May 22, 2014

BMJM_bab 9_edited version

BMJM 9

“Siti, ummi takda apa-apa kan?” Tanya Suzila sebaik sahabatnya itu habis bercakap dengan Wan Nabila di telefon. Sudah menjadi kemestian, dia suka berlamaan di bilik hostel gadis itu walaupun tiada perbincangan kumpulan dilakukan. Dia senang menghabiskan masa bersama Siti Shafura.

          “Ummi demam lagi.” jawab Siti Shafura perlahan sambil menyambung melipat kain yang baru diangkat.

             “Habis tu, macam mana? Awak nak pergi tengok ummi ke?” Tanya Suzila lagi prihatin.

        Siti Shafura menggeleng perlahan. “Kak Wan dah bagi ubat. Insya-Allah ummi takda apa-apa.” jawabnya lambat bersama senyuman tawar. Baru Ahad lepas dia melawat ummi bersama Izza Farhana dan bapa saudaranya sebelum dia pulang ke hostel.

Suzila menghela nafas. Simpati dengan apa yang menimpa sahabatnya itu. “Erm.., Siti, hujung minggu ni mama ajak awak balik rumah. Mama nak tengok ummi.” ujarnya kemudian apabila teringat akan pesanan mamanya semalam.

“Insya-Allah…” Siti Shafura membuat janji dalam hati yang berbelah bahagi. Dia risau pula akan dituduh cuba mengambil kesempatan terhadap keluarga angkatnya itu. Namun, untuk pulang ke rumah ibu saudaranya, dia agak keberatan sejak ketiadaan Izzat Fakhri. “Er.., Suzy, Abang Kimi balik rumah minggu ni?” Soalnya kemudian apabila teringat akan pesanan lelaki itu ketika menghantarnya pulang Jumaat lepas.

“Ala.., awak tak payahlah fikir pasal Abang Kimi tu Siti. Dia tu balik tak tentu masa. Mama dah bising, barulah nampak muka dia. Lagipun, tak silap dia belum habis engagement audit dia dari minggu lepas.” jawab Suzila sambil membelek telefon bimbitnya yang berbunyi. Dia menunjukkan isyarat untuk menjawab sebelum bingkas keluar dari bilik hostel sahabatnya itu.

Siti Shafura hanya memerhati bersama helaan nafas. Urusannya bersama Eshaq Hakimi masih menjadi rahsia.

“Siti.” Suzila kembali masuk dengan wajah yang ceria.

“Siapa yang call?”

“Ikmal. Dia ajak keluar makan.” Suzila tersengih-sengih.

Siti Shafura menggeleng. Faham benar dengan kebahagiaan di hati sahabatnya itu.

“Siti, saya nak balik bilik mandi. Saya tinggalkan handphone. Kalau ada sesiapa call, awak angkat aje okey? Lepas mandi, saya datang balik.” Suzila meletakkan telefon bimbit bersama sebuah buku yang dibawa bersama tadi sebelum terus beredar.

********
“Shaq, aku rasa ada baiknya kau settle problem kau dengan Si Jasmeen tu.” Suara Ikmal memeceah kesunyian sebaik kereta yang dipandu oleh Eshaq Hakimi meluncur laju meninggalkan kawasan kondo. “Nasib aku dah bagi tahu Uncle Ghan pasal dia semalam. Kalau tak, aku rasa dia dah jadi guard depan rumah kita.” sambungnya.

Disebabkan ternampak kelibat Jasmeen di tempat parkir tadi, mereka yang sama-sama tiba, terus tidak jadi naik ke rumah. Sebaik memarkirkan kereta sedikit jauh dari kebiasaannya, dia terus mendapatkan Eshaq Hakimi yang sedia menanti.

Problem aku dah lama settle dengan dia Mal. Otak dia tu yang aku rasa ada problem agaknya. Perempuan gila perasan cantik! Dia ingat aku hard up sangat dengan dia!” Kutuk Eshaq Hakimi selamba. Dia baru berangan ingin tidur sepuas-puasnya sebaik tiba tadi setelah berhari-hari bersekang mata menghadap segala jenis fail akaun klien. Ditambah pula dengan panggilan Julia yang tidak habis-habis mengganggu. Semuanya menambah tekanan yang sedia ada.

“Kau dah break dengan dia ke?” Ikmal tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku.

