Jul 25, 2014

AWRA_raya puasa SE

AWRA_PUASA RAYA

“Kau punya fasal la ni Angah! Aku nak drive, kau tak bagi. Sekarang macam mana? Kalau Abang Faiq tahu, memang masak Angah kena marah dengan dia!” Bebel Afza sejak tadi apabila kereta Viva yang dikongsi hak milik bersama kembarnya, terlanggar tembok batu di hadapan kedai runcit Pakcik Idris.

Awra gigit bibir. Mata dihalakan ke arah lampu dan bumper sebelah kanan yang pecah gara-gara dia ingin membuat pusingan. Terlalu yakin dengan tidak perlu mengundurkan kereta terlebih dahulu menyebabkan pelanggaran kecil itu berlaku.

“Sekarang ni macam mana!” Wajah Afza sudah berubah kelat.

“Macam mana apa? Balik ajelah. Bukan kereta ni tak boleh jalan” jawab Awra selamba.

Afza ketap bibir.

“Angah ni memang tau! Tahu tadi, Jaja tak bagi Angah drive! Dah la Angah dah lama tak drive! Tak fasal-fasal aje nak keluar duit! Dah la lagi dua hari nak raya..” Rungut Afza lagi. Geram.

“Manalah aku tahu nak jadi semua ni. Kalau aku tahu, aku tak drive la.” Awra tidak mahu mengalah.

“Ni sebab, Angah tu derhaka cakap Abang Faiq. Angah lupa eyh, apa yang dia pesan lepas Angah miscarriage dulu?” Afza jongket kening sebelah.

Awra melepaskan keluhan berat. Dia sedar itu. Dan dalam kepalanya kini, sarat memikirkan bagaimana mahu memastikan yang suaminya tidak mengetahui akan insiden tersebut. Kerana dia yakin, Faiq pasti akan marah dan kecewa dengan apa yang dilakukan.

Memang sejak dia kemalangan dahulu, dia tidak lagi diizinkan oleh Faiq untuk memandu. Hampir tiga tahun berlalu dan sejak itu dia tidak lagi memandu. Ke mana sahaja dia ingin pergi, hanya Faiq yang akan jadi pemandunya. Dan jika lelaki itu sibuk, khidmat teksi yang digunakan. Itu pun, hanya dengan Pakcik Saad. Sahabat lama bapa mentuanya.

“Esok Abang Faiq balik, nampak kereta ni, kita nak jawab apa ni? Dah la nak hantar bengkel, mana ada bengkel yang buka malam-malam buta ni.” Ujar Afza lagi.

Gara-gara ingin membeli tepung untuk membuat kek pada malam itu, menyebabkan mereka keluar juga walaupun sudah ditegah oleh kakak ipar dan kembarnya. Dan kakaknya itu pula, jelas teruja ingin memandu dengan ketiadaan abang iparnya yang hanya akan mula bercuti esok.

“Awra.” Isteri Pakcik Idris, Makcik Dara keluar dari kedai memandangkan waktu begitu, Pakcik Idris masih belum pulang dari surau, bersolat terawih.

“Makcik..” Awra menalakan mata ke arah wanita yang hampir sebaya dengan ibunya itu.

“Makcik rasa, elok kamu bawak balik dulu. Kereta boleh gerak kan? Cuma lampu yang sebelah bawah tu aje yang tak hidup. Lampu utama, hidup tu.” usul Makcik Dara.

“Tapi makcik, tembok ni macam mana? Pakcik Idris mesti marah..” balas Awra serba salah.

“Ish! Tembok yang disibukkannya. Nasib kamu dengan Jaja tak ada apa-apa. Tembok tu, tak payah risau. Nanti Makcik Dara cakap dengan dia. Sikit aje tu. Kereta kamu tu yang teruk sikit.”

Awra dan Afza saling berpandangan seketika sebelum masing-masing melepaskan keluhan berat.
………….

Faiq menggeleng beberapa kali bersama renungan tajam dilemparkan sebaik tubuh isterinya keluar dari perut kereta. Melihat keadaan kereta yang sedikit pelik di ruang matanya, hati dilanda debar. Debar yang ditanggung sepanjang hari itu menyebabkan dia tekad untuk terus pulang ke kampung malam itu juga sebaik habis bekerja. Dan dia tidak menyangka, sebaik tiba tadi bayang isterinya tidak kelihatan. Kini, dia baru faham kenapa hatinya tidak begitu tenang satu hari itu. Rupa-rupanya ada sesuatu yang akan berlaku tanpa pengetahuannya.

“Er.. abang.” Wajah Awra sedikit pucat. Dia benar-benar terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Setahunya, Faiq hanya akan tiba esok.

“Pergi mana?” Tidak bernada soalan yang terlepas di bibir Faiq. Sungguh hatinya terusik saat itu apabila si isteri ingkar dengan perintahnya sebelum ini.

“Er.. Awra pergi beli tepung nak buat..” Belum pun habis Awra membalas, Faiq sudah memusingkan tubuh dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Afza yang menjadi pemerhati sejak tadi, tidak berani mencelah. Dia dapat membaca akan riak  wajah abang iparnya itu sebentar tadi.

“Jaja..” Awra memandang wajah adiknya.

Sorry kak. Jaja tak nak masuk campur. Tadi pun, Jaja dah cakap. Tapi Angah yang degil.” balas Afza serba salah. Tidak berani ikut campur jika abang iparnya marah.

Awra melepaskan nafas berat sebelum melangkah perlahan ke dalam rumah. Tiba di ruang tamu, anak tunggalnya sudah pun lena di sisi kakak iparnya. Faham akan isyarat yang diberi oleh Athirah, dia berlalu ke dalam bilik.

“Dah lama buat kerja macam ni?” Soal Faiq sebaik dia merapatkan daun pintu. Terkebil-kebil dia di situ memandang wajah tegang suaminya bercampur keletihan. Dia tahu lelaki itu penat-penat memandu dari tempat kerja dan terus pulang ke kampungnya.

“Er.. tak.”

“Tak? Boleh percaya ke?” Ada senyuman sinis terukir di bibir Faiq. Kecewa benar hatinya kala itu apabila Awra ingkar dengan larangannya hampir tiga tahun lalu.

“Er.. awak..” Awra memberanikan diri untuk mendekati Faiq di birai katil. Namun baru sahaja tangan ingin mencapai lengan lelaki itu, Faiq menjarakkan diri.

“Awak lupa agaknya apa yang dah jadi pada awak dulu..” Cukup perlahan Faiq meluahkannya. Walaupun hampir tiga tahun kemalangan itu berlaku, ia masih segar di ingatan. Seperti baru sahaja baru berlaku semalam. Walaupun mereka kehilangan zuriat keduanya, namun dia tetap bersyukur kerana Allah masih memberi peluang lagi agar dia dapat hidup bersama dengan suri hatinya itu. Cuma, hingga kini.. Rezeki belum lagi berpihak kepada mereka untuk memiliki pengganti.

Awra mengeluh perlahan. Sisi wajah suaminya dipandang. Dia tidak lupa itu dan tidak akan pernah lupa apa yang berlaku dulu.

“Awak..” Didekati tubuh Faiq. Lengan lelaki itu dipaut lembut dan diusap perlahan apabila tiada penolakan. Cuba meredakan kemarahan lelaki itu.

“Awak suka agaknya, kalau saya selalu risaukan awak, sampai saya tak boleh nak buat kerja..” Luah Faiq kecewa. Sungguh hatinya tidak tenang sepanjang hari itu.

“Awak, bukan macam tu..” Dielus lagi lengan Faiq.

“Habis tu?” Tingkah Faiq tertahan. Tidak mahu suaranya didengari oleh ahli keluarga yang lain.

“Awak.. Sorry.. saya tahu, saya salah. Berdosa dengan awak. Tapi saya tak ada apa-apa kan?”

“Tak ada apa-apa? Kalau ada apa-apa jadi, macam mana tadi? Tu, kereta Jaja tu. Kenapa pecah depan kereta tu?” Bidas Faiq geram.

Awra menghela nafas perlahan. Kelu lidah untuk mengakui kesalahan sendiri.

Faiq menoleh sebelum rengusan terlepas. Dia terus bingkas. Bergerak ke tempat penyidai untuk mengambil tuala.

“Lepas ni, ikut suka awaklah nak buat apa Awra. Saya dah tak nak larang. Tapi lepas ni, tolong jaga diri baik-baik. Saya risau, kalau saya jauh, saya tak boleh nak tolong awak nanti..” Terluah kekesalan di bibirnya sebelum berlalu keluar.

Awra yang mendiamkan diri pula, terkedu sendiri. Bayang suaminya dipandang tanpa berkelip. “Kalau jauh..” Sedikit bergetar bibirnya mengucapkan dua perkataan  yang meniti bibir suaminya sebentar tadi.
…………….

“Awra, kamu tak kejutkan Faiq ke? Dah pukul lima ni..” Tegur Faridah apabila anak keduanya itu terus sahaja melabuhkan duduk di meja makan sebaik membantu menghidangkan makanan sahur mereka.

Awra serba salah. Melihat akan renungan kakak ipar dan adik-beradiknya yang lain, dia kembali angkat punggung. Terus sahaja bilik beradu di tuju. Bibir menguntum senyum sebaik melihat panorama di atas katil. Enak suaminya tidur sambil memeluk Aqiff yang berusia empat tahun.

Apabila terkenang kembali apa yang berlaku sebelum mereka tidur tadi, senyumannya mengendur. Faiq tidak semesra mana. Jika sebelum tidur sewajarnya dia mendapat habuan di dahi dan kedua-dua belah pipi, dia kempunan ciuman kasih sayang itu malam tadi menyebabkan tidurnya tidak begitu lena. Sungguh dia susah hati melihat kedinginan lelaki itu.

Perlahan-lahan dia melabuhkan duduk di birai katil. Bahu Faiq disentuh perlahan.

“Awak..” Panggilnya lembut demi tidak mahu mengejutkan si kecilnya.

Faiq tidak berkutik.

“Awak..” Panggil Awra lagi.

Perlahan-lahan Faiq bergerak sebelum dia menoleh. Matanya digosok beberapa kali.

“Ada apa?” Soalnya dalam serak.

“Makan sahur.” Awra cuba memaniskan senyum.

“Kan saya dah pesan tadi tak payah kejutkan? Kenapa degil sangat ni, sampai arahan mudah tu pun susah nak ikut?” Rengus Faiq sedikit sinis sebelum dia kembali memejamkan mata. Sengaja dibatukan hati walaupun yakin akan ada hati yang tergores.

Awra terdiam. Hatinya terusik kala itu hingga mengundang air hangat di pelupuk mata. Tanpa sebarang kata lagi, dia terus meninggalkan ruang bilik. Hujung mata diseka.

******
“Awak nak pergi mana? Kan awak mula cuti hari ni?” Awra bertanya apabila melihat lelaki itu bersiap-siap seperti ingin pergi ke tempat kerja. Setahunya, suaminya itu sudah memohon cuti awal memandangkan lusa mereka akan menyambut hari raya.

“Siapa kata saya cuti?” Tidak bernada Faiq membalas. Sengaja tidak dihiraukan renungan isterinya dari pantulan cermin. Bukan dia tidak perasan wajah itu tidak semanis biasa dengan kedinginannya.

“Awak..” Awra meraih lengan Faiq yang berdiri di hadapan cermin. Rasa bersalah menggunung melihat lelaki itu berterusan dingin begitu. Susah hatinya. Sepanjang bersama, belum pernah Faiq merajuk hingga begitu.

“Ada apa? Saya nak cepat ni?” Sengaja Faiq menggesa.

Bukan dia ingin ke tempat kerja. Sebaliknya ingin keluar bersama abang iparnya mencari buluh lemang. Mereka sudah sepakat ingin memasak lemang tahun itu kerana sejak ketiadaan bapa mentuanya, mereka hanya membeli yang sudah siap dimasak sahaja.

“Awak.. saya mintak maaf fasal semalam. Saya tahu, saya salah..” lirih Awra mengucapkannya. Penuh mengharap lelaki itu memaafkan kesalahannya.

“Awak nak sangat drive kereta kan.. Drive la. Saya dah tak kisah. Saya tahu awak pandai jaga diri kan? Awak buatlah apa yang awak suka lepas ni..” Balas Faiq selamba. Sengaja mahu mendera perasaan Awra kerana dia mahu wanita itu tahu, dia benar-benar risau apa yang pernah berlaku dahulu.

“Awak..” Awra terus sahaja mendakap tubuh Faiq menyebabkan lelaki itu sedikit terpempan. Tangan yang sedang melurut rambut, terhenti.

“Awak, saya mintak maaf. Jangan buat saya macam ni.” ucap Awra bersama kehangatan pelupuk mata. Dia amat risau dengan apa yang terluah di bibir lelaki itu. Seperti Faiq tidak lagi mahu mengambil berat akan dirinya.

“Saya buat apa? Saya tak buat apa-apa pun?” Faiq masih mampu mengawal suara. Mahu melihat sejauh mana kesungguhan wanita itu memujuk kekecewaan hatinya.

Awra mendongak. Mencari sepasang anak mata suaminya itu.

“Saya tahu, awak marah saya. Jangan buat saya macam ni awak. Saya janji, lepas ni saya ikut kata awak. Saya janji.” Penuh yakin dia mengucapkannya dengan rembesan air mata.

“Dekat tiga tahun awak berjanji. Tapi akhirnya.. awak langgar jugak janji awak tu kan? Entah-entah, dah lama awak buat macam ni bila saya tak ada. Siapa tahu kan?” Luah Faiq sinis.

“Tak! Tak! Saya tak pernah buat awak! Demi Allah saya tak pernah buat! Semalam aje..” Tingkah Awra cepat seraya mengeratkan pelukan.

“Jangan main dengan nama Allah Awra.” Faiq bersuara tegas.

“Tak awak.. tak.. percayalah.. saya tak pernah buat sebelum ni..” Awra sudah teresak-esak menangis. “Awak.. saya mintak maaf. Awak jangan buat saya macam ni.. saya takut awak.. please awak..” Sayu dia memujuk.

“Kenapa nak takut pulak? Kan best, saya dah bagi kebebasan apa yang awak nak buat?” jawab Faiq masih mahu menduga kesungguhan hati wanita itu walaupun hatinya sendiri luluh melihat wajah yang disayangi lencun begitu.

“Tak nak! Saya tak nak!” Cepat-cepat Awra menggeleng. Muka disembamkan ke dada lelaki itu. Lima tahun mereka bersama, dia senang dengan kehidupannya. Tidak pernah pun dia merungut hanya kerana perlu tinggal di rumah menjadi suri rumah sepenuh masa. Makan pakai sudah cukup terjaga. Lengkap serba-serbi. Tiada yang kurang pun.

“Habis tu, sekarang ni awak nak apa?”

“Saya nak awak! Saya tak nak yang lain dah.. Please awak.. tolong jangan buat saya macam ni.” Sudah berkali-kali bibirnya singgah ke dada lelaki itu.

Faiq mula menarik senyum segaris. Lambat-lambat dia membalas pelukan wanita itu. Seerat mungkin.

“Susah hati kan, bila saya buat tak tahu aje dengan awak?” ucapnya lembut.

Awra yang mulai tenang dalam pelukan, mengangguk. Akui.

“Macam tu la yang saya rasa bila setiap kali saya risaukan awak. Kenapa awak susah sangat nak faham yang saya sayangkan awak sangat hm? Awak ingat, saya suka-suka tak bagi awak drive kereta selama ni? Cukuplah sayang, dengan apa yang pernah jadi dulu. Nyawa awak, tak ada galang ganti.” Luah Faiq sambil mengelus belakang tubuh wanita itu. Dia mahu Awra tahu apa yang dilakukan selama ini, semuanya bersebab.

Sorry..” Kembali kedengaran esakan halus di dadanya.

“Tolong jangan buat lagi macam tu sayang. Hati saya tak senang. Nak buat kerja pun tak boleh.” Faiq melekapkan dua tapak tangannya ke pipi wanita itu. Diseka air mata yang membasahi wajah.

“Tolong jangan buat macam ni lagi..” ulangnya penuh mengharap.

