“Assalamualaikum..” dengan
getaran di dada yang tidak lagi tenang apabila berhadapan dengan Ada. Sudah dua
minggu matanya tidak menjamu wajah comel itu.
“Hm.. nak apa?” dingin Ada
membalas. Salam lelaki itu hanya dijawab di dalam hati. Sudah dua minggu dia
tidak melihat wajah Azam. Baharu malam tadi dia termimpi wajah lelaki itu dan hari ini
memunculkan diri tiba-tiba. Membuak perasaan marahnya bertandang semula.
Azam tersenyum sinis. Sudah
dijangkakan layanan Ada kepadanya.
‘Jangan berlagak sangat Ada
Syuhada Adlia. Nanti lelaki ni la yang kau tergila-gilakan nanti.’ Omel Azam
dalam hati sebelum tangannya naik mengetuk kepala sendiri. Sedar dia mula
merepek. Kepalanya sudah memikirkan yang bukan-bukan.
“Dah kenapa pulak ketuk kepala
sendiri. Tak betul ke?” laju mulut Ada mengutuk perbuatan Azam. Dia yang sedang
mencabut anak-anak rumput yang tumbuh di dalam pasu bunganya, sedikit terganggu
dengan kedatangan Azam tanpa disangka petang Sabtu itu.
Hampir dua minggu dia demam dan baharu
hari itu dia berkesempatan untuk melihat bunga-bunganya yang tidak berjaga. Semuanya
kerana Tuan Azam si cerewet!
Azam tarik senyum tepi. Nafas
ditarik panjang cuba menenangkan hatinya sendiri. Dipupuk perasaan sabarnya.
“Saya nak hantar ni Cik Ada
Syuhada Adlia.” Kata Azam melembutkan suaranya sambil menunjukkan beg plastik
hitam yang dibawa. Sengaja dia membawa sama baju kemejanya yang masih belum
berbasuh semata-mata mahu dijadikan alasan dia ke situ. Padahal, ada hal lain
yang lebih penting membuatkan dia datang ke rumah jirannya petang Sabtu itu.
“Saya dah resign. Tuan Azam lupa ke?” balas Ada selamba. Sinis.
Rasa sakit hatinya tidak pun
surut hanya kerana peristiwa dua minggu lalu. Sudah dibulatkan keputusannya. Dia
tidak akan memasak mahupun mencuci pakaian Azam lagi walaupun dia bersimpati
dengan Uncle Zakuan. Dia tahu Uncle Zakuan terpaksa kembali makan makanan dari
kedai. Tetapi disebabkan Azam, dikeraskan juga hatinya. Hilang rasa simpati
yang ada sebelum ini.
“Entah. Saya tak ingat pulak bila
awak kata awak dah resign.” Balas
Azam sengaja cuba bermain tarik tali dengan Ada. Padahal, cukup jelas apa yang
dituturkan oleh gadis itu tempoh hari. Malah, abah dan adiknya sendiri kini
melancarkan boikot tidak mahu bercakap dengannya selagi dia tidak dapat memujuk
Ada kembali untuk memasak untuk mereka.
“Kesian. Harap muka aja hensem.
Tapi pekak. Lupa ingatan pulak tu.” Jawab Ada masih dalam nada yang sama.
Langsung tiada hati sebenarnya mahu berbual dengan lelaki seperti Azam. Dia
lebih sanggup berbual dengan pokok-pokok bunganya.
Azam senyum nipis. Dia perlu
bersabar untuk berhadapan dengan Ada. Tahu semua yang berlaku berpunca darinya.
Mahu atau tidak, harus ditelan apa juga kata-kata Ada hanya kerana abah dan
adiknya. Paling utama perasaan bersalah yang muncul di dalam hati sejak dia
berada di Johor. Wajah itu sering bermain di fikirannya hingga dia tidak mampu
fokus melakukan kerja-kerja di sana.
“Awak cakaplah apa-apa pun Cik
Ada Syuhada Adlia. Saya sanggup dengar.” Balas Azam tenang. Matanya sempat
mengerling ke arah tangan Ada yang sedang mencabut anak-anak rumput dalam pasu denga
sedikit kasar. Dia tahu gadis itu memang memarahi dan mungkin juga sedang
membencinya.
Ada merengus kasar dengan
jelingan tajam dihadiahkan buat Azam. Dia menegakkan tubuh seraya berdiri rapat
di pintu pagar yang sengaja tidak dibuka. Bertentangan dengan tempat Azam
berdiri.
“Awak dengar sini baik-baik Tuan
Azam. Saya takkan maafkan apa yang awak dah buat pada saya sampai bila-bila.
Saya tak pernah jumpa lagi lelaki kejam macam awak ni yang sanggup tinggalkan
perempuan tepi jalan dalam hujan macam tu sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa
pada saya, awak nak bertanggungjawab ke? Tak kan?” kata Ada sinis. Tajam mata
bulatnya menikam ke dalam mata Azam yang sedang tersenyum. Meluat hatinya
dengan senyuman yang dilemparkan oleh Azam.
“Sihat wal afiat aja saya tengok
awak sekarang ni. Maknanya takda apalah yang dah jadi kan?” balas Azam selamba
tanpa memikirkan kesan dari kata-katanya itu. Bibir semakin melebarkan
senyuman. Wajah Ada yang mula merah dan bermata bulat itu memang mencuit
hatinya.
Memang dia langsung tidak tahu
apa sebenarnya yang sudah berlaku ke atas diri gadis itu. Abah dan adiknya
langsung tidak bercerita dan dia pun tidak bertanya. Tambahan pula selepas tiba
di rumah ketika itu, dia terpaksa bergegas ke Johor kerana ada masalah di
syarikat klien. Tidak sempat bertemu dengan abahnya yang masih belum pulang
dari kampus adiknya. Hanya sewaktu tiba awal pagi tadi abahnya terus menyatakan
yang dia perlu memujuk gadis itu agar dapat memasak kembali untuk mereka
sekeluarga semula.
Ada kertap bibir rapat. Terasa
ringan sahaja tangannya saat itu mahu dilayangkan ke wajah Azam. Darah panasnya
sudah naik ke kepala.
“Awak lelaki paling ego, paling
berlagak, paling jahat yang saya pernah jumpa!! Awak jahat!” hambur Ada yang
mula bergenang airmata. “Saya benci awak Azamuddin Ashraf!” tambah Ada geram
sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah. Tidak mampu ditahan airmata yang
gugur saat itu kerana Azam langsung tidak risau akan keselamatannya tempoh hari.
Azam tergamam. Matanya
terkelip-kelip melihat kelibat Ada yang menghilang ke dalam rumah. Bukan dia
tidak nampak mata bulat itu sudah berkaca-kaca tadi.
“Apahal minah ni..” soalnya
sendiri masih tidak faham apa sebenarnya yang sudah berlaku.
************
“Awak ni jalan dari tadi, tak
penat ke? Saya dah penatlah. Troli ni tak jugak berisi. Dah dua tiga kali kita
lalu tempat yang sama. Apa sebenarnya yang awak cari ni?” Azam menghamburkan
rasa geram yang ditahan sejak tadi. Kakinya sudah terasa lenguh kerana lebih
dua jam mereka berjalan.
Dari rumah hinggalah ke pasaraya
besar itu, tiada satu patah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Begitu
juga dengan gadis yang berjalan di hadapannya itu. Pada awalnya dia sengaja
mendiamkan diri kerana mahu membiarkan gadis itu yang memulakan kata. Tetapi
hampa! Malah kesabarannya sendiri yang semakin menipis menanti patah perkataan
yang keluar dari bibir munggil itu. Bukan dia tidak perasan wajah kelat masin
Ada sejak masuk ke dalam keretanya tadi.
Ada berpaling mengadap Azam yang
sedang merenungnya. Tajam matanya membalas pandangan Azam.
“Siapa yang nak makan? Awak kan? Siapa
yang buat jadual masak saya setiap minggu? Awak kan? Siapa yang keluar duit?
Awak kan? Siapa yang bayar gaji saya suruh masak? Awak jugak kan? Siapa yang
ajak saya teman? Awak jugakkan? So?
Salah saya ke kalau troli ni kosong? Huh!” laju setiap patah perkataan itu
keluar dari bibirnya sebelum berpusing kembali. Terus sahaja dia mengatur
langkah menyusuri peti sejuk yang menempatkan bahan masak sejuk beku tanpa
mempedulikan wajah Azam yang tidak berpuas hati dengannya.
Azam kertap bibir geram.
‘Aku pulak yang salah. Gila ke
apa minah ni. Sayang betul. Muka aja comel. Tapi pelik!’ kutuknya dalam hati.
Mahu atau tidak terpaksa juga dia menolak troli yang dibawa tadi mengikut
langkah Ada yang semakin jauh meninggalkannya.