“Aku rasa tak ada lelaki yang tahan dengan perangai perempuan macam tu bro.” Eshaq Hakimi berkias.

“Kenapa? Bukan ke dah dekat tiga tahun kau orang couple? Kenapa baru sekarang kau tak tahan?”

Couple, tak bermakna aku wajib kahwin dengan dia kan?” Jawab Eshaq Hakimi sinis sambil memicit belakang tengkuk yang terasa tegang. Jelas benar garis keletihan di wajahnya.

Ikmal berkerut. Semakin tidak faham dengan perangai sahabatnya itu. “Habis tu, yang kau couple dengan dia selama ni tu apa? Bukan ke tujuan orang bercouple ni untuk kahwin?” Kening sebelah dijongketkan sambil menoleh. Bukan dia tidak tahu apa yang pernah berlaku dalam hidup Eshaq Hakimi selama ini. Kerana kecurangan seorang wanita, sahabatnya bertindak di luar kawalan. Menjadikan perepuan curang sebagai sasaran untuk mendapatkan pendapatan lebih walaupun kehidupan lelaki itu sememangnya sedia mewah.

“Kau silap bro. Tak ada istilah kahwin langsung antara aku dengan Jasmeen. Si Jasmeen tu aje yang perasan aku nak kahwin dengan dia. Perempuan macam tu nak jadi wife aku? Memang tak la bro. Jangan haraplah.” Eshaq Hakimi menarik senyum. Cukup sinis.

Ikmal pula menggelengkan kepala tanda kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh bakal abang iparnya itu. “Aku pelik dengan kau ni Shaq. Kalau kau tak nak kahwin dengan dia, buat apa kau sibuk-sibuk couple dengan dia? Sekarang dia nak tuntut janji kau. And.., aku dengan confidentnya, jamin, dia takkan mudah nak lepaskan kau macam tu aje..” balasnya sekadar mengingatkan.

“Pergi jahanamlah perempuan tu! Aku tak peduli dah Mal. Biarlah dia nak buat apa pun. Serabut kepala aku nak fikir pasal dia aje kau tahu. Problem aku dengan Si Julia tu pun tak habis lagi. Sekarang nak tambah problem dia pulak. Belum lagi tambah mama bising suruh aku balik vila selalu.” tingkah Eshaq Hakimi geram. Terasa membahang hatinya apabila memikirkan masalah-masalah yang membelenggu hidupnya kini. Semua kerana perempuan!

Ikmal menarik nafas panjang. Begitulah Eshaq Hakimi yang dikenali. Setakat ini, masih belum ada mana-mana wanita yang mampu menjinakkan hati yang sudah lama tertutup itu. Wanita yang didampingi oleh Eshaq Hakimi kini hanyalah semata-mata kerana duit. Sahabatnya itu lebih cintakan duit dari wanita-wanita yang cuba merebutkan hatinya.

“Erm.., pasal mama tu, aku tak boleh nak tolonglah beb. Memang patut pun kau kena selalu balik vila. Nak kata rumah kita jauh dengan vila, aku rasa tak sampai satu jam pun kau boleh sampai. Aku tengok papa kau tu tak berapa sihat sekarang ni.” balasnya lambat mengubah topik. Dia teringat pesan Tan Sri Kamil kepadanya supaya memujuk lelaki itu agar turut sama membantu syarikat. Tambahan pula syarikat baru sahaja menambah beberapa lagi stesyen minyak selain menjadi pembekal minyak utama kepada sebuah syarikat penerbangan.

“Aku tahu papa nak aku ganti tempat dia Mal. Sebab tu aku malas nak balik vila. Aku tak sedia lagi nak buat tu semua Mal. Aku selesa dengan apa yang aku buat sekarang ni. Lagipun, kau tahukan apa yang aku buat sekarang ni? Kalau aku masuk company papa, mesti aku jumpa ramai orang. Aku risau aku jumpa balik datin-datin yang pernah aku escort dulu. Takpun, entah-entah one of them kawan papa. Memang aku cari penyakitlah kalau aku cepat-cepat ganti tempat papa.” luah Eshaq Hakimi sedikit tenang berbanding tadi.

