Apr 3, 2016

KPB_bab 3


Berus khas yang digunakan untuk membuang habuk pada songkok diletakkan kembali ke dalam laci meja solek. Dibelek seketika sebelum songkok tersebut diletakkan di atas kepala dengan cermat. Pantulan imej di depannya dipandang lama sebelum senyum puas terbentuk. Diteliti penampilannya atas dan bawah. Baju Melayu hijau lumut dipadankan dengan kain pelekat daripada tona warna yang sama. Bersih dan kemas seperti selalu setiap kali dia mahu bersolat. Botol wangian dari tanah suci pemberian Alauddin dicalit sekali di pergelangan tangan kanan dan kiri sebelum dicalit di belakang telinga di kedua-dua belah. Pantulan cermin dipandang lagi buat kali terakhir sebelum langkah dibawa ke luar.
“Kalau nak pergi surau, kau memang tak nak kalahkan bang?” tegur Nurin yang terconggok di hadapan televisyen menanti drama jam 7 bersiaran.
“Mestilah! Takkan nak jumpa ‘BOS’ nak pakai baju macam masuk kebun pulak? Malulah!” sahut Mat selamba sambil membetulkan kancing butang baju Melayu.
Nurin cebik. Bukan sekali dua melihat abangnya sesegak begitu. Setiap kali ke surau atau pun masjid, abangnya itu akan kelihatan lebih kemas dan tampan daripada biasa. Bukan itu sahaja, hampir setiap bulan akan ada kain pelekat dan baju Melayu baru yang dibeli. Dan tabiat tersebut tidak mampu dipersoalkan kepada abangnya walaupun melibatkan kos!
“Yang kau tu, dah tak reti-reti buang tabiat buruk setiap kali maghrib ni? Dah habis channel dalam TV tu sampaikan tak ada cerita lain kau nak tengok setiap kali maghrib? Cuba bawa-bawa pergi mengaji ke, bertadarus ke… Lagi berfaedah nak cover dosa-dosa yang berlambak tak tertebus tu. Ini tidak, cerita tak berfaedah tu jugaklah yang kau nak hadap!” Sembur Mat apabila perasan drama jam 7 baru sahaja bermula.
Nurin tidak berbunyi. Sengaja mendiamkan diri daripada menjawab kerana yakin akan bertambah panjang kuliah maghrib yang bakal diterimanya.
“Kau dengar tak ni, apa yang aku cakap?” Tekan Mat.
“Ei… Orang cutilah! Takkan nak mengaji jugak!” balas Nurin separuh geram.
“Eh kau ni, dan-dan kata cuti. Mentang-mentanglah episod akhir hari ni. Entah iye entah tidak tengah cuti tu.”
Nurin berpaling. Wajah abangnya itu dipandang tajam. Mat jongket kening sebelah. Melawan!
“Apa yang bertekak tak habis-habis dah dekat maghrib ni? Sampai bawah mak dengar.” Muncul Hajah Huzaimah di rumah atas itu.
“Mak tengok anak manja mak tu ha… Tak habis-habis dengan drama maghrib-maghrib ni.” sambut Mat sambil memuncungkan mulut ke arah Nurin yang mula tekun menonton.
Hajah Huzaimah capai alat kawalan jauh lalu bergelap skrin 42 inci yang tersangkut di dinding.
Nurin tersentak. Mulutnya terlopong.
“Hah, yang kau pulak tercegat lagi dekat sini buat apa? Apasal tak pergi lagi ni? Dah nak azan kan?”
“Orang tunggu Alauddin datanglah ni.” Mat sengih. Manis raut wajah bersihnya.
Hajah Huzaimah menjeling tajam.
“Kalau setiap maghrib tak bertekak, memang tak boleh agaknya korang ya?”
“Alah mak… Sementara ada ni, apalah salahnya. Budak hingus tu kan dah nak masuk U. Nanti dah tak ada orang nak lawan bertekak dengan orang.” Sahut Mat sambil tersenyum senget ke arah satu-satunya adik yang dia ada. “Nasiblah orang ni pegang amanah ayah. Kalau tak, dah dari awal lagi orang tak duduk sini, mak…”
“Eleh.. Iyelah tu! Bukan sebab kau sayang mak ke?” Hajah Huzaimah angkat-angkat keningnya. Dia tahu anak sulungnya memikul segala tanggungjawab yang ditinggalkan oleh arwah suaminya menyebabkan lelaki itu tidak mengikut jejak langkah rakan-rakan sebaya yang banyak bekerja di bandar.
