Jun 17, 2013

AWRA_bab 1 ~repost

assalamualaikum. Kau yang menghantui aku (KYMA) telah bertukar tajuk kepada AWRA. sekian.
p/s- tak suka, tak perlu memaksa diri untuk baca ok! :D

...............

AWRA 1

Amacam? Best tak beb lauk tadi?” Soal Nurul selepas menutup semula pintu kereta.

“Kau tadi nampak tak aku makan macam mana? Habis semua lauk yang ada dalam pinggan aku tadi kan?” Jawab Awra Firdaus seraya melabuhkan duduk di bangku batu tepi rumah.

Nurul ketawa kecil. Bukan dia tidak perasan ketika makan tadi. Awra begitu teliti memilih makanan dan merasai setiap lauk yang diambil. Faham benar dengan perangai Awra. Gadis itu cukup cerewet tentang makanan. Sehinggakan sahabat yang mengenali dirinya, suka membawa Awra untuk mencuba suatu menu baru. Masing-masing percaya pada pendapat yang akan diberi oleh Awra tentang suatu jenis makanan yang dicuba.

“Tu la fasal. Bukan main sedap lagi aku tengok kau makan. Makan bukan main banyak lagi. Tapi badan kau, macam ni jugak aku tengok. Naik tidak, turun pun tidak. Maintain aje.” Kata Nurul tentang tubuh sahabatnya itu yang masih tidak banyak berubah.

“Sedap, aku makanlah. Tak sedap, alamat jadi sahabat ‘Encik Syai’ lah aku malam ni. Kalau dapat tahu Mejar Bersara Abdul Shukor, memang aku kena makan dengan pinggan-pinggan sekali…” Jawab Awra sambil membuka kerongsang pada tudung. Ayat yang terakhir itu disebut dalam nada paling perlahan. Risau didengari oleh abahnya.

Dia faham benar dengan konsep abahnya itu yang tidak gemar ada di antara ahli keluarga mereka yang suka membazir. Terutamanya makanan. Ketegasan abahnya itu membuatkan mereka sekeluarga sentiasa belajar agar tidak membazir dalam apa jua perkara sekalipun.

Nurul sudah mengekek ketawa. Lucu melihat sahabatnya itu seperti berbisik dengannya. Bukan dia tidak faham Awra dan adik-beradiknya yang lain. Sejak kecil sudah diasuh dengan ketegasan dan disiplin yang tinggi kerana abah mereka seorang tentera. Semua takut dengan bekas tentera itu. Hanya Awra sahaja yang begitu berani untuk membantah segala perintah. Dan dia jugalah yang paling rapat dengan Mejar Shukor.

“Aku tahu kau tu. Kalau tak sedap, muka kau pun mulalah kerut berjuta. Nasib baik tadi makanan dia memang terbaiklah. Mak aku cakap, dia orang guna catering dari KL. Siap dengan waiter lagi tadi.” Kata Nurul seperti teringat-ingat lauk kenduri yang dimakan tadi di tekaknya.

“Iya ke? Hmm… Tapi memang best beb. Aku paling suka acar rampai tu. Macam orang dulu-dulu buat. Sekarang ni dah jarang majlis kahwin nak buat acar tu. Dah lama rasanya aku tak makan yang sedap macam tu beb. Aku rasa dia orang punya team masak orang lamalah. Tu yang semua makanannya sedap-sedap. Kau tahu ajelah catering sekarang macam mana. Kadang-kadang mahal aje. Rasa makanan, tak boleh harap langsung. Hampeh!” Komen Awra selamba.

“Betul jugak beb. Tapi tadi aku rasa mesti mahal jugakkan? Clean aje aku tengok barang-barang dia orang. Waiter pun cute-cute. Chef aje aku tak pasti. Tapi ada sorang mamat yang aku nampak selalu tengok dekat bahagian lauk. Muka boleh tahan jugak. Badan dia… Macam teddy bear. Hihihi…” Tambah Nurul lagi bila teringat wajah seorang lelaki yang dilihat di majlis Hani dan Hafizi tadi. Berbadan agak tegap. Tetapi mempunyai raut wajah yang cukup menarik bila tersenyum. Siapa yang memandang pasti mudah tertarik.