“Habis tu, bila lagi kau nak ganti tempat papa kau? Aku rasa masa ni yang paling sesuai kau ganti tempat papa kau Shaq. Kesian aku tengok dia.” Ikmal cuba menyusun ayat yang sesuai untuk memujuk lelaki itu dalam diam.

“Kau kan ada. Apa masalahnya?” balas Eshaq Hakimi mudah. Belum lagi terlintas di fikirannya untuk menjadi peneraju utama syarikat papanya. Dia gembira dengan kerja yang dilakukan kini walaupun ia sering mengundang tekanan.

“Hoi! Aku ni siapa? Kau ni agak-agaklah Shaq. Aku tolong setakat mana yang mampu ajelah. Nak tolong beria-ia sangat, nanti orang kata aku kipas tak mati bakal bapak mentua pulak.” jawab Ikmal bersama sengihan.

Eshaq Hakimi turut tersengih. “Nantilah Mal.. Aku tak sedia lagilah… Buat masa ni, kau ajelah yang boleh aku harapkan untuk tolong papa. Erm.., lagipun aku dah janji dengan papa kalau aku kahwin, baru aku masuk. Tapi disebabkan sekarang aku dah single, nampaknya kena tunggu lagilah..” balasnya dengan senyuman penuh makna. Dia masih lagi mampu mencipta alasan untuk tidak masuk ke syarikat papanya buat sementara waktu.

“Ahh! Kalau nak tunggu kau kahwin, entah bila. Agaknya sampai aku dah kahwin, ada anak dengan Suzy, kau tak kahwin lagi.” tingkah Ikmal yang cukup faham dengan perangai Eshaq Hakimi. Selagi boleh akan cuba mencari alasan untuk mengelakkan diri dari mengambil alih syarikat.

“Kahwinlah Mal. Aku tak kisah pun.” Selamba Eshaq Hakimi membalas. Hatinya sedikit pun tidak tercuit andai Suzila terlebih dahulu berumah tangga.

“Nanti kau jangan nak salahkan aku pulak kalau Suzila langkah bendul.” usik Ikmal diringi senyuman lebar.

“Bendul ke.., tunggul ke.., sikit pun aku tak kisahlah Mal.” Eshaq Hakimi tersenyum hambar. Memang buat masa itu dia langsung tiada perancangan untuk berkahwin.

“Ikut suka kaulah bro.” Ikmal terpaksa mengalah. Rancangan untuk memujuk Eshaq Hakimi agar menerajui syarikat memang tidak akan menemui kejayaan jika lelaki itu sudah meletakkan syarat. “Erm.., contract kau dengan Si Julia tu sampai bila?” sambungnya perihal Julia pula.  

“Hujung tahun ni.” jawab Eshaq Hakimi ringkas.

“Erm.., Julia ni last contract kan?” Ikmal menoleh lagi ke sisi. Sebagai sahabat, dia tidak mahu melihat Eshaq Hakimi terus hanyut dalam dunianya sendiri yang sudah jauh menyimpang. Risau dia akan menerima tempias yang sama memandangkan mereka sebumbung dan segala yang melibatkan Eshaq Hakimi memang tersemat kemas disimpan selama ini. Dia tidak mahu segala yang disimpan akan sampai ke pengetahuan keluarga bakal mentuanya. Mungkin dia akan dituduh bersubahat serta melakukan perkara yang sama.

“Kenapa kau tanya macam tu?” Eshaq Hakimi memulangkan soalan seraya menoleh sekilas. Perhatiannya masih pada pemanduan yang tiada hala tuju hanya kerana mengelak dari Jasmeen tadi.

“Aku pegang janji kau Shaq. Kau pernah kata dengan aku, yang kau nak tinggalkan semua kerja-kerja ni sebelum kau terima Julia dulu. Kau tak ingat?” Ikmal begitu berharap agar Eshaq Hakimi benar-benar berubah. Dia tidak sanggup lagi bersubahat dengan apa yang dilakukan oleh sahabatnya itu.

