Jul 11, 2014

Dambaan Bahagia_bab 15


“Weh, abang kau dah sampai ke?” Emma menegur apabila melihat sahabatnya itu kelam-kabut mengemaskan semua barang-barang yang akan dibawa balik sempena cuti semester, sebaik dia pulang dari bilik air.

Bilik tersebut terpaksa dikosongkan memandangkan mereka akan bertukar ke bilik di tingkat bawah pada semester hadapan.

“Dah! Gilalah angah aku tu. Semalam kata sampai petang. Ni, pagi-pagi pulak dah sampai. Aku dah la belum kemas satu apa pun lagi..” rungut Fathiyah geram.

Emma tergelak. “Berkurunlah dia tunggu dekat bawah tu. Barang kau bukannya sikit oi!” balasnya sambil mengeringkan rambut yang lembap. Langkah diatur ke tepi tingkap untuk melihat kelibat lelaki yang dimaksudkan. “Beb, abang kau bawa kereta apa?” Soalnya kemudian apabila melihat banyak deretan kereta di luar pagar. Ada beberapa orang pelajar sedang mengangkut segala jenis barang untuk dimasukkan ke dalam kereta masing-masing.

“City.” Sepatah. Fathiyah sibuk menggulung pakaian yang dikeluarkan dari dalam almari agar muat dalam dua buah bagasi merah menyala yang sedia terbuka.

Emma pula masih leka memerhati di luar tingkap. Tercari-cari kelibat kereta yang dimaksudkan. “Warna apa?”

“Putih.”

“Putih?” Emma menyoal dirinya sendiri. Mata masih tercari-cari kereta tersebut. “Tak nampak pun weh? Estima putih ada. City putih tak ada pun.” ulasnya kemudian.

Parking jauh kut. Kan ramai yang balik hari ni.” balas Fathiyah senang.

“Mungkinlah..” Emma memicingkan mata. Dia perasan akan dua susuk tubuh yang pernah dilihat sebelum ini. “Dia orang tu kan..” Ayatnya terhenti sebelum menoleh ke arah teman sebiliknya yang baru sahaja habis memasukkan semua pakaian ke dalam bagasi. Dia yakin sahabatnya itu tidak tahu akan kehadiran lelaki-lelaki tersebut.

Beb, siapa nak tolong angkat barang kau ni nanti? Aku tolong angkat sampai tangga bolehlah beb.” Sengaja berbasa-basi.

“Shah kata nak tolong aku semalam. Tadi aku dah WhatsApp dia dah. Tak tahulah dah sampai ke belum. Dia kata, kalau dah sampai, dia mesej aku.” jawab Fathiyah lurus.

Emma jeling lagi ke luar tingkap. Memang matanya tidak salah melihat. Dua susuk tubuh lelaki itu cukup dikenali.

Beb, kau dah mandi belum?” Soalnya kemudian sambil membantu memasukkan beberapa buah buku yang siap dikemas ke dalam kotak tersedia.

“Bila masanya aku sempat mandi. Kan aku pergi cuci muka, gosok gigi aje tadi.” jawab Fathiyah tanpa menoleh. Dia leka mengeluarkan segala jenis kasut dari bawah katil. Sepuluh kotak semuanya. Tidak termasuk yang tidak berkotak.

Emma menoleh. Serba salah untuk memberitahu apa yang dilihat sebentar tadi.

Beb, aku bawak dulu kotak buku kau ni ke bawah eyh?” Sengaja ingin memastikan apa yang dilihat tadi tidak salah.

Thanks beb!” Fathiyah menyapu peluh yang merenik di dahi. Badan mula terasa melekit kerana sejak tadi dia ke hulu, ke hilir. Hidungnya pun mula terasa berair. Habuk!

Haachooh!

Fathiyah yang baru sahaja ingin mengangkat kotak yang dipenuhi buku, menoleh. Sempat dia menyambar tudung sarung yang tersangkut di belakang pintu.

“Mula dah..” ulasnya yang cukup faham dengan keadaan Fathiyah yang agak alergi dengan habuk.

“Ni yang aku malas kemas barang ni beb. Mulalah aku selesema ni.” rungutnya sambil menggosok batang hidung yang mula terasa gatal sebelum dia bersin beberapa kali lagi.

“Ish! Kau ni.. tu la… ternak lagi habuk-habuk bawah katil tu.” bebel Emma sebelum terus berlalu keluar.

Sementara Fathiyah terus terbersin sebelum dia mencapai telefonnya yang terdampar di atas katil. Nombor Amir segera didail untuk memberitahu agar menanti di tangga bawah.

Sebaik sahaja talian diputuskan, dia kembali mengemaskan kotak kasut yang banyak ke dalam beg plastik besar tersedia.

Sementara, Azlan dan Shah yang sedia menanti di luar pagar..

“Kira kau datang ni, Tiya memang tak tahulah?” Shah sembunyi senyum. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana riak Fathiyah nanti jika bertemu dengan Azlan.

“Tak.” Selamba Azlan membalas.

Shah menarik senyum. Tubuh disandarkan dengan selesa di badan Civic hitam milik lelaki itu. “Habis tu sekarang ni, kau nak ikut aku masuk ke tak? Sebab dia ada pesan suruh angkut barang dia dekat tangga bawah tu.” lanjutnya kemudian.

“Kau rasa, dia terkejut tak nampak aku nanti?” Azlan memulangkan soalan juga.

Bro, kau pun faham dia macam mana aku faham dia kan? Takkan soalan tu pun, aku kena tolong jawabkan.” balas Shah bersama lirikan senyum.

Azlan melepaskan keluhan panjang. Kepala yang tidak gatal digaru seketika. Risau gadis itu menolak bantuannya nanti.

“Kau tak payahlah risau Lan.. Lagi pun, Amir dah amanahkan kau untuk hantar dia balik hari ni kan? Nak tak nak, dia kena ikut kaulah..” Shah menepuk beberapa kali bahu teman tidak begitu mesranya itu. Lelaki yang menjadi pesaingnya kini.

Azlan senyum segaris. Masih belum cukup yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Shah.

“Kalau kau tak nak masuk, biar aku aje yang tolong dia angkat barang. Kau tunggu aje dekat sini. Kalau semua barang dah masuk dalam kereta kau nanti, dia bukan boleh buat apa pun..” Tambah Shah mengawal rasa. Entah kenapa, setiap kata-kata yang terluah di bibirnya memberi ruang yang besar kepada Azlan untuk meraih hati si kekasih.

“Erm.. ikut kaulah bro.” putus Azlan terpaksa. Dia tidak punya pilihan demi memulihkan kedinginan hubungannya bersama Fathiyah.

Shah hanya melemparkan senyum segaris sebelum terus berlalu masuk.

Manakala Emma yang terintai-intai akan kelibat kedua-duanya tadi terus sahaja kembali memanjat tangga apabila perasan akan kelibat Shah yang kian menghampiri.

Weh.. lamanya turun.” tegur Fathiyah sebaik sahabatnya itu kembali.

“Aku jumpa member kejap dekat bawah tadi..” selamba Emma menjawab sebelum melabuhkan duduk di birai katil. Membuang lelah dari memanjat tangga untuk ke bilik mereka di tingkat empat itu. Dan begitulah mereka selalunya jika pulang dari kelas. Semput!

“Mana barang yang nak aku hantar lagi beb?” ujarnya kemudian. Tidak sampai hati membiarkan sahabatnya itu mengangkat semuanya. Mujur sahaja dia telah menghantar separuh dari barang-barangnya tempoh hari memandangkan dia memandu sendiri.

“Kau tolong bawak dua beg aku ni aje. Tak payah susah-susah kau angkat. Tarik aje beb. Yang lain, biar aku angkat sendiri.” jawab Fathiyah yang baru sahaja menyusun bantal bersama segala jenis patung beruang dan beberapa jenis haiwan lain lagi yang menjadi peneman tidurnya.

“Okey beb.” Emma bingkas. “Kau tak nak mandi dulu ke? Sempat lagi kalau kau nak mandi ni. Dah alang-alang abang kau tunggu lama. Kau pun dah selesema tu.” tambahnya yang tidak mahu sahabatnya itu kelihatan comot di hadapan Azlan nanti. Jika di hadapan Shah, gadis itu langsung tidak peduli.

“Tak payahlah! Malas aku. Bukan aku tak tahu, abang aku tu. Kejap lagi confirm membebel. Aku mandi dah la lama.” balas Fathiyah sambil melilit shawl nipis warna hitam di kepala.

“Kau nak balik pakai bottom track dengan t-shirt malam tadi tu aje?” Emma sudah menarik dua buah bagasi besar milik Fathiyah hingga ke hadapan muka pintu yang dibiarkan ternganga sejak tadi.

