Aug 8, 2014

Dambaan Bahagia_bab 16

assalamualaikum. Maaf akan segala kelewatan. Dan dimaklumkan, mungkin sahaja kisah ini akan ditangguhkan buat sementara waktu dan mungkin akan kisah lain yang menyusul. ~eheh
...........


“Dah kenapa muka pucat, rambut macam kena karen ni?”

Tegur Amrizan sebaik adik bongsunya itu keluar dari bilik. Lewat malam tadi dia tiba, adiknya itu sudah pun lena seperti mana yang diberitahu oleh Azlan.

Fathiyah hanya diam. Menonong dia berjalan ke bilik air di ruang dapur itu.

“Dik.” Panggil Amrizan sebaik kelibat gadis itu muncul kembali dengan wajah tidak bermaya. Rambut pun tidak terurus.

“Along ada panadol tak?” Lain yang dibalas oleh Fathiyah sebelum melabuhkan duduk di hadapan Amrizan yang sedang bersarapan dengan sebungkus nasi lemak. Sebelah tangan sudah menongkat kepala yang terasa berat.

“Demam ke? Along hantar pergi kliniklah.” Amrizan segera menghabiskan baki nasi lemaknya.

“Tak naklah.. demam sikit aje pun..” Meleret Fathiyah menjawab.

Selepas Azlan menghantarnya semalam, dia terus terperap di dalam bilik kerana penangan ubat selesema yang ditelan. Makan pun tidak menyebabkan perutnya mulai pedih diserang gastrik. Badan pula sudah panas selepas bersolat isyak malam tadi.

“Sikit apa? Tu muntah-muntah? Gastrik la tu kan? Alan kata, lepas hantar semalam Tiya langsung tak makan. Dia nak hantar makanan pun Tiya tak bagi.” Amrizan mula membebel. Dia sedia maklum akan keliatan Fathiyah untuk ke klinik sejak kecil lagi. Ubat pun begitu payah ditelan melainkan benar-benar terpaksa.

Fathiyah sudah memuncung. ‘Ish Alan ni! Sejak bila jadi perisik tak bergaji abang dia ni!’ Getusnya dalam hati.

Gastrik yang dialami, tidaklah begitu teruk kerana dia masih lagi mampu untuk bangun. Tangan mengurut belakang tengkuk yang terasa tegang sambil bersendawa beberapa kali. Angin sudah naik ke kepala seperti yang biasa dikatakan oleh Makcik Kiah, si tukang urut sahabat baik ibunya jika urat di belakang tengkuk menegang.

“Pergi mandi..” arah Amrizan tegas sebelum dia bingkas ke singki.

Namun baru sahaja Fathiyah bangun, terdengar suara orang memberi salam.

“Angah dah sampai ke?” Fathiyah memandang ke wajah abangnya.

“Taklah! Tadi Angah call, lepas majlis baru bertolak balik. Sampai sini malam nanti.” balas Amrizan serata mengeringkan tangannya. “Tiya pergi mandi dulu. Biar Along pergi tengok.” lanjutnya sebelum berlalu ke depan.

Fathiyah tidak lagi menyoal. Dengan tangan memicit tengkuk, dia berlalu ke bilik semula. Dan saat kaki kembali melangkah ke bilik air setelah mengambil tuala, kakinya terhenti melihat seraut wajah di sisi Amrizan. Kelam-kabut dia menutupi kepala dengan tuala yang tersangkut di bahu.

“Er.. buat apa dekat sini?” Soalnya serba tidak kena. Bukan tidak biasa. Namun entah kenapa terasa kekok pula apabila lelaki itu melihat keserabutan di wajahnya.

Shah senyum. Dia pura-pura tidak melihat apa yang cuba disembunyikan oleh gadis itu.

“Kan malam tadi kau kata demam? Aku datang tengoklah nak hantar pergi klinik. Ingat Abang Am belum balik..”

“Oh.. Er.. aku tak ada apa-apa. Demam sikit aje.” Fathiyah sedaya upaya memaniskan senyum.

“Shah, kau sarapan dulu sementara Tiya mandi.” Mesra Amrizan mempelawa menyebabkan Fathiyah menarik senyum kelat sebelum dia terus meloloskan diri ke bilik air.

