Aug 6, 2014

Tirai Dosa Kelmarin_SE raya

Assalamualaikum. Err.. maaf atas kelewatan. Bukan sakan beraya, sakan layan mood menulis yang menjunm entah ke mana. Maaf, maaf!

................

Bibir menguntum senyum saat kaki memijak lantai bilik. Mangkuk bubur yang masih mengeluarkan asap nipis diletakkan di sisi katil.

“Sayang..” Lembut Imanina memanggil anak sulungnya yang lena sejak pulang dari klinik tadi. Dilekapkan tapak tangannya ke dahi Zarif. Panasnya berkurangan.

“Abang.. bangunlah sayang. Mama bawak bubur ni. Lepas makan, boleh makan ubat.” Dicapai pula tuala lembap yang disediakan tadi lalu dilekapkan ke dahi si kecil.

“Zarif..”

“Mama..” Terpisat-pisat si kecil itu membuka mata.

“Zarif bangun ya? Mama ada bawak bubur ni.” Lembut Imanina memujuk.

Zarif menggeleng walaupun mata terpejam.

“Makanlah sikit. Penat mama masak tau..” Imanina usap lembut kepala Zarif yang jelas tidak bermaya.

“Tak nak mama. Abang puasa.” Perlahan Zarif membalas. Ditolak tangan Imanina yang kembali memegang mangkuk bubur.

“Mama tahulah Abang puasa. Tapi Abang kan demam.. Orang sakit dibolehkan tak puasa. Abang sakit kan..” Imanina masih berusaha memujuk.

“Tak nak mama.. Nanti Abang tak cukup puasa sebulan.. Tok Pa kata, Allah tak suka kalau orang ikut cakap Dia. Abang tak nak Allah marah Abang..” jawab si kecil itu polos.

Imanina senyum segaris sambil mengusap kepala si kecil.

“Memanglah Allah marah kalau kita tak ikut cakap Dia. Tapi, Allah baik tau. Dia tahu Abang demam, tak sihat. Dia takkan marah Abang, kalau Abang tak puasa hari ni.” Masih juga dia cuba memujuk kerana risau si kecil itu bertambah lemah memandangkan ada lagi tujuh jam sebelum tiba waktu berbuka pada hari terakhir berpuasa itu.

“Tak nak mama..” Dengan mata terpejam si kecil itu membalas. Tangan tetap menolak tangan Imanina yang cuba mendekatkan sudu ke mulutnya.

“Sayang..” Muncul Iman Faliq di muka pintu.

“Abang, pujuklah anak bujang abang ni..” Ujar Imanina mohon bantuan suaminya pula.

“Dia tak nak, janganlah paksa.” Lembut Iman Faliq membalas sebelum melabuhkan duduk di sisi Imanina di birai katil.

“Badan dia panas lagi bang.. Nak berbuka lambat lagi ni..” jelas kerisauan di wajah Imanina.

Iman Faliq senyum.

“Tak apa. Sayang keluar dulu. Biar abang pujuk hm?” Mangkuk bubur berpindah tangan.

Thanks abang.” Imanina selamba mendaratkan bibirnya sekilas ke pipi Iman Faliq sebelum bingkas. Namun baru sahaja setapak melangkah, lengannya disambar.

“Sayang tu.. kalau tak sihat, cepat-cepat berbuka.” Iman Faliq berpesan memandangkan sejak hamil, alah Imanina agak teruk hingga begitu kerap demam. Hari itu pun, isterinya tidak begitu sihat.

Imanina senyum manis. “Iman kan kuat.” Dia tersengih pula.

Iman Faliq mencebik.

“Kuat apa? Malam nanti merengek semua sakit-sakit.” Dicuit pinggang Imanina menyebabkan isterinya itu terus meninggalkan ruang bilik.

Iman Faliq hanya menggeleng sebelum tumpuan dihalakan ke arah Zarif yang terbaring lesu.

“Zarif..” Disentuh dahi si sulung.

“Papa..” Lemah si kecil itu membalas. “Zarif makan ya? Dah sejuk bubur ni. Penat mama masak.” pujuk Iman Faliq lembut.

Si kecil itu menggeleng sebelum perlahan-lahan menegakkan tubuh lalu menyandarkan kepala ke lengan Iman Faliq.

“Abang tak nak papa. Abang puasa.” ujar si kecil itu.

“Macam mana Abang nak sihat, kalau tak makan ubat. Doktor pun pesan suruh Abang makan ubatkan? Tapi sebelum makan ubat, kena makan dulu. Esok kan kita nak raya. Macam mana nak raya, kalau Zarif tak sihat hm?” Digosok perlahan belakang tubuh si kecil.

Zarif tetap menggeleng.  “Tak nak, papa.. Nanti Abang tak cukup puasa. Abang nak puasa penuh tahun ni.” Kuyu mata si kecil itu memandang wajah papanya.

Iman Faliq senyum segaris. “Tapi, sekarangkan Zarif tak sihat..” Mangkuk bubur diletakkan kembali ke sisi katil sebelum membawa tubuh si kecilnya itu dalam pelukan. Terasa kehangatan tubuh si kecil itu.

“Papa..” Terjegul kepala si kecil Humairah di celah pintu.

“Abang tak puasa?” Omel si kecil itu sebaik menghampiri katil.

“Abang puasalah!” Tertegak kepala Zarif, membalas kata-kata kembarnya.

Iman Faliq sudah tersenyum melihat pasangan kembar itu yang mula bertukar pandangan.

“Abang puasa. Tapi, sekarang abang kan demam.. Sebab tu, mama masakkan bubur. Orang sakit, dibolehkan berbuka.” Dia mencelah.

“Ia ke?” Humairah menjongketkan kening. Penuh kecurigaan di wajah comel itu.

“Ialah.. Kalau puasa, tapi badan sakit sampai tak boleh bangun, macam mana nak puasa? Sakit, kenalah makan ubat.” Iman Faliq cuba memberi penjelasan agar pasangan kembarnya itu faham situasi yang dialami.

“Ia ke papa? Ni, tangan Kakak kena gigit dengan Mega. Sakit.. boleh makan ya papa?” Humairah menunjukkan hujung jari telunjuk comelnya yang digigit oleh si kucing parsi milik Zarif.

“Ish! Mana boleh!” Zarif menyampuk. “Tu sakit sikit ajelah kakak! Boleh puasa!” Tambahnya tegas.

Iman Faliq tersenyum lagi bersama gelengan.

“Sudah tu.. Jari Kakak tu, tak luka parah pun. Kakak boleh lari-lari lagi kan? Maknanya kakak tak sakitlah. Yang papa kata tadi, macam Abang ni.” jelasnya.

“Tu pun tak tahu!” sambung Zarif menyebabkan Humairah terus mencebik. “Alah! Kakak tahulah!” Rengus si kecil itu sebelum terus beredar.

Iman Faliq menggeleng lagi. Ada sahaja yang ingin dipersoalkan oleh kedua-duanya.

“Sudah tu Zarif..” Iman Faliq usap belakang tubuh anak sulungnya. “Erm.. sekarang ni, Abang nak makan ke tak ni? Bubur ni dah sejuk tau?” Dipandang wajah tidak bermaya si sulung.

“Tak nak papa..” Terkebil-kebil Zarif membalas renungan papanya.

“Okey. Tak nak, tak apa. Sekarang dekat pukul dua. Lama lagi nak berbuka ni. Kalau Abang tak tahan nanti, Abang cepat-cepat panggil papa. Okey?”

Zarif angguk.

“Erm.. lepas solat zuhur ni, papa nak tolong Tok Ayah bakar lemang. Kalau Abang nak apa-apa, Abang cari papa dekat belakang ya?” Iman Faliq bingkas seraya mengangkat mangkuk bubur bersama.

Giliran tahun itu mereka beraya di kampung bersama bapa angkat isterinya, Ayah Nan.

“Papa..” Sebelah tangannya disambar menyebabkan dia kembali berpaling.

