Apr 15, 2011

BAJP bab_6

Tiada tanda-tanda Afeef ingin kembali memandu ke jalan raya. Sebaliknya terus membelokkan keretanya ke lorong berhampiran. Baru dia perasan yang mereka rupanya berhenti di hadapan sebuah surau. Sementara menunggu azan maghrib, Afeef yang tadi sudah sedikit tenang, memulakan kata setelah memberhentikan keretanya.

“Fat, aku nak tanya personal ni and aku nak kau jujur dengan aku. Kita sama-sama dah janji nak jujur antara satu sama lain kan.” Iffat hanya diam mendengar. “Kau sebenarnya ada apa-apa ke dengan Rafaal tu? Aku tak suka betul cara dia pandang kau tadi. Dari kali pertama aku jumpa dia lagi masa kat café hari tu.” Jelas Afeef ingin mengetahui apa sebenarnya yang tersirat di hati gadis yang bakal menjadi isteri dalam masa seminggu itu.

“Ada apa-apa maksud kau ni?” Tanya Iffat tak faham.

“Kau ni memang tak faham atau buat-buat tak faham Fat? Takkan kau tak tahu dia suka kat kau?” pertanyaan Iffat dibalas dengan soalan juga oleh Afeef. Lurus betul budak Iffat ni. Memang senanglah orang nak ambik kesempatan atas kau Iffat Hamani! Termasuklah aku. Maafkan aku Fat.’ Kata Afeef kepada dirinya sendiri apabila melihat Iffat seakan-akan sangat naïf dalam mentafsir hati dan perasaan orang lain terhadapnya.

Nyata Iffat tidak mengetahui akan hal tersebut. Dia sendiri tidak menyangka telahannya selama ini benar-benar berlaku. Lebih-lebih lagi apabila teringat akan perilaku Rafaal kepadanya yang agak pelik pada pemerhatiannya. Cuma hati dia sahaja yang sekeras-kerasnya cuba menepis tanggapan tersebut.

“Hah? Mana kau tahu pulak ni?” tanya Iffat pelik.

“Kesian betul kau ni Fat. Kau lupa ke aku lelaki dia pun lelaki. Bukannya susah sangat nak tengok kalau orang yang dah jatuh cinta. Bukan main bersinar-sinar lagi mata dia tadi bila pandang kau. Mata aku pulak yang naik juling tengok dia.” Ejek Afeef dengan perangai buat-buat tak tahu Iffat tu.

“Suka hati kaulah nak cakap apa Feef. Itu hal dia nak suka aku ke apa ke? Yang kau sibuk-sibuk kenapa. Tak payahlah kau sibuk hal dia. Yang penting aku memang tak tahu langsung pun yang dia suka aku tu. Lagipun, bukannya kasi effect pada pernikahan kita ni pun kan. So, baik kau tak payahlah penat-penat fikir. Baik kita fikir masalah kita ni aja. Aku dengan dia memang tak pernah ada apa-apa hubungan perasaan. Kami kawan sekelas aja. Full stop!” Tegas Iffat menandakan dia tidak mahu lagi membincangkan hal tersebut sekaligus untuk menenangkan hatinya yang sedikit resah apabila memikirkan telahannya selama ini benar belaka. Lagi pula Afeef sudah mengetahui hal tersebut.

Tapi, apa ada hal pun kalau Afeef tahu. Bukannya Afeef sayangkan aku, yang dia nak marah tak tentu hala pasal Rafaal ni kenapa pula? Adakah Afeef..? Hmm.. Tak mungkin. Agaknya dia risau aku batalkan pernikahan ni then pergi kat Rafaal. Lantaklah! Malas aku nak fikir. Iffat bermonolog sendiri.

“Kau ni kan Fat, kalau bercakap selalu aja nak sindir-sindir aku kan.” Balas Afeef geram bila Iffat sengaja ingin mematikan perbualan tersebut. Belum sempat Afeef nak tambah panjang lebar lagi, azan maghrib berkumandang dan terus mematahkan niatnya untuk terus membalas kata-kata Iffat. Kuasa Allah, hatinya yang cukup panas mendengar kata-kata Iffat tadi terus tenang seperti di simbah ais bila mendengar laungan azan. Teringat akan pesan ayahnya yang selalu mengingatkan agar sentiasa kawal amarah kerana manusia lagi mudah mengalami kerosakan semasa marah. Pada waktu itulah syaitan sangat gemar menambahkan lagi perisa ke dalam hati kita supaya berlaku kerosakan yang lain pula. Beristighfar Afeef dalam hati.

