Apr 5, 2011

BAJP bab_2

Semakin laju Iffat menghayun kaki melangkah. Tujuannya hanya satu iaitu ingin menangis sepuas-puasnya apabila sampai ke bilik nanti. Selepas apa yang didengari hajat sebenar Afeef Adwan datang berjumpa dengannya sejauh ini. Jangkaan awalnya tadi, tujuan Afeef datang berjumpa dengannya hanyalah kebetulan memandangkan adik perempuannya, Afia Alliyana satu tempat belajar dengan Iffat. Sungguh tidak disangka kehadirannya malam ini penuh dengan agendanya yang tersendiri. Dia kesal dengan apa yang telah diperkatakan oleh Afeef.

Bilik hostel yang dekat terasa jauh berbatu. Langkah yang deras yang diatur tadi terasa makin lemah seiring dengan rasa hati yang cukup kecewa dengan Afeef yang merupakan sahabat yang paling dipercayai. Air mata yang ditahan sejak berhadapan dengan Afeef tadi, mula keluar apabila pandangannya sedikit kabur. Dia tidak mempedulikan penghuni hostel lain yang memandangnya pelik apabila berselisihan dengannya. Sampai sahaja dibilik, terus dihambur semua kesedihan dan kekecewaan yang dialami. Mujur rakan sebiliknya tiada waktu itu. Mungkin Nurjannah ke bilik Natrah barangkali. Menangis Iffat sepuas hatinya. Puas menangis, dengan mata yang sedikit bengkak Iffat bingkas bangun ke bilik air untuk berwuduk kerana itulah rutinnya apabila berasa kesedihan, tiada tempat lain lagi untuk mengadu melainkan hanya kepada yang Maha Esa. Dengan itu sahaja dia akan beroleh ketenangan. Iffat selalu memegang sepotong ayat dari Surah Ar-ra’d yang bermaksud, ‘dengan hanya mengingati Allah, hati akan menjadi tenang’.

Asyik dia mengalun ayat-ayat suci, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Sekilas Iffat memandang telefon di atas meja dan melihat jam loceng di tepi mejanya. Sudah 12.30 malam, siapa pula yang menelefonnya selewat ini. Apabila teringatkan Afeef, dia membatalkan niatnya untuk menjawab panggilan tersebut walaupun tidak melihat siapa pemanggilnya. Hatinya menjadi sebal apabila teringatkan hal yang baru berlaku tadi.

Sekali lagi telefon bimbitnya menjerit meminta si tuan menjawab panggilan tersebut. Iffat menoleh lagi ke arah telefon bimbitnya tetapi tiada tanda-tanda yang dia akan menjawab panggilan tersebut. Nada dering lagu For the Rest of My Life nyanyian Maher Zain sepi sendiri. Iffat meneruskan pembacaannya tadi yang terganggu gara-gara deringan tersebut. Kali ini, sekali lagi Iffat tersentak apabila sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej pula yang masuk. Sekali lagi jugalah Iffat hanya memandang sepi. Usai mengaji, Iffat bersiap untuk tidur kerana dirasakan sudah terlalu lewat dan sedikit penat kerana menangis akan hal yang menyesakkan fikirannya. Tatkala itu jugalah terdengar bunyi pintu dikuak dari luar. Terjegul wajah Nurjannah yang comel persis Sharifah Amani.  

“Fat, tadi aku nampak kau dekat café dengan seorang mamat. Mamat mana tu? Hensome semacam je. Nak kata boyfriend kau, setahu aku bukan ke kau anti couple ni? Ke, kau couple senyap-senyap belakang kami semua. Hehe..” Gurau Nurjannah sengaja mengusik sahabatnya itu. Bukan dia tidak nampak apa yang berlaku di café tadi sebab dia juga turut berada di café bersama sahabatnya yang lain, Natrah, Rafaal, Azri, Noreya dan Isha. Mereka berenam nampak apa yang berlaku antara Iffat dan mamat hensome itu tadi. Sengaja ingin mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dari bibir comel itu sendiri kerana dia tahu Iffat tidak dalam keadaan baik apabila ternampak wajah sembab Iffat itu.