“Sorry okay. Manalah saya tahu nak pilih semua-semua ni.” Ujar Azam
terpaksa mengalah. Buat sementara!
“Lain kali kalau tak tahu, tanya.
Mulut ada kan? Ke.. dalam mulut tu ada berlian sampai tak boleh nak bukak.
Takut saya curi berlianlah tu.” Jawab Ada selamba sambil tangannya membelek
sebungkus tomato ceri yang dicapai dari rak berhadapan peti sejuk beku.
Sekali lagi Azam kertap rapat
bibirnya. Cuba bersabar dengan kata-kata sindiran dari Ada.
‘Amboi minah ni. Mulut boleh
tahan laser.’ berbuku perasaan geramnya di dalam dada. Dalam situasi itu memang
dia terpaksa mengalah. Dia memang tidak tahu langsung tentang barang-barang
masakan. Dia hanya pandai makan dan komen! Itu yang biasa dilakukan sebelum
ini.
“Sorry..” ucapnya perlahan dengan senyuman kelat.
“Sorry sorry.. bukan boleh gadai pun sorry tu.” Getus Ada perlahan tanpa Azam sedari. Dalam pada masa
yang sama, bibirnya sudah sembunyi senyum. Puas hatinya dapat ‘kuasa pembuli’
hari itu. Dia mahu melihat sejauh mana Azam dengan kuasa pembuli yang ada
sebelum ini.
“Sorry?” Azam perasan yang bibir Ada seperti terkumat-kamit berkata
sesuatu. Namun tiada satu perkataan pun berjaya menerobos ke gegendang telinganya.
‘Mengutuk aku la tu!’ desisnya
sendiri.
“Sorry sorry.. awak ni tak penat ke asyik sorry aja dari tadi.” Balas Ada selamba. “Cepatlah pilih apa yang
awak nak makan. Nanti kalau lambat siap, marah pulak Tuan Azam saya dekat rumah
tu.” Tajam sindiran yang meniti di bibir Ada sengaja mahu menguji Azam. Sengaja
juga dia menekan nama panggilan Azam sebelum ini.
‘Bibik ni kan… takpa takpa..
sabar Tuan Azam.. sabar.’ hamburnya dalam hati. Azam kertap bibir kuat. Semakin
membuak-buak perasaan geramnya ingin membalas tiap patah kata gadis di
hadapannya itu. Nafas ditarik panjang dan dilepaskan perlahan untuk meredakan
perasaan marah yang mula bertapak di hati.
“Ada Syuhada Adlia.” Nama penuh
Ada disebut dalam nada yang paling lembut membuatkan gadis yang sedang meneliti
bungkusan baby carrot berpaling memandangnya.
Ada mengerutkan dahi hingga
hampir bercantum kedua-dua kening cantik terbentuknya.
“Kan saya cakap tadi saya tak
tahu dengan semua ni. Kalau saya tahu, saya takdalah ajak awak kan? Tak
perlulah saya susah-susah mengadap muka awak yang masam macam cencalok pahit expired date tu.” Tambah Azam tenang.
Dia mula melancarkan serangan balas dalam kelembutan.
‘Ambik kau!’ ejek Azam dalam hati
apabila melihat mata bulat bersinar milik Ada semakin mengecil. Tahu yang gadis
itu mula tidak berpuas hati dengannya.
Giliran Ada menggertap bibirnya
kuat.
‘Cencalok pahit expired date dia kata muka aku! Takpa
Ada.. takpa.. tempat awam ni..’ getusnya geram seraya cuba menyabarkan hatinya
berhadapan dengan Azam yang mula tunjuk kuasa pembulinya.
“Jadual masak saya minggu depan
awak tak bagi lagi. So, sekarang saya
tak tahu nak beli apa.” ujarnya lembut seraya memalingkan wajah. Pelbagai mimik
muka dibuat tanpa Azam sedari.
Azam tersenyum nipis. Mula
berasakan kemenangan berada di pihaknya.
“Erm.. Hari ni saya rasa nak
makan ketam. Cari ketamlah.” Ujarnya selamba sambil memusingkan troli dan
kembali ke bahagian makanan laut.
Ada tidak menjawab. Hanya menurut
langkah lelaki itu. Selamba tangannya memilih ketam-ketam yang segar.
“Lagi?”
“Erm.. beli udang sekali.” Jawab
Azam lagi cuba memikirkan menu-menu yang sesuai untuk minggu hadapan.
Ada memilih pula udang-udang
sederhana besar. Sesuai untuk dimasak sambal ataupun rendang.
