Apr 6, 2012

Kau! yang Menghantui Aku!_bab 2 edited



“Dik, bukan malam tadi kau kata tak nak ikut ke?” sapa Firdaus yang berdiri di muka pintu melihat Awra sudah bersiap lebih awal daripadanya.


“Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.” Balas Awra selamba yang sedia menanti di meja batu hadapan rumah. Dia ringkas mengenakan seluar jeans hitam dipadankan dengan blouse labuh warna hijau. Tudung dililit kemas di kepala dan dilabuhkan hingga menutupi bahagian dada.

Setiap kali keluar rumah, pasti dia akan teringat kata-kata ayahnya. Katanya, “kalau nak pakai tudung, pakai biar yang mendapat kelulusan Islam. Bukan ‘janji’ pakai. Kalau dah ‘janji’ pakai, baik tak usah dipakai terus. Saham dosa tetap sama. Lagi-lagi yang belum berkahwin. Suka sangat nak seksa mak ayah tanggung dosa kering tu.” Itulah kata-kata yang dipegang hingga ke hari ini. Tidak mahu segala apa yang dilakukan akan membebani ibu dan ayahnya di akhirat kelak.

“Eleh… Kalau pasal makan, kaulah nombor satu dik…” balas Firdaus yang menyarung kasut dan berlalu ke kereta untuk menghidupkan enjin.

“Haruslah!” balas Awra dengan menayangkan barisan gigi yang tersusun cantik.

“Awra, hari ni ikut kita orang balik Cheras nak tak?” sapa Athirah yang baru sahaja turun dari tangga rumah untuk menyarung kasut. Hampir setahun menjadi isteri Firdaus, dia lebih rapat dengan Awra berbanding pasangan kembar yang bongsu.

Dia dan Firdaus masih lagi belum dikurniakan zuriat kerana Firdaus yang selalu sibuk dengan kerja tidak bersedia untuk menimbang cahaya mata dalam tempoh setahun itu. Risau anak mereka nanti akan terabai kerana keduanya sibuk dengan tugasan masing-masing. Tambahan pula Firdaus sering bekerja di luar kawasan.

“Buat apa kak? Malaslah… Nanti abang tu complaint kalau Fir makan banyak… sewa tak bayarlah… Asyik tidur ajalah… bukan akak tak tahu abang tu…” jawab Awra yang sama-sama menyaingi Athira melangkah ke kereta Honda City abangnya.

“Ala… biar ajalah dia… Mulut dia kan memang macam tu. Akak tak suruh pun Awra bayar sewa ke… apa ke… Kalau malam, abang Awra tu sibuk pergi tengok bola dekat kedai mamak. Kalau ikut dia, lagi bosan. Kalau outstation, terkontang-kanting akak sorang-sorang dekat rumah tu…” Pujuk Athirah sebelum masuk ke dalam kereta.

“Tengoklah macam mana. Nanti Fir tanya ayah dulu.” jawab Awra yang lebih selesa membahasakan dirinya dengan nama itu walaupun ahli keluarga lain menggunakan panggilan Awra.

“Tanya ayah nak buat apa?” celah Firdaus apabila mendengar kata-kata adiknya.

“Ati ajak Awra duduk rumah kita seminggu dua. Takpa kan bang…” sahut Athirah yang mengambil tempat di sisi Firdaus.

“Oh,… duduk ajalah kalau tak malu.” Balas Firdaus dengan senyuman mengusik.

“Kedekut betul abang ni kan… Mentang-mentanglah adik takda duit nak bayar sewa.” Jawab Awra dengan suara yang sengaja dilirihkan.

“Eleh… buat ayat kesian pulak… Kau macam tak biasa aja duduk rumah aku free kan…” ejek Firdaus yang mula memandu dan meninggalkan halaman rumah.

“Awra, jangan dengar cakap abang Awra ni. Akak yang ajak Awra… Kalau Abang Daus mintak Awra bayar sewa, biar akak yang bayar.” Athirah lebih menyokong Awra berbanding suaminya sendiri. Dia tahu Firdaus memang gemar menyakat gadis itu.

“Wah! Siap kau dah ada penyokong lagi sekarang dik.” Giat Firdaus lagi yang tetap tenang dalam pemanduan.

