Mar 17, 2014

BMJM_bab 1-edited version

assalamulaikum. BMJM kembali. :)

.....
BMJM 1

“Dah sedia nak tengok tajuk apa yang kita dapat untuk last assignment ni?” tanya Siti Shafura kepada tiga sahabat yang sedang menanti dengan debar akan tajuk tugasan yang baru sahaja diberikan oleh Professor Razman di kelas tadi.

Tiga gadis di hadapan hanya mengangguk tanda mengiakan. Masing-masing dengan riak wajah yang risau selepas mengetahui kumpulan lain mendapat tajuk yang agak berat.

“Okey. Saya buka sekarang.” kata Siti Sahfura lagi seraya perlahan-lahan dia membuka sampul surat warna putih di tangannya. “Guys..,” dia menayangkan kertas yang berlipat tiga di tangan.

What?” serentak Nadia dan Amylia hampir terjerit. Terkejut dengan apa yang terpampang di kertas putih itu.

Hisy! Agak-agaklah. Tak malu ke orang tengok.” tegur Suzila yang lebih tenang.

Siti Shafura pula hanya tersenyum. Dia sendiri sebenarnya sedikit terkejut. Mata dihalakan ke sekitar kafe yang mula dipenuhi penghuni kampus. Seperti biasa, kehadiran mereka di situ pasti akan mendapat perhatian. Mana tidaknya, antara mereka berempat hanya dia yang memakai tudung. Manakala tiga lagi sahabatnya itu adalah antara gadis yang menjadi pujaan pelajar lelaki dan sering mendapat perhatian kerana berasal dari keluarga yang berkedudukan selain mempunyai wajah yang indah belaka. Sehinggakan, dia berasa tidak layak untuk berdampingan dengan mereka. Bukan dia tidak tahu, ada ‘mulut-mulut manis’ menyatakan, dia bersahabat dengan tiga gadis itu hanya kerana ingin menumpang kesenangan dan juga populariti mereka. Tetapi, ia sedikit pun tidak menjadi kudis dalam hati kerana dia yakin, Allah tahu akan niatnya yang sebenar dalam bersahabat. Malah dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang banyak membantu dan memberi sokongan ketika dia di dalam kesedihan. Kepada mereka jugalah dia akan berkongsi suka dan duka.

“Siti! Jauh sangat awak berangan ni..” bergoncang sedikit bahu Siti Shafura apabila ditepuk oleh Suzila.

“Err.., taklah. Saya tengah fikir macam mana kita nak cari responden ni.” dalih Siti Shafura seraya mencapai semula sampul surat di atas meja. Hati mula beristighfar menenangkan diri.

“Siti awak okey ke tak ni?” Nadia yang duduk bertentangan mencelah.

“Saya okeylah.” jawab Siti Shafura selamba. Menyembunyikan apa yang difikirkan sebentar tadi.

“Hm.., mana kita nak cari ni? Due date dekat dengan final exam pulak tu.” luah Amylia tiba-tiba yang memang mudah risau apabila tugasan yang diterima agak berat.

“Ala.., sempat punya. Tak payah risaulah.” sahut Suzila tenang. Dalam kepalanya tiba-tiba muncul sebaris nama yang dirasakan sesuai dan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Insya-Allah.” sambung Siti Shafura pula seraya tersenyum hingga menyerlahkan lekuk di kedua-dua belah pipi.

“Siti ni, suka sangat senyum. Nanti abang kaunter tu syok dekat awak, baru tahu. Dari tadi saya tengok dia asyik usha awak aje Siti.” Nadia sengaja mengusik apabila perasan lelaki di kaunter pembayaran, asyik menjeling ke arah mereka.

“Senyum tu kan sedekah…” Belum sempat Siti Shafura membuka mulut, mereka bertiga sudah menjawab hampir serentak. Sekali lagi meja mereka menjadi tumpuan mata. Tertoleh-toleh kepala masing-masing.

“Astaghfirullahal’aazim. Malu la semua orang pandang sini.” tegur Siti Shafura dengan suara perlahan kepada ketiga-tiga gadis pujaan ramai yang sedang ketawa kecil itu. Masing-masing tidak menyangka akan menyebut ayat yang sama.

Ladies, aku rasa, aku nak try someone yang aku kenal dalam bidang ni.” ujar Suzila tiba-tiba. Kata-kata itu juga menyebabkan tiga pasang mata yang mula bersinar terarah kepadanya. “Hisy! Tak payah la tenung aku macam nak telan. Apalah korang ni.” sambungnya hingga masing-masing tersengih.

“Suzy, takkan ada member kau yang involved dalam benda ni?” tanya Amylia perlahan memandangkan isu masalah sosial yang akan dibawa dalam tugasan mereka agak berat.

“Taklah. Bukan member. Tapi aku kenal rapat dengan dia. Cuma, aku tak rasa dia jadi gigolo. Tapi, aku rasa dia tahu permainan golongan ni.” jelas Suzila yang masih merahsiakan identiti sebenar orang yang dimaksudkan.

“Kita orang kenal ke?” Nadia pula bertanya.

“Erm.., aku rasa buat masa ni, tak payahlah aku bagi tahu. Aku risau aku aibkan dia pulak. Apa-apa pun, aku kena tanya dia dulu. Kalau dia nak tolong, alhamdulillah. Kalau tak, terpaksalah kita menyamar jadi mangsa. Amacam?” kata Suzila dengan keningnya terangkat sebelah. Sengaja berseloroh walaupun sebenarnya dia sanggup melakukannya demi tugasan yang diberi.

“Tak mungkin saya terlibat kan?” sahut Siti Shafura yang mula kaget dengan rancangan gila Suzila menyebabkan tawa Amylia dan Nadia terhambur. “Ala, saya tahulah saya tak macam awak semua.” sambungnya persis merajuk apabila menjadi bahan ketawa.

“Apalah awak ni Siti. Saya main-main ajelah. Janganlah serius sangat..” Suzila menenangkan.

Bukan dia tidak tahu keperibadian Siti Shafura yang sebenar. Cukup baik budi pekertinya. Juga mempunyai didikan agama yang kuat berbanding mereka bertiga. Dan dia juga tidak akan sesekali mengajak Siti Shafura melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip hidup gadis itu. Malah keadaannya yang bertudung juga kadang-kadang membuatkan mereka bangga mempunyai seorang sahabat yang baik didikan agama serta boleh menjadi pembimbing kepada mereka bertiga kelak.

“Ialah Siti. Takkan kita orang nak ajak awak buat benda yang bukan-bukan. Kita orang gurau ajelah. Kita orang tahu, kalau kita orang ajak pun, memang sah-sahlah awak takkan ikut.” tambah Amylia. Sedia maklum akan peribadi Siti Shafura yang begitu naif hinggakan tidak dapat membezakan antara hal yang serius dan gurauan.

“Ialah. Saya tahu, awak semua memang suka main-mainkan saya.” balas Siti Shafura seraya tersenyum manis. Dia bukanlah jenis yang cepat berkecil hati dengan setiap kata yang  dilemparkan. Faham akan tiga sahabatnya itu yang gemar bergurau.

“Erm.., Siti, this week awak balik rumah? Kalau awak nak balik, boleh balik dengan saya sekali.” tanya Nadia tiba-tiba.

“Er.. Tak tahu lagi la Nad.” Siti Shafura teragak-agak. Setiap kali dia ingin balik ke rumah ibu saudaranya, pasti bersama Nadia kerana rumah gadis itu di kawasan perumahan yang sama.

“Saya tengok awak jarang balik rumah makcik awak tu. Kenapa Siti? Tak best ke?” Tanya Suzila di sisi.

“Err.., taklah. Saya tak nak susahkan family makcik saya tu…” Dalih Siti Shafura bersama senyuman tawar. Tidak akan sesekali dia akan membebani tiga sahabatnya itu lagi dengan masalah yang dihadapi. Cukuplah selama ini mereka bertiga banyak membantu dalam dia meneruskan hari-hari yang mendatang tanpa kasih dari keluarga tersayang.

Ketidaksenangan Datin Salina akan kehadirannya menyebabkan dia tawar hati untuk pulang ke rumah mewah itu selalu walaupun arwah walidnya telah mewasiatkan agar dia tinggal di situ sehingga tamat pengajian. Tambahan pula, dengan keadaan ummi yang terlantar di pusat jagaan khas, setiap hujung minggu dia perlu berulang ke sana. Dan memandangkan jarak rumah ibu saudaranya dengan pusat jagaan tersebut lebih dekat, mahu atau tidak dia terpaksa pulang juga. Cuma sejak akhir-akhir itu dia semakin kurang pulang ke rumah Datin Salina semata-mata tidak mahu menaikkan kemarahan wanita tersebut.

