AWRA 9
“Siapa yang minum air teh ni
mak?” Soal Awra sambil menyimpul rambutnya agar kelihatan lebih kemas. Seteko
air teh yang sudah pun suam itu dipandang sedikit pelik. Setahunya, hanya
abangnya sahaja yang gemarkan air itu. Abahnya pula hanya akan bersarapan
dengan air susu setiap pagi.
“Faiq.”
Sepatah Faridah menjawab sambil menoleh sekilas ke wajah anak keduanya itu.
Awra
membulatkan mata. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya.
“Siapa mak?” Sengaja dia mengulangi soalan yang sama untuk kepastian.
“Faiq Faisal.
Lelaki yang hantar kamu malam tadi la.. Dah kenapa kamu ni Awra? Bangun tidur
terus tak dengar dah apa yang mak cakap.” Panjang lebar Faridah menjawab
diiringi gelengan kepala. Saat itu dia baru sahaja selesai menggoreng mee.
Awra telan
liur. Semakin pelik dia mendengar penjelasan ibunya itu. “Er.. Dia tidur sini
ke malam tadi?” Serba tidak kena dia bertanya. Setahunya saat tiba malam tadi,
dia terus menghilangkan diri ke dalam bilik. Langsung dia tidak bercakap apa
pun dengan lelaki itu. Sepanjang perjalanan pun dia lebih banyak mendiamkan
diri. Menjawab hanya bila perlu.
“Iyalah. Kamu
sampai pukul berapa malam tadi. Abah kamu tak bagi dia memandu lewat-lewat
semalam. Terus aje abah ajak tidur sini.” Jelas Faridah yang begitu menyenangi
lelaki yang dimaksudkan.
Awra telan
liur lagi. “Er.. Mana dia? Pagi tadi masa Fir nak solat subuh, tak nampak pun
dia..” Dia bertanya lanjut sambil memanjangkan leher. Tercari-cari kelibat Faiq
kerana risau jika lelaki itu ternampak auratnya.
“Apa yang kamu
cari?” Muncul Shukor di muka pintu dapur membuatkan Awra sedikit terkejut.
Sengihan kelat dilemparkan sebelum ia mati apabila ternampak kelibat yang amat
dikenali menyusul belakang abahnya. Kelam-kabut dia berjalan meninggalkan ruang
dapur itu dan kembali semula ke dalam bilik. Tidak sanggup dia memperlihatkan
aurat yang elok terjaga sebelum ini dari tatapan lelaki itu.
“Dia ni takda
rumah ke?” Bebelnya sendiri saat menyarungkan kain tudung di kepala. Mulanya
dia beranggapan yang lelaki itu sudah pun pulang. Namun jangkaannya itu meleset
sama sekali. Ada debar bertandang di hatinya apabila melihat wajah tenang
lelaki itu tadi. “Kau ni kenapa Awra..” Omelnya lagi apabila kedua-dua tangannya
terasa sejuk saat mahu melangkah keluar semula dari bilik. Beberapa kali dia
meramas sendiri tangannya sebelum menapak keluar. Mahu atau tidak, dia perlu
berhadapan dengan Faiq kerana lelaki itu sudah bersusah-payah menghantarnya
semalam.
“Awra, cepat
kamu sarapan. Lepas sarapan tu kamu pergi ambik
Alya dengan Afza dekat sekolah.” Ujar Faridah saat mencapai muk dari atas rak
untuk mengambil air suam.
“Pagi-pagi
ni?” Balas Awra kurang senang dengan permintaan ibunya itu.
“Iyalah. Hari
ni budak berdua tu sampai dari Port Dickson.” Jawab Faridah sambil meletakkan
pinggan kosong di atas meja makan. Sedikit lewat dia menyediakan sarapan pagi
itu.
“Alah.. Suruh
ajelah cikgu dia orang hantar sampai rumah. Kan senang.” Balas Awra mudah.
Langsung tidak sedar akan pandangan mata Faiq dan abahnya yang sudah melabuhkan
duduk di meja makan. Dia tahu kedua-dua adiknya itu ke Port Dickson kerana menyertai
Kuiz Kimia peringkat negeri.
