Aug 10, 2014

Mengharap Kasih_samb.1_short

Assalamualaikum. 

Harap dapat terima langsir baru ni. :D
OK. Atas permintaan dan REALITInya diizinkan-Nya, kisah ini bersambung. :)
................

Seperti selalu, hamparan pantai menjadi pilihan hujung minggu itu demi anak-anaknya yang sedang giat membesar. Mata dihalakan ke arah Aniq dan Danish yang leka bermain pasir selepas berendam di dalam air tadi.

“Ummi, nak air.” Danish yang sudah berusia empat tahun semakin petah berkata-kata. Pelatnya sudah hilang semenjak dimasukkan ke sekolah.

“Along nak air?” Soal Azila sebaik anak sulungnya pula datang menghampiri dan air kotak berperisa laici dihulurkan.

“Ummi ajak Cik Min datang sini ke?” Belum pun Aniq menyedut air laici yang dihulurkan, mata terhala ke arah susuk tubuh yang kian mendekat.

Azila turut memandang ke arah yang sama.

“Adik tak suka Cik Min ummi. Cik Min tak ada motor besar macam Cik Zan.” Bisik Danish yang melabuhkan duduk di sisi umminya menyebabkan wanita itu hanya tersenyum.

Dia sudah sedia maklum akan penerimaan anak-anaknya terhadap Amin. Sahabat lama ketika zaman sekolahnya dahulu merangkap teman sekampung. Sejak hubungannya bersama Ramzan ‘suam-suam kuku’, kehadiran lelaki itu banyak mengisi hari-harinya. Dialah yang sentiasa mengambil berat akan keadaan diri dan anak-anak tidak kira waktu. Dan sudah beberapa kali juga lelaki itu meluahkan hasrat hati untuk mengisi ruang hatinya namun huluran kasih itu masih tidak dibalas. Cukup dia hanya menganggap lelaki itu sebagai sahabat sejak dari dulu lagi memandangkan nama Ramzan terlalu sukar untuk dipadamkan walaupun bibir sering menidakkan.

Aniq terus beredar sebaik Amin tiba di situ. Sempat dilemparkan pandangan kurang senang kepada ummi dan lelaki tersebut.

“Lama sampai?” Mesra Amin menyapa seraya menggosok kepala si kecil Danish.

“Lamalah jugak..” Sambut Azila seadanya. Mata dihalakan ke arah anak sulungnya yang kembali bermain pasir. “Erm.. kata kerja hari ni?” Dia berbahasa-basi.

Amin yang bertugas sebagai pengurus di salah sebuah pasar raya terbesar di pekan, sering sahaja meluangkan masa bersamanya dan anak-anak walaupun dia tidak pernah mempelawa.

“Kejap lagi..” Amin turut membuang pandang ke arah yang sama. Danish yang duduk di antara dia dan wanita itu tadi sudah turut sama menyertai Aniq.

Sepi seketika. Hanya deru angin sahaja yang memenuhi ruang.

Amin menoleh ke sisi bersama segaris senyum.

“Zila..”

Azila turut menoleh. Namun hanya seketika.

“Awak nak tanya fasal Ramzan ke? Kalau awak nak tanya fasal dia, saya tak ada jawapan.” tebaknya terus.

Lelaki itu mengetahui apa yang berlaku antara dan Ramzan hampir dua tahun itu. Walaupun hubungan mereka tidak lagi serius, tetapi Ramzan masih tetap membekalkan duit belanja pada setiap bulan buat dia dan anak-anak, sering menghubungi dua heronya itu dan agak kerap juga mereka bertemu jika masing-masing tidak mempunyai tanggungjawab lain. Namun, semuanya kerana anak-anak. Mereka sedikit pun tidak membincangkan hala tuju perhubungan mereka walaupun rasa cinta dalam hatinya, sedikit pun tidak luntur. Cuba dibuang rasa tersebut tetapi gagal. Semakin cuba dibuang, terasa semakin kuat rasa cinta itu bertapak di hati. Cuma kini, tiada apa yang mampu dilakukan. Dia hanya mampu bersabar jika benar cinta itu kekal miliknya nanti.

