Adalah diharap sudi berkenalan dengan kisah baru ini. :)
p/s- kepada yang masih berminat untuk mengikut group di facebook, boleh check akaun fb saya Dontbe Sad dan pastikanlah ianya SAYA. Boleh tengok profile picture pada entry yang semalam ya. Sekian. :)
.............
Yang Tak pernah Kuharapkan_bab 1
YTPK 1
“Ni, kenapa monyok aje ni? Macam mana interview
tadi? Okey?” Soal Asmi sebaik anak tunggalnya itu menghenyakkan tubuh ke sofa.
“Confirm tak dapat!” jawab Sufiya separuh
geram.
Masih
terbayang-bayang lagi seraut wajah sinis yang memperkecil-kecilkannya yang tidak
kecil tadi.
“Baru naik
tingkat dua dah termengah-mengah ni, boleh ke buat kerja nanti hm?” Lelaki
segak yang mengenakan blazer hitam, berpeluk tubuh merenung tajam ke arahnya.
“Er.. lama tak
panjat tangga. Tu yang mengah sikit tu.” jawabnya jujur seraya menahan hati
sebaik terpandang akan seraut wajah yang cukup dikenali itu. Wajah yang paling
dibenci sejak zaman kampus lagi. Muka berlagak bagus-bagus!
“Ia ke?
Maknanya badan awak tak fit la. Macam
mana kalau saya nak suruh awak hantar dokumen ke department lain kalau naik tingkat dua dah macam nak sesak nafas
ni?” Tembak lelaki itu lagi menyebabkan kian sempit ruang nafas yang sedia
sempit itu. Bibir sedaya upaya memaniskan senyum tanpa mahu membalas walaupun
hati mula memaki hamun lelaki segak bertali leher hitam itu. Ruang dada yang
sedia berbahang bertambah perit apabila melihat senyuman mengejek yang terbias
dari bibir gadis berkemeja putih di sisi lelaki itu.
“Cik Nurul
Afni Sufiya, saya bercakap dengan awak ni.” Lelaki itu menegaskan suara. Wajah
kacak itu berubah serius. Hilang terus senyuman sinis yang terpampang tadi.
“Er..
Insya-Allah. Saya boleh buat kalau pihak tuan beri saya peluang.”
Tergagap-gagap dia membalas bersama senyuman paksa.
Lelaki itu
kembali menarik senyum. Senyuman yang menyakitkan hatinya hingga kini. Kalau
dia tahu Yusran Adief kerja di situ dan bertindak pula sebagai Eksekutif Sumber
Manusia di syarikat penyiaran swasta itu, pasti dia tidak ke situ. Semua ini
hanya kerana sepupunya, Zafiq yang beria-ia menyuruhnya memohon kekosongan
jawatan penolong pegawai tadbir yang ada.
“Tak apalah.
Tak ada rezeki Pia dekat sana. Pia carilah tempat lain..” pujuk Asmi lembut.
“Macam mana
nak dapat kalau si bagus-bagus tu
yang jadi interviewer. Memang Pia
takkan dapat ma.” rungut Sufiya tidak puas hati. “Kalau Pia tahu tu tempat
kerja dia, jangan harap Pia ke sana. Buang masa betul!” Hamburnya lagi sebelum
bingkas. Terus sahaja dia ke bilik untuk mencari sasaran. Ingin dihamburkan
kemarahan yang dipendam sejak dari dalam kereta tadi. Htc OneX dicapai dari
dalam tas tangan. Segera nama Zafiq dicari.
“Kau saja nak
kenakan aku ke apa!” Tempelaknya terus sebaik panggilan bersambung.
“Kenakan apa pulak ni?” balas suara garau di hujung
sana tanpa rasa bersalah menyebabkan di terus mengetap bibir kuat. Kalau Zafiq
di hadapannya, mungkin kepala lelaki itu sudah diketuk-ketuk untuk melepaskan
geram.
“Kau tahu, aku
menyampah dengan si bagus-bagus tu
kan? Apasal kau suruh aku interview dekat sana?!”
Klik!
“Zafiq!!!”
Sekuat hati
dia menjerit sebaik talian terputus. Sudah dijangkakan tindakan sepupu
merangkap teman sejak kecilnya itu. Diketap kuat bibirnya menahan kemarahan
yang tidak sempat dihamburkan.
*******
Resume di tangan, ditenung buat
ke sekian kali. Bibir mengoyak senyum paling lebar. Teringat bagaimana
kekalutan Sufiya saat masuk ke bilik temu duga sebaik ternampak wajahnya tadi.
Merah! Itu yang mencuit hatinya sejak dahulu lagi saat kali pertama mereka
bertemu. Namun, perasaan yang ada itu tidak pernah terluah dan sengaja sering
disisihkan hanya kerana fizikal gadis bernama Nurul Afni Sufiya. Si bumbum! Itu
gelaran yang diberi memandangkan bentuk tubuh gadis itu langsung tidak menarik
atau dengan erti kata lain gemuk!
“Kenapalah kau
tak kurus-kurus sampai sekarang..” keluhnya perlahan apabila teringat kembali
insiden hampir sepuluh tahun lalu di saat kali pertama mereka bertemu.
Buk!
Lengannya
dilanggar seseorang dari arah belakang dengan tiba-tiba menyebabkan hampir
sahaja tubuhnya hilang imbangan tetapi masih sempat dikawal. Tali beg sandang
yang terlurut dari bahu, ditarik semula sebelum mata dihalakan ke arah gerangan
yang melanggarnya sebentar tadi.
“Buta ke apa,
aku yang besar ni dia langgar!” Omelnya sedikit geram apabila gadis bertubuh
gempal yang baru sahaja melanggarnya langsung tidak berpaling.
Buk!
“Adoi!”
Dia yang
berkira-kira ingin mengejar langkah gadis yang melanggarnya tadi, terus
tergamam melihat panorama di hadapan mata. Gadis gempal berbaju kurung cotton biru muda yang melanggarnya tadi
baru sahaja tergolek di atas tangga di hadapannya. Hati mula digeletek lucu dan
hampir sahaja tawa terhambur.
“Macam nangka
busuk. Tu la.. langgar aku lagi. Tak fasal-fasal kena tulah!” bebelnya dalam
hati. Kaki mengorak langkah ingin mendapatkan gadis itu memandangkan tiada
siapa yang berhenti untuk membantu. Dan saat beberapa tapak lagi dia
menghampiri, kaki terhenti. Ada seorang lelaki berkaca mata menghampiri gadis
tersebut menyebabkan dia terus mematikan niat.
Gadis yang
asyik menunduk sambil menggosok siku yang mungkin terasa sakit, dipandang tanpa
lepas. Sabar dia menanti ingin melihat wajah yang melanggarnya sebentar tadi
dan dalam masa yang sama, yakin mereka sama-sama pelajar baru yang berdaftar ke
kampus induk UPM itu.
“Tu la.. yang
kau gelojoh sangat kenapa? Tak adanya kaunter tu nak lari. Sekarang siapa
susah? Tak fasal-fasal pulak nak
hantar kau pergi hospital.”
Terdengar
bebelan lelaki yang duduk bertinggung di sisi gadis itu sambil mengutip segala
jenis kertas yang bertabur di atas anak tangga.
“Manalah aku
tahu nak jatuh ngok!” balas gadis tersebut
seraya mengangkat muka.
Dan dia yang
memerhati sejak tadi, entah kenapa tidak semena-mena menahan debar halus yang
mula menjalar sebaik seraut wajah yang memerah menahan sakit menggamit ruang
mata. Walaupun menyeringai menahan sakit, ia sedikit pun tidak mencacatkan
segala yang ada. Alis mata yang cukup cantik terbentuk, hidung sedikit mancung
bersama dua ulas delima merah yang merekah itu, amat memikat hati. Saat
renungan jatuh pada tubuh, mata terus dihalakan ke arah lain. Mati terus debar
halus yang mengusik. Putus selera! Gemuk tambah gemuk, sama dengan gemuk kuasa
dua. Persamaan itu tidak mungkin akan berlaku kerana dia berazam mahu
menurunkan berat badan sebaik sahaja melangkah masuk ke kampus yang dahulu
dikenali sebagai universiti pertanian.
“Sayang.. muka
cantik, badan.. bumbum!” Itu
kesimpulan hatinya bersama sengihan sinis sebelum kembali menyambung langkah.
Gadis yang masih duduk di tepi tangga itu hanya dipandang tepi saat dia
melewati.
Hari ini,
selepas lima tahun mereka tamat belajar, dia bertemu lagi dengan si bumbum. Kecomelan wajah itu masih tidak
berubah. Tidak menyangka wajah itu masih mampu menggetarkan hati lelakinya
seperti kali pertama mereka bertemu. Perasaan yang ditanam jauh-jauh ke dasar
hati agar tidak dihidu oleh sesiapa pun termasuklah sepupu gadis itu sendiri,
Zafiq yang juga teman sekuliah dan sebilik ketika di kampu dulu..
Mana mungkin
hal itu mahu dikongsikan kepada sesiapa memandangkan kedudukannya sebagai salah
seorang ahli jawatan kuasa tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar, mempunyai rupa
paras yang sering menjadi dambaan perempuan apabila dia berjaya menurunkan
berat badan dengan jayanya tetapi meminati gadis seperti si bumbum itu. Dia sendiri tidak faham
dengan hatinya bagaimana si bumbum
itu yang menjadi pilihan. Sering kali akal dan hati berperang menyebabkan dia
sedaya upaya menanam benih benci terhadap gadis itu. Ada sahaja yang dilakukan
semata-mata untuk menyakiti Sufiya walaupun sering dimarahi oleh Zafiq.
Getaran dari
atas meja kerjanya menyentakkan lamunan. Sebaris nama yang terpampang di skrin
5s dipandang bersama sengihan. Sudah dapat menjangka akan panggilan itu.
“What’s up?” Itu yang meniti bibir sebaik
panggilan disambungkan. Senyumnya meleret.
“Kau buat apa bro?” Soalan itu menyapa gegendang
telinganya menyebabkan tawa terus terhambur.
“Kau rasa?”
“Mengamuk anak
orang tu dengan aku.”
Tawanya terus
bersambung.
“Kau tahu aku
takkan terima kan? Eloklah dia terus dengan business
online dia tu.”
“Masalahnya,
kau bagilah chance. Dia okey apa? Kalau
tak, aku tak suruh dia mintak dekat
tempat kau tu.” Suara Zafiq kedengaran lagi yang jelas menyebelahi Sufiya.
“Okey kau
cakap? Baru aku test sikit, muka dah
merah padam. Apa tu?”
“Test apa yang kau bagi?”
“Adalah..” jawabnya
dengan sengihan.
“Kau jangan
main-main Ran. Profesional la sikit.” Suara Zafiq mulai serius.
“Sorry bro. Bab kerja, aku memang
profesional. Dah memang bukan rezeki dia kerja dekat tempat aku. Aku takkan
campur hal personal dengan kerja bro.
Ada candidate yang jauh lebih layak dari
dia. Takkan sebab member, aku nak
kena ambil dia? Nampak sangat aku tak pro.” jelasnya yang juga mulai serius.
“Tak adalah
Ran. Aku tak sukalah kau main-mainkan dia. Bukan aku tak tahu kau tu. Kau dari
dulu memang tak suka dia dekat dengan kau kan?”
Dia senyum.
Kalaulah Zafiq tahu apa yang pernah terdetik di hatinya dahulu. Dan bukan
sahaja dahulu, mungkin kini rasa itu masih berbekas lagi menyebabkan hingga
kini hatinya masih tidak terisi dengan mana-mana gadis walaupun ada sahaja yang
cuba mengimpitnya.
…………..
Mixer diletakkan ke tepi sebaik whipping
cream siap dipukul hingga kental. Kemudian, dalam bekas yang sama,
dimasukkan campuran susu pekat bersama cream
cheese yang sudah dikacau sebati.
“Siapa pulak yang tempah ni?” Asmi masuk ke
ruang dapur.
Semenjak
anaknya itu tidak bekerja, itulah yang dilakukan. Menerima tempahan segala
jenis dessert melalui dalam talian.
Dan dia perasan anak tunggalnya itu cukup bersungguh-sungguh melakukan kerja
tersebut dengan penuh minat.
“Tak ada
siapa.” Selamba Sufiya menjawab.
Tangan lincah
mematahkan biskut marie dan disusun ke dalam bekas lut sinar segi empat.
“Pia.. takkan
sebab marah pada si bagus-bagus Pia
tu lagi? Sudahlah tu Pia. Percaya pada rezeki. Apa yang Pia buat sekarang ni
pun, rezeki kan? Banyak tempahan yang Pia dapat. Kadang-kadang sampai tak
menang tangan pun.” Lembut Asmi menasihati walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu
dengan gerangan lelaki yang dimaksudkan.
Sufiya diam.
Tiada hati mahu membalas. Sememangnya rasa sakit hati belum pun surut. Dengan
cara memasak sahaja yang mampu dilakukan demi meredakan sakit hati yang
berbuku.
“Pia..”
“Pia tahu
semua tu ma. Cuma Pia geram dengan si bagus-bagus
tu. Zafiq pun satu. Siap dia, kalau dia datang nanti. Memang Pia sumbat-sumbat
mulut dia dengan marie cheese ni
dalam mulut dia!” Hambur Sufiya akhirnya. Dalam pada itu, berhati-hati dia menaburkan
serbuk coklat di atas biskut yang siap disusun tadi sebelum disapu pula dengan
lapisan cream cheese dan teknik
tersebut diteruskan hingga adunan habis.
“Pia, banyak
hikmah apa yang jadi selama ni. Tengok Pia sekarang. Dah maju business online Pia. Lagi pun, kalau Pia
buat kerja lain, mesti tinggalkan mama sorang-sorang.
Mama dah tak ada siapa lagi Pia. Mama cuma ada Pia aje.” Suara Asmi berubah
sayu pula apabila mengenangkan keadaan mereka. Sejak pemergian suaminya dua
puluh tahun lalu, hidupnya hanya bersama anak tunggalnya itu. Cukuplah empat
tahun anaknya itu tinggal di kampus, dia tidak sanggup lagi tinggal
bersendirian. Tambahan pula dalam umur yang sudah menginjak senja itu.
“Mulalah mama
tu..” rungut Sufiya sambil mengerling wajah keruh Asmi di sisi. Sedia maklum
akan kata-kata yang mampu mengusik hatinya sendiri. “Pia tahulah ma.. sebab tu,
kalau boleh Pia nak cari kerja dekat-dekat aje. Kalau boleh depan rumah tu ha..
biar Pia nampak apa yang mama buat dari sana.” luahnya pula cuba memujuk.
Asmi tersenyum
tawar. “Pia ni, tak adalah sampai macam tu sekali. Tapi, sementara Pia belum
kahwin ni la mama nak Pia selalu ada dengan mama. Esok-esok kalau Pia dah
kahwin, dah tak merasa la..” Luahnya perlahan sambil membantu anaknya itu
menyusun biskut di dalam bekas lut sinar tersedia.
“Belum tentu
lagi Pia kahwin ma.” Sufiya tersengih-sengih menyebabkan timbul beberapa garis
di dahi Asmi.
“Kenapa cakap
macam tu? Pia bukan tahu apa yang jadi masa depan.”
Sufiya
tersengih lagi.
“Pia tak fikir
pun semua tu ma. Pia cuma fikir mama aje sekarang ni. Kalau ada jodoh Pia esok
lusa, kalau boleh Pia nak duduk dengan mama. Pia tak nak mama duduk sorang-sorang. Sakit-sakit nanti, susah
hati Pia.” ujarnya seikhlas hati.
Sungguh hal
nikah kahwin menjadi matlamat terakhir dalam hidupnya. Dia percaya pada
ketentuan yang Maha Esa. Lagi pula, dia sedar akan keadaan diri. Selama ini,
belum ada mana-mana lelaki yang berani menyuarakan hasrat hati ingin berteman
dengannya. Hanya seorang sahaja lelaki yang benar-benar ikhlas bersahabat
dengannya sejak kecil iaitu Zafiq. Lelaki itulah yang banyak melindunginya dari
anasir-anasir mulut jahat yang sering mengejek akan bentuk fizikalnya.
“Eh.. ada pula
macam tu. Lepas Pia kahwin, Pia bukan lagi hak mama. Pia kenalah ikut kata
suami Pia. Takkanlah suami Pia nak ikut cakap Pia..” balas Asmi.
“Habis tu,
kesianlah mama nanti. Siapa nak jaga mama? Kalau Pia kenal dengan orang jauh
macam mana?” Wajah Sufiya mula berubah keruh. Ah! Dia memang anak mak, cengeng
dan memang tidak boleh berenggang. Jika tinggal di kampus dulu, hampir setiap
hujung minggu dia pulang ke rumah. Mujur jarak rumah dengan kampus hanya
memakan masa dua jam perjalanan.
“Kalau dah
susah-susah sangat, Pia kahwin ajelah dengan Izhar. Nak kata tak handsome, sejuk dah mata mama tengok.
Kaya? Insya-Allah.. Takkan berlapar anak mama ni nanti. Paling penting sekali,
rumah dekat. Dekat taman belakang tu aje kan?” Asmi sengaja mengusik.
Dia sedia
maklum bilangan sahabat lelaki anak tunggalnya itu. Boleh dibilang dengan jari.
Yang dia tahu, si Zafiq, si bagus-bagus
dan juga Syed Izhar. Zafiq sudah pasti anak saudara suaminya sendiri. Si bagus-bagus adalah rakan sekuliah dan
juga teman baik Zafiq serta sebenarnya tidak termasuk pun dalam senarai sahabat
lelaki anaknya itu. Dan Syed Izhar pula merupakan satu-satunya lelaki yang
dirasakan cukup ikhlas berkawan dengan anaknya itu apabila mereka sering
berhubung atas urusan perniagaan atas talian yang dilakukan.
Syed Izhar
yang memiliki sebuah kedai kek dan pastri sering membuat tempahan daripada
anaknya itu jika pihak mereka tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan. Bukan
itu sahaja, anak muda itu jugalah yang banyak membantu perniagaan atas talian
anaknya kepada peminat setia kek dan pastri sejak setahun yang lalu.
“Erk?
Pandai-pandai aje mama ni nak orang kahwin dengan Izhar. Pia dengan dia kawan
ajelah ma. Kawan business. Lagi pun,
dia dah ada tunang tahu tak? Dia sikit pun tak pandang Pia ni.” nafi Sufiya
bersama gelengan. Mengarut mama ni!
Bekas lut
sinar yang sudah pun penuh dengan lapisan biskut dan cheese, terus ditutup dan dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum
dia mula membuat susunan baru dalam bekas yang lain.
“Mama gurau
ajelah. Mama tahu. Kan Pia dah cerita hari tu. Takkanlah Pia sanggup nak rampas
hak orang kan.. Anak mama bukan perampas. Mama yakin dan percaya qadak qadar
Allah. Dia jadikan semua makhluknya berteman. Cuma lambat atau cepat aje.”
balas Asmi bersama senyuman. Dia faham akan perasaan anaknya yang seorang itu. Apa
pun, dia hanya mampu berdoa agar Allah temukan jodoh yang baik-baik buat
Sufiya. Itu doanya saban waktu agar hatinya mampu tenang sentiasa jika dia
sudah tiada nanti.
6 comments:
best.
nak lg achaaaa
smbg ek
ingatkan tak masuk blog lagi...baru lepas baca di fb.....citer baru yang menarik....bumbum gituuuuuuu....
Mesti best ni...teruskan n3 baru...utk maklumat Arsha a.k.a Dontbe Sad....akak ada lab Norizan AP dlm FB tu....
best2....nk lagi....
Best2...cepat2 lef sambung...:)
Post a Comment