“Kalau cikgu
dia orang dah hantar, takdanya mak suruh kamu pergi ambik.” Sahut Shukor pula.
Awra tersengih
kelat. Air suam yang diteguk terasa payau di tekaknya. “Alah.. Abah ajelah
pergi ambik. Fir kan dah lama tak bawak kereta.” Balasnya memberi alasan.
“Sekolah depan
simpang tu ke pakcik?” Faiq mencelah membuatkan Awra membuang pandang ke arah
lelaki itu.
“Haah.
Bukannya jauh mana pun.” Balas Shukor sambil menyambut pinggan yang berisi mee
goreng dari isterinya.
Awra saat itu
semakin tidak senang. Tidak mahu pula lelaki itu terlibat akan urusan keluarganya.
“Cepat-cepatlah kau balik..” Sempat lagi hatinya membebel. Dia begitu tidak
senang melihat kemesraan layanan kedua-dua ibu bapanya terhadap lelaki itu.
“Apa yang kamu
tunggu lagi tu. Cepat sarapan. Lepas tu pergi ambik budak berdua tu. Lepas tu, kita siap-siap pergi hospital
tengok kakak kamu.” Ujar Faridah mengejutkan Awra yang masih tercegat di tepi
kabinet selepas menuangkan air suam tadi.
“Iyalah
iyalah..” Awra terpaksa akur. Terus sahaja dia mengambil tempat di hadapan Faiq
yang tersenyum sejak tadi. “Abah, dia orang ada cakap ke sampai pukul berapa?”
Soalnya saat menyambut pinggan yang dihulurkan ibunya.
Shukor
mengerling jam di pergelangan tangannya sekilas. “Sekarang pukul lapan setengah
pagi. Alya kata dia orang sampai dalam pukul sembilan.” Balasnya dalam
senyuman. Dia yakin yang anak keduanya itu tidak akan mampu memandu sendirian
walaupun sudah menyatakan persetujuan tadi.
“Hah?” Hampir
sahaja Awra tersedak sebaik mendengar jawapan abahnya. Suapan pertama mee
goreng di dalam mulutnya segera ditelan. Kemudian laju dia menoleh ke belakang
untuk melihat jam bulat yang tergantung di dinding. “Alah… Tak sempat la macam
ni..” Rungutnya sebelum bingkas. Tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang
saat itu, laju kakinya mengatur langkah naik ke bilik. Tuala segera dicapai
sebelum dia turun semula dan masuk ke dalam bilik air.
Faiq yang
memerhati sejak tadi menahan tawa. Lucu melihat Awra dalam kelam-kabut.
“Kamu jangan
pelik tengok Awra tu Faiq. Dia memang macam tu. Selalu aje kelam-kabut.” Ujar
Shukor yang cukup faham dengan perangai Awra.
“Awra, kamu ni
memang tak menyempat.. Lambat lagi la.. Sempat kalau kamu habiskan sarapan ni
dulu.” Laung Faridah saat dia melewati pintu bilik air untuk ke singki.
“Tak sempatlah
mak!” Balas Awra dari dalam bilik air.
Faiq yang
mendengar saat itu terus mengoyak senyum. “Pakcik, biarlah saya yang pergi ambik Alya dengan Afza tu. Lagipun dekat
aje kan..” Tiba-tiba dia menawarkan diri dengan senang hati. Dia yakin lelaki
berusia di sisinya itu tidak akan keberatan dan pasti Awra akan menemaninya
nanti.
“Tak payah
susah-susahlah Faiq. Awra boleh pergi sendiri.” Sahut Faridah yang kembali
semula ke ruang makan itu.
“Sebenarnya
pakcik saja aje suruh dia pergi ambik.
Nak suruh dia bawak kereta tu. Dia tu
nama aje ada lesen. Tapi tak nak bawak
kereta. Biar dia biasa-biasa bawak
kereta. Kalau ada apa-apa hal pada pakcik, senang nanti.” Tambah Shukor pula.
“Oh.. Erm..
Kalau dah lama tak drive tu, boleh ke
dia bawak pakcik.” Sengaja dia ingin
tahu.
“Entah.. Nanti
kita tengoklah macam mana.” Balas Shukor berserta senyuman nipis.
