Jun 17, 2013

AWRA_bab 2 ~repost


“Dik, bukan malam tadi kau kata tak nak ikut ke?” Sapa Firdaus yang berdiri di muka pintu melihat Awra sudah bersiap lebih awal daripadanya.

“Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.” Balas Awra selamba yang sedia menanti di meja batu hadapan rumah. Dia ringkas mengenakan seluar jeans hitam dipadankan dengan blouse labuh warna hijau. Tudung dililit kemas di kepala dan dilabuhkan hingga menutupi bahagian dada.

Setiap kali keluar rumah, pasti dia akan teringat kata-kata abahnya. Katanya, “kalau nak pakai tudung, pakai biar yang mendapat kelulusan Islam. Bukan ‘janji’ pakai. Kalau dah ‘janji’ pakai, baik tak usah dipakai terus. Saham dosa tetap sama. Lagi-lagi yang belum berkahwin. Suka sangat nak seksa mak ayah tanggung dosa kering tu.” Itulah kata-kata yang dipegang hingga ke hari ini. Tidak mahu segala apa yang dilakukan akan membebani ibu dan ayahnya di akhirat kelak.

“Eleh… Kalau pasal makan, kaulah nombor satu dik…” Balas Firdaus sambil menyarung kasut dan terus berlalu ke kereta untuk menghidupkan enjin.

“Haruslah!” Balas Awra dengan menayangkan barisan gigi yang tersusun cantik.

“Awra, hari ni ikut kita orang balik Cheras nak tak?” Sapa Athirah pula yang baru sahaja turun dari tangga rumah. Hampir setahun menjadi isteri Firdaus, dia lebih rapat dengan Awra berbanding pasangan kembar yang bongsu.

“Buat apa kak? Malaslah… Nanti abang tu complain kalau Fir makan banyak… Sewa tak bayarlah… Asyik tidur ajelah… Bukan akak tak tahu abang tu…” Jawab Awra yang sama-sama menyaingi Athira melangkah ke kereta Honda City abangnya.

“Alah.. Biar ajelah dia… Mulut dia kan memang macam tu. Akak tak suruh pun Awra bayar sewa ke… Apa ke… Kalau malam, abang Awra tu sibuk pergi tengok bola dekat kedai mamak. Kalau ikut dia, lagi bosan. Kalau outstation, terkontang-kanting akak sorang-sorang dekat rumah tu…” Pujuk Athirah sebelum masuk ke dalam kereta.

“Tengoklah macam mana. Nanti Fir tanya abah dulu.” Jawab Awra yang lebih selesa membahasakan dirinya dengan nama keduanya.

“Tanya abah nak buat apa?” Celah Firdaus apabila mendengar kata-kata adiknya.

“Ati ajak Awra duduk rumah kita seminggu dua. Takpa kan bang…” Sahut Athirah yang mengambil tempat di sisi Firdaus.

“Oh… Duduk ajelah kalau tak malu.” Balas Firdaus dengan senyuman mengusik.

“Kedekut betul abang ni kan… Mentang-mentanglah adik takda duit nak bayar sewa.” Jawab Awra dengan  suara yang sengaja dilirihkan.

“Eleh… Buat ayat kesian pulak… Kau macam tak biasa aje duduk rumah aku free kan…” Ejek Firdaus yang mula memandu dan meninggalkan halaman rumah.

“Awra, jangan dengar cakap abang Awra ni. Akak yang ajak Awra… Kalau Abang Daus mintak Awra bayar sewa, biar akak yang bayar.” Athirah lebih menyokong Awra berbanding suaminya sendiri. Dia tahu Firdaus memang gemar menyakat gadis itu.

“Wah! Siap kau dah ada penyokong lagi sekarang dik.” Giat Firdaus lagi yang tetap tenang dalam pemanduan.

“Padan muka kau bang… Takda siapa nak sokong kau.” Ejek Awra diiringi ketawa.

Athirah juga sudah turut sama ketawa apabila Firdaus menghadiahkan jelingan kepadanya.
…………..

“Bang, ni kedai baru ke? Tak pernah tahu pun ada kedai dekat sini.” Kata Awra sebaik mereka keluar dari kereta.

