Awra hanya mendiamkan diri.
Matanya ralit memandang ke luar tingkap yang gelap gelita. Hanya sesekali
disinari lampu jalan.
“Awra, okay ke tak ni?” tanya
Athirah pula yang menoleh ke belakang mencari wajah adik iparnya itu.
“Fir takda apalah kak…” balas
Awra lambat. Tiada hati untuk bercakap dengan pasangan di hadapannya itu.
“Iyalah takda apa-apa.. bijak
sangat kau menipu dik..” sahut Firdaus pula. Dia lebih memahami perangai
adiknya itu.
“Takda apalah…” jawab Awra malas.
“Kau ni mesti pasal si Faiq tadi
kan…” serkap Firdaus yang sesekali mengerling cermin pandang belakang.
“Kau tak payahlah sebut nama dia
bang… Buat sakit hati aku ajalah. Dialah lelaki paling gila yang aku jumpa
lepas kau bang… Dahlah muka bajet hensem. Padahal tak hensem pun. Berlagak!
Suka hati nak kutuk-kutuk aku punya handphone.
Aku tahulah dia kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk-kutuk aku kan. Kau tengok
bang apa yang jadi dengan handphone
aku ni?” jawab Awra sambil menunjukkan telefon bimbitnya yang sudah tidak
serupa telefon. Habis terburai semuanya. Hanya baterinya sahaja yang tiada.
Semua gara-gara Faiq Faisal.
Firdaus sudah menahan tawa
melihat komponen telefon bimbit yang bercerai itu.
“Lepas tu ikut kepala dia aja nak
buang bateri aku. Macamlah aku beli telefon ni dengan duit dia! Entah apa yang
dia sakit pun aku tak tahulah!” hambur Awra lagi dengan rengusan kasar. Sakit benar
hatinya dengan lelaki yang baru dikenali itu.
“Alah.. memang patutlah pun dia
kutuk handphone kau tu. Sekarang aku rasa dekat kedai dah takda jual lagi
handphone kau tu. Nak repair pun dah
tak boleh agaknya. Nak jual pun aku rasa dah takda nilai dik. Boleh buang dah.
Orang sekarang semua pakai yang touch
screen punya. Kau punya dah ketinggalan zaman sangat dik oi…” balas Firdaus
diiringi tawa. Sengaja dia mengusik. Dia tahu adiknya itu bukanlah seorang yang
pemboros. Malah, segala barang-barang yang digunakan oleh gadis itu, semua akan
tahan lama.Termasuklah gajet yang baru sahaja rosak itu. Hampir enam tahun
digunakan.
“Kau pun sama ajalah dengan dia
bang. Tak payahlah nak kutuk-kutuk aku. Kau ingat aku suka-suka aja nak jadi
ketinggalan zaman ke? Aku pun tahulah semua orang dah pakai handphone canggih-manggih sekarang. Aku
aja yang tak tukar-tukar handphone
buruk aku tu kan.” Bidas Awra geram.
“Lainlah kau bang. Kau tu ada
kerja, ada gaji.. aku? Aku ada apa? Kalau aku bergaji macam kau, tak payah
cakaplah. Memang aku dah tukar lama.. tak payahlah kena kutuk dengan kau
selalu..” jawab Awra yang mula bergenang airmata. Nada suaranya juga sudah
berubah. Sedikit terasa dengan sindiran abangnya walaupun ianya hanyalah usikan.
“Abang… dah la tu…” celah Athirah
yang perasan perubahan dalam nada suara adik iparnya yang seorang itu. Dia
kasihan dengan Awra yang masih tidak bekerja walaupun punya kelulusan. Dia tahu
hati gadis itu cukup sensitif jika menyentuh soal kerja dan perkara-perkara
yang berkaitan. Bukan dia tidak pernah membantu adiknya itu untuk mendapatkan
tempat, namun gadis itu yang memilih untuk berdikari sendiri. Katanya jika dia
mendapat tempat dalam pasaran kerja hanya semata-mata pertalian darah yang
dimiliki, kebersihan pendapatan tidaklah sebaik mana. Sebab bukan atas
keupayaan dan kelayakan yang dimiliki. Hanya bergantung kepada kelebihan orang
yang membantu.
“Betullah apa abang cakap… dah
memang telefon tu patut ditukar.” Jawab Firdaus yang masih tidak perasan akan
perubahan pada wajah adiknya. “Dik, kau cepat-cepatlah cari kerja.. boleh tukar
handphone canggih sikit..” lanjut Firdaus yang sudah ketawa kecil.