…………….
“Awak, baik awak berhentilah.
Saya takut tengok awak bawak kereta
ni.” Ujar Faiq meluahkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat cara Awra
memandu. Gadis itu kerap benar menekan brek menyebabkan perjalanan mereka
kurang lancar. Dia faham bukan mudah bagi seseorang yang sudah lama tidak
memandu untuk mengendalikan pemanduan kereta secara manual begitu.
“Siapa suruh
awak nak ikut.” Jawab Awra selamba dengan wajah tidak berperasaannya. Memang
pada mulanya dia kurang setuju Faiq mahu mengikutnya. Namun apabila mendapat
lampu hijau daripada abahnya, dia terpaksa akur.
“Saya kata
berhenti, berhenti ajelah.” Jawab Faiq bertegas tanpa menghiraukan sindiran
gadis itu. Dia amat risau jika ada perkara yang tidak diingini berlaku nanti.
Tanpa perlu
banyak bersoal lanjut, Awra sekali akur. Terus sahaja dia memberi lampu isyarat
sisi sebelum berhenti.
“Kalau tak
boleh bawak, cakap tak boleh bawak. Jangan berlagak pandai.” Sempat
Faiq menyindir sebelum mereka bertukar tempat duduk. Kini dia pula yang memandu
kereta Nissan Grand Livina itu.
Awra
menjuihkan bibir dengan pandangan mata ditalakan ke luar tingkap. “Yang awak
tu, tak reti nak balik rumah awak kenapa? Buat apa lagi dekat rumah saya? Dah
hantar saya lepas tu terus balik tak boleh ke?” Tebaknya terus apa yang
dipendamkan sejak tadi.
Faiq menoleh
sekilas. Ada bahang mula menjentik hati lelakinya apabila mendengar kata-kata
berbaur sindiran itu. Laju kepalanya menyusun ayat untuk membalas. “Saya tunggu
orang ucap terima kasih pada saya. Lepas tu baru saya boleh balik.” Selamba dia
menjawab.
Awra merengus
halus. Terpaksa menelan sindiran lelaki itu. “Terima kasih. Lepas ni, saya tahu
awak terus balik rumah awak. Tak payah nak sibuk dekat sini.” Jawabnya bengang.
Faiq tersenyum
nipis. “Cik Awra Firdaus, awak sedar tak yang awak cakap dengan siapa sekarang
ni?” Soalnya masih sinis. Sekadar mahu mengingatkan gadis itu walaupun hakikat yang
sebenar masih dirahsiakan.
“Encik Faiq
Faisal, hari ni hari Sabtu. Saya tak kerja hari Sabtu. Dan awak tu yang
sepatutnya sedar dekat mana kita sekarang ni. Sekarang saya bukan pekerja
awak.” Balas Awra berani tanpa berfikir panjang akan kesan yang bakal
diterimanya nanti.
Faiq tersenyum
lagi. Namun kini dia mula tahan hati. Rasa tercabar. Dia terkena lagi dengan
gadis itu. Terlupa sebentar situasi mereka. “Tak sangka saya boleh ambik pekerja macam awak kerja dengan
saya.” Jawabnya lambat berserta senyuman sinis lagi. Dia terpaksa menyabarkan
hatinya sendiri.
“Siapa suruh ambik..” Selamba Awra menjawab tanpa
menghiraukan perasaan lelaki yang tenang memandu itu.
Faiq ketap
bibir. ‘Nasib baiklah aku dah mula suka kau..’ Omelnya dalam hati untuk
menenteramkan diri sendiri. Terpaksa mengalah. Tambahan pula mereka sudah tiba
ke destinasi yang dituju. Kelibat si kembar pun sudah kelihatan.
“Eh.. Ingat
abah tadi.” Ramah Alya menegur sebaik gadis itu masuk ke dalam kereta.
Awra sempat
menghadiahkan jelingan kepada kedua-dua adiknya yang sudah tersengih-sengih
itu.
“Hm.. Hari ni
aje special sikit..” Balas Faiq senang
sebelum dia kembali memandu.
