Apr 8, 2016

Yang Tak Pernah Ku harapkan_bab 3

Bab 3

Zafiq toleh sebelah. Sejak tadi dia perasan sepupu kesayangannya itu jauh termenung. Bertih jagung yang dibeli sejak tadi pun tak berusik. Selalunya, sebelum masuk ke panggung kotak bertih jagung tu dah kosong.
“Hoi!” Disiku lengan Sufiya yang mengenakan baju kurung berjalur halus.
Sufiya berdecit. Botol air mineral di tangan diteguk selamba.
“Kau apasal? Seminggu dua ni lain macam aku tengok.” tanya Zafiq prihatin. Susah dia nak tengok Sufiya termenung melainkan kalau ada masalah besar.
“Tak ada apalah!” Dalih Sufiya. Tidak mahu berterus terang apa yang terjadi di antara dia dan Izhar tempoh hari kerana yakin akan jadi bahan ketawa Zafiq.
“Betul ke apa yang mama awak cakap?”
“Mama saya kan suka usik awak. Awak janganlah dengar cakap mama saya tu. Dia gurau aje.” balasnya setenang mungkin demi mengawal perasaan sendiri. Muka dihalakan ke arah lain. Tak mampu dia nak pandang muka Izhar.
“Bukan tadi awak yang cakap, kalau lelaki yang turun dari langit tu macam saya, awak akan terima hmm?” Izhar lirik senyum.
 “Er… tu saya main-main aje. Mana ada lelaki yang turun dari langit kan?” Senyum pahit terdampar.
“Tapi kalau Allah turunkan saya depan mata awak, awak boleh terima?”
“Hoi!” Sekali lengannya di siku. Hilang bertabur bayang Izhar. Dipandang geram muka di sisi.
“Berangan lagi! Kau apasal ni sebenarnya? Kau yang sibuk ajak tengok wayang tadi kan? Bukan datang sini nak berangan. Kalau nak berangan, dekat rumah pun boleh...” kata Zafiq lagi bila perasan dia bercakap seorang diri sejak tadi.
Sufiya berdecit lagi. Dijeling Zafiq sekali.
“Yang kita ni, tunggu siapa lagi? Ety?” Dia pula ajukan soalan bila perasan Zafiq sejak tadi kerling jam tangan.
“Ety mana ada. Dia balik kampung mak dia dekat Johor nun…” balas Zafiq mengenai tunangnya.
“Habis tu? Yang kau beli tiket sampai tiga apa hal? Lagi satu untuk siapa?” Hampir bertaut kening Sufiya yang lebat.
Zafiq sengih lebar. Penuh makna.
Sufiya kecilkan mata.
“Kau jangan ajak orang yang bukan-bukan ya?” Awal-awal dia memberi amaran kerana tahu Zafiq banyak saja helah muslihatnya.
“Alah! kawan kau jugak. Bukan kau tak kenal.” jawab Zafiq selamba. Seketul bertih jagung dimasukkan ke mulut.
Sufiya hadiahkan jeling tajam.
“Ni aku punya! Nak, pergi beli sendiri!” Selamba dia menarik bekas bertih jagung daripada tangan Zafiq.
“Eh, tadi bukan main kau termenung lagi. Sikit pun kau tak hairan aku makan dari tadi.” tingkah Zafiq. Memang pun bertih jagung tu bukan dia yang beli.
“Tu tadi, sekarang tak!” selamba Sufiya membalas. Satu persatu bertih jagung dikunyah. “Mana kawan kita yang kau cakap tu? Wayang dah nak start ni.” Tekannya menyindir sambil mengerling jam di pergelangan.
“Entah. Dia kata dah sampai. Kejap lagi kut.” Mata Zafiq meliar ke sekeliling. Tercari-cari bayang seseorang dari celah orang ramai yang berkumpul di depan panggung.
Sufiya hala mata ke sekeliling juga. Cuba melihat kalau-kalau ada wajah yang dikenali. Asyik mengunyah bertih jagung, rahangnya terhenti bekerja bila mata terhala pada seraut wajah yang cukup dikenali. Seperti yang dijangka… Tak lain dan tak bukan, si bagus-bagus! Rengus dilepaskan.