“Lagi?”
“Erm…Abah suka makan ikan. Erm…
Awak pilih ajalah ikan yang biasa abah saya beli.” Mudah Azam menyerahkan semua
tugas memilih kepada Ada.
“Nana suka makan apa?” soal Ada mendatar
apabila teringat seorang gadis yang terlebih mesra apabila berbual dengan
mamanya.
“Macam mana awak tahu nama adik
saya Nana?” Azam bertanya kembali dengan kerutan di wajah.
“Penting ke dari mana saya tahu?”
Ada mengembalikan soalan juga sambil tangannya memasukkan udang-udang yang
sudah dipilih ke dalam plastik yang disediakan.
Azam mencebikkan wajah.
‘Kedekut!’ sempat hatinya mengutuk.
“Beli ajalah ayam..” ujarnya yang
tahu akan kegemaran satu-satunya adik yang dia miliki.
Sebaik menimbang ketam dan udang,
Ada terus pula berlaku ke bahagian ayam dan daging. Azam hanya mengikut.
“Bang, bagi ayam ni seekor,
daging dua kilo.” Tutur Ada lembut beserta senyuman manis kepada pekerja yang
menjaga bahagian daging dan ayam itu. Teringat yang Uncle Zakuan pernah
memberitahu kepadanya teringin makan rendang daging. Tetapi tidak sempat
membeli daging dan risau dia tidak tahu memasak rendang.
‘Amboi kau. Kalau dengan aku
bukan main kedekut lagi nak senyum. Dengan orang lain, bukan main lemak berkrim
disukai ramai senyum kau tu kan..’ omel Azam dalam hati apabila melihat wajah
manis Ada yang sedang tersenyum. Ramah sahaja bibir comel itu bercakap itu ini
dengan lelaki muda yang menjaga ayam dan daging di situ.
Sebaik menimbang dan mendapatkan
tanda harga kedua-duanya, terus diletakkan di dalam troli tanpa menoleh pun ke
wajah Azam yang memandangnya sejak tadi. Namun dari ekor mata, dia tahu Azam memang
tidak senang dengan apa yang dilakukan.
“Sayur apa awak makan?” soalnya
tidak berperasaan sambil membelek beberapa ikat sayur kangkung dan bayam.
“Apa-apa ajalah. Semua sayur saya
makan except tempe.” Jawab Azam
selamba sambil mengeluarkan telefon bimbitnya yang berbunyi dari dalam poket
seluar.
‘Hish! Malanglah siapa yang
kahwin dengan kau Azam. Telefon letak dalam poket seluar. Tak tahu fakta ke
yang kau kau tu berisiko tak subur.’ Bebelnya dalam hati. Perasan dengan apa
yang dilakukan oleh Azam.
“Mana ada nama sayur apa-apa
dekat sini.” Balasnya lambat setelah lelaki itu menyimpan semula telefon bimbit
tadi.
“Kan saya cakap tadi yang saya ni
tak tahu semua nama-nama barang masak. Tempe aja saya tahu, tempelah awak
jangan ambik.” Kata Azam geram kerana Ada seperti ingin mempermainkannya sahaja
sejak tadi.
Ada sembunyi senyum.
‘Nasiblah orang dah putih… tak
payah nak susah-susah makan tempe nak cantikkan kulit.’ Bebel hatinya lagi
dengan kehendak Azam.
Tangannya kini membelek pula
seikat sayur kailan. Agak berpuas hati, dia terus memasukkan ke dalam troli.
“Ni sayur apa ni?” ringan pula
mulut Azam ingin bertanya.
“Kailan.” Jawab Ada sepatah
dengan matanya terhala ke arah rak yang menempatkan sayur-sayur lain pula. Dia
tidak mahu membeli sayur-sayur hijau lebih banyak kerana tahu sayuran berdaun
tidak akan dapat bertahan lama di simpan dalam peti sejuk.
“Oh.. ni la yang selalu buat
masak kailan ikan masin tu?” tanya Azam lagi buat-buat berminat ingin tahu.
Sebenarnya dia sengaja mahu mendengar suara gadis itu bercakap walaupun dalam
nada tidak berperasaan. Itu lebih baik berbanding bersama patung cendana.
“Iya..” jawab Ada malas.
“Ni sayur apa?” tanya Azam lagi
apabila datang idea nakalnya. Tangannya turut membelek beberapa bungkusan yang
dia tahu namanya namun sengaja mahu bertanya kepada Ada.
‘Lagak macam hebat sangat kau
kan.. Try test tengok sikit…’ bisik
nakal hatinya.
“Baby corn.”
“Ni?”
“Culieflower.” Dalam waktu yang
sama, matanya tidak lepas membelek sayur kubis dan lobak merah yang ingin
diambil. Sayur begitu lebih tahan lama berbanding sayuran berdaun hijau.
“Erm… ni?”
“Spring onion.”
“Eh, ni pun spring onion jugak
eh? Color dah sama.. tapi apasal satu kurus sikit, satu gebu ni.. orang kebun
ni mesti lupa nak bagi baja dekat yang satu ni..” komen Azam apabila melihat
dua jenis sayuran yang hampir sama rupa dan bentuknya.
Ada menoleh ke wajah Azam sekilas
sebelum matanya terhala ke arah dua sayuran hijau yang sedang dipegang oleh
Azam. Tanpa sedar bibir menarik senyum kecil mendengar omelan Azam.
“Yang gebu tu spring onion. Yang
satu lagi tu daun kucai.” Jawab Ada terus memalingkan wajah apabila mata Azam
turut terhala ke arahnya.
Azam tarik senyum penuh makna.
“Oh…” sengaja dia menjawab
begitu.
“Erm.. ni pulak?” katanya lagi
sengaja.
“Coriander leaves.”
Azam senyum. Sedikit kagum dengan
kebolehan Ada. Dari jauh pun dia boleh kenal nama sayuran yang dipegang.
“Ni saya tahu. Mak spring onion
kan..?” kata Adam sambil tangannya mencapai sayuran persis batang bawang.
“Suka hati awak aja tu mak spring
onion. Tu Leek leaves la..” balas Ada yang hampir menghamburkan tawa mendengar
kata-kata Azam.
“Manalah saya tahu. Dah rupa
dekat-dekat sama. Kira anak-beranaklah tu.” Jawab Azam selamba.
Ada menggelengkan kepala.
“Apa pulak ni? Adik-beradik
caulieflower ke apa..” kata Azam lagi. Kali ini dia memang sengaja mahu
mengusik Ada.
“Brocolli pun tak tahu.” Balas
Ada selamba.
“Ni?”
“Bayam.”
“Ni?”
“Sawi.”
“Ni?”
“Carrot.”
“Ni?”
“Kobis.” Wajah Ada mula berkerut.
Pandangan mata dibuang ke dalam troli di hadapan Azam. Bibir dikertap rapat.
Azam sudah mengoyak senyum tanpa
Ada sedari.
“Ni?” tanya Azam lagi tanpa
berpaling ke arah Ada. Tidak sedar yang gadis itu sudah menghampirinya.
“Awak ni hidup dalam gua mana?”
serang Ada terus. Menegang wajahnya apabila baharu tersedar yang dia sebenarnya
sedang dipermainkan oleh Azam.
Azam menghamburkan tawa hingga
pelanggan yang turut sama ada di bahagian sayur-sayuran itu memadang ke arah
mereka.
Ada yang geram dengan Azam terus
sahaja mencapai sebiji lobak merah lalu dilemparkan ke arah Azam.
Azam yang perasan tindakan Ada
pula sempat menangkap lobak merah yang hampir mengenai wajahnya.
“Apa lagi sayur yang awak nak?!
Saya dah tak tahu nak pilih apa dah ni?!” kata Ada kasar kemudiannya. Malas
mahu berlamaan lagi dengan Azam.
“Pilih ajalah apa-apa sayur pun.
Macam yang saya cakap tadi kecuali tempe. Awak jangan nak pandai-pandai ambik tempe
pulak.” Sekali lagi Azam memberi peringatan dalam sisa tawanya. Dia perasan
wajah Ada yang mula merah padam.
Ada menjuihkan bibir. Pelik
dengan selera Azam yang begitu anti dengan hasil kacang soya itu. Tetapi
sebaliknya pula bagi dia. Dialah paling obses dengan segala makanan yang
berkaitan dengan kacang soya.
“Kalau awak dah takda apa-apa nak
beli, jomlah balik. Dah dekat pukul satu dah ni. Risau saya Tuan Azam marah
kalau lambat makan.” Kata Ada selepas mengerling jam di pergelangan tangannya.
Dan dengan sengaja melancarkan sekali lagi sindiran buat Azam.
“Hari ni Tuan Azam tak makan
dekat rumah. Makan dekat luar hari ni dengan Bibik dia kot.” Azam menyerang
balas.
Tajam mata Ada memandang ke arah
Azam. Kurang bersetuju dengan apa yang didengarinya. Faham akan perkataan Bibik
yang digunakan oleh lelaki itu. Sudah tentu ia memang dituju khas kepadanya.
“Saya nak balik. Kalau awak nak makan dekat sini, ikut suka awaklah.”
Balasnya selamba seraya meninggalkan Azam di situ.
Keluar bersama dia mampu terima
lagi. Tetapi untuk makan bersama-sama dengan lelaki itu bukanlah tujuan awalnya
keluar hari itu. Semuanya semata-mata memenuhi permintaan Uncle Zakuan. Tidak
lebih dari itu.
“Eh minah ni. Selamba aja dia tinggalkan
aku dekat sini..” desis Azam sendiri. Cepat-cepat dia ke kaunter pembayaran
untuk membayar semua barangan yang dipilih tadi. Saat itu matanya tidak lepas
memandang ke arah Ada yang sudah berada di luar. Dilihat gadis itu sedang leka
melihat barang perhiasan wanita yang dipamerkan oleh kedai di sebelah.
“Berkenan ke? Kalau nak saya
boleh belikan.” Azam sengaja mengambil peluang mengusik ketika melewati Ada
selepas segala barangan yang dipilih tadi siap dibayar.
Ada membuat muka tidak
berperasaannya. Tetapi di dalam hati sebenarnya memang begitu teruja melihat
barang perhiasan yang dipamerkan. Terutamanya set cincin beserta subang dan
kalung. Rekaan yang cukup ringkas memang menarik perhatiannya.
Azam terus berlalu ke tempat
letak kereta dengan troli yang membawa segala jenis barang yang dibeli.
“Cik Ada Syuhada Adlia.
Sudah-sudahlah tu nak berangan pakai barang mahal macam tu. Sedar sikit yang
awak tu kerja jadi Bibik saya aja. Tak payah nak pakai cantik-cantik sangat. Pakai
topi kebun awak tu pun dah cukup.” Giat Azam lagi sengaja ingin menyakiti hati.
Ada buat-buat tak dengar akan
kata-kata sindiran Azam. Dia masih mampu untuk membeli segala barang perhiasan
yang terpamer itu. Tetapi dia bukan bodoh nak membeli suatu barangan yang bukan
kepentingan. Dia hanya akan membelanjakan duitnya kepada benda-benda keperluan
sahaja berbanding kehendak.
“Awak nak balik ke tak ni? Kalau
tak nak, saya balik dulu.” panggil Azam lagi yang siap memasukkan semua barang
ke dalam kereta.
Ada menoleh. Jelingan tajam
dihadiahkan. Terus sahaja kaki dihayun laju merapati kereta Azam. Masing-masing
terus masuk ke dalam kereta tanpa sebarang kata.
“Kita pergi makan dululah baru
balik.” Kata Azam selepas sepuluh minit perjalanan.
“Saya nak terus balik rumah.”
Jawab Ada mendatar namun tegas. Wajahnya kelat tanpa memandang ke wajah Azam.
“Awak tak lapar ke? Saya dah
laparlah. Tadi dahlah tak sempat breakfast.”
Balas Azam sambil matanya mengerling ke sisi. Wajah gadis di sisinya itu masam
mencuka.
“Ada saya kisah awak lapar. Itu
masalah awak. Bukan masalah saya.” Jawab Ada selamba. Memang sengaja ingin
menduga tahap kesabaran Azam.
Azam menjeling geram.
‘Dia ni ada aja nak menjawab.’
Bebel hatinya.
“Kalau saya bawak awak pergi
makan jugak, apa awak nak buat?” uji Azam. Tahu yang gadis itu tidak akan mampu
berbuat apa kerana dia yang memandu kereta.
“Berhentikan saya dekat sini.
Saya boleh balik sendiri!” cabar Ada
berani. Rasa sakit hatinya masih berbuku di dalam dada kerana menjadi mangsa
usikan Azam dari tadi. Dalam pada masa yang sama dia yakin yang Azam tidak akan
berani buat seperti yang diungkapkan.
“Okey.” Balas Azam selamba seraya
mencari tempat yang sesuai untuk memberhentikan kereta di tepi jalan. Lampu isyarat
sisi diberi sebelum dia memberhentikan kereta. Sengaja mahu melihat sejauh mana
keberanian Ada yang mencabarnya tadi.
Ada pula sudah membulatkan mata
apabila Azam benar-benar memberhentikan kereta. Telahannya meleset sama sekali.
“Awak ni..” Ada kertap bibir
geram. Tidak jadi mahu meneruskan kata. Dengan dada yang mula berombak dek
kerana menahan perasaan marah, dengan kasar tangannya menolak daun pintu kereta
tanpa lagi berpaling. Tidak mahu dikatakan hanya pandai bercakap sahaja, tetapi
tidak mampu buat. Tetapi pada masa yang sama, dia amat berharap agar Azam dapat
menghalangnya.
“Awak pandai-pandailah balik ya?
Saya nak pergi makan dulu. Tapi kalau awak sanggup nak teman saya makan, jom
ikut saya sekali. Kalau tak nak, terpulang.” Azam cuba mengugut pula walaupun
hatinya sedikit tidak senang apabila melihat tindakan Ada yang terus keluar
dari keretanya.
“Saya boleh balik sendiri!”
bentak Ada geram tanpa memalingkan wajah. Dengan cuaca yang mula mendung itu
agak merisaukannya. Tambahan pula dia sudah agak jauh dari perhentian bas.
Terpaksa berpatah semula ke pasaraya tadi.
Azam menghamburkan tawa. Cuba
menyembunyikan perasaan risau yang mula bertandang di hatinya saat itu. Risau kerana
gurauannya benar-benar diambil serius oleh Ada. Mata hanya memerhati Ada yang
mula meninggalkan keretanya. Dalam hati mula mengira dari kiraan sepuluh dengan
harapan Ada akan menoleh semula dan kembali ke kereta.
‘Ah.. sudah minah ni.. Kang apa pulak
aku nak jawab dengan Aunty Shima ni…’ desis hatinya yang mula risau apabila Ada
tetap juga melangkah walaupun kiraannya tadi sudah tamat. Terburu-buru dia
keluar dari kereta.
“Er..Awak.. awak.. saya gurau
ajalah. Takkan sentap kot.. Jom kita balik. Kita terus balik rumah. Takda
singgah mana-mana.” Terkejar-kejar Azam mendapatkan Ada yang mula menjauh meninggalkan
kereta. Terpaksa pula dia membuat adegan kejar-mengejar di tepi jalan itu. Jika
ditambah dengan elemen hujan, pastinya mereka seperti dalam salah satu babak
dalam drama. Adegan pujuk memujuk antara pasangan kekasih. Malu oi!
Ada mematikan langkah serta
merta. Kembali mengadap Azam yang turut sama berhenti. Kereta yang sedang
bertali arus di situ langsung tidak dihiraukan.
“Awak anggap ajalah awak tak
pernah kenal saya Tuan Azam. Mulai hari, saya takkan jadi Bibik lagi untuk family awak. Sekian terima kasih!” kata
Ada lancar dengan wajah tegangnya. Dia terus melangkah semula untuk mendapatkan
perhentian bas yang masih jauh.
Azam pula saat itu langsung tidak
mampu berkata apa. Hanya matanya terkelip-kelip memandang Ada yang semakin
menjauh. Hujan renyai-renyai yang mula menyimbah bumi membuatkan dia terus
kembali semula ke kereta.
‘Masaklah kau Azam..’ kutuk
hatinya sendiri sebaik dia masuk ke dalam kereta. Kepala menoleh semula ke
belakang untuk melihat kelibat Ada. Namun susuk tubuh gadis itu tidak lagi
kelihatan memandangkan hujan yang turun bertukar lebat.
“Ah.. lantaklah. Kau yang tak nak
naik. Aku dah pujuk tadi.” Katanya sendirian masih mahu mempertahankan ego
sendiri. Padahal hatinya sedang bergolak hebat dek kata-kata terakhir gadis itu
tadi. Tanpa menunggu lama, terus sahaja dia kembali memandu dan meninggalkan
kawasan itu segera. Tidak dihiraukan lagi gadis tadi.
Sementara Ada pula yang sudah
lencun baju kurung yang dipakai kerana ditimpa hujan terpaksa menahan
kesejukan. Hujan semakin melebat ditambah pula dengan tiupan angin yang agak
kuat. Perasaan marah di dalam hatinya hilang sekelip mata tetapi diganti pula
dengan perasaan takut kerana dia memang agak fobia berada dalam hujan lebat begitu.
Tambahan pula keseorangan di perhentian bas di kawasan yang agak asing padanya membuatkan
dia bertambah takut. Sebelum ini, segala kelengkapan masak akan dibeli oleh
mamanya. Dia tidak pernah ikut sama jika mama dan papanya ke pasaraya.
