“Awra, awak tolong siapkan report ni. Dah siap, awak letak aje atas
meja saya. Saya mungkin dua minggu takda dekat sini. Nanti kalau ada apa-apa
yang tak faham, boleh tanya pada Khairi. Saya dah suruh dia datang Sabtu ni
sebab report tu nak kena hantar.
Bolehkan?” Ujar Faidh sambil meletakkan sebuah fail kewangan berserta sehelai
kertas kira-kira yang sudah disiapkan sebentar tadi.
“Okey.” Jawab
Awra akur tanpa sedikit pun membantah. Bukan sekali dua dia perlu membuat
laporan kewangan pusat tuisyen itu. Hampir setiap bulan.
“Selama saya
takda, ada apa-apa tak yang awak nak bagi tahu saya? Kelas ke, tutor-tutor? Ada
masalah tak?” Soal Faidh serius. Dia agak risau kerana hampir sebulan dia tidak
melihat perkembangan pusat tuisyennya itu kerana terlalu sibuk dengan kerja
sendiri. Baru hari itu dia berkesempatan untuk ke situ. Itu pun hanya kerana
untuk memaklumkan laporan kewangan yang perlu dibuat.
“Setakat ni
takda apa-apa. Semua okey.” Balas Awra sama serius. Matanya hanya sesekali
sahaja ditalakan ke wajah majikannya yang sudah lama tidak ditemui itu. Agak
terkejut saat dia tiba tadi hingga terasa kedudukannya di situ mungkin tidak
lama selepas apa yang telah berlaku sebulan lalu.
Selepas
peristiwa di hospital, langsung tiada panggilan mahupun pesanan yang
ditinggalkan membuatkan dia terus bekerja tanpa ragu walaupun tetap tercuit
perasaan bersalah di hati setelah layanan dingin yang diberi. Dan sepanjang
hari itu pula, tiada perbualan antara mereka. Dia dengan kerja-kerjanya
manakala lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik sendiri.
Bukan dia tidak ingat apa yang telah berlaku hampir sebulan lalu. Hubungan
mereka keruh gara-gara keakraban yang ditunjukkan oleh lelaki itu saat bersama
ahli keluarganya.
“Awak okey ke
Awra? Macam tak okey aje saya tengok.” Ujar Faidh lagi. Sedikit pelik melihat
wajah gadis di hadapannya itu. Serba tidak kena.
“Er.. Okey..
Saya takda apa-apa.” Balas Awra dengan senyuman paksa. Namun dalam hatinya saat
itu sudah merungut-rungut entah apa-apa. ‘Lagi nak tanya aku okey ke tak dia
ni.. Yang dia tu, boleh buat muka selama kenapa? Dah lupa ingatan ke apa..’
“Kalau okey
takpalah. Saya ingat tak okey tadi..” Balas Faidh dalam senyuman nipis.
Langsung tiada syak di hatinya apabila melihat sedikit kedinginan yang ditunjukkan
oleh gadis itu. “Erm.. Kalau takda apa-apa, saya dah nak balik ni. Apa-apa hal,
awak boleh call saya. Nak call Khairi pun boleh.” Lanjutnya dengan
senyuman penuh makna. Dia tahu Awra begitu akrab dengan Khairi dan gadis itu
lebih selesa berurusan dengan sahabatnya.
“Er..
Iyalah..” Ringkas sahaja jawapan yang diberi oleh Awra berserta senyuman payau.
Rasa tersindir apabila nama Khairi disebut lagi. Namun ada perasaan lega terbit
di hati apabila lelaki itu menyatakan ingin pulang. Hatinya tidak begitu
tenteram apabila sepanjang hari mereka bersama. Terasa segala perbuatannya
menjadi perhatian.
“Okeylah.. Dah
takda apa-apakan? Saya balik dulu.. Awak nanti jangan lupa tutup suis semua.
Balik nanti abang awak jemputkan?” Ujar Faidh sambil mengeluarkan kunci kereta
dari saku seluarnya.
“Er.. Ha’ah..”
Jawab Awra berserta kerutan di dahi. Pelik benar dengan pertanyaan yang
diujarkan oleh lelaki di hadapannya itu. ‘Dah kenapa dia ni tanya soalan
pelik-pelik? Dah tahu, lagi nak tanya..’ Rungutnya dalam hati.
