Apr 16, 2011

BAJP bab_7


Iffat menghempaskan tubuhnya ke katil. Terlalu letih badannya hari ini melayan kerenah Afeef. Ditambah pula dengan sakit hatinya pada Afeef yang sengaja menyakitkan hatinya dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Bertambah letih seluruh badannya apabila memikirkan masalah antara dia dan Afeef. Iffat terpandang baju pengantin yang tergantung di pintu almari di hadapannya. Pasti baju itu telah digantung oleh maknya selepas dia keluar ke McD tadi. Burger yang dibelinya tadi telah diberi kepada Luthfi. Hilang selera makannya selepas bertengkar dengan Afeef tadi.

Semasa menyerahkan burger ke tangan Luthfi tadi, sempat juga dia disoal siasat oleh abang dan maknya. Tapi satu pun tidak dijawab hanya keluhan yang dihadiahkan. Walhal, dia tidak mahu abang dan dan ibunya syak yang bukan-bukan hubungan antara dia dan Afeef. Cukup hanya mereka sahaja yang memahami situasi yang sebenar.

‘Apalah nasib kau ni Fat kena kahwin dengan orang yang kepala angin macam Afeef tu.’ Kata Iffat kepada dirinya sendiri. Kecewa apabila teringat akan kata-kata Afeef tadi.
Iffat bingkas apabila teringat yang dia belum menunaikan solat Isya’. Baru sahaja dia mencapai tuala di hujung katil, telefonnya berbunyi tanda mesej masuk. Dia mencapai telefonnya dan dilihat, sekali lagi nama ‘hubby’ tertera. ‘Apa lagilah mamat ni nak. Dia tak tahu ke aku nak rehat!’ omel Iffat sendiri.

++ Assalamualaikum. Fat, aku mintak maaf.

‘Maaf? Senang sangat mulut mintak maaf kalau dah buat salah!’ Rungut Iffat apabila membaca mesej dari Afeef itu. Nak tak nak juga dia membalas.

++ aku memang sentiasa maafkan kau.

Balas Iffat juga pendek. Malas dia nak memanjangkan lagi cerita tentang hal tadi. Cuma, dia tidak pasti sama ada hatinya ikhlas atau tidak bila menzahirkan ayat tersebut kepada Afeef. Seboleh-bolehnya dia mengikhlaskan hati untuk memaafkan Afeef walaupun hatinya masih sakit dan biarlah dia sendiri yang mencari penawarnya. Dia tahu Allah sentiasa di sisinya. Tiba-tiba telefonnya berbunyi lagi. Tapi kali ini meminta si tuan punya telefon mengangkat. Sekali lagi tertera nama ‘Hubby’ di skrin kecil itu. Iffat hanya memandang sepi sehingga bunyinya mati sendiri. Dia tiada hati ingin bercakap dengan Afeef pada malam tu. Cukuplah tadi dia telah mendengar kata-kata yang menyakitkan hatinya keluar daripada mulut Afeef. Tidak untuk kali kedua pada malam ini. Iffat terus melangkah keluar bilik untuk meneruskan niatnya tadi.

Sejak dia membuat keputusan untuk bernikah dengan Afeef, dia telah bersedia untuk menghadapi apa jua rintangan dan dugaan yang datang sekaligus mengajar dirinya agar sentiasa bersabar dengan perangai Afeef yang sejak dulu lagi telah dia kenali. Biarlah dia banyak mengalah bagi memastikan orang yang disayangi bahagia. Itu janjinya.
…………………………………………………..

Sehari sebelum majlis pernikahan, abahnya telah menjemput keluarga Afeef untuk makan malam bersama. Semua ahli keluarga Afeef ada bersama kecuali adiknya yang bongsu tiada bersama. Kata Puan Hasmidah, anak bongsunya yang di sekolah asrama itu tidak dapat pulang pada majlis pernikahan Afeef dan Iffat kerana sedang menjalani peperiksaan percubaan. Minggu Afeef berangkat UK baru dia pulang.