“Abang datang
nak meminang Angah ke?” Lancar ayat itu keluar dari bibir Afza membuatkan Awra
laju menoleh ke wajah Faiq sebelum ditalakan kepada pasangan kembar itu. “Mulut
tu kalau diam-diam aje tak boleh ke?” Getusnya geram. Tidak terpandang akan
wajah lelaki yang sedang memandu di sisinya itu.
Faiq menahan
tawa. Lucu melihat wajah Awra yang merah padam. “Semalam Abang hantar Angah korang ni la.. Lepas tu tidur dekat
rumah korang malam tadi sebab abah
tak bagi abang balik. Semalam pun sampai dah pukul dua belas lebih. Lepas tu
pagi ni pulak, abah mintak tolong abang tunjukkan jalan
pergi hospital dekat Cheras tu..” Jelas Faiq akan kemudiannya sekali gus
memberitahu akan tujuannya masih berlamaan di kampung itu. Jika tidak, awal
subuh tadi dia sudah bertolak pulang.
“Oh.. Siapa
yang sakit pulak?” Alya bertanya.
“Kakak ipar korang. Firdaus kata dia pengsan
semalam. Tu yang abang kena hantar Angah korang
ni semalam.” Jawab Faiq lagi yang tidak keberatan langsung melayan kedua-dua
gadis itu sunti itu. Sememangnya dia tidak punya adik perempuan. Dalam pada
itu, sempat dia mengerling ke wajah kelat Awra sekilas.
“Oh..” Hampir
serentak si kembar itu menjawab.
Awra pula
sudah menjuihkan bibir. “Bila masa pulak
kau jadi anak abah aku ni!” Gerutunya geram dalam hati. Panas benar telinganya
saat itu apabila Faiq begitu mesra menyebut nama abahnya.
“Abang, kenapa
abang yang drive eh? Angah kan boleh drive?” Datang idea nakal Afza mahu
mengusik kakaknya yang seorang itu menyebabkan sekali lagi Awra menoleh dan
menghadiahkan jelingan tajam.
“Awak ni
memang kaki cari fasal eh? Dengan budak-budak pun nak bergaduh.” Celah Faiq
yang menahan tawa melihat wajah tidak puas hati Awra.
“Biarlah! Awak
sibuk kenapa?” Jawab Awra dingin.
“Abang, tak payahlah
layan Angah tu. Dia memang macam tu.. Suka cari gaduh dengan kita orang.” Sahut
Alya pula sebelum dia dan pasangan kembarnya menghamburkan tawa.
Faiq yang
mendengar juga sudah melepaskan tawa. Ceria benar hatinya dapat mengenali
seluruh ahli keluarga gadis yang sedang membungkam di sisinya itu.
Awra terus
merengus geram lantas membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya benar-benar
panas saat itu. Ada perasaan menyesal muncul kerana membiarkan lelaki itu
mengikutnya tadi.
*****
“Takkan nak boikot saya fasal hal
tadi kut..” Suara Faiq memecahkan kesunyian yang memenuhi ruang. Dia yang memandu
sejak tadi resah sendiri apabila Awra yang duduk di sisinya itu membatukan
diri. Lebih satu jam mereka begitu hinggalah destinasi yang ditujui semakin
hampir.
“Dah tahu,
lagi nak tanya.” Jawab Awra acuh tidak acuh. Langsung dia tidak menoleh ke
wajah Faiq sejak mereka bertolak tadi. ‘Nasib baik abah suruh aku naik dekat
sini. Kalau tak, jangan haraplah..’ Rungutnya sendiri dalam hati.
Faiq tersenyum
nipis. Terpaksa dia menerima sindiran gadis itu. “Takkan hal kecik macam tu pun awak nak ambik hati. Adik-adik awak gurau aje
kan. Takkan tu pun tak boleh.” Balasnya cukup tenang lebih kepada memujuk.
Tidak mahu wajah cemberut itu menghiasi ruang matanya. ‘Aku pinang betul-betul,
baru kau tahu nanti..’ Ejeknya dalam hati.
“Saya nak ambik hati, suka hati sayalah! Bukan
hati awak.” Selamba Awra menjawab demi menghamburkan rasa tidak puas hati yang
tidak terluah kepada kedua-dua adik bongsunya tadi.