Awra tidak membalas. Hanya
mendiamkan diri.
Athirah yang duduk di sisi pula
sudah berasa tidak sedap hati. Suaminya itu memang suka mengusik adiknya tidak
kira masa.
“Abang.. sudah la tu…” tegur
Athirah perlahan. Firdaus pun terus berhenti ketawa dan memandang cermin
pandang belakang.
“Dik, takkan touching kot… kau macamlah tak biasa dengan aku kan…” kata Firdaus
yang baru perasan wajah adiknya yang keruh benar. “Nanti kau pakailah handphone lama aku dulu. Sementara cari
handphone baru.” Lanjutnya lagi untuk memujuk. Lupa pula yang adiknya itu agak
sensitif jika bercakap soal kerja.
“Tak payahlah. Biar aku tak payah
pakai handphone. Bukan ada orang yang nak call aku pun..” balas Awra seperti
berjauh hati.
“He’eleh.. merajuk pulak..” giat
Firdaus lagi.
Awra mendiamkan diri lagi. Tidak
menjawab kata-kata abangnya. Hanya jarinya sahaja sudah naik ke wajah untuk menyeka
air jernih yang bertakung di hujung mata.
Firdaus pun terus mendiamkan
diri. Tahu usikannya tadi membuatkan Awra muram begitu.
“Erm.. Awra pun boleh pakai
handphone akak kalau Awra tak nak pakai handphone abang. Akak pun tak pakai
sangat yang lagi satu tu.” Celah Athirah pula setelah kedua beradik itu senyap.
Dia mahu menceriakan suasana semula.
“Takpalah kak. Handphone Fir ni
boleh pakai lagi. Nanti Fir cari bateri lain.” Jawab Awra perlahan. Sungguh dia
berjauh hati dengan apa yang sudah berlaku. “Kak, boleh pinjam handphone
kejap.. Fir nak call ayah.” Lanjut Awra yang terasa ingin pulang ke kampung.
Tidak mahu lagi duduk di rumah abangnya itu.
“Takkan merajuk sampai nak balik
kampung kot dik.. Aku main-main ajalah..” ujar Firdaus yang mula tidak senang
hati. Pada masa yang sama dia perasan jelingan tajam isterinya di sisi.
“Er..Awra dah nak balik ke?
Tunggulah seminggu lagi.. nanti kita orang hantar balik..” sahut Athirah pula
sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Awra.
“Takpalah kak. Awra nak balik
esok. Nak suruh ayah ambik dekat komuter aja.” Tolak Awra. Entah kenapa dia
tiada hati lagi untuk duduk bersama dengan pasangan itu. Dia masih lagi terasa
dengan apa yang diucapkan oleh abangnya tadi. Entah kenapa dia rasakan tiada
siapa pun yang memahami dirinya saat itu melainkan yang Maha Esa serta kedua
ibubapanya.
“Ala… kau kenapa sentap sangat
malam ni dik? Relax la. Handphone tu
nanti aku belikanlah baru. Kau dah boleh buang yang tu..” sahut Firdaus yang
masih tenang dalam pemanduan.
“Tak payahlah. Aku ni mana ada
duit nak bayar.. Nanti aku boleh pakai handphone lama ayah.” Jawab Awra yang
masih di dalam moodnya tadi.
Sebentar kemudian Awra sudah
bercakap dengan Mejar Abdul Shukor dan pasangan di hadapannya itu terus
mendiamkan diri. Dia memang lebih rapat dengan ayahnya berbanding adik-beradik
yang lain.
“Kau boleh ke balik sendiri
esok?” tanya Firdaus selepas adiknya itu berbual dengan ayahnya.
“Boleh.” Jawab Awra perlahan
seraya menyerahkan semula telefon bimbit kepada Athirah. Dan kemudian
masing-masing terus mendiamkan diri.
*************
“Bro, kau tadi apa hal dengan
budak comel tu?” soal Amir saat melangkah masuk ke dalam kereta Inspira merah
milik Faiq.
“Budak comel mana pulak?” soal
Faiq kembali sambil menghidupkan enjin kereta. Rasanya tiada lagi budak comel
yang ditemui melainkan si gadis garang yang menjatuhkan iphonenya minggu lepas.