Eshaq Hakimi menghela nafas berat. Mengakui dalam diam. Memang dia ingat akan janjinya hampir tiga tahu lalu sebelum bersetuju untuk terikat dengan Julia. Dia sendiri mula tidak senang hati apabila berasakan segala gerak-gerinya seperti sedang diperhatikan. Mahu atau tidak dia perlu menghentikan semua sebelum ibu bapanya mengetahui kegiatannya yang sebenar. Dia tidak mahu melukakan hati orang yang disayangi apabila mendapat tahu apa yang dilakukan selama ini jauh menyimpang dari landasan yang sebenar. Sedar apa yang dilakukan selama ini juga telah menyebabkan dia semakin jauh dari tuntutan agama. Tikar sembahyang sudah lama ditinggalkan. Dia sendiri kurang pasti sama ada dia masih mampu atau tidak menunaikan tanggungjawab yang satu itu.

“Shaq.., aku harap kau dapat tunaikan janji kau tu. Aku harap sangat, kau tinggalkan semua yang kau buat selama ni Shaq.” tambah Ikmal perlahan lebih menenangkan.

Keluhan berat terzahir lagi di bibir Eshaq Hakimi sebaik mendengar kata-kata pengharapan daripada seorang sahabat baiknya. Lelaki itu sudah terlalu banyak membantunya selama ini. Segala rahsianya dijaga rapi.

“Shaq, kita singgah mana-mana solat dulu. Dah masuk waktu ni.” lanjut Ikmal lagi apabila terdengar sayup-sayup suara azan maghrib berkumandang.

Eshaq Hakimi mengilas jam di pergelangan. “Erm.., kau kata nak keluar makan dengan Suzy kan? Kau call dia, bagi tahu kita on the way. Kita jemput dia dulu. Lepas tu, kita terus pergi makan dekat kedai Faiq. Solat dekat sana.” balasnya lambat diiringi helaan berat.

Agak terusik hatinya apabila Ikmal menyebut tentang solat. Kecewa dengan diri sendiri kerana tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab yang satu itu disebabkan tidak yakin sama ada dapat mengingati setiap bacaan dalam solat lagi atau pun tidak. Namun jauh di sudut hati, teringin benar dia berteleku di tikar sejadah seperti mana yang pernah dilakukan dahulu.

Mata mengerling ke arah Ikmal yang sedang melekapkan telefon di tepi telinga. Sebentar kemudian, Ikmal mula bercakap. Dan saat nama Siti Shafura meniti bibir sahabatnya itu, laju dia menoleh. “Bagi aku cakap kejap.” ujarnya tanpa berfikir panjang dan Ikmal yang sedikit terpinga-pinga terus menyerahkan telefon tersebut.

“Kau siap sekali. Kita orang dah nak sampai.” ucap Eshaq Hakimi tegas sebelum talian diputuskan.

Ikmal memandang pelik. “Kenapa nak ajak budak tu sekali?” Soalnya bersama kerutan.

Eshaq Hakimi tidak membalas. Sebaliknya hanya senyuman tepi dibiaskan. Dia tidak punya alasan yang pasti. Namun, dia senang melihat wajah lembut Siti Shafura. Terasa tenang hatinya.

................

Suzila menyentuh tangan Siti Shafura yang terasa dingin di sisinya. Dipandang wajah tenang itu apabila sentuhannya berbalas. Dia terasa bersalah kerana meninggalkan telefon di bilik gadis itu tadi. Jika tidak, Siti Shafura tidak perlu terpaksa menyertai makan malam mereka. Dia tidak menyangka temu janjinya bersama Ikmal akan disertai oleh abangnya. Dan apabila Eshaq Hakimi bersuara, memang dia tidak mampu lagi untuk membantah.

“Siti, awak okey ke?” bisiknya tidak mahu didengari Eshaq Hakimi yang memandu.

Siti Shafura memaniskan senyum bersama anggukan.

“Tak payahlah nak mengumpat.” Suara Eshaq Hakimi memecah kesunyian menyebabkan Suzila dan Siti Shafura berpandangan seketika.

“Bila masa pulak mengumpat.” jawab Suzila sedikit geram. Sempat dia menghadiahkan jelingan apabila mata bertemu dengan mata abangnya di cermin pandang belakang.

Ikmal pula hanya mampu menggeleng melihat dua beradik itu.

“Aku nak belanja makan pun susah. Kalau guard hostel kau tak bagi masuk lambat nanti, biar aku yang jumpa dia.” Kata Eshaq Hakimi lagi yang sengaja dituju khas buat Siti Shafura apabila adiknya merungut-rungut apabila dia memaksa Siti Shafura menyertai mereka.