Awra mengangguk. Ditarik tangan Faiq dan dibawa ke bibirnya sekilas.

“Ampunkan semua dosa saya..” ucapnya sayu.

“Semuanya. Dunia akhirat, insya-Allah sayang.” balas Faiq sebelum kembali menarik tubuh wanita itu dalam pelukan.

*****
“Pandai ke tu?” usik Awra sebaik dia meletakkan beras pulut yang sudah direndam dengan air santan di atas pangkin. Sejak tadi, dia perasan Faiq terkial-kial memasukkan daun pisang ke dalam batang buluh. Sejam tadi, baru dua batang buluh siap berlapik daun pisang.

“Tengok tanganlah. Saya dah menuntut dengan arwah abah dulu.” jawab Faiq tidak mengalah.

“Abah ajar, buat sebatang dalam setengah jam eyh?” Kening Awra sudah terangkat-angkat.

“Biar lambat, asal siap.” jawab Faiq selamba.

Firdaus yang menjadi tukang menyalakan api kayu untuk membakar sudah tersengih-sengih. Ada kekesalan terdetik di hati kerana tidak menuntut ilmu membuat lemang dengan abahnya dulu.

“Kalau macam ni, bila nak siap awak? Tak sempat berbukalah nanti.” Awra terus mencapai buluh lemang dari tangan suaminya. “Awak tolong isikan beras pulut tu dalam buluh. Biar saya yang sambung.” ujarnya lagi.

“Ish! Bagilah saya buat sayang. Kan saya yang dah janji nak buat tahun ni. Siap punya nanti..” Faiq cuba merebut kembali.

“Tak payahlah. Awak lambat sangat..” Awra terus sahaja menyambung kerja suaminya tadi.

Faiq tarik muka tidak puas hati. Rasa tercabar kerana isterinya itu lebih cekap melakukan kerja-kerja tersebut sedangkan hampir ke semua peniaga lemang adalah lelaki. Dan lelaki juga yang melakukan semuanya hingga lemang masak.

Awra menguntum senyum melihat wajah cemberut Faiq.

“Janganlah buat muka macam tu. Saya bukan tak bagi awak buat. Saya cuma nak semua cepat siap. Kan proses masak lemang berjam-jam. Sekarang dah pukul berapa awak. Nanti lambat siap.” Lembut Awra memujuk sambil tangannya lincah memasukkan gulungan daun pisang muda ke dalam buluh.

“Babah!” Si kecil Aqiff datang bersama kelongsong ketupat berbentuk kerbau.

“Babah, buffalo.” Ditayangkan kelongsong tersebut di hadapan Faiq.

“Siapa buat ni?” Soalnya pula. Bentuk kelongsong tersebut begitu menarik di matanya. Dan pernah dilihat sebelum ini.

“Tengok tanganlah..” Awra mencelah bersama sengihan.

Si kecil Aqiff turut tersengih-sengih.

“Ibu buat? Bukan nenek?” Sudah dijangkakan lebih awal. Tahu yang isterinya pakar dalam menganyam kelongsong ketupat.

“Ibu.” Aqiff memeluk tubuh Awra erat. “My iron lady.” Omel si kecil itu lagi.

Faiq mencebik. “Habis tu, babah apa?” Sengaja dia menduga si kecil.

“Babah busy man. Hari-hari Aqiff kawan dengan ibu.” Petah si kecil itu menjawab menyebabkan Firdaus dan Awra melepaskan tawa.

Sekali lagi Faiq mencebik. Terpaksa menelan gelaran itu kerana sememangnya dia seorang yang amat sibuk hinggakan masa bersama keluarga begitu terhad. Sedikit sebanyak, terkesan juga di hati.

Dia masih lagi bertugas sebagai eksekutif chef dan pada masa yang sama tetap menguruskan restoran. Malah kini, dia sudah menambah dua buah restoran lagi di tempat lain di samping tetap menerima undangan sebagai selebriti chef yang kian dikenali ramai. Disebabkan itu, anak tunggalnya lebih rapat dengan isterinya.

……………

Punggung dilabuhkan di sisi suaminya di atas tangga. Dia perasan sejak tadi Faiq menjadi pemerhati setia di situ. Memerhati Aqiff bersama dua anak abangnya bermain bunga api di tengah halaman. Afza dan Alya juga tidak ketinggalan sama.

“Awak..” Dipaut lengan tegap lelaki itu lembut. Dia perasan suaminya menjadi sedikit pendiam selepas perbualan bersama anak tunggal mereka siang tadi.

“Awak banyak diam dari tadi.. kenapa?” Lembut dia bertanya.

Faiq menoleh. Wajah isterinya ditatap sayang. Jemari halus yang memaut lengannya disulami kemas dengan jemarinya.

“Terima kasih sebab dah susah-susah jaga Aqiff, jaga makan pakai saya selama ni..” ucap Faiq dalam nada yang sama.

Awra berkerut. “Kenapa cakap macam tu? Kan memang dah jadi tugas wajib saya.”

“Saya kan busy man. Tak sempat nak tolong awak jaga Aqiff selama ni. Semua saya serahkan pada awak.” Dipaut bahu isterinya erat.

Awra menarik senyum manis. Disandarkan kepala ke bahu lelaki itu.

“Awak dah susah-susah kerja, cari rezeki untuk jaga saya dengan Aqiff selama ni. Apalah sangat dengan apa yang saya dah buat.. Semua untuk keluarga kita, awak..” Dilingkarkan pula tangan ke pinggang lelaki itu erat.
Faiq senyum segaris. Didaratkan bibirnya sekilas ke ubun-ubun Awra yang terdedah.

“Agaknya, sebab saya terlalu sibuk sebab tu Dia tak bagi kita rezeki anak lagi kan..” Lirih dia mengucapkannya. Sememangnya dia tahu akan keinginan isterinya yang satu itu selepas kemalangan lalu. Terlalu mengharapkan kehadiran orang baru. Juga sepertinya.

Awra mengangkat wajah. Sepasang mata suaminya itu dicari.

“Dia tak bagi rezeki tu, tapi Dia ganti dengan rezeki lain kan?” ucapnya bersama senyuman manis.

“Memanglah.. tapi, sayang tak teringin ke? Abang Firdaus masuk tiga.” Faiq ramas lembut jemari halus Awra dalam genggaman.

Awra senyum lagi sebelum dia mendekatkan bibirnya ke tepi telinga lelaki itu.

“Usaha tangga kejayaan.” bisiknya bersama lirikan nakal.

Faiq tersenyum. Dicuit hujung hidung Awra.

“Saya rasa, badan saya dah tak fit la. Sebab tu la kut.. Kurang usaha dan segala-galanya kurang. Lepas ni, nak kena cari suppleiment la..” ucapnya pula bersama sengihan nakal juga.

“Kurang fit apa? Bukan awak selalu pergi gym ke?” Awra kerut dahi.

Body aje fit, tapi dalaman tak berapa nak fit sayang.” Lemah Faiq menjawab bersama helaan panjang.

“Ia ke?” Tanpa segan Awra memandang atas bawah tubuh suaminya yang berbaju-t, berkain pelekat itu.

“Bukan tu sayang.. yang dalam ni.” Faiq membawa jemari Awra dan dilekapkan ke dada kirinya.

“Maksud?”

“Yang ni perlukan supplement lebih dari segala-galanya sayang..” Penuh makna diluahkan. Dia sedar amalannya selama ini tidak sesempurna mana hanya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia demi memastikan kehidupan anak dan isterinya terjamin.

Awra senyum.

“Awak tu, kuat sangat kerja..” Diusap lembut lengan Faiq.

“Saya tak nak, anak isteri saya susah..”

“Tapi, hati saya lagi susah bila awak selalu tak ada dengan  saya, Aqiff..” balas Awra juga penuh makna juga. Berharap agar suaminya itu faham. Hidup ini bukan untuk mencari harta dunia semata-mata dan duit bukan penjamin kebahagiaan.

Faiq hela nafas panjang. Sedar akan kealpaannya selama ini.

Sorry sayang..” ucapnya perlahan. Dibawa tubuh Awra dalam pelukan.

Awra geleng kepala. Tiada sebab Faiq perlu meminta maaf.

“Awak tahu kan, awaklah tempat saya dengan Aqiff bergantung selama ni. Saya reda awak.. saya tahu, awak kerja kuat sebab nak tanggung saya dengan Aqiff..terima kasih..” lirih dia meluahkan seraya membalas pelukan lelaki itu.

Tidak terbayang andai lelaki itu pergi dari hidupnya. Dan dia yang bergantung harap, hanya mampu terus berdoa agar rumah tangga yang dibina terus kekal hingga ke syurga-Nya.

Sepi seketika.

“Sayang..”

“Hmm..” Awra angkat wajah.

“Raya tahun ni, sayang nak hadiah apa?” Faiq elus bahu isterinya itu mesra.

Awra menarik senyum lebar. Seperti tahun-tahun sudah, Faiq pasti akan menghadiahkan sesuatu kepadanya walaupun tidak pernah diminta.

“Selalu kan, awak yang beli. Tahun ni, tanya pulak?” Kening sebelah dijongketkan.

“Dah tak tahu nak bagi apa sayang. Tahun ni, sayang pilihlah pulak. Anything, insya-Allah saya cuba adakan hm?” Balas Faiq senang.

“Anything?” Berkali-kali pula Awra angkat kening menyebabkan Faiq menggeleng. Tahu benar dengan perangai isterinya yang tidak pernah berubah setiap kali dia membuat tawaran.

“Betul ni?” sambungnya inginkan kepastian.

“Ia sayang..”

“Erm… yang kali ni, awak tak payah keluar duit pun. Saya cuma nak restu awak, as my lovely husband.. Dah tak ada orang lain yang boleh buat, kecuali awak aje..” Hujung jarinya bermain di lengan lelaki itu. Datang idea mahu mengusik.

“Apa dia?” Wajah Faiq mula berkerut.

“Ermm.. Saya nak drive semula..” Awra memandang tepat sepasang mata suaminya. Sengaja mahu melihat reaksi Faiq. Namun lelaki itu segera melarikan wajah sebaik dia habis menuturkan kata.

Faiq menghela nafas panjang. Sumpah! Hingga ke hari itu, dia tidak mungkin akan mengizinkan isterinya memandu lagi.

“Awak..” Awra sembunyi senyum. Sudah dijangka reaksi suaminya.

“Kenapa awak tak nak faham saya Awra. Susah sangat ke permintaan saya yang satu tu..” keluh Faiq perlahan.

“Awak..” Ditarik hujung dagu Faiq. Senyuman lebar dilepaskan. Terharu dengan keresahan yang terpamer di wajah lelaki itu.

Sorry.. Saya gurau ajelah. Saya tahu, awak takkan bagi.” Pujuknya cepat.

“Dah tahu, lagi nak mintak. Mintaklah benda lain.” Faiq pura-pura merajuk pula.

“Baik.. Kalau macam tu, saya nak mintak adik for Aqiff?” Awra angkat kening lagi. Dan sengaja mahu mengusik lagi.

“Ewah! Mintak baby macam boleh beli selonggok dua ringgit dekat pasar borong sayang ni.” Faiq menjegilkan mata menyebabkan terhambur tawa Awra. “Kalau boleh beli, sekarang jugak saya beli selonggok sayang.” Ditarik hujung hidung Awra. Geram. Ada sahaja usikan wanita itu yang ingin menceriakan hari-harinya.

“Manalah tahu.. Kan awak tu banyak duit. Senang aje beli apa yang saya nak selama ni.” Tersengih-sengih Awra.

“Kalau saya boleh beli, memang dah beli.” jawab Faiq selamba bersama senyuman. Dalam hati, tidak henti dia berdoa agar Allah perkenankan doanya yang satu itu. “Sayang mintaklah benda lain.” sambungnya kemudian.

“Erm.. tak tahu nak mintak apa. Duit raya, tiap-tiap tahun awak bagi. Yang tiap-tiap bulan tu pun, tak pernah habis guna. Apa lagi yang saya nak mintak. Semua awak dah sediakan. Cuma satu tu ajelah yang saya belum dapat. Dah lama tunggu..” balas Awra yang menyandarkan kepala ke bahu lelaki itu dengan cukup selesa.

Faiq tersenyum. Dielus bahu Awra sebelum bibirnya singgah ke dahi wanita itu.

“Yang tu, insya-Allah. Nanti kita usaha lagi sama-sama.” ucapnya lembut.

Sepi lagi.

“Awak..” Awra kembali bersuara.

“Hm..”

Awra tarik tangan Faiq dan dibawa sekilas ke bibir.

“Selamat hari raya awak..” Ditatap wajah Faiq penuh kasih. “Ampunkan segala dosa-dosa saya sepanjang kita bersama. Halalkan makan minum saya. Saya mintak maaf dengan segala kekurangan yang ada sepanjang saya jadi isteri awak.” ucapnya tulus.

Faiq menarik senyum segaris.

“Saya tak maafkan.” jawabnya mengusik.

“Awak!” Hampir terjerit pula Awra.

Faiq tergelak.

“Insya-Allah. Selagi umur saya panjang, saya sentiasa maafkan awak sayang. Saya pun macam tu jugak. Saya mintak maaf segala kekurangan yang ada. Sampaikan nak tambah ahli baru pun, saya tak mampu..” ucapnya pula.

Awra tersenyum-senyum seraya menampar manja lengan lelaki itu. “Awak ni.. tu bukan kerja kita la.. tu kan kerja Dia..”

Faiq tersengih-sengih.

“Hoit! Tak payahlah cerita hal kelambu dekat tangga tu haa.. Malu orang dengar oii!”

Terdengar suara Firdaus dari dalam rumah mencelah menyebabkan kedua-duanya terus menghamburkan tawa. Hampir terlupa di mana mereka berada kerana terlalu asyik melayan perasaan malam raya itu.


............
maaf kalau merepek. haha ~

selamat menyambut hari raya semua. 
iman kuasa dua, insya-Allah akan diusahakan. insya-Allah. 

12 comments:

ada said...

Best..slmt ari raye kak arsha..

Unknown said...

sooo....sweeetttt...moga ada rezeki raya taun ini utk awra n faiq..... Tq....soooo muchh....terlepas rindu jua.... Selamat Hari Raya utk cik arsha...moga bahagia dunia n akhirat..saranghaeyo....

Anonymous said...

Tahniah arsha. Best sangat. senyum sendiri baca karya arsha ni.. kalau boleh, nak lagi... nak lagi... Apa-apapun syabas.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI BUAT ARSHA N FAMILY. Moga kehadiran syawal akan lebih melimpah ruah rezeki dan idea arsha untuk terus berkarya.

k.mid.

MaY_LiN said...

acha..
nak iffat n afeef SE lak

Ehem said...

Ada- Terima kasih ada :)

Kak Bella- Terima kasih kak Bella. InsyaAllah ameen. Akak jugak :)

Kak mid- Allahu.. thanks kak mid. Ameen InsyaAllah. :)

Ehem said...

Adehhhh tak sempat.. iman kuasa dua pun, xtau sempat ke tidak. Hukhuk

Unknown said...

Kita tunggu BMJM Siti N Kimi, bila tu. Penantian satu penyiksaan tapi walau bagaimana pun ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Minal Aidil Wal Faizin serta maaf zahir & Batin.

Unknown said...

Thanks achaaa....best....
Salam Aidil Fitri semua....
nak iman kuasa dua se lak....:)

Unknown said...

lamanya ber hari raya, hari hari kita check tak de pun yg baru. anyway selamat hari raya ku susun 10jari ampun maaf dipinta. Kosong kosong 00

Kak Sue said...

So sweet mereka berdua...
Rezeki anak tu hanya pada DIA saja ...
InsyaAllah berusaha lebih sikit ya Faiq...
Selamat hari Raya maaf zahir batin andai ada kata-kata yang menguris hati Arsha...

Unknown said...

sepi itu indah....sepi itu kadangkala menyakitkan...cik arsha ..emmm lamanyer cutiiiii.....rindu x hengat dah ni....bila ler awra nak panggil si faiq ...abang.... asyik awakkkk jer manjangggggggg.....

Ehem said...

Sorry lambat.

Haha.. adohai..