Restoren itu seperti di tepi hutan. Sejuk mata memandang apabila melihat pokok-pokok hiasan yang ditanam di sekeliling restoren. Kerusi meja yang digunakan pula semua daripada kayu. Cantik berukiran semuanya. Kagum melihat dekorasi restoren tersebut.

‘Pencinta alam owner kedai ni…’ Pujinya dalam hati.

“Baru tak baru sangatlah. Dalam dua tahun tak silap. Kau mana nak tahu ada kedai ke tidak. Kau kan suka duduk terperap dalam rumah sampai tak keluar-keluar. Macam katak bawah gua aku rasa kau ni.” Jawab Firdaus yang sama-sama melangkah masuk ke restoren. Sempat lagi dia mengenakan adiknya.

Awra hanya menjuihkan bibir. Sebelum langkahnya terhenti. Membiarkan abang dan kakak iparnya mendahului. Matanya meneliti sebuah jambatan kayu yang dibina di atas sebuah kolam menjadi laluan utama ke pintu masuk restoren. Kakinya kembali melangkah dan berhenti sebentar di atas jambatan selebar hampir lima kaki itu untuk melihat ikan koi yang bebas berenang. Di hujung kolam pula turut ada air terjun buatan. Elemen air yang ada menambahkan lagi ketenangan kepada sesiapa sahaja ketika menikmati makanan di situ. Bibirnya tiba-tiba mengoyak senyum lebar.

“Oi! Sempat lagi berangan ke?” Tegur Firdaus menyebabkan senyuman di bibir terus mati.

“Kacau betul kau ni bang…” Gumamnya sendiri. Athirah yang mendahuluinya tadi terus menarik tangannya agar turun daripada jambatan itu.

Mereka memilih tempat duduk yang paling tepi. Disebabkan kedai tersebut hanya dibuka pada pukul 5 petang, suasananya agak sunyi tetapi tetap nyaman dengan bunyi deru air terjun buatan yang memenuhi ruang. Sesekali bunyi unggas kecil yang berterbangan di pokok-pokok hiasan. Berselang-seli pula dengan bunyi pekerja-pekerja restoren yang bercakap sambil melakukan kerja masing-masing. Konsep dapur yang dibuat secara terbuka menambah kelainan. Kedudukan restoren juga yang agak jauh dari jalan raya dan bandar utama membuatkan suasana begitu tenang dari kesibukan.

 “Assalamualaikum…” Sapa seorang gadis datang menghampiri mereka.

“Waalaikumussalam…” Hampir serentak mereka menjawab.

“Ni Encik Firdaus yang call pagi tadi kan?” Soal gadis itu sopan.

“Ya… Saya… Erm... Saya yang buat temujanji dengan Encik Zaki and wife dia minggu lepas.” Jawab Firdaus mesra.

“Oh okey… Tapi Puan Dalila dengan Encik Zaki takda hari ni. Encik Faisal yang akan jumpa dengan Encik Firdaus hari ni.” Terang si gadis rambut berikat satu itu.

“Oh iya ke… Okey… Mana dia?” Tanya Firdaus pula.

“Dia ada. Tapi, bolehkan kalau Encik Firdaus tunggu sekejap. Dia dah dekat sampai. Terlambat sikit dia hari ni. Erm… Sementara dia sampai, kami boleh sediakan dulu menu makanan yang Encik Firdaus pesan hari tu.” Jawab gadis itu lembut.

Firdaus hanya menganggukkan kepala. Tidak keberatan untuk menunggu kerana senang dengan suasana restoren tersebut. Dia sendiri sengaja tiba sedikit awal.

“Ni ada menu-menu lain yang boleh Encik Firdaus tengok dulu. Kalau ada yang Encik Firdaus nak tambah, boleh panggil saya nanti.” Sambung gadis itu lagi sambil menyerahkan tiga buku menu.

“Terima kasih…” Balas Firdaus berserta senyuman.

Service tip top ni bang…” Puji Awra selepas gadis yang lebih muda darinya itu jauh dari meja mereka. “But… Time management, failed!” Tambah Awra sambil menurunkan ibu jari kanannya ke bawah pula.