“Abang ni kan..” Siti Shafura segera memberi isyarat kepada Suzila agar sahabatnya itu tidak meneruskan kata. Tidak mahu ada perbalahan walaupun sedar kata-kata berbaur sindiran itu dituju khas buatnya. Mata dihalakan seketika ke cermin pandang belakang apabila perasan mata Eshaq Hakimi sedang merenungnya. Namun, cepat-cepat dia membuang pandang ke sisi. Getar jantung yang tidak lagi seirama sejak terpandang akan wajah lelaki itu tadi, sedaya upaya dikawal sebaiknya. Tidak mahu lelaki itu mengesannya.

“Sempat kita sampai sebelum pukul dua belas. Janganlah risau.” Ikmal bersuara demi meredakan ketegangan yang ada.

“Entah! Menggelabah!” Tambah Eshaq Hakimi selamba menyebabkan Suzila tahan hati. Bibir diketap rapat. Manakala Siti Shafura lebih tenang. Sedar akan hutang yang masih belum berbayar menyebabkan dia terpaksa akur dengan permintaan lelaki itu.

………………….

“Adik sayang tak nak keluar ke?” ujar Eshaq Hakimi apabila Ikmal dan Suzila sudah pun keluar dari kereta. Hanya gadis itu masih seperti teragak-agak untuk keluar.
           
           Siti Shafura menahan kalut hingga teraba-raba tangannya untuk membuka pintu kereta. Namun Eshaq Hakimi yang sedia menanti di luar, terus sahaja menarik pintu.

“Abang, apa lagi tu?” Suzila kembali mendapatkan kereta. Dia menyangka Siti Shafura sudah turut sama menurutinya tadi.

“Adik sayang ni, tak tahu nak bukak pintu kereta. Abang tolong bukakanlah.” jawab Eshaq Hakimi selamba selepas menutup semula pintu kereta dan terus mendapatkan Ikmal yang sedia menanti.

Suzila menjeling geram wajah selamba abangnya. “Siti, saya ingat awak dah keluar tadi. Awak okey ke? Abang saya buat apa tadi?” ujarnya kemudian sambil menarik lengan sahabatnya untuk beriringan masuk ke restoran sahabat Ikmal dan abangnya itu.

Siti Shafura melemparkan senyum pahit. “Err.., awak janganlah risau. Abang tak buat apa pun. Dia tolong bukakan pintu aje.” balasnya serba tidak kena. Berkali-kali dia beristighfar agar Allah menyabarkan hatinya lagi untuk menghadapi kerenah Eshaq Hakimi yang sukar dijangka.

Hey, masing-masing bawak calon isteri ke?” Sapa seorang lelaki yang sama tinggi dengan Eshaq Hakimi dan Ikmal di kaunter hadapan bersebelahan dengan pintu gerbang berukir kayu sebaik mereka tiba.

Ikmal dengan Eshaq Hakimi hanya tergelak-gelak. Manakala Suzila sudah mencebik dan Siti Shafura pula seperti langsung tidak terkesan dengan apa yang diucapkan oleh lelaki itu. Dekorasi restoran yang mesra alam itu lebih menarik perhatiannya.

“Banyaklah kau punya calon isteri. Ni ‘adik sayang’ baru aku la..” jawab Eshaq Hakimi sambil melirik ke wajah tenang Siti Shafura yang langsung tidak mengambil perhatian dari apa yang diperkatakan oleh mereka. Gadis itu seperti dalam dunianya sendiri.

So cute bro.” usik lelaki itu lagi sambil menepuk bahu Eshaq Hakimi yang hanya tersengih.

Come, semua dah sedia. Tinggal makan, lepas tu bayar aje..” sambung lelaki itu lagi mengusik sambil menunjuk ke arah satu sudut restoren yang memang sudah ditempah oleh Ikmal seperti mana yang diminta oleh Eshaq Hakimi ketika dalam perjalanan tadi.

Suzila hanya menuruti langkah tiga lelaki di hadapannya itu sambil menarik lengan Siti Shafura memandangkan dia sendiri sudah mengenali sahabat abangnya itu. Faiq Faisal merupakan seorang chef muda yang sudah mempunyai restoren sendiri. Pada waktu siang pula bekerja sebagai ketua chef di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

“Duduk dulu. Nanti aku suruh budak-budak aku sediakan semua.” kata Faiq lagi sebelum meninggalkan dua pasangan di hadapannya itu.

“Jom, solat Shaq. Dah dekat pukul lapan ni.” ujar Ikmal sebaik kelibat Faiq menjauh.

“Kau pergi dulu, aku nak pergi toilet kejap.” balas Eshaq Hakimi beralasan. Itu sahaja yang mampu difikirkan untuk menolak pelawaan Ikmal.

“Aku solat dululah.” putus Ikmal terus sebelum berlalu. Dia sedia faham akan keadaan sahabatnya itu.

“Kau nak mengelat eyh bang? Kalau papa tahu..” Suzila yang sudah melabuhkan duduk sengaja menduga.

“Kalau papa tahu, kaulah yang cakap.” tingkah Eshaq Hakimi sebelum beredar. Namun langkahnya terhenti di belakang Siti Shafura yang leka memerhati ikan kecil berwarna warni di akuarium berhampiran. Datang idea nakalnya mahu mengusik.

“Adik sayang, tak pernah tengok ikan ke?” Bisiknya sebelum terus berlalu.

Siti Shafura tersentak. Laju dia menoleh namun hanya belakang tubuh Eshaq Hakimi sahaja yang kelihatan sebelum menghilang. Hati yang tenang kembali bergetar. Perasaan halus yang pernah hadir sebelum ini, kembali menyapa menyebabkan dia segera beristighfar.

Girls!” Faiq kembali bersama hidangan yang sudah dipesan dan Siti Shafura hanya memerhati.

“Abang Faiq, ramai orang malam ni..” Suzila berbasa-basi.

“Alhamdulillah..” Faiq tersenyum. “Ikmal dengan Shaq mana?”

“Abang Ikmal solat. Abang Shaq, tu..” Suzila memuncungkan bibir ke arah Eshaq Hakimi yang kembali.

“Faiq, nasi aku?” tanya Eshaq Hakimi yang terus melabuhkan duduk.

“Ada. Kejap lagi budak aku hantar. Erm.., kalau ada nak order apa-apa lagi, bagi tahu.” balas Faiq sebelum beredar.

“Siti, awak tak kisah kan semua ni?” Soal Suzila sambil memandang ke arah sahabatnya yang baru melabuhkan duduk di hadapan Eshaq Hakimi.

“Alhamdulillah..” Siti Shafura melemparkan senyum. Mujur dia bukanlah seorang yang memilih. Apa sahaja jenis makanan, dia akan makan selagi makanan itu memang halal untuk dimakan. Tidak akan merungut jika suatu makanan itu tidak kena dengan seleranya. Ada pelbagai jenis lauk yang terhidang termasuklah salah satu makanan kegemaran ‘abang angkatnya’ iaitu daging masak kicap.

“Dah siap pun.” Ikmal tiba serentak bersama seorang gadis yang membawa sepinggan nasi seperti mana yang diminta oleh Eshaq Hakimi tadi.

Ikmal terus mengangkat tangan untuk membaca doa sebelum masing-masing mula makan. Namun tidak pada Siti Shafura. Ada persoalan yang berlegar-legar dalam kepalanya pada permintaan Eshaq Hakimi tadi memadangkan lelaki itu meminta nasi yang lain. Mata ralit memandang lelaki yang duduk di hadapannya itu.

“Siti, awak makanlah. Jangan malu-malu.” ujar Suzila mempelawa Siti Shafura yang masih leka memerhati. Dia tahu sahabatnya itu sedikit kekok dengan abangnya yang beriak selamba.

“Jangan risau.., ni dari duit halal aku..” sahut Eshaq Hakimi tiba-tiba. Wajah terkebil-kebil di hadapannya dipandang sekilas.

Siti Shafura sedikit tersentak. Bibir tersenyum kelat sebelum menundukkan wajah. Perasaan bersalah menyapa dengan perbuatannya sendiri hingga menyebabkan lelaki itu berkata sedemikian rupa. Perlahan-lahan dia menyuap nasi ke mulut menggunakan tangan tidak seperti tiga yang lain.

“Sedap ke makan nasi kosong?” Tegur Eshaq Hakimi selamba menyebabkan kunyahan Siti Shafura terhenti. Wajah ditegakkan seketika sebelum ditundukkan semula. Kata-kata berbaur sindiran itu terpaksa ditelan kesat.

“Siti, awak janganlah malu-malu.” celah Suzila sambil menyudu masuk lauk ayam masak merah ke dalam pinggan sahabatnya itu bersama jelingan dihadiahkan buat abangnya.

 “Terima kasih Suzy..” ucap Siti Shafura perlahan.

“Siti, awak makan aje. Awak tak payah dengar apa yang abang cakap.” pesan Suzila yang perasan mata abangnya begitu kerap singgah ke wajah gadis itu.

Eshaq Hakimi mencebik. “Eleh.., gurau sikit pun tak boleh.” sahutnya selamba.

“Alah! Gurau abang sekarang, boleh buat semua orang tercekik tahu tak?” Tingkah Suzila geram.

Ikmal yang diam sejak tadi hanya mampu menggeleng melihat dua beradik itu.

“Eleh! Adik sayang abang ni tak kata apa pun..” balas Eshaq Hakimi tidak mahu mengalah. Saat itu sempat matanya singgah ke wajah lembut Siti Shafura yang langsung tidak beriak. Dilihat gadis itu sedang leka mengasingkan biji cili yang terdapat dalam lauk ayam masak merah di dalam pinggan.

Suzila ketap bibir. Geram dengan kata-kata abangnya. “Siti, awak tak payah layan abang ni. Awak makan aje!” Ujarnya lagi kepada Siti Shafura yang leka dengan dunianya sendiri. Sedikit pun tidak menghiraukan apa yang mereka perkatakan. “Siti, awak dengar tak apa saya cakap?” Lanjutnya sambil menyentuh lengan gadis itu apabila katanya langsung tidak berbalas.

“Er.., awak cakap apa?” Siti Shafura bertanya menyebabkan Ikmal dan Eshaq Hakimi terus menghamburkan tawa. Gadis itu sedikit terpinga-pinga.

“Siti, awak tak dengar ke apa yang saya cakap dengan Abang Kimi tadi?” Soal Suzila dengan wajah yang mula kelat. Malu ditertawakan oleh dua lelaki di hadapannya itu.

Sorry Suzy…” Siti Shafura serba salah.

Suzila membungkam. Malas lagi mahu membalas.

“Hai… Wujud lagi orang macam ‘adikku sayang’ ni kan?” ulas Eshaq Hakimi bersama senyuman nakal terukir seraya memandang wajah di hadapannya yang mula memerah.

Suzila sekali lagi ketap bibir geram. Selalu dia akan menjadi mangsa usikan abangnya dan Ikmal. Tetapi kali ini, sahabatnya lebih teruk diusik. ‘Kenapalah awak baik sangat Siti!’ bebelnya dalam hati. Siti Shafura seperti langsung tidak terkesan.

“Sudahlah Shaq. Kau ni, tak habis-habis dari tadi nak usik Siti.” sampuk Ikmal pula yang perasan perubahan riak wajah dua gadis di hadapannya itu. Siti Shafura lebih-lebih lagi.

Siti Shafura tetap mendiamkan diri. Mata hanya menekur nasi di pinggan. Tidak berani lagi untuk diangkat. Zikrullah jugalah menjadi peneman dan menenteramkan hati.

Meja makan sepi dari suara Suzila dan Siti Shafura. Masing-masing leka menikmati makanan yang terhidang. Cuma Eshaq Hakimi dan Ikmal sahaja yang berbual entah apa tanpa dua gadis itu fahami.

“Suzy, tolong…” ujar Eshaq Hakimi tiba-tiba sambil menghulurkan beberapa ekor udang yang masih berkulit. Memang sudah menjadi rutin Suzila akan membuangkan kulit udang buatnya apabila makan di luar. Tambahan pula masakan yang berunsurkan udang merupakan salah satu makanan kegemaran adiknya.

“Malas! Buat sendiri!” Jawab Suzila selamba. Sengaja tunjuk protes.

“Ala… Abang dah belanja, tolonglah.., please..” pujuk Eshaq Hakimi yang memang malas mahu membuang kulit udang itu sendiri. Kebiasaannya, lauk itu hanya akan dipesan jika Suzila ada makan bersamanya.

Bro, buanglah sendiri. Macam takda tangan pulak kau.” celah Ikmal yang cukup faham dengan tabiat sahabatnya yang satu itu. Kadang-kadang dia sendiri menjadi mangsa jika lelaki itu teringin makan udang.

“Aku malaslah nak pegang..” Eshaq Hakimi sengaja beralasan sambil mata terhala ke wajah Siti Shafura yang dari tadi hanya menunduk. Datang idea nakal mahu mengusik gadis itu. “Erm… Adik sayang, apa kata malam ni adik sayang yang buatkan untuk abang sayang hm?” tuturnya lalu meletakkan beberapa ekor udang ke dalam pinggan Siti Shafura yang hampir kosong.

Siti Shafura sedikit tersentak. Sepasang mata bundarnya beradu dengan mata Eshaq Hakimi yang sedang tersengih sebelum dihalakan ke arah Suzila.

“Mengada betul abang ni! Macamlah tak boleh buat sendiri.” gerutu Suzila geram kerana sahabatnya itu pula yang menjadi mangsa.

“Habis tu, dah takda orang nak tolong… Adik sayang ni aje yang ada.” jawab Eshaq Hakimi tanpa rasa bersalah.

“Biarlah Suzy buat.” Suzila terpaksa mengalah. Dia tidak mahu sahabatnya itu dibuli oleh Eshaq Hakimi sesuka hati.

“Er.., Suzy, takpa.. Saya boleh buat. Saya pun dah habis makan..” celah Siti Shafura cepat. Dia yakin itu salah satu ‘ganti rugi’ yang harus dibayar kepada Eshaq Hakimi.

“Okey, good! Macam ni la nak jadi adik sayang abang..” sahut Eshaq Hakimi dengan sengihan yang semakin melebar. Dia yakin gadis di hadapannya itu faham akan makna renungannya tadi.

Ikmal sudah menggelengkan kepala beberapa kali melihat perangai Eshaq Hakimi yang selalunya memang pelik.

“Awak okey ke Siti?” Tanya Suzila serba salah.

“Okey, bukan susah pun.” jawab Siti Shafura ikhlas dengan senyuman manis terukir. Dia tidak mahu ada perbalahan pula di situ hanya kerana udang. Tanpa menunggu lama dia terus melakukan seperti yang dikehendaki.

Eshaq Hakimi yang setia menanti dengan pandangan mata tidak lepas dari wajah Siti Shafura, sedikit terusik apabila melihat senyuman yang terukir di bibir gadis itu tadi.

“Er.., abang..” panggil Siti Shafura perlahan apabila beberapa ekor udang yang diletakkan di dalam pinggannya tadi sudah pun dibuang kulit.

Bro! Kau tak dengar ke apa?” Tegur Ikmal sambil menyiku lengan Eshaq Hakimi yang tidak berkelip memandang Siti Shafura.

“Err.., apa?” Eshaq Hakimi sedikit kalut. Mata dialihkan ke wajah Ikmal.

Suzila sembunyi senyum. Dia perasan apa yang dilakukan oleh abangnya tadi.

“Abang, dah siap.” Siti Shafura menolak pinggannya tanpa memandang wajah Eshaq Hakimi. Terasa meremang bulu roma apabila menerima renungan lelaki itu tadi hingga tidak tentu hala irama jantungnya.

“Terima kasih, adikku sayang.” Eshaq Hakimi sedaya upaya beriak selamba bagi menyembunyikan ketidakseimbangan hati yang mula berbisik entah apa-apa. Ada debar halus yang mula menyapa dada. ‘Shaq, henti-hentikanlah…’ Satu suara bergema dalam hatinya sendiri.

Siti Shafura hanya membalas dengan senyuman nipis. Serba tidak kena jadinya apabila berhadapan dengan Eshaq Hakimi begitu.

Suzila pula sudah melemparkan senyuman mengejek. Begitu mudah dia mengesan riak serba tidak kena pada wajah abangnya itu.


4 comments:

kak edah said...

Yes arsha suka watak mereka berempat rasa harnoni aje.usik2 bawa bahagia

Anonymous said...

Hd : wahhhh ada Faiq .... Awra x de ... hihihihi

Unknown said...

suka sesangat bila shaq asyik usik siti....more n3 please....

Anonymous said...

Yippi ada juga hari ini cepat2lah sambung SUka mereka ber4 sewit gitu