Pada waktu tu juga, baru Iffat perasaan bahawa terlalu banyak persamaan antara dia dan Afeef. Iaitu dari bilangan adik-beradik, turutan dalam adik-beradik sehinggalah kepada hobi mereka yang gemar membaca. Belum lagi termasuk dengan perangai mereka yang suka membuat suatu keputusan ikut kepala sendiri. Itupun Iffat ketahui setelah Hajah Zubaidah bercerita tentang Afeef pada malam itu. Habis semua rahsia Afeef dibocorkan oleh mamanya. Tergelak sendiri Iffat apabila mendengar celoteh dari mulut bakal ibu mertuanya itu. Dia perasan yang Afeef sesekali terseyum malu apabila Puan Zubaidah bercerita perihal dirinya. Satu perangai yang diwarisi oleh Afeef dari mamanya adalah banyak cakap!

Manakala, perkara yang membezakan antara dia dan Afeef adalah dari segi pendapat. Memang diakui yang dia sering berselisihan pendapat dengan Afeef walaupun hanya perkara kecil sejak zaman sekolah lagi. Antara mereka, Iffatlah yang selalu mengalah kerana tidak mahu pertengkaran menjadi lebih panjang.

Pada malam itu juga, hanya ibubapa mereka sahaja yang banyak berbual akan perihal keluarga masing-masing kerana mereka juga memang sudah lama kenal. Adik-beradik Iffat yang lain pun tiada masalah untuk berbual mesra dengan Kak Afwan dan Afia. Dia juga tidak menyangka yang Kak Afwan dapat menerima baik dirinya untuk menjadi salah seorang ahli keluarga.

Kak Afwan kakak sulong Afeef pernah berkahwin setahun lalu tetapi telah kehilangan suami yang pada ketika itu sedang berkhidmat sebagai tentera udara, terlibat dalam suatu kemalangan udara semasa melakukan ujian penerbangan. Lagi menyedihkan, mereka tidak berpeluang untuk memperolehi cahaya mata semasa hayat suaminya masih ada. Kak Afwan yang kebetulan sebaya dengan Luthfi dan dahulu pernah satu sekolah, tidak janggal untuk berbual mesra.

Afeef pula, Iffat perasan yang lelaki itu banyak mendiamkan diri sejak sampai ke rumahnya tadi. Hanya sesekali dia menjawab apabila ditanya oleh Luthfi dan abah. Dia tahu, mungkin Afeef malu dengannya kerana hal seminggu yang lalu. Sejak itu, Afeef langsung tidak menghubunginya dan berjumpa untuk berbincang hal perkahwinan mereka seperti selalu. Hanya Hajah Zubaidah dan Kak Afwan yang sering bertanya akan hal-hal demikian kepadanya. Iffat perasan yang abangnya juga sudah banyak kali memberi isyarat mata supaya menegur Afeef. Tetapi Iffat sendiri masih canggung untuk berhadapan dengan Afeef selepas dia dituduh yang bukan-bukan oleh Afeef. Hal itu pun sebenarnya masih belum diselesaikan dan Afeef masih tidak mengetahui kebenaran yang sebenar.

Dilihat Afeef bangun dari duduknya dan berjalan keluar rumah. Luthfi sekali lagi memberi isyarat kepada Iffat supaya mengekorinya. Dengan rasa getar di hati, Iffat hanya menuruti. Dia melihat Afeef hanya duduk termenung di pangkin buruk bawah pokok jambu tu. Iffat memberanikan diri untuk mendekati Afeef yang sedang leka mendongak ke langit. Entah apa yang menarik sampai begitu sekali Afeef melihat. Iffat pun memandang ke arah yang sama untuk melihat apa yang sangat menarik perhatian Afeef. Hanya kepulan awan gelap yang menutupi bulan yang separa tu. Gelap gelita langit malam tu tanpa sebutir bintang pun. Iffat pula yang leka mendongak ke langit sambil berdiri tidak jauh dari Afeef tidak menyedari  Afeef memandangnya yang manis bertudung itu.

“Ehem..” Afeef sengaja berdehem untuk mengejutkan Iffat yang terleka tu.  Termalu sendiri Iffat apabila Afeef yang menegurnya dahulu.

“Err.. kenapa duduk kat luar?” tergagap Iffat memulakan bicara.

“Hmm,. Saja tengok keindahan langit” Afeef beralasan kerana dia tidak betah duduk di dalam lama-lama kerana Luthfi asyik memerhatikan dia sahaja.

“Oh..ingat tak sudi nak duduk dalam rumah papan saya yang buruk tu. Maklumlah bukan rumah batu macam rumah kau” sengaja Iffat mengumpan dengan ayat yang sinis begitu agar Afeef berkata-kata dengan lebih banyak. Itu lebih baik daripada dia diam membatu.