“Sampai bila awak nak mengharap pada dia Zila?” Ujar Amin penuh makna, penuh mengharap agar salam kasihnya berbalas.

“Saya tak pernah mengharap apa-apa Amin.” balas Azila tenang. Dan sememangnya begitu. Walaupun hatinya sarat dengan cinta buat Ramzan, dia tidak pernah meletakkan harapan apa-apa pada lelaki itu. Cukup dia hanya dipendam.

“Kalau awak tak mengharap apa-apa, kenapa susah sangat awak nak terima saya Zila? Apa kurangnya saya dari Ramzan? Sebab saya kerja pengurus dan dia jadi kontraktor besar dekat bandar tu?” Kedengaran mendesak.

Azila melemparkan senyum nipis.

“Dulu, masa saya dengan arwah, dia kerja supervisor cabuk aje dekat kilang, Amin.. Gaji kecil aje..” balasnya sedikit sinis.

Kurang senang dengan tuduhan yang dilemparkan oleh lelaki itu. Seperti dia wanita yang mementingkan kebendaan pula. Padahal, dia tidak pernah pun mengharapkan Ramzan membantu meringankan bebannya. Dia sendiri tidak menggunakan duit pemberian Ramzan selama ini melainkan buat perbelanjaan sekolah anak-anaknya.

Amin melepaskan keluhan panjang.

“Bagilah saya peluang Zila..” Dia masih cuba merayu dan sesekali dia tidak akan berputus asa selagi Azila masih belum menjadi hak milik orang lain.

“Ramai lagi perempuan bujang dekat kampung ni Amin..” Balas Azila perlahan.

“Tapi saya cuma nak awak Zila!”

Azila senyum lagi.

“Jangan letak apa-apa harapan pada saya Amin. Awak layak dapat yang lebih baik daripada saya. Bukan janda anak dua macam saya ni.” Lembut dia membalas. Menolak dalam diam.

“Saya tak peduli dengan status awak Zila! Keluarga saya pun tak kisah siapa awak!”

“Tapi saya kisah Amin!” Azila menoleh.

Sejarah lalu, memang masih menghantuinya hingga kini. Cukuplah derita yang ditanggung dahulu. Dia tidak mahu melaluinya sekali lagi. Dulu, itu juga jawapan yang diucapkan oleh suaminya berkenaan penerimaan keluarga mentua. Tetapi dalam diam, lain pula jadinya. Disebabkan itu, apabila Ramzan berterus terang akan penerimaan ibu lelaki itu, dia reda. Itu lebih baik, daripada dirinya dibenci dalam diam oleh ahli keluarga mentua sendiri. Perit! Dan dia cukup serik!

“Awak tak percayakan saya Zila? Awak kenal keluarga saya macam mana kan?” Amin cuba meyakinkan.

Azila tetap berusaha melemparkan senyum manis sebelum pandangannya dibuang kembali ke arah anak-anaknya yang masih leka bermain. Hakikatnya memang dia kenal dengan ahli keluarga lelaki itu. Ada sesuatu yang dirasakan Amin kurang berjaya untuk menggugat rasa cinta yang ada buat Ramzan.

*******
“Azan..”

Ramlah menyentuh bahu anaknya yang leka menonton siaran ulangan perlawanan bola sepak sejak tadi.

“Tak tidur lagi bu?” Ramzan berbasa-basi. Tubuh digerakkan, memberi ruang kepada ibunya melabuhkan duduk di sisi.

“Tak boleh tidur..” Perlahan sahaja Ramlah menjawab tanpa lepas memandang wajah anak bongsunya itu.

Sepi.

“Zan..”

Ada sesuatu yang ingin ditanyakan kepada si anak walaupun hal itu pernah menyebabkan perselisihan di antara mereka. Sejak dari itu, dia perasan Ramzan tidak lagi menyebut apatah lagi mengungkit.

“Hm..”

“Zan jumpa lagi dengan..”

“Zan tak kahwin pun dengan dia bu. Takkan nak jumpa pun tak boleh..” Pintas Ramzan selamba.