“Abang nak solat sama-sama dengan papa boleh?” ujar si kecil itu menyebabkan hati Iman Faliq sedikit tercuit. Perlahan-lahan bibirnya menarik senyum.

“Abang boleh solat ke? Kepala tak pening?” Soalnya bersama rasa terharu. Syukur dipanjatkan pada yang Maha Esa kerana si kecil itu begitu baik terdidik. Si sulung itu begitu mudah mendengar kata. Apa sahaja yang diajarkan, mudah sahaja mengikut. Tingkahnya selalu sahaja lebih matang berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.

“Boleh papa. Abang pening sikit aje.” jawab si kecil selamba lalu turun dari katil.

Iman Faliq senyum lagi. Tersentuh benar hatinya melihat si kecil itu. Dia teringat akan kata-kata nasihat bapa tirinya beberapa tahun lepas untuk mengajar anak kecil berpuasa. Titik beratkan soal solat terlebih dahulu daripada memaksa anak-anak kecil berpuasa. Tanamkan tanggungjawab kepada solat dahulu, insya-Allah tanggungjawab pada puasa akan turut sama datang seiring.
*****
Mata tidak berganjak dari wajah berseri-seri di hadapannya itu. Si empunya diri seperti langsung tidak sedar akan jamahan matanya sejak tadi.

Uhuk!

Terbatuk dia tiba-tiba apabila dadanya ditepuk.

“Abang ingat, Iman tak perasan apa yang abang buat?” Jelingan dihadiahkan buat si suami menyebabkan lelaki itu tersenyum lebar.

“Siapa suruh sayang tu langsung tak pandang muka abang.” balas Iman Faliq sambil menyangkutkan kedua-dua lengannya ke bahu wanita yang sedang memasangkan butang baju Melayunya itu.

“Abang tu, bukan boleh Iman tenung lama-lama sikit.” Sekali lagi Imanina menghadiahkan jelingan.

“Ialah..” Iman Faliq tarik muka. “Pagi-pagi raya dah dapat jeling. Macam manalah tak banyak dosa orang tu..” Sengaja dia mengusik menyebabkan butang terakhir yang ingin dipasangkan terlepas dari tangan isterinya. Menunduk dia seketika untuk mengutip semula butang bertakhta mutiara yang terjatuh. Butang tersebut kembali dihulurkan.

“Banyak sangat ke dosa Iman pada abang selama ni?” Itu yang terluah di bibir Imanina tanpa menyambut huluran lelaki itu. Wajah si suami ditatap dengan pelupuk mata yang mulai hangat tidak semena-mena.

Iman Faliq menggariskan senyum. Tubuh isterinya yang sedang hamil empat bulan itu diraih. Diseka hujung mata si isteri.

“Abang tak jawab lagi soalan Iman..” Imanina tolak tangan Iman Faliq yang melekap di pipinya. Entah kenapa hatinya terusik dengan kata-kata lelaki itu tadi.

“Apa yang sedih sangat ni hm? Sensitifnya sekarang ni..” Iman Faliq kembali menyangkutkan kedua-dua lengannya ke bahu Imanina.

“Abang yang cakap, Iman banyak dosa dengan abang..” Imanina menundukkan wajah. Diseka hujung matanya yang berair.

Dia sedar, dia bukanlah isteri yang cukup sempurna. Dan pastinya, ada sahaja perilakunya yang mungkin sahaja menggores hati tanpa disedari kerana lelaki itu cukup bersabar melayan setiap kerenahnya selama ini.

“Sayang..” Iman Faliq tolak hujung dagu Imanina.

Sorry okey.. Abang gurau aje. Kalau ada pun dosa Iman pada abang, demi Allah, semua abang dah ampunkan. Apa sangat dosa yang sayang dah buat, kalau nak dibandingkan dengan apa yang abang dah buat dulu. Apa yang sayang dah buat untuk abang dan anak-anak selama ni, tak terbalas sayang..” Diusap lembut pipi Imanina penuh kasih sebelum didaratkan bibirnya sekilas ke dahi dan dibawa tubuh itu dalam pelukannya erat.