“Okeylah. Saya
balik dulu.” Ucap Faidh diiringi senyuman nipis sebelum dia terus berlalu.
Awra hanya
membalas seadanya sebelum senyumnya mati sebaik kelibat lelaki itu hilang dari
pandangan. “Salah makan ke apa dia ni tanya aku soalan pelik. Macamlah baru
sehari kenal aku.” Bebelnya sendirian. Dia terasa asing saat berbual dengan
lelaki itu sebentar tadi. Padahal jika bertemu sebelum ini, ada perasaan aneh
yang bertamu di hatinya.
*******
“Tolonglah bu.. Along tak
naklah.. Berapa kali Along nak cakap..” Rungut Faiq apabila Hajah Jamilah
mengusulkan calon isteri yang telah dipilihnya.
“Apa kurangnya
Wahida tu? Cuba Along cakap dengan ibu.” Balas Hajah Jamilah tidak berpuas hati
apabila setiap kali calon yang dipilih sering ditolak oleh anak sulungnya itu.
“Along tak
sedialah..” Jawab Faiq malas. Rancangan tv yang sedang ditonton saat itu tidak
lagi dapat menarik perhatiannya. Terganggu gara-gara topik hangat yang dibawa
oleh ibunya. Ada perasaan menyesal muncul di hati apabila bersetuju untuk
pulang ke kampung halamannya itu awal pagi tadi memandangkan adik kembarnya
terlalu sibuk dan tidak dapat pulang bersama.
“Tak sedia
apanya.. Apa lagi yang Along nak cari? Duit? Takkan tak cukup lagi duit yang
ada. Dah kerja siang malam pun tak cukup lagi ke?” Balas Hajah Jamilah sedikit
geram. Setiap kali dia mengusulkan hal itu, alasan sama yang akan diterimanya.
“Bukan fasal
duitlah bu.. Ibu faham tak, perasaan ni tak boleh nak paksa-paksa. Along kenal
pun tidak dengan Wahida tu.. Tiba-tiba ibu nak Along kahwin dengan dia. Apa ni
bu..” Jawabnya dengan suara yang mengendur. Tidak sanggup meninggi suara dengan
satu-satunya wanita yang amat disayangi dan dihormatinya itu.
“Ibu bukan
suruh Along kahwin terus dengan dia.. Kenal-kenallah dulu. Manalah tahu
berkenan. Kalau tak berkenan, takpalah..” Balas Hajah Jamilah masih lagi mahu
memujuk. Dia teringin benar melihat anak sulungnya itu menamatkan zaman bujang
bersama anaknya yang seorang lagi.
“Malaslah bu..
Along sibuklah sekarang.. Takda masa nak kenal-kenal ni..” Faiq masih lagi
mencipta alasan untuk menolak permintaan ibunya.
“Susahlah
Along ni.. Penat-penat ibu carikan calon.. Ibu tak suruh pun terus kahwin..
Suruh kenal aje.. Itu pun susah sangat ke?” Hajah Jamilah mula membuat suara
lirihnya. Dengan cara itu sahaja Faiq akan menurut kata.
“Ibu tu
mulalah.. Ni yang Along malas nak balik sini ni.. Kalau tahu macam ni, Along
tidur rumah ayah tadi..” Balas Faiq yang sedia maklum akan taktik ibunya itu.
Bukan sekali dua begitu.
“Amboi..
Sekarang Along nak ugut ibu pulak
ya?” Jawab Hajah Jamilah sedikit geram. Bukan dia tidak tahu akan maksud anak
sulungnya itu. Sudah menjadi kebiasaannya anak-anak akan bergilir tidur di
rumah bekas suaminya sejak mereka berpisah sepuluh tahun lalu.
“Bukan ugut..
Ibu tu.. Suka ugut-ugut Along.. Cukuplah Rini sorang jadi girlfriend Along. Kalau dia tahu Along ada girlfriend lain, jangan haraplah dia nak layan Along lagi.” Balas
Faiq berserta sengihan.
“Alah.. Rini
yang disibukkannya..” Jawab Hajah Jamilah mula mengalah. Terpaksa akur dengan
kata-kata anaknya itu. Bukan dia tidak tahu Faiq rapat dengan salah seorang
anak saudara bekas suaminya yang sering bertandang di situ jika anak-anaknya
pulang bercuti.