………………
Sesekali mata mengerling ke sisi. Melihat Fathiyah yang lebih banyak mendiamkan diri sejak tadi, dia resah sendiri. Risau yang gadis itu tidak menyenangi kehadirannya awal pagi itu. Tambahan pula Amrizan menyerahkan tugas menghantar gadis itu ke klinik kepadanya tadi.

“Tiya..”

Senyap.

“Fathiyah.”

“Hm..”

“Kita balik rumah aku nak tak, sementara Abang Am keluar?” Ujar Shah memberi cadangan. Risau melihat keadaan gadis itu yang jelas tidak bermaya. Mujur gastrik gadis itu tidak teruk.

“Tak payahlah.. kan jauh..” Tanpa menoleh Fathiyah menjawab dalam serak suara. Tekaknya terasa payau.

“Kalau jauh pun, kan aku yang drive. Abang Am kata, dia balik kem kejap. Ada hal. Tak tahu dia balik pukul berapa. Lagipun, aku dah cakap dengan dia tadi nak bawak kau balik. Malam nanti, aku hantar semula.” Shah cuba memujuk. Risau mahu membiarkan gadis itu keseorangan di rumah dalam keadaan begitu.

“Tak payahlah.. Nanti susahkan umi aje. Aku boleh jaga diri sendiri.” Fathiyah masih menolak. Ada rasa segan menular walaupun keluarga lelaki itu bukan asing lagi dalam hidupnya.

“Tak ada yang susah. Umi pun suruh aku bawak kau. Aku risau, kalau aku jaga dekat rumah kau nanti, apa pulak orang cakap.. Aku serik jadi macam hari tu..” lembut Shah membalas.

Fathiyah menoleh. Lama dia memandang wajah Shah yang tenang memandu sejak tadi hingga tidak sedar ada air hangat bertakung di pelupuk mata. Dalam keadaan tidak sihat begitu, hati juga sama tidak sihat.

Hal yang pernah berlaku di antara mereka terimbau kembali. Hubungan yang bermula dari sejak kecil, bersahabat hingga meningkat remaja, kemudian mencecah ke alam dewasa hingga mereka membuat keputusan untuk bertunang. Cuma hanya, perancangan itu tidak kesampaian oleh sebab yang dia sendiri tidak pasti hingga ke hari ini. Selama dua tahun mereka terputus hubungan, keadaan memaksa mereka bertemu kembali dalam kedinginan dan terus dingin apabila mereka ditakdirkan pula ditangkap berkhalwat. Selama tempoh itu pula, dia membuat keputusan mahu berbaik atas janji hingga dia bertemu dengan lelaki yang benar-benar sesuai. Namun, lain yang dirancang, lain pula yang berlaku. Hati tekad ingin melupakan semuanya dan kembali berteman seperti dahulu lagi walaupun jauh di sudut hati, terperosok persoalan yang masih tidak terjawab.

“Tiya..” Panggilan yang cukup gemeresik itu, amat menyentuh hati menyebabkan dia segera melarikan wajah. Air mata yang hampir meleleh segera di seka.

Wajah Shah sudah berkerut. Dia perasan akan renungan yang cukup berlainan itu menyebabkan hatinya disapa debar aneh. Debar yang sudah lama tidak menyapa ruang dadanya, debar yang sering sahaja dibuang jauh setiap kali berada dekat dengan gadis itu.

“Shah.. kenapa ya, Allah temukan kita, tapi kita tak..” Kata-kata yang terhenti itu terluah di bibir Fathiyah menyebabkan Shah sedikit tersentak. Kelu lidahnya mahu menjawab menyebabkan dia hanya keluhan yang terlepas.

Fathiyah menyeka lagi hujung mata apabila terasa air mata mula melebat.

“Tiya.. Allah tu Maha Kaya Tiya.. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kita hanya mampu merancang Tiya. Dia juga merancang tapi Dia juga yang menentukan.. Siapa kita Tiya, nak persoalkan semua ni? Kau pernah cakap dengan aku, banyak hikmah dari apa yang jadi ni.. Kita kena reda kan..” Tenang Shah menuturkannya.

Fathiyah tidak membalas. Hanya istighfar sahaja yang meniti bibirnya cukup perlahan. Terlalu rapuh hatinya kala itu. Bukan dia tidak tahu akan qadak dan qadar-Nya.