“Yang duduk belakang kita tadi
la.. yang mulut dia bukan main lancang lagi kutuk pasukan kita tu..” sampuk
Naqib pula yang duduk di belakang.
“Oh..” balas Faiq pendek sebelum
mengundurkan kereta untuk keluar dari tempat parkir. Dia perasan wajah gadis
yang diusik tadi masam mencuka ketika melangkah ke tempat letak kereta.
“Ni bateri handphone baru kau ke
bro?” soal Amir seraya mencapai bateri telefon bimbit yang baru diletak di atas
dashboard kereta.
“Taklah. Tu bateri awak comel
yang kau kata tu la..” jawab Faiq dengan senyuman penuh makna di bibir apabila
teringat peristiwa yang baru berlaku tadi.
“Kau jangan cakap dengan kita
orang yang dia mengamuk tadi sebab kau ambik bateri dia ni..” tebak Naqib yang
mula mengesyaki sesuatu telah berlaku pada sahabatnya itu. Jika tidak, lelaki
itu sukar untuk mendekati mana-mana gadis pun selepas pengalaman lalu.
Saat itu jugalah tawa Faiq
terhambur. Tepat tekaan teman serumahnya itu.
“Kau biar betul bro?” tanya Amir
pula seperti tidak mempercayai tindakan berani sahabatnya itu.
“Dah dia yang buat hal dulu.. aku
balas la balik.” Jawab Faiq dalam sisa tawanya.
“Takkanlah sebab dia kutuk
pasukan kita tadi kau sampai nak ambik bateri budak tu. Bukannya kau boleh
pakai pun bateri ni.” Balas Amir.
“Tu satu hal jugak. Siapa suruh
mulut dia tak pakai insurans kan. Ikut suka mulut dia aja nak bercakap. Geram
betul aku.” Jawab Faiq yang sudah mematikan senyumnya. “Tapi tu bukanlah sebab
utama. Sebab utamanya dia memang ada hutang dengan aku.” Jelas Faiq dengan mata
masih terbayang-bayang wajah tegang gadis comel tadi. Awra… hanya sebaris nama
itu sahaja yang diketahui dari mulut kakak ipar gadis itu minggu lalu.
“Hutang? Kau memang dah kenal
dengan dia ke?” tanya Naqib selanjutnya yang mula berminat mengetahui apa
sebenarnya yang berlaku. Dilihat dari perwatakan gadis itu tadi, dia yakin
sahabatnya itu sudah bertemu dengan ruasnya. Tidak pernah ada mana-mana gadis
yang berani bertekak dengan sahabatnya itu selain gadis yang hanya cuba
mengambil kesempatan di atas kesenangan dan kedudukan Faiq kini.
“Kau ingat tak yang aku cerita
pasal iphone aku jatuh minggu lepas?” ujar Faiq yang tetap fokus dalam
pemanduan. Amir yang duduk di sisinya itu pula hanya diam dan mendengar.
“Kenapa? Dia yang langgar?” tanya
Naqib.
“Dialah..” jawab Faiq pendek.
“Habis tu? Apsal kau tak mintak
aja ganti rugi. Ni yang kau ambik bateri dia buat apa..” celah Amir yang tidak
faham dengan tindakan sahabatnya yang seorang itu.
“Aku ambik sebab handphone dia terhempas masa aku sergah
depan toilet tadi..” jawab Faiq yang
sudah tersengih sendiri. Lucu apabila mengingati kembali apa yang pernah
berlaku di restorennya minggu lalu. Mudah benar gadis itu terkejut walaupun
hanya sekadar bisikan. “Kelakar gila aku tengok muka dia tadi. Aku rasa kalau
kau tengok model bateri tu pun korang tahu kan model apa. Habis terburai
handphone dia tadi aku tengok.” Sambung Faiq yang sudah ketawa.
“Macam budak-budaklah kau ni..
Kesian dia weh. Tadi aku tengok muka dia bukan main ketat lagi. Pandang kau pun
macam dia nak telan hidup-hidup.” Sahut Naqib yang sudah ketawa kecil mendengar
cerita sahabatnya itu.
“Entah kau ni.. budak perempuan
la pun.. ada pulak kau sergah. Kan kau boleh aja mintak dengan dia baik-baik
ganti rugi. Tak payah main sergah-sergah..” celah Amir pula yang turut sama
ketawa. Namun, tetap simpati dengan gadis comel yang diperlakukan oleh
sahabatnya itu. “Atau.. melainkan kau ada agenda lain ke bro..” lanjut Amir
dengan senyuman penuh makna sambil melirik ke wajah sahabatnya di sisi.