Ramlah melepaskan keluhan berat. Tidak tahu apa yang harus diucapkan lagi dengan si bongsu itu. Jika dia berkeras, yakin hubungan mereka tidak akan sebaik kini.

“Bukan ibu tak bagi. Kalau Zan asyik jumpa dia aje, macam mana Zan nak jumpa dengan orang lain? Tu, budak pejabat Zan tu.. Deena. Zan selalu jugak keluar dengan dia kan?” balasnya lambat.

“Deena kawan ofis aje bu. Dia dah kerja dengan ayah dia sekarang ni. Jarang jumpa. Lagi pun dia dah ada boyfriend. Cuma boyfriend dia tak kerja dekat sini. Sebab tu, dia rapat dengan Zan.”

Ramzan mula tahan hati. Tidak suka hal itu ditimbulkan lagi walaupun ibunya sudah sedia maklum siapa yang bertakhta di hatinya. Dan kemahuan ibunya itu akan dituruti semata-mata tidak mahu menjadi anak derhaka sungguhpun hati sendiri terluka. Dalam pada itu, dia tidak akan berhenti mengharap. Yakin Allah akan membukakan pintu hati ibunya itu agar dapat menerima Azila suatu hari nanti. Dia sedia menanti dan bersabar.

“Zan, tak boleh ke Zan cari orang lain..” Lembut Ramlah memujuk.

Ramzan menoleh. Wajah penuh mengharap ibunya dipandang. Pilu hatinya dengan sebaris ayat itu.

“Apa lagi yang ibu nak Zan buat bu? Zan tak kahwin pun dengan Zila macam yang ibu nak. Takkan Zan nak berkawan dengan dia pun, ibu nak halang? Ibu nak ke, Azan tak bahagia dengan perempuan yang Zan tak suka?” Ada sebak yang bertandang. Dia terus bingkas. Kecewa lagi hatinya dengan permintaan si ibu yang tidak pernah memahami akan kehendaknya.

*******
“Awak, tak apa ke awak saya bawak saya ni? Seganlah..” Azila menarik hujung baju kemeja berjalur halus yang terlekat pada tubuh Ramzan menyebabkan lelaki itu mematikan langkah.

“Nak segan apanya? Kawan-kawan ofis aje semua..” balas Ramzan senang seraya menarik lengan Azila yang berlapik baju kurung moden bertanah putih. Cukup sepadan bergandingan dengannya hari itu.

Azila menahan rasa. Kali pertama dia mengikut lelaki itu menghadiri majlis perkahwinan yang tiada kena mengena dengan hidupnya. Itu pun sebagai balas budi lelaki itu yang telah banyak membantunya selama ini. Tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan kecil itu.

Kaki hanya menuruti langkah Ramzan hingga mereka tiba di sebuah meja bulat. Senyum diukir semanis mungkin apabila Ramzan memperkenalkannya sebagai ‘kawan’ kepada rakan-rakan pejabat lelaki itu yang tiada seorang pun dikenali.

“Jom kita ambil makan dulu.” Ramzan seperti berbisik di tepi telinganya menyebabkan wajah terasa pijar tidak semena-mena. Entah kenapa Ramzan sedikit pun tidak kekok menunjukkan kemesraan di hadapan berpasang-pasang mata yang memandang.

Sekali lagi dia hanya menurut. Langkah diatur ke meja bufet.

“Azan!” Sapaan satu suara manja di belakang menyebabkan mereka terus menoleh.

Datang wanita berkebaya sendat warna merah menyala, berleher jinjang mendekati Ramzan. Melihat perilaku wanita itu dengan selamba memaut lengan Ramzan, hatinya sedikit terusik. Bertambah terusik apabila Ramzan seperti merelakan sahaja perbuatan wanita tersebut. Sedikit pun tidak membantah. Sudahnya, tanpa menanti Ramzan yang enak berbual dengan wanita bersanggul tinggi itu, dia segera mengisi lauk di dalam pinggan sebelum terus berlalu ke meja tadi. Walaupun masih segan dengan rakan-rakan lelaki itu, dia terpaksa menebalkan muka. Itu lebih baik daripada dia menebalkan muka menjadi penonton setia adegan mesra kedua-duanya tadi.