“Menyesal aku ajak kau tadi. Baik aku ajak Izhar.” gerutunya menahan geram melihat Yusran yang sentiasa kelihatan segak walaupun mengenakan denim lusuh. “Kau macam dah tak ada kawan lain dalam dunia ni kan Zaf?” sindirnya selamba sebaik Yusran berdiri di depannya.
“Dah dia aje kawan tidur sebantal yang aku ada. Kan Ran?” Selamba juga Zafiq jawab.
“Bukan kita tak biasa keluar bertiga. Sebelum ni okey aje kan? Lagi pun dah lama sangat kita tak keluar bertiga macam ni.” ujar Yusran dengan senyum senget.
“Entah dia ni. Macam tak biasa.” sokong Zafiq.
Sufiya cebik. Disumbat lagi bertih jagung ke mulutnya seraya memalingkan muka. Tak sudi dia nak pandang muka lelaki yang selalu menyakitkan hatinya. Memang pun sejak pada zaman kampus lagi mereka banyak menghabiskan masa bertiga sungguhpun dia dengan Yusran bermasam muka.
“Dia ni mesti bengang sebab interview hari tu, Zaf. Tengok muka pun tahu. Rilakslah Piah. Aku terpaksa profesional. Kau pun tahu bukan aku sorang yang buat keputusan. Takkan sebab kau kawan aku, aku kena pilih kau?” kata Yusran lagi. Sedar jurang di antara mereka makin jauh walaupun bukan itu yang dia mahu. Niat asalnya hanya untuk membantu.
“Bila masanya aku jadi kawan kau?” tingkah Sufiya selamba.
Yusran tahan hati.
“Eloklah kau bukan kawan aku. Aku pun tak teringin ada kawan macam kau ni. Dari dulu sampai sekarang, bambam! Entah bilanya nak kurus!” balasnya selamba sengaja nak menyakitkan hati. Geram kerana Sufiya tak pernah pun nak terima kehadirannya walaupun sebagai seorang kawan. Tak sah kalau tak bertekak setiap kali bertemu.
“Kau ni kan…” Sufiya ketap bibir kuat.
“Apa?” Yusran jongket kening sebelah. Renungan tajam bertukar. Zafiq yang jadi pemerhati dah menggeleng beberapa kali.
“Kau ni…” Sufiya dah hala jari telunjuk ke depan muka Yusran. Yusran tetap tenang dengan senyum sinisnya. Sengaja terus cabar kemarahan Sufiya. Dia lagi suka tengok muka gebu di depannya ini kemerah-merahan menahan marah.
“Weh! Sudahlah tu! Takkan nak bergaduh dekat sini pulak?” Zafiq cepat-cepat berdiri di tengah-tengah. Menghalang kedua-duanya daripada terus bertekak.
Sufiya lepas rengus. Cuba menyabarkan hati sendiri.
“Aku penat betul tengok korang berdua ni. Agaknya memang tak boleh ke kalau tak bergaduh? Asal jumpa aje nak bergaduh. Asal jumpa aje nak bertekak? Tak penat ke? Macam budak-budaklah korang ni.” bebel Zafiq sambil pandang kedua-duanya bersilih ganti.
“Dia yang mulakan dulu! Bukan aku!” jawab Sufiya bela diri. Yusran senyum.
Zafiq lepas hela panjang. Menggeleng lagi.
“Aku dah tak tahulah nak cakap macam mana lagi dengan korang ni. Esok-esok Tuhan jodohkan korang berdua baru tahu!”
“Cantiklah tu!” Selamba Yusran jawab dalam sengih.
Sufiya hala renung membunuh. Macam nak ditelan Yusran kala itu.
“Sudah-sudah! Jangan nak mulakan lagi. Jom masuk! Kita dah terlambat ni tahu tak? Haihh…” Zafiq terus paut bahu Yusran. Mahu meleraikan terus perbalahan daripada berlanjutan.
Sufiya ketap rahang kuat. Berbuku rasa geram dalam hati yang tak mampu diluahkan. Sudahnya bertih jagung dalam kotak yang jadi mangsa. Habis diramas semuanya sekuat hati untuk melepaskan rasa marah pada Yusran sebelum langkah dibawa menuruti kedua-duanya ke pintu masuk panggung.
