Dec 30, 2013

AWRA_bab 15

Assalamualaikum.

Terima kasih kepada mereka yang sudah pun mendapatkan TDK versi cetak. Alhamdulillah. Feedback anda amatlah saya hargai.

............

AWRA 15

“Kau, kalau datang sini aje muka nak ketat dah kenapa? Aku tak suruh pun kau bayar kan?” Seperti biasa Firdaus akan menyakat Awra walaupun hubungan mereka masih lagi dingin hanya kerana perselisihan lalu.

Awra menjuihkan bibir seperti biasa juga. Malas mahu membalas mahu pun menokok kerana ia hanya akan menambah kekeruhan yang ada.

“Awra..” Shukor pula menegur membuatkan dia terus menarik senyum paksa.

“Memang dekat sini yang paling sedap  ikan ke patin masak tempoyak tu? Mak dah tak pandai masak eyh?” Sengaja dia menduga ahli keluarganya yang cukup meminati masakan tersebut.

“Ha’ah Awra.. Mak ni dah tak pandai masak dah..” Faridah yang duduk di sisi menyahut.

Awra tersengih. Sempat dia mengangkat ibu jarinya ke arah pasangan kembar dan abangnya kerana yakin adik-beradiknya itu dengar akan kata-kata ibunya sebentar tadi.

“Bukan tak sedap.. Dah ada orang nak belanja, apa salahnya. Tak payah awak susah-susah masak Idah..” Balas Shukor pula bersama senyuman. Mengambil hati.

“Eleh abah.. Saja nak beli jiwalah tu.” Awra menjadi batu api pula.

“Diamlah Angah. Sibuk aje. Angah makan ajelah nasi goreng kampung Angah tu nanti. Macamlah takda lauk lain Angah nak makan kan? Nasi goreng yang Angah boleh masak sendiri tu pun, Angah order.” Afza mencelah.

Awra menjegilkan mata. Tersindir dengan kata-kata adiknya itu. ‘Nasib baik dekat luar.. Kalau dekat rumah, memang aku dah sekeh kepala dia ni..’ Gerutunya dalam hati. Geram melihat Afza yang kerap benar mencari hal dengannya.

“Tak nampak pulak Faiq dari tadi.. Dia memang takda ke Daus?” Faridah tiba-tiba bertanya sekali gus menamatkan topik tadi.

Selepas Faiq pengsan di rumahnya sebulan lalu, dia tidak lagi bertemu dengan anak muda itu. Hanya khabarnya sahaja yang diterima apabila Faiq ada menghubungi suaminya.

“Ada mak. Dia kata kejap lagi dia datang. Ada function dekat hotel katanya. Balik lambat hari ni.” Jawab Firdaus sambil mengerling ke arah Awra yang duduk di hadapannya. Dia perasan wajah gadis itu mula serba tidak kena. Malah sejak masuk ke restoren itu lagi Awra mula gelisah.

“Eh, yang kau cakap fasal Faiq, kau pandang muka aku kenapa bang? Muka aku ada macam muka Faiq ke?” Ujar Awra geram sambil menahan debar di dada. Melihat sengihan yang terbentuk di bibir nipis abangnya itu sahaja dia sudah dapat meneka. Pasangan kembar di sisinya itu juga sudah meletuskan tawa.

Sudah lama dia tidak bertemu dengan Faiq selepas peristiwa lalu walaupun terasa lelaki itu begitu hampir dengannya. Kerap bertemu dengan Faidh menyebabkan bayang lelaki itu tidak pernah padam dalam kepalanya. Sentiasa mengekori ke mana sahaja langkahnya.

“Abang, sudahlah tu.. Makanan pun dah sampai tu..” celah Athirah yang lebih banyak menjadi pemerhati sejak tadi.

“Tu Abang Faiq!” Alya tiba-tiba bersuara sambil menunjuk ke arah pintu utama restoran. Masing-masing memandang ke arah yang sama kecuali Awra. Matanya langsung tidak diangkat. Dalam debar yang terkepung, dia cuba beriak selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cuba menidakkan kehadiran seorang lelaki yang terlalu ‘dekat’ dalam hidupnya kini.

“Assalamualaikum semua.” Ramah Faiq menyapa sebaik tiba di meja yang diduduki keluarga itu dan hampir serentak pula mereka menjawab salamnya. Cuma seorang gadis yang langsung tidak menoleh itu sahaja kelihatan seperti tidak menghiraukan kehadirannya.

“Sibuk sangat ke Faiq? Rasa macam lama sangat makcik tak jumpa kamu. Macam mana? Sihat?” Faridah melemparkan senyum ke arah anak muda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu.

“Alhamdulillah makcik. Sihat macam biasa. Cuma sibuk sikit makcik. Sekarang kan dah cuti sekolah, memang macam-macam function dekat hotel tu. Wedding lagi..” Cerita Faiq senang. Selebihnya dia mahu Awra tahu yang dia agak sibuk sebaik sembuh dari demam. Langsung dia tidak punya masa melancarkan usaha untuk memikat gadis yang bakal dijadikan suri hidupnya itu. Terpaksa dia mendahulukan kerja yang sedang menanti.

“Kamu dah makan Faiq? Kalau belum, jom makan sekali.” Mesra Shukor mempelawa pula.

“Memang belum makan ni.. Tadi tak sempat makan dari tengah hari tadi pakcik. Tapi tak mengganggu ke nanti?” Faiq berbahasa memandangkan gadis pilihan hati masih tidak ambil peduli akan kehadirannya di situ. Menoleh pun tidak membuatkan hatinya sedikit geram.

“Mengganggu apa pulak kau ni Faiq. Macam tak biasalah pulak.” Sahut Firdaus sambil mata mengerling ke arah Awra. Kaki di bawah meja pula sudah menolak kaki gadis itu yang seperti leka dengan dunianya sendiri.

Awra angkat kepala. Berkerut keningnya memandang wajah Firdaus. ‘Main kaki pulak..’ marahnya dalam hati. Tahu Firdaus sengaja mahu menarik perhatiannya. Bukan dia tidak dengar apa yang sedang mereka bualkan.

“Jomlah Faiq makan sekali. Kamu duduk sebelah Awra sana tu..” Sebaik habis Shukor menutur kata, anak keduanya itu terus tersedak-sedak. Tersembur nasi goreng yang dikunyah hampir mengenai wajah Firdaus di hadapannya.

Faiq tahan gelak. “Pakcik makanlah dulu, saya nak masuk kejap. Nanti saya datang balik.” Ujarnya sebelum terus beredar. Tidak mampu bertahan lama di situ melihat wajah Awra yang merah padam. Risau tawanya pecah.

Firdaus bersama pasangan kembar di situ sudah pun melepaskan tawa. Hinggakan Athirah juga tersenyum-senyum cuba mengawal tawanya terhambur. “Awra..” Dia menghulurkan beberapa helai tisu kepada adik iparnya itu.

Thanks kak.” Awra memandang geram satu persatu wajah adik-beradiknya di situ.

“Kamu kenapa Awra?” Shukor menegur pura-pura tidak tahu kenapa anak gadisnya itu boleh tersedak.

“Abah tu la.. Banyak lagi meja kosong dekat sini, kenapa abang ajak dia makan sekali dengan kita?” Selamba Awra menjawab menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Biarlah. Kerusi sebelah kamu tu pun kosong. Apa salahnya.” Selamba juga Shukor menjawab sebelum dia mula menyuap nasi.

Faridah yang memerhati sudah menggeleng. “Kamu berdua, jangan nak gelak-gelak. Nanti ada yang kena cubit, mak tak tahu.” Tegurnya pada pasangan kembar yang tidak henti ketawa lagi.

Awra ketap bibir. Terasa sakit benar hatinya saat itu. Dia terus bingkas kerana mahu mencuci mulut yang dirasakan agak comot di tandas.

“Sombongnya kau kan..” Teguran dari suara garau yang tiba-tiba itu menyebabkan langkah kakinya terhenti. Laju wajahnya diangkat mencari empunya suara. Debar di hati kembali bergema. Bibir diketap rapat.

“Kalau aku sombong pun kenapa? Kau sentap ke?” Selamba dia menjawab bersama senyuman tepi. Pura-pura tenang di hadapan lelaki itu.