“Awak dah lama kenal Azan?” Tegur seorang wanita bertudung biru di sisinya sebaik mereka berbalas senyum.

“Er.. Dekat dua tahun.” jawabnya jujur bersama senyuman ikhlas. Sedikit sebanyak kurang rasa kekok yang ditanggung apabila melihat kemesraan wanita itu menegurnya.

I see.. Dalam diam-diam Azan tu. Tak sangka ada perempuan cantik yang dia sorok dari kita orang selama ni. Kalau tak, dia selalu berkepit aje dengan Deena tu.” ujar wanita bertudung biru itu lagi menyebabkan suapan pertama yang masuk ke mulut, terasa mahu terhambur. Spontan matanya terarah ke meja bufet tadi. Kedua-duanya masih enak berbual di sana sambil mengisi makanan ke pinggan masing-masing.

“Oh ia ke..” Senyumannya terasa payau seraya mencapai gelas air anggur yang diambil tadi untuk melegakan hati yang mula bergolak. Selalu berkepit? Maksudnya…

“Awak..” Ramzan tiba bersama wanita tadi lalu duduk di sisi. Senyum pahit dilemparkan. Sungguh matanya terasa sakit melihat wanita tadi asyik menempel di sisi lelaki itu. Seperti langsung tidak hormat dirinya sebagai pasangan Ramzan hari itu. Dan Ramzan pula, langsung tidak memperkenalkannya menyebabkan ada sedikit rasa terkilan. Lelaki itu seperti langsung tidak menghiraukan perasaannya. Atau sebenarnya, perasaannya memang tidak lagi penting?

“Sampai hati awak tinggalkan saya..” Bisikan di tepi telinga membuatkan dia hampir sahaja tersedak. Aku tinggalkan dia? Senyum hambar yang hanya mampu dilemparkan.

Sedang tiga pasangan yang turut berkongsi meja dengan mereka kala itu asyik berbual sesama sendiri, dia cukup rasa terasing.  Ramzan masih galak melayan wanita berkebaya tadi menyebabkan nasi di pinggannya tidak mampu ditelan lagi. Terasa berpasir semuanya apabila Ramzan seperti melupakan kewujudannya di situ. Dan ditambah pula dengan aksi manja wanita berkebaya merah itu, punggungnya terasa hangat. Bertukar dan berkongsi lauk, adegan yang belum pernah dia dan Ramzan lakukan sepanjang berkenalan. 

“Awak, kenapa tak makan? Nasi banyak lagi tu..” teguran lembut yang menyapa hanya dibalas dengan senyum nipis. Mahu sahaja dijeritkan di telinga lelaki itu yang dia sakit hati diperlakukan sedemikian.

“Awak, saya nak pergi toilet kejap.” Itu sahaja yang dibalas diiringi senyum paksa sebelum bingkas. Kaki diayunkan ke belakang dewan yang terhias cantik itu tanpa mempedulikan panggilan Ramzan. Biar lelaki itu tahu yang dia cukup terasa dengan apa yang berlaku.

Tiba di tandas, tegak dia berdiri di hadapan cermin. Wajah yang dihias solekan nipis dipandang lama. Penampilannya hari itu direnung dari atas hingga ke bawah. Daripada zahir kelihatan cukup sempurna, namun hakikatnya.. Dia benar-benar terasa kerdil apabila bergandingan dengan Ramzan hingga untuk bergaul mesra dengan sahabat-sahabat lelaki itu tadi pun dia rasa tidak mampu. Dan apabila melihat wanita berkebaya merah tadi, terasa dirinya cukup jauh daripada Ramzan.

Sewajarnya, sejak awal lagi dia harus sedar siapa dirinya di sisi Ramzan. Tidak sewajarnya dia masih menyimpan perasaan buat lelaki itu sedangkan dia tahu mereka tidak mungkin punya harapan hidup bersama.

“Azila.”

Dia sedikit tersentak apabila muncul wanita berkebaya merah yang begitu asyik menempel di sisi Ramzan tadi.