Mat senyum. Langkah dibawa mendapatkan Hajah Huzaimah. Dua tangan diletakkan ke atas bahu wanita yang masih cantik di matanya.
“Orang memang sayang mak. Tapi rasanya… mak yang tak sanggup berpisah dengan anak teruna kacak mak sorang ni kan?” Keningnya juga terangkat-angkat.
Bluwerk! Perasan gila!” celah Nurin mengejek.
“Eleh! Tak boleh terima hakikatlah tu kan mak?” Mat sempat lempar jeling ke arah adiknya sekilas.
“Memang perasan pun!” Hajah Huzaimah tolak wajah anaknya yang makin mendekat. “Sudahlah! Tu Alauddin dah sampai!” Cepat-cepat dia menolak tubuh Mat sebaik terdengar deru enjin motor yang masuk ke halaman rumah.
Cup!
Tidak sempat mengelak, dahinya menjadi sasaran bibir Mat. Menggeleng dia seketika diiringi senyum.
“Budak hingus! Kau jangan nak memandai bukak TV tu lagi ya? Pergi buat kerja berfaedah sikit. Kalau dah malas sangat, pergi kira duit syiling aku yang aku dah letak atas meja tu. Empat-empat balang tu kira semua!”
“Eh, apasal pulak aku yang nak kena kira?”
“Kau nak laptop kan?” Mat lirik senyum senget. Kening sebelahnya terjongket.
Nurin ketap bibir.
“Tu duit aku nak beli laptop kaulah tu. Tak tahulah cukup ke tak dua ribu. Kau pergi kira dulu. Balik karang, baru aku decide laptop apa yang cukup dengan duit tu semua.” Tambah Mat yang menahan tawa seraya terus berlalu ke muka pintu.
Nurin dah tak terkata. Hanya mata menyorot sayu ke arah Hajah Huzaimah yang sudah menggeleng bersama helaan panjang. Terpaksa bersabar dengan perangai anak sulungnya yang sukar dijangka.
*****
“Terima kasih.” ucap Mat sebaik bungkusan makanan yang diserahkan wakil jemaah yang menguruskan majlis tahlil dan bacaan Yassin selepas isyak tadi. Majlis tahlil buat arwah suami Senah, Razi. Disebabkan itu, dia menumpang Alauddin ke surau yang agak jauh dari rumahnya semata-mata memenuhi jemputan Senah.
“Din!”
Alauddin menoleh sebaik lengan kanannya disenggol Mat.
“Apa?”
“Tu...”
Mat muncungkan mulut ke arah kanannya. Alauddin terus sorot pandang ke arah yang dimaksudkan. Ada seorang gadis comel bertelekung berkerawang bunga merah jambu tersenyum-senyum ke arah mereka.
“Aku perasan, dari kita datang tadi, dia asyik pandang kau bro.” sambungnya dalam sengihan mengusik.
“Pandang aku? Kau gila ke apa? Tahu dek bini aku, tak pasal-pasal kena sesah dengan penyapu. Takkanlah dia pandang aku yang dah berbini ni?”
“Habis tu, takkan pandang aku pulak? Orang juling aje yang pandang aku ni.” Mat sengih. “Kau kan imam muda dalam kampung ni. Dah tentu semua anak dara pandang kau. Kan ramai perempuan yang berlumba-lumba nak jadi bini imam muda macam kau. Maklumlah… stok lelaki soleh dah jadi limited edition! Siap ada yang sanggup sumpah setia hidup bermadu.” tambahnya lagi.
“Tak ada maknanya. Kau tu yang orang tak berhenti pandang dari tadi. Bukan jiran Si Senah tu aje, Makcik Leha jual nasi lemak tepi simpang tu pun jeling-jeling kau dari tadi. Tu belum Si Senah. Dia pun pandang kau macam nak terkeluar kanta mata tu ha…” Alauddin tunjuk pula ke arah Senah yang bersandar di tepi kereta Kelisa putih di tepi surau. Tersenyum-senyum wanita itu memandang ke arah mereka.
Mat pandang ke arah yang dimaksudkan. Senyum dilabuhkan. Tanpa segan tangan membuat lambaian.