“Apa la kau ni Jan. Macamlah kau baru kenal aku semalam. No couple-couple in my life ok!” Iffat menggoyangkan jari telunjuknya kiri dan kanan di hadapan muka Nurjannah. Segaris senyuman diberi kepada Nurjannah. “Apa kau kata tadi? Mamat hensome? Hensome ke? Tak hensome pun aku tengok” Iffat cuba menafikan kebenaran yang dinyatakan oleh Nurjannah kerana dia akui, Afeef Adwan sememang termasuk dalam kategori kacak. Kalau tidak, takkanlah semua pelajar junior di sekolahnya dulu begitu teruja apabila Afeef naik ke pentas. Dan bukannya dia tidak perasan tadi semasa di café, ada sahaja pelajar-pelajar perempuan tertoleh-toleh kepada mereka tadi. Tidak mungkinlah memandang dirinya. Sudah tentulah si Afeef Adwan yang dikata hensome oleh Nurjannah tadi. Naik segan juga tadi apabila menjadi tumpuan. Afeef tu punya pasallah.

“hensome beb. Muka dah ala-ala pelakon Jepun dah aku tengok. Kening tebal tu yang mahal tu. Hehe..” usik Nurjannah.

“eh? Yeke? Ntah. Biasa je aku tengok.” Balas Iffat tak bernada kerana dia meluat memikirkan wajah Afeef.

“kau ok ke tak ni Fat? Lain macam je suara kau. Ke itu bakal suami yang mak abah kau carikan untuk kau tu? Kalaulah yang itu, perghh.. aku setuju je Fat. Hensome gila dah.” Nurjannah menghampiri Fat yang duduk dibirai katil dan duduk bersebelahan sambil tersenyum gatalnya. Sudah sampai miangnya lah tu! Getus Iffat dalam hati.

“eh, macam kau pulak yang kena kahwin. Ke kau memang nak sangat kahwin ni. Iman dah lamar kau eh? Usik Iffat galak apabila melihat senyuman gatal Nurjannah tadi.

“kalau dia dah lamar aku, memang habis study ni aku terus je nikah dengan dia beb. Itu ‘kalau’lah. Haha. Takda maknanya dia nak lamar aku buat masa terdekat ni. Dia kata biarlah masing-masing stabil dulu, baru fikir soal kahwin. Ada jodoh tak ke mana kan?” terangkat-angkat kening Nurjannah berkata-kata soal jodohnya dengan Iman. Iman merupakan rakan sekampung Nurjannah dan masih juga belajar di universiti negeri bawah bayu sana. Satu perkara yang Iffat bangga dengan hubungan mereka berdua ini. Walaupun jauh, dan bila sesekali bercuti semester, mereka hanya akan berjumpa di kampung sahaja. Itupun ditemani adik-beradik lain. Kedua keluarga mereka begitu menjaga batas-batas pergaulan. ‘Kepercayaan antara satu sama lain adalah penting untuk memastikan suatu hubungan itu berjaya.’ Itulah kata-kata Nurjannah yang diingati sebagai pegangan dan keutuhan hubungan mereka walaupun berjauhan.

“gatal betul kau ni Jan. Aku kasi tahu perangai sebenar kau pada Iman, baru kau tahu. Terus reject kau. Hehe..” gurau Iffat.

“eleh.. kasi tahu la. Iman dah tahu aku macam mana. Sikit pun aku tak heran.” Terang Nurjannah bangga apabila sedikit pun ugutan Iffat tidak menakutkannya. “ok,ok. Soalan aku pun kau belum jawab lagi, kau jangan nak tukar topik pulak. Siapa mamat hensome tadi tu? Dia nak apa dengan kau?” Soal Nurjannah tak puas hati bila Iffat cuba melepaskan diri dengan menukar topik.

“hmmm..betul la yang kau kata tadi..” tidak beriak wajah Iffat menuturkan ayat tersebut.

“betul? Ayat yang mana satu yang betul? Boyfriend kau tu? Yang tu ke?” Nurjannah memegang bahu Iffat dengan wajah yang teruja ingin tahu perihal yang sebenarnya.

“erk. Bukanlah. Bakal suami aku.” Sengaja dia menekan sedikit perkataan ‘bakal’ di hadapan Nurjannah. Nurjannah buat muka pelik. Terasa yang Iffat tidak bergurau.

“kau biar betul beb? Kau kenal ke dia” soal Nurjannah tak sabar.

“hmmm..” balas Iffat malas. Dalam diam Iffat menyetujui rancangan Afeef. Dia tahu bahawa dia sendiri tiada pilihan lain. Selepas solat tadi, hatinya sedikit tenang dan memikirkan semula apa yang telah diperkatakan oleh Afeef dan menimbangnya secara rasional dengan fikiran yang cukup waras. Dia juga memikirkan kebarangkalian-kebarangkalian lain seandainya dia menerima calon suami yang dicari oleh mak dan abahnya. Perlukan pula adaptasi yang baru untuk mengenal hati budi masing-masing. Kalau dia menerima sahaja cadangan Afeef, kurang sedikit bebannya untuk menerima sebuah keluarga baru kerana dia sendiri mengenal baik ahli keluarga Afeef. Lagi pula mereka telah lama kenal dan mengenali hati budi masing-masing. Cuma yang menjadi masalahnya sekarang ini adalah, dia kena menerima Afeef sebagai imamnya kelak. Tambahan lagi ianya melibatkan hati dan perasaan. Jika sebelum ini mereka hanya bersahabat baik, berkongsi suka dan duka. Tetapi untuk kali ini, mereka akan terikat antara satu sama lain dan akan mempunyai tanggungjawab yang besar apabila bersama. Segala rahsia luar dan dalam sudah tidak menjadi rahsia di antara mereka. “hmmm..” terkeluar keluhan berat dari bibir comel itu apabila memikirkan masalah tersebut. Cepat-cepat Iffat mengucap dalam hati. Teringat pesan Rasulullah, baginda tidak menyukai umatnya mengeluh. Diibarat tidak mensyukuri apa yang telah Allah beri kepadanya. "Astaghfirullahala'zim..."

“oi Fat! Aku dari tadi Tanya kau ni. Boleh pulak kau termenung.” Nurjannah menepuk sedikit peha Iffat apabila soalannya tadi tidak berjawab dan hanya keluhan yang dibalas Iffat. Tepukan itu membuatkan Iffat tersedar apabila kepalanya tadi menerawang jauh ke mana entah. Dia hanya tersenyum melihat Nurjannah sudah bercekak pinggang melihat perilaku Iffat.

“Jan, esok-esoklah aku cerita dengan kau. Aku mengantuk sangat ni. Esok aku ada kelas pagi. Aku janji, aku akan cerita dengan kau ok? Please Jan.” Iffat melentokkan kepalanya di bahu Nurjannah tanda ingin memujuk memandangkan matanya telah mengantuk dan menuntut untuk tidur. Dia juga tahu, hanya Nurjannah merupakan salah seorang sahabat karib yang dipercayai selain Luthfiyah teman sekolahnya. Apa sahaja yang berlaku dengan dirinya, pasti akan diceritakan kepada mereka berdua. Cuma, hal yang berkaitan dengan Afeef sahaja belum diceritakan. Tunggulah. Esok masih ada. Tersenyum dia sendiri apabila memikirkan dua sahabatnya itu.

…………………………………………………………………………..

Seperti yang dijanjikan, Nurjannah menuntut janji Iffat beberapa malam lepas kerana masing-masing sibuk dengan kuliah masing-masing tambahan pula mereka di semester yang terakhir. Pada hujung minggu macam ini baru mereka berpeluang untuk berborak lama.

Iffat mengajak Nurjannah, Natrah dan Isha pergi berjoging pagi Sabtu itu kerana Natrah dan Isha juga teruja untuk mengetahui apa yang berlaku sebenarnya pada pertemuan Iffat dan mamat hensome seperti yang digelarkan kepada Afeef oleh mereka bertiga. Maka, mereka bertiga telah bersiap lebih awal daripada Iffat kerana rasa keterujaan mengetahui perihal si mamat hensome.

“oi. Awalnya siap kau orang semua. Baru pukul 6.45. Bukan ke kita janji pukul 7? Ni belum pukul 7 lagi kau orang dah siap.” Iffat memandang pelik setiap muka rakan-rakannya yang awal-awal lagi sudah terpacak di hadapan pintu biliknya. Masing-masing hanya diam sambil membuat iklan ubat gigi.