Sorry.. saya pergi dulu.” Senyum nipis dilemparkan dan dia mahu segera beredar dari situ. Namun langkahnya terhenti apabila lengannya disambar.

“You tahu, siapa I dengan Azan sebelum ni?” Ujar wanita itu diiringi senyum sinis. Dia masih tidak dapat menerima apabila Ramzan memberitahu yang wanita itu bakal menjadi suri hati. Wanita kampung yang sudah mempunyai anak dua? Langsung tidak mampu diterima akal memandangkan Ramzan merupakan seorang lelaki berkerjaya, punya paras yang mampu menggugat hati mana-mana wanita yang memandang, juga mempunyai kedudukan keluarga yang cukup dipandang tinggi pada sesiapa yang mengenali.

 Azila menggeleng.

“I tak sangka, Azan akan pilih you, lepas I tolak dia dulu..” Ujar wanita itu menyebabkan hatinya kian terusik. Bibirnya hanya mampu mengukir senyum bagi menyembunyikan pelbagai rasa yang terbuku.

“I rasa, mungkin dia frustrated dengan I. Sebab tu, dia pilih siapa-siapa saja yang boleh hiburkan hati dia. Ialah.. kenapa perlu dia pilih you yang dah ada anak dua, sedangkan ramai lagi perempuan single yang tergila-gilakan dia kan..” kata wanita itu angkuh menyebabkan dia tidak mampu lagi berlamaan di situ. Sungguh kini dia terasa hatinya seperti sedang disiat-siat halus.

Sorry Cik Deena. Saya keluar dulu.” Tanpa menghiraukan lagi pandangan sinis wanita itu, dia segera berlalu. Terasa hangat pelupuk matanya kala itu, sedaya upaya ditahan.

“Awak.. lamanya..” Tegur Ramzan sebaik dia melabuhkan duduk. Senyum yang terlakar di bibirnya kini pun tidak lagi ikhlas apabila semua pasang mata di meja itu terhala kepadanya.

“Awak, okey ke?” Prihatin Ramzan bertanya apabila matanya dapat mengesan garis kekeruhan yang terlakar.

Azila menggeleng perlahan bersama senyuman manis yang dibuat-buat. Tiada apa yang mampu dilakukan saat itu selain bersabar hingga lelaki itu mengajaknya pulang. Tidak mahu pula dia menjatuhkan air muka Ramzan di hadapan rakan-rakannya yang lain.

“Sayang, lepas ni kita keluar nak? Lama kita lepak sama-sama kan?” Deena kembali melabuhkan duduk di sisi Ramzan sambil memaut mesra lengan lelaki itu. Langsung tidak segan dengan berpasang-pasang mata yang memandang. Dan buat ke sekian kalinya, hati Azila terluka hari itu.

Sorry la Deena. I kena balik lepas ni. I nak kena hantar member I ni balik dulu..” Lembut Ramzan bertanya sambil mengerling ke arah si kekasih hati.

Azila saat itu pula langsung tidak mempamerkan sebarang reaksi walaupun jelas di pendengarannya gelaran yang meniti bibir Ramzan. Hanya member..

Bawak ajelah member you tu.. I tak kisah pun..” Sahut Deena bersama lirikan sinis.

“Awak, tak apa. Awak hantar aje saya dekat bus stop depan sana. Saya boleh balik sendiri.” Sambut Azila tertahan.

Ramzan berkerut. Azila pulang sendiri? Dia takkan izinkan! Melihat pada seraut wajah yang tidak seceria mana itu pun, dia sudah dapat membaca apa yang terbuku. Dia yakin wanita itu tidak menyenangi kehadiran Deena di sisinya sejak tadi.

Sorry la Deena. May be next time?” Cuba berkompromi dengan wanita itu.

“Alah.. Bukan selalu kita jumpa you.. You tahu I busy kan.. You tu pun sekarang busy sangat..” Deena cuba memujuk.

“Sudah-sudahlah tu Deena. Ingatlah orang tersayang..” Sampuk satu suara di sisi Azila. Wanita bertudung biru itu melemparkan senyuman sinis menyebabkan wanita itu langsung terdiam. Masing-masing yang turut duduk di situ juga senyap.

“Erm.. sayang, jomlah kita balik. Nanti risau anak-anak, awak balik lambat.” Bisik Ramzan tiba-tiba di tepi telinga Azila membuatkan wanita itu sedikit terkejut. “Jom..” Diraih lengan wanita itu agar berdiri.

Azila hanya menurut.

Ramzan bersalaman dengan teman-teman lelaki yang ada sebelum berpamitan. Begitu juga dengan Azila. Cuma saat dia menghulurkan tangan kepada Deena, wanita itu menyambut dingin menyebabkan dia tidak mampu lagi memandang ke arah rakan-rakan Ramzan yang sedang memerhati. Dia malu.

Tanpa sebarang kata yang terluah, mereka berlalu ke tempat letak kereta. Azila sengaja melangkah lambat-lambat menyebabkan Ramzan beberapa tapak mendahuluinya di hadapan. Mujur sahaja ruang tempat letak kereta itu diterangi lampu menyebabkan dia terasa selamat walaupun berjalan di belakang lelaki itu.

Ramzan yang menyedari perilaku Azila, memberhentikan langkah sebelum dia berpusing. Langkah Azila turut terhenti. Renungan mereka bersatu beberapa ketika sebelum Azila menundukkan wajah dan perlahan-lahan mendekati lelaki itu.

“Awak kenapa Zila? Awak macam tak suka aje dengan member-member saya.” ujar Ramzan lembut.

Azila senyum segaris walaupun terasa payah.

“Mungkin saya tak cukup sesuai kawan dengan kawan-kawan awak.” balasnya sebelum terus sahaja menapak ke arah kereta lelaki itu.

Ada penyesalan terdetik di hati kerana bersetuju mengikut lelaki itu tadi. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Deena mengenai lelaki itu. Dia tidak dapat menolak kebenaran daripada kata-kata Deena tadi. Kenapa Ramzan perlu pilih wanita beranak dua sepertinya sedangkan masih ramai lagi wanita bujang di luar sana.

“Apa yang tak sesuai? Kawan saya, akan jadi kawan-kawan juga nanti!”

Azila memberhentikan langkah. Wajah Ramzan dipandang dalam-dalam sebelum dia menggeleng perlahan.

“Saya boleh jadi kawan Deena?” Bibir menarik senyum tepi. “Saya rasa, sampai bila-bila kawan-kawan awak takkan boleh jadi kawan-kawan saya. Lagi-lagi, Deena.” jawabnya cukup tenang.

“Kejap!” Ramzan menghalang laluan Azila. Kurang senang dengan sebaris nama yang meniti bibir wanita itu. “Awak jealous dengan Deena?” Duganya.

Azila senyum lagi.

“Kenapa saya nak jealous? Dia perempuan yang pernah awak suka kan? Siapalah saya nak halang dengan siapa pun yang awak nak suka. Saya bukan siapa-siapa pada awak. Sayakan kawan awak aje. Awak berhak kawan dengan siapa-siapa.” balasnya setenang mungkin walaupun hati kian bergelora.

Ramzan melirik senyum. Ah! Dia tidak bodoh menilai riak yang terlukis di wajah Azila.

“Awak.. Deena bukan siapa-siapa pada saya. Ya. Saya mengaku, dulu saya pernah suka dia. Tapi tu dulu. Lepas dia tolak saya, sikit pun saya dah tak harap apa-apa dengan dia. Dia cuma kawan saya. Tak lebih dari tu.” Jelasnya walaupun tanpa dipinta.

“Tak apalah Azan. Saya tak kisah pun kalau awak ada apa-apa dengan dia. Erm.. jomlah kita balik. Dah lewat ni.” Cepat-cepat dia menukar topik. Tidak mahu hal itu dibincangkan kerana risau dia tidak mampu menahan emosi.

Ramzan menghela nafas panjang. Senyumnya mengendur. Tidak senang dia melihat kekeruhan yang ada di wajah ayu itu.