“Padan muka kau bang… takda siapa nak sokong kau.” Ejek Awra diiringi ketawa.

Athirah juga sudah turut sama ketawa apabila Firdaus menghadiahkan jelingan manja kepadanya.

…………..

“Bang, ni kedai baru ke? Tak pernah tahu pun ada kedai dekat sini.” Kata Awra sebaik mereka tiba di tempat letak kereta sebuah restoren yang agak unik.

Restoren itu seperti di tepi hutan. Sejuk mata memandang apabila melihat pokok-pokok hiasan yang ditanam di sekeliling restoren. Kerusi meja yang digunakan pula semua daripada kayu. Cantik berukiran semuanya. Kagum melihat dekorasi restoren tersebut.

‘Pencinta alam owner kedai ni…’ desisnya dalam hati.

“Baru tak baru sangatlah. Dalam dua tahun tak silap. Kau mana nak tau dik ada kedai ke tidak. Kau kan suka duduk terperap dalam rumah sampai tak keluar-keluar. Macam katak bawah khemah aku rasa kau ni.” Jawab Firdaus yang sama-sama melangkah masuk ke restoren. Sempat lagi mengenakan adiknya.

Awra pula sudah menjuihkan bibir.

Ada sebuah jambatan yang dibina di atas sebuah kolam menghala ke pintu masuk restoren. Jambatan itu juga menjadi laluan utama bagi setiap pelanggan yang masuk dan keluar. Terhenti Awra sebentar di atas jambatan selebar hampir tiga kaki itu untuk melihat ikan koi yang bebas berenang. Di hujung kolam pula turut ada air terjun buatan. Elemen air yang ada akan menambahkan lagi ketenangan kepada sesiapa sahaja ketika menikmati makanan di situ. Awra tersenyum lebar.

“Oi! Sempat lagi berangan ke…” tegur Firdaus menyebabkan senyuman di bibir terus mati.

“Kacau betul kau ni bang…” gumamnya sendiri.

Athirah yang mendahuluinya tadi terus menarik tangannya agar turun daripada jambatan itu.

Mereka memilih tempat duduk yang paling tepi. Disebabkan kedai tersebut hanya dibuka pada pukul 5 petang, suasana agak sunyi. Hanya bunyi deru air terjun buatan yang memenuhi ruang. Sesekali bunyi unggas kecil yang berterbangan di pokok-pokok hiasan. Berselang-seli pula dengan bunyi pekerja-pekerja restoren yang bercakap sambil melakukan kerja masing-masing. Konsep dapur yang dibuat secara terbuka menambah kelainan. Kedudukan restoren juga yang agak jauh dari jalan raya dan bandar utama membuatkan suasana begitu tenang dari kesibukan.

“Assalamualaikum…” sapa seorang gadis datang menghampiri mereka.

“Waalaikumussalam…” jawab mereka hampir serentak. Mata terhala kepada pemberi salam.

“Ni Encik Firdaus yang call pagi tadi kan?” soal gadis itu sopan.

“Ya… saya… Erm... saya yang buat temujanji dengan Encik Zaki and wife dia minggu lepas.” Jawab Firdaus mesra.

“Oh okay… Tapi Puan Dalila dengan Encik Zaki takda hari ni. Encik Faiq yang akan jumpa dengan Encik Firdaus hari ni.” Terang si gadis yang rambut berikat satu itu.

“Oh iya ke… Okay… Mana dia?” tanya Firdaus pula.

“Dia ada. Tapi, bolehkan kalau Encik Firdaus tunggu sekejap. Dia dah dekat sampai. Terlambat sikit dia hari ni. Erm… Sementara dia sampai, kami boleh sediakan dulu menu makanan yang Encik Firdaus pesan hari tu.” Jawab gadis itu lembut.

Firdaus hanya menganggukkan kepala. Tidak keberatan untuk menunggu kerana senang dengan suasana restoren tersebut. Dia sendiri sengaja tiba sedikit awal.

“Ni ada menu-menu lain yang boleh Encik Firdaus tengok dulu. Kalau ada yang Encik Firdaus nak tambah, boleh panggil saya nanti.” Sambung gadis itu lagi sambil menyerahkan tiga buku menu.

“Okay… Terima kasih…” balas Firdaus seraya menyambut huluran buku menu.

