biasa ni?” Soal Shukor tenang sebelum menghirup perlahan air limau suam. Terukir senyum penuh makna di bibirnya.

Faiq telah liur. Dia tidak punya jawapan dari soalan yang diajukan.

“Abang suka Angah eh?” Selamba Alya menyoal dengan sengihan.

Faiq terasa wajahnya mula membahang. Tidak terpandang akan wajah kedua-dua orang tua Awra. Dia tidak menyangka akan menerima soalan-soalan yang tidak mampu dijawab.

“Suka cakap suka ajelah bang..” Sambung Afza pula yang turut melemparkan sengihan mengusik.

“Kamu berdua ni.. Ada aje nak menyibuk.” Tegur Faridah sambil menjeling sepasang kembarnya itu.

“Sudah tu..” Sahut Shukor sambil memandang dua gadis itu apabila kedua-duanya berterusan mentertawakan Faiq. “Erm.. Faiq, kamu jangan dengar sangat cakap budak berdua ni. Pakcik percaya kamu budak baik. Tak salah nak kawan dengan mana-mana anak pakcik pun. Cuma Awra tu lain sikitlah. Kamu boleh tanya Firdaus macam mana perangai Awra tu kalau kamu betul-betul nak kawan dengan dia.” Lanjutnya cuba membuang rasa tidak selesa Faiq. Dia perasan wajah kacak itu mula memerah apabila diusik anak kembarnya.

“Er.. Terima kasih pakcik..” Jawab Faiq dengan sedikit perasaan lega di hatinya. “Erm.. Pakcik makanlah dulu. Kalau ada apa-apa boleh panggil saya..” Sambungnya sebelum bingkas. Tidak mampu berlamaan di situ menjadi usikan pasangan kembar di hadapannya itu. Bukan dia tidak perasan akan lirikan nakal dari kedua-duanya sejak tadi.


5 comments:

MaY_LiN said...

handphone~italic kan
Balas Faiq lag~Balas Faiq lagi
terlekap di lengan ke terlekap pada lengan ya??
time-time kena italic kan ke?
terserdak~tersedak
ayat xpaham.."..dekat sini, ada saya ada sekali..."

hr ni banyak kali c awra tu dapat panggilan sayang eh..
c kember dua tu pun pandai je nak sakat c faiq ya..

Kak Sue said...

amboi Faiq siap bersayang bagai... takut sangat si Khery sambar Awra ... Bagus juga si Faiq ni kan... nak kawan minta izin dgn abah dan abang serta keluarga Awra takut org lain potong Q ke??? ... hehehe...
lepas ni nak kena ambil hati dan berterus terang dgn Awra pulak.... semoga berjaya...

muda_13 said...

Ada saya ada sekali tu maksud, adik saya ada sekali ke Arsha. Hehe, thank u dah bagi kitorang n3 baru. Hari2 jenguk berbaloi tunggu, hehe. Tapi macam sikit sangat, apepon, best.

muda_13 said...

Ayat yang sikit sangat tu macam nak kena penyepak, ngeh ngeh ngeh

ciknie said...

susah nk dpat laki macam nie nk kwan knal2 jumpa fmily trus snang