“Azan..” Azila menoleh ke sisi. Dalam cahaya samar itu, dia memandang wajah Ramzan yang bersedia memandu sebaik enjin kereta dihidupkan.

Ramzan turut membalas renungan.

“Lepas ni, tolong jangan masukkan lagi duit belanja dalam akaun saya.. Saya rasa, saya dah banyak susahkan awak. Cukuplah apa yang awak buat selama ni. Saya bukan siapa-siapa. Awak dah patut fikir masa depan awak..” Lembut dia meluahkannya. Mohon pengertian daripada lelaki itu agar tidak lagi ambil peduli akan keadaan diri dan anak-anaknya sungguhpun garis luka di hati kian melebar.

“Masa depan saya? Apa maksud awak?” Wajah Ramzan berkerut. Hati mula disapa debar.

Azila menoleh kembali.

“Cari kehidupan awak sendiri Azan. Awak tak perlu susah-susah lagi fikir fasal saya dengan anak-anak.. Bina hidup awak dengan perempuan yang boleh bahagiakan awak dan makcik..” Ucapnya dalam getar.

Ramzan menarik senyum sinis. Terusik hatinya dengan apa terluah di bibir wanita itu.

“Kenapa saya kena cari orang lain sedangkan saya dah jumpa yang depan mata?”

Azila menghela nafas berat. Senyum tawar dilemparkan. Entah kenapa dia merasakan Ramzan seperti tidak peka dengan perasaannya langsung. Atau mungkin sebenarnya, lelaki itu sudah tidak menyimpan perasaan terhadapnya lagi? Dan dia sahaja yang memendam perasaannya sendiri selama ini?

Mata kembali dihalakan ke wajah lelaki itu.

“Siapa saya di hati awak Azan?” Tanpa segan dia menyoal agar hatinya tidak terdetik menyimpan harapan yang tidak pasti. Apabila diperkenalkan sebagai ‘kawan’ tadi, hatinya sudah disapa kecewa. Dan biarlah dia terus kecewa hari ini, agar luka yang terasa dapat dirawat segera daripada bertambah parah dan tidak mampu dirawat lagi. Dia reda andai itu ketentuan-Nya.

Giliran Ramzan menghela nafas berat dengan mata dihalakan lurus ke hadapan.

“Saya tak pernah sayang perempuan lain, macam mana saya sayang awak Zila..” Perlahan dia membalas.

“Deena?”

Ramzan menoleh. Bibir menarik senyum tepi.

“Dia cuma masa silam saya..”

“Masa silam? Masa silam sampai bersayang-sayang?” Terlontar juga rasa tidak senang hati Azila apa yang berlaku tadi.

“Awak.. Saya dah anggap dia macam adik-beradik saya.. Lagi pun, dia yang panggil saya sayang kan? Saya tak sebut pun.. Awak aje yang saya sayang..” Ramzan memaniskan senyum. Cuba memujuk kegalauan hati wanita di sisinya itu.

Azila terdiam. Kelu lidah untuk membalas.

“Kita balik hm..” lanjut Ramzan mula memandu.

Sepi menghiasi ruang.

“Awak tahu apa yang Deena cakap dengan saya dalam toilet tadi?” Suara Azila kembali kedengaran.

Ramzan menoleh sekilas. Sedia mendengar apa yang ingin dibicarakan wanita itu.

“Saya ni, cuma perempuan untuk awak hiburkan hati aje bila dia tolak  cinta awak dulu.” Azila menoleh. Mahu melihat reaksi lelaki itu.

Ramzan senyum.

“Dia tak tahu apa-apa fasal hati saya Zila..” Tenang dia membalas.

Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya saat bertemu dengan Azila kembali hampir dua tahun yang lalu. Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya apabila kali pertama anak-anak wanita itu memegang tangannya walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini. Allah sahaja yang tahu getar yang terasa saat Along dan Adik tersasul memanggilnya ayah pada suatu ketika. Suatu perasaan yang tidak tergambar menyebabkan dia merasakan pilihan untuk memperisteri wanita itu adalah yang tepat. Cuma hanya, ia terhalang oleh restu seorang ibu yang disayangi. Dia terpaksa akur itu.