Service tip top ni bang…” puji Awra selepas gadis yang lebih muda darinya itu pergi dari meja mereka.

But… Time management, failed!” tambah Awra sambil menurunkan ibu jari kanannya ke bawah.

“Jangan macam-macamlah kau dik. Nah tengok menu ni. Kalau ada apa-apa nak makan, order aja.” Kata Firdaus sambil menyerahkan sebuah lagi buku menu kepada isterinya.

“Eh, kan dia orang bukak pukul 5. Boleh ke order sekarang?” soal Awra yang agak keliru dengan kata-kata abangnya.

“Kan awek tadi kata boleh order.” Jawab Firdaus sambil melihat pakej katering yang disediakan.

“Okay…” jawab Awra sambil matanya tercari-cari menu yang agak berlainan.

“Masak asam tempoyak ikan patin jadi main menu dekat sini?” kata Awra selepas matanya singgah pada satu gambar makanan yang agak besar daripada yang lain.

“Yalah… kenapa? Tak boleh ke?” soal Firdaus. Tahu benar perangai adiknya yang seorang itu. Tidak sah jika tiada komen dari bibir itu.

“Macamlah takda makanan lain… Mesti owner retoren ni orang Pahang…” komen Awra lagi yang agak tidak setuju dengan menu tersebut.

“Eleh kau ni… Biarlah kalau dia orang nak letak ayam goreng kunyit jadi main menu pun… kau ni kecoh betullah… Dia orang punya restoren, dia orang punya sukalah… cakap ajalah yang kau tak makan ikan patin tu dik. Sibuk nak complaint makanan orang… Sedar sikit kau tu pun ada darah Pahang okay…” ejek Firdaus. Hanya Awra sahaja yang tidak makan ikan air tawar di antara ahli keluarganya. Jika ikan patin menjadi menu di rumah, gadis itu lebih sanggup makan nasi berlaukkan telur goreng bersama kicap.

Athirah hanya menggelengkan kepala dengan perangai dua insan di sisinya itu. Ada sahaja yang akan menjadi topik hangat mereka berdua.

“Alah… bukannya sedap pun ikan patin tu.” Bidas Awra geram yang sudah memuncung.

“Kau tu aja yang pelik. Orang yang nak makan ikan tu, sanggup bayar mahal-mahal tau.” Balas Firdaus lagi.

“Sudah la tu abang… Awra… Malu orang tengok. Ada ke…pasal ikan patin pun nak bertekak…” Tegur Athirah kepada keduanya apabila perasan ada seorang lelaki menapak masuk ke dalam restoren. Tidak jauh melewati tempat mereka duduk.

Pada ketika itu mata Awra terpandang ke arah yang sama. Turut sedar ada seorang lelaki yang baru menapak masuk ke dalam restoren kelihatan agak kelam-kabut dan terus ke ruang dapur tanpa menoleh ke arah mereka yang duduk di situ.

Awra tersenyum sendiri apabila melihat kelibat lelaki yang terus hilang ke dalam dapur itu tadi. Beberapa minit kemudian, lelaki itu keluar semula dan menghampiri mereka.

“Assalamualaikum. Selamat datang Encik Firdaus..” kata lelaki seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Firdaus.

Athirah hanya membalas dengan senyuman apabila lelaki itu tersenyum kepadanya. Awra pula merenung tanpa berkelip seraut wajah yang sudah duduk di hadapan mereka. Tiba-tiba dia tersedar apabila sikunya ditolak Firdaus dan cepat-cepat dia melarikan matanya kembali pada buku menu yang dipegang tadi.

“Macam pernah tengok aja mamat ni…” Awra berkata perlahan sehingga tidak sedar kata-katanya itu masih dapat didengari oleh Faiq Faisal.

Sorry… you ada cakap apa-apa ke?” tegur Faiq sambil memandang ke wajah Awra. Mata Firdaus dan Athirah juga turut sama memandang ke wajah Awra.

“Dik, kau ada nak tambah apa-apa ke?” tanya Firdaus pula apabila melihat Awra yang sedikit kalut.

“Err… takda apa..takda apa…” jawab Awra tergagap-gagap. Dia perasan lelaki di hadapannya itu sembunyi senyum.

