Oct 2, 2013

Dambaan bahagia_bab 1

Assalamualaikum.

Siapa-siapa yang sudi menyuarakan tajuk, silakan... :)

Hope boleh hadam.. :)
.......

bab 1

“Tiya!” Kuat Zainab menjerit memanggil anak bongsunya dari ruang dapur.

“Bu, pagi-pagi lagi dah test vokal.” Muncul Amir di ruang itu.

“Kamu tengok tu? Siapa punya kerja tu? Nasib ibu kamu ni takde sakit jantung. Kalau tak, dah lama agaknya..” Jawab Zainab sambil mengurut dadanya yang sedikit berombak.

Amir melepaskan tawa kecil selepas memandang ke arah yang dimaksudkan oleh ibunya itu.

“Kamu pergi kejutkan dia. Suruh dia turunkan Gina tu. Siapa punya kerja kalau tak dia..” Arah Zainab sebelum menuang air suam ke dalam gelas.

“Alah ibu ni. Macamlah tak kenal Gina. Gina bukan usik ibu pun. Mesti Gina tidur tu.” Balas Amir senang seraya melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Aroma nasi lemak menerobos ke rongga hidung sebaik penutup makanan dibuka.

“Kalau Si Gina tu jatuh dalam kuali ibu ni tadi macam mana? Kamu nak makan dia?” Lawan Zainab yang masih tidak hilang lagi rasa geram di hatinya. “Tiya!” Laungnya lagi tanpa mempedulikan anak nombor duanya yang mula makan itu. “Budak ni memang suka buat darah ibu naik tau!” Omel Zainab sebelum keluar dari ruang dapur. Langkah terus diatur ke kamar anak bongsunya. Daun pintu yang bertutup rapat diketuk sekuat hati.

“Tiya! Bangun Tiya!” Pekiknya berselang-seli dengan ketukan di pintu. “Pukul berapa dia balik malam tadi Angah?” Lanjutnya dari depan pintu bilik Fathiyah.

“Entah. Angah tidur awal malam tadi bu.” Jawab Amir yang hanya menggelengkan kepala melihat ibunya tidak henti mengetuk pintu bilik adik bongsunya. Bukan dia tidak tahu adiknya itu memang sukar dikejutkan jika sudah tidur lewat.

“Budak ni kan.. Tiya! Bangun! Kalau Tiya tak bangun, ibu masak Gina tu buat sup hari ni!” Panggil Zainab lagi tidak henti.

Amir yang sedang makan, mengekek gelak mendengar ugutan ibunya.

“Ish! Siap. Tiya ni memang nak mandi atas katil ni.” Gerutu Zainab sebelum kembali semula ke ruang dapur. Tangannya terus mencapai mangkuk plastik selebar tapak tangan dan diisikan dengan air paip.

“Tiya! Baik kau bangun! Kejap lagi mandilah kau atas katil tu..” Amir pula melaung dari meja makan memandangkan bilik adiknya yang paling hampir dengan ruang dapur itu. Dia cukup faham dengan apa yang akan dilakukan oleh ibunya sebentar nanti.

“Tiya.. Ibu kira sampai tiga. Kalau Tiya tak bangun, ibu bukak kunci ni nanti, Tiya mandi atas katil.” Ugut Zainab yang sudah bersedia dengan segugus kunci di tangan.

“Satu.. Dua.. Ti..” Pintu bilik terbuka. Wajah kusut Fathiyah muncul di muka pintu.

“Ibu ni.. Sikit-sikit nak ugut. Kenapa kejutkan Tiya pagi-pagi ni..” Rungut gadis genit itu sambil menekup mulut. Cuba menahan kuap. Kelopak matanya terasa berat benar untuk diangkat menyebabkan bayang ibunya hanya samar-samar.

“Sini.. Pergi turunkan Gina tu. Kalau tak, ibu masakkan Tiya sup Gina tengah hari ni.” Zainab terus menarik tangan anak bongsunya hingga ke ruang dapur. “Turunkan sekarang!” Arahnya tegas sambil menunjuk ke penjuru petak siling yang terbuka.

“Alah ibu ni.. Gina bukan usik ibu pun. Tu mesti dia tengah tidur. Tak payahlah kacau dia.. Nanti dia bangun, tahulah dia tarik balik ekor dia tu..” Selamba Fathiyah menjawab sambil menggonyoh matanya yang terasa pedih apabila cahaya matahari yang menerobos masuk dari pintu dapur yang terbuka.

“Takda-takda. Ibu tak kira. Turunkan dia sekarang!” Zainab tetap bertegas.

“Alah.. Tengah hari nantilah.. Bagi Tiya tidur kejap dulu..” Jawab Fathiyah malas sebelum kembali mengorak langkah. Berkira-kira mahu meninggalkan ruang dapur itu untuk menyambung semula tidurnya yang terganggu.

“Jangan nak mengada-ngada. Turunkan Si Gina tu dulu!” Halang Zainab sambil menarik lengan anak gadisnya yang seorang itu dari kembali semula ke bilik.

“Ibu, biarlah Tiya tidur. Lepas makan ni nanti Angah turunkan Gina tu.” Sahut Amir yang tidak sampai hati melihat adik bongsunya yang benar-benar mengantuk.

Cayaalah Angah. Ni sayang Angah lebih ni. Nanti Tiya mandikan Toby Angah tu sebulan. Okey bye!” Sahut Fathiyah laju seraya menghadiahkan kucupan sekilas ke pipi abang keduanya itu. Kemudian cepat-cepat dia mengatur langkah ke bilik tidurnya semula.

“Ee… Ada air liur basi, kiss orang.” Gerutu Amir sambil mengelap pipinya cepat.

Toby yang dimaksudkan adalah kura-kura kecil warna jingga dari spesies Indian Star yang sudah dipelihara sejak dua tahun lalu.

Zainab saat itu pula sudah bercekak pinggang. Kelibat anak bongsunya yang menghilang ke dalam bilik dipandang geram. “Sorang Toby, sorang Gina. Belum lagi dengan Si Mary dengan Si Alex tu.” Gerutu Zainab sebelum kembali menyambung kerjanya yang tergendala.

Hampir gugur jantungnya tadi apabila sedang leka dia mengupas kulit bawang, terjuntai ekor ular sawa milik anak bongsunya itu dengan tiba-tiba.

Amir yang masih berada di ruang makan itu kembali mengekek gelak mendengar bebelan ibunya. “Boleh jadi zoo rumah kita kan bu.” Ujarnya kemudian sengaja mahu mengusik.

“Banyaklah kamu punya zoo.” Balas Zainab sambil menjeling sekilas ke wajah anak keduanya itu. “Erm.. Kamu jadi cuti Isnin ni?” Lanjutnya sebelum mencuci tangan. Anak keduanya itu hanya pulang ke rumah pada hujung minggu sahaja.

“Jadi bu. Kan Angah dah janji nak uruskan pasal Tiya tu.” Jawab Amir yang kembali menyambung makan.

“Selagi dia tak sambung belajar, tak senang hati ibu ni tau. Ke sana ke mari sesuka hati dia aje. Balik lewat-lewat malam. Risau hati ibu ni.” Luah Zainab akan perasaan risau yang dirasai sejak anak bongsunya tamat pengajian di peringkat ijazah dua tahun lalu.

“Jangan risau sangat bu. Nanti dia dah sambung belajar, Angah boleh tengokkan dia.” Balas Amir menenangkan. Sejak ayahnya meninggal dunia, tanggungjawab menjaga dan memastikan keselamatan adiknya tergalas di bahunya dan abang sulungnya.

“Macam mana ibu tak risau Angah. Kamu tengoklah dia. Marah sikit nanti, merajuk panjanglah dia. Tapi bukan nak dengar kata. Tambah-tambah susah hati ibu ni.” Tambah Zainab lagi.

“Dia tengah ligat bu.. Nanti dah lepas sambung belajar, tahulah dia macam mana. Nanti Angah tengok-tengokkan dia. Ibu janganlah risau. Lagipun nanti, ada orang yang dah sedia nak tengokkan dia masa dalam kampus nanti.” Jawab Amir berserta senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

“Siapa?” Zainab mula berkerut dahi.

Amir angkat dua kali kedua-dua keningnya bersama senyuman yang semakin dilebarkan.

“Ada cerita best ke?” Muncul Amri di ruang makan itu sebelum terus melabuhkan duduk di kepala meja.

“Ni ibu tengah bincang pasal adik bertuah kamu tu la..” Sahut Zainab sambil menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan kosong sebelum dihulurkan kepada anak sulungnya itu.

“Oh.. Erm.. Tak silap Along dia balik malam tadi dah dekat pukul tiga bu.. Sebab time tu Along baru habis tengok bola.” Balas Amri sebelum meneguk perlahan air teh yang dituangkan oleh adiknya.

“Hish! Sebab tu la ibu tak bagi dia bawak kereta arwah ayah tu. Panjang langkahnya. Entah ke mana dia malam tadi.” Sahut Zainab yang turut melabuhkan duduk di situ.

“Alah.. Biasalah dia bu.. Sibuk aje dengan kawan-kawan dia. Tak pun sibuk berkampung dekat kedai si Alan tu ha..” Balas Amri sambil menjongketkan sebelah keningnya kepada Amir. Mereka cukup faham akan perangai Fathiyah. Lebih suka menghabiskan masa di luar berbanding di rumah.

“Tu lagi satu yang ibu tak suka. Suka sangat dia duduk dekat kedai budak Alan tu. Ibu kahwinkan terus baru tahu.” Bebel Zainab lagi sedikit geram.

“Sudahlah tu bu.. Bukan dia ke mana pun. Alan tu pun kawan kita orang. Ibu pun kenal Alan tu kan.. Takda apalah..” Ujar Amri menenangkan.

“Selagi dia tak sambung belajar, selagi tu la hati ibu ni tak senang.. Entah siapa-siapa kawannya, bukan ibu tahu. Kalau jadi apa-apa macam mana?” Jawab Zainab yang masih tetap dengan perasaan risaunya.

“Bu, biarlah dia sebulan ni.. Bulan depan, senanglah hati ibu.” Sambung Amir pula.

Zainab menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang dirasakan saat itu. Kelegaan pun tidak, ketenangan apatah lagi. “Nanti dah sambung belajar kamu tengokkan dia betul-betul Angah.” Ujarnya lambat berserta keluhan.

“Iya bu.. Ibu janganlah risau. Kan Angah kata tadi nanti dalam kampus ada orang tolong tengok-tengokkan dia.” Balas Amir lagi yang sudah pun menghabiskan sepinggan nasi lemaknya.

“Siapa?” Hampir serentak Amri dan Zainab menyoal.

“Suhana kan ada..” Balas Amir sebelum bingkas.

“Tunang kau tu tak busy ke wei..” Sahut Amri mengusik. Tahu yang tunangan adiknya itu seorang pensyarah di kampus yang dimaksudkan.

“Kalau Suhana busy, Amirudin Zulkarnain Shah ada.” Jawab Amir diiringi sengihan lebar.

Amri terus menghamburkan tawa sebaik sebaris nama yang cukup dikenali itu disebut adiknya. Namun tidak pada Zainab. Bertambah kerutan di wajah tuanya.

“Kamu jangan main-main Angah. Bukan ke budak tu dah habis belajar tahun lepas?” Ujar Zainab dengan riak kerisauan bertambah.

“Dia kena repeat lagi satu paper bu.” Jawab Amir senang tentang sebaris nama yang disebut sebentar tadi.

“Subjek apa? TITAS lagi? Lama lagilah budak tu berkampung dekat situ.” Sahut Amri seraya menyambung tawa. Setahunya sudah dua kali Amirudin mengulangi subjek yang sama dua semester lepas menyebabkan lelaki itu masih juga tidak berjaya menamatkan pengajiannya.

“Ha’ah. Mana tak repeat. Orang masuk kelas, dia sibuk dengan kayu hoki. Training la, game la. Entah apa lagi entah..” Jelas Amir yang berhubung rapat dengan Amirudin sejak mereka kecil lagi kerana keluarga mereka bersahabat.

Zainab sudah melepaskan keluhan berat. Sungguh hati tuanya tidak senang saat itu apabila memikirkan tentang lelaki yang dimaksudkan.

“Bu.. Janganlah risau sangat. Inshaa Allah dia orang tu okey nanti..” Tambah Amir apabila melihat wajah Zainab yang sedikit keruh. Dia faham apa yang dirasai oleh ibunya itu. Menjaga Nur Fathiyah merupakan satu tanggungjawab besar bagi keluarga mereka selepas ketiadaan ayah. Tambahan pula selepas apa yang berlaku dalam hidup gadis itu hampir dua tahun lalu.

******
“Hoi! Pagi-pagi dah termenung. Bersemangatlah sikit bro..” Tegur Anuar yang menepuk bahunya membuatkan lamunannya hilang bertaburan. Keluhan terlepas apabila memandang wajah ceria sahabatnya itu. “Kau ni kenapa pagi-pagi lagi muka macam bini lari dari rumah?” Sambung sahabatnya itu lagi menyebabkan senyuman nipis terbentuk di bibir.

“Kalau aku terus aje berhenti belajar okey tak bro?” Amirudin menjawab dengan soalan juga.

“Kau ni biar betul? Tinggal satu sem aje kan? Kalau kau berhenti, kau nak jadi apa bro? Takkan kita nak main hoki sampai ke tua.” Balas Anuar kurang setuju dengan apa yang disampaikan oleh sahabatnya itu.

Amirudin melepaskan keluhan. Entah kenapa dirasakan dia tidak mampu untuk berjaya seperti orang lain. Kerap benar dia gagal dalam pelajaran sejak terlibat dalam sukan hoki. Padahal kawan-kawan yang lain semua berjaya walaupun sama-sama sibuk dengan latihan dan perlawanan yang perlu dihadiri. Disebabkan itu juga dia terpaksa mengulang satu semester lagi sebelum dapat menggenggam segulung ijazah dalam bidang sains sukan. Rakan-rakan yang sebaya dengannya sudah pun berjaya menggenggam ijazah tersebut setahun yang lalu.

“Kau masuk belajar balik lagi seminggu kan?” Soal Anuar lagi yang siap sedia masuk ke tengah padang untuk memanaskan badan selepas siap memakai kasut.

“Ha’ah.” Balas Amirudin malas.

“Bro, apa kata kau stop main sekejap. Kau fokus dengan study kau dulu. Tu lagi bagus dari kau kena repeat tiap-tiap sem.” Usul Anuar yang tidak mahu sahabatnya itu membuat keputusan terburu-buru.

“Aku dah malaslah Nuar. Buat habis duit aje kalau aku sambung. Aku dah banyak susahkan mak ayah aku. Aku rasa, baik aku fokus aje dengan apa yang aku buat sekarang ni.” Balas Amirudin tidak bersemangat. Sememangnya sudah lama hal itu difikirkan selepas mendapat keputusan peperiksaan yang agak mengecewakan beberapa bulan lepas.

“Kau jangan macam tu Din.. Kesian mak ayah kau. Dia orang nak sangat tengok kau berjaya. Kalau tak, family kau takda susah-susah nak bayar yuran study kau selama ni. Dulu kau dah dapat offer pergi US. Buat doktor lagi. Kau tolak. Sekarang ni, family kau ikutkan aje kata kau nak buat sports science. Takkan kau sanggup nak kecewakan dia orang buat kali kedua kut.. Opss.. Mungkin kali ketiga.” Kata Anuar diiringi sengihan mengusik.

Amirudin tetap dengan wajah tidak berperasaannya walaupun sedar akan maksud kata sahabatnya itu.

“Tinggal satu sem aje lagi Din. Habiskan ajelah..” Anuar tidak henti menasihati. Amirudin yang dikenali bukanlah seorang yang cepat berputus asa. Malah sahabatnya itu seorang yang kuat berusaha dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Jika tidak, mana mungkin Amirudin kini menjadi salah seorang atlet harapan kebangsaan dalam sukan hoki.

“Kau tak faham Nuar apa yang aku rasa..” Balas Amirudin mengendur. Pandangan matanya ditalakan ke tengah padang. Rakan-rakan yang lebih awal tiba sudah pun ligat memanaskan badan.

Anuar yang sedang meregangkan tubuh terus terhenti. Wajah Amirudin yang sedikit keruh dipandang. “Come on Din.. Kau jangan macam ni.. Amirudin Zulkarnain Shah yang aku kenal bukan macam ni.. Wake up bro! Semua yang jadi atas perancangan Dia. Takda yang sempurna dalam dunia ni bro. Takdir hidup kita dalam dunia ni tak sama Din. Kau kena tahu tu.” Nasihat Anuar memberi semangat dan peringatan. Dia sedia maklum akan keadaan diri lelaki itu.

Amirudin masih sama seperti anak muda yang sebaya dengannya. Cuma permulaan hidup lelaki itu tidak seperti orang lain. Dia insan paling istimewa menjadi penyeri hidup buat pasangan Sulaiman dan Aida. Hakikat itu yang dia tahu dan tidak hairanlah jika Amirudin terkenal dengan jolokan anak manja sejak mereka berteman di sekolah rendah lagi.

“Nuar.. Aku..” Keluhan berat kedengaran lagi dari bibir Amirudin membuatkan Anuar menggelengkan kepala beberapa kali.

“Sudahlah tu sahabat. I love u so much tau. Dah tu. Kau jangan nak macam-macam lagi. Pagi ni aku belum bersedia nak dengar luahan hati kau yang tak pernah habis tu. Malam-malam sikit kalau kau nak luah pun. Nanti aku siap boleh bagi ceramah free dekat kau sampai ada sinetron air mata. Bangun-bangun!” Anuar terus sahaja menarik tangan Amirudin agar lelaki itu bingkas. Mereka perlu segera berlatih sebelum jurulatih tiba. Sudah menjadi kebiasaan apabila disiplin menjadi keutamaan mereka.

Amirudin tersenyum kecil mendengar kata-kata Anuar yang selalu sahaja kedengaran tulus. Itulah sahabat dia berkongsi suka dan dukanya selama ini. Sahabat paling bermakna yang pernah dia ada. Dia terlalu bersyukur akan nikmat yang dikurniakan Allah di sepanjang hidupnya. Cuma kadangkala, tergelincir juga hatinya hingga terlupa akan janji Allah kepada setiap hamba-Nya.

******

“Apa ni Ngah.. Ala…” Fathiyah sudah mempamerkan wajah menolak. Dia tidak setuju akan pilihan yang telah dibuat oleh Amir.

“Eh, hari tu siapa yang kata tak kisah?” Balas Amir selamba sambil menyusun atur akan segala keperluan untuk pendaftaran esok.

“Memanglah tak kisah. Tapi kenapa dekat situ yang Angah pilih? Punyalah banyak U dekat dalam Malaysia ni, kenapa dekat situ jugak Angah pilih?” Bentak  Fathiyah menghamburkan rasa tidak puas hatinya.

“Kan senang kalau Tiya dekat situ. Sama jugak dekat mana-mana pun..”

“Tak sama!”

“Belajar jugak..”

“Tapi tetap tak sama Ngah!”

“Apa masalah Tiya sebenarnya ni? Cuba cakap dengan Angah apa yang tak eloknya U yang Angah pilih tu?” Ujar Amir sengaja mahu menduga walaupun dia sudah dapat mengenal pasti akan sebab musababnya.

“Tiya tak sukalah dekat situ! Macam dah takda U lain..” Rungut Fathiyah dengan bibir yang memuncung. Mary si kucing kembang dalam pelukannya sejak tadi dilepaskan. Kini tangannya sibuk membelai lembut pula bulu Alex si kucing kembang warna oren yang datang menghampiri.

“Hari tu Tiya kata kalau dapat yang lagi dekat lagi baguskan? Yang paling dekatlah ni Angah pilih. Kak Ana pun ada boleh tengokkan Tiya nanti.” Jawab Amir cuba meyakinkan. Lagi pun dia tahu Fathiyah rapat dengan tunangnya itu.

“Angah tipu! Angah saja nak Tiya jumpa budak gila tu kan?!” Tingkah Fathiyah lagi. Geram. Teringat akan seraut wajah itu hatinya panas.

Amir tergelak. “Tiya kata dah tak nak tahu langsung pasal dia. Ni, mana Tiya tahu yang dia ada lagi dekat situ?” Usik Amir menduga.

Fathiyah menjuihkan bibir. Wajah abangnya itu dijeling geram. “Budak sengal macam dia, memang takkan lulus punya. Repeatlah sampai ke tua!” Hamburnya sakit hati.

Amir tergelak lagi. “Tak baik Tiya doakan orang macam tu. Kan dia bakal suami Tiya tu.” Balas Amir dalam sisa tawanya.

Bukk! 

Bantal kecil di sisinya dilemparkan tepat mengenai muka Amir.

“Padan muka! Angah cakap lagi macam tu, jangan harap Tiya pergi esok!” Bentak Fathiya geram sebelum terus mencapai kunci kereta atas meja kopi dan dia terus berlalu.

“Tiya! Nak ke mana tu?” Muncul Zainab dari ruang dapur apabila ternampak kelibat anak bongsunya berlalu keluar dengan wajah ketat.

“Biarkanlah dia bu.. Tak ke mananya dia tu..” Sahut Amir masih dalam sisa tawanya.

Zainab sudah memandang geram ke wajah anak keduanya. Sedia maklum Fathiyah pasti merajuk kerana diusik.


14 comments:

Eijan said...

Permulaan yg agak baik....bagi la sinopsis so blh kita cadangkan tajuk....hehehe

Ehem said...

akak, ada dekat bar atas tu. :)

tapi pendek ajelah. :)

Anonymous said...

minah zoo vs mat kayu.amacam boleh tak?

Ehem said...

haha.

terima kasih kerana sudi drop tajuk tu.

:)

Anonymous said...

Letak tjuk...ZOO+HOKI=CINTA
Okey x..??

Ehem said...

cute je.

thanks yep. :)

mungkin terlalu awal. nanti sya up bab lain. then kita decide. :)

MaY_LiN said...

arsha..
gloria xde ke..?
kurang team madagascar nnti..
huhuhu

repeat(italic)
paper(italic)
study(italic)

Ehem said...

Hahaha

Gloria nanti2 dulu.. blum kuar lagi. Ehehe

IVORYGINGER said...

Tajuk: Tiya & Amiruddin... Sempoi girl vs mamat hoki. ;D

Anonymous said...

I love your writing..jatuh cinta..haha -quya-

Ehem said...

IVORY> lama tak nampak kat sini. Thanks eh for the tajuk. :)

QUYA> haha Alhamdulillah. Thanks quya!

Anonymous said...

No problemm..anonymus jela profile kter..haha but xsbr nk tngu papa iman..lame jgk tngu nyer..i hope dpt pluk bukunyer..gler ske..-quya-

Kak Sue said...

Arsha belum dapat bayangan TAJUK yang sesuai lah...
x puas baca lagi sebenarnya... tunggu panjang sikit INSYAALLAH...
tapi memang bestttt... teringat masa sek dulu dpt wakil JOHOR kak sue main HOKI... memang bestttt...

Ehem said...

Quya> thank you ya. Ada rezeki InshaaAllah kluar hujung tahun ni. InshaaAllah doakan!

Kaksu> memang pun kaksue. Xpe. Nnt sye up lagi.

Pasni boleh ar tnye kaksu pasal hoki. Eheee