……………..
Dua belakang tubuh lelaki yang berjalan di depannya dipandang geram yang sedikit pun tak menyusut sebaik mereka habis menonton. Filem yang ditonton sebentar tadi sikit pun tak berjaya menarik perhatiannya bila kedua-dua makhluk Allah tu dengan selamba melahap bertih jagungnya hingga habis. Licin!
“Zaf!” Tidak bernada. Kedua-duanya memberhentikan langkah.
“Kenapa?” balas Zafiq.
“Kau pergilah makan dulu. Aku nak solat kejap.” Habis berkata dia terus berpusing. Malas menanti bicara Zafiq kerana yakin Yusran akan sama-sama menyampuk.
“Terus blah macam tu aje?” Yusran bersuara sambil memandang tubuh Sufiya yang kian menjauh.
Zafiq tersengih.
“Faham-faham ajelah dia tu. Hormon selalu tak pernah stabil setiap kali kau ada.” Dia perasan wajah cemberut Sufiya dari masuk ke dalam panggung hinggalah mereka keluar sebentar tadi. “Jomlah solat dulu. Lepas tu, baru kita pergi makan. Bukan senang-senang si Piah tu nak duduk makan sama-sama dengan lelaki hot macam kau ni kan?” Terangkat-angkat keningnya mengusik.
Yusran menyengih sama.
Tiba di ruang surau tersedia, masing-masing mengambil tempat di kerusi panjang untuk menanggalkan kasut. Zafiq yang mendahului, terus sahaja masuk. Yusran masih berlambat-lambat di situ memandangkan keadaan surau yang sedikit sesak.
Sebaik sahaja meletakkan kasutnya di bawah kerusi yang diduduki, mata terhala ke arah susuk tubuh yang baru sahaja melewatinya untuk ke ruang solat wanita yang bertentangan.
“Kau baru nak masuk? Aku ingat kau dah siap solat. Tadi menonong kau jalan.” Selamba dia menegur menyebabkan langkah gadis tu terhenti.
Sufiya merengus kecil sebelum menoleh. Tak perlu meneka siapa yang menegur kerana suara garau tu dah jadi macam mimpi ngeri yang sering menghantuinya. Punggung dilabuhkan ke kerusi panjang yang turut tersedia di tepi pintu surau wanita. Bertentangan dengan Yusran. Mata sempat mengerling ke arah pasang kasut yang banyak di depan surau. Cukup menandakan surau lelaki agak sesak.
“Kau dah solat ke belum sebenarnya ni?” Sabar Yusran menanti balasan Sufiya yang langsung tak menghiraukan tegurannya tadi.
“Aku bukan solat dengan kau pun. Kau susah kenapa?” balas Sufiya tertahan memandangkan bersilih ganti orang keluar dan masuk melewati depan mereka.
“Memanglah kau tak solat dengan aku. Kalau kau solat dengan aku, kita tak solat dekat sini. Kita solat dalam bilik aku.” jawab Yusran sinis. Sedikit geram kerana dingin sahaja kata-kata yang keluar dari bibir Sufiya walaupun dia berlembut.
Sufiya jeling. Tanpa mahu membalas, dia bingkas. Terus sahaja menanggalkan kasut yang dipakai sebelum melangkah masuk ke ruang surau wanita.
Yusran tahan hati lagi. Berlagak kau ya… Tekad di hati dipasang. Senyum penuh makna tersirat mula terbentuk di bibir.
……………..
“Manalah badan kau tak macam ni, makan sikit-sikit dah la. Ni tidak. Dah makan nasi, kau order lagi spageti. Gila ke apa? Perut kau besar mana ni?”
Garfu yang hampir di mulut terhenti. Mata dihalakan ke arah gerangan yang berkata-kata.
“Aku ada mintak duit kau ke? Tak ada kan? Perut aku yang nak makan, bukan perut kau!” balasnya cuba menahan sabar. Sejak tadi, ada sahaja ayat tak puas hati keluar dari mulut lelaki di depannya ini.