“Azan.. saya rasa kita memang tak ada harapan.. Saya rasa, lebih baik awak ikut cakap mak awak. Awak carilah perempuan yang boleh bahagiakan hati dia dan hati awak sendiri.” Azila membuang pandang ke luar tingkap yang kelam. Ada kehangatan di tubir matanya apabila meluahkan kata-kata tersebut.

“Zila, awak dah tak percayakan saya ke?”

“Bukan tak percaya Azan..”

“Habis tu?”

“Dah dekat dua tahun, saya rasa kita buang masa.. Saya rasa awak tak serius pun dengan hubungan ni.. Berkawan dengan lelaki tanpa ikatan, bukan cara saya Azan. Orang sekeliling dah mula mengata. Saya tak nak, family saya terkena tempias yang sama. Cukuplah orang sentiasa pandang rendah pada saya Azan..” Luah Azila dalam getar suara.

Entah kenapa saat itu, dia teringat akan arwah suami. Afrizal bersungguh ingin mengahwininya walaupun sedar keluarga lelaki itu tidak pernah menyenanginya. Kesungguhan lelaki itu mempertahankan hubungan mereka, cukup dikagumi. Malah dia sendiri bangga kerana mempunyai seorang suami yang sanggup bersusah-payah menyara hidup mereka walaupun tidak semewah mana.

Sekali lagi Ramzan melepaskan helaan berat. Terusik lagi hatinya. Dia yakin keraguan mula bercambah di hati Azila. Tambahan pula, kini wujud seorang lelaki yang cuba mendekati wanita itu.

“Azan.. saya rasa, kita kena fikirkan semula hala tuju hubungan kita ni.. Saya bukan mendesak awak, jauh sekali memaksa awak terima saya. Saya cuma nak yang terbaik untuk semua. Untuk saya, anak-anak, awak.. mak awak.. Kalau mak awak masih tak boleh terima saya, saya reda Azan.. Dan awak tahu yang saya takkan terima awak tanpa restu mak awak. Awak jangan buang masa awak. Umur kita makin meningkat. Saya dah ada anak-anak dalam hidup saya. Tak ada apa lagi yang saya nak cari Azan. Awak.. Fikirkan masa depan awak Azan.” Panjang lebar Azila menambah apabila lelaki itu hanya mendiamkan diri.

“Bagi saya masa Zila..” Ramzan toleh sekilas dan Azila melemparkan senyum segaris.

“Saya sentiasa bagi masa awak.. Cuma kali ni.. jangan lama sangat.. saya tak nak kita sama-sama buang masa lagi. Saya tak nak anak-anak terlalu mengharap kehadiran awak. Tapi akhirnya nanti..” Kata-katanya terhenti apabila Ramzan tiba-tiba mencapai jemarinya.

“Saya janji. Sikit masa aje lagi Zila.. Awak yang terakhir dalam hidup saya.. Doakan hubungan kita hingga ke Jannah..” Luah Ramzan penuh perasaan seraya meletakkan jemari wanita itu ke dada kirinya.

Azila terus terdiam.

6 comments:

Bella Daud said...

ooo..ada sambungan lagi....hope a good news....

MaY_LiN said...

achaaaaaa
cedih la
nape camtu
hope hepi ending
azan n ila nnti

Dewi Mus said...

Amboi maylin.....:)
Hahaha.... achaaaa nak lagi ler....hihihi. ..
nak hepi ending gak....:)

Anonymous said...

kesian zila dan azan. cinta terhalang. perit rasa hati baca kisah nih sha. menarik dan sentiasa kena di hati. teruskan dan syabas.

k.mid

Kak Sue said...

memang sedih...
Azan x kan kalau angap adik boleh pegang sana sini dpn org ramai dan kekasih hati... nasib baik Zila pandai jaga air muka Azan...
restu tu penting Azan... mak azan ni pun ego juga kalau dapat anak dara tapi x boleh harap buat apa... yang penting hati mahu baik ... wahai mak cik...

Fiza said...

Sedihnya....