Faiq juga menguntum senyum. Namun lebih manis bergula dari biasa sebelum menghampiri gadis itu. “Hati aku sentap lebih dari biasa tahu tak..” Bisiknya lembut membuatkan gadis itu berundur setapak ke belakang. Senyumnya dilebarkan. Lucu melihat wajah Awra yang mula serba tidak kena. ‘Berlagak sangat kau dengan aku tadi kan!’ Gerutunya geram.

“Ada aku kisah hati kau nak sentap. Huh!” Awra merengus. Laju dia mengatur langkah ke pintu tandas. Tidak mahu lagi berlamaan di situ. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila lengannya dipaut. “Kau nak aku jerit ke?” Ugutnya geram apabila disentuh sesuka hati begitu walaupun masih berlapik.

“Kalau berani, jeritlah. Jangan salahkan aku kalau ada yang kena cium depan toilet ni nanti.” Cabar Faiq yang semakin sengaja memegang kejap lengan berlapik baju kurung itu.

Awra menjegilkan mata. “Kau nak apa sebenarnya ni?!” Marahnya tertahan. Terpaksa mengalah. Cuba ditarik lengannya tetapi gagal.

“Aku nak kau.” Selamba Faiq menjawab dengan kening dijungkitkan beberapa kali.

Awra tersenyum sinis. “Lelaki macam kau ni nakkan aku?” Sama sinis ayat yang meniti bibirnya. “Lelaki yang nakkan aku, takkan sentuh aku sesuka hati sebelum jadi haknya lah!” Tambahnya sambil menentang tajam renungan lembut di hadapannya itu.

“Okey!” Faiq terus melepaskan lengan gadis itu.

Awra merengus lagi. Diurut perlahan lengannya yang terasa sedikit sengal. “Kau memang suka nak sakitkan hati aku kan?” Gumam Awra tertahan dengan genangan air mata. Entah kenapa ada sebak tiba-tiba bertandang pula.

“Aku bukan suka-suka nak sakitkan hati kau. Kau tu, berlagak sangat. Kau tahu aku sampai tadi. Tapi kau langsung tak pandang muka aku. Dah la sebulan lebih aku tak jumpa kau. Aku call, langsung kau tak pernah nak jawab. Teruk sangat ke aku sampai kau langsung tak sudi berkawan pun dengan aku?” Luah Faiq akan rasa hati yang ditanggung lebih sebulan tidak bertemu dengan gadis itu.

“Tapi tak payahlah sampai nak pegang-pegang aku! Kau cakap elok-elok tak boleh ke?!” Tingkah Awra dengan air mata yang hampir gugur.

See.. Siapa yang tak cakap elok-elok sekarang ni?” Balas Faiq yang mula dihimpit rasa bersalah akan perbuatannya tadi. Bukan dia tidak perasan sepasang mata di hadapannya itu mula berkaca-kaca.

Awra terdiam. Wajahnya dipalingkan ke arah lain apabila hujung jarinya mula menyeka air jernih yang mula tumpah. “Kau pergilah cari perempuan lain Faiq yang boleh layan semua perangai gila kau ni.” Ucapnya perlahan sebelum terus masuk ke dalam tandas. Dia kini mula keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaan benci yang ada dalam hatinya selama ini kian pudar kerana dipadamkan oleh rasa kasih yang mula bercambah tanpa dipaksa.

Sementara Faiq yang masih tercegat di situ sudah berkali-kali menghempas nafas berat. Kesal bertimpa-timpa. Sedar yang dia terlalu memaksa hingga menyebabkan Awra masih tidak mampu menerimanya.

Seketika kemudian, tubuh gadis itu muncul kembali tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.

“Awra..” Dia memanggil selembut mungkin.

Awra mematikan langkah. “Kau nak apa lagi?” Soalnya tidak bernada tanpa berpaling.

“Aku tetap nak jadikan kau hak aku yang sah.” Berani dan cukup yakin Faiq meluahkannya.

“Apa-apa ajelah.” Awra jawab tanpa perasaan. Malas lagi bertingkah dengan lelaki itu. Terus sahaja kakinya melangkah meninggalkan Faiq di situ.
……….
“Kamu pun nak balik Faiq?” Tegur Shukor apabila mereka sama-sama ke tempat letak kereta.

“Ha’ah pakcik. Rasa penat sangat hari ni.” Jawab Faiq senang sebelum dia membuka pintu kereta untuk menghidupkan enjin. Kebetulan pula dia memakir kereta di sebelah kereta lelaki itu.

“Faiq, pakcik baru teringat. Sabtu depan, jemput datang rumah. Pakcik ada buat kenduri arwah dengan doa selamat sikit.” Ujar Shukor sebaik dia turut menghidupkan enjin kereta.

“Insya-Allah pakcik. Hari tu Daus ada cakap jugak.” Balas Faiq sambil matanya mencuri pandang ke wajah Awra yang membelakangkannya sedang bersandar di tepi kereta sementara menanti ibu dan pasangan kembar ke tandas tadi.

“Nanti kamu jemput sekali kembar kamu tu.” Tambah Shukor lagi sebelum membuka pintu kereta untuk menghidupkan enjin kereta.

“Insya-Allah pakcik.” Ringkas Faiq menjawab. Matanya masih tidak lepas mencari wajah si pujaan hati.
Awra saat itu pula terus mengambil peluang untuk meloloskan diri.

“Awra kejap.” Faiq sempat menahan membuatkan gadis itu menoleh. Kerutan di wajah dilemparkan.

Faiq pula terus mendapatkan Shukor. “Pakcik, saya nak cakap dengan Awra kejap.” Dia memberanikan diri meminta izin sementara pasangan kembar dan Faridah masih belum kembali. Firdaus dan Athirah juga masih di dalam kedai menanti di sana.

“Kejap aje.” Balas Shukor bersama senyuman sebelum masuk ke dalam kereta.

Awra ketap bibir. ‘Apa abah ni!’ gumamnya tidak puas hati. Terlalu mudah abahnya memberi kebenaran.

Faiq terus mengeluarkan beg kertas warna biru tua dari dalam keretanya sebelum mendapatkan Awra yang kembali bersandar di badan kereta. “Kau nak cakap apa lagi ni?” Soalnya tertahan tidak mahu apa yang dibualkan bersama lelaki itu didengari abahnya.

“Ni.. Aku nak ganti balik handphone kau yang aku dah jatuhkan dulu tu.” Faiq menghulurkan beg kertas yang dipegang.

Bertambah kerutan di wajah Awra. “Nak buat apa? Aku tak suruh ganti pun. Aku dah ada handphone la.” Balasnya tidak senang. Risau akan tanggapan ahli keluarga jika dia menerima pemberian daripada lelaki yang langsung tiada kena mengena dalam hidupnya. Dan kala itu, dia yakin abahnya sedar yang sedang dilakukan oleh Faiq.

“Kau sekarang pakai handphone lama abah kau kan? Ni memang aku beli untuk kau sebab nak ganti yang hancur hari tu.” Faiq cuba memujuk.

“Tak naklah!” Awra tetap menolak. Tiada sebab dia mahu menerima pemberian itu. Tambahan pula apabila melihat jenama yang terpampang pada beg kertas tersebut, dia yakin ia bukan sesuatu yang setaraf dengan telefon bimbit lamanya.

“Awra please…” Faiq tetap memujuk.

“Faiq..” Firdaus muncul bersama Athirah. Diikuti dengan Faridah serta pasangan kembar.

Fuyoo.. Ada orang dapat handphone baru..” Cepat sahaja Afza mengusik. Alya di sisinya sudah tersengih-sengih.

Awra ketap bibir. Sememangnya sudah dijangka reaksi adiknya yang seorang itu. “Kau simpanlah! Aku tak nak!” Ucapnya dengan wajah yang masam mencuka sebelum terus sahaja masuk ke dalam kereta.

Faridah yang memerhati keadaan itu, menggeleng. Begitu juga dengan Athirah dan Firdaus.

“Faiq, makcik balik dulu.” Ucap Faridah sebelum masuk ke dalam kereta.

Faiq hanya tersengih kelat bersama anggukan kecil.

Shukor pula menurunkan cermin tingkap. “Faiq.” Dia memanggil lelaki yang masih berdiri tercegat di tepi keretanya.

Faiq merapati.

“Pakcik balik dulu..” Ucap Shukor bersama senyuman penuh makna di bibir tuanya. Tangan menyambut salam anak muda itu seadanya. “Assalamualaikum.” Tambahnya sebelum mula memandu.

“Waalaikumussalam.” Faiq mengangkat tangan bersama sengihan yang sama. Terasa malu akan apa yang berlaku sebentar tadi. Begitu mudah Awra menolak.

“Abang!” Afza masih ada di situ bersama Athirah dan Firdaus. Manakala Alya menaiki kereta yang sama dengan Awra tadi.

“Angah Jaja memang tak suka eyh kalau orang bagi hadiah pada dia?” Soal Faiq pada gadis sunti di sisinya itu.

Afza tergelak. “Dia memang pelik sikit bang. Susah nak terima kalau tak ada sebab.” Beritahu Afza akan perangai kakaknya yang seorang itu.

Faiq menoleh ke wajah Firdaus yang tersengih sejak tadi di sisinya.

“Kau, lain kali kalau nak buat satu benda, tanya kita orang dulu. Jangan pakai buat aje. Kan dah malu..” Ujar Firdaus diiringi tawa. Dia menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu.

Faiq garu kepalanya yang tidak gatal. Agak pijar juga wajahnya saat itu.

“Entah abang ni. Kelakar ajelah.” Tambah Afza pula sebelum masuk ke dalam kereta abangnya.

Athirah yang memerhati sejak tadi, hanya tersenyum. Lucu melihat apa yang baru sahaja berlaku.

“Okeylah bro. Dah lewat ni. Aku nak balik. Ada masa jumpa lagi. Apa-apa hal, call aje aku.” Ujar Firdaus mahu beransur.

“Daus, kau tolong aku bagi handphone ni pada Awra boleh? Please.” Tanpa malu dia memohon bantuan lelaki itu pula.

Sorrylah weyh..” Firdaus angkat dua tangannya tanda menolak.

“Alah.. Kau aje yang boleh tolong aku Daus.” Faiq masih memujuk.

“La… Kau dengar apa yang Jaja cakap tadi kan?” Firdaus mengingatkan. Dia sendiri cukup faham dengan adiknya yang seorang itu. Malah abahnya juga sering mengingatkan jangan terlalu mudah menerima pemberian orang apatah lagi yang tidak punya alasan cukup kukuh.

Faiq melepaskan keluhan. Hampa hatinya apabila pemberiannya ditolak begitu sahaja.

“Okeylah weyh. Aku balik dulu.” Firdaus menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Daus..” Faiq masih ingin mencuba.

“Banyak lagi cara lain kau boleh rompak hati adik aku tu.” Balas Firdaus seraya menepuk beberapa kali bahu Faiq sebelum dia masuk ke dalam keretanya.

Faiq menarik senyum payau. Terpaksa dia mengalah lagi buat masa ini. Dia cuba menimbal balik baik buruk perbuatannya sebentar tadi.
……………..
+ Sampai hati kau tolak tadi. Malu aku.. :(

Awra mengerutkan dahi sewaktu membaca sebaris ayat daripada Faiq. “Tak dapat call, kau hantar mesej pulak!” rungutnya sendiri. Tiada hati mahu membalas, telefon bimbit dilempar ke tengah katil sebelum dia ke almari pakaian. Mahu mengeluarkan kain tudung yang akan dipakai esok. Dia sudah berjanji dengan sahabatnya untuk ke Mid Valley. Mahu bertapa di MPH katanya.

Baru sahaja tangan ingin mencapai blaus warna hitam, telefon yang dilemparkan tadi mengeluarkan bunyi. Segera dia mendapatkannya kembali.

+ Kau tak suka eyh S4 tu? Aku tukar yang lain ya? Kau cakap aje nak handphone apa, aku cari.

“Dia ni dah kenapa? Aku mintak yang bukan-bukan nanti, baru kau tahu!” Rungutnya lagi apabila membaca SMS daripada orang yang sama. Serentak itu jemari runcingnya bermain di papan kekunci.

+ Kau tak faham bahasa Melayu eyh? Kau nak aku cakap bahasa apa? Jawa? Baru kau nak faham. Kau tak nampak ke dah malam ni? Dah la mesej orang tak bagi salam dulu. Pakai terjah aje. Fius otak kau yang terbakar hari tu, belum betul lagi ke?

Panjang lebar dia membalas. Geram dengan Faiq yang tidak faham apa yang diperkatakannya tadi.

+ Kau tu.. Aku Cuma nak ganti handphone kau yang dah rosak tu aje. Bukan suruh kau bayar pun.

Awra ketap bibir rapat membaca balasan yang diterima. Dengan darah panas yang mula naik ke kepala, dia menekan kuat papan kekunci telefon nokia 6380 itu.

+ Ada aku suruh kau beli ke? Tak ada kan? OI, lain kali kau jangan nak pandai-pandai! Aku tak suka. Elok kau sedekah aje phone tu pada yang lebih memerlukan!

+ OI? Apa tu? Oi ke? Or O+I????

+ OLEH ITU la! Tu pun kau tak tahu ke?!

Faliq menghamburkan tawa sebaik membaca balasan dari gadis itu. Lucu benar dirasakan singkatan perkataan yang belum pernah digunakan dalam seumur hidupnya.

+ My dear, biasa orang guna FYI, OMG, ASAP.. Belum pernah lagi aku guna OI. OLEH ITU. Aku ingat, kau panggil aku oiii tadi. :P

Tidak henti lagi tawanya sebaik menekan butang send hinggalah tawanya reda sendiri apabila balasan yang dinanti tidak muncul tiba. “Benganglah tu!” Omelnya sendiri dalam sengihan. Jemarinya kembali bermain di atas skrin iPhonenya.

+ Awra sayang.. Sorry okey? Aku betul tak tahu. Janganlah marah. Muka kau kalau marah-marah, lagi buat aku geram. Please… Tak baik tau masam muka dengan future husband. Aku mintak maaf sayang..

“Erghh!” Awra melepaskan rengusan geram. Sakit hati membaca SMS yang diterima. “Aku balas salah, tak balas salah!” Bebelnya tidak puas hati. Dengan sakit hati yang tidak hilang dia balas juga akhirnya.

+ Laa.. Taqrabuzziinaa! Kau ingat Allah tak nampak ke apa yang kita buat sekarang ni! Aku tak nak tambah dosa yang sedia ada. Assalamualaikum!


“Waalaikumussalam…” Lambat-lambat Faiq menjawab salam di bibirnya. Keningnya hampir bertaut. “Laa..Taqrabuzziinaa… Bila masa aku berzina pulak ni?” Dia garu kepalanya sendiri tanda tidak faham. Otaknya ligat memikirkan SMS yang dihantar oleh gadis itu.

8 comments:

Unknown said...

Alahai comel ler dorang ni....sian faiq muka merah tahan malu nasib baik keluarga awra sporting... awra s4 tu...awat ler awra tak nak meh bagi dewi ....kekeke
Arsha harapan tahun baru apa nih... yg dewi harapkan tiap2 ari ada n3 ok ker....kuikuikui

Ehem said...

Hahaha

Azam xbpe nk ada thun ni. Cuma nk buat yg tbaik n trus tetbaik je. InshaaAllah.

Tp azam dewi tu kan, spe plak Nk merealisasikannya? Hahaha

Unknown said...

Laaa.....Arsha ler kata nak buat yang terbaek....huhuhu
Apa kata sambung lagi next n3 hari ini betul2 hadiah tahun baru ler....hihihi

Ehem said...

Hahaha.. xjanji dewi. Hihi. Kita try la siapkan nanti..

Unknown said...

Hehehe...betul2 suke ler kalau ada next n3 ni....mesti semua pon happy sambut tahun baru....:)
Arsha.... xde n3 blog sunyi taww....huhuhu

MaY_LiN said...

paiq paiq

Kak Sue said...

Faiq dah boleh buat hati Awra x tenang ... tapi memang sweet cople betul lah ni....
Rasanya lebih baik Faiq terus meminang Awra ja... tentu Awra x menolak sebab Faiq bersungguh-sungguh... dan fon tu boleh buat barang hantaran.... hihihi... bestttt

ada said...

best..sweet laa diorg nie..cecepat kawenkan diorg kak arsha..