“Memanglah! Aku cuma nak nasihatkan aje.” balas Yusran bersama senyuman. Wajah yang merah padam di depannya itu cukup mencuit hati.
“Tak payah nak nasihat! Aku tak hingin dengar nasihat dari kau! Free pun aku tak nak!” balas Sufiya tegang. Dengan selamba dia kembali menyuap spageti yang masih berbaki.
“Terpulang. Tak nak dengar, tak apa…”
Sufiya jeling. Tisu di tepi pinggan dicapai dan dilapkan ke mulut.
“Aku cakap kau bodoh nanti, kau marah. Kau dah tahu aku takkan dengar ceramah free kau tu kan? Yang kau dari tadi tak berhenti membebel kenapa? Tak penat ke?” Sindirnya selamba.
Zafiq yang lebih banyak diam dan memerhati perbalahan kedua-duanya itu hanya menggeleng. Dia dah lali tengok panorama tu sejak dulu lagi.
“Kau cakaplah apa pun. Tapi, cuba kau tengok sekeliling. Aku rasa, semua perasan yang kau dari tadi tak berhenti makan. Patutlah lelaki susah dekat dengan kau. Kau tak takut ke jadi anak dara tua tak laku dengan badan kau macam ni?” Sedas lagi ayat menyakitkan hati keluar dari bibir Yusran.
Dan sekali lagi Sufiya berhenti mengunyah. Sudu garfu yang dipegang terus diletakkan ke tepi pinggan sebelum menyedut jus oren milik Zafiq memandangkan gelas jus tembikainya lebih awal dah kosong. Renungan mata menujah tajam ke wajah tenang lelaki bermulut puaka di depannya.
“Kau cakap macam orang tak sedar diri kan? Kalau kau tu hot sangat, apasal sampai sekarang kau tak kahwin? Jangan kata kahwin, girlfriend pun kau tak ada kan?” tingkahnya berani.
Yusran senyum tepi. Sudu di tangan bermain-main dengan nasi yang masih berbaki di dalam pinggannya.
“Aku ni lelaki Piah. Bila-bila masa, cukup duit, cukup syarat, anytime aku boleh kahwin kalau aku nak. Tapi kau tu, perempuan. Kau ingat, lelaki suka tengok kau macam ni? Sakit mata tahu tak?” balasnya tenang.
Sufiya merengus. Ringan sahaja tapak tangannya mahu dilayangkan ke muka Yusran. Wajah terus dipalingkan ke sisi.
“Betulkan kalau apa yang aku cakap salah.” Giat Yusran mencabar.
“Jodoh, maut bukan dekat tangan kau!”
“Memang. Semua tu, memang bukan dekat tangan aku. Badan kita ni, Dia yang cipta Piah. Tapi kau rasa, kau jaga tak amanah yang Dia bagi ni baik-baik selama ni hmm?” Penuh makna Yusran menuturkannya.
Sufiya merengus lagi. Tubuh disandarkan bersama silangan tangan di dada. Sungguh terasa mahu pecah dadanya apabila Yusran bijak meningkah apa sahaja yang diucapkan.
“Weh… sudahlah tu. Depan rezeki kut.” Zafiq yang sejak tadi menjadi saksi perbicaraan kedua-duanya, mencelah.
Sufiya jeling ke sisi.
“Kau punya pasal la ni!” Hamburnya geram.
“Pulak… dah kenapa aku pulak terlibat ni?”
Sufiya ketap bibir kuat. Rasa mahu dihempuk kepala sepupunya tu.
“Kau dah tahu, lagi nak tanya!” bentaknya tertahan.
Zafiq sengih pahit. “Alah.. aku ingat nak buat macam reunion hari ni. Kita pun dah lama tak keluar sama kan?” Dijongketkan keningnya kepada Yusran yang turut tersengih.
“Ei.. aku tak hadap la nak reunion dengan orang perasan bagus ni!” balas Sufiya bengang.
“Memang aku bagus apa? Kau?” celah Yusran bersama senyuman sinis.
“Mulut kau...” Sufiya ketap kuat bibir lagi.