“Abang sayang Iman. Love you so much sayang..” ucap Iman Faliq tulus.

Me too abang..” balas Imanina perlahan.

“Papa! Mama!” Jeritan yang tiba-tiba dari ambang pintu bilik menyebabkan pelukan mereka terlerai. Wajah anak keduanya terpampang di situ.

Imanina cepat-cepat menyeka sisa air mata yang ada.

“Kenapa Kakak ni? Suka jerit-jerit. Mama dengan papa tak pekak lagi tau?” Lembut Iman Faliq menegur.

Humairah tersengih-sengih.

“Kakak nak apa ni? Abang dengan Adik mana? Tadi mama suruh jaga adik sekejap kan?” Tambah Imanina pula sambil memasangkan kembali butang baju Melayu Iman Faliq.

“Adik dengan Tok Ayah. Abang, tidur balik dekat depan tu mama.” jawab si kecil itu sambil tidak lepas memerhatikan mama dan papanya.

“Abang tidur? Kan tadi Abang dah siap pakai baju Melayu?” Iman Faliq pula menyoal. Mata dihalakan seketika ke wajah isterinya sebelum jatuh ke wajah anak keduanya itu.

“Entah. Kakak dah kejutkan Abang. Tapi, Abang kata pening, papa.” Lurus Humairah menjawab.

Imanina dan Iman Faliq berpandangan seketika.

“Dia demam lagi agaknya bang..” Imanina meluahkan kerisauannya sebelum terus berlalu keluar.

“Dah lama Abang tidur?” tanya Iman Faliq kepada anak keduanya yang masih setia di situ.

“Erm.. lepas Abang pakai baju tadi, papa..”

Iman  Faliq menghela nafas panjang sebelum dia turut menapak keluar mendapatkan anak dan isterinya.
……………..
Nafas berat terhela lagi dari bibir tanpa dapat ditahan. Tidak lepas matanya memandang wajah lesu si sulungnya yang terbaring. Kemudian mata dihalakan pula ke arah tangan sebelah kiri yang bercucuk jarum dan bersambung dengan tiub jernih berisi air.

Anak sulungnya itu bukanlah tidur seperti mana yang diadukan oleh anak keduanya tadi. Sebaliknya, si abang itu pengsan kerana badan yang kekurangan air dan juga suhu badan yang agak tinggi. Hampir sahaja luruh jantungnya saat mengejutkan anak sulungnya itu tadi, langsung tiada tindak balas.

“Sayang..” Sentuhan di bahunya sedikit menyentakkan. Perlahan-lahan dia menyeka sisa air mata yang ada. Segaris senyum dibiaskan buat si suami.

“Iman ikut Ayah Nan balik. Biar abang tunggu Zarif malam ni.” ujar Iman Faliq sambil mengusap pipi mulus isterinya yang terasa dingin.

“Tak payahlah. Biar Iman yang jaga. Abang baliklah.” balas Imanina pula.

“Sayang..” Iman Faliq hela nafas berat.

“Tak apa bang. Iman boleh..” Imanina cuba meyakinkan walaupun sedar dirinya juga tidak begitu sihat.

“Sayang janganlah degil. Zarif tak ada apa-apa. Kan tadi dia dah sedar. Insya-Allah esok pun dah boleh keluar. Panas pun dah kurang ni.” balas Iman Faliq sambil meraba dahi anak sulungnya yang sedang lena itu.

Imanina menggeleng. Dicapai tangan anak sulungnya dan digenggam kemas. Apa yang menimpa Zarif Aimin dahulu sudah cukup memberi tamparan yang cukup hebat baginya. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang dirasai saat anak sulungnya diam tidak berkutik di pangkuannya tadi.

“Iman.. dengarlah cakap abang ni. Insya-Allah. Zarif tak ada apa-apa. Biar abang yang tunggu dia malam ni. Sayang pergilah balik. Kesian biar Mak Ita jaga Kakak dengan Adik dekat rumah tu. Sayang balik ya? Sayang pun tak sihat kan? Balik rehat. Dari pagi tadi sayang dekat sini.” Iman Faliq cuba memujuk pula.