Faiq
melepaskan nafas panjang seraya menoleh sekilas ke wajah cemberut di sisinya
itu. “Saya tahu awak sebenarnya tak marahkan budak berdua tu.. Sebenarnya awak
marahkan saya kan?” Ujarnya penghabis tenang. Dia ingin tahu apa sebenarnya
yang tersirat di hati gadis itu.
“Tahu pun.
Kenapa awak tak terus aje balik semalam? Kenapa mesti awak ikut cakap abah
saya?” Hambur Awra terus. Dia tidak mampu menyembunyikan rasa tidak puas hati
yang dipendam.
Keluhan meniti
bibir Faiq. Sedar yang gadis itu tidak faham apa sebenarnya yang tersirat di
hatinya. Peluang yang terbentang di hadapan mata tidak mungkin akan dilepaskan.
Tambahan pula dia sudah mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa gadis itu.
“Apa
sebenarnya tujuan awak buat baik dengan mak abah saya, dengan adik-beradik
saya?” Tambah Awra ingin tahu. Dia benar-benar tidak senang dengan kemesraan
yang ditunjukkan oleh Faiq. Risau jika ada agenda tertentu yang tidak diketahui
walaupun sedar lelaki itu majikannya.
“Saya buat
baik pun salah ke? Takkan saya nak kurang ajar pulak dengan mak abah awak?” Balas Faiq kurang faham.
“Sekarang kita
tak boleh senang-senang nak percaya pada orang. Lagi-lagi orang macam awak.”
Jawab Awra tegas.
“Saya macam
apa?” Tingkah Faiq mula menahan hati.
“Cuba awak cakap dengan saya berapa lama awak kenal saya? Berapa lama awak kenal family saya? Takkan sebab saya dah kerja
dengan awak, saya kena percaya awak terus?” Lancar Awra menuturkannya.
Faiq ketap
bibir. Dia mula rasa tercabar. Terlalu buruk tanggapan gadis itu terhadap
dirinya. “Awak sebenarnya langsung tak pernah maafkan saya dari kali pertama
kita jumpa kan..” Tuturnya seperti berjauh hati. Sewajarnya sejak awal lagi dia
sedar akan hal itu. Permulaan mereka tidak semanis biasa.
Awra tidak
membalas. Hanya wajahnya terus dipalingkan ke luar tingkap. Terpandang akan
papan tanda hospital, sedar yang mereka akan tiba sebentar lagi. Tidak sabar
dia mahu turun dari kereta itu. Sememangnya dia tidak pernah senang apabila
Faiq ada di hadapan mata.
Faiq sendiri
tidak lagi mahu menambah mahupun melanjutkan bicara. Terpaksa dia mengalah lagi
kerana tidak mahu menambah kedinginan yang sedia ada. Kereta yang dipandu baru
sahaja masuk ke kawasan hospital. Segera dia mencari tempat letak kereta kerana
tahu gadis di sisinya itu tidak betah lagi bersamanya. Belum pun sempat dia
menegur, Awra terus keluar sebaik dia mematikan enjin kereta.
“Pakcik..” Dia
terus mendapatkan Shukor yang baru sahaja turun dari kereta.
“Susah jugak ya Faiq hospital ni. Nasib ada
kamu. Kalau pergi lagi sekali ni, tak tahulah ingat jalan ke tak..” Balas
Shukur sambil sesekali meluruskan tangannya kerana hampir dua jam memandu tanpa
berhenti. Terasa lenguh tulang tuanya.
“Kalau pakcik
sesat, pakcik call aje saya.” Balas
Faiq senang. Berbual dengan Shukor membuatkan dia teringat akan ayahnya.
“Terima kasihlah
Faiq. Buat susah kamu aje. Nak harapkan budak-budak ni.. Jangan haraplah..”
Celah Faridah akan perihal anak-anak perempuannya pula. Masing-masing tidak
ambil peduli akan jalan yang mereka lalui. Dalam pada itu sempat dia mengerling
ke wajah anak keduanya yang masam mencuka sejak tadi.
“Abah,
cepatlah.. Panaslah duduk sini.” Rungut Awra yang sudah melindungi kepalanya
dengan beg tangan yang dibawa. Matahari saat itu sudah tegak di atas kepala.