“Hoi!” Alauddin pula senggol lengan Mat. “Selamba kodok kau lambai-lambai anak dara orang. Kita dekat surau lagi ni tahu tak?” Suara Alauddin tertahan. Mengingatkan.
“Dia bukan anak dara lagi…” bisik Mat seraya melepaskan tawa kecil. “Kau tunggu aku dekat motor kejap. Aku nak jumpa dia.” sambungnya sebelum membuka langkah.
“Eh.. Mat!” Tidak sempat pun Alauddin menghalang, Mat sudah menyarung selipar.
“Abang Mat… Terima kasih sudi datang sampai jauh ke sini. Ingat tak datang tadi.” Mesra Senah menyapa lelaki yang cukup segak di hadapannya itu. Jauh berbeza dengan apa yang dilihat saban hari.
“Sama-sama. Aku pun lama tak datang surau ni. Sekali sekala tukar angin, best jugak.” Mat senyum senang. Mata tak lepas pandang wajah bersih Senah yang masih mengenakan telekung. Bersih tanpa secalit warna asing yang telah menyembunyikan kecantikan aslinya selama ini. Aurat juga lebih terjaga.
“Erm… abang balik naik apa ni?”
“Tu, Alauddin. Aku datang dengan dia tadi.”
“Oh… Ingat naik basikal.” Senah sengih. Suka benar dia mengusik perihal basikal lelaki tu.
“Kalau basikal tu ada lampu, memang aku dah bawak tadi. Tak payah susahkan Si Din tu ambik aku.”
“Itulah… Nah dah cakap banyak kali suruh beli motor. Motor cabuk pun tak apalah untuk senangkan abang. Ini tak, basikal jugak yang abang sayang.”
Mat keluh perlahan. “Nampaknya aku memang kena cari motor jugaklah lepas ni. Mak aku pun dah bising. Sampai dah tak boleh handle telinga aku ni. Semalam, rantai basikal aku putus lagi lepas balik dari kedai kau. Nasib dah nak sampai rumah. Tapi berpeluh jugaklah ketiak aku menolak.” Cerita Mat disambut dengan tawa halus Senah. Teringat peristiwa di kedainya beberapa hari lalu.
“Kak Ross!”
Masing-masing menoleh. Mat lempar senyum nipis ke arah gadis comel yang menjadi perbualan bersama Alauddin tadi.
“Abang Mat kenal ni kan?” kata Senah seraya menarik tangan Emma Ruzana ke sisinya.
Mat geleng. Polos.
“Ni Emma la.. Yang dulu masa kecik-kecik, abang tolong tarik kaki dia yang tersepit dalam jejari basikal Nah tu. Tak ingat? Dia jarang balik kampung. Kerja dekat Cheras tu ha..”
“Erm…” Mat cuba mengingati. “Entahlah. Aku dah tak ingat.” jawabnya lurus tanpa terus memandang wajah gadis yang tidak lekang dengan senyuman. Entah kenapa dia terasa ada aura negatif saat sepasang matanya berlaga dengan sepasang mata galak itu.
“Erm… Nah, aku nak beransur dululah. Tu, Si Din nak hantar aku lagi. Kau bawak kereta elok-elok. Assalamualaikum.” Cepat dia beredar tanpa menanti balasan. Resah akan renungan Emma yang tak lepas. Dia rimas! Rasa dia ditelanjangkan pun ada. Ngeri!
“Sekarang, kau percaya cakap aku tadi?” Alauddin sedia menanti di atas motor, tersengih-sengih. Dia perasan gadis tadi tidak lepas pandang ke arah Mat.
“Ei… Meremang semua bulu aku! Jomlah kita balik. Gugur pulak semua bulu aku lama-lama dekat sini. Budak tu pandang, macam aku tengah buat poco-poco terbogel! Ei…” Mat terus panjat motor Alauddin, jadi pembonceng. Manakala Alauddin sudah meledakkan tawa melihat garis resah di wajah sahabatnya itu.
“Bersyukurlah ada perempuan nak mengurat kau, Mat… Tak adalah orang kampung mengata kau tak ada nafsu pada perempuan.” kata Alauddin dalam sisa tawa. Motor yang ditunggang melewati Senah dan Emma yang masih tercegat di tepi kereta. Masing-masing sempat melemparkan senyum manis.