‘Cis! Nak gelakkan akulah tu!’ kutuknya dalam hati. Kini baru dia teringat di mana lelaki itu dilihatnya. ‘Mamat poyo a.k.a mamat cute’. Seperti yang dikatakan oleh Norain malam tadi.

Tidak dinafikan lelaki di hadapannya kini mempunyai raut wajah yang agak menarik. Wajahnya bersih dari sebarang butir jerawat. Badannya pula jauh berbeza dari tubuhnya. Lelaki itu cukup tegap dengan dada yang bidang. Cuma penampilannya hari ini yang agak berbeza berbanding semalam membuatkan lelaki itu lebih menarik untuk dipandang. Awra hanya mendengar perbualan antara abangnya dan lelaki yang bernama Faisal seperti disebut oleh gadis tadi. Sedikit pun dia tidak mencelah kerana apa yang dibualkan sedikit pun tidak singgah di kepalanya. Dari tadi dia sibuk memikirkan siapa lelaki di hadapannya itu kini.

“Okay… kalau macam tu, saya suruh budak-budak saya sediakan menu yang sebelum ini Encik Firdaus pesan.” Kata lelaki itu seraya bangun menyebabkan mata Awra sama-sama memandang ke arah Faiq. Bunyi kerusi yang ditarik oleh Faiq menyedarkannya dari mengelamun jauh walaupun mata setia pada senarai menu. Awra telan liur saat matanya berlaga dengan mata lelaki itu. Cepat-cepat dia melarikan pandangan.

“Dik, kau kenapa? Buat malu ajalah…” tegur Firdaus yang perasan adiknya itu beriaksi pelik sejak pemilik restoren itu tiba tadi.

“Kenapa apa...? Adik takda apa pun.” Balas Awra penghabis selamba tidak mahu abangnya dapat mengesan riak gelabahnya kerana melihat lelaki tadi.

“Awra, takkan dah berkenan kot dengan owner restoren tu…” usik Athirah pula yang turut sama perasan dengan perubahan Awra.

“Hish! Akak ni. Ada pulak… takda maknanya…” sangkal Awra cepat. Agak mustahil seperti apa yang dikatakan oleh kakak iparnya.

“Habis tu… yang tiba-tiba jadi macam orang bisu kenapa? Tadi bukan main bising lagi komen itu ini. Dah depan owner dia, tak nak pulak komen macam-macam.” Tambah Firdaus pula.

Awra hanya mencebikkan bibirnya. Malas mahu melayan kata-kata abangnya. Akhirnya nanti, dia juga yang terpaksa mengalah.

‘Gila ke apa nak komen tak tentu hala depan owner. Silap haribulan dia terus diharamkan untuk menjejakkan kaki ke situ lagi belum sempat dia merasa satu jenis makanan pun.’ Jawabnya dalam hati. Rugilah dia nanti. Bukan senang-senang nak datang ke situ lagi kalau bukan kerana abangnya.

Tidak sampai lima minit, beberapa orang pekerja restoren datang dengan membawa beberapa jenis makanan seperti yang dipesan. Lelaki yang dikatakan ‘owner’ tadi berdiri di hujung meja paling hampir dengan Awra. Hingga terbau di rongga hidungnya aroma dari tubuh lelaki itu. Bergetar hatinya seketika dengan aroma yang begitu menyenangkan deria baunya.


“Silakan…” kata Faiq mesra kepada tiga orang tetamunya itu selepas makanan siap terhidang.

Awra hanya tersenyum nipis sebelum jemarinya menyentuh sudu untuk mengambil makanan yang sudah tersedia di depan mata. Lagaknya mengalahkan pengkritik makanan. Padahal, sekadar menumpang rasa dari tugas abangnya.

Ada pelbagai lauk yang dihidangkan. Antaranya set nasi beriani dan set nasi tomato beserta beberapa jenis lauk yang bersesuaian dengannya. Ada daging masak kurma, dalca, ayam masak merah, rendang udang, daging dendeng, acar rampai serta menu sampingan seperti acar buah. Set nasi putih pula dipadankan dengan lauk yang lebih kepada ala kampung. Gulai ayam masak lemak cili padi, puyuh goreng berempah, kangkung goreng belacan, ikan tenggiri masak asam pedas dan ulam-ulaman. Air minuman pula ada empat jenis semuanya. Kemudian ada beberapa lagi jenis mi. Naik juling mata melihat makanan yang terhidang. Semuanya berjaya membuka seleranya.