Naqib pula sudah menepuk bahu
kiri Faiq yang masih tersenyum-senyum sendiri. Tindakan sahabatnya itu memang
sukar dijangka.
“Bro, make sure jangan terlepas kali ni..” pesan Naqib penuh makna tersirat.
Faiq hanya tersenyum. Masih
terlalu awal untuk dia menjangkakan sesuatu yang baik menantinya. Apa pun,
gadis bernama Awra itu memang benar berjaya mencuit hatinya walaupun gadis itu
sekeras batu. Hanya cubaan sahaja yang mampu dilakukan tambahan pula keupayaan
gadis itu merasa setiap masakan memang menarik perhatiannya dari cerita Firdaus
dan Athirah. Rasa simpati tiba-tiba muncul di celah hati saat melihat roti
canai yang dipesan gadis itu belum sempat dimakan. Semua kerana kehadirannya di
meja itu tadi.
*************
Seawal jam 7.30 pagi lagi Awra
sudah keluar dari rumah semata-mata ingin cepat sampai ke kampung. Dia tidak
mahu lagi berlamaan di rumah abangnya walaupun kakak iparnya puas memujuk. Dan
kini dia sedia menanti ketibaan komuter. Berulangkali dia menoleh ke arah jam.
Sudah lewat lima belas minit dari waktu yang sepatutnya komuter itu tiba. Kiri
kanannya sudah dipenuhi dengan penumpang lain yang mungkin sama-sama sibuk
ingin ke tempat kerja masing-masing memandangkan waktu baru 8.30 pagi. Masih
ada lagi masa untuk masuk ke pejabat jam 9 pagi.
Baru sahaja dia menoleh ke arah
jam sekali lagi, dari jauh dia sudah nampak kelibat komuter yang dinanti dan
cepat dia bingkas berdiri kerana tidak mahu ketinggalan memandangkan perhentian
itu agak sesak pada waktu begitu.
Sempat dia mengucap syukur
apabila pintu salah satu gerabak kamuter berhenti betul-betul di hadapannya dan
juga merupakan salah satu gerabak yang disediakan khas buat penumpang wanita.
Kaki terus sahaja melangkah masuk memandangkan tiada penumpang yang keluar dari
gerabak berlabel merah jambu itu. Disebabkan agak ramai penumpang wanita, dia
cepat mencari tempat duduk kosong oleh kerana perjalanannya perlu melalui lebih
dari tujuh perhentian.
Tanpa menunggu lama dia terus
mempercepatkan langkah apabila terlihat tempat duduk kosong yang paling hujung.
Sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di tempat duduk sebelah tingkap, ada seorang
lagi yang turut duduk di sisinya. Membulat matanya apabila pandangannya singgah
ke wajah yang dikenali duduk di sisi tanpa rasa bersalahnya. Dia sudah
mengerutkan dahi sebelum merengus kasar.
‘Sah buta dia ni. Tak nampak ke
ni coach wanita.’ Pagi-pagi lagi hatinya dah mengumpat. Tidak pula dia perasan
kewujudan lelaki itu ketika melangkah masuk tadi. Dia tidak lagi menoleh ke
sisi sebaliknya hanya membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya yang tenang
tadi kini seperti berombak. Geram dengan tindakan lelaki itu malam tadi. Dan
kini dilihat lelaki itu seperti tidak mengenali dirinya. Hanya beriak selamba.
Ringan sahaja mulutnya saat itu untuk memarahi Faiq akan tindakan membuang
bateri telefon bimbitnya semalam. Tapi keadaan komuter yang agak ramai dengan
penumpang, membataskan segalanya. Lelaki itu beriak selamba dan sedikit pun
tidak menghiraukan kehadirannya di sisi.
Kini dia pula yang sibuk
mengerling ke wajah lelaki yang segak dalam persalinan pejabat itu. Memang
kebanyakan penumpang ketika itu antaranya pekerja-pekerja pejabat jika dilihat
dari cara pemakaiannya. Kemudian dia membaranikan diri pula untuk menoleh ke
arah penumpang-penumpang lain yang turut sama masuk ke gerabak yang dinaiki
itu. Rupanya ada lagi tiga hingga empat orang lelaki yang menaiki gerabak yang
sama. Termasuklah yang duduk tanpa rasa bersalah di sisinya itu.