“Tapi..”

Iman Faliq menggeleng. Memberi isyarat agar Imanina tidak meneruskan kata. Dia bertegas. Tidak mahu kesihatan wanita itu pula yang terjejas.

“Sayang janganlah degil. Makan pun tidak dari tadi kan? Iman balik, makan. Abang dah cakap dengan Mak Ita tadi, masakkan sayang bubur. Iman balik. Please. Ada apa-apa nanti, abang call.” Masih cuba memujuk.

“Abang janji, cepat-cepat call Iman?” Imanina berat hati mahu meninggalkan Zarif selagi dia tidak melihat dengan mata kepalanya anak sulungnya itu mampu bercakap dan bergelak ketawa seperti sedia kala.

“Insya-Allah sayang. Abang call nanti. Jom. Abang hantar. Ayah Nan dah tunggu dekat luar tu.” Iman Faliq membantu isterinya itu berdiri. Resah hati melihat wajah keruh isterinya sejak tadi. Dia tahu Imanina begitu mengambil berat akan soal kesihatan anak-anak hingga sering kali mengabaikan kesihatan sendiri.
******
“Banyaknya Abang ni makan. Abang tak kenyang lagi ke?” Omel Humairah saat melihat Zarif yang leka dengan ketupat bersama kuah lodeh.

Kali ketiga Zarif menghadap makanan yang sama sejak pagi tadi.

“Biarlah! Mama masak untuk Abang!” Selamba Zarif menjawab sebelum seketul potongan ketupat masuk ke dalam mulut.

“Ee.. tak takut gemuk ke? Nanti Abang dah tak handsome macam papa.” Selamba juga Humairah menjawab menyebabkan Zarif mencebik.

“Siapa nak handsome macam papa? Abang nak handsome macam Tok Pa!” Tingkah Zarif tidak mengalah.

“Amboi.. Zarif cakap apa? Papa tak handsome?” Sampuk Iman Faliq yang muncul di ruang makan itu.

Sejak Zarif keluar dari hospital semalam, dari pagi tadi dia perasan si kecilnya itu tidak henti makan. Terutamanya ketupat bersama masak lodeh. Sudah menjadi kegemaran si kecil itu.

“Haah pa. Abang cakap papa tak handsome.” Sambut Humairah sambil menaikkan ibu jarinya ke arah abang kembarnya.

“Mana ada! Abang tak cakap pun papa tak handsome!” Zarif terus meningkah.

Iman Faliq sudah menggelengkan kepala. Menjadi kebiasaan pasangan kembar itu akan bertekak walaupun hal sekecil kuman. Sering kali mereka tidak sehaluan.

“Kenapa ni? Dari atas mama dengar.” Muncul pula Imanina menuruni tangga sambil memimpin anak bongsunya. Cukup berhati-hati dia meniti tangga kayu itu kerana keadaan tubuh yang tidak begitu sihat.

“Abang makan banyak mama.” Cepat sahaja Humairah menyambut.

Zarif menghadiahkan jelingan pula.

“Biarlah.. Abangkan baru keluar hospital. Abang langsung tak makan pun semalam.” balas Imanina seraya melabuhkan duduk di sisi anak keduanya itu menyebabkan Zarif terus sahaja mengangkat ibu jarinya. Sengih di bibirnya lebar kerana ada yang menyebelahinya.

Humairah mencebik.

“Sudah tu, Abang cepat makan. Kita nak balik rumah kejap lagi. Kita belum beraya dengan Tok Pa, Nek Wan. Nanti sampai rumah, Kakak jangan cakap dengan Tok Pa and Nek Wan, Abang masuk hospital.” Iman Faliq sempat memberi peringatan.

Memang sengaja hal itu tidak diberitahu kepada kedua-dua orang tuanya. Tidak mahu kedua-duanya risau.

“Eleh.. nanti Kakak mesti bocor rahsia papa.” celah Zarif.

Humairah menjelirkan lidah pula bersama jelingan.