“Jom pakcik
saya tunjukkan tempatnya.” Cepat Faiq menyahut kerana cukup faham akan riak
yang ditunjukkan oleh Awra sejak tadi.
“Ha.. Iyalah..”
Balas Shukor sebelum menekan alat kawalan jauh keretanya. Wajah anak keduanya
dipandang sekilas sebelum dia menggelengkan kepala beberapa kali.
“Kamu kenapa
Awra?” Tegur Shukor dengan suara tertahan saat dia beriringan dengan anak
gadisnya itu. Manakala isterinya bersama-sama Faiq dan pasangan kembarnya
mendahului di hadapan.
“Mana ada
apa-apa..” Balas Awra tidak bernada.
“Kamu bergaduh
dengan si Faiq tu ke?” Tebak Shukor ingin tahu.
“Takdalah.”
Jawab Awra pendek. Tidak berani dia menoleh ke wajah abahnya. Lurus matanya
memandang belakang tubuh Faiq yang begitu mesra dengan kedua-dua adiknya.
Seperti sudah terlalu lama mereka mengenali. Ada perasaan pelik menjentik hati
kecil. Setahunya, dua gadis itu sukar untuk bermesra dengan orang yang baru dikenali.
“Kalau kamu
elok-elok sikit dengan dia tak boleh ke Awra? Ingat abah tak nampak apa yang
kamu buat dari pagi tadi. Kan dia dah susah-susah hantar kamu semalam. Tolong
tunjukkan jalan ke hospital ni.. Dia ada buat salah dengan kamu ke sampai macam
tu sekali muka kamu tu?” Soal Shukor tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberi oleh Awra tadi.
Awra mula
panas telinga. Tidak senang dengan bebelan abahnya yang jelas memihak kepada
Faiq. Belakang tubuh lelaki itu dipandang tajam. Dia mula dapat merasakan
perubahan dalam keluarganya sejak kehadiran Faiq.
“Kamu dengar
tak apa yang abah cakap ni?” Lanjut Shukor apabila anaknya itu hanya mendiamkan
diri.
“Dengar..”
Jawab Awra sepatah. Seperti tidak mahu dia menjawab.
“Angah, malam
ni Abang Faiq nak belanja kita makan dekat kedai dia.” Datang Afza dengan
sengihan lebar ke sisinya tiba-tiba membuatkan sekali lagi dia memandang tajam
ke arah Faiq yang turut sama menoleh. Bibir diketap rapat.
“Kan kita
datang sini tengok Kak Ati. Bukan nak makan-makanlah.” Sahutnya dengan sengaja
menguatkan sedikit suaranya agar sampai ke pendengaran Faiq.
“Awra..” Tegur
Shukor di sisi membuatkan Awra merengus halus. Kesabarannya benar-benar teruji
dengan kehadiran Faiq dalam keluarganya saat itu.
“Angah ni.. Relaxlah.. Orang tahulah kita datang
sini nak tengok Kak Ati. Tapi Angah tahu tak yang Kak Ati dah boleh keluar hari
ni. Abang dah mesej orang tadi.” Sahut Afza sebelum kembali ke sisi Faiq yang
sejak tadi bergandingan dengan kembarnya.
Sekali lagi
Awra ketap bibir tanda tidak puas hati. Terasa dirinya kini terkontang-kanting
tanpa sokongan.
“Tingkat
berapa ni Faiq?” Soal Shukor sebaik mereka tiba di hadapan pintu lif yang
tertutup.
“Tadi Daus
kata tingkat empat pakcik. Dekat aje.” Jawab Faiq sambil melemparkan senyum
nipis. Namun matanya sempat singgah ke wajah Awra yang langsung tidak berubah
sejak tadi. Kekal dingin.
“Khery!” Laju
Awra menegur sebaik pintu lif terbuka. Wajah yang amat dikenali menjamu ruang
mata.
“Fir.. Buat
apa dekat sini?” Balas Khairi sebaik dia melangkah keluar. Terus sahaja dia
merapati Awra tanpa sedar ada mata yang memandang apabila ada ramai pelawat
yang mahu masuk ke dalam lif saat itu.