Begitu sayup memuji kebesaran Allah, mereka diam tanda menghormati sehingga azan habis dan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. Iffat ke tempat solat wanita apabila terlihat ada dua tiga orang makcik yang mungkin penduduk berhampiran dengan surau tersebut berjalan ke arah yang sama. Afeef pula terus ke tempat wuduk kaum lelaki dan menunaikan solat maghrib.
…………………………………………………………………….

“Aminn..” ucap serentak Iffat selepas Afeef selesai membaca doa makan.

“Laa..tunggu apa lagi ni? Kenapa kau tak makan Fat? Takkan kau nak aku suapkan pulak.” tanya Afeef apabila melihat Iffat hanya memerhatikan sahaja Afeef menyuapkan makanan ke dalam mulut.

“Aku ada lagi tangan. Tak payah nak suap-suap.” Marah Iffat.

“Dah tu. Apa lagi yang kau tenung nasi tu?” tanya Affef lagi.

“Kau ni memang suka buat keputusan ikut suka kau kan? Langsung tak kisah pendapat orang lain.” Rungut Iffat apabila melihat tiga jenis lauk yang dipesan oleh Afeef semua kegemaran Afeef. Langsung tidak menepati seleranya. Semuanya pedas. ‘Apa jenis perut betul mamat ni. Order sup pun suruh pedas. Apahal!’marahnya dalam hati.

“Laa..apa pulak hal lagi ni?” tanya Afeef tak faham.

“Tu..” Iffat memuncungkan mulutnya menunjuk kea rah lauk-lauk dihadapannya.

“Kenapa pulak dengan lauk-lauk ni?” Afeef membelek satu-persatu lauk dihadapannya. “Apa yang tak kena? Aku tengok okey aja. Sedap aja aku rasa.” Jawab Afeef lagi.

“Kau ni kan. Semua lauk ikut tekak kau aja kan. Dah la semua pedas. Sup pun pedas. Apsal kau tak mintak jugak air tembikai pedas!” balas Iffat.

“Ohh.. sedap apa pedas. Cuba kau rasa ni” Kata Afeef buat-buat tak tahu yang Iffat memang tidak menggemari makanan pedas. Dia memang sengaja memesan makanan pedas kerana nak sakitkan hati gadis tu sebab tadi dia tak sempat nak balas balik kata-kata Iffat. Rasakan! Haha..gelak ketawa Afeef dalam hati melihat muka Iffat masam mencuka. Tanpa menunggu Iffat, Afeef terus menyuap lagi makanan membiarkan Iffat hanya memandangnya geram.

‘Apa punya bakal suamilah. Bukan dia tak tahu aku tak makan pedas. Hampeh betul!’ Rungut Iffat dalam hati dengan perangai Afeef yang sengaja menyakitkan hatinya. Dahlah dia memang lapar sebab sebiji nasi pun belum masuk ke dalam perutnya hari ni kerana rancangannya tadi ingin makan malam bersama keluarga selepas memasak seperti yang dijanjikan dengan Puan Hasmidah. Kejam betul kau Afeef! Iffat membatalkan niatnya untuk memesan menu lain apabila melihat kedai makan tersebut sudah dipenuhi oleh pelanggan lain. Akhirnya, dia hanya melihat Afeef makan dengan penuh selera dan sekadar minum air tembikai laici yang dipesan tadi. Semakin sakit hatinya bila Afeef hanya tersenyum melihat dia menjeling.

Afeef sedikit pun tidak menghiraukan Iffat yang hanya memandang macam nak telan. Dia tahu Iffat marah. Tapi sengaja dia tidak ambil peduli. Selepas menghabiskan lauk-lauk kegemarannya itu, Afeef terus membuat pembayaran di kaunter. Iffat pula telah menunggu di pintu kereta sementara Afeef membuat pembayaran.

Di dalam kereta, Iffat hanya memandang ke luar tingkap walaupun dia tahu pemandangan diselubungi kegelapan sahaja sepanjang perjalanan itu. Cuma hanya sesekali di sinari lampu jalan. Afeef pula hanya mendiamkan diri dan melayan bunyi-bunyi yang keluar daripada radio. Afeef tahu Iffat memarahinya. Tapi dia malas nak layan. Dia pun ada egonya. Jangan harap nak mintak maaf. Sunyi sepi antara mereka sehingga tiba di rumah Iffat. Tanpa menunggu masa lagi iffat membuka pintu kereta dan menapak masuk ke dalam rumah. Afeef yang meihat hanya menjeling.