Afeef memandang Iffat tajam. “Kalau aku tak suka, dari awal lagi aku tak datang.” Afeef sedikit terasa dengan kata-kata Iffat. Terus dia mendongakkan semula kepala melihat panorama langit yang gelap gelita itu.

“Errmm..kau duduklah kat sini. Aku masuk dulu.” Malas Iffat melayan Afeef yang seakan sengaja tidak mahu bercakap dengannya. Baru sahaja dia melangkah setapak, Afeef memanggil namanya.

“Fat! Aku mintak maaf pasal hari tu.” Lantas Afeef berjalan mendapatkan Iffat. Iffat hanya mendiamkan diri sahaja dan terpaku di tempat dia berdiri.

“Aku sentiasa akan maafkan kau” Balas Iffat ringkas tanpa melihat wajah Afeef yang sudah berdiri di belakangnya.

“Terima kasih jugak sebab kau sudi nak jadi isteri aku semata-mata kerana cita-cita aku.” Sambung Afeef lemah apabila memikirkan betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Iffat terhadapnya di atas nama sebagai seorang sahabat.

“Hmm..” balas Iffat pendek.

“Kalau kau maafkan aku, takkan sampai dah tak nak tengok muka aku.” Jawab Afeef perlahan bila Iffat masih tidak memandangnya.

“Alaa..esok pun aku boleh tengok muka kau. Tadi pun aku dah tengok muka kau apa.” Jawab Iffat dengan suara yang tertahan. Sebenarnya dia cuba mengusir rasa detak hatinya yang tidak seirama itu apabila Afeef berdiri berhampiran dengannya. Iffat terus membuka langkah untuk meninggalkan Afeef sendirian di situ.

“Kalau kau tak sempat tengok esok macam mana?” Balas Afeef sengaja ingin memancing Iffat supaya menoleh ke arahnya apabila Iffat mula melangkah.

Berderau darah Iffat apabila Afeef berkata demikian. Pada waktu itu juga dia mematikan langkah serta merta menoleh ke arah Afeef dan melihat lelaki itu sudah tergelak dengan gerakan spontan Iffat yang memandangnya dengan mata membulat. ‘Ciss, saja nak kenakan aku mamat ni!’ Marah Iffat bila melihat Afeef membuat pula aksi ‘flying kiss’ ke arahnya. Iffat hanya membalas dengan jelingan maut sebelum terus masuk ke dalam rumah. Malas dia mahu melayan perangai gila lelaki bernama Afeef Adwan itu. Maksud nama aja ‘yang tenang, yang bersederhana’. Tapi dia tu cepat sangat nak mengamuk. Tak sesuai betul!
………………………………………….

“Fat, aku mintak maaf sebab tak dapat nak sediakan apa yang sepatutnya. Rumah yang aku janjikan tu pun belum siap renovate lagi. Aku mintak maaf sangat-sangat. Terima kasih banyak-banyak sebab sanggup berkorban demi cita-cita aku ni. Aku akan ingat sampai bila-bila Fat. Tu janji aku. Cuma, lepas aku balik nanti, kita bincang pasal masa depan hubungan kita ni semula. Kita pun dah janji nak cuba belajar bercinta kan?” Kata 
 Afeef seraya tersenyum lebar. Membulat mata Iffat bila mendengar ayat ‘belajar bercinta’ itu.

‘Eh dia ni. Sempat lagi nak bergurau.’ Rungut Iffat sendiri dengan perangai Afeef yang sempat lagi nak buat lawak dalam keadaan yang tak berapa nak menggembirakan hatinya itu.

“ Apa jua keputusan nanti, kau boleh tunggu sampai aku habis belajar”? Kata Afeef perlahan jauh dari pendengaran ahli keluarga yang lain turut sama berada di ruangan menunggu sebelum berlepas.

Selama seminggu selepas bergelar suami isteri, tiada apa-apa perubahan ketara antara hubungan Afeef dan Iffat. Apa yang berbeza adalah dari segi tanggungjawab masing-masing. Kecuali bab tanggunjawab ‘sebenar’ masing-masing yang belum ditunaikan. Afeef pula tidak pernah menuntut akan haknya yang satu itu kerana memahami akan keadaan sebenar hubungan mereka. Waktu tidur pula, Afeef dengan rela hati tidur di bawah dengan beralaskan conforter sepanjang mereka bergelar suami isteri. Iffat pada awalnya menegah malah dengan rela hati juga jika mereka tidur sekatil. Afeef yang menolak untuk berbuat demikian.