“Kan Abang Izzat awak ada. Dia yang selalu hantar ambil awak pergi tengok ummi awak tu kan?” kata Suzila lagi yang prihatin dengan keadaan sahabatnya yang begitu tabah menghadapi hari-hari mendatang tanpa kehadiran orang tersayang.

Siti Shafura mengukir senyum nipis. Wajah tenang Izzat Fakhri terlayar di ruang mata. Abang sepupunya itu sanggup menemaninya dari pagi hingga ke petang di pusat jagaan hingga menyebabkan dia terasa kekok.

“Tak pun, awak balik rumah saya ajelah. Abang saya pun dah lama tak balik. Saya dengan mama aje. Papa outstation this week. Nak tak? Mama banyak kali tanya fasal awak sebab awak dah lama tak datang rumah. Nanti kalau awak nak pergi tengok ummi awak, saya boleh hantar. Driver papa saya pun boleh hantar.” pelawa Suzila ikhlas. Mama dan papanya cukup menyenangi Siti Shafura. Malah mama sendiri pernah mempelawa Siti Shafura untuk tinggal bersama-sama mereka. Kata mama, susah untuk jumpa gadis yang cukup serba-serbi seperti Siti Shafura.

“Err.., terima kasihlah Suzy. Saya seganlah pergi rumah awak. Mama awak baik sangat dengan saya. Err.., insya-Allah lain kali saya datang rumah awak. Biar minggu ni saya balik rumah makcik saya.” tolak Siti Shafura berhemah. Tidak mahu sahabatnya itu berkecil hati.

Dia bukan sengaja mahu menolak. Tetapi, dia sendiri tidak selesa apabila bersama dengan ahli keluarga Suzila yang terlalu baik. Terutamanya mama Suzila, Puan Sri Amna. Walaupun orang berada, budi pekertinya terlalu memikat hati. Setiap kali bertandang ke rumah itu, pasti dia teringatkan umminya. Rindu akan pelukan hangat yang tidak lagi dirasai kini. Sifat penyayang begitu ketara terlihat di wajah wanita yang sebaya dengan ummi. Sifat Puan Sri Amna yang lemah lembut, membuatkan dia mudah mesra dan rapat dengan wanita itu. Cuma, dia sahaja yang agak kekok apabila terasa dimanja-manjakan sama seperti Suzila.  
Keluarga Amylia dan Nadia juga tidak ketinggalan. Layanan dan penerimaan mereka terhadap diri amat dipuji. Hanya, dia tidak mahu dianggap seperti ingin menumpang kesenangan. Sedar akan kedudukannya. Dia hanya seorang sahabat yang mahu menumpang secebis kasih. Bukan menumpang senang mahupun kedudukan yang ada. Dia sudah cukup bangga dan bersyukur dengan apa yang dimiliki kini walaupun tidak lagi punya tempat bergantung.

Oleh kerana kecuaian pemandu lain, walidnya meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan bersama ummi ketika dalam perjalanan untuk menjemputnya pulang cuti semester dua tahun lalu. Walid mengalami cedera parah hingga meninggal di tempat kejadian. Manakala, ummi kini terlantar lumpuh kerana kegagalan fungsi saraf daripada kecederaan yang teruk. Selepas sedar dari koma hampir dua minggu, ibunya masih boleh bercakap walaupun tidak lagi seperti normal. Hinggalah keupayaan itu lama kelamaan semakin hilang dan akhirnya kini tidak mampu bercakap lagi. Malah, sejak akhir-akhir ini kesihatan ibunya agak merosot selepas keupayaan untuk menelan makanan turut hilang. Kini hanya bergantung kepada susu melalui tiub yang dimasukkan melalui rongga hidung.

Sejak ketiadaan orang tuanya jugalah, dia telah berpindah ke rumah satu-satunya adik bongsu walid, Datin Salina. Jika tidak kerana wasiat walid bahawa dia harus tinggal bersama keluarga Datin Salina sehingga tamat pengajian, dia lebih sanggup untuk tinggal di rumah mereka di kampung. Malah dia boleh menjaga ummi sendiri. Dan jika diturutkan perasaan, mungkin dia tidak akan meneruskan pengajian lagi kerana tidak sanggup membiarkan ummi dijaga oleh orang lain. Oleh kerana pesanan ummi ketika masih mampu bercakap, dengan berat hati dia perlu meneruskan pengajian. Atas bantuan abang sepupu dan Datuk Zaid, ummi kini diletakkan di pusat jagaan khas. Segala urusan pembayaran pula menggunakan wang simpanan yang ditinggalkan oleh arwah walid. Cukup untuk menampung seluruh perbelanjaan perubatan ummi.

“Siti! Awak ni berangan lagi..” tegur Suzila seraya menepuk perlahan bahu Siti Shafura apabila perasan gadis itu termenung jauh.

Siti Shafura masih mampu beriak tenang. Malah, senyuman manis masih terhias di bibir mungilnya.

“Awak ni Siti, saya rasa kalau student lelaki pandang dekat sini, dia orang semua tengok awak.” ujar Amylia dengan sengihan mengusik.

“Eh? Kenapa pulak nak tengok saya? Saya rasa dia orang pandang awak bertiga kut..” sangkal Siti Shafura yang masih tersenyum menyangkal kata-kata Amylia.

“Ialah.., mestilah pandang awak. Awak tu asyik tersenyum aje dari tadi. Siapa-siapa pandang pun boleh cair tengok senyuman awak tu. Pakej dengan lesung pipit mahal awak tu lagi.” tambah Nadia pula yang turut tersenyum penuh makna. Suzila juga begitu.  

Siti Shafura terus mematikan senyum. Termakan dengan kata-kata Nadia. Risau andai senyumannya itu mengundang perasaan lain di hati si pemerhati sehingga boleh jatuhnya dosa. Beristighfar sendiri dia di dalam hati. Teringat pesan walid tentang wanita. ‘Jangan jadi wanita yang dapat menarik perhatian orang lain melainkan yang benar-benar berhak. Kecantikan adalah ujian dari-Nya.’

Apabila melihat wajah Siti Shafura berubah, masing-masing melepaskan tawa. “Siti, awak ni janganlah serius twenty four seven. Saya gurau ajelah. Jangan risaulah Siti. Saya tahu awak senyum bukan dengan niat nak goda orang yang pandang awak.” ujar Nadia yang cukup faham dengan perangai Siti Shafura yang satu itu. Pantang ditegur, pasti cepat-cepat cuba diperbaiki kesilapannya.

“Ee.., awak semua selalu nak main-mainkan saya. Selalu buli saya kan..” Siti Shafura pura-pura merungut apabila melihat ketiga-tiga sahabatnya masih mentertawakannya.

“Okey-okey, sorry.” ucap Suzila perlahan dalam sisa tawa. Serentak itu pula telefon bimbit Siti Shafura berbunyi dari dalam beg sandang.

“Haa.., tu siapa mesej tu.. Boyfriend la tu..” usik Amylia pula seraya sengaja menjeling ke skrin kecil di tangan Siti Shafura. Bukan mereka tidak tahu yang Siti Shafura langsung tidak pernah bercinta. Kawan lelaki pun tidak ramai. Bukan tiada yang cuba masuk jarum, tetapi gadis itu sendiri yang lebih selesa memilih untuk tidak mempunyai sebarang hubungan perasaan dengan mana-mana lelaki pun.

“Pandai-pandai aje awak ni.” nafi Siti Shafura saat melihat sebaris nama terpampang di skrin S3nya. Pesanan arwah walid tidak akan sesekali dilupakan. ‘Untuk berhubungan dengan lelaki yang bukan mahram biarlah hubungan itu mendapat restu dari Allah agar mendapat keberkatan dan akan sentiasa di bawah perlindungan-Nya.’ “Abang Izzat saya.” ujarnya kemudian sambil tersenyum membaca apa yang tercatat di skrin. Izzat Fakhri sudah dianggap seperti abangnya sendiri memandangkan lelaki itu terlalu mengambil berat akan dirinya. Begitu juga dengan adik sepupunya, Izza Farhana yang kerap menghubunginya untuk mengadu sebarang permasalahan. Disebabkan hubungan akrab bersama kedua-duanya juga menyebabkan Datin Salina kian tidak menyenanginya.

“Siti, awak dengan dia ada apa-apa ke? Saya tengok, dia selalu call and message awak.” tanya Nadia yang menjadi pemerhati dari tadi.

“Eh, tak adalah. Dia macam abang saya la. Lagipun, dia dah anggap saya macam adik dia sendiri.” terang Siti Shafura jujur. Dia sedar kedudukannya dengan Izzat Fakhri tidak lebih dari hubungan seorang abang dan adik.

“Kalau ada pun, apa salahnya. Boleh kahwin kan?” sambung Nadia yang sudah tersengih. Sengaja mengusik memandangkan gadis itu bersih daripada sebarang gosip yang melibatkan lelaki.

“Eleh.. Awak nak kenakan saya la tu kan? Tak dapat!” ejek Siti Shafura yang ketawa kecil. Sahabat-sahabatnya itu hanya mengetahui kewujudan Izzat Fakhri tetapi langsung tidak pernah berjumpa dengan empunya diri.

“Siti, dia handsome tak? Selama awak pindah duduk serumah dengan dia, tak pernah lagi kita orang jumpa dia.” tanya Amylia penuh minat. Dari apa yang diceritakan oleh Siti Shafura sebelum ini, lelaki itu cukup pakej untuk dijadikan calon suami.

“Erk? Kenapa awak tanya? Awak nak kenal dengan dia?” Siti Shafura memulangkan soalan juga bersama senyuman.

“Apa salahnya kalau awak tak kisah kalau saya jadi kakak ipar awak.” jawab Amylia dengan wajah tersipu malu.

“Jangan nak perasan kau Amy. Tu ‘Ustaz Qayyum’ yang selalu dok jeling-jeling kau selalu tu, kau nak letak mana?” celah Suzila pula.

Qayyum, senior jurusan perubatan yang menaruh hati terhadap Amylia sejak mereka melangkah masuk ke situ. Walaupun lelaki itu tidak pernah meluahkan perasaannya, tapi dari gerak-gerinya, jelas menunjukkan dia menyukai Amylia. Digelar ustaz oleh mereka kerana perilaku lelaki itu yang cukup terbatas dan terkawal. Walaupun lelaki itu sudah mula bertugas, sesekali dia akan datang ke kampus itu untuk berjumpa mereka berempat. Setiap kali duduk bersama, pasti ada sahaja ilmu yang akan dikongsi bersama.

Bukan itu sahaja, setiap pertuturannya mempunyai pelbagai maksud yang tersirat. Secara halus dia akan menegur perilaku mereka kecuali Siti Shafura. Terutamanya bab aurat. Bahasa yang digunakan penuh maksud yang tersendiri. Sering kali juga Siti Shafura  yang akan menjadi rujukan dan menerangkan semula kepada mereka bertiga. Bila ditanya kenapa dia sering mengingatkan mereka bertiga sahaja, kata lelaki itu, Siti Shafura sudah tahu apa yang ditegur.

“Ee.., siapa nak ‘ustaz’ tu.. Aku nak jugak yang handsome macam pelakon-pelakon ‘Boys over Flower’ tu.” balas Amylia dengan senyuman meleret. Dia membayangkan dirinya bergandingan dengan pelakon-pelakon yang menjadi kegilaan gadis yang sebaya dengannya.

“Tak habis-habis dengan Korea awak ni Amy.” tegur Siti Shafura bersama gelengan.

Dia tahu sahabatnya yang seorang itu begitu meminati lagu-lagu dan drama-drama Korea. Sudah menjadi fenomena dalam kalangan muda mudi masa kini yang cukup meminati drama Korea, yang semakin galak di tayangkan di kaca tv. Tidak cukup dengan itu, ada yang sanggup membayar harga tiket yang beratus ringgit semata-mata ingin bertemu dengan pelakon-pelakon dan penyanyi-penyanyi Korea yang datang ke Malaysia. Amylia salah seorang daripadanya. Seingatnya, sahabatnya itu pernah membeli tiket konsert berharga lima ratus ringgit semata-mata ingin melihat dengan lebih dekat aksi penyanyi-penyanyi Korea di atas pentas.

“Amboi demandnya.. Handsome apa Ustaz Qayyum tu. Kau tak nak? Hm.., kalau tak nak, aku rasa ada baiknya kalau Siti ni yang ganti tempat kau tu. Lagi sesuai aku rasa. Lagipun Siti tengah solo kan? Suci lagi murni tu..” giat Nadia pula. Sengaja ingin mengusik Siti Shafura lagi.

“Eh! Kenapa saya pulak terlibat ni?” Siti Shafura kerut dahi. Sahabat-sahabatnya itu selalu sahaja ingin mengusiknya. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan lelaki. Dia akui dirinya lemah dalam bab lelaki. Dia langsung tidak punya pengalaman yang melibatkan perasaan.

Amylia yang asyik berangan terus mematikan senyum. Hati sedikit terusik.

“Sudahlah kau Amy. Mulut aje kata tak nak, tapi hati? Akulah kekasih hatimu Ustaz Qayyum. Muka cuak. Tahu takut..,” sambung Suzila pula apabila melihat wajah Amylia yang sedikit berubah.

“Hm.., tak adalah. Lagipun, ustaz tu mana ada cakap dia suka aku. Kau orang aje yang pandai-pandai kata dia suka aku. Siapalah aku nak dibandingkan dengan ustaz tu. Lainlah macam Siti kan.” balas Amylia dengan suara lirih. Dia akui kata-kata Nadia. Siti Shafura lagi sesuai jika bergandingan dengan Qayyum. Sesuai dengan perwatakan masing-masing yang lebih berpengetahuan agama berbanding dirinya.

“Eh, sudahlah tu cerita fasal lelaki. Sekarang ni kan kita cerita fasal assignment kita.” Siti Shafura sengaja menukar topik perbualan apabila melihat wajah Amylia yang bertukar keruh. Dia tahu sahabatnya itu juga turut menaruh perasaan terhadap Qayyum. Sebagai sahabat, tidak mungkin dia akan merampas kebahagiaan sahabatnya sendiri. Dia pasti tentang itu.

“Amy, aku gurau ajelah tadi. Kau tak payahlah ambil serius. Kita orang tahu yang kau pun suka ustaz tu kan. Siti pun langsung tak ada hatilah dengan ustaz tu.” Nadia kembali memujuk. Dia tidak mahu ada di antara mereka yang bermasam muka semata-mata hanya kerana seseorang lelaki. Buat malu kaum Hawa sahaja!

Amylia senyum kelat. Termakan sedikit kata-kata pujukan Nadia. Dia tahu sahabat-sahabatnya itu tidak akan mengkhianati ikatan persahabatan mereka kerana seorang lelaki.

“Suzy, nanti kalau jadi, kita orang pun kena jumpa dia jugak ke, atau awak sorang aje yang nak pergi? Nanti kita orang boleh siapkan soalan-soalan yang awak nak tanya.” tanya Siti Shafura perihal tugasan mereka tadi.

“Ala.., semua jumpa sekali la. Tapi nanti saya confirmkan dulu dengan dia. Takut tiba-tiba dia segan nak jumpa pulak.” Suzila memberi kata putus.

“Oh okeylah kalau macam tu. Err.., kawan-kawan, Abang Izzat saya dah sampailah. Saya pergi dulu ya.” pinta Siti Shafura seraya bangun. Entah apa yang abang sepupunya itu inginkan sehingga sanggup datang ke kampusnya.

“Awak take care Siti. Apa-apa hal call tau. Dan jangan lupa kirim salam dengan abang awak tu.” ucap Amylia dengan senyuman manis. Sengaja berseloroh.

“Waalaikumussalam. Insya-Allah.” balas Siti Shafura sebelum melangkah pergi.

“Suzy, aku nak tanya sikit fasal calon responden kita tu. Kita orang kenal ke dia?” tanya Nadia yang ingin mengetahui gerangan lelaki yang bergelar ‘gigolo’ tu setelah Siti Shafura jauh meninggalkan meja.

Korang kenal. Korang pun pernah jumpa dia. Cuma satu aje aku mintak. Ni kita-kita aje yang tahu. Sebab aku tahu abang tu pun tak nak identiti dia didedahkan.” jawab Suzila dengan perasaan serba salah. “Okey macam ni. Sebenarnya dia bukanlah gigolo. Tapi cara dia tu aku tengok dah macam orang buat kerja tu dah. Hidup mewah semacam. Loaded walaupun sememangnya dia dah loaded. Gaji memang dah besar. Tapi entah apa yang tak cukup lagi pun aku tak tahu dia tu.” terangnya lanjut perihal lelaki yang dimaksudkan.

“Dia ada girlfriend tak Suzy? Agak-agak girlfriend dia tahu tak dia buat kerja ni?” tanya Amylia pula yang mula berminat ingin tahu.

“Ada. Hot beb. Aku pernah jumpa kakak tu. Tapi aku tak tahulah kakak tu tahu ke tak perangai dia tu.”  sambung Suzila lagi.

“Kau ni macam kenal rapat aje dengan mamat tu? Siapa sebenarnya?” tanya Amylia lagi yang masih belum berpuas-hati dengan identiti lelaki yang dimaksudkan.

“Ni janji kita bertiga aje tau.” Suzila yang ingin kedua-dua sahabatnya itu berjanji.

“Janji.” jawab Amylia dan Nadia hampir serentak. Tidak sabar untuk mengetahui siapakah yang dimaksudkan.

“Er.., sebenarnya dia, Abang Kimi.” jawab Suzila bersama senyuman kelat.

“Hah!” Mulut Nadia dan Amylia hampir terlopong. Manakan tidak. Dari cerita Suzila, abang sulungnya itu merupakan seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat akan keadaan setiap ahli keluarga. Orangnya yang berkerjaya dan berharta, tidak mungkin sanggup melakukan kerja-kerja tersebut. Tidak cukup dengan itu, keluarga Suzila merupakan antara orang yang disegani kerana mempunyai sikap yang cukup rendah diri.

“Kau biar betul Suzy? Abang Kimi?” Nadia seperti tidak percaya dengan sebaris nama yang didengari sebentar tadi dan Suzila hanya mengangguk.

“Aku macam tak percaya aje Suzy. Family kau tak tahu ke?” tanya Amylia pula yang turut sama tidak percaya dengan apa yang baru sahaja menyapa gegendang telinga.

“Ialah. Kau ingat aku main-main ke. Aku tahu pun Ikmal yang cakap. Kan sebab dia orang tu duduk serumah. Aku masa dapat tahu pun macam tak percaya. Tapi bila aku nampak dengan mata kepala aku sendiri, aku sendiri terkejut. Mama dengan papa aku pun tak tahu hal ni. Kalau tahu, memang nak kenalah dengan papa aku.” jawab Suzila tenang.

Dia sebenarnya kecewa dengan perangai Eshaq Hakimi. Satu-satunya saudara kandung yang dia ada. Tambahan pula perwatakan lelaki itu yang begitu penyayang dan hormat ibu bapa langsung tidak menunjukkan Eshaq Hakimi seorang yang liar begitu. Sanggup menjadi pengiring kepada wanita-wanita yang berprofil tinggi semata-mata kerana duit. Bukan dia tidak pernah menegur. Tapi jawapannya hanya satu. Dia tidak akan mempercayai mana-mana wanita pun terutamanya yang berlaku curang. Itu sahaja cara untuk mengajar wanita yang curang. Dia sendiri punya pengalaman. Cukup sekali dia dikhianati oleh seorang wanita yang disayangi setelah segala kemewahan dan kemahuan diturutkan. “Tapi nanti aku try tanya dia dululah. Dia tu macam open sikit. Insya-Allah boleh.” sambung Suzila kemudiannya.

“Okeylah kalau dia okey. Aku cuma risau dia yang tak okey dengan kita orang aje.” sahut Nadia bersama helaan berat.


“Dia okey. Nanti pandai-pandailah aku cakap. Kan korang kenal dia. Siti aje yang belum face to face dengan dia.” Suzila meyakinkan kedua-dua sahabatnya itu.

8 comments:

Anonymous said...

Sis...bakal dterbitkn ke?
-nie-

arsha said...

InsyaAllah kalau ada rezeki :)
Thanks for reading.

Dewi Mus said...

Yeay....rindu ngan puren....
xsabo nak pelok....:)

Anonymous said...

sis..xtau kenape mcm formal je ayat die..

arsha said...

Anonymous

Formal tang siti je. Hihi

Dewi.

Doakan! :)

MaY_LiN said...

xsabar nk tgg pureen n abg kimi

kak edah said...

Rindu ngan pureen n kimi kak edah selalu ikuti setiap hasil tangan arsa.keep it up k .will be next collection for kak edah insyaallah.

arsha said...

Thanks kak edah :)