“Ialah.. kan aku nak balik rumah aje pun. Bukan nak pergi berjalan-jalan.” Senang Fathiyah membalas tanpa prasangka.

“Haih.. Aci boleh aje kau ni Tiya. Confirm kau kena gelak dengan Shah nanti. Aku nampak dia baru sampai tadi weh..” Emma menggeleng sebelum terus berlalu.

Bibir terpaksa sembunyi tawa yang mahu terlepas apabila membayangkan reaksi Fathiyah apabila bertemu dengan Azlan nanti. Lelaki itu cukup segak dengan baju-t putih dan dipadankan pula dengan denim hitam. Fathiyah pula memilih baju-t lengan panjang warna merah cili dan digabungkan pula dengan bottom-track hijau. Jauh benar bezanya.

“Peduliklah. Shah aje pun.” omel Fathiyah sendiri kerana sedar sahabatnya itu sudah menjauh.

Sejak berteman dengan Shah dulu, dia langsung tidak pernah mempedulikan penampilannya. Malah Shah berulang kali pernah melihat dia dengan rambut kusut baru bangun tidur bersama kesan air liur basi di muka. Shah terima seadanya dia.

Maakk aii.. dua beg besar ni dia punya baju?” Shah hampir tidak percaya melihat dua buah bagasi besar yang sedang dibawa oleh Emma menuruni tangga.

“Dia kan hari tu merajuk tak balik rumah. Tu yang barang dia macam orang nak pindah rumah.” Emma tersengih-sengih.

Shah menggeleng. Ditarik dua beg tersebut terus ke kereta tanpa mahu bersoal panjang.

Beb, mana lagi nak aku tolong. Beg kau tadi aku dah bagi Shah dah..” ujar Emma yang sedikit megah sebaik kembali.

“Oh ia ke. Dia baru WhatsApp aku, dah tunggu dekat bawah. Erm.. tolong aku bawa beg plastik kasut tu dengan baldi. Yang lain, aku angkut sendiri beb. Sorry aku dah susahkan kau pulak.” balas Fathiyah yang sedia menggalas beg sandang di belakangnya. Kemudian dia mendakap bakul yang berisi pakaian yang selama seminggu tidak bercuci.

Weh, kau nak bawak baju kotor kau macam tu aje?” Emma hampir terbeliak melihat bakul berisi pakaian itu.

“Ialah..” Selamba Fathiyah membalas sebelum terus berlalu.

Emma telan liur. “Habislah..” Cepat-cepat dia menuruti langkah sahabatnya yang mendahului.

Sebaik tiba di tingkat bawah, Shah sudah kembali terpacak di situ bersama senyuman lebar.

“Tiya, kau mesti belum mandikan?” ujarnya yang perasan dengan penampilan gadis itu.

“Alah.. bukan ada siapa nak tengok pun..” jawab Fathiyah selamba sambil meletakkan barang yang dibawa sebelum dia kembali ke bilik.

Shah sudah sembunyi sambil memandang Emma.

“Dia tak tahu Alan datang Shah..” ucap Emma tertahan.

“Kau tahu?” Shah berkerut.

“Aku nampak kau dengan Alan dekat pagar depan sana tu.” jawab Emma selamba.

Beb, dua biji bantal aku tu, kau tolong bawak balik eyh? Tak muat tangan dah aku nak angkut. Aku bawak anak-anak aku ni aje balik.” Terdengar suara Fathiyah yang kian menghampiri bersama satu plastik besar dipenuhi dengan segala jenis patung haiwan pelbagai jenis yang menjadi peneman tidur.

Mata Shah membulat apabila melihat satu plastik lut sinar yang menjadi bungkusan segala ‘anak-anak’ yang dimaksudkan. “Kau bawak semua ni dari rumah ke?” Soalnya seperti tidak percaya.

“Ialah..” Senang Fathiyah membalas bersama sengihan lebar. Sesekali dia menahan hidung apabila terasa mahu bersin menyebabkan batang hidungnya sudah pun merah sejak tadi kerana berkali-kali digosok.

Shah menggeleng. Fathiyah tidak pernah berubah. Gadis itu suka akan segala jenis patung haiwan menjadi peneman tidur walaupun dia perasan tiada satu pun pemberiannya yang ada di situ. Yakin yang gadis itu telah pun membuangnya saat hubungan mereka terputus.

“Ada barang lagi ke?” Soalnya kemudian.

“Erm.. habis dah.” Fathiyah melihat semua barang yang ada di tepi kaki tangga itu. “Erm.. Angah aku mana? Dia tunggu dekat kereta eyh Shah?” Baru perasan yang kelibat abangnya sejak tadi tidak juga timbul di situ.

“Ha’ah.” Selamba Shah membalas tanpa memandang wajah gadis itu. Bakul yang berisi baju tidak berlipat terus diangkat. “Ni, apasal baju tak berlipat ni? Kau malas eyh Tiya?” Ujarnya dengan sengihan mengusik.

Emma sudah tekup mulut. Sekali lagi hampir meledak tawanya.

“Kau jangan nak gelakkan aku eyh Emma. Aku bukan malas nak lipat, cuma tak sempat nak basuh..” Fathiyah tayang barisan giginya yang cantik.

Shah pula terus menghamburkan tawa. Begitu juga dengan Emma.

“Macam-macamlah kau ni Tiya. Pakai tudung, cantik dah. Bab-bab dalaman ni, kau failed lagi eyh?” Usik Shah.

Fathiyah ketap bibir. “Bagi sinilah baju aku tu! Kau bawak ‘anak-anak’ aku ni.” Dia terus menarik bakul baju dari tangan Shah dan menukarkannya dengan plastik lut sinar bersama plastik besar yang memuatkan kotak kasutnya.

“Apa-apalah Tiya..” Shah mengalah sebelum terus berlalu.

“Kan dah kena dengan Shah.. tu belum dengan Alan lagi..” Celah Emma. Namun ayat terakhirnya itu hanya terluah di dalam hati.

Fathiyah mencebik. “Okeylah beb. Thanks sebab tolong pulangkan kunci aku. Kau balik petang nanti, hati-hati. Senang-senang kalau nak ajak aku keluar ke, call aje okey?” ujarnya kemudian sebelum berpelukan dengan teman sebiliknya itu seketika.

“Insya-Allah. Kau pun hati-hati. Control sikit marah tu. Belajar bersabar.” balas Emma penuh makna sebaik meleraikan pelukan.

Fathiyah hanya tersengih sebelum berlalu. Manakala Emma kembali naik ke bilik.

Fathiyah melangkah dengan senang hati menuruti langkah Shah yang sudah jauh ke hadapan. Langkah yang diatur kemas pada mulanya lama-kelamaan kian terasa pincang apabila sepasang matanya dapat menangkap satu susuk yang cukup dikenali sedang berbual dengan Shah. Keningnya hampir bertaut. Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat menyebabkan dia terus tercari-cari bayang abangnya. Saat beberapa tapak lagi menghampiri kereta milik Shah, langkahnya terhenti.

“Tiya, kau balik dengan Alan. Semua barang kau tadi, aku dah masukkan dalam kereta dia.” Shah bersuara seraya mengambil bakul baju bersama baldi di tangan gadis itu dan diserahkan kepada Azlan yang memerhati sejak tadi.

“Er… Shah, kau hantar aku baliklah..” Gumamnya perlahan buat pendengaran lelaki itu. Seperti tidak mampu dia mahu memandang wajah Azlan. Yakin yang abangnya sudah berkomplot dengan Azlan hari itu.

Shah senyum segaris. “Kalau ikut hati, memang aku nak hantar kau. Tapi, Angah dah amanahkan Alan hantar kau balik. Kau balik ajelah dengan Alan. Macam tak biasa. Lagipun, dekat rumah kau tak ada siapa-siapa kan? Abang Am tak tahu balik bila. Kedai Alan dekat. Nanti apa-apa hal, dia ada boleh tengokkan kau.” Terasa pahit apa yang diluahkan. Padahal, jauh di sudut hati, dia tidak mampu melihat Azlan dan gadis itu berdua-duaan.

Fathiyah berdecit halus. Terasa payah apa yang ingin dilakukan. Bukan dia tidak perasan akan renungan tajam Azlan sejak tadi.

“Pergilah. Alan dah lama tunggu kau Tiya.” Lembut Shah memujuk sebelum mendapatkan Azlan.

Fathiyah melepaskan keluhan berat. Mahu atau tidak, dia terpaksa menurut. Namun dalam hati, berbakul kemarahan disimpan buat abangnya kerana bersubahat dengan apa yang sedang berlaku kini. Dia yakin ada sesuatu yang telah dirancang tanpa pengetahuannya.

“Aku balik dulu. Nanti sampai jangan lupa call aku ya? Jangan lupa jugak makan ubat. Dah merah hidung kau tu..” Sempat Shah berpesan. Prihatin.

“Er.. Shah..”

Shah senyum nipis. Mata diarahkan kepada Azlan yang hanya mendiamkan diri.

Fathiyah mengeluh lagi. Wajah Azlan dipandang sekilas sebelum dia meloloskan diri ke dalam kereta yang sedia terbuka.

“Alan, kau pujuklah elok-elok.” Shah menepuk bahu Azlan beberapa kali sebaik mereka bersalaman.

Azlan tersenyum tawar. Sedar akan kedinginan yang dicipta. “Thanks bro.” ucapnya kemudian sebelum dia mengambil tempat pemandu.

Shah mengukir senyum buat Fathiyah yang berwajah kelat sehinggalah bayang gadis itu hilang dari pandangan.

Sementara Fathiyah dan Azlan, masing-masing memilih untuk mendiamkan diri. Fathiyah hanya membuang pandang ke luar tingkap dengan sesekali menggosok pangkal hidungnya bagi menahan bersin. Manakala Azlan pula tenang dalam pemanduannya. Namun di sebalik cermin hitam yang dipakai, berkali-kali matanya mengerling ke sisi. Serba salah untuk memulakan kata selepas apa yang berlaku di antara mereka.

Bunyi Iphone dari saku seluar memecah kesunyian. Segera dikeluarkan sebelum dihulurkan kepada insan di sisi.

Fathiyah memandang pelik. Wajahnya berkerut. Tiada tanda-tanda dia mahu menyambut gadget yang dihulurkan sebaik ternampak sebaris nama yang cukup dikenali. Dia masih sakit hati dengan apa yang berlaku kini.

“Jawablah.. aku tengah drive ni.” Lembut Azlan meluahkan.

“Malas!” Dingin daripada Fathiyah. Ikutkan sakit hatinya, mahu sahaja dia mengikut Shah tadi.

Azlan menggeleng sebelum memberhentikan kereta ke tepi walaupun panggilan tadi sudah pun senyap sendiri. Dia kembali menghubungi si pemanggil tadi.

“Aku dah ambik dah. Dia ada ni. Kau nak cakap dengan dia ke?” Azlan menoleh ke sisi. Menanti reaksi gadis itu.

“Muka dia ketatlah. Confirm dia tak nak cakap dengan kau. Dengan aku pun dia buat macam tunggul dalam kereta ni.” Selamba Azlan menyelar sengaja mahu menarik perhatian si gadis. Dan taktiknya menjadi apabila renungan tajam yang diterima sebelum dia terus menamatkan perbualan.

“Apa pandang-pandang?” Ujarnya sebelum kembali memandu. Sedikit sebanyak, tercalar juga tembok kesabarannya apabila melihat layanan dingin gadis itu. Jika dengan Shah tadi, mesra sahaja dilihatnya.

Apasal kau dengan Angah tipu aku?” Tebak Fathiyah terus, menghamburkan rasa tidak puas hati. Dia benci penipu dan tiada siapa yang suka ditipu.

“Tipu apa pulak?” Azlan pura-pura tidak tahu.

“Kau buat aku macam budak-budak kan Mal..” Balas Fathiyah mengendur. Wajah terus dipalingkan ke sisi. Terasa mahu menangis, namun sedaya upaya ditahan.

Azlan memandang sekilas. Cermin hitam terus dilurutkan. Sedikit terusik mendengar ayat yang terluah.

“Kalau aku bagi tahu, aku yang datang jemput kau, kau nak ke?” Ajunya menduga.

“Memang taklah!” Jerit Fathiyah dalam hati. Tidak terluah di bibirnya.

Sepi. Masing-masing membelai ego sendiri.

Dan saat kereta yang dipandu oleh Azlan membelok masuk ke satu simpang yang mempunyai deretan kedai, mata Fathiyah membulat.

“Kau nak bawak aku ke mana ni?” Dia mula cuak.

Breakfast. Aku lapar. Dari tadi aku tunggu macam tunggul kering.” Jawab Azlan mendatar.

“Aku tak nak!” Cepat Fathiyah membalas dengan wajah yang masam.

“Ada aku kata, aku ajak kau ke?” Tingkah Azlan yang mula sembunyi senyum. Dia lebih suka melihat Fathiyah marah-marah begitu dari diam membatu. Sakit jiwanya!

Fathiyah ketap bibir kuat. Hati kian rasa terbakar.

Azlan memberhentikan betul-betul keretanya di hadapan sebuah restoran.

“Dah, jom keluar. Nanti Amir ingat, aku dera adik dia pulak dalam kereta ni.” Kata Azlan sinis sebelum berlalu keluar.

Fathiyah pula langsung tidak berganjak. Dia membatukan diri di tempat duduknya. Sedarlah kini kenapa sahabatnya begitu beria-ia menyuruhnya mandi. Dengan pakaiannya yang kurang sesuai menjadi tatapan lelaki itu, dia benar-benar rasa tidak selesa.

Azlan yang sedia menanti di luar kereta, rasa tercabar dengan kedegilan Fathiyah. Mahu atau tidak, dia terpaksa berlembut. Pintu di sebelah gadis itu dibuka.

Tiya, please.. janganlah buat perangai macam budak-budak dekat sini. Aku betul-betul lapar ni. Malam tadi pun aku tak makan.” Lembut dia memujuk.

Fathiyah tahan rasa. Dia dikatakan berperangai macam budak-budak? Rengusan dilepaskan.

“Fathiyah..” Tekan Azlan menyebabkan gadis itu terus keluar. Menonong masuk ke dalam restoran tanpa menghiraukannya. Menggeleng dia beberapa kali sebelum turut masuk. Dia singgah ke kaunter untuk memesan minuman sebelum dia terus ke barisan bufet tersedia. Melihat wajah Fathiyah yang terus mencuka, dia yakin gadis itu tidak akan memilih makanan yang tersedia. Sudahnya, dia memilih nasi lemak dan mihun goreng buat gadis itu.

Dua pinggan yang dibawa diletakkan di atas meja sebelum dilabuhkan duduk di hadapan gadis itu. Sudu garfu dicapai lalu dilapkan dengan sehelai tisu sebelum diletakkan di sisi pinggan mihun goreng dan nasi lemak.

“Nak yang mana?” Soalnya masih berlembut. Dan sememangnya kekasaran bukan caranya dalam melayan kerenah Fathiyah selama ini.

Fathiyah langsung tidak menjawab menyebabkan terlepas keluhan di bibir Azlan bersama istighfar.  Ditarik pinggan nasi lemak mendekat. Malas mahu memujuk lagi kerana perutnya benar-benar minta diisi kala itu.

Baru sahaja sesuap nasi mencecah mulutnya, air yang dipesan tadi tiba. Teh tarik bersama milo ais dan dia memilih teh tarik kegemarannya. Dan saat dia mahu mencapai gelas teh, Fathiyah sudah mendahului. Selamba sahaja gadis itu menghirup air tersebut tanpa menghiraukan riak wajahnya.

Fathiyah jongket kening. Membalas renungan lelaki di hadapannya.

“Siapa suruh order milo ais? Tahu aku tak suka minum air milo kan?” Ujarnya sedikit geram. Ada sahaja yang dilakukan oleh Azlan menyakitkan hatinya.

Azlan menarik senyum. Tadi dia memang sengaja pesan minuman yang berbeza walaupun sedia maklum mereka berkongsi kegemaran yang sama. Dan kini, mahu atau tidak, dia terpaksa menghabiskan milo ais tersebut.

“Makan tu.. penat-penat aku ambik.” Ujarnya kemudian. Ada tanda-tanda rajuk gadis itu akan terbujuk.

“Siapa kata aku nak makan mihun goreng?” Sekali lagi, dengan selamba Fathiyah menarik pinggan nasi lemak di hadapan lelaki itu. Dengan sudu-sudu sekali.

Azlan sudah menggeleng. Sekali lagi juga dia terpaksa mengalah. Tiya..Tiya..

Sepi lagi. Hanya dentingan sudu dan garfu sahaja yang kedengaran tanpa sebarang bicara yang terluah. Namun tanpa Fathiyah sedari, Azlan sering kali mencuri pandang memandangkan gadis itu lebih banyak menunduk menikmati nasi lemak yang dimakan. Aurat yang satu itu sudah  tidak kelihatan di matanya. Dia kagum itu sejak tadi dengan memanjatkan rasa syukur tidak terhingga.

“Tiya..” Dia memulakan bicara. Tidak mahu menyimpan rasa bersalah yang ada kerana  membohongi dan sengaja membiarkan setiap pesanan ringkas yang dihantar beberapa minggu lalu tidak berbalas.

Fathiyah angkat wajah sekali sebelum dia kembali menunduk. “Aku marah lagi ni. Kau jangan cakap apa-apa. Aku tak nak dengar!” Ujarnya tidak bernada.

Azlan menahan tawa. Belum pernah pun gadis itu merajuk dengannya. Mihun gorengnya sudah pun selesai. Milo ais yang masih berbaki, disedut perlahan.

Selesai makan, masing-masing bingkas. Fathiyah terus menanti di kereta sementara Azlan menyelesaikan pembayaran.

“Ada nak singgah mana-mana?”

Fathiyah geleng. ‘Nak singgah apa dengan aku tak mandi ni.. Alan ni kan..’ Dia sudah ketap bibir. Yakin lelaki itu tidak perasan yang dia berpakaian pelik hinggakan ada beberapa pelanggan di restoran tadi tertoleh-toleh kepadanya. Kombinasi warna baju dan seluarnya sudah serupa bendera Portugal.

Apasal jeling-jeling aku macam nak telan ni? Tak kenyang ke, bedal nasi lemak aku tadi?” Tanya Azlan pelik sebaik masuk ke dalam kereta.

“Kau tu..”

Haachhooh!

Tidak pun sempat Fathiyah meningkah, dia terbersin berulang kali tanpa sempat ditahan hingga wajahnya merah padam. Ucapan alhamdulillah terlepas di bibirnya sebaik dia kembali tenang. Hidungnya terus berair.

Afukallah..” Perlahan Azlan membalas memandangkan gadis itu terbersin lebih dari tiga kali menggantikan Yarhamukallah, sebelum dia menghulurkan beberapa helai tisu.

Fathiyah menoleh sekilas. Dia tahu maksud sepatah perkataan itu. ‘Semoga Allah menyembuhkan anda..’ Jarang sekali dia dapat mendengar orang melafazkan kalimah tersebut apabila dia terbersin.

Thanks..” Dia menunduk sebaik mencapai tisu yang dihulurkan.

Azlan senyum segaris. Dia sedia maklum keadaan gadis itu sejak tadi lagi. Cuma dia tidak mahu menegur memandangkan angin taufan sedang melanda gadis itu. “Kita singgah klinik dulu ya?” Usulnya sebelum mula memandu.

“Er.. tak payahlah. Dekat rumah ada ubat selesema.” Fathiyah tolak dengan serba salah. Sikap prihatin yang ada pada lelaki itu memang tidak dapat disangkal lagi. Sering sahaja mengambil berat akan keadaan kesihatannya walaupun jarinya dihiris pisau tanpa disengajakan kerana dia bukan si kaki dapur.





11 comments:

Kak Sue said...

Alan ni memang banyak bersabar...
rasanya haya shah ja yang dah terbiasa dgn peranagai Tiya tu... tapi macam comel ja Alan dgn Tiya ni...
Mana satu pilihan hati... bila hati dah terbahagi 2 ...hihihi

Nur Syahidah Zulkifli said...

I choose Alan hihi..

Unknown said...

Alahai....tiya ngan alan ker....sian shah....huhu

Anonymous said...

yeayghh... Alan the hero..
tpi byak kesalahan nama..mgkin anda terkeliru

>>k<<

MaY_LiN said...

nk lg nk lg
hi hi hi

Unknown said...

citer ni tak leh nak komen...kena maraton dulu dari awal....la ni asyik dok fokus kat pureen n shaq jer...maklum ler bila dah 4 series ni....kena slow n steady...kikiki

Anonymous said...

Vote for shah

mula2 penulis menggmbrkn cerita ni mcm shah heronya..nape tetibe alan pula menyibuk?

Ehem said...

Masih awal bab lagi :)

Maaf kalau tak menepati.

MzaMuhd said...

Alaaaaaaaa...... sedih.

Unknown said...

baru habisss buat maraton....emmm baru cerah sikit citernyer....i think ...i mungkin like alan setakat ini.....tp ....in future tak tau ler pulak....tiya jangan tersalah pilih sudahhhh....pe pon citernyer besttt..tak menghampakan .....

Anonymous said...

Shah vs alan..haha..spe hero nie?