Disebabkan rumah mereka masih di dalam proses ubah suai, Afeef mengambil keputusan untuk tinggal sahaja di rumah ibu bapanya memandangkan dia telah mempercepatkan tarikh untuk berlepas ke UK, seminggu selepas hari pernikahan mereka. Katanya untuk membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian. Iffat hanya mengikut. Cuma selepas Afeef berangkat, Iffat akan tinggal bersama kedua orang tuanya. Dia tidak selesa lagi untuk tinggal bersama keluarga mertuanya walaupun dia tahu, keluarga Afeef terima baik kedatangannya di rumah itu.

Panggilan ‘aku’ dan ‘kau’? Mereka masih menggunakannya apabila berduaan sahaja dan secara automatik bertukar kepada panggilan nama ‘Hamani’ dan ‘Afeef’ apabila bersama dengan ahli keluarga yang lain. Mungkin bunyinya agak pelik, tetapi mereka telah membuat keputusan sedemikian bagi mengelakkan ibubapa mereka salah faham dengan hubungan yang terjalin itu. Walaupun ditegur berkali-kali oleh ahli keluarga lain, Iffat dan Afeef tetap dengan pendirian mereka kerana seringkali juga mereka tersasul dengan panggilan aku kau apabila bersama ahli keluarga yang lain. Nasib baik ahli keluarga yang lain faham akan keadaan mereka berdua yang tidak seperti pasangan suami isteri lain.

“Hmm.. yela. Aku tahu tu. Tapi, satu aja aku nak mintak izin dengan kau. Izinkan aku bekerja Feef. Boleh kan?” balas Iffat lemah kerana dalam hatinya cukup sedih apabila memikirkan yang dia hanya akan bertemu semula dengan Afeef selepas 3 tahun dari sekarang. Bertambah kerisauan hatinya jika Afeef akan melupakan segala janji-janji yang ditaburkan kepadanya.

“Aku izinkan Fat. Aku izinkan apa aja yang kau nak buat dan pergi mana pun. Kau tak payah susah hati. Aku halalkan semuanya.” Balas Afeef seraya menghadiahkan segaris senyuman.
“Boy, dah announce tu.” Laung Afwan memanggil Afeef satu-satunya adik lelaki yang dia ada dengan panggilan manja tu. Hanya Afwan yang memanggilnya dengan gelaran tu.

“Sudah-sudahlah tu Feef, tahulah nak pergi jauh. Jangan kau lupa pulak bini kau kat sini bila dah sampai sana.” Kata Luthfi pula sengaja mengusik Afeef yang tersenyum tawar tu.

Setelah bersalaman dengan semua ahli keluarganya, tibalah giliran Iffat. Lama mereka berpandangan dan Afeef menghulurkan tangan kepada Iffat. Iffat menyambut seraya mencium tangan Afeef dengan getar di dada. Sama seperti yang dirasakan ketika pembatalan air sembahyang seminggu lalu. Afeef mengucup lembut dahi Iffat. Jelas muka Iffat berubah dengan tindakan Afeef yang tak disangka itu. Lebih-lebih lagi dihadapan ahli keluarganya yang lain. Kali kedua Afeef mengucup dahinya selepas pernikahan hari tu.

“Jaga diri!” Pesan Afeef sebelum melangkah ke balai pelepasan dan melambaikan tangan setelah melepasi tempat pemeriksaan.

Iffat terasa air matanya ingin menitis apabila melihat Afeef tersenyum kepadanya sebelum hilang dari pandangan. ‘Panjang umur kita jumpa lagi’ kata Iffat dalam hati.

“Kak Hamani, kita singgah kedai coklat dulu sebelum balik eh?” Kata Afia semasa dalam perjalan mereka ke tempat letak kereta. Bukan dia tidak tahu perangai Afia yang memang pantang nampak kedai coklat. Sudah jadi kewajipannya untuk membeli.

“Okey!” Balas Hamani ringkas sambil menghadiahkan senyuman kepada adik iparnya yang seorang tu. Manakala ahli kelurga yang lain sudah meneruskan perjalanan masing-masing. Dia dan Afia tadi datang dengan kereta Afeef. Kalau pergi tadi Afeef sendiri yang memandu, balik nanti terpaksa dia memandu kereta Vios kesayangan Afeef tu. Afeef sendiri telah memberi kebenaran kepadanya untuk menggunakan kereta itu sepanjang ketiadaannya nanti. Katanya senang jika ingin ke mana-mana dan untuk dia pergi bekerja nanti. Ibubapa mertuanya pula tidak membantah. Cuma Iffat yang berasa kurang selesa untuk menggunakan barang yang bukan haknya walaupun sebenarnya dia mempunyai hak tersebut.