Dalam kesejukan itulah
terkial-kial dia mencari telefon bimbit dalam beg tangan yang dibawa sama tadi.
Baharu beberapa saat dia memainkan jemarinya di atas skrin nipis itu, tiba
skrin menjadi gelap-gelita. Bibir mengeluh berat apabila teringat yang dia
terlupa caj bateri gajet tersebut. Hatinya saat itu semakin tidak tentu hala
apabila merasakan sejak tadi dia tidak nampak satu pun pengangkutan awam
melewati kawasan itu.
Kepalanya cuba dipanjangkan dan
menajamkan pandangan mata dengan mengharap ada bas mahupun teksi melewati jalan
itu. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan berdoa dan bertawakal agar Allah
membantunya dalam saat genting begitu. Hampir sepuluh minit menanti, tetap
tiada satu pun bas ataupun teksi yang lalu. Hujan semakin melebat seperti tidak
mahu lagi berhenti. Dia memencilkan diri di tengah perhentian bas untuk
mengelak daripada terkena tempias hujan walaupun pakaiannya saat itu sudah pun
basah kuyup. Ditambah pula dengan petir yang mula kelihatan menyebabkan dia
semakin kecut perut. Amat berharap ada hamba Allah yang sudi membantunya.
Mata mengerling sekilas ke arah
jam dipergelangan tangan. Hampir setengah jam berada di situ. Keadaan masih
tetap sama. Tubuhnya pula dirasakan mula menggigil menahan kesejukan yang
terasa hingga ke tulang. Tangan sudah memeluk tubuh serapat-rapatnya.
“Ya Allah.. bantulah aku ya
Allah..” ucapnya perlahan dengan airmata yang mula menuruni pipi. Dan saat itu
jugalah berhenti sebuah kereta di hadapannya. Cuba mengenalpasti hamba Allah
yang ingin membantunya saat itu. Kereta vios warna kelabu seperti dikenali.
Namun otaknya gagal untuk memproses maklumat kerana keadaan tubuh yang sejuk
dan menggigil melebihi segala-galanya.
Keluar seorang gadis bertudung bersama
sekaki payung dari kereta.
“Kak, cepat masuk.” Nana segera
mendapatkan Ada dan menarik tangan gadis itu agar sama-sama di bawah satu
payung.
Tanpa berfikir panjang lagi Ada
hanya menurut. Airmata yang menuruni pipi semakin mencurah-curah keluar saat
itu apabila doanya diperkenankan oleh Allah.
11 comments:
Ler.. Apa la azam ni!!!!
Ngaji pandai2 keje bgs2.. Akai xguna. Iskh3x
~mizz acu~
geramnya dengan Tuan Azam yang berlagak tu....
Nasib baik Nana dan Uncle Zakwan ada untuk membantu....
lepas ni cari lah bibik yang pandai masak dan pandai melayan perangai yang macam orang tak cukup tu.....
jengjengjeng...... macamana Tuan Azam nak pujuk Ada ya????.... asyik orang lain ja nak jaga hati Azam ... bestttt
best... geram lak dengan azam ni...
ada buat tak tau je dengan azam.. biar dia sakit hati...
tak sabar lak nak tengok macam mana azam pujuk ada kembali....
nak lagi
siap kelas sains rumahtangga,part pi pasar....
Padan ngan muka azam...kan dah kena ngan cik ada kita, kena plak boikot ngan bapa dan adik die...ahaha
Xsabo tunggu part pujuk memujuk versi azam plak...best!!! Dewi
wah ada..siap mimpi lg
tau je ada fakta tu ya..
kihkihkih
abg azam..temnpe sayur ka?
hampeh kedaung azam tempe ni
denga~dengan
culieflower/caulieflower~cauliflower
brocolli~broccoli
Giler sungguh coz tggl anak dara org tepi jln dlm ujan...Sengal....Mmg nak kena cepuk sungguh!!!
sian ada.. kureng tuan azam.. X selamat la die.. Haish..
Mastura marof
azzam nie pnting diri la ksian ada sorg2 kt bus stop da la hujan lbat kot..eeeee...geram btul
azzam nie pnting diri la ksian ada sorg2 kt bus stop da la hujan lbat kot..eeeee...geram btul
Azzam ni jenis hati kayu....tak tau nak romantik....lepas ni mesti merayu2 dgn Ada sbb dah rindu masakan Ada...
Mcmana la Azzam ni nak mengayat si Ada tu nanti....
Post a Comment