“Kau tengok senyum budak tu tadi? Memang sah dia nak ngorat kau, bro. Jangan kau kata tak bernafsu pulak!” sambungnya lagi.
“Eh, kau ingat aku terdesak sangat ke, Din?” Mat tepuk sekali bahu Alauddin. “Waras lagi nafsu aku ni ha. Setakat tenung macam tu, aku belum ada selera. Atau dalam bahasa terpelajarnya, tak ada feel, kau tahu?”
“Tak ada feel? Punya comel tu, kau kata tak ada feel? Budak tu pakai tudung tau. Jauh lagi sopan dari Si Senah yang kau jumpa selang sehari tu.”
“Pakai tudung, tapi tenung aku macam nak telan. Fuh! Ngeri bro. Seram! Semua bulu aku ni pun tak turun lagi. Hesy! Nampak sangat ada yang tak kena dengan budak tu. Dari dia, baik Senah yang dah tentu aku kenal baik buruk dia. Bukan baik buruk aje, luar dalam. Insya-Allah.” Ulasnya dengan sengihan.
“Amboi kau, Mat.. Bukan main lagi. Siap dalam pun kau tahu. Ada apa-apa ke yang aku tak tahu hmm?” Alauddin juga sengih.
Seketika, tawa terus terburai dari mulut kedua-duanya.
“Dahlah kau Din. Tak payahlah cakap lagi pasal perempuan ni. Macam dah tak ada cerita lain. Tak pasal-pasal aku mengingau nanti.” ujar Mat dalam sisa tawa.   
Alauddin terus sambung gelak.
“Tapikan Mat, Senah pun aku rasa okey dengan kau. Nak kata tak cantik, cantik tu Mat. Kau pun tahu luar dalam kan? Kalau tak, tak ada budak bujang pun boleh nak mengurat dia. Tok haji pakai serban apatah lagi. Pak Semat tu lagilah… Sampai bini satu, sampai dah tiga, tak habis-habis nakkan Si Senah tu. Dari Pak Semat, baik dia pilih kau.” ujar Alauddin sebaik tawanya reda.
Meluahkan pendapat. Padanya tiada salah seorang bujang beristerikan wanita yang bergelar janda. Tambahan pula Senah sebatang kara selepas kematian suami. Rezeki anak pun belum sempat dimiliki.
“Eh, kau ni Din! Tak habis lagi ke?” Mat tepuk lagi bahu Alauddin yang cermat mengendalikan Honda Ex5 warna putih itu menelusuri jalan yang tidak berlampu jalan. Gelap-gelita. Hanya sesekali mereka akan berselisih dengan orang kampung yang menggunakan jalan tersebut.
“Habis tu, susah sangat kau nak kahwin. Aku sampai dah anak tiga, Mat. Kau bila lagi?”
Mat lepas nafas panjang.
“Kau dah sama macam mak aku, Din. Nak sangat tengok aku kahwin. Masalahnya sekarang ni, bukan senang nak kahwin macam tu aje. Besar tanggungjawab, Din. Nak jaga anak orang, tak sama macam jaga anak ayam. Dengan keadaan aku ni, kau rasa ada ke yang sanggup hidup macam cara aku sekarang ni?”
“Kau mampu, Mat. Aku tahu kau mampu. Bukan sehari dua aku kenal kau. Dua orang perempuan yang dekat rumah tu kau boleh jaga, apalah sangat setakat Senah.” Alauddin tahan gelak. Sengaja melibatkan nama Senah kerana telinganya sering sahaja mendengar gosip orang kampung mengenai hubungan akrab kedua-duanya.
“Sudahlah kau Din! Tak habis-habis Senah. Masin mulut tu karang, baru melopong semua mulut orang kampung.” Mat sengih dengan kata-katanya sendiri.
“Cun sangatlah tu! Senah dah termasuk dalam kategori perlukan bimbingan. Bukan biasa-biasa punya bimbingan. Tapi bimbingan khas!”
Mat cebik.
“Kalau dah kena bimbingan khas, aku rasa elok hantar dia ke kelas bimbingan dan kaunseling. Macam dekat sekolah dulu-dulu.” Bibir tahan senyum.
“Kau ni Mat, ada yang balik jalan kaki ni karang! Aku serius ni!” Alauddin memperlahankan motornya.