“Are you okay?” tegur lelaki yang duduk di sisinya itu tanpa
memandang ke wajah. Lelaki itu sejak tadi sibuk dengan iphone di tangan.
Awra mengerutkan dahi. ‘Boleh
pulak dia tanya aku okay ke tak..’ desisnya geram dalam hati.
“Awak memang takda rasa bersalah langsung
pasal semalam kan. Dah lah naik coach wanita. Lepas tu tanya okay ke tak..”
jawab Awra sinis yang sudah berpeluk tubuh dengan suara yang tertahan. Risau
pula mereka menjadi tumpuan walaupun sejak tadi tempat yang dia duduk sudah
menjadi tumpuan penumpang lain. Penampilan lelaki di sisinya itu memang memikat
pandangan mata yang memandang.
“Sorry..?” giliran lelaki itu pula mengerutkan dahi tanda tidak
faham.
“Dah buat salah, boleh pulak awak
buat-buat tak tahu kan. Mesti kepala awak ni dah terhantuk dekat kedai makan
semalam. Tu yang sampai tak boleh ingat apa yang dah jadi. Dah buat salah tak
nak mengaku pulak.” Awra terusan menyindir. Rasa marah dengan hal semalam
memang tidak hilang sebaik sahaja melihat wajah tenang itu.
“Sorry cik. Saya memang tak faham langsung apa yang awak cakap. Bila
masa saya pergi kedai makan? Awak salah orang kot..” balas lelaki itu yang
sudah memang ke wajah Awra dengan penuh tanda tanya. Gadis comel yang merah
padam di sisinya itu menarik perhatiannya. Tadi dia tidak perasan langsung
wajah comel itu.
“Salah orang? Awak ingat saya
buta ke? Awak tu yang patut bukak mata awak luas-luas pandang muka saya ni. Takkan
awak langsung tak ingat rupa perempuan yang awak kutuk malam tadi?
Mentang-mentanglah orang kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk handphone orang.”
Marah Awra dalam nada yang sama. Dan saat itulah mereka sudah tiba di
perhentian yang pertama selepas
perhentian tadi.
Faisal semakin tidak faham apa
yang dibebelkan oleh gadis comel itu. Disebabkan destinasinya sudah tiba, dia
pantas mengeluarkan sekeping kad nama dari dalam beg duitnya untuk diserahkan
kepada gadis itu.
“Cik, saya rasa awak dah salah
faham. Erm, sorry saya tak dapat nak
berbual panjang dengan awak. Awak ambik kad saya ni, kalau awak nak sambung
marah ke, awak call aja saya okay.
Assalamualaikum.” Ucap lelaki itu cepat sebelum bingkas berdiri dan berlalu ke
arah pintu keluar.
Awra yang masih terpinga-pinga
dengan lelaki itu, terus sahaja menyambut kad kecil itu tanpa banyak soal. Sempat matanya menangkap wajah lelaki yang tersenyum manis itu sedang melambaikan
tangan kepadanya di luar komuter. Dia kertap bibir geram. Panas benar hatinya
kerana tidak sempat untuk meminta ganti rugi telefonnya yang rosak teruk
semalam.
Kad nama yang masih berada di
tangan terus digengam kuat hingga menjadi bulat sebelum dicampak ke dalam beg
sandang yang dibawa tadi. Geram benar hatinya saat itu.
10 comments:
Erks.. Mmg hantu la faiq faisal nih! Sian awra.. Yg abg dia pon.. Haishhh mcm nak tampo2 je mulut tuu
kesian awra,mamat batu tu lempang laju2 je...hahha
mbawa ati yg lara da awra nie blik kg..yg dlm coach 2 mmg faiq kn ke de kmbar nie??ke faiq nie sje wt x knl kt awra
tq sbb sudi jugak bce cter bru ni.
chekni> tq chekni sbb btnye. kembar. :)
Kembar faiq kew......?
best....
hai mana satu yang akan jadi pasangan awra...
tak sabar nak tunggu..
... -:) ...
cian awra..
kena lekeh dek abang nye..
faiq faiq..
nak kena ni
Sdh tentu Faiq Faisal... Klu kembar sekali pun tetap nk Faiz Faisal sorg. Hahaha... ;D
Terbaik la ceta ni. Sila la sambung lg cik writer... tq. ;D
Post a Comment