“Esok-esok dah nak jadi bini orang pun merajuk macam budak kecik.” Kata Afeef perlahan selepas Iffat keluar daripada keretanya.

Iffat yang baru masuk ke dalam rumah tidak sampai lima minit tiba-tiba keluar semula dan melangkah terus ke arah kereta abangnya Aiman Luthfi tanpa mempedulikan Afeef yang sedang mengeluarkan baju dan barang- barang pengantin keluar dari kereta. ‘Padan muka kena angkat!’ kutuk Iffat dalam hatinya melihat Afeef yang terkial-kial mengangkat semua barang keluar dari perut kereta. Dari dalam kereta dia melihat abangnya Aiman Luthfi dan Puan Hasmidah mendekati Afeef. Dilihat Luthfi dan Puan Hasmidah memandang tepat ke arah Iffat sebelum dia menghidupkan enjin kereta. ‘Entah apa pulaklah mamat ni dah goreng kat abang dengan mak aku ni!’ Omel Iffat sendiri apabila sampai macam tu sekali Luthfi dan Puan Hasmidah melihatnya. Sepantas itu juga dia memandu keluar Satria Neo kesayangan abangnya itu. Takut pula nanti dia disoal siasat.
……………………………………………………………

“Fat!” panggil satu suara di belakangnya. Iffat menoleh. Dilihat Rafaal menggamitnya supaya menghampiri. 
‘Alamak! Apahal pulak mamat ni ada kat sini. Time aku nak datang sini, kau pun nak datang sini. Datanglah hari lain yang aku tak datang’ marah Iffat di dalam hati. Dia tidak selesa untuk berjumpa dengan Rafaal lebih-lebih lagi dia mengetahui lelaki itu menaruh perasaan terhadapnya. ‘Kalau Afeef nampak, kes naya aja ni.’ Marahnya lagi.

“Eh, Rafaal.” Jawab Iffat ringkas bila Rafaal yang datang menghampirinya apabila dia masih terpacak di sisi pintu keretanya yang berkira-kira ingin terus pulang ke rumah selepas membeli Set Burger Spicy Chicken McDeluxe. Dia tahu itu bukan set kegemarannya apatah lagi memang semua makanan segera bukan yang menjadi pilihan. Cuma malam ni dia nak mencuba set itu kerana ianya merupakan salah satu makanan kegemaran Afeef. Dia sendiri tak tahu kenapa mulutnya begitu ringan tadi memesan set itu di kaunter.

“Makan burger aja?” Tanya Rafaal memulakan bicara. ‘Comelnya kau Fat’. Pujinya dalam hati apabila melihat Iffat tersenyum kepadanya tadi.

“Haah.” Balas Iffat pendek. “Tiba-tiba teringin pulak. Kau datang siapa?” Tanya Iffat pula sambil tertinjau-tinjau ke sekeliling. Manalah tahu kalau Rafaal datang dengan kekasih hatinya, takdalah ada yang makan hati kalau nampak mereka berdua. Sebenarnya dia sengaja menukar topik sebab taknak bersoal jawab tentang burger tu. Takkan pula dia nak cerita yang Afeef membulinya hari ni. Buat malu aja nanti.

Dari kejauhan pula, memang sudah ada yang makan hati. Tanpa Iffat sedari, Afeef menjadi pemerhati dari jauh. Pada awalnya tadi dia memang malas nak berhenti, tapi disebabkan sudah berjanji dengan mak dan abang Iffat, dia turutkan jugak. Tapi tak sangka pulak dah ada orang teman Iffat kat sini. Berbulu matanya apabila melihat Iffat berbual mesra dengan Rafaal.

Tanpa membuang masa, Afeef terus meninggalkan kawasan tersebut dan terus memecut keretanya pulang ke rumah dengan perasaan marah yang tertahan di dadanya. Dia tidak faham, kenapa perlu dia rasa marah tiap kali melihat Iffat berbual mesra dengan lelaki lain. Terutamanya Rafaal. Padahal dia sendiri akui yang dia tidak pernah menyintai Iffat. Sesekali dia mengehentak stereng kereta dengan tangannya untuk melepaskan rasa marah apabila teringat akan kemesraan Iffat dengan Rafaal. Pada waktu itu jugalah ada bisikan halus menyatakan yang Iffat memang ada hubungan dengan Rafaal. Tetapi cepat-cepat Afeef menggelengkan kepalanya sendiri. Selagi boleh dia nak menafikan bisikan itu. Kuat hatinya menyatakan Iffat bukan perempuan macam tu yang sanggup ada hubungan dengan lelaki lain sedangkan dia bakal menjadi isteri orang. Afeef beristighfar banyak kali untuk menenangkan hatinya yang tak senang itu.

“Rafaal, aku balik dululah ya. Dah lewat sangat ni. Aku dah janji dengan mak aku nak balik awal. Maaf ya Rafaal. Jangan lupa datang majlis nikah aku nanti dengan Aunty sekali eh.” Iffat meminta diri cepat apabila melihat tiada tanda-tanda Rafaal ingin beredar dan seperti sengaja ingin mengajaknya berbual panjang. Dia tidak selesa andai ada mata-mata yang melihat kemesraan mereka berdua. Tidak mahu ada yang salah faham dengan kemesraan mereka. Dengan itu, cepat sahaja Iffat menghidupkan enjin kereta dan ingin berlalu.

“Okey Fat. InsyaAllah. Kau hati-hati drive.” Pesan Rafaal. Dia tahu yang Iffat tidak selesa berbual dengannya berdua macam tu. Iffat yang dari tadi gelisah dan kerap melihat jam di tangan. Dia tidak bodoh mentafsir gerakbalas Iffat itu. Tetapi, memang dia sengaja ingin berlamaan dengan Iffat sebab bukan selalu mereka dapat berjumpa berduaan macam tu walaupun di tempat awam. Peluang di depan mata, tidak akan disia-siakan walaupun mengetahui hakikat sebenar yang Iffat bakal menjadi hak milik kekal Afeef Adwan. Sementara Iffat belum menjadi milik orang, tiada salahnya kalau dia hanya berbual kosong sebagai seorang sahabat. Dia tiada niat lain. Dia hanya memerhati sehingga bayang Satria Neo itu hilang dari pandangan.

Belum sempat Iffat melangkahkan kaki keluar dari kereta, telefon bimbitnya berbunyi dan melihat nama si pemanggil. Sakit hatinya muncul kembali apabila melihat nama ‘Hubby’ tertera di skrin telefonnya. “Apa yang mamat ni nak lagi. Tak puas lagi ke sakitkan hati aku dia ni.” Rungut Iffat sendirian. Dengan malas, dia tetap menekan butang hijau tapi tidak seperti kebiasaannya apabila mengangkat telefon yang didahului dengan salam. Cuma tidak kali ini dengan Afeef kerana masih marah dengan lelaki itu.

“Waalaikumsalam” jawab Iffat ringkas.

“Kau dah sampai rumah belum ni” tanya Afeef tidak bernada kerana dia pun masih lagi terasa hati dengan apa yang dilihat tadi. Sengaja dia menelefon Iffat untuk memastikan yang gadis itu tidak lagi bersama Rafaal pada waktu itu.

“Dah” balas Iffat pendek. Tanya sepatah dia hanya jawab sepatah. Malas nak bercakap lama dengan Afeef. Kejam ke dia buat bakal suami macam tu?

“Seronok ada orang teman ya? Patutlah taknak makan tadi. Sanggup pergi beli burger semata-mata nak jumpa kekasih hati kan.” Sindir Afeef pedas.

“Apa kau cakap ni?” Iffat mula berang apabila dia dituduh melulu tanpa usul periksa macam tu.

“Kau ingat aku tak nampak ke Fat?” Afeef mula meninggikan sedikit volume suaranya apabila Iffat buat-buat tak faham dengan sindirannya itu.

“Kau nampak apa pulak ni?” balas Iffat geram bila Afeef sengaja ingin menambah sakit hatinya lagi. ‘Dah la aku tengah lapar ni. Nanti ada yang pulak yang tertelan telefon ni nanti.’ Rungut Iffat sendiri.

“Rafaal temankan kau tadi kan?” Jawab Afeef geram. Ikut hatinya tadi, nak aja pergi sound Iffat kat depan McD tu tadi. Tapi disebabkan masih ada sekelumit kesabaran di hatinya, dia lupakan sahaja niat bodohnya itu.

“Erk?” balas Iffat spontan. ‘Macam mana pulaklah mamat ni tahu aku jumpa dengan Rafaal tadi. Ops! Bukan jumpa, terjumpa.’ Siapalah mulut jahat pergi bagitahu mamat laser ni.’ Marah Iffat dalam hatinya.