Afwan pula menaiki kereta Luthfi. Iffat perasan yang sejak makan malam di rumahnya itu, Luthfi dan Afwa dilihat kerap berhubung. Jika tidak Luthfi yang menghubungi, pasti Afwan pula yang mencari abangnya itu. Jika dilihat masa berjalan pun beriringan pun tak ubah seperti pasangan yang sedang hangat bercinta. Afeef juga perasan akan hal itu kerana pernah juga dia bertanya akan perihal Luthfi dan Afwan kepadanya.

Adik bongsu Afeef, Afia Akma pula bersama mama dan ayahnya. Gadis itu tidak banyak bercakap dengannya sepanjang Iffat tinggal bersama. Mungkin tidak biasa dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya. Itu sahaja yang ditanam oleh Iffat dalam hatinya bagi mengelakkan berperasangka buruk terhadap Akma yang tidak menyukai dirinya berkahwin dengan Afeef. Seringkali dia beristighfar untuk menenangkan hatinya dari beranggapan begitu.

Sementara menunggu Afia memilih coklat kegemarannya, Iffat hanya berdiri bersandar di satu tiang besar berhadapan kedai coklat sambil membaca majalah Dara kepunyaan Afia. Sesekali dia menoleh ke arah orang yang lalu-lalang di hadapannya. Tiba-tiba dia ternampak seseorang seperti dikenalinya.

“Atikah!” Panggil Iffat. Seraya itu, gadis itu menoleh ke arahnya. Iffat melemparkan senyuman dan terus mendapatkan gadis.

“Buat apa kat sini?” tanya Iffat.

“Eh Fat! Lama kita tak jumpa. Apa khabar? Errmm.. aku hantar kawan.” Jawab Atikah sambil meninjau ke sekeliling kalau-kalau Iffat bersama dengan orang lain yang dikenalinya.

“Oh yeke. Alhamdulillah. Aku yang macam kau tengok ni lah. Ermm.. Kau hantar siapa?” tanya Iffat lagi apabila melihat Atikah seperti teragak-agak menjawab pertanyaannya tadi.

“Aku hantar Damia. Dia pergi sambung study.” Balas Atikah pendek.

“Oh.. Alhamdulillah.” Iffat tahu yang Atikah memang kawan baik Damia sejak di bangku sekolah lagi. Ke mana sahaja, pasti bersama. Walaupun mereka dan Iffat tidak sekelas, tetapi masih boleh bertegur-sapa kalau berjumpa. Belum sempat lagi Iffat bertanya lanjut akan destinasi Damia, Afia sudah menggamitnya dari dalam kedai coklat.

“Atikah, aku kena gerak dululah. Lain kali kita berbual lagi. Tu Pia dah panggil aku tu.” Kata Iffat seraya membalas lambaian Afia dari dalam kedai. Atikah turut menoleh ke arah yang sama.

“Okey. InsyaAllah.” Balas Atikah. Sebelum Iffat beredar, sempat lagi mereka bertukar nombor telefon.

“Kak Hamani, cakap dengan siapa tadi?” tanya Afia apabila kakak iparnya itu menghampirinya yang sedang membelek sekotak coklat kegemarannya.

“Oh, tu kawan sekolah akak dulu. Abang Afeef pun kenal dia.” Jawab Iffat. ‘Abang Afeef!’ Tersenyum sendiri Iffat apabila dia dengan lancar pula menyebut perkataan itu. Tak terlintas pun nak gelarkan Afeef begitu di hadapan Afia. Kalau Afeef dengar, confirm Encik Suaminya itu gelak sakan.
Buk! “Ouch!” Tiba-tiba ada orang terlanggar bahu Iffat yang turut sama memilih coklat di sebelah Afia.

........................
maaf. mungkin sedikit bosan kali ni. :)

1 comment:

Yong said...

tak bosan.huhuhu rasa cam dpt agak la,yg afeef tipu iffat, dia still gan damia eh?huhuhu sakit ati gan mamat perangai cam jin bertendang ni.