“Kita tak tahu apa yang jadi pada masa depan Tiya.. Mungkin kita memang tidak ditakdirkan bersama.. atau juga mungkin kita sebenarnya..”

Sorry Shah.. aku tak patut cakap lagi fasal hal ni..” pintas Fathiyah perlahan tanpa berpaling.

Shah menghela nafas panjang.

“Shah..” Fathiyah menoleh dan Shah turut juga menoleh sekilas.

“Terus hantar aku balik ya? Kau jangan risaukan aku. Insya-Allah aku boleh jaga diri sendiri.” ujarnya penuh mengharap. Dia tidak mampu membebankan Hajah Aznah untuk menjaganya pula.

“Tiya..”

Please Shah..”

Nafas berat terlepas di bibir Shah. Sedar dia tidak mampu lagi memaksa.

Sepi lagi. Shah hanya terus tekun memandu dan Fathiyah leka melayan perasaan sendiri sebelum dengan spontan tapak tangannya melekap ke lengan Shah menyebabkan lelaki itu sedikit tersentak.

“Kenapa Tiya?” Shah menyoal pelik.

“Shah, boleh tak berhenti kejap.” ujar Fathiyah sambil kepalanya tertoleh-toleh ke belakang.

“Kenapa?” Shah menyoal. Namun dia akur dengan permintaan gadis yang terlalu disayangi itu. Segera dia memberi isyarat kiri sebelum memberhentikan kereta. Mujur sahaja jalan yang dilalui agak lapang dan mudah untuk memberhentikan kereta di tepi jalan.

Tanpa menjawab, Fathiyah menolak pintu kereta dan sempat tangan Shah menghalang.

“Kau nak pergi mana?” Soal Shah tidak senang.

“Aku nak ambil kucing mati dekat belakang tadi Shah. Kesian dia kena langgar. Sebelum hancur, baik alihkan.” jawab Fathiyah sambil membetulkan baju sejuk yang dipakai sebelum menapak keluar. Namun baru sahaja sebelah kaki memijak tanah, sekali lagi Shah melarang.

“Kau kan tak sihat.. biar ajelah. Lagipun, dekat tengah jalan tu. Bahaya kau nak ambil.”

“Aku okeylah Shah. Sikit aje. Kesian kucing tu..” Fathiyah tetap berdegil. Dia terus sahaja keluar.

Shah yang tidak senang duduk, turut sama keluar dari kereta.

“Tiya!” Dia sempat menyambar lengan Fathiyah. Menghalang daripada gadis itu melintas.

“Biar aku ambil. Kau tunggu sini kejap. Aku nak ambil surat khabar.” ujarnya sebelum kembali ke kereta.

Fathiyah yang kaku di situ, hanya memerhati. Terharu dengan tingkah lelaki itu.

“Shah..” Shah yang bersedia untuk melintas di sisinya, dipandang.

“Ia la.. aku tahu kau tak boleh tengok apa-apa binatang pun mati depan mata.” ucap Shah sebelum terus melintas sebaik kiri dan kanan jalan lengang. Seekor kucing kembang warna jingga sudah selamat dalam pelukannya berlapikkan surat khabar.

“Tiya! Panas lagi badan dia.. agaknya baru kena langgar.” Beritahunya sebaik kucing itu ditunjukkan.

Fathiyah pula tanpa rasa jijik, terus sahaja menyentuh tubuh kucing yang jelas tidak mengalami sebarang pendarahan pun.

“Shah! Dia hidup lagi! Kita bawak pergi vet cepat!” Fathiyah mulai panik. Terus sahaja kucing tersebut bertukar tangan tanpa berlapik pun sebelum meluru ke kereta. “Cepat Shah!” Gesanya apabila lelaki itu sedikit terpinga-pinga.

………….
“Tiya..”

Fathiyah angkat wajah. Mata dihalakan ke arah Shah yang duduk di hadapannya.

“Shah, nanti aku bayar balik bil kucing tadi..” ucapnya perlahan dengan serba salah. Entah kenapa kala itu, dia baru terasa betapa menyesalnya tidak mencari kerja sebelum menyambung pengajian. Sekurang-kurangnya dia masih punya simpanan jika dalam keadaan terdesak seperti sekarang. Kini, dia terpaksa meminta bantuan lelaki itu pula untuk menjelaskan pembayaran kucing gebu yang dijumpainya tadi.

“It’s okey. Belum habis bayar tadi kan..” jawab Shah bersama senyuman.

Kucing yang ditemui tadi terpaksa ditinggalkan di klinik buat sementara waktu apabila daripada pemeriksaan yang dilakukan, dua kaki kucing tersebut patah dan ada sedikit kecederaan dalaman.

“Erm.. kalau kucing tu boleh selamat, kau nak bela ke?” Lanjutnya kemudian.

Fathiyah mengangguk perlahan. “Tapi kan Shah.. kau rasa bilnya mahal tak? Macam dua kucing Along dekat rumah tu, biasanya dia yang uruskan semua. Aku tak tahu pun berapa kos Along hantar kucing dia kalau sakit..” luahnya perlahan.

“Entahlah Tiya. Aku lagilah tak tahu. Tapi tak apa. Nanti aku bayar. Kau tak payahlah risau fasal bil tu.” balas Shah menenangkan. Bukan dia tidak tahu Fathiyah terlalu sayangkan haiwan.

“Bila nak ambik kucing tu?” Celah Azlan yang tiba bersama semangkuk bubur nasi yang baru sahaja dimasak.

Dia agak terkejut saat kelibat pasangan itu muncul di restorannya tadi. Tambahan pula dengan melihat wajah sugul Fathiyah.

“Tak tahu lagi. Tengok kucing tu macam mana..” sambut Shah. Air teh yang sudah pun suam di hadapannya di sisip perlahan.

“Tiya..”

Sekali lagi Fathiyah mengangkat wajah. Namun kali ini dengan kerutan di kening. Dua lelaki di hadapannya itu memanggilnya serentak.

Shah dan Azlan saling berpandangan sebelum masing-masing tersengih-sengih.

Apasal korang ni? Saja nak mainkan aku ke apa?” Fathiyah memandang pelik.

Azlan dan Shah tersengih.

“Aku nak suruh kau makan bubur tu Tiya. Aku masak, bukan untuk kau tenung lama-lama.” ujar Azlan kemudian.

Fathiyah menunduk kembali. Mangkuk bubur nasi yang masih mengeluarkan asap nipis ditenung lagi. Hanya jasadnya di situ. Akalnya menerawang ke klinik haiwan tadi. Melihat keadaan kucing yang diselamatkan tadi, hati dipagut sayu.

“Tiya..” Panggil Shah pula. “Makanlah. Nanti dah balik rumah, tak ada siapa nak masak. Kau pun belum makan ubat lagi ni..” ujarnya prihatin.

“Abang Am kan ada?” Sampuk Alan.

“Abang Am dah keluar masa aku hantar Tiya pergi klinik tadi.” Shah menjawab bagi pihak Fathiyah apabila gadis itu hanya mendiamkan diri.

“Habis tu, macam mana nanti?”

Shah menalakan mata ke arah Fathiyah yang lebih banyak menunduk sejak tadi. Azlan juga memandang ke arah yang sama.

“Tiya, kau ada nak makan apa-apa? Aku boleh masakkan. Nanti dekat rumah, tinggal panaskan aje.” soalnya yang turut prihatin dengan keadaan kesihatan gadis itu.

Fathiyah menggeleng. Sudu bubur dicapai perlahan sebelum disuakan ke mulut. Walaupun tiada selera, dia tetap juga memaksa tekaknya agar menerima. Tidak sampai hati membiarkannya tidak berusik memandangkan Azlan sudah bersusah-payah memasaknya sendiri.

Shah dan Azlan saling berpandangan sebelum masing-masing menalakan mata kembali ke arah Fathiyah yang seperti khayal dengan dunianya sendiri.


3 comments:

MaY_LiN said...

waalaikumusalam wbt

achaaa...nape nanak smbg
nak hantar kt publisher ke..
nak kisah ila..along ngan adik lakkk
(:

acha tuko langsir baru..
mood raye lg ye

Dewi Mus said...

Achaa pon mood raya tu yang tukar langsir baru...:)
Awat DB xnak sambung....huuu

Kak Sue said...

semua org sayang Tiya... Tiya dalam sakit pun sempat fikir kucing lagi...
siapakah pilihan hati Tiya... jengjengjeng...