“Kura-kura naik perahu betullah kau ni Fat” balas Nurjannah sambil tersenyum makna. Iffat mencebikkan mulutnya kerana dia tahu apa yang sebenarnya yang menuntut mereka bertiga bersemangat luar biasa hari ini. Kalau tidak, jangan haraplah nak bangun awal cuti hujung minggu macam ini. Lagi-lagi si Isha ni. Paling liat antara mereka bertiga. Lagi tak tahan, apabila melihat Isha yang memang gemar melawa ini memakai lip gloss di bibirnya sebelum memulakan perjalanan mereka ke taman riadah. Iffat hanya menggeleng melihat perihal seorang rakannya yang itu.

“yela yela. Jomlah gerak sekarang. Lepas jogging nanti aku cerita.” Balas Iffat senada. Bercahaya wajah mereka bertiga mendengar kata-kata Iffat.

Selepas berjoging di taman riadah yang disediakan di dalam kampus itu, mereka singgah di café untuk membasahkan tekak setelah penat berjoging. Lagi pula, rakan-rakannya semakin mendesak Iffat untuk menceritakan perkara yang sebenar. Iffat akur itu semua dan dia sangat beruntung kerana mempunyai rakan-rakan yang memahami tidak kira dalam susah mahupun senang. Dalam sedang bercerita masalah yang dihadapi berkaitan dengan mamat hensome tu, datang pula si Rafaal seorang lagi rakan sekuliahnya.

Rafaal merupakan peminat setia Iffat Hamani sejak mereka mula-mula masuk ke sini dan sama-sama sekuliah. Tapi hasrat hati itu hanya dipendam oleh Rafaal kerana mengetahui yang Iffat merupakan anti lelaki dan couple kerana menjaga batas-batas pergaulan. Bukannya dia tidak menyukai lelaki tetapi itulah pesanan mak dan abahnya apabila dia mula melangkah ke menara gading itu. Tetapi dengan sikap Rafaal yang begitu menghormati pendirian Iffat, membuatkan Iffat selesa untuk berkawan baik dengan Rafaal. Bagi Rafaal, itu sudah mencukupi. Rakan-rakan yang lain tahu akan hasrat hati Rafaal apabila melihat tindak-tanduknya yang begitu lain apabila berhadapan dengan Iffat. Walhal, Iffat biasa sahaja apabila berhadapan dengan Rafaal. Cuma, pada malam mamat hensome itu datang berjumpa Iffat, makin jelas kelihatan perilaku Rafaal yang gelisah apabila ternampak Iffat bersama lelaki lain yang jauh lebih kacak daripadanya. Rafaal sendiri akui yang dia tidak setanding dengan lelaki itu sungguhpun dia antara pelajar yang amat disukai dan diminati oleh pelajar perempuan lain kerana keramahan dan sangat aktif di bidang sukan rugby di kampus itu.

“Assalamualaikum guys! May I joint?” sapa Rafaal kepada sekumpulan gadis itu.

“Waalaikumussalam” jawab mereka hampir serentak.

“Duduklah Rafaal” jawab Isha teruja kerana dia memang dari awal lagi sudah meminati Rafaal dalam diam dan dia juga mengetahui yang Rafaal menaruh perasaan terhadap Iffat. Tapi dia tidak kisah itu semua kerana biarlah dia menyukai lelaki itu dalam diam.

Rafaal terus menarik kerusi meja sebelah dan duduk di penjuru meja mereka di antara Iffat dan Isha. Tersenyum simpul si Isha bila Rafaal duduk berhampiran dengannya. Terhidu aroma minyak wangi Hugo Boss milik Rafaal yang tampil ringkas pagi itu dengan t-shirt putih bersih berkoler jenama Hush Puppies dan seluar hitam pendek melepasi lutut. Kombinasi ringkas tetapi tetap ada pesonanya yang tersendiri.

Iffat yang dari tadi hanya diam membisu mengucap syukur di dalam hatinya kerana Rafaal tidak perlu mengetahui masalah yang dihadapi dan kebetulan dia sudah habis bercerita perihal Afeef yang datang berjumpa dengannya pada beberapa malam yang lepas kepada tiga orang gadis dihadapannya itu.

1 comment:

YONG JIAO XIU said...

so simple,hehe. cinta bersegi2 nih.