“Jangan macam-macamlah kau dik. Nah tengok menu ni. Kalau ada apa-apa nak makan, order aje.” Kata Firdaus sambil menyerahkan sebuah lagi buku menu kepada isterinya.

“Eh, kan dia orang bukak pukul 5. Boleh ke order sekarang?” Soal Awra yang agak keliru dengan kata-kata abangnya.

“Kan awek tadi kata boleh order.” Jawab Firdaus sambil melihat pakej katering yang disediakan.

“Okey…” Jawab Awra dengan senyuman. Matanya mula meneliti buku menu di tangan. “Masak tempoyak ikan patin jadi main menu dekat sini?” Kata Awra selepas matanya singgah pada satu gambar makanan yang agak besar daripada yang lain.

“Iyalah… Kenapa? Tak boleh ke?” Soal Firdaus. Tahu benar perangai Awra. Tidak sah jika tiada komen dari bibir itu.

“Macamlah takda menu lain… Mesti owner retoren ni orang Pahang…” Komen Awra lagi yang agak tidak setuju dengan menu tersebut.

“Eleh kau ni… Biarlah kalau dia orang nak letak ayam goreng kunyit jadi main menu pun… Kau ni kecoh betullah dik… Dia orang punya restoren, dia orang punya sukalah… Cakap ajelah yang kau tak makan ikan patin. Sibuk nak complain makanan orang… Sedar sikit kau tu pun ada darah Pahang okey…” Ejek Firdaus. Hanya Awra sahaja yang tidak makan ikan air tawar di antara ahli keluarganya. Jika ikan patin menjadi menu di rumah, gadis itu lebih sanggup makan nasi berlaukkan telur goreng bersama kicap.

Athirah hanya menggelengkan kepala dengan perangai dua insan di sisinya itu. Ada sahaja yang akan menjadi topik hangat mereka berdua.

“Alah… Bukannya sedap pun ikan patin tu.” Bidas Awra geram yang sudah memuncung.

“Kau tu aje yang pelik. Orang yang nak makan ikan tu, sanggup bayar mahal-mahal tau.” Balas Firdaus lagi.

“Sudah la tu abang… Awra… Malu orang tengok. Ada ke…Pasal ikan patin pun nak bertekak…” Tegur Athirah kepada kedua-duanya apabila perasan ada seorang lelaki menapak masuk ke dalam restoren. Tidak jauh melewati tempat mereka duduk.

Pada ketika itu mata Awra terpandang ke arah yang sama. Turut sedar ada seorang lelaki yang baru menapak masuk ke dalam restoren kelihatan agak kelam-kabut dan terus ke ruang dapur tanpa menoleh ke arah mereka yang duduk di situ. Dia tersenyum sendiri.

Beberapa minit kemudian, lelaki itu keluar semula dan menghampiri mereka.

“Assalamualaikum. Selamat datang Encik Firdaus..” Kata lelaki tadi seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Firdaus.

Athirah hanya membalas dengan senyuman apabila lelaki itu tersenyum kepadanya. Awra pula merenung tanpa berkelip seraut wajah yang sudah duduk di hadapan mereka. Tiba-tiba dia tersedar apabila sikunya ditolak Firdaus dan cepat-cepat dia melarikan matanya kembali pada buku menu yang masih dipegang tadi.

“Macam pernah tengok aje mamat ni…” Awra berkata perlahan sehingga tidak sedar kata-katanya itu masih dapat didengari oleh lelaki di hadapannya.

Sorry… You ada cakap apa-apa ke?” Tegur Faiq sambil memandang ke wajah gadis yang duduk setentang dengannya itu.

Mata Firdaus dan Athirah juga turut sama terhala ke wajah Awra.

“Dik, kau ada nak tambah apa-apa ke?” Tanya Firdaus pula apabila melihat Awra yang sedikit kalut.

“Err… Takda apa.. Takda apa…” Jawab Awra tergagap-gagap. Dia perasan lelaki di hadapannya itu sembunyi senyum.