“Kakak ipar saya
warded malam tadi. Awak?” Soal Awra
kembali.
“Mak saya warded pagi tadi..” Balas Khairi
berserta helaan nafas panjang.
“Mak awak warded dekat sini? Tapi bukan ke awak
duduk dekat..” Tergantung ayatnya di situ apabila Faiq merapati mereka. Saat
itu dia baru tersedar mereka menjadi perhatian mata ahli keluarganya yang lain.
“Bro, sampai hati
tak nampak aku ya?” Tegur Faiq selepas menepuk bahu sahabatnya itu. Senyuman
paksa dilemparkan ke arah Awra yang berubah ceria. Hilang wajah cemberut tadi.
“Hoi.. Sorry la.. Aku tak perasan..” Balas
Khairi sambil mereka bersalaman. “Kau datang dengan Awra ke apa ni?” Soalnya
kemudian sambil memandang ke wajah Awra dan sahabatnya itu bersilih ganti.
Penuh tanda tanya dalam kepalanya. Dia sudah sedia maklum akan hubungan dingin
pasangan itu sebelum ini.
“Er.. Sorry Khairi.. Tu ada.. Abah dengan mak
saya.. Adik-adik saya pun ada. Lupa pulak
nak kenalkan..” Celah Awra serba salah sambil menunjuk ke arah ahli keluarganya
yang setia menanti di tepi pintu lif. Memberi laluan kepada pengguna lain yang
sudah pun mendahului.
Khairi
tersenyum nipis sebelum mendapatkan Shukor untuk bersalaman.
Faiq yang
memerhati saat itu mula tidak senang. Entah kenapa hati lelakinya rasa tergugat
tiba-tiba. Dengan kehadiran Khairi di situ telah mengubah riak wajah Awra
serta-merta. “Khery kau nak ke mana lepas ni? Kau tunggu aku kejap boleh? Lepas
aku hantar family Awra ke atas, aku
turun balik.” Ujarnya sebaik Khairi menyapa mesra ahli keluarga Awra.
“Kau jumpa aku
dekat café la. Aku nak pergi makan dulu ni sementara tunggu adik-beradik aku
yang lain.” Balas Khairi senang. Saat itu sempat dia mengerling ke wajah Awra
yang serba tidak kena melemparkan senyum kepadanya.
“Okey-okey.
Aku naik dulu. Jumpa nanti.” Jawab Faiq sebelum meloloskan diri ke dalam perut
lif yang baru sahaja terbuka.
“Er.. Saya
naik dulu Khery.. Jumpa lagi nanti..” Ujar Awra pula dalam serba salah. Terpaksa
dia menuruti langkah Faiq ke dalam lif kerana ahli keluarga lain sudah menanti.
Dia terasa belum puas menyapa Khairi. Ada juga perasaan ingin tahu atas sebab
apa lelaki itu berada di situ.
Sebaik pintu
lif tertutup, matanya mengerling ke wajah Faiq yang berdiri di sisi. Ada riak
kurang senang terlukis di wajah lelaki itu membuatkan dia mengerutkan dahi. Ada
ketegangan yang terpamer.
8 comments:
uish..
da makin panas lak paiq ni..
secara menual~secara manual
"Cuba awak dengan cakap saya~"Cuba awak cakap dengan saya
thanks maylin sebab tak jemu menegur akan kesilapan yang ada.
thank you so much ! <3
kite kan kakak..
kuikuikui
kakak pun kakaklah.. eheh :P
Rasanya Faiq nak jumpa Khery sebab nak beritahu tentang hubungannya dgn Awra ja....
Faiq cuba berterus terang dgn Awra tentang perasan dan hasrat hati yg sebenarnya... kita bagi Awra beku kejap ... hahaha... boleh gitu.... asyik nak marah ja....
Urmmm..terasa sgt pasal skrip lesen ayah awra ni..mcm kene je kat batang hidung sendiri..sy pun anak kedua jugak;)
hidayah>
saya pun sebenarnya... anak kedua, ada lesen tp tak drive..hahah..
skrip abah saye la tu.. :P
jealous r faiq da ada psaing nmpaknya nie
Post a Comment