Yusran jongket kening beberapa kali. Suka benar dia tengok muka merah padam di depannya itu.
Sufiya menegakkan tubuh. Mata tajam merenung Yusran yang masih tersengih-sengih. Terasa mahu ditelan lelaki itu hidup-hidup. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Kau dengan mulut kau, dari dulu sampai sekarang memang tak pernah berubah kan? Okey… Aku faham sekarang kenapa kau tak ada girlfriend. Kau dengar sini ya. Kau ingat, semua perempuan hadap sangat dengan muka macam bagus kau ni? Kau jangan ingat, perempuan sekarang pilih suami dengan tengok muka bajet bagus aje boleh jadi suami? Hah! Tolong kau jangan perasan! Perempuan sekarang tak bodoh, tak dungu nak pilih tu semua semata-mata. Setakat muka perasan handsome kau ni, kau ingat boleh jamin bahagia sampai mati? Memang takkanlah… Kalau ada perempuan yang dekat dengan kau pun, semua tu mesti yang stok gedik-gedik, high heels sejengkal, kurus kering macam orang tak makan setahun. Betul tak? Kau ingat, dia orang tu semua betul-betul nakkan kau?” Senyum sinis terlakar di bibirnya. “Kau fikir sendirilah bro…” sambungnya penuh makna. Sengaja mahu membakar hati lelaki ego melangit tu.
Zafiq yang mendengar, hampir menghamburkan tawa. Manakala Yusran masih mampu tersenyum dan beriak tenang seperti biasa. Seperti langsung tak terkesan dengan segala kata-kata Sufiya yang berbaur cabaran. Sedikit sebanyak, terusik juga ego yang dipertahankan selama ini. Apa yang terluah di bibir gadis itu, tak mampu dinafikan semuanya. Memang selama ini, perempuan yang cuba mendekatinya bukanlah yang benar-benar tulus. Tetapi hanya kerana kedudukan dan kesenangan yang dimiliki.
“Macam ni la Aran... Kalau aku jumpa lelaki yang betul-betul sukakan aku, kau nak buat apa?” Tambah Sufiya terus mencabar dengan hati yang meluap geram. Kesabaran yang disimpan hari itu terasa benar-benar terhakis.
Zafiq yang sedang mengunyah kentang goreng terus terhenti. Dipandang dua wajah di depannya itu bersilih ganti.
Anything selagi bawah kemampuan aku.” sahut Yusran lancar sebaik dia menyandar selesa pada kerusi yang duduki. Riak tenang sedaya upaya dikawal sebaiknya hingga tak terlukis gentar yang mengusik.
Sufiya senyum tepi.
“Kalau aku jumpa calon yang sesuai… aku harap kau tak muncul lagi depan mata aku sampai bila-bila. Kalau terserempak pun, aku harap sangat kau tak kenal aku.” ujarnya tenang dengan riak yang cukup serius.
Small matter! So, bila kau boleh jumpa calon kau tu? Selagi kau belum jumpa, aku bebas nak muncul ke tak depan muka kau kan? And one more thing, make sure lelaki tu setanding dengan aku. Jangan pulak nanti kau pergi upah lelaki mana entah, jadi boyfriend kau! Ni bukan novel cerita hikayat yang si Zafiq suka baca tu.” Yusran membalas cabaran tetapi Zafiq yang tersedak. Membulat mata sahabatnya itu. Dan paling penting, mana mungkin dia mahu mengalah dengan Sufiya kerana cukup yakin gadis itu tak akan berjaya.
“Aku rasa, ni kali terakhir kau nampak muka aku. Eh, bukan. Ni kali terakhir aku jumpa kau!” balas Sufiya cukup yakin. Sudah terbayang wajah tenang Izhar di ruang mata.
Are you sure Nurul Afni Sufiya?” cabar Yusran lagi.
Sufiya tarik senyum.
“Jodoh pertemuan, hidup mati dekat tangan Allah kan? Kita tengok nanti.” jawabnya sambil mengerling ke arah Zafiq di sisi.
“Er… aku tak ada kena mengena dengan kes korang ya?” ulas Zafiq melepaskan diri. Tak tahu dia harus berpihak kepada siapa.
