Apr 8, 2016

KPB_bab 4

Bab 4
Senah toleh lagi ke arah gadis yang mundar-mandir di hadapan kedainya sambil tangan terus mengisi bawang kecil ke dalam bakul yang sudah pun kosong. Kepala menggeleng beberapa kali tengok Emma yang jelas tak sabar menanti kehadiran Mat yang kebiasaannya akan tiba jam 10 pagi. Baru minggu lepas pulang bercuti, gadis itu pulang lagi ke kampung semata-mata mahu bertemu dengan Mat.
“Tak penat ke berdiri dekat situ Emma? Kan lagi baik Emma tolong akak isi bakul-bakul yang dah banyak kosong ni.” tegurnya.
“Kejaplah kak. Nanti Emma buatlah. Kalau dah tolong akak nanti, habislah badan ni bau bawang, bau ikan bilis tu semua.” jawab Emma tanpa menoleh. Matanya lurus ke jalan menanti Mat datang.
“Hmm… Suka hati Emmalah. Akak nak ke belakang. Nanti tolong isikan bakul kentang yang dah kosong tu. Akak dah letak kampit kentang dekat tepi tu.”
“Iyelah. Nanti Emma buat.” Masih tak berganjak.
Senah menggeleng beberapa kali tengok tingkah Emma yang sering kali membetulkan tudung yang dipakai dan lebih 10 kali pula melihat cermin bedak kompak yang dibawa bersama.
“Lagi satu, kalau Abang Mat sampai nanti jangan lupa panggil akak.”
“Iyee…” tekan Emma meleret. Mata masih memaku ke arah jalan yang agak lengang. Berdebar  menanti si hero pujaan hati, si penyelamat kaki.
Seawal 8 pagi lagi dia terpacak di situ semata-mata mahu bertemu dengan Mat. Namun bayang lelaki itu masih lagi tak kelihatan. Jam hampir menginjak 10. Matahari pun kian menegak.
Di hujung simpang, dia ternampak bayang seseorang menunggang basikal. Sepasang matanya dikecilkan. Sabar dia menanti hinggalah bayang tersebut kian jelas dan bola matanya terus membulat. Tercengang! Mulutnya renggang tidak terkatup rapat. Digosok beberapa kali mata untuk memastikan apa yang dilihat bukanlah khayalan.
“Assalamualaikum!”
Emma tak berkutik. Seperti tidak percaya dengan susuk tubuh lelaki yang baru sahaja menongkat basikal berpalang tengah di hadapan kedai.
Mat pula pandang pelik gadis berbaju kurung merah jambu yang terpacak di situ.
“Apa pulak budak ngeri ni buat dekat sini?” gumamnya perlahan. Melihat gadis itu merenungnya tak lepas, dia terus berlalu ke dalam kedai mencari bayang Senah.
“Emma!” Senah tepuk bahu Emma yang dah terduduk di kerusi kayu hadapan kedainya. “Apasal ni?”
Emma menyorot pandang ke arah susuk tubuh yang berdiri di belakang Senah.
“Err… Abang Mat ke tu?” Soalnya perlahan. Hampir berbisik.
“Iyelah. Siapa lagi? Dialah yang Emma tunggu dari tadi.” Senah sembunyi senyum sambil mengerling ke arah Mat yang tidak berperasaan.
“Biar betul Abang Mat ni?” Emma masih tidak percaya dengan apa yang dilihat. Lelaki kacak yang dilihat minggu lepas jauh berbeza dengan apa yang dilihat kini.
Mat bertopi kelabu yang sudah tercarik benang, berkemeja lusuh bertompok warna coklat di pinggang. Dipadankan pula dengan but getah hampir ke lutut. Penampilannya mungkin sahaja dia dapat terima kerana sedia maklum akan pekerjaan lelaki itu. Bahagian kenderaan rasmi yang digunakan, Emma masih belum mampu hadam. Basikal cabuk berpalang tengah, berjejari karat yang sudah boleh dijual di kedai besi buruk!
“Apa hal adik kau ni, Senah? Otak dia ada tersepit dekat mana-mana jejari basikal ke?” Selamba Mat menyoal.
Senah tahan tawa. “Apa abang cakap macam tu!” Sempat tangannya menampar lengan Mat yang berlapik.
“Iyelah. Tengok aku dah macam nampak toyol. Apasal?” Mat berlalu ke basikalnya semula. Ikatan karung guni gula yang berisi bungkusan tempe dibuka. Tidak mahu terus berlamaan di situ menjadi tatapan gadis ngeri dan cukup rimas di matanya.