“Okey okey. Tak payahlah serius sangat Din. Pasal Senah aje kut..”
“Serius tak serius sangatlah. Aku cakap dia kena bimbingan khas sebab status dia, Mat. Bukan pasal perangai atau penampilan dia. Yang tu semua boleh repair kemudian. Sekarang ni, aku cakap pasal keadaan diri dia.”
“Ini memang serius bunyinya bro.” Mat tepuk lagi bahu Alauddin.
“Memang serius!” Tekan Alauddin. “Senah memang perlukan tempat bergantung, Mat. Ada lelaki tempat dia berlindung. Dan yang paling penting, boleh elak fitnah. Macam-macam orang mengata dia, Mat… Kadang-kadang, kesian aku dengar. Sampai ada yang kata dia dah macam perempuan murah. Kau tengoklah dia macam mana sekarang. Haihh… tak boleh nak cakap. Tadi aje yang aku rasa sejuk sikit mata  ni pandang. Kalau selalu tu.. Allah.. Tuhan aje yang tahu betapa naik butanya mata aku ni. Sebab tu, aku jarang nak datang kedai dia. Sanggup aku pergi kedai yang lagi jauh. Melainkan terdesak aje, Mat.”
“Alah mulut orang, Din. Manalah kita boleh nak tutup.” Tenang Mat membalas.
“Memanglah tak boleh tutup. Cuma kau aje yang aku rasa boleh tutup mulut orang yang suka mengata dia. Kau aje yang aku rasa boleh bimbing dia, Mat…”
Mat diam. Cuba mencerna setiap patah kata sahabatnya itu dan perlahan-lahan cuba dibawa ke dalam hati.
“Mat…”
“Hmm…” Perlahan.
“Kau dengar tak apa aku cakap? Diam aje.”
“Dengarlah…”
“Mat, tu cadangan aku aje. Kau tak payahlah fikir berat sangat. Agaknya jodoh kau dengan jiran Senah tu. Siapa tahu kan?” Alauddin sengih.
“Kau ni, Din. Kejap Senah, kejap budak tu. Sudahlah kau!” Ditepuk lagi bahu Alauddin. Dalam masa yang sama cuba membuang debar yang tiba-tiba mengetuk dada.
*****
“Kak Ross, Abang Mat tu handsome kan?” Emma tidak mampu menyembunyikan rasa terujanya bertemu dengan Mat yang pernah dianggap sebagai hero yang menyelamatkannya dari kehilangan kaki.
“Memanglah handsome.” Senah yang tenang memandu menoleh sekilas bersama segaris senyum. Ikhlas mengiakan kata-kata anak jirannya itu. Penampilan Mat yang jauh berbeza begitu menarik mata yang memandang. Dia tidak terkecuali. Seksi dari biasa!
“Kalau Emma tahu, lepas habis belajar dia terus duduk kampung, Emma tak kerja dekat Cheras tu kak. Baik tolong akak dekat kedai. Hari-hari boleh jumpa dia. Handsome gila dia sekarang kak…” Senyum kian melebar di bibir Emma. Masih terbayang-bayang lagi raut wajah tampan Mat di ruang matanya.
“Kenapa Emma cakap macam tu?”
“Emma dah lama tak jumpa dia. Tak sangka pulak dia lagi handsome dari dulu. Badan dia… jauh beza. Dulu kurus keding macam orang tak makan. Sekarang.. Mmm.. Peluk mesti sedap tu…” Tawa kecil Emma terlepas. Dia sudah membayangkan lebih jauh lagi aset yang ada pada badan Mat.
Senah menggeleng beberapa kali diiringi senyum.
Overnya… Mat tak suka perempuan over ni, Emma..” Sekadar mengingatkan.
“Iye ke?”
“Iyelah. Dia mana pandang akak ni. Lagi-lagi akak dah ada title J kan? Jangan haraplah!”
“Erm… tapi tadi berborak dengan akak, macam okay aje?”
“Dia dengan semua orang okay. Kita orang kan dah lama kawan. Dia pun kawan baik dengan arwah Abang Razi dulu.”
 “Tapi kan… Emma macam tak percaya tu Abang Mat. Handsome maut!” Emma tersenyum lebar.
