Apr 8, 2016

Akan datang!

Jam di tangan dikerling sekilas sebelum mata dihalakan ke arah pintu pagar sekolah yang masih bertutup. Bila-bila masa sesi pembelajaran akan tamat. Memang sengaja dia keluar dari pejabat tengah hari tu untuk tengok sendiri siapa yang menggantikan Uncle Halim. Mata dihalakan ke arah gadis berkemeja biru muda yang bersandar di tepi van bersama sekaki payung, leka dengan telefon. Satu tabiat yang dia cukup tak suka bila seseorang itu terus leka tak kena dengan tempat dan keadaan.
Renung tajam dilemparkan di sebalik kaca mata hitam yang dipakai. Rahang diketap kuat. Bahang di hati mula terasa. Sama bahang panas terik matahari yang membakar di luar. Mata kembali terhala ke pintu pagar sekolah yang sedang dibuka pengawal keselamatan. Tajam matanya menangkap susuk tubuh genit Sofia bersama anak kecil lain yang baru sahaja keluar dari kelas di hujung tapak perhimpunan. Agak jauh dari pintu pagar utama. Mata kembali ditalakan pada si kemeja biru muda yang tetap leka dengan telefon di tangan.
“Dia ni memang nak kena dengan aku!” Tangan dah memegang daun pintu. Bersedia untuk menolak jika gadis tadi masih tak bergerak. Satu saat, dua saat, tiga saat…
Pintu kereta ditolak. Sofia tak boleh kena panas! Itu yang ada dalam kepalanya sekarang ni. Dan disebabkan itu juga dia sanggup keluar dari pejabat semata-mata nak pastikan keselamatan Sofia terjamin! Laju langkah dibawa ke tepi van kuning. Tanpa kata, sekaki payung yang dipegang si gadis direntap lalu dibawa mendapatkan Sofia yang terkial-kial menarik beg sekolah dengan muka merah padam. Si gebu yang seorang itu memang cukup sensitif dengan terik panas matahari sejak hari pertama si gebu itu menjejakkan kaki ke rumahnya.
“Along!”
Terkelip-kelip mata bulat Sofia dengan sengih lebar tapi Azhan buat-buat tak nampak. Membalas pun tak. Mukanya tegang macam selalu. Beg Sofia dipikul ke bahu kiri sebelum tubuh genit itu terus didukung.
Si kecil Sofia kunci mulut. Padam senyum lebarnya tadi. Dia dah faham muka garang Azhan. Hanya lengan kecilnya dililitkan ke leher Azhan.
Sementara Aneera yang terkejut dengan kemunculan lelaki berkemeja hijau muda secara tiba-tiba tu terus di tempat dia berdiri tadi.
“Kau tahu sebab apa aku sediakan payung ni untuk Uncle Halim?” Sergah Azhan saat langkah kaki berhenti depan Aneera. Garang.
“Err…” Terkebil-kebil Aneera nak jawab bila tak ada satu pun perkataan yang mampu diproses.
“Kau tahu tak kerja kau ni libatkan amanah orang?” Tembak Azhan lagi. “Kalau jadi apa-apa pada Sofia ni, kau boleh ganti balik?” Nada suaranya naik satu tangga tapi masih terkawal. “Kau nak kerja, buat cara kerja! Jangan masa kerja pun sibuk nak main telefon!” Keras.
Aneera tertunduk. Akui salah sendiri. Tak berani dia nak tentang muka tegang lelaki di depannya ini. Melihat kereta yang terpakir tidak jauh dari van abahnya, dia sedar dengan siapa dia berhadapan kini. Kalau tak, dia mesti tak kena sembur macam tu. Mata sempat kerling Sofia dalam dukungan. Sofia kenyit mata sebelah. Bibir spontan tarik senyum.
“Kau tunggu apa lagi ni? Bukalah pintu tu! Kau nak biar sampai kulit budak ni terbakar baru nak buka?” Sekali lagi Azhan menyergah. Mati senyum Aneera. Terkocoh-kocoh dia buka pintu van. Azhan terus masukkan Sofia.
“Kalau kau tak boleh buat kerja senang macam ni, lain kali bagi tahu awal-awal! Aku sendiri boleh cari orang ganti!” Hambur Azhan masih tak puas hati apa yang baru saja berlaku. Payung dihulurkan. Mata sempat mengerling muka merah Sofia. “Kau tengok apa jadi dengan muka dia! Uncle Halim tak bagi tahu kau ke?”
Aneera pandang Sofia yang melemparkan senyum.
“Er… Maaf Encik. Saya…” Aneera kelu lidah. Azhan tujah renung tajam di sebalik kaca mata yang dipakai.
“Lain kali kau tak payah ganti Uncle Halim. Kalau di ada hal, aku boleh cari orang lain ganti dia.” Pintas Azhan tegas.
“Along!” Sayup ada suara lain memanggil. Masing-masing menoleh. Aqif berlari melepasi pintu pagar sekolah.
“Along?” Spontan meluncur dari bibir Aneera. Sekali lagi Azhan jeling tajam. Aneera cuba senyum. Tapi pahit!
 “Aku tahu budak-budak sampai rumah macam biasa. Kalau aku call ummi aku, budak-budak ni tak sampai lagi… Aku tak teragak-agak bagi tahu Uncle Halim apa yang kau dah buat tadi.” Azhan terus bagi amaran.
“Along buat apa dekat sini? Along nak ambik Abang dengan Fia ke?” tanya Aqif teruja sebaik tiba.
“Siapa kata aku nak ambil kau? Pergi balik dengan kakak ni. Jangan nak singgah ke mana-mana pulak!” Dingin seperti selalu. “Tunggu apa lagi ni? Masuk!” tambahnya garang. Berubah terus muka dua beradik tu.
Aneera cepat-cepat angkat tubuh Aqif untuk masuk ke dalam van. Rasa dah tak sanggup nak dengar lagi tiap perkataan yang meniti bibir lelaki yang dipanggil Along tu. Dah macam samseng mintak hutang lagaknya. Dengan budak kecil pun nak kasar-kasar macam tu. Cukup dia tak senang hati.
“Ingat apa aku cakap tadi! Terus balik!” Sekali lagi Azhan bersuara tegas sebaik pintu van ditutup Aneera.
“Ya. Saya tahu kerja saya Encik Along!” tingkah Aneera berani sebelum masuk ke ruang pemandu. Naik menyampah dia tengok muka ketat berkaca mata hitam tu. Memang dah macam samseng Ah Long mintak hutang!

Azhan tujah renung tajam. Ditahan hati daripada terus menghamburkan rasa marah tak tentu pasal. Dia masih waras lagi. Jalan terbaik, dia cuma perlu bercakap dengan Uncle Halim terus.
 

No comments: