Assalamualaikum.
Harap dapat terima langsir baru ni. :D
OK. Atas permintaan dan REALITInya diizinkan-Nya, kisah ini bersambung. :)
................
Seperti selalu, hamparan pantai
menjadi pilihan hujung minggu itu demi anak-anaknya yang sedang giat membesar.
Mata dihalakan ke arah Aniq dan Danish yang leka bermain pasir selepas berendam
di dalam air tadi.
“Ummi, nak
air.” Danish yang sudah berusia empat tahun semakin petah berkata-kata.
Pelatnya sudah hilang semenjak dimasukkan ke sekolah.
“Along nak
air?” Soal Azila sebaik anak sulungnya pula datang menghampiri dan air kotak berperisa
laici dihulurkan.
“Ummi ajak
Cik Min datang sini ke?” Belum pun Aniq menyedut air laici yang dihulurkan,
mata terhala ke arah susuk tubuh yang kian mendekat.
Azila turut
memandang ke arah yang sama.
“Adik tak
suka Cik Min ummi. Cik Min tak ada motor besar macam Cik Zan.” Bisik Danish
yang melabuhkan duduk di sisi umminya menyebabkan wanita itu hanya tersenyum.
Dia sudah
sedia maklum akan penerimaan anak-anaknya terhadap Amin. Sahabat lama ketika
zaman sekolahnya dahulu merangkap teman sekampung. Sejak hubungannya bersama
Ramzan ‘suam-suam kuku’, kehadiran lelaki itu banyak mengisi hari-harinya. Dialah
yang sentiasa mengambil berat akan keadaan diri dan anak-anak tidak kira waktu.
Dan sudah beberapa kali juga lelaki itu meluahkan hasrat hati untuk mengisi
ruang hatinya namun huluran kasih itu masih tidak dibalas. Cukup dia hanya
menganggap lelaki itu sebagai sahabat sejak dari dulu lagi memandangkan nama
Ramzan terlalu sukar untuk dipadamkan walaupun bibir sering menidakkan.
Aniq terus
beredar sebaik Amin tiba di situ. Sempat dilemparkan pandangan kurang senang
kepada ummi dan lelaki tersebut.
“Lama
sampai?” Mesra Amin menyapa seraya menggosok kepala si kecil Danish.
“Lamalah jugak..” Sambut Azila seadanya. Mata
dihalakan ke arah anak sulungnya yang kembali bermain pasir. “Erm.. kata kerja
hari ni?” Dia berbahasa-basi.
Amin yang
bertugas sebagai pengurus di salah sebuah pasar raya terbesar di pekan, sering
sahaja meluangkan masa bersamanya dan anak-anak walaupun dia tidak pernah mempelawa.
“Kejap
lagi..” Amin turut membuang pandang ke arah yang sama. Danish yang duduk di
antara dia dan wanita itu tadi sudah turut sama menyertai Aniq.
Sepi
seketika. Hanya deru angin sahaja yang memenuhi ruang.
Amin menoleh
ke sisi bersama segaris senyum.
“Zila..”
Azila turut
menoleh. Namun hanya seketika.
“Awak nak tanya
fasal Ramzan ke? Kalau awak nak tanya fasal dia, saya tak ada jawapan.”
tebaknya terus.
Lelaki itu
mengetahui apa yang berlaku antara dan Ramzan hampir dua tahun itu. Walaupun
hubungan mereka tidak lagi serius, tetapi Ramzan masih tetap membekalkan duit
belanja pada setiap bulan buat dia dan anak-anak, sering menghubungi dua
heronya itu dan agak kerap juga mereka bertemu jika masing-masing tidak
mempunyai tanggungjawab lain. Namun, semuanya kerana anak-anak. Mereka sedikit
pun tidak membincangkan hala tuju perhubungan mereka walaupun rasa cinta dalam
hatinya, sedikit pun tidak luntur. Cuba dibuang rasa tersebut tetapi gagal.
Semakin cuba dibuang, terasa semakin kuat rasa cinta itu bertapak di hati. Cuma
kini, tiada apa yang mampu dilakukan. Dia hanya mampu bersabar jika benar cinta
itu kekal miliknya nanti.
“Sampai bila
awak nak mengharap pada dia Zila?” Ujar Amin penuh makna, penuh mengharap agar
salam kasihnya berbalas.
“Saya tak
pernah mengharap apa-apa Amin.” balas Azila tenang. Dan sememangnya begitu.
Walaupun hatinya sarat dengan cinta buat Ramzan, dia tidak pernah meletakkan
harapan apa-apa pada lelaki itu. Cukup dia hanya dipendam.
“Kalau awak
tak mengharap apa-apa, kenapa susah sangat awak nak terima saya Zila? Apa
kurangnya saya dari Ramzan? Sebab saya kerja pengurus dan dia jadi kontraktor
besar dekat bandar tu?” Kedengaran mendesak.
Azila
melemparkan senyum nipis.
“Dulu, masa
saya dengan arwah, dia kerja supervisor cabuk aje dekat kilang, Amin.. Gaji
kecil aje..” balasnya sedikit sinis.
Kurang senang
dengan tuduhan yang dilemparkan oleh lelaki itu. Seperti dia wanita yang
mementingkan kebendaan pula. Padahal, dia tidak pernah pun mengharapkan Ramzan
membantu meringankan bebannya. Dia sendiri tidak menggunakan duit pemberian
Ramzan selama ini melainkan buat perbelanjaan sekolah anak-anaknya.
Amin
melepaskan keluhan panjang.
“Bagilah saya
peluang Zila..” Dia masih cuba merayu dan sesekali dia tidak akan berputus asa
selagi Azila masih belum menjadi hak milik orang lain.
“Ramai lagi
perempuan bujang dekat kampung ni Amin..” Balas Azila perlahan.
“Tapi saya
cuma nak awak Zila!”
Azila senyum
lagi.
“Jangan letak
apa-apa harapan pada saya Amin. Awak layak dapat yang lebih baik daripada saya.
Bukan janda anak dua macam saya ni.” Lembut dia membalas. Menolak dalam diam.
“Saya tak
peduli dengan status awak Zila! Keluarga saya pun tak kisah siapa awak!”
“Tapi saya
kisah Amin!” Azila menoleh.
Sejarah lalu,
memang masih menghantuinya hingga kini. Cukuplah derita yang ditanggung dahulu.
Dia tidak mahu melaluinya sekali lagi. Dulu, itu juga jawapan yang diucapkan
oleh suaminya berkenaan penerimaan keluarga mentua. Tetapi dalam diam, lain
pula jadinya. Disebabkan itu, apabila Ramzan berterus terang akan penerimaan
ibu lelaki itu, dia reda. Itu lebih baik, daripada dirinya dibenci dalam diam
oleh ahli keluarga mentua sendiri. Perit! Dan dia cukup serik!
“Awak tak
percayakan saya Zila? Awak kenal keluarga saya macam mana kan?” Amin cuba
meyakinkan.
Azila tetap
berusaha melemparkan senyum manis sebelum pandangannya dibuang kembali ke arah
anak-anaknya yang masih leka bermain. Hakikatnya memang dia kenal dengan ahli
keluarga lelaki itu. Ada sesuatu yang dirasakan Amin kurang berjaya untuk
menggugat rasa cinta yang ada buat Ramzan.
*******
“Azan..”
Ramlah
menyentuh bahu anaknya yang leka menonton siaran ulangan perlawanan bola sepak
sejak tadi.
“Tak tidur
lagi bu?” Ramzan berbasa-basi. Tubuh digerakkan, memberi ruang kepada ibunya
melabuhkan duduk di sisi.
“Tak boleh
tidur..” Perlahan sahaja Ramlah menjawab tanpa lepas memandang wajah anak
bongsunya itu.
Sepi.
“Zan..”
Ada sesuatu
yang ingin ditanyakan kepada si anak walaupun hal itu pernah menyebabkan
perselisihan di antara mereka. Sejak dari itu, dia perasan Ramzan tidak lagi
menyebut apatah lagi mengungkit.
“Hm..”
“Zan jumpa
lagi dengan..”
“Zan tak
kahwin pun dengan dia bu. Takkan nak jumpa pun tak boleh..” Pintas Ramzan
selamba.
Ramlah
melepaskan keluhan berat. Tidak tahu apa yang harus diucapkan lagi dengan si
bongsu itu. Jika dia berkeras, yakin hubungan mereka tidak akan sebaik kini.
“Bukan ibu
tak bagi. Kalau Zan asyik jumpa dia aje, macam mana Zan nak jumpa dengan orang
lain? Tu, budak pejabat Zan tu.. Deena. Zan selalu jugak keluar dengan dia kan?” balasnya lambat.
“Deena kawan
ofis aje bu. Dia dah kerja dengan ayah dia sekarang ni. Jarang jumpa. Lagi pun
dia dah ada boyfriend. Cuma boyfriend dia tak kerja dekat sini.
Sebab tu, dia rapat dengan Zan.”
Ramzan mula
tahan hati. Tidak suka hal itu ditimbulkan lagi walaupun ibunya sudah sedia
maklum siapa yang bertakhta di hatinya. Dan kemahuan ibunya itu akan dituruti
semata-mata tidak mahu menjadi anak derhaka sungguhpun hati sendiri terluka.
Dalam pada itu, dia tidak akan berhenti mengharap. Yakin Allah akan membukakan
pintu hati ibunya itu agar dapat menerima Azila suatu hari nanti. Dia sedia
menanti dan bersabar.
“Zan, tak
boleh ke Zan cari orang lain..” Lembut Ramlah memujuk.
Ramzan
menoleh. Wajah penuh mengharap ibunya dipandang. Pilu hatinya dengan sebaris
ayat itu.
“Apa lagi
yang ibu nak Zan buat bu? Zan tak kahwin pun dengan Zila macam yang ibu nak.
Takkan Zan nak berkawan dengan dia pun, ibu nak halang? Ibu nak ke, Azan tak
bahagia dengan perempuan yang Zan tak suka?” Ada sebak yang bertandang. Dia
terus bingkas. Kecewa lagi hatinya dengan permintaan si ibu yang tidak pernah
memahami akan kehendaknya.
*******
“Awak, tak apa ke awak saya bawak saya ni? Seganlah..” Azila menarik
hujung baju kemeja berjalur halus yang terlekat pada tubuh Ramzan menyebabkan
lelaki itu mematikan langkah.
“Nak segan
apanya? Kawan-kawan ofis aje semua..” balas Ramzan senang seraya menarik lengan
Azila yang berlapik baju kurung moden bertanah putih. Cukup sepadan
bergandingan dengannya hari itu.
Azila menahan
rasa. Kali pertama dia mengikut lelaki itu menghadiri majlis perkahwinan yang
tiada kena mengena dengan hidupnya. Itu pun sebagai balas budi lelaki itu yang
telah banyak membantunya selama ini. Tidak sampai hati untuk menghampakan
permintaan kecil itu.
Kaki hanya
menuruti langkah Ramzan hingga mereka tiba di sebuah meja bulat. Senyum diukir
semanis mungkin apabila Ramzan memperkenalkannya sebagai ‘kawan’ kepada
rakan-rakan pejabat lelaki itu yang tiada seorang pun dikenali.
“Jom kita
ambil makan dulu.” Ramzan seperti berbisik di tepi telinganya menyebabkan wajah
terasa pijar tidak semena-mena. Entah kenapa Ramzan sedikit pun tidak kekok
menunjukkan kemesraan di hadapan berpasang-pasang mata yang memandang.
Sekali lagi
dia hanya menurut. Langkah diatur ke meja bufet.
“Azan!”
Sapaan satu suara manja di belakang menyebabkan mereka terus menoleh.
Datang wanita
berkebaya sendat warna merah menyala, berleher jinjang mendekati Ramzan.
Melihat perilaku wanita itu dengan selamba memaut lengan Ramzan, hatinya
sedikit terusik. Bertambah terusik apabila Ramzan seperti merelakan sahaja
perbuatan wanita tersebut. Sedikit pun tidak membantah. Sudahnya, tanpa menanti
Ramzan yang enak berbual dengan wanita bersanggul tinggi itu, dia segera
mengisi lauk di dalam pinggan sebelum terus berlalu ke meja tadi. Walaupun
masih segan dengan rakan-rakan lelaki itu, dia terpaksa menebalkan muka. Itu
lebih baik daripada dia menebalkan muka menjadi penonton setia adegan mesra
kedua-duanya tadi.
“Awak dah
lama kenal Azan?” Tegur seorang wanita bertudung biru di sisinya sebaik mereka
berbalas senyum.
“Er.. Dekat
dua tahun.” jawabnya jujur bersama senyuman ikhlas. Sedikit sebanyak kurang
rasa kekok yang ditanggung apabila melihat kemesraan wanita itu menegurnya.
“I see.. Dalam diam-diam Azan tu. Tak
sangka ada perempuan cantik yang dia sorok dari kita orang selama ni. Kalau
tak, dia selalu berkepit aje dengan Deena tu.” ujar wanita bertudung biru itu
lagi menyebabkan suapan pertama yang masuk ke mulut, terasa mahu terhambur.
Spontan matanya terarah ke meja bufet tadi. Kedua-duanya masih enak berbual di
sana sambil mengisi makanan ke pinggan masing-masing.
“Oh ia ke..”
Senyumannya terasa payau seraya mencapai gelas air anggur yang diambil tadi
untuk melegakan hati yang mula bergolak. Selalu berkepit? Maksudnya…
“Awak..”
Ramzan tiba bersama wanita tadi lalu duduk di sisi. Senyum pahit dilemparkan.
Sungguh matanya terasa sakit melihat wanita tadi asyik menempel di sisi lelaki
itu. Seperti langsung tidak hormat dirinya sebagai pasangan Ramzan hari itu.
Dan Ramzan pula, langsung tidak memperkenalkannya menyebabkan ada sedikit rasa
terkilan. Lelaki itu seperti langsung tidak menghiraukan perasaannya. Atau
sebenarnya, perasaannya memang tidak lagi penting?
“Sampai hati
awak tinggalkan saya..” Bisikan di tepi telinga membuatkan dia hampir sahaja
tersedak. Aku tinggalkan dia? Senyum hambar yang hanya mampu dilemparkan.
Sedang tiga
pasangan yang turut berkongsi meja dengan mereka kala itu asyik berbual sesama
sendiri, dia cukup rasa terasing. Ramzan
masih galak melayan wanita berkebaya tadi menyebabkan nasi di pinggannya tidak
mampu ditelan lagi. Terasa berpasir semuanya apabila Ramzan seperti melupakan
kewujudannya di situ. Dan ditambah pula dengan aksi manja wanita berkebaya
merah itu, punggungnya terasa hangat. Bertukar dan berkongsi lauk, adegan yang
belum pernah dia dan Ramzan lakukan sepanjang berkenalan.
“Awak, kenapa
tak makan? Nasi banyak lagi tu..” teguran lembut yang menyapa hanya dibalas
dengan senyum nipis. Mahu sahaja dijeritkan di telinga lelaki itu yang dia sakit
hati diperlakukan sedemikian.
“Awak, saya
nak pergi toilet kejap.” Itu sahaja
yang dibalas diiringi senyum paksa sebelum bingkas. Kaki diayunkan ke belakang
dewan yang terhias cantik itu tanpa mempedulikan panggilan Ramzan. Biar lelaki
itu tahu yang dia cukup terasa dengan apa yang berlaku.
Tiba di
tandas, tegak dia berdiri di hadapan cermin. Wajah yang dihias solekan nipis
dipandang lama. Penampilannya hari itu direnung dari atas hingga ke bawah. Daripada
zahir kelihatan cukup sempurna, namun hakikatnya.. Dia benar-benar terasa
kerdil apabila bergandingan dengan Ramzan hingga untuk bergaul mesra dengan
sahabat-sahabat lelaki itu tadi pun dia rasa tidak mampu. Dan apabila melihat
wanita berkebaya merah tadi, terasa dirinya cukup jauh daripada Ramzan.
Sewajarnya,
sejak awal lagi dia harus sedar siapa dirinya di sisi Ramzan. Tidak sewajarnya
dia masih menyimpan perasaan buat lelaki itu sedangkan dia tahu mereka tidak
mungkin punya harapan hidup bersama.
“Azila.”
Dia sedikit
tersentak apabila muncul wanita berkebaya merah yang begitu asyik menempel di
sisi Ramzan tadi.
“Sorry.. saya pergi dulu.” Senyum nipis
dilemparkan dan dia mahu segera beredar dari situ. Namun langkahnya terhenti
apabila lengannya disambar.
“You tahu,
siapa I dengan Azan sebelum ni?” Ujar wanita itu diiringi senyum sinis. Dia
masih tidak dapat menerima apabila Ramzan memberitahu yang wanita itu bakal
menjadi suri hati. Wanita kampung yang sudah mempunyai anak dua? Langsung tidak
mampu diterima akal memandangkan Ramzan merupakan seorang lelaki berkerjaya,
punya paras yang mampu menggugat hati mana-mana wanita yang memandang, juga
mempunyai kedudukan keluarga yang cukup dipandang tinggi pada sesiapa yang
mengenali.
Azila menggeleng.
“I tak
sangka, Azan akan pilih you, lepas I tolak dia dulu..” Ujar wanita itu
menyebabkan hatinya kian terusik. Bibirnya hanya mampu mengukir senyum bagi
menyembunyikan pelbagai rasa yang terbuku.
“I rasa,
mungkin dia frustrated dengan I.
Sebab tu, dia pilih siapa-siapa saja yang boleh hiburkan hati dia. Ialah..
kenapa perlu dia pilih you yang dah ada anak dua, sedangkan ramai lagi
perempuan single yang tergila-gilakan
dia kan..” kata wanita itu angkuh menyebabkan dia tidak mampu lagi berlamaan di
situ. Sungguh kini dia terasa hatinya seperti sedang disiat-siat halus.
“Sorry Cik Deena. Saya keluar dulu.”
Tanpa menghiraukan lagi pandangan sinis wanita itu, dia segera berlalu. Terasa hangat
pelupuk matanya kala itu, sedaya upaya ditahan.
“Awak..
lamanya..” Tegur Ramzan sebaik dia melabuhkan duduk. Senyum yang terlakar di
bibirnya kini pun tidak lagi ikhlas apabila semua pasang mata di meja itu
terhala kepadanya.
“Awak, okey
ke?” Prihatin Ramzan bertanya apabila matanya dapat mengesan garis kekeruhan
yang terlakar.
Azila
menggeleng perlahan bersama senyuman manis yang dibuat-buat. Tiada apa yang
mampu dilakukan saat itu selain bersabar hingga lelaki itu mengajaknya pulang.
Tidak mahu pula dia menjatuhkan air muka Ramzan di hadapan rakan-rakannya yang
lain.
“Sayang,
lepas ni kita keluar nak? Lama kita lepak sama-sama kan?” Deena kembali
melabuhkan duduk di sisi Ramzan sambil memaut mesra lengan lelaki itu. Langsung
tidak segan dengan berpasang-pasang mata yang memandang. Dan buat ke sekian
kalinya, hati Azila terluka hari itu.
“Sorry la Deena. I kena balik lepas ni. I
nak kena hantar member I ni balik
dulu..” Lembut Ramzan bertanya sambil mengerling ke arah si kekasih hati.
Azila saat
itu pula langsung tidak mempamerkan sebarang reaksi walaupun jelas di
pendengarannya gelaran yang meniti bibir Ramzan. Hanya member..
“Bawak ajelah member you tu.. I tak kisah pun..” Sahut Deena bersama lirikan
sinis.
“Awak, tak
apa. Awak hantar aje saya dekat bus stop
depan sana. Saya boleh balik sendiri.” Sambut Azila tertahan.
Ramzan
berkerut. Azila pulang sendiri? Dia takkan izinkan! Melihat pada seraut wajah
yang tidak seceria mana itu pun, dia sudah dapat membaca apa yang terbuku. Dia
yakin wanita itu tidak menyenangi kehadiran Deena di sisinya sejak tadi.
“Sorry la Deena. May be next time?” Cuba berkompromi dengan wanita itu.
“Alah.. Bukan
selalu kita jumpa you.. You tahu I busy
kan.. You tu pun sekarang busy
sangat..” Deena cuba memujuk.
“Sudah-sudahlah
tu Deena. Ingatlah orang tersayang..” Sampuk satu suara di sisi Azila. Wanita
bertudung biru itu melemparkan senyuman sinis menyebabkan wanita itu langsung
terdiam. Masing-masing yang turut duduk di situ juga senyap.
“Erm..
sayang, jomlah kita balik. Nanti risau anak-anak, awak balik lambat.” Bisik
Ramzan tiba-tiba di tepi telinga Azila membuatkan wanita itu sedikit terkejut.
“Jom..” Diraih lengan wanita itu agar berdiri.
Azila hanya
menurut.
Ramzan
bersalaman dengan teman-teman lelaki yang ada sebelum berpamitan. Begitu juga
dengan Azila. Cuma saat dia menghulurkan tangan kepada Deena, wanita itu
menyambut dingin menyebabkan dia tidak mampu lagi memandang ke arah rakan-rakan
Ramzan yang sedang memerhati. Dia malu.
Tanpa
sebarang kata yang terluah, mereka berlalu ke tempat letak kereta. Azila
sengaja melangkah lambat-lambat menyebabkan Ramzan beberapa tapak mendahuluinya
di hadapan. Mujur sahaja ruang tempat letak kereta itu diterangi lampu
menyebabkan dia terasa selamat walaupun berjalan di belakang lelaki itu.
Ramzan yang
menyedari perilaku Azila, memberhentikan langkah sebelum dia berpusing. Langkah
Azila turut terhenti. Renungan mereka bersatu beberapa ketika sebelum Azila
menundukkan wajah dan perlahan-lahan mendekati lelaki itu.
“Awak kenapa
Zila? Awak macam tak suka aje dengan member-member
saya.” ujar Ramzan lembut.
Azila senyum
segaris walaupun terasa payah.
“Mungkin saya
tak cukup sesuai kawan dengan kawan-kawan awak.” balasnya sebelum terus sahaja
menapak ke arah kereta lelaki itu.
Ada
penyesalan terdetik di hati kerana bersetuju mengikut lelaki itu tadi. Masih
terngiang-ngiang lagi kata-kata Deena mengenai lelaki itu. Dia tidak dapat
menolak kebenaran daripada kata-kata Deena tadi. Kenapa Ramzan perlu pilih
wanita beranak dua sepertinya sedangkan masih ramai lagi wanita bujang di luar
sana.
“Apa yang tak
sesuai? Kawan saya, akan jadi kawan-kawan juga nanti!”
Azila
memberhentikan langkah. Wajah Ramzan dipandang dalam-dalam sebelum dia
menggeleng perlahan.
“Saya boleh
jadi kawan Deena?” Bibir menarik senyum tepi. “Saya rasa, sampai bila-bila
kawan-kawan awak takkan boleh jadi kawan-kawan saya. Lagi-lagi, Deena.”
jawabnya cukup tenang.
“Kejap!”
Ramzan menghalang laluan Azila. Kurang senang dengan sebaris nama yang meniti
bibir wanita itu. “Awak jealous
dengan Deena?” Duganya.
Azila senyum
lagi.
“Kenapa saya
nak jealous? Dia perempuan yang
pernah awak suka kan? Siapalah saya nak halang dengan siapa pun yang awak nak
suka. Saya bukan siapa-siapa pada awak. Sayakan kawan awak aje. Awak berhak
kawan dengan siapa-siapa.” balasnya setenang mungkin walaupun hati kian
bergelora.
Ramzan
melirik senyum. Ah! Dia tidak bodoh menilai riak yang terlukis di wajah Azila.
“Awak.. Deena
bukan siapa-siapa pada saya. Ya. Saya mengaku, dulu saya pernah suka dia. Tapi
tu dulu. Lepas dia tolak saya, sikit pun saya dah tak harap apa-apa dengan dia.
Dia cuma kawan saya. Tak lebih dari tu.” Jelasnya walaupun tanpa dipinta.
“Tak apalah
Azan. Saya tak kisah pun kalau awak ada apa-apa dengan dia. Erm.. jomlah kita
balik. Dah lewat ni.” Cepat-cepat dia menukar topik. Tidak mahu hal itu
dibincangkan kerana risau dia tidak mampu menahan emosi.
Ramzan
menghela nafas panjang. Senyumnya mengendur. Tidak senang dia melihat kekeruhan
yang ada di wajah ayu itu.
“Azan..”
Azila menoleh ke sisi. Dalam cahaya samar itu, dia memandang wajah Ramzan yang
bersedia memandu sebaik enjin kereta dihidupkan.
Ramzan turut
membalas renungan.
“Lepas ni,
tolong jangan masukkan lagi duit belanja dalam akaun saya.. Saya rasa, saya dah
banyak susahkan awak. Cukuplah apa yang awak buat selama ni. Saya bukan
siapa-siapa. Awak dah patut fikir masa depan awak..” Lembut dia meluahkannya.
Mohon pengertian daripada lelaki itu agar tidak lagi ambil peduli akan keadaan
diri dan anak-anaknya sungguhpun garis luka di hati kian melebar.
“Masa depan
saya? Apa maksud awak?” Wajah Ramzan berkerut. Hati mula disapa debar.
Azila menoleh
kembali.
“Cari
kehidupan awak sendiri Azan. Awak tak perlu susah-susah lagi fikir fasal saya
dengan anak-anak.. Bina hidup awak dengan perempuan yang boleh bahagiakan awak
dan makcik..” Ucapnya dalam getar.
Ramzan
menarik senyum sinis. Terusik hatinya dengan apa terluah di bibir wanita itu.
“Kenapa saya
kena cari orang lain sedangkan saya dah jumpa yang depan mata?”
Azila
menghela nafas berat. Senyum tawar dilemparkan. Entah kenapa dia merasakan
Ramzan seperti tidak peka dengan perasaannya langsung. Atau mungkin sebenarnya,
lelaki itu sudah tidak menyimpan perasaan terhadapnya lagi? Dan dia sahaja yang
memendam perasaannya sendiri selama ini?
Mata kembali
dihalakan ke wajah lelaki itu.
“Siapa saya
di hati awak Azan?” Tanpa segan dia menyoal agar hatinya tidak terdetik
menyimpan harapan yang tidak pasti. Apabila diperkenalkan sebagai ‘kawan’ tadi,
hatinya sudah disapa kecewa. Dan biarlah dia terus kecewa hari ini, agar luka
yang terasa dapat dirawat segera daripada bertambah parah dan tidak mampu
dirawat lagi. Dia reda andai itu ketentuan-Nya.
Giliran
Ramzan menghela nafas berat dengan mata dihalakan lurus ke hadapan.
“Saya tak
pernah sayang perempuan lain, macam mana saya sayang awak Zila..” Perlahan dia
membalas.
“Deena?”
Ramzan
menoleh. Bibir menarik senyum tepi.
“Dia cuma
masa silam saya..”
“Masa silam?
Masa silam sampai bersayang-sayang?” Terlontar juga rasa tidak senang hati
Azila apa yang berlaku tadi.
“Awak.. Saya
dah anggap dia macam adik-beradik saya.. Lagi pun, dia yang panggil saya sayang
kan? Saya tak sebut pun.. Awak aje yang saya sayang..” Ramzan memaniskan
senyum. Cuba memujuk kegalauan hati wanita di sisinya itu.
Azila
terdiam. Kelu lidah untuk membalas.
“Kita balik
hm..” lanjut Ramzan mula memandu.
Sepi menghiasi
ruang.
“Awak tahu
apa yang Deena cakap dengan saya dalam toilet
tadi?” Suara Azila kembali kedengaran.
Ramzan
menoleh sekilas. Sedia mendengar apa yang ingin dibicarakan wanita itu.
“Saya ni,
cuma perempuan untuk awak hiburkan hati aje bila dia tolak cinta awak dulu.” Azila menoleh. Mahu melihat
reaksi lelaki itu.
Ramzan
senyum.
“Dia tak tahu
apa-apa fasal hati saya Zila..” Tenang dia membalas.
Hanya tuhan
sahaja yang tahu bagaimana perasaannya saat bertemu dengan Azila kembali hampir
dua tahun yang lalu. Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya apabila
kali pertama anak-anak wanita itu memegang tangannya walaupun mereka tidak pernah
bertemu sebelum ini. Allah sahaja yang tahu getar yang terasa saat Along dan
Adik tersasul memanggilnya ayah pada suatu ketika. Suatu perasaan yang tidak
tergambar menyebabkan dia merasakan pilihan untuk memperisteri wanita itu
adalah yang tepat. Cuma hanya, ia terhalang oleh restu seorang ibu yang
disayangi. Dia terpaksa akur itu.
“Azan.. saya
rasa kita memang tak ada harapan.. Saya rasa, lebih baik awak ikut cakap mak
awak. Awak carilah perempuan yang boleh bahagiakan hati dia dan hati awak
sendiri.” Azila membuang pandang ke luar tingkap yang kelam. Ada kehangatan di
tubir matanya apabila meluahkan kata-kata tersebut.
“Zila, awak
dah tak percayakan saya ke?”
“Bukan tak
percaya Azan..”
“Habis tu?”
“Dah dekat
dua tahun, saya rasa kita buang masa.. Saya rasa awak tak serius pun dengan
hubungan ni.. Berkawan dengan lelaki tanpa ikatan, bukan cara saya Azan. Orang
sekeliling dah mula mengata. Saya tak nak, family
saya terkena tempias yang sama. Cukuplah orang sentiasa pandang rendah pada
saya Azan..” Luah Azila dalam getar suara.
Entah kenapa
saat itu, dia teringat akan arwah suami. Afrizal bersungguh ingin mengahwininya
walaupun sedar keluarga lelaki itu tidak pernah menyenanginya. Kesungguhan
lelaki itu mempertahankan hubungan mereka, cukup dikagumi. Malah dia sendiri
bangga kerana mempunyai seorang suami yang sanggup bersusah-payah menyara hidup
mereka walaupun tidak semewah mana.
Sekali lagi
Ramzan melepaskan helaan berat. Terusik lagi hatinya. Dia yakin keraguan mula
bercambah di hati Azila. Tambahan pula, kini wujud seorang lelaki yang cuba
mendekati wanita itu.
“Azan.. saya
rasa, kita kena fikirkan semula hala tuju hubungan kita ni.. Saya bukan
mendesak awak, jauh sekali memaksa awak terima saya. Saya cuma nak yang terbaik
untuk semua. Untuk saya, anak-anak, awak.. mak awak.. Kalau mak awak masih tak
boleh terima saya, saya reda Azan.. Dan awak tahu yang saya takkan terima awak
tanpa restu mak awak. Awak jangan buang masa awak. Umur kita makin meningkat.
Saya dah ada anak-anak dalam hidup saya. Tak ada apa lagi yang saya nak cari
Azan. Awak.. Fikirkan masa depan awak Azan.” Panjang lebar Azila menambah
apabila lelaki itu hanya mendiamkan diri.
“Bagi saya
masa Zila..” Ramzan toleh sekilas dan Azila melemparkan senyum segaris.
“Saya
sentiasa bagi masa awak.. Cuma kali ni.. jangan lama sangat.. saya tak nak kita
sama-sama buang masa lagi. Saya tak nak anak-anak terlalu mengharap kehadiran
awak. Tapi akhirnya nanti..” Kata-katanya terhenti apabila Ramzan tiba-tiba
mencapai jemarinya.
“Saya janji.
Sikit masa aje lagi Zila.. Awak yang terakhir dalam hidup saya.. Doakan
hubungan kita hingga ke Jannah..” Luah Ramzan penuh perasaan seraya meletakkan
jemari wanita itu ke dada kirinya.
Azila terus
terdiam.
6 comments:
ooo..ada sambungan lagi....hope a good news....
achaaaaaa
cedih la
nape camtu
hope hepi ending
azan n ila nnti
Amboi maylin.....:)
Hahaha.... achaaaa nak lagi ler....hihihi. ..
nak hepi ending gak....:)
kesian zila dan azan. cinta terhalang. perit rasa hati baca kisah nih sha. menarik dan sentiasa kena di hati. teruskan dan syabas.
k.mid
memang sedih...
Azan x kan kalau angap adik boleh pegang sana sini dpn org ramai dan kekasih hati... nasib baik Zila pandai jaga air muka Azan...
restu tu penting Azan... mak azan ni pun ego juga kalau dapat anak dara tapi x boleh harap buat apa... yang penting hati mahu baik ... wahai mak cik...
Sedihnya....
Post a Comment