...........
“Dah kenapa muka pucat, rambut
macam kena karen ni?”
Tegur Amrizan
sebaik adik bongsunya itu keluar dari bilik. Lewat malam tadi dia tiba, adiknya
itu sudah pun lena seperti mana yang diberitahu oleh Azlan.
Fathiyah
hanya diam. Menonong dia berjalan ke bilik air di ruang dapur itu.
“Dik.”
Panggil Amrizan sebaik kelibat gadis itu muncul kembali dengan wajah tidak
bermaya. Rambut pun tidak terurus.
“Along ada
panadol tak?” Lain yang dibalas oleh Fathiyah sebelum melabuhkan duduk di
hadapan Amrizan yang sedang bersarapan dengan sebungkus nasi lemak. Sebelah
tangan sudah menongkat kepala yang terasa berat.
“Demam ke?
Along hantar pergi kliniklah.” Amrizan segera menghabiskan baki nasi lemaknya.
“Tak naklah..
demam sikit aje pun..” Meleret Fathiyah menjawab.
Selepas Azlan
menghantarnya semalam, dia terus terperap di dalam bilik kerana penangan ubat
selesema yang ditelan. Makan pun tidak menyebabkan perutnya mulai pedih
diserang gastrik. Badan pula sudah panas selepas bersolat isyak malam tadi.
“Sikit apa?
Tu muntah-muntah? Gastrik la tu kan? Alan kata, lepas hantar semalam Tiya
langsung tak makan. Dia nak hantar makanan pun Tiya tak bagi.” Amrizan mula
membebel. Dia sedia maklum akan keliatan Fathiyah untuk ke klinik sejak kecil
lagi. Ubat pun begitu payah ditelan melainkan benar-benar terpaksa.
Fathiyah
sudah memuncung. ‘Ish Alan ni! Sejak bila jadi perisik tak bergaji abang dia
ni!’ Getusnya dalam hati.
Gastrik yang
dialami, tidaklah begitu teruk kerana dia masih lagi mampu untuk bangun. Tangan
mengurut belakang tengkuk yang terasa tegang sambil bersendawa beberapa kali.
Angin sudah naik ke kepala seperti yang biasa dikatakan oleh Makcik Kiah, si tukang
urut sahabat baik ibunya jika urat di belakang tengkuk menegang.
“Pergi
mandi..” arah Amrizan tegas sebelum dia bingkas ke singki.
Namun baru
sahaja Fathiyah bangun, terdengar suara orang memberi salam.
“Angah dah
sampai ke?” Fathiyah memandang ke wajah abangnya.
“Taklah! Tadi
Angah call, lepas majlis baru bertolak balik. Sampai sini malam nanti.” balas
Amrizan serata mengeringkan tangannya. “Tiya pergi mandi dulu. Biar Along pergi
tengok.” lanjutnya sebelum berlalu ke depan.
Fathiyah
tidak lagi menyoal. Dengan tangan memicit tengkuk, dia berlalu ke bilik semula.
Dan saat kaki kembali melangkah ke bilik air setelah mengambil tuala, kakinya
terhenti melihat seraut wajah di sisi Amrizan. Kelam-kabut dia menutupi kepala
dengan tuala yang tersangkut di bahu.
“Er.. buat
apa dekat sini?” Soalnya serba tidak kena. Bukan tidak biasa. Namun entah
kenapa terasa kekok pula apabila lelaki itu melihat keserabutan di wajahnya.
Shah senyum. Dia
pura-pura tidak melihat apa yang cuba disembunyikan oleh gadis itu.
“Kan malam
tadi kau kata demam? Aku datang tengoklah nak hantar pergi klinik. Ingat Abang
Am belum balik..”
“Oh.. Er..
aku tak ada apa-apa. Demam sikit aje.” Fathiyah sedaya upaya memaniskan senyum.
“Shah, kau
sarapan dulu sementara Tiya mandi.” Mesra Amrizan mempelawa menyebabkan
Fathiyah menarik senyum kelat sebelum dia terus meloloskan diri ke bilik air.
………………
Sesekali mata mengerling ke sisi.
Melihat Fathiyah yang lebih banyak mendiamkan diri sejak tadi, dia resah
sendiri. Risau yang gadis itu tidak menyenangi kehadirannya awal pagi itu.