Dari satu lauk ke satu lauk Awra rasa. Semuanya mengundang riak yang berbeza-beza pada setiap makanan yang masuk ke dalam mulutnya. Dia mengukir senyuman tanpa sedar.

Faiq ada menerangkan satu persatu makanan yang terhidang beserta pakej yang telah dipilih oleh Firdaus sebelum ini. Namun, tiada satu pun yang singgah ke telinga Awra kerana dia terlalu asyik merasai setiap jenis makanan yang terhidang. Sehinggalah Firdaus menolak sekali lagi sikunya barulah Awra menegakkan wajah dan memandang ke arah abangnya.

“Dik, aku tanya kau dari tadi. Khusyuk sangat kau makan sampai tak dengar apa abang cakap.” Kata Firdaus.

Awra pula sudah mencari wajah ‘owner’ restoren tadi risau jika terdengar kata-kata abangnya. Malulah dia nanti. Matanya melekat di satu sudut restoren. Dilihat lelaki tadi tersenyum sekilas kepadanya dengan sebuah iPad di tangan. Cepat-cepat dia memandang ke arah lain. Dia menarik nafas lega yang lelaki itu tidak perlu mendengar apa yang diperkatakan oleh Firdaus kepadanya. Namun, wajahnya pula terasa kebas.

“Awra, nasib baik mamat tu duduk jauh sana. Dari tadi dia senyum aja tengok Awra makan tau.” Celah Athirah pula menyebabkan Awra tidak berani lagi memandang ke arah lelaki tadi. Malu!

Confirm dia gelakkan aku sampai guling-guling nanti. Takpun, dia post dekat wall facebook, ‘ada girl yang control sweet makan tak ingat dunia dekat kedai aku!’. Ahh! Malu aku!’. Bebelnya dalam hati. Entah di mana wajahnya harus disorok saat itu.

“Tu yang abang malas nak bawak kau pergi majlis dik. Kalau dah makan, tak pandang kiri kanan. Sedap sangat ke sampai owner tu tanya pendapat kau pun, kau boleh buat tak tahu aja…” tambah Firdaus lagi. Dia tahu perangai Awra yang satu itu. Kalau melibatkan bab makanan, adiknya itulah juara. Terutamanya bila makanan yang dimakan kena dengan tekak gadis itu.

“Alamak… kenapa abang tak siku aku dari tadi… kan dah malu… Tak cun la macam ni… haish!” keluh Awra perlahan.

Tidak syak lagi. Semua makanan yang dihidangkan menepati seleranya. Terutamanya acar rampai. Rasanya sama seperti yang dia makan malam tadi di majlis Hani dan Hafizi. Menepati piawaian tekaknya.

“Padan muka kau. Lain kali makan tu tengok kiri kanan. Bukan makan syok sendiri. Kita datang sini nak rasa makanan dik oi… Makan mana yang patut. Macam mana kau nak jadi pengkritik makanan ni kalau kau makan syok sendiri.” Sengaja Firdaus menyakat adiknya itu.

Athirah sudah ketawa kecil melihat wajah adik iparnya yang merah padam diusik begitu.

“Sudah tu bang… kesian Awra. Biarlah dia nak makan.” Celah Athirah pula.

“Dik, lepas ni nak rasa dessert pulak. Kau jangan nak buat macam tadi. Kalau Faiq tu tanya, kau jangan tak dengar pulak.” Firdaus mengingatkan dalam senyuman nakalnya.

“Yalah..yalah…” balas Awra mengalah. Sekali lagi dia cuba mencari wajah lelaki tadi. Namun kelibatnya sudah tidak ada di sudut tadi.

“Abang, adik nak pergi ladies kejaplah…” ujar Awra seraya bangun. Semua makanan yang terhidang habis dirasa. Terasa sendat perutnya saat itu.

“Kau jangan lama-lama dik.” Sempat Firdaus mengingatkan walaupun Awra sudah menjauhi meja.

Tiba di dalam tandas, sekali lagi Awra kagum melihat dekorasi yang dibuat. Walaupun segalanya diperbuat daripada batu, masih lagi menggunakan elemen kayu. Bingkai cemin besar yang tergantung di dinding berbingkai kayu yang diukir. Halus ukirannya. Awra berdiri tegak di hadapan cermin membetulkan letak duduk tudung kepala yang dipakai. Terbayang pula wajah lelaki tadi di ruang mata membuatkan pipinya merah tiba-tiba. Malu! Entah apa tanggapan lelaki itu kepadanya apabila pertanyaannya tidak dijawab.

Awra melepaskan keluhan halus sebelum dia menapak keluar dari ruang yang berbau harum dari sebarang bau yang tidak menyenangkan.

“Aduh!” Awra terjelepuk ke lantai tiba-tiba.

Sorry… sorry… saya tak perasan awak keluar tadi…” ucap satu suara lelaki seperti dikenali.

Dia menggosok perlahan pinggang yang terasa sengal kerana hentakan yang tiba-tiba. Matanya pula tercari-cari objek yang dilanggarnya tadi. Membulat matanya seketika apabila melihat wajah lelaki tadi sudah sama tinggi dengannya yang terduduk di lantai. Bertaut seketika pandangan mereka sehingga ada suara lain yang menyapa.

“Awra, kenapa ni?” sapa Athirah yang mendapatkan Awra apabila ternampak gadis itu terjelepuk jatuh setelah berlanggar dengan Faiq.

“Maaf… saya tak perasan tadi…” ucap Faiq lagi apabila melihat tetamunya tadi menyeringai kesakitan. Almaklumlah tubuhnya lebih besar berbanding gadis yang terjelepuk jatuh itu.

“Takpa…takpa Faiq… Adik akak ni memang macam ni. Clumsy sikit.” Sahut Athirah yang membantu Awra berdiri semula. Menurut suaminya, Awra seorang yang agak kurang berhati-hati dalam apa jua yang dilakukan. Sama seperti tadi. Dia dan Firdaus perasan, Awra yang melanggar Faiq apabila mereka sama-sama keluar dari tandas yang berhadapan itu. Entah apa yang dipandang oleh Awra sehingga tubuh Faisal yang besar itu, sedikit pun dia tidak perasan.

Masam mencuka wajah Awra apabila melihat wajah lelaki di hadapannya itu tersenyum. Dia menyambar kasar beg tangannya yang dipegang oleh Faiq. Cepat sahaja dia melangkah semula ke meja kerana rasa malunya tidak dapat lagi disorok. Merah padam wajahnya.

‘Gelakkan aku lagi!… Malu berlori-lori aku hari ni!’ bentaknya dalam hati.

“Dik, kau macam mana boleh jatuh?” soal Firdaus sebaik Awra duduk semula di sisinya.

Awra sudah memuncung. Tidak menjawab pun pertanyaan abangnya. Dia tahu apa saja jawapannya nanti pasti menjadi bahan gelak abangnya itu. Tangan naik ke pinggang yang terasa sedikit sengal. Matanya melekat pada susuk tubuh yang menghampiri. Namun, cepat dilarikan matanya apabila perasan lelaki itu mula mengukir senyum.

“Maaf ganggu. Encik Firdaus, boleh saya sediakan dessert sekarang?” tanya Faiq sambil mata melirik ke wajah Awra yang masam mencuka.

“Dik, kau nak makan lagi ke?” tanya Firdaus kepada Awra yang mendiamkan diri.

Awra hanya menggelengkan kepala.

“Kalau macam tu, bolehlah kita rasa dessert.” Ujar Firdaus kepada Faiq.

Faiq terus kembali semula ke ruang dapur selepas mendapat persetujuan Firdaus. Sempat matanya singgah ke wajah gadis di sisi Firdaus yang kelat itu. Dia tersenyum lagi. Lucu dengan wanita yang melanggarnya tadi. Pelik! Entah macam mana dia boleh tak perasan aku yang besar ni.

Awra hanya membuang pandang ke meja. Beberapa orang pekerja datang mengambil lauk yang sudah dirasa tadi dan diganti pula dengan beberapa jenis pemanis mulut. Ada beberapa jenis puding dan pemanis mulut lebih kepada ala kampung. Puding caramel antara yang menjadi tumpuannya. Sagu bersantan juga cukup padan dengan seleranya. Seperti tadi, dia terleka dengan hidangan pemanis mulut di hadapan mata hingga tidak sedar pemilik retoren duduk di hadapannya yang memerhati dari tadi.

“Dik,..” panggil Firdaus rapat di telinganya membuatkan dia tersedar. Spontan matanya terhala ke wajah Faiq yang mengukir senyum memandangnya.

“Err..kenapa?” soal Awra seraya membuang pandang ke sisi pada abangnya. Menutup debar di dada saat matanya bertemu dengan mata lelaki di hadapannya itu.

“Faiq tanya adik tu.., sedap ke tak..” kata Firdaus yang sudah sembunyi senyum melihat perangai adiknya yang begitu asyik apabila berhadapan dengan makanan. Lebih-lebih lagi makanan yang sesuai dengan seleranya.

“Err…sedap…” puji Awra ikhlas dengan senyum yang dirasakan sedikit canggung. Tidak dinafikan semua pemanis mulut yang disediakan sedap belaka. Cukup rasanya. Matanya tidak berani singgah ke wajah lelaki di hadapannya itu. Dia terus menunduk memandang puding mangga yang sedang dirasai saat itu. Hampeh! Kena gelak lagi aku lepas ni!

“Lepas ni, bolehlah selalu datang sini…” ujar lelaki di hadapannya itu mesra.

Namun Awra masih dalam keadaan yang sama. Sedikit pun tidak berani mengangkat wajah. Dia tahu mata lelaki itu sedang memerhatikannya. Serba tidak kena jadinya.

“InshaAllah. Semuanya sedap Faiq. Alhamdulillah..” Sahut Athirah yang memuji semua makanan yang dirasainya enak belaka. Awra pula hanya diam membisu. Tiada hati untuk memberi komen lebih pada makanan yang dirasai. Semuanya sedap mengikut piawaian tekaknya.

“Dik, kau ada apa-apa nak komen? Tadi kau kata nak komen.” ujar Firdaus di sisinya pula.

Awra kertap bibir. Tahu abangnya sengaja ingin mengusiknya di hadapan lelaki itu.

“Kenapa? Ada yang tak sedap ke?” ringan pula mulut Faiq menyampuk.

“Er..tak.. semua sedap..” jawab Awra yang tersenyum kelat sambil menghadiahkan jelingan tajam kepada abangnya.

“Alhamdulillah… Kalau ada yang tak kena tadi, saya ingat nak masak semula. Customer is always right kan..” Balas Faiq yang tersenyum lebar mendengar pujian dari bibir gadis di hadapannya itu. Wajah merah padam ketika jatuh tadi menjentik hati lelakinya. Comel!

Awra yang mendengar jawapan dari bibir lelaki itu, tersenyum nipis. Dirasakan lelaki itu seperti menyindirnya. Huh! Nasib baik makanan kau semua sedap. Kalau tak, siaplah kau aku komen habis-habis sampai kau sentap! Marahnya dalam hati.

“Bang, aku tunggu dekat keretalah. Ain call ni…” ujar Awra tiba-tiba apabila dirasakan senyuman yang terlukis di bibir lelaki itu seakan mengejeknya. Pada masa yang sama, Norain memang menghubunginya. Buru-buru dia bangun hingga tidak sedar beg tangan yang dipegang mengenai tepi meja dan terdengar suatu benda jatuh. Namun, dia buat tidak endah. Terus sahaja berlalu keluar restoran kerana talian Norain sudah pun disambungkan. Terdengar suara abangnya memanggil, tetapi sengaja tidak dihiraukan. Dia tidak peduli apa pun barang terjatuh itu. Untuk kembali duduk di hadapan lelaki itu, memang tidak akan dilakukan sama sekali. Puas hari itu dia menjadi bahan ketawa semua yang ada di restoren itu.

4 comments:

Anonymous said...

Erks.. Kelam kabut suungguh aih awra niiii.. Kan da malu.. Hohoho..
~m.acu~

MaY_LiN said...

awra awra..
sungguh gelabah nya
faiq pun suka nyakat

mila said...

suka best

Anonymous said...

My relatives all the timе say that I am wasting my time hеrе at ωеb, hoωevеr I knоw I аm getting familiaгity eѵeгyday by rеaԁing
theѕ nicе artiсles.

My ѕite: guaranteed payday loans
Look into my weblog ... guaranteed payday loans