“Amboi kau! Sempat lagi nak tilik orang. Entah mamat mana yang kau tengok tadi. Aku rasa ada sorang aje kut yang aku tengok macam mandur dekat bahagian bufet tadi. Muka poyo semacam. Tadi aku ingat baru nak tambah air lagi. Tiba-tiba dia dah suruh budak-budak cute dia tu angkat aku punya gelas. Bengang aje aku tengok.” Bebel Awra tentang lelaki yang dilihat dimaksudkan. Mungkin orang yang sama disebut oleh Nurul tadi. Cuma pandangan mereka sahaja yang berbeza.

“Mamat poyo tu, mamat macam teddy bear yang aku cakaplah tu. Dia aje yang ada dekat bahagian bufet tadi. Cute kan…” Puji Nurul pula.

Cute la sangat!” Awra menjulingkan biji matanya ke atas. Tanda tidak setuju dengan kata-kata sahabatnya.

Cute la tu… Entah-entah dia tu tukang masaknya. Mana kita tahu. Engkau tadi yang makan macam tak hengat dunia aku tengok, entah-entah air tangan lelaki tu…” Balas Nurul sambil tersengih.

“Kalau dialah tukang masak tu, aku sanggup nak pergi belajar masak dengan dialah beb. Serius! Aku memang sukalah semua lauk-lauk yang ada tadi.” Jawab Awra cukup yakin. Dia memang minat untuk belajar memasak. Itulah juga yang sering dilakukan sepanjang menjadi penganggur. Pelbagai ilmu masakan yang dipelajari dari ibu. Selain itu juga, dia gemar untuk mencuba sesuatu resepi baru serta yang belum pernah dimasaknya.

“Oi anak dara! Jangan nak berborak depan pintu. Nanti orang nak pinang tak jadi.” Terdengar suara Firdaus, abang sulung Awra mengusik.

Nurul terus menyambung tawa apabila melihat Awra sudah mencebikkan bibirnya.

“Karut!” Bidas Awra geram. Abangnya selalu mengusiknya sebagai anak dara tak laku.

“Dah lewat ni beb. Aku rasa aku nak balik dululah. Pagi-pagi esok aku dah kena gerak balik Shah Alam.” Ujar Nurul seraya mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja batu.

“Alah… Kau dah la jarang balik sini, baru jumpa aku sekejap dah nak balik.” Balas Awra sambil menyambar tangan sahabat baiknya dari sekolah tadika lagi. Nurul bertugas sebagai kerani kewangan di salah sebuah syarikat swasta di Shah Alam walaupun memiliki ijazah dalam bidang bioteknologi. Jauh menyimpang dari kerja yang dilakukan sekarang.

“Oi… Aku kena pergi kerja la esok. Lainlah kalau aku cuti. Aku balik ni semata-mata nak pergi majlis dia orang aje tadi.” Jawab Nurul yang duduk semula di bangku batu. Tidak sampai hati pula melihat wajah keruh sahabatnya yang kurang bernasib baik itu. Memiliki ijazah dalam bidang sains sosial. Namun, peluang kerja masih belum menyebelahinya. Pelbagai temuduga telah dihadiri. Sehinggalah serendah jawatan pembantu am pejabat, rezeki masih belum berpihak kepada diri sahabatnya itu. Sudah setahun bergraduat, namun masih juga tetap duduk di kampung. Ramai teman-teman yang lain sudah berhijrah ke bandar. Malah, sudah ada yang berjaya dan berumah tangga.

“Iyalah iyalah…” Awra akhirnya mengalah. Jika tidak kerana dijemput oleh rakan sekolah mereka dahulu, tentu mereka tidak akan berjumpa. Sudah hampir lima bulan tidak bertemu. Hanya telefon yang menghubungkan mereka.

“Nanti kalau aku cuti, aku inform kau eh. Boleh kita keluar sama. Dah lama kita tak lepak sama kan?” Kata Nurul cuba memujuk hati sahabatnya itu.

“Hm… Takpalah beb. Aku tahu. Kau bukan senang nak dapat cuti. Aku tak kisah pun.” Balas Awra berbaur rajuk. Semenjak menjadi penganggur terhormat, jiwanya terlalu sensitif. Pantang jika ada orang bertanya tentang kerja, mudah sahaja melentingnya.

"Sorry beb… Aku balik dulu ya. Kau take care. Apa-apa hal, kau SMS ajelah aku.” Kata Nurul sebelum bangun dari duduknya. Tidak boleh tidak, dia harus pulang ke rumah lebih awal walaupun jarak rumah mereka tidaklah jauh. Risau andai terlewat bangun esok.

“Insha Allah. Kau pun take care beb. Drive elok-elok.” Pesan Awra sebelum membalas pelukan sahabatnya. Terasa sebak pula hatinya apabila ingin berpisah dengan sahabat yang jarang ditemui itu. Hanya ada majlis-majlis tertentu sahaja baru mereka akan bertemu.

“Insha Allah… Kau pergilah masuk tu. Bising pulak Mejar kesayangan kau tu nanti.” Usik Nurul sebelum meloloskan diri ke dalam kereta Kancil merah miliknya.

Awra mencebikkan bibir. Dia menanti sehingga kelibat kereta Kancil merah itu hilang dalam kegelapan malam baru dia melangkah masuk ke dalam rumah.

“Dik, esok aku ada food testing untuk dinner office aku. Kau nak ikut tak?” Tegur Firdaus yang duduk di ruang tamu bersama isterinya, Athirah ketika Awra melangkah masuk. Dilihat hanya pasangan itu sahaja yang ada. Pasti abah dan ibunya sudah masuk ke bilik memandangkan jam sudah pun pukul dua belas malam.

“Pucuk dicita, ulam mendatang… Kalau dah ajak, rugi tak datang…” Jawab Awra dengan senyuman lebar. Itulah saat yang dinanti pada setiap hujung tahun. Firdaus sentiasa akan membawanya untuk mencuba sesuatu menu kerana abangnya sering dipertanggungjawabkan dalam pengurusan menu buat majlis yang akan dijalankan.

“Eleh… Aku tahu kau takkan tolak punya. Makan free punya fasal kan?” Usik Firdaus hingga mencetus tawa kecil isterinya.

“Kau yang ajakkan? Kalau tak nak bawak pun takpa… Aku tak paksa pun…” Balas Awra yang ingin terus berlalu ke bilik. Malas mahu melayan abangnya itu. Ada sahaja idea untuk mengenakannya. Tetapi dia tahu, abangnya itu akan memerlukan khidmatnya juga memandangkan abangnya juga percaya dengan keupayaannya dalam memilih makanan yang sesuai untuk suatu majlis. Seperti tahun sudah, dia yang membantu Firdaus dalam menentukan menu yang sesuai buat majlis yang berlangsung.

“Alah… Buruk benar budak umur 26 tahun merajuk…” Giat Firdaus lagi dalam tawanya. Faham benar dengan perangai adiknya yang seorang itu.

“Awra… Duduklah sini dulu. Jangan dengar cakap Abang Daus ni.” Celah Athirah yang dari tadi hanya mendengar perbualan dua beradik itu.

“Malaslah kak layan orang tak berapa nak betul tu. Dah ajak orang, lepas tu nak perli orang pulak.” Balas Awra dengan wajah cemberut sebelum berlalu.

“Abang ni… Dah merajuk budak tu.” Kata Athirah kepada suaminya.

“Eleh… Merajuklah sangat… Takda maknanya. Esok eloklah tu. Bukan dia tak biasa kena usik dengan abang…” Jawab Firdaus yang cukup memahami Awra. Gadis itu susah untuk merajuk kecuali pada perkara yang benar-benar akan mengguris hati dan perasaan.

*******

“Faiq, pukul berapa kau balik malam tadi. Sampai aku tak sedar kau balik pukul berapa.” Tegur Naim yang duduk santai di hadapan tv dengan secawan milo panas dan dua keping roti canai bersiram kuah dal.

“Dekat pukul tiga baru aku sampai rumah.” Jawab Faiq yang menutup mulut kerana menguap. Jika tidak kerana ada temu janji tengah hari itu, jangan haraplah dia akan bangun. Dekat azan zohor nanti baru dia celik mata.

“Majlis lambat habis ke?” Soal Naim lagi sebelum mengunyah masuk cebisan roti canai berkuah tadi. Awal pagi lagi dia telah keluar ke kedai untuk mencari sarapan.

“Ha’ah… Ramai guest yang datang lambat. Tu yang lambat habis. Nasib baik majlis malam tadi aje.” Beritahu Faiq tentang majlis malam tadi. “Erm.. Amir mana?” Tanya Faiq pula tercari-cari kelibat teman serumah yang seorang lagi.

“Hari minggu macam ni, kau faham-faham ajelah dia tu. Kalau tak balik rumah mak ayah dia, mesti jumpa tunang dia la tu.” Jawab Naim dengan mulut yang penuh.

“Hmm… Bukan main bahagia lagi aku tengok dia tu. Tiap-tiap minggu pergi dating.” Komen Faiq tentang teman serumah yang seorang itu.

Naim hanya tersenyum mendengar komen sahabat yang hampir empat tahun dikenali. Hampir empat tahun itu jugalah mereka menjadi teman serumah.

“Ni roti canai mana kau beli ni?” Lanjut Faiq apabila melihat sahabatnya itu makan dengan penuh berselera. Sekeping roti canai sudah selamat masuk ke dalam perut. Kini keping roti canai yang kedua pula.

“Kedai mana lagi. Kedai depan tu la. Tu yang paling dekat. Jimat masa, jimat tenaga.” Jawab Naim sambil tersengih. Dia tidak berkira soal makan. Dia akan makan semua jenis makanan tanpa banyak soal jawab. Apa yang penting adalah halal.

“Kau ni aci boleh makan aje…” Kata Faiq sambil menggelengkan kepala.

“Habis tu, kau tak nak masak untuk aku. Nama aje tukang masak. Tapi malas nak masak.” Sindir Naim selamba.

“Bosan aku nak masak aje bro. Pergi kerja dah tentulah aku kena masuk dapur jugak. Walaupun bukan aku yang masak. Takkan balik rumah pun aku nak masak bro. Jemu sangat dah aku nak masak.” Jawab Faiq yang baru dinaikkan pangkat menjadi eksekutif chef di salah sebuah hotel di ibu negara. Pada masa yang sama dia turut baru mengusahakan perniagaan makanan. Sebuah restoren yang diusahakan bersama-sama seorang sahabat lama. Selain itu, kedai mereka juga menawarkan khidmat katering untuk apa jua majlis.

“Ala… Semenjak kau dah naik pangkat ni, susah betul nak rasa masakan kau la.” Kata Naim sebelum menghabiskan cebisan yang terakhir.

“Kau nak makan, datang ajelah kedai… Sama jugak…” Balas Faiq yang sudah berbaring di sofa hitam di ruang tamu itu.

“Tu pekerja kau yang masak. Bukan kau.” Jawab Naim sebelum bingkas untuk membawa pinggan kotor ke dapur.

“Alah… Sama la tu…” Laung Faiq dari depan tv.

“Kau ada apa-apa plan ke hari ni? Awal bangun.” Soal Naim yang sudah kembali ke ruang tamu. Duduk di sofa yang berhampiran. Tangannya pula sudah mengeluarkan sebatang rokok dan sedia untuk dinyalakan.

“Tengah hari ni ada food testing. Tu yang aku bangun jugak. Kalau tak, jangan haraplah aku nak bangun awal macam ni. Penat malam tadi pun tak hilang lagi.” Balas Faiq yang mula memejam mata. Terasa ingin tidur semula. Ketika solat subuh pagi tadi juga dia hampir terlelap.

“Tengok… Masyuk lagi kau… Aku rasa elok kau berhenti ajelah kerja dekat hotel tu. Fokus dengan bussines kedai dengan katering tu aje.” Ujar Naim selepas menghembus keluar kepulan asap yang tidak sihat dari mulutnya.

“Aku pun ada plan macam tu jugak. Tapi tengoklah dulu. Belum lagi sampai setahun aku pegang jawatan tu. Takkan tiba-tiba nak berhenti.” Jawab Faiq dengan mata terpejam. Ada juga dia terfikir perkara yang diujarkan oleh sahabatnya itu sebelum ini.

“Tapi aku rasa, elok kau cari calon isteri dulu. Lepas tu baru resign.” Cadang Naim pula berkisar tentang teman hidup. Dia tahu sahabatnya itu sudah serik bercinta. Semua perempuan yang mendekati sahabatnya itu semata-mata kerana kesenangan yang dimiliki. Bukan dia tidak tahu sahabatnya itu berjaya hingga ke hari ini adalah atas usaha sendiri yang tidak pernah putus.

“Malaslah aku nak fikir pasal perempuan ni. Buat kusut kepala aje.” Bidas Faiq sedikit geram.

Jika disebut tentang teman hidup sahaja, dia pasti akan teringat kembali kisah lama dengan perempuan-perempuan yang pernah mendampinginya dahulu. Semuanya mata duitan! Terus hilang kantuknya apabila teringat akan hal itu. Wanita terakhir yang menjadi teman pula meninggalkannya kerana bertemu dengan lelaki lebih kaya darinya. Itu perkara yang paling teruk pernah berlaku dalam hidupnya.

“Kau jangan macam tu Faiq. Umur kita ni bukan makin sikit bro. Masuk tahun ni aje dah  30. Kau up setahun dari aku. Aku pun kalau ada rezeki, tahun ni jugak aku nak kahwin. Family aku dah bising sebab aku ni asyik tangguh aje. Tunang aku lagi la bising…” Luah Naim perihal dirinya.

“Ada jodoh tak ke mana Im.” Balas Faiq selamba. Dalam hatinya memang dia terlalu inginkan seseorang yang dapat memahami diri dan menerima diri seadanya. Bukan kerana kesenangan yang dimiliki.

“Ikut suka kaulah Faiq. Erm… Tapi semalam, majlis yang kau handle tu dekat kampung kan? Takkan takda yang berkenan langsung dengan awek-awek kampung tu…” Gurau Naim sambil menyedut lagi batang rokok yang berbaki separuh.

“Ahh… Takda masa aku nak jeling-jeling.” Jawab Faiq malas. Dia tiada hati untuk mencari teman wanita buat masa ini. Apa yang pasti, dia kini mencari seorang wanita yang ingin dijadikan isteri. Padanya tiada lagi istilah bercinta pada umur begitu.

“Rugilah kau Faiq. Datang tempat orang, lain kali jeling-jelinglah sekali. Manalah tahu ada jodoh depan mata ke… Sambil menyelam, minum air bro..” Balas Naim sambil membuang habuk rokok ke dalam kotak rokok yang telah pun kosong. “Tapi kan bro… Kau kan nak cari perempuan yang pandai masak kan? Orang kampung, mestilah pandai masak…” Sambung Naim lagi.

“Siapa kata? Aku rasa semua perempuan sama aje sekarang. Belajar aje tinggi-tinggi. Ilmu masak yang tak payah nak ada sijil tu pun tak boleh nak buat.” Selamba Faiq memperkecilkan keupayaan seorang wanita. Kerana baginya, kebanyakan wanita hari ini lebih mementingkan kerjaya daripada tanggungjawab asas yang sejak azali harus diketahui oleh seorang wanita. Tambahan pula, kerjayanya kini lebih ramai dimonopoli oleh kaum lelaki. Itu menguatkan lagi hujahnya.

“Amboi mulut kau bro. Kau jangan cakap besar. Silap hari bulan, esok-esok calon wife kau tu paling hebat masak dari kau.” Balas Naim yang kurang setuju dengan kata-kata Faiq.

Faiq pula hanya terus diam tidak membalas. Malas mahu bersoal jawab tentang perkara yang tiada kepentingan baginya.

“Weh, kau nak pergi pukul berapa? Aku kejap lagi pun nak keluar ni.” Tutur Naim selepas masing-masing hanya mendiamkan diri.

“Orang tu janji pukul 12. Awal lagi kalau aku pergi sekarang.” Jawab Faiq malas. Dia seperti ingin melayan kantuknya semula.

“Awal lagi apa. Sekarang dah pukul 10 bro… Kau nak sampai pukul berapa pulak nanti. Dengan jalan jam hari minggu ni lagi…” Balas Naim yang sudah menghabiskan rokoknya tadi.

“Pukul 10? Kau ni biar betul. Tu kan baru pukul 9.” Kata Faiq sambil menunjuk ke arah jam bulat melekat di dinding hadapannya.

“Cuba kau tengok betul-betul jam tu hidup ke tak…” Arah Naim yang sudah ketawa kecil.

“Hampeh betul! Jam mati! Patutlah aku rasa dari tadi macam pukul 9 tak bergerak-gerak. Mati aku. Lela dengan Zaki dah la balik kampung hari ni.” Kata Faiq seraya bingkas bangun. Terkocoh-kocoh dia ke bilik mandi.

Naim pula sudah terkekeh mentertawakan Faiq yang kelam-kabut.


3 comments:

MaY_LiN said...

katika~ketika


huhuhu
awra=faiq
teddy???
tu kawan didi
hehehe

Kak Sue said...

jap lagi tukang testing makan sampai ya abang teddy bear... jangan terkejut....hehehe

muda_13 said...

Ei, baru berapa hari tak jenguk blog arsha, dah ada cite baru, sukeee, hehe. Awal yang menarik, 😊