Aug 27, 2013

AWRA_bab 9

AWRA 9

“Siapa yang minum air teh ni mak?” Soal Awra sambil menyimpul rambutnya agar kelihatan lebih kemas. Seteko air teh yang sudah pun suam itu dipandang sedikit pelik. Setahunya, hanya abangnya sahaja yang gemarkan air itu. Abahnya pula hanya akan bersarapan dengan air susu setiap pagi.

“Faiq.” Sepatah Faridah menjawab sambil menoleh sekilas ke wajah anak keduanya itu.

Awra membulatkan mata. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. “Siapa mak?” Sengaja dia mengulangi soalan yang sama untuk kepastian.

“Faiq Faisal. Lelaki yang hantar kamu malam tadi la.. Dah kenapa kamu ni Awra? Bangun tidur terus tak dengar dah apa yang mak cakap.” Panjang lebar Faridah menjawab diiringi gelengan kepala. Saat itu dia baru sahaja selesai menggoreng mee.

Awra telan liur. Semakin pelik dia mendengar penjelasan ibunya itu. “Er.. Dia tidur sini ke malam tadi?” Serba tidak kena dia bertanya. Setahunya saat tiba malam tadi, dia terus menghilangkan diri ke dalam bilik. Langsung dia tidak bercakap apa pun dengan lelaki itu. Sepanjang perjalanan pun dia lebih banyak mendiamkan diri. Menjawab hanya bila perlu.

“Iyalah. Kamu sampai pukul berapa malam tadi. Abah kamu tak bagi dia memandu lewat-lewat semalam. Terus aje abah ajak tidur sini.” Jelas Faridah yang begitu menyenangi lelaki yang dimaksudkan.

Awra telan liur lagi. “Er.. Mana dia? Pagi tadi masa Fir nak solat subuh, tak nampak pun dia..” Dia bertanya lanjut sambil memanjangkan leher. Tercari-cari kelibat Faiq kerana risau jika lelaki itu ternampak auratnya.

“Apa yang kamu cari?” Muncul Shukor di muka pintu dapur membuatkan Awra sedikit terkejut. Sengihan kelat dilemparkan sebelum ia mati apabila ternampak kelibat yang amat dikenali menyusul belakang abahnya. Kelam-kabut dia berjalan meninggalkan ruang dapur itu dan kembali semula ke dalam bilik. Tidak sanggup dia memperlihatkan aurat yang elok terjaga sebelum ini dari tatapan lelaki itu.

“Dia ni takda rumah ke?” Bebelnya sendiri saat menyarungkan kain tudung di kepala. Mulanya dia beranggapan yang lelaki itu sudah pun pulang. Namun jangkaannya itu meleset sama sekali. Ada debar bertandang di hatinya apabila melihat wajah tenang lelaki itu tadi. “Kau ni kenapa Awra..” Omelnya lagi apabila kedua-dua tangannya terasa sejuk saat mahu melangkah keluar semula dari bilik. Beberapa kali dia meramas sendiri tangannya sebelum menapak keluar. Mahu atau tidak, dia perlu berhadapan dengan Faiq kerana lelaki itu sudah bersusah-payah menghantarnya semalam.

“Awra, cepat kamu sarapan. Lepas sarapan tu kamu pergi ambik Alya dengan Afza dekat sekolah.” Ujar Faridah saat mencapai muk dari atas rak untuk mengambil air suam.

“Pagi-pagi ni?” Balas Awra kurang senang dengan permintaan ibunya itu.

“Iyalah. Hari ni budak berdua tu sampai dari Port Dickson.” Jawab Faridah sambil meletakkan pinggan kosong di atas meja makan. Sedikit lewat dia menyediakan sarapan pagi itu.

“Alah.. Suruh ajelah cikgu dia orang hantar sampai rumah. Kan senang.” Balas Awra mudah. Langsung tidak sedar akan pandangan mata Faiq dan abahnya yang sudah melabuhkan duduk di meja makan. Dia tahu kedua-dua adiknya itu ke Port Dickson kerana menyertai Kuiz Kimia peringkat negeri.

“Kalau cikgu dia orang dah hantar, takdanya mak suruh kamu pergi ambik.” Sahut Shukor pula.

Awra tersengih kelat. Air suam yang diteguk terasa payau di tekaknya. “Alah.. Abah ajelah pergi ambik. Fir kan dah lama tak bawak kereta.” Balasnya memberi alasan.

“Sekolah depan simpang tu ke pakcik?” Faiq mencelah membuatkan Awra membuang pandang ke arah lelaki itu.

“Haah. Bukannya jauh mana pun.” Balas Shukor sambil menyambut pinggan yang berisi mee goreng dari isterinya.

Awra saat itu semakin tidak senang. Tidak mahu pula lelaki itu terlibat akan urusan keluarganya. “Cepat-cepatlah kau balik..” Sempat lagi hatinya membebel. Dia begitu tidak senang melihat kemesraan layanan kedua-dua ibu bapanya terhadap lelaki itu.

“Apa yang kamu tunggu lagi tu. Cepat sarapan. Lepas tu pergi ambik budak berdua tu. Lepas tu, kita siap-siap pergi hospital tengok kakak kamu.” Ujar Faridah mengejutkan Awra yang masih tercegat di tepi kabinet selepas menuangkan air suam tadi.

“Iyalah iyalah..” Awra terpaksa akur. Terus sahaja dia mengambil tempat di hadapan Faiq yang tersenyum sejak tadi. “Abah, dia orang ada cakap ke sampai pukul berapa?” Soalnya saat menyambut pinggan yang dihulurkan ibunya.

Shukor mengerling jam di pergelangan tangannya sekilas. “Sekarang pukul lapan setengah pagi. Alya kata dia orang sampai dalam pukul sembilan.” Balasnya dalam senyuman. Dia yakin yang anak keduanya itu tidak akan mampu memandu sendirian walaupun sudah menyatakan persetujuan tadi.

“Hah?” Hampir sahaja Awra tersedak sebaik mendengar jawapan abahnya. Suapan pertama mee goreng di dalam mulutnya segera ditelan. Kemudian laju dia menoleh ke belakang untuk melihat jam bulat yang tergantung di dinding. “Alah… Tak sempat la macam ni..” Rungutnya sebelum bingkas. Tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang saat itu, laju kakinya mengatur langkah naik ke bilik. Tuala segera dicapai sebelum dia turun semula dan masuk ke dalam bilik air.

Faiq yang memerhati sejak tadi menahan tawa. Lucu melihat Awra dalam kelam-kabut.

“Kamu jangan pelik tengok Awra tu Faiq. Dia memang macam tu. Selalu aje kelam-kabut.” Ujar Shukor yang cukup faham dengan perangai Awra.

“Awra, kamu ni memang tak menyempat.. Lambat lagi la.. Sempat kalau kamu habiskan sarapan ni dulu.” Laung Faridah saat dia melewati pintu bilik air untuk ke singki.

“Tak sempatlah mak!” Balas Awra dari dalam bilik air.

Faiq yang mendengar saat itu terus mengoyak senyum. “Pakcik, biarlah saya yang pergi ambik Alya dengan Afza tu. Lagipun dekat aje kan..” Tiba-tiba dia menawarkan diri dengan senang hati. Dia yakin lelaki berusia di sisinya itu tidak akan keberatan dan pasti Awra akan menemaninya nanti.

“Tak payah susah-susahlah Faiq. Awra boleh pergi sendiri.” Sahut Faridah yang kembali semula ke ruang makan itu.

“Sebenarnya pakcik saja aje suruh dia pergi ambik. Nak suruh dia bawak kereta tu. Dia tu nama aje ada lesen. Tapi tak nak bawak kereta. Biar dia biasa-biasa bawak kereta. Kalau ada apa-apa hal pada pakcik, senang nanti.” Tambah Shukor pula.

“Oh.. Erm.. Kalau dah lama tak drive tu, boleh ke dia bawak pakcik.” Sengaja dia ingin tahu.

“Entah.. Nanti kita tengoklah macam mana.” Balas Shukor berserta senyuman nipis.

…………….

“Awak, baik awak berhentilah. Saya takut tengok awak bawak kereta ni.” Ujar Faiq meluahkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat cara Awra memandu. Gadis itu kerap benar menekan brek menyebabkan perjalanan mereka kurang lancar. Dia faham bukan mudah bagi seseorang yang sudah lama tidak memandu untuk mengendalikan pemanduan kereta secara manual begitu.

“Siapa suruh awak nak ikut.” Jawab Awra selamba dengan wajah tidak berperasaannya. Memang pada mulanya dia kurang setuju Faiq mahu mengikutnya. Namun apabila mendapat lampu hijau daripada abahnya, dia terpaksa akur.

“Saya kata berhenti, berhenti ajelah.” Jawab Faiq bertegas tanpa menghiraukan sindiran gadis itu. Dia amat risau jika ada perkara yang tidak diingini berlaku nanti.

Tanpa perlu banyak bersoal lanjut, Awra sekali akur. Terus sahaja dia memberi lampu isyarat sisi sebelum berhenti.

“Kalau tak boleh bawak, cakap tak boleh bawak. Jangan berlagak pandai.” Sempat Faiq menyindir sebelum mereka bertukar tempat duduk. Kini dia pula yang memandu kereta Nissan Grand Livina itu.

Awra menjuihkan bibir dengan pandangan mata ditalakan ke luar tingkap. “Yang awak tu, tak reti nak balik rumah awak kenapa? Buat apa lagi dekat rumah saya? Dah hantar saya lepas tu terus balik tak boleh ke?” Tebaknya terus apa yang dipendamkan sejak tadi.

Faiq menoleh sekilas. Ada bahang mula menjentik hati lelakinya apabila mendengar kata-kata berbaur sindiran itu. Laju kepalanya menyusun ayat untuk membalas. “Saya tunggu orang ucap terima kasih pada saya. Lepas tu baru saya boleh balik.” Selamba dia menjawab.

Awra merengus halus. Terpaksa menelan sindiran lelaki itu. “Terima kasih. Lepas ni, saya tahu awak terus balik rumah awak. Tak payah nak sibuk dekat sini.” Jawabnya bengang.

Faiq tersenyum nipis. “Cik Awra Firdaus, awak sedar tak yang awak cakap dengan siapa sekarang ni?” Soalnya masih sinis. Sekadar mahu mengingatkan gadis itu walaupun hakikat yang sebenar masih dirahsiakan.

“Encik Faiq Faisal, hari ni hari Sabtu. Saya tak kerja hari Sabtu. Dan awak tu yang sepatutnya sedar dekat mana kita sekarang ni. Sekarang saya bukan pekerja awak.” Balas Awra berani tanpa berfikir panjang akan kesan yang bakal diterimanya nanti.

Faiq tersenyum lagi. Namun kini dia mula tahan hati. Rasa tercabar. Dia terkena lagi dengan gadis itu. Terlupa sebentar situasi mereka. “Tak sangka saya boleh ambik pekerja macam awak kerja dengan saya.” Jawabnya lambat berserta senyuman sinis lagi. Dia terpaksa menyabarkan hatinya sendiri.

“Siapa suruh ambik..” Selamba Awra menjawab tanpa menghiraukan perasaan lelaki yang tenang memandu itu.

Faiq ketap bibir. ‘Nasib baiklah aku dah mula suka kau..’ Omelnya dalam hati untuk menenteramkan diri sendiri. Terpaksa mengalah. Tambahan pula mereka sudah tiba ke destinasi yang dituju. Kelibat si kembar pun sudah kelihatan.

“Eh.. Ingat abah tadi.” Ramah Alya menegur sebaik gadis itu masuk ke dalam kereta.

Awra sempat menghadiahkan jelingan kepada kedua-dua adiknya yang sudah tersengih-sengih itu.

“Hm.. Hari ni aje special sikit..” Balas Faiq senang sebelum dia kembali memandu.

“Abang datang nak meminang Angah ke?” Lancar ayat itu keluar dari bibir Afza membuatkan Awra laju menoleh ke wajah Faiq sebelum ditalakan kepada pasangan kembar itu. “Mulut tu kalau diam-diam aje tak boleh ke?” Getusnya geram. Tidak terpandang akan wajah lelaki yang sedang memandu di sisinya itu.

Faiq menahan tawa. Lucu melihat wajah Awra yang merah padam. “Semalam Abang hantar Angah korang ni la.. Lepas tu tidur dekat rumah korang malam tadi sebab abah tak bagi abang balik. Semalam pun sampai dah pukul dua belas lebih. Lepas tu pagi ni pulak, abah mintak tolong abang tunjukkan jalan pergi hospital dekat Cheras tu..” Jelas Faiq akan kemudiannya sekali gus memberitahu akan tujuannya masih berlamaan di kampung itu. Jika tidak, awal subuh tadi dia sudah bertolak pulang.

“Oh.. Siapa yang sakit pulak?” Alya bertanya.

“Kakak ipar korang. Firdaus kata dia pengsan semalam. Tu yang abang kena hantar Angah korang ni semalam.” Jawab Faiq lagi yang tidak keberatan langsung melayan kedua-dua gadis itu sunti itu. Sememangnya dia tidak punya adik perempuan. Dalam pada itu, sempat dia mengerling ke wajah kelat Awra sekilas.

“Oh..” Hampir serentak si kembar itu menjawab.

Awra pula sudah menjuihkan bibir. “Bila masa pulak kau jadi anak abah aku ni!” Gerutunya geram dalam hati. Panas benar telinganya saat itu apabila Faiq begitu mesra menyebut nama abahnya.

“Abang, kenapa abang yang drive eh? Angah kan boleh drive?” Datang idea nakal Afza mahu mengusik kakaknya yang seorang itu menyebabkan sekali lagi Awra menoleh dan menghadiahkan jelingan tajam.

“Awak ni memang kaki cari fasal eh? Dengan budak-budak pun nak bergaduh.” Celah Faiq yang menahan tawa melihat wajah tidak puas hati Awra.

“Biarlah! Awak sibuk kenapa?” Jawab Awra dingin.

“Abang, tak payahlah layan Angah tu. Dia memang macam tu.. Suka cari gaduh dengan kita orang.” Sahut Alya pula sebelum dia dan pasangan kembarnya menghamburkan tawa.

Faiq yang mendengar juga sudah melepaskan tawa. Ceria benar hatinya dapat mengenali seluruh ahli keluarga gadis yang sedang membungkam di sisinya itu.

Awra terus merengus geram lantas membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya benar-benar panas saat itu. Ada perasaan menyesal muncul kerana membiarkan lelaki itu mengikutnya tadi.

*****
“Takkan nak boikot saya fasal hal tadi kut..” Suara Faiq memecahkan kesunyian yang memenuhi ruang. Dia yang memandu sejak tadi resah sendiri apabila Awra yang duduk di sisinya itu membatukan diri. Lebih satu jam mereka begitu hinggalah destinasi yang ditujui semakin hampir.

“Dah tahu, lagi nak tanya.” Jawab Awra acuh tidak acuh. Langsung dia tidak menoleh ke wajah Faiq sejak mereka bertolak tadi. ‘Nasib baik abah suruh aku naik dekat sini. Kalau tak, jangan haraplah..’ Rungutnya sendiri dalam hati.

Faiq tersenyum nipis. Terpaksa dia menerima sindiran gadis itu. “Takkan hal kecik macam tu pun awak nak ambik hati. Adik-adik awak gurau aje kan. Takkan tu pun tak boleh.” Balasnya cukup tenang lebih kepada memujuk. Tidak mahu wajah cemberut itu menghiasi ruang matanya. ‘Aku pinang betul-betul, baru kau tahu nanti..’ Ejeknya dalam hati.

“Saya nak ambik hati, suka hati sayalah! Bukan hati awak.” Selamba Awra menjawab demi menghamburkan rasa tidak puas hati yang tidak terluah kepada kedua-dua adik bongsunya tadi.

Faiq melepaskan nafas panjang seraya menoleh sekilas ke wajah cemberut di sisinya itu. “Saya tahu awak sebenarnya tak marahkan budak berdua tu.. Sebenarnya awak marahkan saya kan?” Ujarnya penghabis tenang. Dia ingin tahu apa sebenarnya yang tersirat di hati gadis itu.

“Tahu pun. Kenapa awak tak terus aje balik semalam? Kenapa mesti awak ikut cakap abah saya?” Hambur Awra terus. Dia tidak mampu menyembunyikan rasa tidak puas hati yang dipendam.

Keluhan meniti bibir Faiq. Sedar yang gadis itu tidak faham apa sebenarnya yang tersirat di hatinya. Peluang yang terbentang di hadapan mata tidak mungkin akan dilepaskan. Tambahan pula dia sudah mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa gadis itu.

“Apa sebenarnya tujuan awak buat baik dengan mak abah saya, dengan adik-beradik saya?” Tambah Awra ingin tahu. Dia benar-benar tidak senang dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Faiq. Risau jika ada agenda tertentu yang tidak diketahui walaupun sedar lelaki itu majikannya.

“Saya buat baik pun salah ke? Takkan saya nak kurang ajar pulak dengan mak abah awak?” Balas Faiq kurang faham.

“Sekarang kita tak boleh senang-senang nak percaya pada orang. Lagi-lagi orang macam awak.” Jawab Awra tegas.

“Saya macam apa?” Tingkah Faiq mula menahan hati.

“Cuba awak cakap dengan saya berapa lama awak kenal saya? Berapa lama awak kenal family saya? Takkan sebab saya dah kerja dengan awak, saya kena percaya awak terus?” Lancar Awra menuturkannya.

Faiq ketap bibir. Dia mula rasa tercabar. Terlalu buruk tanggapan gadis itu terhadap dirinya. “Awak sebenarnya langsung tak pernah maafkan saya dari kali pertama kita jumpa kan..” Tuturnya seperti berjauh hati. Sewajarnya sejak awal lagi dia sedar akan hal itu. Permulaan mereka tidak semanis biasa.

Awra tidak membalas. Hanya wajahnya terus dipalingkan ke luar tingkap. Terpandang akan papan tanda hospital, sedar yang mereka akan tiba sebentar lagi. Tidak sabar dia mahu turun dari kereta itu. Sememangnya dia tidak pernah senang apabila Faiq ada di hadapan mata.

Faiq sendiri tidak lagi mahu menambah mahupun melanjutkan bicara. Terpaksa dia mengalah lagi kerana tidak mahu menambah kedinginan yang sedia ada. Kereta yang dipandu baru sahaja masuk ke kawasan hospital. Segera dia mencari tempat letak kereta kerana tahu gadis di sisinya itu tidak betah lagi bersamanya. Belum pun sempat dia menegur, Awra terus keluar sebaik dia mematikan enjin kereta.

“Pakcik..” Dia terus mendapatkan Shukor yang baru sahaja turun dari kereta.

“Susah jugak ya Faiq hospital ni. Nasib ada kamu. Kalau pergi lagi sekali ni, tak tahulah ingat jalan ke tak..” Balas Shukur sambil sesekali meluruskan tangannya kerana hampir dua jam memandu tanpa berhenti. Terasa lenguh tulang tuanya.

“Kalau pakcik sesat, pakcik call aje saya.” Balas Faiq senang. Berbual dengan Shukor membuatkan dia teringat akan ayahnya.

“Terima kasihlah Faiq. Buat susah kamu aje. Nak harapkan budak-budak ni.. Jangan haraplah..” Celah Faridah akan perihal anak-anak perempuannya pula. Masing-masing tidak ambil peduli akan jalan yang mereka lalui. Dalam pada itu sempat dia mengerling ke wajah anak keduanya yang masam mencuka sejak tadi.

“Abah, cepatlah.. Panaslah duduk sini.” Rungut Awra yang sudah melindungi kepalanya dengan beg tangan yang dibawa. Matahari saat itu sudah tegak di atas kepala.

“Jom pakcik saya tunjukkan tempatnya.” Cepat Faiq menyahut kerana cukup faham akan riak yang ditunjukkan oleh Awra sejak tadi.

“Ha.. Iyalah..” Balas Shukor sebelum menekan alat kawalan jauh keretanya. Wajah anak keduanya dipandang sekilas sebelum dia menggelengkan kepala beberapa kali.

“Kamu kenapa Awra?” Tegur Shukor dengan suara tertahan saat dia beriringan dengan anak gadisnya itu. Manakala isterinya bersama-sama Faiq dan pasangan kembarnya mendahului di hadapan.

“Mana ada apa-apa..” Balas Awra tidak bernada.

“Kamu bergaduh dengan si Faiq tu ke?” Tebak Shukor ingin tahu.

“Takdalah.” Jawab Awra pendek. Tidak berani dia menoleh ke wajah abahnya. Lurus matanya memandang belakang tubuh Faiq yang begitu mesra dengan kedua-dua adiknya. Seperti sudah terlalu lama mereka mengenali. Ada perasaan pelik menjentik hati kecil. Setahunya, dua gadis itu sukar untuk bermesra dengan orang yang baru dikenali.

“Kalau kamu elok-elok sikit dengan dia tak boleh ke Awra? Ingat abah tak nampak apa yang kamu buat dari pagi tadi. Kan dia dah susah-susah hantar kamu semalam. Tolong tunjukkan jalan ke hospital ni.. Dia ada buat salah dengan kamu ke sampai macam tu sekali muka kamu tu?” Soal Shukor tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Awra tadi.

Awra mula panas telinga. Tidak senang dengan bebelan abahnya yang jelas memihak kepada Faiq. Belakang tubuh lelaki itu dipandang tajam. Dia mula dapat merasakan perubahan dalam keluarganya sejak kehadiran Faiq.

“Kamu dengar tak apa yang abah cakap ni?” Lanjut Shukor apabila anaknya itu hanya mendiamkan diri.

“Dengar..” Jawab Awra sepatah. Seperti tidak mahu dia menjawab.

“Angah, malam ni Abang Faiq nak belanja kita makan dekat kedai dia.” Datang Afza dengan sengihan lebar ke sisinya tiba-tiba membuatkan sekali lagi dia memandang tajam ke arah Faiq yang turut sama menoleh. Bibir diketap rapat.

“Kan kita datang sini tengok Kak Ati. Bukan nak makan-makanlah.” Sahutnya dengan sengaja menguatkan sedikit suaranya agar sampai ke pendengaran Faiq.

“Awra..” Tegur Shukor di sisi membuatkan Awra merengus halus. Kesabarannya benar-benar teruji dengan kehadiran Faiq dalam keluarganya saat itu.

“Angah ni.. Relaxlah.. Orang tahulah kita datang sini nak tengok Kak Ati. Tapi Angah tahu tak yang Kak Ati dah boleh keluar hari ni. Abang dah mesej orang tadi.” Sahut Afza sebelum kembali ke sisi Faiq yang sejak tadi bergandingan dengan kembarnya.

Sekali lagi Awra ketap bibir tanda tidak puas hati. Terasa dirinya kini terkontang-kanting tanpa sokongan.

“Tingkat berapa ni Faiq?” Soal Shukor sebaik mereka tiba di hadapan pintu lif yang tertutup.

“Tadi Daus kata tingkat empat pakcik. Dekat aje.” Jawab Faiq sambil melemparkan senyum nipis. Namun matanya sempat singgah ke wajah Awra yang langsung tidak berubah sejak tadi. Kekal dingin.

“Khery!” Laju Awra menegur sebaik pintu lif terbuka. Wajah yang amat dikenali menjamu ruang mata.

“Fir.. Buat apa dekat sini?” Balas Khairi sebaik dia melangkah keluar. Terus sahaja dia merapati Awra tanpa sedar ada mata yang memandang apabila ada ramai pelawat yang mahu masuk ke dalam lif saat itu.

“Kakak ipar saya warded malam tadi. Awak?” Soal Awra kembali.

“Mak saya warded pagi tadi..” Balas Khairi berserta helaan nafas panjang.

“Mak awak warded dekat sini? Tapi bukan ke awak duduk dekat..” Tergantung ayatnya di situ apabila Faiq merapati mereka. Saat itu dia baru tersedar mereka menjadi perhatian mata ahli keluarganya yang lain.

“Bro, sampai hati tak nampak aku ya?” Tegur Faiq selepas menepuk bahu sahabatnya itu. Senyuman paksa dilemparkan ke arah Awra yang berubah ceria. Hilang wajah cemberut tadi.

“Hoi.. Sorry la.. Aku tak perasan..” Balas Khairi sambil mereka bersalaman. “Kau datang dengan Awra ke apa ni?” Soalnya kemudian sambil memandang ke wajah Awra dan sahabatnya itu bersilih ganti. Penuh tanda tanya dalam kepalanya. Dia sudah sedia maklum akan hubungan dingin pasangan itu sebelum ini.

“Er.. Sorry Khairi.. Tu ada.. Abah dengan mak saya.. Adik-adik saya pun ada. Lupa pulak nak kenalkan..” Celah Awra serba salah sambil menunjuk ke arah ahli keluarganya yang setia menanti di tepi pintu lif. Memberi laluan kepada pengguna lain yang sudah pun mendahului.

Khairi tersenyum nipis sebelum mendapatkan Shukor untuk bersalaman.

Faiq yang memerhati saat itu mula tidak senang. Entah kenapa hati lelakinya rasa tergugat tiba-tiba. Dengan kehadiran Khairi di situ telah mengubah riak wajah Awra serta-merta. “Khery kau nak ke mana lepas ni? Kau tunggu aku kejap boleh? Lepas aku hantar family Awra ke atas, aku turun balik.” Ujarnya sebaik Khairi menyapa mesra ahli keluarga Awra.

“Kau jumpa aku dekat café la. Aku nak pergi makan dulu ni sementara tunggu adik-beradik aku yang lain.” Balas Khairi senang. Saat itu sempat dia mengerling ke wajah Awra yang serba tidak kena melemparkan senyum kepadanya.

“Okey-okey. Aku naik dulu. Jumpa nanti.” Jawab Faiq sebelum meloloskan diri ke dalam perut lif yang baru sahaja terbuka.


“Er.. Saya naik dulu Khery.. Jumpa lagi nanti..” Ujar Awra pula dalam serba salah. Terpaksa dia menuruti langkah Faiq ke dalam lif kerana ahli keluarga lain sudah menanti. Dia terasa belum puas menyapa Khairi. Ada juga perasaan ingin tahu atas sebab apa lelaki itu berada di situ.

Sebaik pintu lif tertutup, matanya mengerling ke wajah Faiq yang berdiri di sisi. Ada riak kurang senang terlukis di wajah lelaki itu membuatkan dia mengerutkan dahi. Ada ketegangan yang terpamer.

8 comments:

MaY_LiN said...

uish..
da makin panas lak paiq ni..


secara menual~secara manual
"Cuba awak dengan cakap saya~"Cuba awak cakap dengan saya

Ehem said...

thanks maylin sebab tak jemu menegur akan kesilapan yang ada.

thank you so much ! <3

MaY_LiN said...

kite kan kakak..
kuikuikui

Ehem said...

kakak pun kakaklah.. eheh :P

Kak Sue said...

Rasanya Faiq nak jumpa Khery sebab nak beritahu tentang hubungannya dgn Awra ja....
Faiq cuba berterus terang dgn Awra tentang perasan dan hasrat hati yg sebenarnya... kita bagi Awra beku kejap ... hahaha... boleh gitu.... asyik nak marah ja....

hidayah_diya said...

Urmmm..terasa sgt pasal skrip lesen ayah awra ni..mcm kene je kat batang hidung sendiri..sy pun anak kedua jugak;)

Ehem said...

hidayah>

saya pun sebenarnya... anak kedua, ada lesen tp tak drive..hahah..
skrip abah saye la tu.. :P

ciknie said...

jealous r faiq da ada psaing nmpaknya nie