‘Cis! Nak gelakkan akulah tu!’ Kutuknya dalam hati. Kini baru dia teringat di mana lelaki itu dilihatnya. ‘Mamat poyo a.k.a mamat cute macam teddy bear’. Seperti yang dikatakan oleh Nurul malam tadi.

Tidak dinafikan lelaki di hadapannya kini mempunyai raut wajah yang agak menarik. Wajahnya bersih tanpa sebutir jerawat pun. Badannya pula jauh berbeza dari tubuhnya. Lelaki itu cukup tegap dengan dada yang bidang. Cuma penampilannya hari ini yang agak berbeza berbanding semalam membuatkan lelaki itu lebih menarik untuk dipandang.

“Okey… Kalau macam tu, saya suruh budak-budak saya sediakan menu yang sebelum ini Encik Firdaus pesan.” Kata lelaki itu seraya bingkas menyebabkan Awra sama-sama mengangkat wajah. Bunyi kerusi yang ditarik menyentaknya dari mengelamun jauh. Dia telan liur saat matanya berlaga dengan mata lelaki itu sebelum cepat-cepat membuang pandang ke arah lain.

“Dik, kau kenapa? Buat malu ajelah…” Tegur Firdaus yang perasan adiknya itu bereaksi pelik sejak pemilik restoren itu tiba tadi.

“Kenapa apa?” Balas Awra sehabis selamba tidak mahu abangnya dapat mengesan riak gelabahnya kerana melihat lelaki tadi.

“Awra, takkan dah berkenan kut dengan owner restoren tu…” Usik Athirah pula yang turut sama perasan dengan perubahan Awra.

“Hish! Akak ni. Ada pulak… Takda maknanya…” Sangkal Awra cepat.

“Habis tu, yang tiba-tiba jadi macam orang bisu kenapa? Tadi bukan main bising lagi komen itu ini. Dah depan owner dia, tak nak pulak komen macam-macam.” Tambah Firdaus pula.

Awra hanya mencebikkan bibirnya. Malas mahu melayan kata-kata abangnya. Akhirnya nanti, dia juga yang terpaksa mengalah.

‘Gila ke apa nak komen tak tentu hala depan owner. Silap hari bulan dia terus diharamkan untuk menjejakkan kaki ke situ lagi belum sempat dia merasa satu jenis makanan pun.’ Jawabnya dalam hati. Rugilah dia nanti. Bukan senang-senang datang ke situ lagi kalau bukan kerana abangnya.

Tidak sampai lima minit, beberapa orang pekerja restoren datang dengan membawa beberapa jenis makanan seperti yang dipesan. Lelaki yang dikatakan ‘owner’ tadi berdiri di hujung meja paling hampir dengannya hingga terbau aroma dari tubuh lelaki itu. Bergetar hatinya seketika dengan aroma yang begitu menyenangkan.

“Silakan…” Kata Faiq mesra kepada tiga orang tetamunya itu selepas makanan siap terhidang.

Awra hanya tersenyum nipis sebelum jemarinya menyentuh sudu dan garpu tersedia. Lagaknya mengalahkan pengkritik makanan. Padahal, sekadar menumpang rasa dari tugas abangnya.

Ada pelbagai lauk yang dihidangkan. Antaranya set nasi beriani dan set nasi tomato beserta beberapa jenis lauk yang bersesuaian dengannya. Ada daging masak kurma, dalca, ayam masak merah, rendang udang, daging dendeng, acar rampai serta menu sampingan seperti acar buah. Set nasi putih pula dipadankan dengan lauk yang lebih kepada ala kampung. Gulai ayam masak lemak cili padi, puyuh goreng berempah, kangkung goreng belacan, ikan tenggiri masak asam pedas dan ulam-ulaman. Air minuman pula ada empat jenis semuanya. Kemudian ada beberapa lagi jenis mi. Naik juling mata melihat makanan yang terhidang. Semuanya sungguh menyelerakan.

Dari satu lauk ke satu lauk Awra rasa. Semuanya mengundang riak yang berbeza-beza pada setiap makanan yang masuk ke dalam mulutnya. Dia mengukir senyuman tanpa sedar.