“Rini mana bu?
Dah tidur?” Ujar Faiq terus menukar perbualan apabila teringat akan sepupunya
yang masih berumur lima tahun itu.
“Baru aje dia
tidur. Penat sangat dia hari ni sebab ada sukan dekat taskanya tadi.” Jawab
Hajah Jamilah sebelum bingkas. Dia mahu melihat si kecil yang sudah lena di
dalam biliknya tadi.
Faiq mengoyak
senyum puas sebaik kelibat ibunya hilang dari pandangan. Begitu mudah dia mengalihkan
perhatian ibunya tadi. Dan kini dalam kepalanya sedang bermain wajah cemberut
seorang gadis yang semakin terpahat kukuh. Sukar benar dibuang wajah itu
walaupun sudah berkali-kali dicuba. Hampir sebulan dia tidak bertemu dengan
Awra selepas apa yang berlaku di antara mereka. Langsung dia tidak bertanya
dengan adik kembarnya sendiri memandangkan lelaki itu juga sama-sama sibuk
hingga mempercayai Awra untuk menguruskan pusat tuisyen. Untuk bertanya kepada
Firdaus pula dia terasa malu walaupun mereka kerap keluar bersama. Teringat
lagi peristiwa di hospital membuatkan dia terpaksa tahan hati dari mendekati
Awra lagi.
******
“Kau ada apa-apa ke dengan Awra?”
Faiq memulakan kata sebaik melabuhkan duduk selepas membeli air teh
kesukaannya.
“Kau ni
agak-agaklah.. Takkan nak jumpa aku semata-mata nak tanya fasal tu..” Balas
Khairi diiringi sengihan.
“Aku kena
tahulah Khery..” Luah Faiq kurang sabar. Dia mahu tahu dari mulut lelaki itu
sendiri agar segala persoalan yang bersarang dalam kepalanya terjawab.
“Tak sangka
kawan aku sendiri suka dengan perempuan yang sama.” Jawab Khairi cukup tenang
sebelum meletakkan sudu yang dipegang. Air teh limau ais di sisinya disedut
perlahan.
Faiq menghela
nafas panjang. Tidak menyangka jangkaannya sebelum ini tepat mengena. “Korang memang ada apa-apa ke?” Soalnya
lagi inginkan kepastian.
“Sejak bila
kau suka dia ni?” Khairi memulangkan soalan juga.
“Sebelum kau kenal
dia lagi..” Selamba Faiq berterus-terang akan isi hatinya.
Khairi
mengoyak senyum nipis.
“Kau janganlah
senyum-senyum macam tu bro. Aku kena tahu. Kalau kau serius dengan dia, aku tak
nak kacau.” Ujar Faiq lagi. Dia sanggup mengalah hanya kerana ikatan
persahabatan mereka selama ini. Tidak mahu hanya kerana seorang perempuan
ikatan persahabatan mereka terjejas. Dia reda dengan ketentuan jika Awra memang
bukan jodohnya.
“Aku memang
suka dia. Tapi dia tak tahu pun aku suka dia..” Jawab Khairi jujur.
“Tapi aku
tengok dia macam suka kau..” Balas Faiq dengan suara yang mengendur.
“Tu aku..” Tak
sempat Khairi menghabiskan ayatnya apabila Faiq berdeham beberapa kali memberi
isyarat agar berhenti. Mata dihalakan ke arah yang dimaksudkan.
“Sanggup awak
tinggalkan family awak semata-mata
nak jumpa Khery eh..” Selamba Faiq menyindir saat Awra melabuhkan duduk ke sisi
Khairi di hadapannya.
“Saya ada
susahkan awak ke?” Jawab Awra selamba.
“Awak ni
kan..”
“Hey! Korang!” Tidak habis Faiq membalas
apabila Khairi mula mencelah. Dia perasan akan ketegangan di wajah
kedua-duanya.
Faiq
melepaskan nafas berat. Air teh yang sudah pun suam di hadapannya diteguk laju
demi menenangkan hatinya yang terasa berbahang.
“Aku tengah
makan ni bro.. Nak gaduh pun tunggu aku habis makan ya? Aku dari pagi tadi tak
makan apa ni.” Ujar Khairi sambil memandang ke wajah Awra dan Faiq bersilih ganti.