Iman Faliq dan Imanina berpandangan sebelum masing-masing menarik senyum. Mereka sedia maklum anak keduanya yang sukar menyimpan rahsia. Ada sahaja yang akan diceritakan kepada kedua-dua ibu bapa mentuanya.

“Ada-ada aje anak-anak papa ni.” Iman Faliq gosok kepala anak sulungnya di sisi. “Abang makan elok-elok dekat sini. Mama dengan papa nak balik rumah sana, kemas baju.” Pesannya sambil menunjuk ke arah rumah peninggalan arwah ibu bapa mentuanya.

“Okey papa!” Zarif menghadiahkan senyum.

“Kakak nak ikut! Tinggallah Abang dekat sini! uwek!” Sekali lagi Humairah menjelirkan lidah sebelum turun dari kerusi untuk menuruti langkah Imanina yang sudah pun mendahului ke muka pintu dapur. Si kecil Zairil juga sudah mendahului.

“Eh, kenapa pegang-pegang ni?” tegur Imanina apabila jemari Iman Faliq menyulami jemari halusnya saat beriringan.

Anak keduanya sudah pun mendahului di hadapan, berkejaran dengan si bongsunya memandangkan keluarga abangnya memang ada di rumah. Hanya mereka ke rumah Ayah Nan tadi kerana si sulungnya begitu beria-ia mahu makan ketupat bersama kuah lodeh sejak pagi tadi.

“Dah lama tak jalan sama-sama macam ni?” jawab Iman Faliq bersama sengihan nakal.

Imanina terus hadiahkan senyum. Ditampar manja lengan sasa lelaki itu.

“Mula-mula kahwin dulu pun, memang tak ada jalan macam ni apa?” Kening sebelah dijongket. Sengaja mahu mengusik.

“Ada lah..”

“Ia ke ada? Bila?”

“Masa kita jalan sama-sama masuk bilik.” Iman Faliq tayang lagi senyum nakal menyebabkan lengannya mendapat habuan jemari runcing isterinya itu.

“Sayang tak ingatlah tu? Oh.. Abang lupa. Dah nak masuk empat ni, urat banyak putus eyh? Sebab tu, banyak benda dah tak ingat.” Sambungnya masih mahu mengusik menyebabkan pinggangnya pula mendapat habuan.

“Ewah-ewah. Sedap aje mengata urat orang banyak putus. Siapa yang sebabkan putus? Bukan sebab abang ke?” Imanina pura-pura tarik muka masam.

“Alahai sayang.. abang gurau ajelah. Tahulah.. orang yang selalu buat dia sakit-sakit dari dulu lagi..” Mengendur suara Iman Faliq apabila sejarah lalu terimbau kembali.

Di rumah peninggalan keluarga mentuanya itulah segala-galanya bermula. Titik hitam yang pernah ditinggalkan buat isterinya itu, tidak akan pernah luput dari ingatan hingga akhir hayatnya.

“Abang tu, mulalah.. Iman dah tak sebut pun hal tu kan.. Abang suka sangat sebut lagi kenapa? Iman dah tak marah abang kan? Kalau Iman marah, dah lama abang tak jumpa Iman. Kita tak ada apa yang kita ada sekarang ni tau?” balas Imanina sedikit tidak senang apabila kisah lalu sering sahaja meniti bibir suaminya itu.

“Memanglah.. tapi abang takkan lupa apa yang abang dah buat pada sayang abang ni dulu..” jawab Iman Faliq seraya memberhentikan langkah. Ditarik tubuh Imanina mendekat. Diusap pipi mulus itu penuh kasih.

“Tak payahlah sebut hal tu lagi.. cukuplah apa yang dah jadi dulu, abang. Iman bahagia sangat apa yang Iman ada sekarang ni. Syukur sangat-sangat..” Digenggam kemas jemari Iman Faliq dan dibawa ke bibir sekilas.

“Macam manalah dulu abang boleh buat sayang macam..” Bibir Iman Faliq terkatup apabila jemari Imanina melekap ke bibirnya.