Tambahan pula Amrizan menyerahkan tugas menghantar gadis itu ke klinik kepadanya
tadi.
“Tiya..”
Senyap.
“Fathiyah.”
“Hm..”
“Kita balik
rumah aku nak tak, sementara Abang Am keluar?” Ujar Shah memberi cadangan.
Risau melihat keadaan gadis itu yang jelas tidak bermaya. Mujur gastrik gadis
itu tidak teruk.
“Tak
payahlah.. kan jauh..” Tanpa menoleh Fathiyah menjawab dalam serak suara.
Tekaknya terasa payau.
“Kalau jauh
pun, kan aku yang drive. Abang Am kata, dia balik kem kejap. Ada hal. Tak tahu
dia balik pukul berapa. Lagipun, aku dah cakap dengan dia tadi nak bawak kau
balik. Malam nanti, aku hantar semula.” Shah cuba memujuk. Risau mahu
membiarkan gadis itu keseorangan di rumah dalam keadaan begitu.
“Tak
payahlah.. Nanti susahkan umi aje. Aku boleh jaga diri sendiri.” Fathiyah masih
menolak. Ada rasa segan menular walaupun keluarga lelaki itu bukan asing lagi
dalam hidupnya.
“Tak ada yang
susah. Umi pun suruh aku bawak kau. Aku risau, kalau aku jaga dekat rumah kau
nanti, apa pulak orang cakap.. Aku serik jadi macam hari tu..” lembut Shah
membalas.
Fathiyah
menoleh. Lama dia memandang wajah Shah yang tenang memandu sejak tadi hingga
tidak sedar ada air hangat bertakung di pelupuk mata. Dalam keadaan tidak sihat
begitu, hati juga sama tidak sihat.
Hal yang
pernah berlaku di antara mereka terimbau kembali. Hubungan yang bermula dari
sejak kecil, bersahabat hingga meningkat remaja, kemudian mencecah ke alam
dewasa hingga mereka membuat keputusan untuk bertunang. Cuma hanya, perancangan
itu tidak kesampaian oleh sebab yang dia sendiri tidak pasti hingga ke hari
ini. Selama dua tahun mereka terputus hubungan, keadaan memaksa mereka bertemu
kembali dalam kedinginan dan terus dingin apabila mereka ditakdirkan pula
ditangkap berkhalwat. Selama tempoh itu pula, dia membuat keputusan mahu
berbaik atas janji hingga dia bertemu dengan lelaki yang benar-benar sesuai.
Namun, lain yang dirancang, lain pula yang berlaku. Hati tekad ingin melupakan
semuanya dan kembali berteman seperti dahulu lagi walaupun jauh di sudut hati,
terperosok persoalan yang masih tidak terjawab.
“Tiya..”
Panggilan yang cukup gemeresik itu, amat menyentuh hati menyebabkan dia segera
melarikan wajah. Air mata yang hampir meleleh segera di seka.
Wajah Shah
sudah berkerut. Dia perasan akan renungan yang cukup berlainan itu menyebabkan
hatinya disapa debar aneh. Debar yang sudah lama tidak menyapa ruang dadanya,
debar yang sering sahaja dibuang jauh setiap kali berada dekat dengan gadis
itu.
“Shah..
kenapa ya, Allah temukan kita, tapi kita tak..” Kata-kata yang terhenti itu
terluah di bibir Fathiyah menyebabkan Shah sedikit tersentak. Kelu lidahnya
mahu menjawab menyebabkan dia hanya keluhan yang terlepas.
Fathiyah
menyeka lagi hujung mata apabila terasa air mata mula melebat.
“Tiya.. Allah
tu Maha Kaya Tiya.. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kita
hanya mampu merancang Tiya. Dia juga merancang tapi Dia juga yang menentukan..
Siapa kita Tiya, nak persoalkan semua ni? Kau pernah cakap dengan aku, banyak
hikmah dari apa yang jadi ni.. Kita kena reda kan..” Tenang Shah menuturkannya.
Fathiyah
tidak membalas. Hanya istighfar sahaja yang meniti bibirnya cukup perlahan. Terlalu
rapuh hatinya kala itu. Bukan dia tidak tahu akan qadak dan qadar-Nya.
“Kita tak
tahu apa yang jadi pada masa depan Tiya.. Mungkin kita memang tidak ditakdirkan
bersama.. atau juga mungkin kita sebenarnya..”
“Sorry Shah.. aku tak patut cakap lagi
fasal hal ni..” pintas Fathiyah perlahan tanpa berpaling.
Shah menghela
nafas panjang.
“Shah..”
Fathiyah menoleh dan Shah turut juga menoleh sekilas.
“Terus hantar
aku balik ya? Kau jangan risaukan aku. Insya-Allah aku boleh jaga diri
sendiri.” ujarnya penuh mengharap. Dia tidak mampu membebankan Hajah Aznah
untuk menjaganya pula.
“Tiya..”
“Please Shah..”
Nafas berat
terlepas di bibir Shah. Sedar dia tidak mampu lagi memaksa.
Sepi lagi.
Shah hanya terus tekun memandu dan Fathiyah leka melayan perasaan sendiri
sebelum dengan spontan tapak tangannya melekap ke lengan Shah menyebabkan
lelaki itu sedikit tersentak.
“Kenapa
Tiya?” Shah menyoal pelik.
“Shah, boleh
tak berhenti kejap.” ujar Fathiyah sambil kepalanya tertoleh-toleh ke belakang.
“Kenapa?”
Shah menyoal. Namun dia akur dengan permintaan gadis yang terlalu disayangi
itu. Segera dia memberi isyarat kiri sebelum memberhentikan kereta. Mujur
sahaja jalan yang dilalui agak lapang dan mudah untuk memberhentikan kereta di
tepi jalan.
Tanpa
menjawab, Fathiyah menolak pintu kereta dan sempat tangan Shah menghalang.
“Kau nak
pergi mana?” Soal Shah tidak senang.
“Aku nak
ambil kucing mati dekat belakang tadi Shah. Kesian dia kena langgar. Sebelum
hancur, baik alihkan.” jawab Fathiyah sambil membetulkan baju sejuk yang
dipakai sebelum menapak keluar. Namun baru sahaja sebelah kaki memijak tanah,
sekali lagi Shah melarang.
“Kau kan tak
sihat.. biar ajelah. Lagipun, dekat tengah jalan tu. Bahaya kau nak ambil.”
“Aku okeylah
Shah. Sikit aje. Kesian kucing tu..” Fathiyah tetap berdegil. Dia terus sahaja
keluar.
Shah yang
tidak senang duduk, turut sama keluar dari kereta.
“Tiya!” Dia
sempat menyambar lengan Fathiyah. Menghalang daripada gadis itu melintas.
“Biar aku
ambil. Kau tunggu sini kejap. Aku nak ambil surat khabar.” ujarnya sebelum
kembali ke kereta.
Fathiyah yang
kaku di situ, hanya memerhati. Terharu dengan tingkah lelaki itu.
“Shah..” Shah
yang bersedia untuk melintas di sisinya, dipandang.
“Ia la.. aku
tahu kau tak boleh tengok apa-apa binatang pun mati depan mata.” ucap Shah
sebelum terus melintas sebaik kiri dan kanan jalan lengang. Seekor kucing kembang
warna jingga sudah selamat dalam pelukannya berlapikkan surat khabar.
“Tiya! Panas
lagi badan dia.. agaknya baru kena langgar.” Beritahunya sebaik kucing itu
ditunjukkan.
Fathiyah pula
tanpa rasa jijik, terus sahaja menyentuh tubuh kucing yang jelas tidak
mengalami sebarang pendarahan pun.
“Shah! Dia
hidup lagi! Kita bawak pergi vet cepat!” Fathiyah mulai panik. Terus
sahaja kucing tersebut bertukar tangan tanpa berlapik pun sebelum meluru ke
kereta. “Cepat Shah!” Gesanya apabila lelaki itu sedikit terpinga-pinga.
………….
“Tiya..”
Fathiyah
angkat wajah. Mata dihalakan ke arah Shah yang duduk di hadapannya.
“Shah, nanti
aku bayar balik bil kucing tadi..” ucapnya perlahan dengan serba salah. Entah
kenapa kala itu, dia baru terasa betapa menyesalnya tidak mencari kerja sebelum
menyambung pengajian. Sekurang-kurangnya dia masih punya simpanan jika dalam keadaan
terdesak seperti sekarang. Kini, dia terpaksa meminta bantuan lelaki itu pula
untuk menjelaskan pembayaran kucing gebu yang dijumpainya tadi.
“It’s okey.
Belum habis bayar tadi kan..” jawab Shah bersama senyuman.
Kucing yang
ditemui tadi terpaksa ditinggalkan di klinik buat sementara waktu apabila
daripada pemeriksaan yang dilakukan, dua kaki kucing tersebut patah dan ada
sedikit kecederaan dalaman.
“Erm.. kalau
kucing tu boleh selamat, kau nak bela ke?” Lanjutnya kemudian.
Fathiyah
mengangguk perlahan. “Tapi kan Shah.. kau rasa bilnya mahal tak? Macam dua kucing
Along dekat rumah tu, biasanya dia yang uruskan semua. Aku tak tahu pun berapa
kos Along hantar kucing dia kalau sakit..” luahnya perlahan.
“Entahlah
Tiya. Aku lagilah tak tahu. Tapi tak apa. Nanti aku bayar. Kau tak payahlah
risau fasal bil tu.” balas Shah menenangkan. Bukan dia tidak tahu Fathiyah
terlalu sayangkan haiwan.
“Bila nak ambik kucing tu?” Celah Azlan yang tiba
bersama semangkuk bubur nasi yang baru sahaja dimasak.
Dia agak
terkejut saat kelibat pasangan itu muncul di restorannya tadi. Tambahan pula
dengan melihat wajah sugul Fathiyah.
“Tak tahu
lagi. Tengok kucing tu macam mana..” sambut Shah. Air teh yang sudah pun suam
di hadapannya di sisip perlahan.
“Tiya..”
Sekali lagi
Fathiyah mengangkat wajah. Namun kali ini dengan kerutan di kening. Dua lelaki
di hadapannya itu memanggilnya serentak.
Shah dan Azlan
saling berpandangan sebelum masing-masing tersengih-sengih.
“Apasal korang ni? Saja nak mainkan aku
ke apa?” Fathiyah memandang pelik.
Azlan dan Shah
tersengih.
“Aku nak suruh
kau makan bubur tu Tiya. Aku masak, bukan untuk kau tenung lama-lama.” ujar
Azlan kemudian.
Fathiyah
menunduk kembali. Mangkuk bubur nasi yang masih mengeluarkan asap nipis
ditenung lagi. Hanya jasadnya di situ. Akalnya menerawang ke klinik haiwan
tadi. Melihat keadaan kucing yang diselamatkan tadi, hati dipagut sayu.
“Tiya..”
Panggil Shah pula. “Makanlah. Nanti dah balik rumah, tak ada siapa nak masak.
Kau pun belum makan ubat lagi ni..” ujarnya prihatin.
“Abang Am kan
ada?” Sampuk Alan.
“Abang Am dah
keluar masa aku hantar Tiya pergi klinik tadi.” Shah menjawab bagi pihak
Fathiyah apabila gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Habis tu,
macam mana nanti?”
Shah menalakan
mata ke arah Fathiyah yang lebih banyak menunduk sejak tadi. Azlan juga
memandang ke arah yang sama.
“Tiya, kau ada
nak makan apa-apa? Aku boleh masakkan. Nanti dekat rumah, tinggal panaskan
aje.” soalnya yang turut prihatin dengan keadaan kesihatan gadis itu.
Fathiyah
menggeleng. Sudu bubur dicapai perlahan sebelum disuakan ke mulut. Walaupun
tiada selera, dia tetap juga memaksa tekaknya agar menerima. Tidak sampai hati
membiarkannya tidak berusik memandangkan Azlan sudah bersusah-payah memasaknya
sendiri.
Shah dan Azlan
saling berpandangan sebelum masing-masing menalakan mata kembali ke arah
Fathiyah yang seperti khayal dengan dunianya sendiri.
3 comments:
waalaikumusalam wbt
achaaa...nape nanak smbg
nak hantar kt publisher ke..
nak kisah ila..along ngan adik lakkk
(:
acha tuko langsir baru..
mood raye lg ye
Achaa pon mood raya tu yang tukar langsir baru...:)
Awat DB xnak sambung....huuu
semua org sayang Tiya... Tiya dalam sakit pun sempat fikir kucing lagi...
siapakah pilihan hati Tiya... jengjengjeng...
Post a Comment