“Budak, tepi sikit! Aku nak letak tempe ni dekat sebelah kau tu.” Selamba Mat mengarahkan Emma yang masih terkulat-kulat merenungnya sejak tadi agar memberi laluan. “Haih.. muka aje cantik. Tapi sawan!” bebelnya dalam nada yang sama.
“Akak!” Emma paut lengan Senah. “Abang Mat cakap Emma sawan!” adunya tidak puas hati.
Senah pula sudah menekup mulut. Tawanya hampir sahaja bertabur.
“Nah, minggu depan, seminggu aku tak hantar tau? Hari ni aku letak banyak sikit.” Beritahu Mat sebaik habis mengira bungkusan tempe yang diletakkan. Karung guninya cepat-cepat dilipat. Mahu segera beredar kerana ada urusan lain yang harus diselesaikan.
“Eh, lamanya cuti? Abang nak pergi mana?”
“Nurin nak masuk U. Nak uruskan hal dialah ni…” jawab Mat tanpa mengerling sekali pun ke arah Emma.
“Oh… Iyelah kalau macam tu. Erm… Abang kalau nak pinjam kereta Nah pergi pekan, abang pakai ajelah. Tak payah susah-susah abang bayar tambang teksi. Abang isi minyak aje kereta Nah tu.” Senah mahu membalas budi.
“Cantik sangatlah tu! Macam tahu-tahu aje aku nak pinjam kereta kau.” Mat sengih. “Aku baru cadang nak pinjam kereta kau tadi. Si Din, kereta dia masuk bengkel pulak.” jelas Mat tanpa hiraukan renungan tajam Emma.
“Bila-bila abang nak pakai, abang datang ajelah. Nah bukan nak ke mana pun. Abang tak payah susah-susah pinjam kereta Abang Din. Kereta dii tu kadang, Kak Dila nak guna.” Tambah Senah lagi.
“Tulah! Terima kasihlah, Nah. Kau ajelah kawan yang tak pernah berkira dengan aku.” Mat senyum lagi. Dalam pada masa yang sama, dia perasan gadis ngeri di sisi Senah mula menarik muka. Ketat.
“Adik kau tu apa hal? Sahlah ada sawan ni?” Dipandang sekilas muka kelat masam tu. Tadi buat muka terperanjat, sekarang muka ketat pulak. Konfius!
Emma ketap bibir. Dipandang geram wajah selamba Mat yang mengatanya.
“Emma balik dululah kak! Buat penat aje Emma datang sini! Sakit hati aje dapat!” Rengus Emma seraya membuka langkah untuk pulang ke rumah yang tidak pun jauh mana. Namun baru beberapa langkah, dia berpatah semula.
“Hah, nak apa pulak ni?” Laju Mat menyoal apabila Emma terus sahaja terpacak di depannya sambil tersenyum-senyum dan memegang telefon. Sawan telefon pulak budak ngeri ni! Desis hatinya.
“Bang Mat…” Meleret. “Boleh tak, kalau Emma nak mintak nombor telefon abang? Kita pun dah lama tak jumpa. Boleh tak bang? Nanti senang-senang, bolehlah kita whatsapp ke.. call ke..” Terkelip-kelip mata bulat Emma. Hilang wajah kelat masamnya tadi. Mengharap permintaannya tidak dihampakan kerana itu juga tujuan utamanya sanggup jadi penunggu setia di situ tadi.
“Eh, buat apa whatsapp, call tu semua? Cakap sekarang tak boleh ke? Kan lagi senang. Tak payah nak buang kuota internet kau tu. Aku pun tak suka nak membazir kuota internet aku. Membazir amalan syaitonnirrhojim…” jawab Mat selamba. Tidak berniat pun mahu memberi nombor berdaftarnya.
“Habis tu, abang dari tadi asyik cakap dengan Kak Ross aje. Abang buat tak nampak pun Emma dekat sini. Abang saja buat-buat tak kenal Emma kan? Dulu masa kecik-kecik, bukan kita selalu main sama-sama ke? Abang tak ingat, masa abang main perang-perang mercun dulu, abang baling mercun termasuk dalam baju Emma?” Emma kembali tarik muka dengan harapan dapat menarik perhatian lelaki itu.
Mat kerut kening. Seketika dia gosok pelipis. Cuba mengingati memori yang diceritakan Emma
Apasal tak ada satu pun cerita pasal kau yang aku ingat?” Dia tergaru-garu kepalanya pula.
“Biar betul abang dah tak ingat?” Celah Senah.
“Entahlah! Aku tak ingat pun. Dan aku malas nak ingat. Yang aku ingat, masa kecik-kecik dulu memang aku selalu main dengan kau. Tapi, aku tak ingat pun budak ni.” Selamba Mat menggelarkan Emma sebagai budak memandangkan tubuh yang sama besar dengan adiknya.
Emma ketap bibir.
“Abang nak Emma tunjuk parut mercun abang dekat dada Emma ni ke, baru abang nak ingat?” ujarnya geram.
“Kau jangan nak buat kerja tak senonoh nak tunjuk-tunjuk dada dekat sini.” Mat jegil mata sebelum wajah Senah dicari.
“Senah, kau jangan nak ajar benda tak elok dekat budak ni. Dah elok-elok pakai tudung, dia nak main tunjuk dada pulak. Cantik tak apalah jugak. Kau tolong ajar dia mengucap banyak-banyak!” Selarnya tanpa rasa bersalah sebelum terus mendapatkan basikal. Seketika dia menoleh sekilas ke arah Emma sebelum menggeleng sendiri bersama hembusan nafas berat. Gadis itu kembali meleret senyum.
“Rosak budak ni. Nah, aku rasa eloklah kau bawak dia ke hospital. Melarat karang, payah!” Dia panjat basikal.
Senah tekup mulut.
“Aku balik dulu. Assalamualaikum!” Selamba dia terus beredar tanpa menanti sebarang balasan melainkan kedengaran suara halus Emma menyeru namanya.
Emma membentak-bentak tidak puas hati melihat bayang Mat yang semakin mengecil.
“Sekarang Emma tahukan macam mana Mat Kacang?” Senah sengih.
“Eii… Muka aje handsome! Mulut jahat! Kata orang sawan, dia lagi sawan!” Hambur Emma geram seraya terus berlalu. Hampa kerana nombor telefon lelaki itu tak berjaya diperoleh.
Senah yang menjadi pemerhati hanya mampu melepaskan tawa. Tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Tingkah Mat tadi sudah cukup memberi petanda penolakan dan dia yakin Mat sengaja bertindak sedemikian untuk mengelak daripada Emma.
******
“Tu bukan ke kereta Si Senah?” Kata Hajah Huzaimah sebaik kereta Kelisa warna putih itu masuk ke halaman rumah.
“Abang ni, suka hati dia aje pinjam kereta orang. Orang suruh beli kereta sendiri, tak nak! Sibuk aje dengan kos dia tu! Pinjam kereta orang, tak apa pulak?” tambah Nurin pula yang sedia menanti bersama ibunya di tangga rumah untuk ke pekan hari itu.
“Tunggu apa lagi, jomlah!” Laung Mat dari tingkap kereta yang dibuka.
“Hesy! Nak kena betul budak Mat ni! Memang saja nak bagi darah aku naik!” Gumam Hajah Huzaimah menahan geram dengan perangai anak sulungnya itu. Tak sabar dia nak melahar rasa tak puas hatinya.
Masuk sahaja ke dalam kereta, lengan pejal anaknya itu dahulu yang dicari. Ditepuknya sekuat hati dan diiringi dengan cubitan halus yang bertalu-talu.
“Aduh mak! Kenapa tiba-tiba ketip orang ni?” Mat gosok-gosok lengannya yang terasa perit. Mata sempat menjeling ke arah Nurin yang sudah tergelak-gelak di belakang.
“Kau tanya mak kenapa? Kau sedar tak kau bawak kereta siapa sekarang ni? Kau memang saja nak bagi tahu semua orang kampung yang kau ada skandal dengan Si Senah tu ya?” Hambur Hajah Huzaimah tidak lagi bertangguh.
“Eh, hari tu mak macam tak kisah pun kalau orang dengan Senah. Sekarang mak marah pulak. Mana satu ni mak?” balas Mat lurus.
“Hari tu mak cakap, kalau kau memang betul nak, mak pergi pinangkan. Ni, kau entah nak entah tidak, lepas tu tiba-tiba bawak kereta dia. Kan ke boleh jadi fitnah orang? Kau ni kan, Mat.. memang saja tahu! Kau suka, orang mengata kau ada skandal dengan Si Senah tu?”
Mat hela nafas panjang. Wajah tegang ibunya di sebelah dipandang sekilas.
“Mak.. mak..” keluhnya perlahan. “Peduliklah orang nak cakap apa pun. Kan mulut orang. Orang nak cakap apa, dorang punya pasallah. Lainlah kalau mulut budak hingus tu. Memang orang boleh stapler.” Dijeling adiknya yang tidak henti mentertawakannya.
“Kau senang aje cakap ya? Kau ingat, mak kau ni pakai telinga batu? Tak payah dengar apa orang cakap pasal kau?” Tingkah Hajah Huzaimah yang masih belum berpuas hati.
“Cuba mak cakap, cerita apa lagi yang mak dengar pasal orang? Pasal skandal dengan Senah lagi? Alah! Kalau pasal tu, dah basilah mak. Orang dah tak heran pun…”
Hajah Huzaimah ketap bibir. Ditepuk lagi lengan anak terunanya itu sekuat hati. Geram!
“Lepas ni, kalau mak dengar lagi cerita yang bukan-bukan pasal kau dengan Senah, mak dah tak kira. Mak pinang terus Si Senah tu untuk kau. Nanti kau jangan nak banyak bunyi pulak!” Dia tekad. Itu saja caranya mahu menutup mulut anak sulungnya yang kerap benar menjawab setiap kali isu tersebut timbul sekali gus menutup mulut orang kampung yang sering membawa cerita kepadanya.
“Habislah kau, bang…” Nurin pula menambah sebelum tawanya meletus lagi.
Mat cebik. Cuba membuang rasa gerun andai apa yang disebut ibunya sebentar tadi benar-benar berlaku. Demi mengelakkan perbalahan berlanjutan, dia mengambil keputusan untuk mengalah. Tiada kata lagi yang kedengaran. Kelisa mula dipandu keluar dari halaman rumah.
“Minggu depan Nurin nak masuk U, kereta kau tak ada depan rumah… Siaplah basikal buruk kau tu mak benam ke sungai besar depan sana.” Suara Hajah Huzaimah masih kedengaran walaupun perlahan. Mat menoleh sekilas bersama helaan nafas. Namun, datang pula idea mahu menyakat. Senyum mula berlabuh.
“Erm… Kalau orang pinjam aje kereta Senah ni, boleh kan mak? Kereta jugak.”
Hajah Huzaimah mengilas bersama renungan tajam. Serupa Mat mahu ditelan hidup-hidup.
“Kau jangan nak main-main, Mat. Minggu depan jugak mak pergi pinang Si Senah tu. Kau nak?” Tegas. Serius!
“Pinang je mak. Biar dia rasa. Degil sangat!” Nurin menambah.
Mat terus meledakkan tawa.
“Cantik sangatlah tu! Tak payah aku beli kereta yang dah tentu makan ribu-ribu. Setakat Senah, berapalah sangat. Tak payah nak kira kos petrol, minyak hitam bagai.” Dia sengih-sengih. Tetapi hanya seketika apabila lengannya sekali lagi menjadi mangsa.
“Bukan main lagi kau ya, Mat? Kau ingat, Senah tu macam anak ayam yang kau beli dekat pasar? Yang kau boleh bagi makan dedak hari-hari?” Selar maknya garang.
Mat sengih kelat.
“Orang main-main ajelah, mak. Bukan betul-betul pun. Orang tahulah Senah tu anak orang. Takkanlah orang nak bagi dia makan dedak pulak. Serius sangatlah mak ni!”
“Serius tak serius. Kau jangan nak main-mainkan anak orang ya? Mak seligi kepala kau tu dengan handle basikal kau nanti!” Hajah Huzaimah jeling tajam.
“Alah! Gurau pun tak boleh!” Gumam Mat perlahan. Sekali lagi terpaksa mengalah. Dan sekali lagi itu juga Hajah Huzaimah tala jeling membunuh.
……………
Kepala yang tidak gatal, digaru lagi buat entah ke berapa kali. Mata tidak henti meneliti setiap barang yang masuk ke dalam troli yang hampir penuh. Aplikasi kalkulator di dalam telefon nya sudah beberapa kali ditutup dan dibuka.
“Dik, tak habis lagi ke?” Soalnya sedaya upaya menyembunyikan resah dan takut didengari maknya yang beberapa tapak di hadapan.
“Belumlah!” jawab Nurin bersama senyum yang disorokkan. Dia cukup faham apa yang sedang bermain dalam fikiran abangnya itu.
“Dah nak penuh troli ni, kau kata tak cukup lagi? Kau nak kereta Kak Ross kau tu sampai terjongket baru nak habis ke?” ujar Mat tertahan.
“Tak muat bonet, kita ikat atas bumbunglah! Senang!” Nurin sengih. Menonong dia mendapatkan Hajah Huzaimah yang sedang melihat deretan sabun basuh di rak.
Mat ketap bibir. Rambut yang kemas tersisir digosok beberapa kali hingga bersepah jadinya. Kusut! Kusut kerana isi sakunya bakal mengempis dikerjakan dua insan yang paling disayangi.
“Hoi! Kau nak mandi sabun ke apa? Beli satu aje sudahlah!” Tegurnya sebaik Nurin meletakkan dua botol detergen seberat 3 kilogram.
“Beli dua sekali, senang sikit. Lambat sikit habis.” Nurin sengih. Hajah Huzaimah pula sudah memberi jelingan.
Mat terus keluh berat. Ketiak terasa berpeluh.
“Beli barang mengalahkan nak pindah rumah!” Rungutnya dengan berat hati menolak troli yang kian penuh.
“Bang, lepas ni kita pergi tempat barang elektrik eyh? Nak beli iron dengan kettle.” ujar Nurin sebelum terus menarik lengan ibunya ke sudut barangan elektrik.
Mat lepas keluhan panjang.
“Jahanam…” Dahi ditepuk beberapa kali. Lambat-lambat dia menolak troli menuruti langkah kedua-duanya. Dan baru beberapa tapak melangkah, kakinya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Segera wajah dipalingkan ke sebelah kanan.
“Bala apa pulak lagi ni…” Sengih paksa dicorakkan buat gadis genit yang mengenakan jeans hitam sendat bersama kemeja pendek menampakkan bonggol tidak sepatutnya.
“Abang Mat buat apa dekat sini?”
“Takkan jual tempe dekat sini pulak kan?” Dia sengih tawar. Tidak menyangka akan bertemu dengan Emma.
“Alah abang ni.. Emma tanya elok-elok tau..”
“Lain kali, tanya soalan yang kau tak tahu jawapan. Jangan tanya soalan yang kau boleh jawab sendiri!” Sindir Mat selamba.
“Okeylah! Aku jalan dulu ya? Mak aku dah jeling maut tu. Assalamualaikum.” Dia cepat-cepat tolak troli mendapatkan maknya yang sudah melemparkan renungan semacam. Emma dibiarkan terkontang-kanting di situ.
“Sejak bila kau kawan dengan budak Emma tu?” tanya Hajah Huzaimah bersama kerutan.
“Siapa kata orang kawan dengan dia?” Tanpa rasa bersalah Mat pulangkan soalan juga.
Hajah Huzaimah lempar jeling.
“Kau ingat mak kau ni dah buta ke Ahmad Fairuz oii! Kalau tak kawan, tak adanya nak tegur macam tu? Dengan sengih-sengih bagai!”
“Dia yang sengih. Orang tak.” Selamba.
Pap!
Lengannya menerima habuan.
“Orang tanya betul-betul!” Hajah Huzaimah ketap bibir.
“Mak tak payahlah risau. Orang takkan nakkan budak hingus macam tu buat calon menantu. Kan mak dah calonkan Senah. Senah jauh lebih baik dari budak tu mak…”
Mat senyum. Mudah membuat kesimpulan demi menutup mulut ibunya itu dari terus bertanya tentang Emma yang dia sendiri tidak begitu kenal. Namun melihat pakaian gadis itu tadi, dia dapat meneka bagaimana perwatakan Emma yang sebenar. Pangkah besar sudah diletakkan di dahi Emma sejak pertemuan pertama mereka di surau.
Hajah Huzaimah lempar jeling. Sempat dia pandang gadis yang turut sama memandangnya kala itu. Senyum nipis dilabuhkan sebelum dia berpaling semula ke arah Mat.
“Kau jangan nak main-mainkan anak dara orang ya. Kalau sampai aje dekat telinga mak ni, siaplah!” getusnya perlahan namun tegas. Amaran!
“Beres bos! Baiklah mak pergi pinang Si Senah tu untuk orang dari budak hingus ngeri tu mak…” balas Mat dalam sengih. Langsung tak gerun dengan amaran yang diterima. Bukan sekali didengari, lebih berpuluh kali!



1 comment:

May_LiN said...

aduhai..
mat o mat
main2 je