“Kau pun samalah Zaf! Kau selalu cakap aku perempuan terdesak cari boyfriend kan?” Hambur Sufiya separuh geram. Not lima puluh diletakkan di tepi pinggan sebelum dia terus bingkas.
“Piah!” Zafiq sambar lengan Sufiya. “Dah nak balik ke?” Dia mula serba salah tengok muka Sufiya yang cukup tegang.
“Takkan aku nak tidur sini pulak!” Sindir Sufiya tertahan seraya menarik semula lengannya.
“Piah, duduklah dulu. Kau makan pun tak habis lagi.” Zafiq cuba memujuk.
“Putus selera aku makan dengan orang perasan bagus ni! Aku nak balik. Kalau kau nak duduk sini lagi, kau duduk. Aku boleh balik sendiri!” Sufiya bertegas sebelum terus berlalu.
“Piah!”
Panggilan Zafiq langsung tak dihiraukan. Mujur saja restoran tu tak terlalu ramai pelanggan. Selaju mungkin dia mengayunkan langkah membawa hati yang panas terbakar.
Sementara Yusran yang memerhati bayang Sufiya kian menghilang, mengoyak senyum lebar. Puas hati tengok muka Sufiya yang tegang menahan marah yang tak mampu dihamburkan walaupun hatinya sendiri terbakar dek kata-kata yang terluah di bibir gadis tu tadi. Cuma dia bijak menyembunyikannya.
“Buat hal la kau bro. Tak pasal-pasal aku pun kena sekali. Kalau mama dia tanya aku macam-macam kenapa dia balik sendiri, aku nak jawab apa?” Zafiq menghela nafas berat. Ibu saudaranya sudah mengamanahkannya untuk menjaga Sufiya sebaik mungkin sejak dahulu lagi menyebabkan hubungan mereka terlalu akrab hingga kini.
“Aku tak buat apa-apa okey? Dia yang start dulu.” jawab Yusran selamba.
Hotak lu! Yang kau pergi bakar-bakar dia kenapa? Kau tahu dia pantang dicabar kan?” tingkah Zafiq.
Excuse me. Siapa yang cabar siapa? Aku tak cakap apa-apa pun. Dia yang pandai-pandai cabar diri sendiri, dia sendiri yang emo. Macam kau tak dengar apa yang dia kutuk aku tadi.” Yusran membela diri.
“Kau pun salah jugak. Agak-agaklah kalau bercakap pun. Kau tahukan dia macam mana? Macamlah kau tak pernah rasa apa yang dia rasa bila kau hentam dia macam tu.”
Yursan tersengih. Ya. Dia faham apa yang dirasai oleh Sufiya kerana dia juga pernah berbadan besar. Cuma dia bernasib baik sebab hatinya kering. Langsung tak peduli dengan kata-kata orang di sekeliling kerana kredibiliti dan kewibawaannya dalam akademik agak membanggakan. Dan satu lagi, hanya kerana dia lelaki. Diakui kata-kata Sufiya tadi. Wanita hari ni, tak begitu mementingkan keadaan tubuh seseorang lelaki untuk dijadikan sebagai pasangan. Namun, demi kesihatan dan juga menjaga reputasi diri, dia memang tekad untuk kurus. Zafiq sendiri menjadi saksi bagaimana sukarnya dia untuk menurunkan berat badan hingga mendapat tubuh yang kekar seperti hari ini.
“Aku cuma nak bagi dia sedar aje. Bagi kias-kias tak faham, budak macam tu kena sound terus. Baru makan dalam. Dia boleh kurus kalau usaha. Ni tak, makin bambam lagi ada. Kesihatan pentingkan? Badan tu nak pakai lama bro…” balasnya berasas.
“Haihh.. masalahnya sekarang ni, dengan aku sekali kena. Mahu dia tak tegur aku seminggu dua ni. Melepas aku nak makan free selalu dekat rumah dia kalau macam ni..” keluh Zafiq.
“Cehh!”
Zafiq tersengih-sengih. Namun dalam hati, dia tetap risau akan keadaan Sufiya. Dia tahu gadis tu benar-benar marah tadi.


No comments: