Sep 9, 2014

Yang tak pernah kuharapkan_bab 1

Assalamualaikum.

Adalah diharap sudi berkenalan dengan kisah baru ini. :)

p/s- kepada yang masih berminat untuk mengikut group di facebook, boleh check akaun fb saya Dontbe Sad dan pastikanlah ianya SAYA. Boleh tengok profile picture pada entry yang semalam ya. Sekian. :)

.............
Yang Tak pernah Kuharapkan_bab 1

YTPK 1

“Ni, kenapa monyok aje ni? Macam mana interview tadi? Okey?” Soal Asmi sebaik anak tunggalnya itu menghenyakkan tubuh ke sofa.

Confirm tak dapat!” jawab Sufiya separuh geram.

Masih terbayang-bayang lagi seraut wajah sinis yang memperkecil-kecilkannya yang tidak kecil tadi.

“Baru naik tingkat dua dah termengah-mengah ni, boleh ke buat kerja nanti hm?” Lelaki segak yang mengenakan blazer hitam, berpeluk tubuh merenung tajam ke arahnya.

“Er.. lama tak panjat tangga. Tu yang mengah sikit tu.” jawabnya jujur seraya menahan hati sebaik terpandang akan seraut wajah yang cukup dikenali itu. Wajah yang paling dibenci sejak zaman kampus lagi. Muka berlagak bagus-bagus!

“Ia ke? Maknanya badan awak tak fit la. Macam mana kalau saya nak suruh awak hantar dokumen ke department lain kalau naik tingkat dua dah macam nak sesak nafas ni?” Tembak lelaki itu lagi menyebabkan kian sempit ruang nafas yang sedia sempit itu. Bibir sedaya upaya memaniskan senyum tanpa mahu membalas walaupun hati mula memaki hamun lelaki segak bertali leher hitam itu. Ruang dada yang sedia berbahang bertambah perit apabila melihat senyuman mengejek yang terbias dari bibir gadis berkemeja putih di sisi lelaki itu.

“Cik Nurul Afni Sufiya, saya bercakap dengan awak ni.” Lelaki itu menegaskan suara. Wajah kacak itu berubah serius. Hilang terus senyuman sinis yang terpampang tadi.

“Er.. Insya-Allah. Saya boleh buat kalau pihak tuan beri saya peluang.” Tergagap-gagap dia membalas bersama senyuman paksa.

Lelaki itu kembali menarik senyum. Senyuman yang menyakitkan hatinya hingga kini. Kalau dia tahu Yusran Adief kerja di situ dan bertindak pula sebagai Eksekutif Sumber Manusia di syarikat penyiaran swasta itu, pasti dia tidak ke situ. Semua ini hanya kerana sepupunya, Zafiq yang beria-ia menyuruhnya memohon kekosongan jawatan penolong pegawai tadbir yang ada.

“Tak apalah. Tak ada rezeki Pia dekat sana. Pia carilah tempat lain..” pujuk Asmi lembut.

“Macam mana nak dapat kalau si bagus-bagus tu yang jadi interviewer. Memang Pia takkan dapat ma.” rungut Sufiya tidak puas hati. “Kalau Pia tahu tu tempat kerja dia, jangan harap Pia ke sana. Buang masa betul!” Hamburnya lagi sebelum bingkas. Terus sahaja dia ke bilik untuk mencari sasaran. Ingin dihamburkan kemarahan yang dipendam sejak dari dalam kereta tadi. Htc OneX dicapai dari dalam tas tangan. Segera nama Zafiq dicari.

“Kau saja nak kenakan aku ke apa!” Tempelaknya terus sebaik panggilan bersambung.

“Kenakan apa pulak ni?” balas suara garau di hujung sana tanpa rasa bersalah menyebabkan di terus mengetap bibir kuat. Kalau Zafiq di hadapannya, mungkin kepala lelaki itu sudah diketuk-ketuk untuk melepaskan geram.

“Kau tahu, aku menyampah dengan si bagus-bagus tu kan? Apasal kau suruh aku interview dekat sana?!”

Klik!

“Zafiq!!!”

Sekuat hati dia menjerit sebaik talian terputus. Sudah dijangkakan tindakan sepupu merangkap teman sejak kecilnya itu. Diketap kuat bibirnya menahan kemarahan yang tidak sempat dihamburkan.

*******
Resume di tangan, ditenung buat ke sekian kali. Bibir mengoyak senyum paling lebar. Teringat bagaimana kekalutan Sufiya saat masuk ke bilik temu duga sebaik ternampak wajahnya tadi. Merah! Itu yang mencuit hatinya sejak dahulu lagi saat kali pertama mereka bertemu. Namun, perasaan yang ada itu tidak pernah terluah dan sengaja sering disisihkan hanya kerana fizikal gadis bernama Nurul Afni Sufiya. Si bumbum! Itu gelaran yang diberi memandangkan bentuk tubuh gadis itu langsung tidak menarik atau dengan erti kata lain gemuk!

“Kenapalah kau tak kurus-kurus sampai sekarang..” keluhnya perlahan apabila teringat kembali insiden hampir sepuluh tahun lalu di saat kali pertama mereka bertemu.

Buk!

Lengannya dilanggar seseorang dari arah belakang dengan tiba-tiba menyebabkan hampir sahaja tubuhnya hilang imbangan tetapi masih sempat dikawal. Tali beg sandang yang terlurut dari bahu, ditarik semula sebelum mata dihalakan ke arah gerangan yang melanggarnya sebentar tadi.

“Buta ke apa, aku yang besar ni dia langgar!” Omelnya sedikit geram apabila gadis bertubuh gempal yang baru sahaja melanggarnya langsung tidak berpaling.

Buk!

“Adoi!”

Dia yang berkira-kira ingin mengejar langkah gadis yang melanggarnya tadi, terus tergamam melihat panorama di hadapan mata. Gadis gempal berbaju kurung cotton biru muda yang melanggarnya tadi baru sahaja tergolek di atas tangga di hadapannya. Hati mula digeletek lucu dan hampir sahaja tawa terhambur.

“Macam nangka busuk. Tu la.. langgar aku lagi. Tak fasal-fasal kena tulah!” bebelnya dalam hati. Kaki mengorak langkah ingin mendapatkan gadis itu memandangkan tiada siapa yang berhenti untuk membantu. Dan saat beberapa tapak lagi dia menghampiri, kaki terhenti. Ada seorang lelaki berkaca mata menghampiri gadis tersebut menyebabkan dia terus mematikan niat.

Gadis yang asyik menunduk sambil menggosok siku yang mungkin terasa sakit, dipandang tanpa lepas. Sabar dia menanti ingin melihat wajah yang melanggarnya sebentar tadi dan dalam masa yang sama, yakin mereka sama-sama pelajar baru yang berdaftar ke kampus induk UPM itu.

“Tu la.. yang kau gelojoh sangat kenapa? Tak adanya kaunter tu nak lari. Sekarang siapa susah? Tak fasal-fasal pulak nak hantar kau pergi hospital.”

Terdengar bebelan lelaki yang duduk bertinggung di sisi gadis itu sambil mengutip segala jenis kertas yang bertabur di atas anak tangga.

“Manalah aku tahu nak jatuh ngok!” balas gadis tersebut seraya mengangkat muka.

Dan dia yang memerhati sejak tadi, entah kenapa tidak semena-mena menahan debar halus yang mula menjalar sebaik seraut wajah yang memerah menahan sakit menggamit ruang mata. Walaupun menyeringai menahan sakit, ia sedikit pun tidak mencacatkan segala yang ada. Alis mata yang cukup cantik terbentuk, hidung sedikit mancung bersama dua ulas delima merah yang merekah itu, amat memikat hati. Saat renungan jatuh pada tubuh, mata terus dihalakan ke arah lain. Mati terus debar halus yang mengusik. Putus selera! Gemuk tambah gemuk, sama dengan gemuk kuasa dua. Persamaan itu tidak mungkin akan berlaku kerana dia berazam mahu menurunkan berat badan sebaik sahaja melangkah masuk ke kampus yang dahulu dikenali sebagai universiti pertanian.

“Sayang.. muka cantik, badan.. bumbum!” Itu kesimpulan hatinya bersama sengihan sinis sebelum kembali menyambung langkah. Gadis yang masih duduk di tepi tangga itu hanya dipandang tepi saat dia melewati.

Hari ini, selepas lima tahun mereka tamat belajar, dia bertemu lagi dengan si bumbum. Kecomelan wajah itu masih tidak berubah. Tidak menyangka wajah itu masih mampu menggetarkan hati lelakinya seperti kali pertama mereka bertemu. Perasaan yang ditanam jauh-jauh ke dasar hati agar tidak dihidu oleh sesiapa pun termasuklah sepupu gadis itu sendiri, Zafiq yang juga teman sekuliah dan sebilik ketika di kampu dulu..

Mana mungkin hal itu mahu dikongsikan kepada sesiapa memandangkan kedudukannya sebagai salah seorang ahli jawatan kuasa tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar, mempunyai rupa paras yang sering menjadi dambaan perempuan apabila dia berjaya menurunkan berat badan dengan jayanya tetapi meminati gadis seperti si bumbum itu. Dia sendiri tidak faham dengan hatinya bagaimana si bumbum itu yang menjadi pilihan. Sering kali akal dan hati berperang menyebabkan dia sedaya upaya menanam benih benci terhadap gadis itu. Ada sahaja yang dilakukan semata-mata untuk menyakiti Sufiya walaupun sering dimarahi oleh Zafiq.

Getaran dari atas meja kerjanya menyentakkan lamunan. Sebaris nama yang terpampang di skrin 5s dipandang bersama sengihan. Sudah dapat menjangka akan panggilan itu.

What’s up?” Itu yang meniti bibir sebaik panggilan disambungkan. Senyumnya meleret.

“Kau buat apa bro?” Soalan itu menyapa gegendang telinganya menyebabkan tawa terus terhambur.

“Kau rasa?”

“Mengamuk anak orang tu dengan aku.”

Tawanya terus bersambung.

“Kau tahu aku takkan terima kan? Eloklah dia terus dengan business online dia tu.”

“Masalahnya, kau bagilah chance. Dia okey apa? Kalau tak, aku tak suruh dia mintak dekat tempat kau tu.” Suara Zafiq kedengaran lagi yang jelas menyebelahi Sufiya.

“Okey kau cakap? Baru aku test sikit, muka dah merah padam. Apa tu?”

Test apa yang kau bagi?”

“Adalah..” jawabnya dengan sengihan.

“Kau jangan main-main Ran. Profesional la sikit.” Suara Zafiq mulai serius.

Sorry bro. Bab kerja, aku memang profesional. Dah memang bukan rezeki dia kerja dekat tempat aku. Aku takkan campur hal personal dengan kerja bro. Ada candidate yang jauh lebih layak dari dia. Takkan sebab member, aku nak kena ambil dia? Nampak sangat aku tak pro.” jelasnya yang juga mulai serius.

“Tak adalah Ran. Aku tak sukalah kau main-mainkan dia. Bukan aku tak tahu kau tu. Kau dari dulu memang tak suka dia dekat dengan kau kan?”

Dia senyum. Kalaulah Zafiq tahu apa yang pernah terdetik di hatinya dahulu. Dan bukan sahaja dahulu, mungkin kini rasa itu masih berbekas lagi menyebabkan hingga kini hatinya masih tidak terisi dengan mana-mana gadis walaupun ada sahaja yang cuba mengimpitnya.

…………..
Mixer diletakkan ke tepi sebaik whipping cream siap dipukul hingga kental. Kemudian, dalam bekas yang sama, dimasukkan campuran susu pekat bersama cream cheese yang sudah dikacau sebati.

“Siapa pulak yang tempah ni?” Asmi masuk ke ruang dapur.

Semenjak anaknya itu tidak bekerja, itulah yang dilakukan. Menerima tempahan segala jenis dessert melalui dalam talian. Dan dia perasan anak tunggalnya itu cukup bersungguh-sungguh melakukan kerja tersebut dengan penuh minat.

“Tak ada siapa.” Selamba Sufiya menjawab.

Tangan lincah mematahkan biskut marie dan disusun ke dalam bekas lut sinar segi empat.

“Pia.. takkan sebab marah pada si bagus-bagus Pia tu lagi? Sudahlah tu Pia. Percaya pada rezeki. Apa yang Pia buat sekarang ni pun, rezeki kan? Banyak tempahan yang Pia dapat. Kadang-kadang sampai tak menang tangan pun.” Lembut Asmi menasihati walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu dengan gerangan lelaki yang dimaksudkan.

Sufiya diam. Tiada hati mahu membalas. Sememangnya rasa sakit hati belum pun surut. Dengan cara memasak sahaja yang mampu dilakukan demi meredakan sakit hati yang berbuku.

“Pia..”

“Pia tahu semua tu ma. Cuma Pia geram dengan si bagus-bagus tu. Zafiq pun satu. Siap dia, kalau dia datang nanti. Memang Pia sumbat-sumbat mulut dia dengan marie cheese ni dalam mulut dia!” Hambur Sufiya akhirnya. Dalam pada itu, berhati-hati dia menaburkan serbuk coklat di atas biskut yang siap disusun tadi sebelum disapu pula dengan lapisan cream cheese dan teknik tersebut diteruskan hingga adunan habis.

“Pia, banyak hikmah apa yang jadi selama ni. Tengok Pia sekarang. Dah maju business online Pia. Lagi pun, kalau Pia buat kerja lain, mesti tinggalkan mama sorang-sorang. Mama dah tak ada siapa lagi Pia. Mama cuma ada Pia aje.” Suara Asmi berubah sayu pula apabila mengenangkan keadaan mereka. Sejak pemergian suaminya dua puluh tahun lalu, hidupnya hanya bersama anak tunggalnya itu. Cukuplah empat tahun anaknya itu tinggal di kampus, dia tidak sanggup lagi tinggal bersendirian. Tambahan pula dalam umur yang sudah menginjak senja itu.

“Mulalah mama tu..” rungut Sufiya sambil mengerling wajah keruh Asmi di sisi. Sedia maklum akan kata-kata yang mampu mengusik hatinya sendiri. “Pia tahulah ma.. sebab tu, kalau boleh Pia nak cari kerja dekat-dekat aje. Kalau boleh depan rumah tu ha.. biar Pia nampak apa yang mama buat dari sana.” luahnya pula cuba memujuk.

Asmi tersenyum tawar. “Pia ni, tak adalah sampai macam tu sekali. Tapi, sementara Pia belum kahwin ni la mama nak Pia selalu ada dengan mama. Esok-esok kalau Pia dah kahwin, dah tak merasa la..” Luahnya perlahan sambil membantu anaknya itu menyusun biskut di dalam bekas lut sinar tersedia.

“Belum tentu lagi Pia kahwin ma.” Sufiya tersengih-sengih menyebabkan timbul beberapa garis di dahi Asmi.

“Kenapa cakap macam tu? Pia bukan tahu apa yang jadi masa depan.”

Sufiya tersengih lagi.

“Pia tak fikir pun semua tu ma. Pia cuma fikir mama aje sekarang ni. Kalau ada jodoh Pia esok lusa, kalau boleh Pia nak duduk dengan mama. Pia tak nak mama duduk sorang-sorang. Sakit-sakit nanti, susah hati Pia.” ujarnya seikhlas hati.

Sungguh hal nikah kahwin menjadi matlamat terakhir dalam hidupnya. Dia percaya pada ketentuan yang Maha Esa. Lagi pula, dia sedar akan keadaan diri. Selama ini, belum ada mana-mana lelaki yang berani menyuarakan hasrat hati ingin berteman dengannya. Hanya seorang sahaja lelaki yang benar-benar ikhlas bersahabat dengannya sejak kecil iaitu Zafiq. Lelaki itulah yang banyak melindunginya dari anasir-anasir mulut jahat yang sering mengejek akan bentuk fizikalnya.

“Eh.. ada pula macam tu. Lepas Pia kahwin, Pia bukan lagi hak mama. Pia kenalah ikut kata suami Pia. Takkanlah suami Pia nak ikut cakap Pia..” balas Asmi.

“Habis tu, kesianlah mama nanti. Siapa nak jaga mama? Kalau Pia kenal dengan orang jauh macam mana?” Wajah Sufiya mula berubah keruh. Ah! Dia memang anak mak, cengeng dan memang tidak boleh berenggang. Jika tinggal di kampus dulu, hampir setiap hujung minggu dia pulang ke rumah. Mujur jarak rumah dengan kampus hanya memakan masa dua jam perjalanan.

“Kalau dah susah-susah sangat, Pia kahwin ajelah dengan Izhar. Nak kata tak handsome, sejuk dah mata mama tengok. Kaya? Insya-Allah.. Takkan berlapar anak mama ni nanti. Paling penting sekali, rumah dekat. Dekat taman belakang tu aje kan?” Asmi sengaja mengusik.

Dia sedia maklum bilangan sahabat lelaki anak tunggalnya itu. Boleh dibilang dengan jari. Yang dia tahu, si Zafiq, si bagus-bagus dan juga Syed Izhar. Zafiq sudah pasti anak saudara suaminya sendiri. Si bagus-bagus adalah rakan sekuliah dan juga teman baik Zafiq serta sebenarnya tidak termasuk pun dalam senarai sahabat lelaki anaknya itu. Dan Syed Izhar pula merupakan satu-satunya lelaki yang dirasakan cukup ikhlas berkawan dengan anaknya itu apabila mereka sering berhubung atas urusan perniagaan atas talian yang dilakukan.

Syed Izhar yang memiliki sebuah kedai kek dan pastri sering membuat tempahan daripada anaknya itu jika pihak mereka tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan. Bukan itu sahaja, anak muda itu jugalah yang banyak membantu perniagaan atas talian anaknya kepada peminat setia kek dan pastri sejak setahun yang lalu.

“Erk? Pandai-pandai aje mama ni nak orang kahwin dengan Izhar. Pia dengan dia kawan ajelah ma. Kawan business. Lagi pun, dia dah ada tunang tahu tak? Dia sikit pun tak pandang Pia ni.” nafi Sufiya bersama gelengan. Mengarut mama ni!

Bekas lut sinar yang sudah pun penuh dengan lapisan biskut dan cheese, terus ditutup dan dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum dia mula membuat susunan baru dalam bekas yang lain.

“Mama gurau ajelah. Mama tahu. Kan Pia dah cerita hari tu. Takkanlah Pia sanggup nak rampas hak orang kan.. Anak mama bukan perampas. Mama yakin dan percaya qadak qadar Allah. Dia jadikan semua makhluknya berteman. Cuma lambat atau cepat aje.” balas Asmi bersama senyuman. Dia faham akan perasaan anaknya yang seorang itu. Apa pun, dia hanya mampu berdoa agar Allah temukan jodoh yang baik-baik buat Sufiya. Itu doanya saban waktu agar hatinya mampu tenang sentiasa jika dia sudah tiada nanti.



.................
kepada yang masih saya belum approve, bersabar ya. sebab saya dah poningg.. haha

6 comments:

Unknown said...

best.

MaY_LiN said...

nak lg achaaaa
smbg ek

Unknown said...

ingatkan tak masuk blog lagi...baru lepas baca di fb.....citer baru yang menarik....bumbum gituuuuuuu....

Eijan said...

Mesti best ni...teruskan n3 baru...utk maklumat Arsha a.k.a Dontbe Sad....akak ada lab Norizan AP dlm FB tu....

Unknown said...

best2....nk lagi....

Unknown said...

Best2...cepat2 lef sambung...:)