Lelaki tadi ada menerangkan satu persatu makanan yang terhidang beserta pakej yang telah dipilih oleh Firdaus sebelum ini. Namun, tiada satu pun yang singgah ke telinganya kerana dia terlalu asyik merasai setiap jenis makanan yang terhidang. Sehinggalah Firdaus menolak sekali lagi sikunya barulah dia menegakkan wajah.

“Dik, aku tanya kau dari tadi. Khusyuk sangat kau makan sampai tak dengar apa aku cakap.” Ujar Firdaus sedikit geram.

Awra pula terus mencari wajah ‘owner’ restoren tadi kerana risau jika terdengar kata-kata abangnya. Matanya melekat di satu sudut restoren. Dilihat lelaki tadi tersenyum sekilas kepadanya sebelum mata kembali pada gajet di tangan. Kemudian cepat-cepat pula dia memandang ke arah lain. Nafas ditarik lega kerana lelaki itu tidak perlu mendengar apa yang diperkatakan oleh Firdaus.

“Awra, nasib baik mamat tu duduk jauh sana. Dari tadi dia senyum aje tengok Awra makan tau.” Celah Athirah pula menyebabkan Awra tidak berani lagi memandang ke arah lelaki tadi. Malu! Tiba-tiba wajahnya mula terasa berbahang.

Confirm dia gelakkan aku sampai guling-guling nanti. Takpun, dia post dekat wall facebook, ‘ada girl yang control sweet makan tak ingat dunia dekat kedai aku!’. Haish! Malu aku!’. Bebelnya dalam hati.

“Tu yang abang malas nak bawak kau pergi majlis dik. Kalau dah makan, tak pandang kiri kanan. Sedap sangat ke sampai owner tu tanya pendapat kau pun, kau boleh buat tak tahu aje…” Tambah Firdaus lagi. Dia tahu perangai Awra yang satu itu. Kalau melibatkan bab makanan, adiknya itulah juara. Terutamanya apabila makanan yang dimakan kena dengan tekak gadis itu.

“Alamak… Kenapa abang tak siku dari tadi… Kan dah malu… Tak cun la macam ni… Haish!” Keluh Awra perlahan.

Tidak syak lagi. Semua makanan yang dihidangkan menepati seleranya. Terutamanya acar rampai. Rasanya sama seperti yang dia makan malam tadi di majlis Hani dan Hafizi. Menepati piawaian tekaknya.

“Padan muka kau. Lain kali makan tu tengok kiri kanan. Bukan makan syok sendiri. Kita datang sini nak rasa makanan dik oi… Makan mana yang patut. Macam mana kau nak jadi pengkritik makanan ni kalau kau makan syok sendiri.” Sengaja Firdaus menyakat adiknya itu.

Athirah sudah ketawa kecil melihat wajah adik iparnya yang merah padam.

“Sudah tu bang… Kesian Awra. Biarlah dia nak makan.” Celahnya kemudian. Tidak sampai hati melihat Awra berterusan begitu.

“Dik, lepas ni nak rasa dessert pulak. Kau jangan nak buat macam tadi. Kalau Faisal tu tanya, kau jangan tak dengar pulak.” Firdaus mengingatkan dalam senyuman nakalnya.

“Iyalah iyalah..” Balas Awra mengalah. Sekali lagi dia cuba mencari wajah lelaki tadi. Namun kelibatnya sudah tidak kelihatan.

“Abang, Fir nak pergi lady’s kejaplah…” Ujar Awra seraya bangun. Semua makanan yang terhidang habis dirasa. Terasa sendat perutnya saat itu.

“Kau jangan lama-lama dik.” Sempat Firdaus mengingatkan walaupun Awra sudah menjauhi meja.

Tiba di dalam tandas, sekali lagi Awra kagum melihat dekorasi yang dibuat. Walaupun segalanya diperbuat daripada batu, masih lagi menggunakan elemen kayu. Bingkai cemin besar yang tergantung di dinding berbingkai kayu yang diukir. Halus ukirannya. Awra berdiri tegak di hadapan cermin sambil membetulkan letak duduk tudung yang dipakai. Terbayang pula wajah lelaki tadi di ruang mata membuatkan pipinya merah tiba-tiba. Malu! Entah apa tanggapan lelaki itu kepadanya apabila melihat dia makan. Awra melepaskan keluhan halus sebelum dia menapak keluar dari ruang yang berbau harum bunga segar itu.

“Aduh!” Awra terjelepuk ke lantai tiba-tiba.

Sorry… Sorry… Saya tak perasan awak keluar tadi…” Ucap satu suara yang dikenali.

Awra menggosok perlahan pinggang yang terasa sengal kerana hentakan yang tiba-tiba. Matanya pula tercari-cari objek yang dilanggarnya tadi. Membulat matanya seketika apabila melihat wajah lelaki tadi sudah sama tinggi dengannya yang terduduk di lantai. Bertaut seketika pandangan mereka hingga ada suara lain yang menyapa.

“Awra, kenapa ni?” Sapa Athirah yang mendapatkan Awra apabila ternampak gadis itu terjelepuk jatuh setelah berlanggar dengan Faiq Faisal.

“Maaf… Saya tak perasan tadi…” Ucap Faiq lagi apabila melihat tetamunya tadi menyeringai kesakitan. Almaklumlah tubuhnya lebih besar berbanding gadis yang terjelepuk jatuh itu.

“Takpa… Takpa Faisal… Adik akak ni memang macam ni. Clumsy sikit.” Sahut Athirah yang membantu Awra berdiri semula. Menurut suaminya, Awra seorang yang agak kurang berhati-hati dalam apa jua yang dilakukan. Sama seperti tadi. Dia dan Firdaus perasan, Awra yang melanggar Faisal apabila mereka sama-sama keluar dari tandas yang berhadapan itu. Entah apa yang dipandang oleh Awra sehingga tubuh Faisal yang besar itu pun tidak perasan.

Masam mencuka wajah Awra apabila melihat wajah lelaki di hadapannya itu tersenyum. Dia menyambar kasar beg tangannya yang dipegang oleh Faiq. Cepat sahaja dia melangkah semula ke meja kerana rasa malunya tidak dapat lagi disembunyikan. Merah padam wajahnya.

‘Gelakkan aku lagi! Malu berlori-lori aku hari ni!’ Bentaknya dalam hati.

“Dik, kau macam mana boleh jatuh?” Soal Firdaus sebaik Awra duduk semula di sisinya.

Awra memuncung. Tidak menjawab pun pertanyaan abangnya. Dia tahu apa saja jawapannya nanti pasti menjadi bahan gelak abangnya itu. Tangan naik ke pinggang yang terasa sedikit sengal. Matanya melekat pada susuk tubuh yang menghampiri. Namun, cepat dilarikan bola matanya apabila perasan lelaki itu mula mengukir senyum.

“Maaf ganggu. Encik Firdaus, boleh saya sediakan dessert sekarang?” Tanya Faiq sambil mata melirik ke wajah Awra yang masam mencuka.

“Dik, kau nak makan lagi ke?” Tanya Firdaus kepada Awra yang mendiamkan diri.

Awra hanya menggelengkan kepala.

“Kalau macam tu, bolehlah kita rasa dessert.” Ujar Firdaus kepada Faiq.

Faiq terus kembali semula ke ruang dapur selepas mendapat persetujuan Firdaus. Sempat matanya singgah ke wajah gadis di sisi Firdaus. Dia tersenyum lagi. Lucu dengan wanita yang melanggarnya tadi. ‘Pelik! Entah macam mana dia boleh tak perasan aku yang besar ni.’ Omelnya dalam hati.

Awra membuang pandang ke luar restoren apabila beberapa orang pekerja datang mengambil lauk yang sudah dirasa tadi dan diganti pula dengan beberapa jenis pemanis mulut. Malu kerana pasti pelanggarannya tadi sudah menjadi tontonan umum.

“Dik.” Firdaus menyiku perlahan sikunya membuatkan dia menalakan pandangan mata ke meja semula. Ada beberapa jenis pemanis mulut sudah terhidang. Puding caramel antara yang mula menjadi tumpuannya. Sagu bersantan juga cukup padan dengan seleranya. Seperti tadi, dia kini terleka pula dengan hidangan pemanis mulut di hadapan mata hingga tidak sedar Faiq duduk di hadapannya yang memerhati dari tadi.

“Dik..” Panggil Firdaus rapat di telinganya membuatkan dia tersedar. Spontan matanya terhala ke wajah Faiq yang sedang mengukir senyum.

“Err.. Kenapa?” Soal Awra seraya membuang pandang ke wajah abangnya. Menutup debar di dada saat matanya bertemu dengan mata lelaki di hadapannya itu.

“Faisal tanya adik tu. Sedap ke tak?” Ujar Firdaus yang sudah sembunyi senyum melihat perangai adiknya yang begitu asyik apabila berhadapan dengan makanan. Lebih-lebih lagi makanan yang menepati seleranya.

“Er… Sedap…” Puji Awra ikhlas dengan senyum yang dirasakan sedikit canggung. Tidak dinafikan semua pemanis mulut yang disediakan sedap belaka. Cukup rasanya. Matanya tidak berani singgah ke wajah lelaki di hadapannya itu. Dia terus menundukkan wajah ke arah puding mangga yang sedang dirasai. ‘Hampeh! Kena gelak lagi aku lepas ni!’ Kutuknya dalam hati.

“Lepas ni, bolehlah selalu datang sini…” Ujar lelaki di hadapannya itu mesra.

Namun Awra masih dalam keadaan yang sama. Sedikit pun tidak berani mengangkat wajah. Dia tahu mata lelaki itu sedang memerhatikannya. Dia semakin serba tidak kena.

“Insha Allah. Semuanya sedap Faisal. Alhamdulillah..” Sahut Athirah yang memuji semua makanan yang dirasainya enak belaka.

Awra masih diam membisu. Tiada hati untuk memberi komen lebih pada makanan yang dirasai. Apa yang pasti semuanya sedap.

“Dik, kau ada apa-apa nak komen? Tadi kau kata nak komen.” Ujar Fahmi di sisinya pula.

Awra ketap bibir. Tahu abangnya sengaja ingin mengusiknya di hadapan lelaki itu.

“Kenapa? Ada yang tak sedap ke?” Ringan pula mulut Faiq menyampuk.

“Er.. Tak.. Semua sedap..” Jawab Awra yang tersenyum kelat sambil menghadiahkan jelingan tajam kepada abangnya.

“Alhamdulillah… Kalau ada yang tak kena tadi, saya ingat nak masak semula. Customer is always right kan..” Balas Faiq yang tersenyum lebar mendengar pujian dari bibir gadis di hadapannya itu. Wajah merah padam ketika jatuh tadi menjentik hati lelakinya. Comel!

Awra pula hanya tersenyum nipis. Rasa tersindir dengan kata-kata lelaki itu. ‘Huh! Nasib baik makanan kau semua sedap. Kalau tak, siaplah kau aku komen habis-habis sampai kau sentap!’ Marahnya dalam hati.


“Bang, aku tunggu dekat keretalah. Nurul call ni…” Ujar Awra tiba-tiba apabila dirasakan senyuman yang terlukis di bibir lelaki itu seakan mengejeknya. Pada masa yang sama, Nuru memang menghubunginya. Terburu-buru dia bangun hingga tidak sedar beg tangan yang dipegang mengenai tepi meja dan terdengar suatu benda jatuh. Namun, dia buat tidak endah. Dia terus sahaja berlalu keluar restoran kerana talian Nurul sudah pun disambungkan. Terdengar suara abangnya memanggil, tetapi sengaja tidak dihiraukan. Untuk kembali duduk di hadapan lelaki itu, memang tidak akan dilakukan sama sekali. Cukup sudah dia menjadi bahan ketawa semua yang ada di restoren itu.

3 comments:

MaY_LiN said...

uish kemain lg gelakkn org ye

Kak Sue said...

Mr Fisal dah jatuh hati ke kt mak we comel tu...
suka sangat kt Awra dan abang yg selamba ja.... bestttt

muda_13 said...

Haila, kalau dah makan tak ingat dunia pasti clumsy sangat, ayoyo, jangan suka macam tu awra, tak baik tau