“Tu rupa Ahmad Fairuz Affendi pergi surau. Emma belum tengok lagi rupa Abang Mat Kacang macam mana.” Dia tersenyum-senyum. Lucu apabila teringat akan gelagat Mat yang sering mencuit hati sesiapa pun yang memandang.
“Mat Kacang?”
Senah angguk pula. “Lagi handsome dari tadi kalau Emma nak tahu.” Tawa ditahan.
“Serius ke?” Mata Emma membulat. Bertambah teruja.
“Seriuslah! Dari jauh lagi orang dah boleh kenal siapa Abang Mat tu.”
“Iye ke? Wow! Bunyi dahsyat sangat tu. Ni yang tak sabar nak jumpa dia lagi.” Emma tersenyum lebar. Tidak tergambar lagi rasa terujanya. Tidak sabar mahu bertemu lagi dengan Si Hero penyelamat kakinya yang tersepit di celah jejari basikal.
Senah sembunyi tawa. Kereta yang dipandu mula masuk ke perkarangan rumah. Beberapa meter di sebelah kanan, rumah keluarga Emma.
“Kak Ross.”
“Hmm…” Senah pandang ke wajah Emma sebaik mematikan enjin kereta.
“Kak Ross dari dulu duduk dekat kampung ni, mesti rapat dengan Abang Mat kan?”
Senah senyum segaris. Pintu kereta ditolak. Tubuh dibawa keluar dan Emma juga menurut.
“Nak kata rapat sangat tu, tak adalah. Tapi sebab dah selang sehari jumpa, kawan macam dulu-dulu jugak. Biasa aje.” jelas Senah jujur.
Walaupun dia sering bergurau soal kahwin bersama Mat, namun tiada sekelumit rasa di hatinya buat lelaki itu. Kerana dia tahu Mat punya cita rasanya tersendiri terhadap wanita dan dia menghormati Mat sebagai seorang sahabat. Namun, dia takkan menolak andai dah tertulis jodohnya bersama Mat kelak. Dengan senang hati dia membuka ruang hati untuk Mat bertakhta kerana hanya Mat seorang saja lelaki yang paling rapat dan dipercayai selama ketiadaan suaminya.
“Erm… kalau macam tu, akak mesti ada nombor telefon dia kan?” Emma jongket kening sebelah bersama senyuman penuh mengharap. Namun tidak pula pada Senah. Hampir bercantum dua keningnya.
“Emma nak buat apa nombor telefon dia?”
“Hesy! Akak ni.. Lagi nak tanya buat apa..” Gadis itu sudah tersenyum-senyum.
Senah menggeleng beberapa kali. Tangan terus menekan alat kawalan jauh kereta.
“Yang tu, akak tak boleh bagi. Akak pegang amanah dia. Akak tak boleh nak bagi sesuka hati nombor telefon dia pada orang lain. Tak pasal-pasal akak kena marah nanti.” Langkah terus dibawa ke pintu utama rumah batu bercat putih peninggalan arwah suaminya. Membiarkan Emma yang masih berdiri di tepi kereta.
“Alah kak… Bolehlah…” Emma mula merayu.
Sorry. Tu Emma kena mintak pada dia sendiri. Akak tak nak masuk campur apa pun yang Emma nak buat. Maaflah ya. Good night!” Senah cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Pintu dikunci. Mengelak daripada termakan pujuk rayu Emma yang selalunya berjaya mencairkan hati sesiapa pun.
“Akak… Bolehlah kak. Akak kan sayang Emma.. Please...” Suara Emma masih kedengaran di luar.
“Emma, pergilah balik! Dah lewat ni! Tak takut ke sorang-sorang dekat luar tu.. Kalau ada ‘benda’ yang ikut Emma balik nanti, akak tak boleh nak tolong.” balasnya dari dalam rumah, menahan tawa daripada terhambur. Itu sahaja cara untuk mengelakkan Emma terus bertapa di hadapan rumahnya.  
“Akak!” Emma mula pandang kiri dan kanan. Sunyi. Bulu roma mula terasa merinding. Kisah makhluk halus yang sering sahaja menjadi buah mulut orang kampung mula menujah akal. Tanpa mahu berlengah, kain baju kurung yang dipakai, diangkat setinggi mungkin hingga menampakkan betis. Berlari tidak cukup tanah dia pulang ke rumah apabila sayup kedengaran bunyi burung hantu dengan tiba-tiba.


No comments: