Oct 1, 2012

Jangan tak mungkin_part 4



“Assalamualaikum..” dengan getaran di dada yang tidak lagi tenang apabila berhadapan dengan Ada. Sudah dua minggu matanya tidak menjamu wajah comel itu.

“Hm.. nak apa?” dingin Ada membalas. Salam lelaki itu hanya dijawab di dalam hati. Sudah dua minggu dia tidak melihat wajah Azam. Baharu malam tadi dia termimpi wajah lelaki itu dan hari ini memunculkan diri tiba-tiba. Membuak perasaan marahnya bertandang semula.

Azam tersenyum sinis. Sudah dijangkakan layanan Ada kepadanya.

‘Jangan berlagak sangat Ada Syuhada Adlia. Nanti lelaki ni la yang kau tergila-gilakan nanti.’ Omel Azam dalam hati sebelum tangannya naik mengetuk kepala sendiri. Sedar dia mula merepek. Kepalanya sudah memikirkan yang bukan-bukan.

“Dah kenapa pulak ketuk kepala sendiri. Tak betul ke?” laju mulut Ada mengutuk perbuatan Azam. Dia yang sedang mencabut anak-anak rumput yang tumbuh di dalam pasu bunganya, sedikit terganggu dengan kedatangan Azam tanpa disangka petang Sabtu itu.

Hampir dua minggu dia demam dan baharu hari itu dia berkesempatan untuk melihat bunga-bunganya yang tidak berjaga. Semuanya kerana Tuan Azam si cerewet!

Azam tarik senyum tepi. Nafas ditarik panjang cuba menenangkan hatinya sendiri. Dipupuk perasaan sabarnya.

“Saya nak hantar ni Cik Ada Syuhada Adlia.” Kata Azam melembutkan suaranya sambil menunjukkan beg plastik hitam yang dibawa. Sengaja dia membawa sama baju kemejanya yang masih belum berbasuh semata-mata mahu dijadikan alasan dia ke situ. Padahal, ada hal lain yang lebih penting membuatkan dia datang ke rumah jirannya petang Sabtu itu.

“Saya dah resign. Tuan Azam lupa ke?” balas Ada selamba. Sinis.

Rasa sakit hatinya tidak pun surut hanya kerana peristiwa dua minggu lalu. Sudah dibulatkan keputusannya. Dia tidak akan memasak mahupun mencuci pakaian Azam lagi walaupun dia bersimpati dengan Uncle Zakuan. Dia tahu Uncle Zakuan terpaksa kembali makan makanan dari kedai. Tetapi disebabkan Azam, dikeraskan juga hatinya. Hilang rasa simpati yang ada sebelum ini.

“Entah. Saya tak ingat pulak bila awak kata awak dah resign.” Balas Azam sengaja cuba bermain tarik tali dengan Ada. Padahal, cukup jelas apa yang dituturkan oleh gadis itu tempoh hari. Malah, abah dan adiknya sendiri kini melancarkan boikot tidak mahu bercakap dengannya selagi dia tidak dapat memujuk Ada kembali untuk memasak untuk mereka.

“Kesian. Harap muka aja hensem. Tapi pekak. Lupa ingatan pulak tu.” Jawab Ada masih dalam nada yang sama. Langsung tiada hati sebenarnya mahu berbual dengan lelaki seperti Azam. Dia lebih sanggup berbual dengan pokok-pokok bunganya.

Azam senyum nipis. Dia perlu bersabar untuk berhadapan dengan Ada. Tahu semua yang berlaku berpunca darinya. Mahu atau tidak, harus ditelan apa juga kata-kata Ada hanya kerana abah dan adiknya. Paling utama perasaan bersalah yang muncul di dalam hati sejak dia berada di Johor. Wajah itu sering bermain di fikirannya hingga dia tidak mampu fokus melakukan kerja-kerja di sana.

“Awak cakaplah apa-apa pun Cik Ada Syuhada Adlia. Saya sanggup dengar.” Balas Azam tenang. Matanya sempat mengerling ke arah tangan Ada yang sedang mencabut anak-anak rumput dalam pasu denga sedikit kasar. Dia tahu gadis itu memang memarahi dan mungkin juga sedang membencinya.

Ada merengus kasar dengan jelingan tajam dihadiahkan buat Azam. Dia menegakkan tubuh seraya berdiri rapat di pintu pagar yang sengaja tidak dibuka. Bertentangan dengan tempat Azam berdiri.

“Awak dengar sini baik-baik Tuan Azam. Saya takkan maafkan apa yang awak dah buat pada saya sampai bila-bila. Saya tak pernah jumpa lagi lelaki kejam macam awak ni yang sanggup tinggalkan perempuan tepi jalan dalam hujan macam tu sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa pada saya, awak nak bertanggungjawab ke? Tak kan?” kata Ada sinis. Tajam mata bulatnya menikam ke dalam mata Azam yang sedang tersenyum. Meluat hatinya dengan senyuman yang dilemparkan oleh Azam.

“Sihat wal afiat aja saya tengok awak sekarang ni. Maknanya takda apalah yang dah jadi kan?” balas Azam selamba tanpa memikirkan kesan dari kata-katanya itu. Bibir semakin melebarkan senyuman. Wajah Ada yang mula merah dan bermata bulat itu memang mencuit hatinya.

Memang dia langsung tidak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku ke atas diri gadis itu. Abah dan adiknya langsung tidak bercerita dan dia pun tidak bertanya. Tambahan pula selepas tiba di rumah ketika itu, dia terpaksa bergegas ke Johor kerana ada masalah di syarikat klien. Tidak sempat bertemu dengan abahnya yang masih belum pulang dari kampus adiknya. Hanya sewaktu tiba awal pagi tadi abahnya terus menyatakan yang dia perlu memujuk gadis itu agar dapat memasak kembali untuk mereka sekeluarga semula.

Ada kertap bibir rapat. Terasa ringan sahaja tangannya saat itu mahu dilayangkan ke wajah Azam. Darah panasnya sudah naik ke kepala.

“Awak lelaki paling ego, paling berlagak, paling jahat yang saya pernah jumpa!! Awak jahat!” hambur Ada yang mula bergenang airmata. “Saya benci awak Azamuddin Ashraf!” tambah Ada geram sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah. Tidak mampu ditahan airmata yang gugur saat itu kerana Azam langsung tidak risau akan keselamatannya tempoh hari.

Azam tergamam. Matanya terkelip-kelip melihat kelibat Ada yang menghilang ke dalam rumah. Bukan dia tidak nampak mata bulat itu sudah berkaca-kaca tadi.

“Apahal minah ni..” soalnya sendiri masih tidak faham apa sebenarnya yang sudah berlaku.

************

“Awak ni jalan dari tadi, tak penat ke? Saya dah penatlah. Troli ni tak jugak berisi. Dah dua tiga kali kita lalu tempat yang sama. Apa sebenarnya yang awak cari ni?” Azam menghamburkan rasa geram yang ditahan sejak tadi. Kakinya sudah terasa lenguh kerana lebih dua jam mereka berjalan.

Dari rumah hinggalah ke pasaraya besar itu, tiada satu patah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Begitu juga dengan gadis yang berjalan di hadapannya itu. Pada awalnya dia sengaja mendiamkan diri kerana mahu membiarkan gadis itu yang memulakan kata. Tetapi hampa! Malah kesabarannya sendiri yang semakin menipis menanti patah perkataan yang keluar dari bibir munggil itu. Bukan dia tidak perasan wajah kelat masin Ada sejak masuk ke dalam keretanya tadi.

Ada berpaling mengadap Azam yang sedang merenungnya. Tajam matanya membalas pandangan Azam.

“Siapa yang nak makan? Awak kan? Siapa yang buat jadual masak saya setiap minggu? Awak kan? Siapa yang keluar duit? Awak kan? Siapa yang bayar gaji saya suruh masak? Awak jugak kan? Siapa yang ajak saya teman? Awak jugakkan? So? Salah saya ke kalau troli ni kosong? Huh!” laju setiap patah perkataan itu keluar dari bibirnya sebelum berpusing kembali. Terus sahaja dia mengatur langkah menyusuri peti sejuk yang menempatkan bahan masak sejuk beku tanpa mempedulikan wajah Azam yang tidak berpuas hati dengannya.

Azam kertap bibir geram.

‘Aku pulak yang salah. Gila ke apa minah ni. Sayang betul. Muka aja comel. Tapi pelik!’ kutuknya dalam hati. Mahu atau tidak terpaksa juga dia menolak troli yang dibawa tadi mengikut langkah Ada yang semakin jauh meninggalkannya.

Sorry okay. Manalah saya tahu nak pilih semua-semua ni.” Ujar Azam terpaksa mengalah. Buat sementara!

“Lain kali kalau tak tahu, tanya. Mulut ada kan? Ke.. dalam mulut tu ada berlian sampai tak boleh nak bukak. Takut saya curi berlianlah tu.” Jawab Ada selamba sambil tangannya membelek sebungkus tomato ceri yang dicapai dari rak berhadapan peti sejuk beku.

Sekali lagi Azam kertap rapat bibirnya. Cuba bersabar dengan kata-kata sindiran dari Ada.

‘Amboi minah ni. Mulut boleh tahan laser.’ berbuku perasaan geramnya di dalam dada. Dalam situasi itu memang dia terpaksa mengalah. Dia memang tidak tahu langsung tentang barang-barang masakan. Dia hanya pandai makan dan komen! Itu yang biasa dilakukan sebelum ini.

Sorry..” ucapnya perlahan dengan senyuman kelat.

Sorry sorry.. bukan boleh gadai pun sorry tu.” Getus Ada perlahan tanpa Azam sedari. Dalam pada masa yang sama, bibirnya sudah sembunyi senyum. Puas hatinya dapat ‘kuasa pembuli’ hari itu. Dia mahu melihat sejauh mana Azam dengan kuasa pembuli yang ada sebelum ini.

Sorry?” Azam perasan yang bibir Ada seperti terkumat-kamit berkata sesuatu. Namun tiada satu perkataan pun berjaya menerobos ke gegendang telinganya.

‘Mengutuk aku la tu!’ desisnya sendiri.

Sorry sorry.. awak ni tak penat ke asyik sorry aja dari tadi.” Balas Ada selamba. “Cepatlah pilih apa yang awak nak makan. Nanti kalau lambat siap, marah pulak Tuan Azam saya dekat rumah tu.” Tajam sindiran yang meniti di bibir Ada sengaja mahu menguji Azam. Sengaja juga dia menekan nama panggilan Azam sebelum ini.

‘Bibik ni kan… takpa takpa.. sabar Tuan Azam.. sabar.’ hamburnya dalam hati. Azam kertap bibir kuat. Semakin membuak-buak perasaan geramnya ingin membalas tiap patah kata gadis di hadapannya itu. Nafas ditarik panjang dan dilepaskan perlahan untuk meredakan perasaan marah yang mula bertapak di hati.

“Ada Syuhada Adlia.” Nama penuh Ada disebut dalam nada yang paling lembut membuatkan gadis yang sedang meneliti bungkusan baby carrot berpaling memandangnya.

Ada mengerutkan dahi hingga hampir bercantum kedua-dua kening cantik terbentuknya.

“Kan saya cakap tadi saya tak tahu dengan semua ni. Kalau saya tahu, saya takdalah ajak awak kan? Tak perlulah saya susah-susah mengadap muka awak yang masam macam cencalok pahit expired date tu.” Tambah Azam tenang. Dia mula melancarkan serangan balas dalam kelembutan.

‘Ambik kau!’ ejek Azam dalam hati apabila melihat mata bulat bersinar milik Ada semakin mengecil. Tahu yang gadis itu mula tidak berpuas hati dengannya.

Giliran Ada menggertap bibirnya kuat.

‘Cencalok pahit expired date dia kata muka aku! Takpa Ada.. takpa.. tempat awam ni..’ getusnya geram seraya cuba menyabarkan hatinya berhadapan dengan Azam yang mula tunjuk kuasa pembulinya.

“Jadual masak saya minggu depan awak tak bagi lagi. So, sekarang saya tak tahu nak beli apa.” ujarnya lembut seraya memalingkan wajah. Pelbagai mimik muka dibuat tanpa Azam sedari.

Azam tersenyum nipis. Mula berasakan kemenangan berada di pihaknya.

“Erm.. Hari ni saya rasa nak makan ketam. Cari ketamlah.” Ujarnya selamba sambil memusingkan troli dan kembali ke bahagian makanan laut.

Ada tidak menjawab. Hanya menurut langkah lelaki itu. Selamba tangannya memilih ketam-ketam yang segar.

“Lagi?”

“Erm.. beli udang sekali.” Jawab Azam lagi cuba memikirkan menu-menu yang sesuai untuk minggu hadapan.

Ada memilih pula udang-udang sederhana besar. Sesuai untuk dimasak sambal ataupun rendang.

“Lagi?”

“Erm…Abah suka makan ikan. Erm… Awak pilih ajalah ikan yang biasa abah saya beli.” Mudah Azam menyerahkan semua tugas memilih kepada Ada.

“Nana suka makan apa?” soal Ada mendatar apabila teringat seorang gadis yang terlebih mesra apabila berbual dengan mamanya.

“Macam mana awak tahu nama adik saya Nana?” Azam bertanya kembali dengan kerutan di wajah.

“Penting ke dari mana saya tahu?” Ada mengembalikan soalan juga sambil tangannya memasukkan udang-udang yang sudah dipilih ke dalam plastik yang disediakan.

Azam mencebikkan wajah. ‘Kedekut!’ sempat hatinya mengutuk.

“Beli ajalah ayam..” ujarnya yang tahu akan kegemaran satu-satunya adik yang dia miliki.

Sebaik menimbang ketam dan udang, Ada terus pula berlaku ke bahagian ayam dan daging. Azam hanya mengikut.

“Bang, bagi ayam ni seekor, daging dua kilo.” Tutur Ada lembut beserta senyuman manis kepada pekerja yang menjaga bahagian daging dan ayam itu. Teringat yang Uncle Zakuan pernah memberitahu kepadanya teringin makan rendang daging. Tetapi tidak sempat membeli daging dan risau dia tidak tahu memasak rendang.

‘Amboi kau. Kalau dengan aku bukan main kedekut lagi nak senyum. Dengan orang lain, bukan main lemak berkrim disukai ramai senyum kau tu kan..’ omel Azam dalam hati apabila melihat wajah manis Ada yang sedang tersenyum. Ramah sahaja bibir comel itu bercakap itu ini dengan lelaki muda yang menjaga ayam dan daging di situ.

Sebaik menimbang dan mendapatkan tanda harga kedua-duanya, terus diletakkan di dalam troli tanpa menoleh pun ke wajah Azam yang memandangnya sejak tadi. Namun dari ekor mata, dia tahu Azam memang tidak senang dengan apa yang dilakukan.

“Sayur apa awak makan?” soalnya tidak berperasaan sambil membelek beberapa ikat sayur kangkung dan bayam.

“Apa-apa ajalah. Semua sayur saya makan except tempe.” Jawab Azam selamba sambil mengeluarkan telefon bimbitnya yang berbunyi dari dalam poket seluar.

‘Hish! Malanglah siapa yang kahwin dengan kau Azam. Telefon letak dalam poket seluar. Tak tahu fakta ke yang kau kau tu berisiko tak subur.’ Bebelnya dalam hati. Perasan dengan apa yang dilakukan oleh Azam.

“Mana ada nama sayur apa-apa dekat sini.” Balasnya lambat setelah lelaki itu menyimpan semula telefon bimbit tadi.

“Kan saya cakap tadi yang saya ni tak tahu semua nama-nama barang masak. Tempe aja saya tahu, tempelah awak jangan ambik.” Kata Azam geram kerana Ada seperti ingin mempermainkannya sahaja sejak tadi.

Ada sembunyi senyum.

‘Nasiblah orang dah putih… tak payah nak susah-susah makan tempe nak cantikkan kulit.’ Bebel hatinya lagi dengan kehendak Azam.

Tangannya kini membelek pula seikat sayur kailan. Agak berpuas hati, dia terus memasukkan ke dalam troli.

“Ni sayur apa ni?” ringan pula mulut Azam ingin bertanya.

“Kailan.” Jawab Ada sepatah dengan matanya terhala ke arah rak yang menempatkan sayur-sayur lain pula. Dia tidak mahu membeli sayur-sayur hijau lebih banyak kerana tahu sayuran berdaun tidak akan dapat bertahan lama di simpan dalam peti sejuk.

“Oh.. ni la yang selalu buat masak kailan ikan masin tu?” tanya Azam lagi buat-buat berminat ingin tahu. Sebenarnya dia sengaja mahu mendengar suara gadis itu bercakap walaupun dalam nada tidak berperasaan. Itu lebih baik berbanding bersama patung cendana.

“Iya..” jawab Ada malas.

“Ni sayur apa?” tanya Azam lagi apabila datang idea nakalnya. Tangannya turut membelek beberapa bungkusan yang dia tahu namanya namun sengaja mahu bertanya kepada Ada.

‘Lagak macam hebat sangat kau kan.. Try test tengok sikit…’ bisik nakal hatinya.

“Baby corn.”

“Ni?”

“Culieflower.” Dalam waktu yang sama, matanya tidak lepas membelek sayur kubis dan lobak merah yang ingin diambil. Sayur begitu lebih tahan lama berbanding sayuran berdaun hijau.

“Erm… ni?”

“Spring onion.”

“Eh, ni pun spring onion jugak eh? Color dah sama.. tapi apasal satu kurus sikit, satu gebu ni.. orang kebun ni mesti lupa nak bagi baja dekat yang satu ni..” komen Azam apabila melihat dua jenis sayuran yang hampir sama rupa dan bentuknya.

Ada menoleh ke wajah Azam sekilas sebelum matanya terhala ke arah dua sayuran hijau yang sedang dipegang oleh Azam. Tanpa sedar bibir menarik senyum kecil mendengar omelan Azam.

“Yang gebu tu spring onion. Yang satu lagi tu daun kucai.” Jawab Ada terus memalingkan wajah apabila mata Azam turut terhala ke arahnya.

Azam tarik senyum penuh makna.

“Oh…” sengaja dia menjawab begitu.

“Erm.. ni pulak?” katanya lagi sengaja.

“Coriander leaves.”

Azam senyum. Sedikit kagum dengan kebolehan Ada. Dari jauh pun dia boleh kenal nama sayuran yang dipegang.

“Ni saya tahu. Mak spring onion kan..?” kata Adam sambil tangannya mencapai sayuran persis batang bawang.

“Suka hati awak aja tu mak spring onion. Tu Leek leaves la..” balas Ada yang hampir menghamburkan tawa mendengar kata-kata Azam.

“Manalah saya tahu. Dah rupa dekat-dekat sama. Kira anak-beranaklah tu.” Jawab Azam selamba.

Ada menggelengkan kepala.

“Apa pulak ni? Adik-beradik caulieflower ke apa..” kata Azam lagi. Kali ini dia memang sengaja mahu mengusik Ada.

“Brocolli pun tak tahu.” Balas Ada selamba.

“Ni?”

“Bayam.”

“Ni?”

“Sawi.”

“Ni?”

“Carrot.”

“Ni?”

“Kobis.” Wajah Ada mula berkerut. Pandangan mata dibuang ke dalam troli di hadapan Azam. Bibir dikertap rapat.

Azam sudah mengoyak senyum tanpa Ada sedari.

“Ni?” tanya Azam lagi tanpa berpaling ke arah Ada. Tidak sedar yang gadis itu sudah menghampirinya.

“Awak ni hidup dalam gua mana?” serang Ada terus. Menegang wajahnya apabila baharu tersedar yang dia sebenarnya sedang dipermainkan oleh Azam.

Azam menghamburkan tawa hingga pelanggan yang turut sama ada di bahagian sayur-sayuran itu memadang ke arah mereka.

Ada yang geram dengan Azam terus sahaja mencapai sebiji lobak merah lalu dilemparkan ke arah Azam.

Azam yang perasan tindakan Ada pula sempat menangkap lobak merah yang hampir mengenai wajahnya.

“Apa lagi sayur yang awak nak?! Saya dah tak tahu nak pilih apa dah ni?!” kata Ada kasar kemudiannya. Malas mahu berlamaan lagi dengan Azam.

“Pilih ajalah apa-apa sayur pun. Macam yang saya cakap tadi kecuali tempe. Awak jangan nak pandai-pandai ambik tempe pulak.” Sekali lagi Azam memberi peringatan dalam sisa tawanya. Dia perasan wajah Ada yang mula merah padam.

Ada menjuihkan bibir. Pelik dengan selera Azam yang begitu anti dengan hasil kacang soya itu. Tetapi sebaliknya pula bagi dia. Dialah paling obses dengan segala makanan yang berkaitan dengan kacang soya.

“Kalau awak dah takda apa-apa nak beli, jomlah balik. Dah dekat pukul satu dah ni. Risau saya Tuan Azam marah kalau lambat makan.” Kata Ada selepas mengerling jam di pergelangan tangannya. Dan dengan sengaja melancarkan sekali lagi sindiran buat Azam.

“Hari ni Tuan Azam tak makan dekat rumah. Makan dekat luar hari ni dengan Bibik dia kot.” Azam menyerang balas.

Tajam mata Ada memandang ke arah Azam. Kurang bersetuju dengan apa yang didengarinya. Faham akan perkataan Bibik yang digunakan oleh lelaki itu. Sudah tentu ia memang dituju khas kepadanya.

“Saya nak balik. Kalau awak  nak makan dekat sini, ikut suka awaklah.” Balasnya selamba seraya meninggalkan Azam di situ.

Keluar bersama dia mampu terima lagi. Tetapi untuk makan bersama-sama dengan lelaki itu bukanlah tujuan awalnya keluar hari itu. Semuanya semata-mata memenuhi permintaan Uncle Zakuan. Tidak lebih dari itu.

“Eh minah ni. Selamba aja dia tinggalkan aku dekat sini..” desis Azam sendiri. Cepat-cepat dia ke kaunter pembayaran untuk membayar semua barangan yang dipilih tadi. Saat itu matanya tidak lepas memandang ke arah Ada yang sudah berada di luar. Dilihat gadis itu sedang leka melihat barang perhiasan wanita yang dipamerkan oleh kedai di sebelah.

“Berkenan ke? Kalau nak saya boleh belikan.” Azam sengaja mengambil peluang mengusik ketika melewati Ada selepas segala barangan yang dipilih tadi siap dibayar.

Ada membuat muka tidak berperasaannya. Tetapi di dalam hati sebenarnya memang begitu teruja melihat barang perhiasan yang dipamerkan. Terutamanya set cincin beserta subang dan kalung. Rekaan yang cukup ringkas memang menarik perhatiannya.

Azam terus berlalu ke tempat letak kereta dengan troli yang membawa segala jenis barang yang dibeli.

“Cik Ada Syuhada Adlia. Sudah-sudahlah tu nak berangan pakai barang mahal macam tu. Sedar sikit yang awak tu kerja jadi Bibik saya aja. Tak payah nak pakai cantik-cantik sangat. Pakai topi kebun awak tu pun dah cukup.” Giat Azam lagi sengaja ingin menyakiti hati.

Ada buat-buat tak dengar akan kata-kata sindiran Azam. Dia masih mampu untuk membeli segala barang perhiasan yang terpamer itu. Tetapi dia bukan bodoh nak membeli suatu barangan yang bukan kepentingan. Dia hanya akan membelanjakan duitnya kepada benda-benda keperluan sahaja berbanding kehendak.

“Awak nak balik ke tak ni? Kalau tak nak, saya balik dulu.” panggil Azam lagi yang siap memasukkan semua barang ke dalam kereta.

Ada menoleh. Jelingan tajam dihadiahkan. Terus sahaja kaki dihayun laju merapati kereta Azam. Masing-masing terus masuk ke dalam kereta tanpa sebarang kata.

“Kita pergi makan dululah baru balik.” Kata Azam selepas sepuluh minit perjalanan.

“Saya nak terus balik rumah.” Jawab Ada mendatar namun tegas. Wajahnya kelat tanpa memandang ke wajah Azam.

“Awak tak lapar ke? Saya dah laparlah. Tadi dahlah tak sempat breakfast.” Balas Azam sambil matanya mengerling ke sisi. Wajah gadis di sisinya itu masam mencuka.

“Ada saya kisah awak lapar. Itu masalah awak. Bukan masalah saya.” Jawab Ada selamba. Memang sengaja ingin menduga tahap kesabaran Azam.

Azam menjeling geram.

‘Dia ni ada aja nak menjawab.’ Bebel hatinya.

“Kalau saya bawak awak pergi makan jugak, apa awak nak buat?” uji Azam. Tahu yang gadis itu tidak akan mampu berbuat apa kerana dia yang memandu kereta.

“Berhentikan saya dekat sini. Saya boleh balik sendiri!”  cabar Ada berani. Rasa sakit hatinya masih berbuku di dalam dada kerana menjadi mangsa usikan Azam dari tadi. Dalam pada masa yang sama dia yakin yang Azam tidak akan berani buat seperti yang diungkapkan.

“Okey.” Balas Azam selamba seraya mencari tempat yang sesuai untuk memberhentikan kereta di tepi jalan. Lampu isyarat sisi diberi sebelum dia memberhentikan kereta. Sengaja mahu melihat sejauh mana keberanian Ada yang mencabarnya tadi.

Ada pula sudah membulatkan mata apabila Azam benar-benar memberhentikan kereta. Telahannya meleset sama sekali.

“Awak ni..” Ada kertap bibir geram. Tidak jadi mahu meneruskan kata. Dengan dada yang mula berombak dek kerana menahan perasaan marah, dengan kasar tangannya menolak daun pintu kereta tanpa lagi berpaling. Tidak mahu dikatakan hanya pandai bercakap sahaja, tetapi tidak mampu buat. Tetapi pada masa yang sama, dia amat berharap agar Azam dapat menghalangnya.

“Awak pandai-pandailah balik ya? Saya nak pergi makan dulu. Tapi kalau awak sanggup nak teman saya makan, jom ikut saya sekali. Kalau tak nak, terpulang.” Azam cuba mengugut pula walaupun hatinya sedikit tidak senang apabila melihat tindakan Ada yang terus keluar dari keretanya.

“Saya boleh balik sendiri!” bentak Ada geram tanpa memalingkan wajah. Dengan cuaca yang mula mendung itu agak merisaukannya. Tambahan pula dia sudah agak jauh dari perhentian bas. Terpaksa berpatah semula ke pasaraya tadi.

Azam menghamburkan tawa. Cuba menyembunyikan perasaan risau yang mula bertandang di hatinya saat itu. Risau kerana gurauannya benar-benar diambil serius oleh Ada. Mata hanya memerhati Ada yang mula meninggalkan keretanya. Dalam hati mula mengira dari kiraan sepuluh dengan harapan Ada akan menoleh semula dan kembali ke kereta.

‘Ah.. sudah minah ni.. Kang apa pulak aku nak jawab dengan Aunty Shima ni…’ desis hatinya yang mula risau apabila Ada tetap juga melangkah walaupun kiraannya tadi sudah tamat. Terburu-buru dia keluar dari kereta.

“Er..Awak.. awak.. saya gurau ajalah. Takkan sentap kot.. Jom kita balik. Kita terus balik rumah. Takda singgah mana-mana.” Terkejar-kejar Azam mendapatkan Ada yang mula menjauh meninggalkan kereta. Terpaksa pula dia membuat adegan kejar-mengejar di tepi jalan itu. Jika ditambah dengan elemen hujan, pastinya mereka seperti dalam salah satu babak dalam drama. Adegan pujuk memujuk antara pasangan kekasih. Malu oi!

Ada mematikan langkah serta merta. Kembali mengadap Azam yang turut sama berhenti. Kereta yang sedang bertali arus di situ langsung tidak dihiraukan.

“Awak anggap ajalah awak tak pernah kenal saya Tuan Azam. Mulai hari, saya takkan jadi Bibik lagi untuk family awak. Sekian terima kasih!” kata Ada lancar dengan wajah tegangnya. Dia terus melangkah semula untuk mendapatkan perhentian bas yang masih jauh.

Azam pula saat itu langsung tidak mampu berkata apa. Hanya matanya terkelip-kelip memandang Ada yang semakin menjauh. Hujan renyai-renyai yang mula menyimbah bumi membuatkan dia terus kembali semula ke kereta.

‘Masaklah kau Azam..’ kutuk hatinya sendiri sebaik dia masuk ke dalam kereta. Kepala menoleh semula ke belakang untuk melihat kelibat Ada. Namun susuk tubuh gadis itu tidak lagi kelihatan memandangkan hujan yang turun bertukar lebat.

“Ah.. lantaklah. Kau yang tak nak naik. Aku dah pujuk tadi.” Katanya sendirian masih mahu mempertahankan ego sendiri. Padahal hatinya sedang bergolak hebat dek kata-kata terakhir gadis itu tadi. Tanpa menunggu lama, terus sahaja dia kembali memandu dan meninggalkan kawasan itu segera. Tidak dihiraukan lagi gadis tadi.

Sementara Ada pula yang sudah lencun baju kurung yang dipakai kerana ditimpa hujan terpaksa menahan kesejukan. Hujan semakin melebat ditambah pula dengan tiupan angin yang agak kuat. Perasaan marah di dalam hatinya hilang sekelip mata tetapi diganti pula dengan perasaan takut kerana dia memang agak fobia berada dalam hujan lebat begitu. Tambahan pula keseorangan di perhentian bas di kawasan yang agak asing padanya membuatkan dia bertambah takut. Sebelum ini, segala kelengkapan masak akan dibeli oleh mamanya. Dia tidak pernah ikut sama jika mama dan papanya ke pasaraya.

Dalam kesejukan itulah terkial-kial dia mencari telefon bimbit dalam beg tangan yang dibawa sama tadi. Baharu beberapa saat dia memainkan jemarinya di atas skrin nipis itu, tiba skrin menjadi gelap-gelita. Bibir mengeluh berat apabila teringat yang dia terlupa caj bateri gajet tersebut. Hatinya saat itu semakin tidak tentu hala apabila merasakan sejak tadi dia tidak nampak satu pun pengangkutan awam melewati kawasan itu.

Kepalanya cuba dipanjangkan dan menajamkan pandangan mata dengan mengharap ada bas mahupun teksi melewati jalan itu. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan berdoa dan bertawakal agar Allah membantunya dalam saat genting begitu. Hampir sepuluh minit menanti, tetap tiada satu pun bas ataupun teksi yang lalu. Hujan semakin melebat seperti tidak mahu lagi berhenti. Dia memencilkan diri di tengah perhentian bas untuk mengelak daripada terkena tempias hujan walaupun pakaiannya saat itu sudah pun basah kuyup. Ditambah pula dengan petir yang mula kelihatan menyebabkan dia semakin kecut perut. Amat berharap ada hamba Allah yang sudi membantunya.

Mata mengerling sekilas ke arah jam dipergelangan tangan. Hampir setengah jam berada di situ. Keadaan masih tetap sama. Tubuhnya pula dirasakan mula menggigil menahan kesejukan yang terasa hingga ke tulang. Tangan sudah memeluk tubuh serapat-rapatnya.

“Ya Allah.. bantulah aku ya Allah..” ucapnya perlahan dengan airmata yang mula menuruni pipi. Dan saat itu jugalah berhenti sebuah kereta di hadapannya. Cuba mengenalpasti hamba Allah yang ingin membantunya saat itu. Kereta vios warna kelabu seperti dikenali. Namun otaknya gagal untuk memproses maklumat kerana keadaan tubuh yang sejuk dan menggigil melebihi segala-galanya.

Keluar seorang gadis bertudung bersama sekaki payung dari kereta.

“Kak, cepat masuk.” Nana segera mendapatkan Ada dan menarik tangan gadis itu agar sama-sama di bawah satu payung.

Tanpa berfikir panjang lagi Ada hanya menurut. Airmata yang menuruni pipi semakin mencurah-curah keluar saat itu apabila doanya diperkenankan oleh Allah. 

11 comments:

Anonymous said...

Ler.. Apa la azam ni!!!!
Ngaji pandai2 keje bgs2.. Akai xguna. Iskh3x
~mizz acu~

Kak Sue said...

geramnya dengan Tuan Azam yang berlagak tu....
Nasib baik Nana dan Uncle Zakwan ada untuk membantu....
lepas ni cari lah bibik yang pandai masak dan pandai melayan perangai yang macam orang tak cukup tu.....
jengjengjeng...... macamana Tuan Azam nak pujuk Ada ya????.... asyik orang lain ja nak jaga hati Azam ... bestttt

Anonymous said...

best... geram lak dengan azam ni...
ada buat tak tau je dengan azam.. biar dia sakit hati...
tak sabar lak nak tengok macam mana azam pujuk ada kembali....

nak lagi

kak na said...

siap kelas sains rumahtangga,part pi pasar....

Anonymous said...

Padan ngan muka azam...kan dah kena ngan cik ada kita, kena plak boikot ngan bapa dan adik die...ahaha
Xsabo tunggu part pujuk memujuk versi azam plak...best!!! Dewi

MaY_LiN said...

wah ada..siap mimpi lg
tau je ada fakta tu ya..
kihkihkih
abg azam..temnpe sayur ka?
hampeh kedaung azam tempe ni


denga~dengan
culieflower/caulieflower~cauliflower
brocolli~broccoli

Atty Ismail said...

Giler sungguh coz tggl anak dara org tepi jln dlm ujan...Sengal....Mmg nak kena cepuk sungguh!!!

Anonymous said...

sian ada.. kureng tuan azam.. X selamat la die.. Haish..
Mastura marof

cheknie said...

azzam nie pnting diri la ksian ada sorg2 kt bus stop da la hujan lbat kot..eeeee...geram btul

cheknie said...

azzam nie pnting diri la ksian ada sorg2 kt bus stop da la hujan lbat kot..eeeee...geram btul

myeijan.blogspot.com said...

Azzam ni jenis hati kayu....tak tau nak romantik....lepas ni mesti merayu2 dgn Ada sbb dah rindu masakan Ada...
Mcmana la Azzam ni nak mengayat si Ada tu nanti....