“Sorry Khery.. Kawan awak tu la.. Dari
semalam cari fasal dengan saya.” Balas Awra sambil menjeling Faiq di hadapannya.
Geram benar hatinya saat itu.
“Awak yang..”
Faiq ketap kuat bibirnya apabila Khairi memberi isyarat agar dia berhenti.
“Awra sayang..
Kenapa marah-marah ni.. Tak sampai lagi sebulan saya tinggalkan awak, awak
dengan Faiq dah gaduh macam ni..” Tutur Khairi lembut cuba meredakan suasana.
Terutamanya gadis di sisinya itu.
Faiq saat itu
hanya tahan hati. Lain benar irama yang bertamu di hatinya saat itu. Apa yang
pasti, telinganya cukup panas mendengar kata-kata Khairi yang lebih memujuk
Awra. Perkataan sayang yang meniti bibir Khairi menambah bahang di hati.
“Bro, kau ni..
Dengan perempuan pun nak gaduh. Hari tu dah elok-elok korang berbaik, takkan nak gaduh balik. Sudah-sudahlah tu..” Lembut
Khairi menuturkannya.
“Takdalah.. Aku
rasa aku tak buat salah apa pun.. Tak fasal-fasal aje dia ni nak marah-marah
aku.” Balas Faiq dengan rasa tidak puas hatinya.
Awra pula
ketap bibir rapat.
Khairi
melepaskan tawa kecil. “Sudah-sudah. Aku nak sambung makan ni. Aku kena naik
balik tengok mak aku tu. Korang kalau
nak duduk sini, tolong jangan nak bergaduh.” Lanjutnya tidak mahu mereka
menjadi perhatian di situ.
“Sorry..” Ucap Awra serba salah.
“It’s okay Fir..” Jawab Khairi senang
sambil memandang ke wajah Faiq di hadapannya.
Faiq mengoyak
senyum sinis. Kerana hormatkan sahabatnya itu dia terpaksa mengalah. Sedar
waktu dan tempat tidak begitu sesuai untuk mereka bertekak. “Khery, aku naik
dululah jumpa mak abah kau. Lepas tu aku terus balik. Lagipun korang dah lama tak jumpa kan? Mesti Fir
nak share macam-macam dengan kau. Aku
malas nak ganggu. Okeylah.” Ujarnya kemudian yang sengaja menekan nama
panggilan gadis itu sebelum bingkas. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan
sahabatnya itu sebelum dia terus berlalu. Sempat dia mengerling ke wajah Awra
yang menjelingnya tajam.
******
“Kenapa monyok aje dari tadi ni?” Soal Athirah saat melabuhkan duduk di
sisi adik iparnya itu.
“Takda apalah
kak..” Dalih Awra tidak mahu berterus terang apa yang dipendam saat itu.
“Erm.. Awra
ada jumpa Faiq ke tadi?” Serkap Athirah sengaja.
Awra tersenyum
nipis. Tidak hairan andai kakak iparnya itu tahu kerana dia sedia maklum akan
hubungan Faiq bersama abangnya. Kedua-duanya semakin akrab. “Tempat tuisyen
dia.. Mestilah Fir jumpa dia..” Jawabnya lambat. Tiada hati mahu bercerita
tentang lelaki itu.
“So, apa cerita? Hari tu Awra kata dia
dah lama tak datang kan? Hari ni apa mimpi pulak
dia datang?” Sengaja Athirah ingin mencungkil rahsia hati adik iparnya itu
walaupun dia tahu akan kebenarannya.
“Entah..
Mimpikan Fir kut..” Balas Awra sambil tersengih.
“Kalau dia
mimpikan Fir betul-betul macam mana?” Athirah cuba menduga.
“Eleh.. Takda
maknanya. Siapalah Fir ni dia nak mimpi-mimpi. Buat lawan gaduh bolehlah. Dah
la Fir makan gaji dengan dia. Lepas tu Fir suka-suka aje nak marah-marah dia
hari tu. Tapi tadi Fir terkejut jugak
bila dia ada. Fir ingat dia nak berhentikan Fir fasal hari tu. Nasib baik tak.
Muka dia, macam muka orang takda perasaan aje Fir tengok kak. Macam langsung
takda apa-apa yang jadi sebelum ni.. Padahal Fir dah buat dia marah hari tu..”
Jawab Awra dengan perasaan sedikit pelik di hatinya. Kemunculan majikannya hari
itu memang agak mengejutkan. “Erm.. Abang buat apa dekat dapur lewat-lewat ni?”
Lanjutnya apabila terdengar bunyi barang jatuh ke lantai.
Athirah menarik
senyum. “Dia tengah masak nasi goreng.” Jawabnya dengan senyuman yang kian
melebar.
“Pandai ke dia
masak kak? Silap-silap nanti ada yang food
poisoning pulak..” Balas Awra
yang turut melepaskan tawa kecil. Sejak kakak iparnya disahkan hamil, abangnya
yang menunjukkan pelbagai ragam. Perkara yang pelik-pelik sahaja dilakukan oleh
abangnya itu.
“Entah.. Biar
ajelah. Kita tengok macam mana. Dia kata teringin nak makan nasi goreng sardin pulak. Tak pernah-pernah dia masak nasi
goreng favourite akak tu.” Jawab
Athirah diiringi tawa kecil.
“Entah apa
yang jadi abang ni. Tadi dia tak cakap pun nak makan nasi goreng. Kalau tak,
boleh singgah mana-mana tadi.” Balas Awra sebelum bingkas. Mahu melihat keadaan
abangnya di ruang dapur. Dia cukup yakin yang abangnya itu tidak mampu memasak
kerana belum pernah lagi dia melihat Firdaus memasak sebelum ini.
“Apa kau buat
ni bang?” Ujarnya sebaik memijak lantai dapur. Kulit bawang merah dan bawang
putih bersepah-sepah di tepi kabinet.
“Takkan tengah
cuci kereta pulak.” Jawab Firdaus
sebelum memasukkan bahan penumis ke dalam kuali yang sudah panas. Melompat
setapak dia ke belakang apabila percikan minyak panas hampir mengenai wajah.
“Kau ni, tadi
tak cakap pun nak makan nasi goreng. Kan senang beli aje dekat kedai mamak yang
kau selalu lepak tu.” Ucap Awra sebelum mengambil sudip di tangan abangnya.
Tidak sampai hati melihat abangnya seperti takut-takut untuk menghampiri kuali.
Dia kini yang mengambil alih di tepi dapur. “Ish! Tengok, dah hangit. Dah takda
besar lagi ke api dapur kau ni?” Sempat dia menyindir apabila melihat bahan
penumis yang dimasukkan tadi mulai keperangan dan hampir hangus apabila api
dapur begitu besar hingga minyak terlalu panas.
“Alah..
Penat-penat aku tumbuk tadi.. Kau punya fasal la ni dik..” Rungut Firdaus apabila
melihat Awra sudah mengeluarkan bahan penumis yang hangus.
“Alah.. Kau
pergi beli dekat luar ajelah bang.. Kedai mamak yang biasa tu pun ada kan?”
Jawab Awra sambil membawa kuali tadi ke singki.
“Alah.. Tak
sedaplah. Aku dah rasa hari tu. Dekat kedai Faiq aje best.” Rungut Firdaus dengan perasaan sedikit hampa.
“Dah tahu tu,
pergi ajelah kedai dia. Kau ingat, kalau kau masak sendiri lagi sedaplah ya
bang?” Balas Awra yang masih mahu menyindir. “Kau ni nak buat nasi goreng
sardin ke nasi goreng halia? Bukan main lagi kau cincang halia ni.” Bebelnya
pula apabila perasan ada halia yang siap dicincang di atas papan pelandas.
“Entah. Masak
nasi goreng takda guna halia eh?” Balas Firdaus sambil tersengih-sengih.
“Apalah kau ni..
Pelik-pelik aje. Tak tahu masak, cakap tak tahu masak. Jangan nak pandai-pandai
masak. Nanti tak fasal-fasal ada yang ke hospital makan nasi goreng kau ni.
Dengan cili padi punya banyak kau cincang ni. Pergi ajelah kau beli dekat kedai
si Faiq tu.” Bebel Awra lagi sambil mengemas semula bahan-bahan masakan serta peralatan
yang telah digunakan.
“Akak dah
cakap tadi Awra. Abang Awra ni yang degil.” Celah Athirah yang baru melangkah
masuk ke ruang dapur sederhana besar itu.
“Alah..
Malaslah..” Jawab Firdaus sambil meraih jemari isterinya yang menghampiri.
“Habis tu,
kalau dah hangus takkan nak makan jugak.
Tak pun, esok ajelah abang pergi kedai dia.” Balas Awra senang.
“Ha’ah.. Esok
ajelah bang kita makan dekat kedai Faiq. Abang tak payah susah-susah masak.”
Tambah Athirah pula.
“Alah…”
Panjang Firdaus mengeluh hampa. “Nak tunggu esok lambatlah.. Erm.. Dik, please.. Aku tahu, kalau kau yang masak,
mesti sedap macam Faiq punya.” Lanjutnya kemudian mula memujuk.
Awra sudah
menjuihkan bibir. Faham benar akan makna kata-kata pujian yang dilemparkan oleh
abangnya itu. “Takda-takda. Fir penat. Nak tidur. Penat-penat Fir mandi tadi,
malas nak mandi lagi. Habis berbau semua baju Fir ni nanti.” Dia memberi alasan
walaupun sebenarnya dia tidak sampai hati membiarkan abangnya kelihatan hampa
begitu.
“Ala… Please dik.. Malam ni aje.. Nanti aku
bayar. Please.. Please..” Firdaus sudah melirihkan suaranya. Dia benar-benar
teringin makan nasi goreng kegemaran isterinya.
Awra tiba-tiba
tersengih. Kedua-dua keningnya terangkat. “Berapa kau nak bayar?” Ujarnya penuh
makna. Sengaja mahu mengusik abangnya itu.
“Erm.. Kalau
dekat kedai Faiq dalam lima ringgit.. Erm.. Aku bayar tiga kali ganda. Aku up lima belas ringgit. Amacam?” Balas Firdaus yang turut sama
mengangkat kening. Penuh mengharap agar adiknya itu tidak menghampakan.
“Baik. Tapi
sebelum tu, tolong jangan nak banding-bandingkan nasi goreng yang aku buat
dengan nasi goreng si Faiq tu. Dah tentu aku punya lagi sedap dari nasi goreng
lima ringgit dia tu. Kalau tak, aku tak nak masak. Kalau tak sedap pun aku tahu
kau cakap sedap.” Awra memberi peringatan. Panas benar telinganya apabila nama
Faiq meniti bibir abangnya itu.
“Small the pieces.” Jawab Firdaus yang
mula tersenyum lebar. Sempat dia mengangkat dua keningnya kepada Athirah.
“Susahkan Awra
ajelah abang ni.” Ucap Athirah seraya menepuk lengan Firdaus yang sudah
tersengih-sengih. “Awra, biarlah akak yang masak.” Ujarnya kemudian apabila
melihat Awra mula mengeluarkan semula bahan masakan yang telah disimpan tadi.
“Takpalah kak.
Biarlah Awra masak. Biar tekak abang tu tahu jangan asyik nak bagi si Faiq tu
kaya aje. Macamlah kita tak boleh masak sendiri.” Balas Awra yang tidak
keberatan untuk memasak memandangkan ia merupakan salah satu minatnya dari dulu
lagi.
“Manalah abang
tahu.. Kau tu yang jarang nak masak untuk aku siapa suruh.” Sahut Firdaus
selamba.
“Hello. Kau tu yang selalu nak makan
dekat luar eh? Kalau tak kedai Faiq, kedai mamak. Tu ajelah yang kau tahu
bang.. Entah apa yang best entah. Kan
kak?” Awra tidak mahu mengalah. Dalam pada itu. Tangannya lincah mengupas kulit
bawang manakala Athirah yang sudah membantu memotong lobak merah hanya
tersenyum.
“Mana ada.”
Sangkal Firdaus dalam nada yang sama.
“Eleh.. Iyalah
tu. Sekarang ni bukan kau aje yang dah terjebak dekat kedai si Faiq tu, dengan
abah-abah sekali kan? Macamlah aku tak tahu.” Balas Awra yang mula menumbuk
segala bahan penumis di dalam lesung batu. Cepat sahaja dia melakukannya untuk hidangan
seorang.
Athirah dan
Firdaus sudah berpandangan antara satu sama lain.
“Semua makanan
dekat kedai dia tu memang best la.”
Sahut Firdaus sengaja mahu melihat reaksi adiknya itu.
“Alah..
Mentang-mentanglah special dish dekat
situ ikan patin masak tempoyak favourite
semua orang. Ingat semua makanan dekat situ pun best la?” Balas Awra tidak berpuas hati mendengar pujian Firdaus.
“Betul apa.
Kau pun pernah rasakan?” Jawab Firdaus lagi.
“Eh, sekali
aje aku pernah makan dekat kedai tu eh. Korang
aje yang banyak kali dah makan dekat situ.” Balas Awra sambil memasukkan bahan
penumis bersama ikan sardin yang telah dihancurkan kakak iparnya sebentar tadi.
“Eleh..
Makanlah jugak. Bukan langsung tak
pernah makan dekat kedai tu. Siap hari tu ada orang tu tak dengar bila orang
panggil. Punyalah khusyuk dia makan sampai tak hengat dunia.” Firdaus tidak
mahu mengalah. Athirah di sisinya sudah memberi isyarat mata agar
berhenti.
Awra
mencebikkan bibirnya. Malas mahu mengingati peristiwa di restoran yang
dimaksudkan. Kenangan yang tercipta bersama Aura Selera bukanlah satu kenangan
manis yang boleh dikenang kerana ia hanya akan menambah sakit hatinya. Dalam
pada itu, tangannya terus sahaja mencapai lobak merah yang sudah dipotong dadu
sebelum sepinggan nasi putih yang tersedia ke dalam kuali. Dan tanpa Firdaus
sedari, dia turut memasukkan cili padi yang telah dicincang oleh lelaki itu
awal tadi sebanyak mungkin. ‘Ni barulah nasi goreng sardin lima belas ringgit..’
Omelnya dalam hati diiringi senyum penuh makna di bibir. Laju tangannya
mengacau nasi goreng yang hampir masak. “Nah. Dah siap.” Ujarnya kemudian. “Kalau
tak sedap, jangan nak banyak bunyi. Kalau banyak bunyi, lain kali aku tak nak
masak!” Sempat lagi dia mengugut sebelum beredar dari ruang itu.
“Lima belas
ringgit kau tu tolak duit sewa dengan makan minum dekat rumah aku ni la ya?”
Balas Firdaus sengaja mengusik sebelum bingkas ke tepi dapur. Tidak sabar untuk
merasa nasi goreng yang sudah siap dimasak.
“Alah!
Kedekut, cakap ajelah kedekut!” Laung Awra yang masih lagi dapat mendengar
suara abangnya.
“Abang ni..
Tak baiklah.. Dengan adik sendiri pun nak berkira.” Tegur Athirah akan perangai
suaminya yang suka benar menyakat adik iparnya yang seorang itu.
“Apasal nasi goreng ni..” Belum pun
sempat Firdaus menghabiskan kata, laju dia menapak ke peti sejuk. Botol air
mineral dikeluarkan. Tanpa sempat dia mengambil gelas, laju dia meneguk air
itu.
“Kenapa pulak ni?” Soal Athirah sedikit pelik
melihat suaminya begitu.
“Awra! Kau
memang saja nak kenakan aku kan!” Terjerit Firdaus di situ tanpa menghiraukan
kata-kata Athirah. Cepat-cepat pula dia mencapai sebiji gula-gula dari balang milik
isterinya di atas peti sejuk untuk mengurangkan rasa pijar pada lidah.
Athirah sudah
tergelak-gelak. Sedar nasi goreng yang dimasak oleh adik iparnya terlalu pedas hingga
menyebabkan wajah suaminya merah padam begitu.
“Padan muka
kau! Lain kali jangan suka-suka nak mengata orang!” Terdengar suara adiknya
membalas diiringi tawa besar.
~alohh.. nak jugak tetibe..
selamat berbuka kepada yang berpuasa hari ni :)
8 comments:
hahaha..very noti c awra ni
buat muka selama~buat muka selamba
Agak2 bila nk dibukukan dan dipasarkan?
TDK InshaaAllah klau ada rezeki hujung thun ni. :) thanks for reading yup :)
Tdk hujungbtahun ni. Awra bila lok?
Awra msih di sini. Tidak dilamar. :)
mcm suka awra dgn khery pulak. sbb khery nampak lebih cool..
Khery cool tapi ja..
tapi Awra sesuai dgn Faiq sebab sama-sama degil dan keras hati...hehehe
sdap ke nsi goreng sardin x pnah rasa..
Post a Comment