“Dah, kau jangan nak buat-buat tak tahu pulak. Bukan main lagi kau kan. Tadi aku suruh makan, kau banyak pulak alasan kata lauk pedaslah apalah. Rupanya sengaja nak makan dengan Rafaal kan. Kau cakap dengan aku kau takda apa-apa hubungan dengan dia. Ni siap teman kau lagi, apa cerita pulak Fat.” Afeef memuntahkan kata-kata sakit hatinya apabila dirasakan Iffat sengaja buat-buat tak tahu. Kesabarannya sampai ke kemuncak. Kena settle malam ni jugak!

“Stop it Afeef! Kau jangan nak main tuduh-tuduh aja kalau kau tak tahu! Mana kau tahu semua ni? ” Marah Iffat bila Afeef menuduhnya tanpa mengetahui hal yang sebenar.

“Tak payah kau nak sibuk aku tahu dari mana. Tu tak penting. Sekarang ni aku nak kau mengaku aja. Susah sangat ke? Kalau kau betul ada hubungan dengan Rafaal, kau terus terang aja dengan aku. Aku tak nak kau menipu kat belakang aku Fat. Kau dah lupa ke janji yang kau buat. Nak jujur konon. Tak sangka pulak kau yang langgar janji tu. Lain kali kau tak payahlah suka hati nak berjanji kalau kau sendiri tak boleh nak ikut janji tu!” Marah Afeef lagi. Dia tak kira apa tanggapan Iffat kepadanya. Janji dia dapat luahkan rasa tidak puas hatinya. Cukup pantang baginya kalau orang menipu. Lebih-lebih lagi Iffat seorang sahabat yang telah lama dia kenali.

“Hmm. Dah habis cakap dah? Puas dah hati kau? Okey, sekarang aku dah mengantuk, nak masuk tidur. Dan terima kasih dengan tuduhan-tuduhan yang kau dah kasi kat aku tu! Assalamualaikum.” balas Iffat senafas dengan suara yang dibuat-buat tenang.

Selepas sahaja memberi salam tanpa menunggu Afeef menjawab, Iffat terus menekan butang merah pada telefon bimbitnya. Terasa seperti disiat-siat hatinya apabila lelaki yang bakal dinikahi dalam tempoh seminggu itu menuduhnya yang bukan-bukan. “Apa Afeef selama ni memang tak percayakan aku ke?” Rintih Iffat apabila dituduh dengan perkara-perkara yang tidak dia lakukan. Dirasakan pernikahan yang bakal berlangsung itu hanya sia-sia sahaja. Tapi, memang pun pernikahan yang bakal berlangsung itu tidak memberi apa-apa makna pada dirinya mahupun Afeef. Kebahagiaan pada masa hadapan yang dijaminkan dalam sebuah janji antara dia dan Afeef. Semakin dekat majlis pernikahannya, semakin kerap pula mereka bertengkar. Lantas Iffat menaip ringkas di papan kekunci telefonnya dan menekan butang send.

Begitu dalam maksud yang cuba disampaikan oleh Iffat kepada Afeef. Dia malas untuk memikirkan masalah yang diciptakan oleh Afeef sendiri. Apa yang pasti, dia tahu apa yang dia lakukan dan kebenaran berada di pihaknya. Terpulang kepada Afeef untuk menilai.

++ Mata banyak menipu Feef. Kita jangan mudah tertipu dengan pandangan mata kita sendiri. Dan jangan pula terlalu mempercayai dengan apa yang mata kita nampak.

Afeef membaca perlahan mesej yang dihantar oleh Iffat. Dia tahu yang dia terlalu ikutkan perasaan marahnya sehingga tidak memikirkan perasaan Iffat. Afeef meramas rambutnya perlahan apabila memikirkan keterlanjurannya dalam berkata-kata tadi. Dia faham apa yang dimaksudkan dengan meseg Iffat itu. Beristighfar Afeef di dalam hati kerana menyesali dengan apa yang telah dilakukan terhadap Iffat sepanjang hari ini. Walhal, gadis itu tidak bersalah dan tiada satu pun sebenarnya kesalahan yang dilakukan. Hanya Afeef sahaja yang terlalu mengikutkan rasa sakit hatinya. “Maafkan aku Fat!” keluhnya sendiri.

1 comment:

Yong said...

tu la lelaki, suka amik kesempatan kat pompuan,sian iffat dpt laki cam afeef. i dont think he deserves her. huhuhu aku dah emosi. geram gan afeef.good job writer!