“Setiap kali abang ulang hal tu, setiap kali tu jugak hati Iman rasa sakit. Abang tolonglah jangan cakap lagi hal ni. Iman tak nak ada rasa benci dalam hati Iman untuk abang lagi. Cukuplah apa yang pernah Iman simpan dulu. Sekarang, abang bukan Iman Faliq yang dulu. Yang tak boleh fikir mana dosa, mana pahala. Iman Faliq depan Iman ni, dah jadi lelaki terbaik yang pernah ada dalam hidup Iman. Dah jadi king of my heart.” Dielus pipi lelaki itu penuh kasih. “Abang segala-galanya bagi Iman dengan anak-anak sekarang ni. Kalau abang tak ada dalam hidup Iman, belum tentu Iman rasa bahagia macam hari ni..” Disangkutkan dua lengannya ke batang leher Iman Faliq. Paras kacak itu dipandang sayang.

Iman Faliq lirik senyum. Tubuh Imanina diraih erat hingga beberapa inci sahaja jarak yang memisahkan wajah mereka. Renungan bertaut mesra tanpa dipaksa.

Sorry sayang..”

Imanina mengukir senyum manis.

“Janji, abang tak cakap lagi hal ni hm?”

“Insya-Allah. Abang janji sayang..” Iman Faliq mendaratkan bibirnya sekilas ke dahi licin kekasih hatinya itu sekilas. “Give me my favourite sayang.” bisiknya pula bersama lirikan nakal kembali terbias.

Imanina tertawa kecil. Tertunduk dia seketika dengan wajah yang membahang sebelum tubuhnya terus tenggelam dalam pelukan lelaki itu. Terasa hangat pipinya apabila ada ciuman kecil singgah di situ dan berakhir di bibirnya hingga tanpa sedar wayang mereka menjadi tatapan insan-insan yang dikasihi.

“Ehem, ehem..” dehaman kuat beberapa kali kedengaran menyentakkan kedua-duanya sebelum masing-masing menoleh. Terlepas senyum malu di bibir kedua-duanya sebelum kembali menapak. Dari ruang beranda sudah kelihatan dua anaknya sedang memerhati di situ bersama Iqbal.

Imanina terus berlalu masuk ke dalam rumah dengan wajah yang menebal. Tidak terpandang wajah abangnya yang melirik senyum mengusik.

“Hai bro.. selamba aje tengah terang kau buat wayang ya? Simpan-simpanlah malam sikit. Orang tak nampak.” Usik Iqbal tersengih-sengih memandang adik iparnya yang seorang itu.

Iman Faliq tersengih kelat. Kepala yang tidak gatal digaru serba tidak kena.

What are you doing papa?” Polos Humairah bertanya. Terkelip-kelip memandang Iman Faliq. Si kecil Zairil juga turut memerhati.

Iqbal pula terus meledakkan tawa. “Lain kali, jangan berani-berani buat tayangan khas bawah umur tu dekat tempat terbuka bro.” ucapnya sebelum turut berlalu ke dalam rumah.

Sekali lagi Iman Faliq tarik sengih kelat. Sikap lepas lakunya sejak dulu memang tidak pernah berubah. Haii la anak..


.............
er.. maaf kalian kalau tak best. lama noo dah tak menulis part2 uji perasaan ni. ~haha

8 comments:

Unknown said...

Hooohooo so sweet ler iman kuasa 2 ni....dengan keletah junior2 yg comel2....best!!

Unknown said...

hahaha....adoiiiiiiii....terrkantoi depan anak lak tu....emmm sooo swwweeetttt......

Anonymous said...

sweetdn romantiknyaaaa

Anonymous said...

best..

MaY_LiN said...

nk lg achaaaa
(:

Unknown said...

terbaik.

Kak Sue said...

Terbaikkk...
bila berdua dgn pasangan HALAL lebih lupa diri kan... hihihi...
tapi memang sweettttt...

Unknown said...

So very the sewittt sangat. ramai betul anak nya envious lah pulak. anyway joke aside. very good Arsha, well done suka sangat, in fact skg baru rewind ballik TDK bab 3. hehehehe... keep up the good work wel done! On another note, jangan lupa juga update new n3 for BMJM