Aug 30, 2013

AWRA_bab 10

AWRA 10

“Awra, awak tolong siapkan report ni. Dah siap, awak letak aje atas meja saya. Saya mungkin dua minggu takda dekat sini. Nanti kalau ada apa-apa yang tak faham, boleh tanya pada Khairi. Saya dah suruh dia datang Sabtu ni sebab report tu nak kena hantar. Bolehkan?” Ujar Faidh sambil meletakkan sebuah fail kewangan berserta sehelai kertas kira-kira yang sudah disiapkan sebentar tadi.

“Okey.” Jawab Awra akur tanpa sedikit pun membantah. Bukan sekali dua dia perlu membuat laporan kewangan pusat tuisyen itu. Hampir setiap bulan.

“Selama saya takda, ada apa-apa tak yang awak nak bagi tahu saya? Kelas ke, tutor-tutor? Ada masalah tak?” Soal Faidh serius. Dia agak risau kerana hampir sebulan dia tidak melihat perkembangan pusat tuisyennya itu kerana terlalu sibuk dengan kerja sendiri. Baru hari itu dia berkesempatan untuk ke situ. Itu pun hanya kerana untuk memaklumkan laporan kewangan yang perlu dibuat.

“Setakat ni takda apa-apa. Semua okey.” Balas Awra sama serius. Matanya hanya sesekali sahaja ditalakan ke wajah majikannya yang sudah lama tidak ditemui itu. Agak terkejut saat dia tiba tadi hingga terasa kedudukannya di situ mungkin tidak lama selepas apa yang telah berlaku sebulan lalu.

Selepas peristiwa di hospital, langsung tiada panggilan mahupun pesanan yang ditinggalkan membuatkan dia terus bekerja tanpa ragu walaupun tetap tercuit perasaan bersalah di hati setelah layanan dingin yang diberi. Dan sepanjang hari itu pula, tiada perbualan antara mereka. Dia dengan kerja-kerjanya manakala lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik sendiri. Bukan dia tidak ingat apa yang telah berlaku hampir sebulan lalu. Hubungan mereka keruh gara-gara keakraban yang ditunjukkan oleh lelaki itu saat bersama ahli keluarganya.

“Awak okey ke Awra? Macam tak okey aje saya tengok.” Ujar Faidh lagi. Sedikit pelik melihat wajah gadis di hadapannya itu. Serba tidak kena.

“Er.. Okey.. Saya takda apa-apa.” Balas Awra dengan senyuman paksa. Namun dalam hatinya saat itu sudah merungut-rungut entah apa-apa. ‘Lagi nak tanya aku okey ke tak dia ni.. Yang dia tu, boleh buat muka selama kenapa? Dah lupa ingatan ke apa..’

“Kalau okey takpalah. Saya ingat tak okey tadi..” Balas Faidh dalam senyuman nipis. Langsung tiada syak di hatinya apabila melihat sedikit kedinginan yang ditunjukkan oleh gadis itu. “Erm.. Kalau takda apa-apa, saya dah nak balik ni. Apa-apa hal, awak boleh call saya. Nak call Khairi pun boleh.” Lanjutnya dengan senyuman penuh makna. Dia tahu Awra begitu akrab dengan Khairi dan gadis itu lebih selesa berurusan dengan sahabatnya.

“Er.. Iyalah..” Ringkas sahaja jawapan yang diberi oleh Awra berserta senyuman payau. Rasa tersindir apabila nama Khairi disebut lagi. Namun ada perasaan lega terbit di hati apabila lelaki itu menyatakan ingin pulang. Hatinya tidak begitu tenteram apabila sepanjang hari mereka bersama. Terasa segala perbuatannya menjadi perhatian.

“Okeylah.. Dah takda apa-apakan? Saya balik dulu.. Awak nanti jangan lupa tutup suis semua. Balik nanti abang awak jemputkan?” Ujar Faidh sambil mengeluarkan kunci kereta dari saku seluarnya.

“Er.. Ha’ah..” Jawab Awra berserta kerutan di dahi. Pelik benar dengan pertanyaan yang diujarkan oleh lelaki di hadapannya itu. ‘Dah kenapa dia ni tanya soalan pelik-pelik? Dah tahu, lagi nak tanya..’ Rungutnya dalam hati.

“Okeylah. Saya balik dulu.” Ucap Faidh diiringi senyuman nipis sebelum dia terus berlalu.

Awra hanya membalas seadanya sebelum senyumnya mati sebaik kelibat lelaki itu hilang dari pandangan. “Salah makan ke apa dia ni tanya aku soalan pelik. Macamlah baru sehari kenal aku.” Bebelnya sendirian. Dia terasa asing saat berbual dengan lelaki itu sebentar tadi. Padahal jika bertemu sebelum ini, ada perasaan aneh yang bertamu di hatinya.

*******

“Tolonglah bu.. Along tak naklah.. Berapa kali Along nak cakap..” Rungut Faiq apabila Hajah Jamilah mengusulkan calon isteri yang telah dipilihnya.

“Apa kurangnya Wahida tu? Cuba Along cakap dengan ibu.” Balas Hajah Jamilah tidak berpuas hati apabila setiap kali calon yang dipilih sering ditolak oleh anak sulungnya itu.

“Along tak sedialah..” Jawab Faiq malas. Rancangan tv yang sedang ditonton saat itu tidak lagi dapat menarik perhatiannya. Terganggu gara-gara topik hangat yang dibawa oleh ibunya. Ada perasaan menyesal muncul di hati apabila bersetuju untuk pulang ke kampung halamannya itu awal pagi tadi memandangkan adik kembarnya terlalu sibuk dan tidak dapat pulang bersama.

“Tak sedia apanya.. Apa lagi yang Along nak cari? Duit? Takkan tak cukup lagi duit yang ada. Dah kerja siang malam pun tak cukup lagi ke?” Balas Hajah Jamilah sedikit geram. Setiap kali dia mengusulkan hal itu, alasan sama yang akan diterimanya.

“Bukan fasal duitlah bu.. Ibu faham tak, perasaan ni tak boleh nak paksa-paksa. Along kenal pun tidak dengan Wahida tu.. Tiba-tiba ibu nak Along kahwin dengan dia. Apa ni bu..” Jawabnya dengan suara yang mengendur. Tidak sanggup meninggi suara dengan satu-satunya wanita yang amat disayangi dan dihormatinya itu.

“Ibu bukan suruh Along kahwin terus dengan dia.. Kenal-kenallah dulu. Manalah tahu berkenan. Kalau tak berkenan, takpalah..” Balas Hajah Jamilah masih lagi mahu memujuk. Dia teringin benar melihat anak sulungnya itu menamatkan zaman bujang bersama anaknya yang seorang lagi.

“Malaslah bu.. Along sibuklah sekarang.. Takda masa nak kenal-kenal ni..” Faiq masih lagi mencipta alasan untuk menolak permintaan ibunya.

“Susahlah Along ni.. Penat-penat ibu carikan calon.. Ibu tak suruh pun terus kahwin.. Suruh kenal aje.. Itu pun susah sangat ke?” Hajah Jamilah mula membuat suara lirihnya. Dengan cara itu sahaja Faiq akan menurut kata.

“Ibu tu mulalah.. Ni yang Along malas nak balik sini ni.. Kalau tahu macam ni, Along tidur rumah ayah tadi..” Balas Faiq yang sedia maklum akan taktik ibunya itu. Bukan sekali dua begitu.

“Amboi.. Sekarang Along nak ugut ibu pulak ya?” Jawab Hajah Jamilah sedikit geram. Bukan dia tidak tahu akan maksud anak sulungnya itu. Sudah menjadi kebiasaannya anak-anak akan bergilir tidur di rumah bekas suaminya sejak mereka berpisah sepuluh tahun lalu.

“Bukan ugut.. Ibu tu.. Suka ugut-ugut Along.. Cukuplah Rini sorang jadi girlfriend Along. Kalau dia tahu Along ada girlfriend lain, jangan haraplah dia nak layan Along lagi.” Balas Faiq berserta sengihan.

“Alah.. Rini yang disibukkannya..” Jawab Hajah Jamilah mula mengalah. Terpaksa akur dengan kata-kata anaknya itu. Bukan dia tidak tahu Faiq rapat dengan salah seorang anak saudara bekas suaminya yang sering bertandang di situ jika anak-anaknya pulang bercuti.

“Rini mana bu? Dah tidur?” Ujar Faiq terus menukar perbualan apabila teringat akan sepupunya yang masih berumur lima tahun itu.

“Baru aje dia tidur. Penat sangat dia hari ni sebab ada sukan dekat taskanya tadi.” Jawab Hajah Jamilah sebelum bingkas. Dia mahu melihat si kecil yang sudah lena di dalam biliknya tadi.

Faiq mengoyak senyum puas sebaik kelibat ibunya hilang dari pandangan. Begitu mudah dia mengalihkan perhatian ibunya tadi. Dan kini dalam kepalanya sedang bermain wajah cemberut seorang gadis yang semakin terpahat kukuh. Sukar benar dibuang wajah itu walaupun sudah berkali-kali dicuba. Hampir sebulan dia tidak bertemu dengan Awra selepas apa yang berlaku di antara mereka. Langsung dia tidak bertanya dengan adik kembarnya sendiri memandangkan lelaki itu juga sama-sama sibuk hingga mempercayai Awra untuk menguruskan pusat tuisyen. Untuk bertanya kepada Firdaus pula dia terasa malu walaupun mereka kerap keluar bersama. Teringat lagi peristiwa di hospital membuatkan dia terpaksa tahan hati dari mendekati Awra lagi.

******
“Kau ada apa-apa ke dengan Awra?” Faiq memulakan kata sebaik melabuhkan duduk selepas membeli air teh kesukaannya.

“Kau ni agak-agaklah.. Takkan nak jumpa aku semata-mata nak tanya fasal tu..” Balas Khairi diiringi sengihan.

“Aku kena tahulah Khery..” Luah Faiq kurang sabar. Dia mahu tahu dari mulut lelaki itu sendiri agar segala persoalan yang bersarang dalam kepalanya terjawab.

“Tak sangka kawan aku sendiri suka dengan perempuan yang sama.” Jawab Khairi cukup tenang sebelum meletakkan sudu yang dipegang. Air teh limau ais di sisinya disedut perlahan.

Faiq menghela nafas panjang. Tidak menyangka jangkaannya sebelum ini tepat mengena. “Korang memang ada apa-apa ke?” Soalnya lagi inginkan kepastian.

“Sejak bila kau suka dia ni?” Khairi memulangkan soalan juga.

“Sebelum kau kenal dia lagi..” Selamba Faiq berterus-terang akan isi hatinya.

Khairi mengoyak senyum nipis.

“Kau janganlah senyum-senyum macam tu bro. Aku kena tahu. Kalau kau serius dengan dia, aku tak nak kacau.” Ujar Faiq lagi. Dia sanggup mengalah hanya kerana ikatan persahabatan mereka selama ini. Tidak mahu hanya kerana seorang perempuan ikatan persahabatan mereka terjejas. Dia reda dengan ketentuan jika Awra memang bukan jodohnya.

“Aku memang suka dia. Tapi dia tak tahu pun aku suka dia..” Jawab Khairi jujur.

“Tapi aku tengok dia macam suka kau..” Balas Faiq dengan suara yang mengendur.

“Tu aku..” Tak sempat Khairi menghabiskan ayatnya apabila Faiq berdeham beberapa kali memberi isyarat agar berhenti. Mata dihalakan ke arah yang dimaksudkan.

“Sanggup awak tinggalkan family awak semata-mata nak jumpa Khery eh..” Selamba Faiq menyindir saat Awra melabuhkan duduk ke sisi Khairi di hadapannya.

“Saya ada susahkan awak ke?” Jawab Awra selamba.

“Awak ni kan..”

“Hey! Korang!” Tidak habis Faiq membalas apabila Khairi mula mencelah. Dia perasan akan ketegangan di wajah kedua-duanya.

Faiq melepaskan nafas berat. Air teh yang sudah pun suam di hadapannya diteguk laju demi menenangkan hatinya yang terasa berbahang.

“Aku tengah makan ni bro.. Nak gaduh pun tunggu aku habis makan ya? Aku dari pagi tadi tak makan apa ni.” Ujar Khairi sambil memandang ke wajah Awra dan Faiq bersilih ganti.

Sorry Khery.. Kawan awak tu la.. Dari semalam cari fasal dengan saya.” Balas Awra sambil menjeling Faiq di hadapannya. Geram benar hatinya saat itu.

“Awak yang..” Faiq ketap kuat bibirnya apabila Khairi memberi isyarat agar dia berhenti.

“Awra sayang.. Kenapa marah-marah ni.. Tak sampai lagi sebulan saya tinggalkan awak, awak dengan Faiq dah gaduh macam ni..” Tutur Khairi lembut cuba meredakan suasana. Terutamanya gadis di sisinya itu.

Faiq saat itu hanya tahan hati. Lain benar irama yang bertamu di hatinya saat itu. Apa yang pasti, telinganya cukup panas mendengar kata-kata Khairi yang lebih memujuk Awra. Perkataan sayang yang meniti bibir Khairi menambah bahang di hati.

“Bro, kau ni.. Dengan perempuan pun nak gaduh. Hari tu dah elok-elok korang berbaik, takkan nak gaduh balik. Sudah-sudahlah tu..” Lembut Khairi menuturkannya.

“Takdalah.. Aku rasa aku tak buat salah apa pun.. Tak fasal-fasal aje dia ni nak marah-marah aku.” Balas Faiq dengan rasa tidak puas hatinya.

Awra pula ketap bibir rapat.

Khairi melepaskan tawa kecil. “Sudah-sudah. Aku nak sambung makan ni. Aku kena naik balik tengok mak aku tu. Korang kalau nak duduk sini, tolong jangan nak bergaduh.” Lanjutnya tidak mahu mereka menjadi perhatian di situ.

Sorry..” Ucap Awra serba salah.

It’s okay Fir..” Jawab Khairi senang sambil memandang ke wajah Faiq di hadapannya.

Faiq mengoyak senyum sinis. Kerana hormatkan sahabatnya itu dia terpaksa mengalah. Sedar waktu dan tempat tidak begitu sesuai untuk mereka bertekak. “Khery, aku naik dululah jumpa mak abah kau. Lepas tu aku terus balik. Lagipun korang dah lama tak jumpa kan? Mesti Fir nak share macam-macam dengan kau. Aku malas nak ganggu. Okeylah.” Ujarnya kemudian yang sengaja menekan nama panggilan gadis itu sebelum bingkas. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan sahabatnya itu sebelum dia terus berlalu. Sempat dia mengerling ke wajah Awra yang menjelingnya tajam.

******
“Kenapa monyok aje dari tadi ni?” Soal Athirah saat melabuhkan duduk di sisi adik iparnya itu.

“Takda apalah kak..” Dalih Awra tidak mahu berterus terang apa yang dipendam saat itu.

“Erm.. Awra ada jumpa Faiq ke tadi?” Serkap Athirah sengaja.

Awra tersenyum nipis. Tidak hairan andai kakak iparnya itu tahu kerana dia sedia maklum akan hubungan Faiq bersama abangnya. Kedua-duanya semakin akrab. “Tempat tuisyen dia.. Mestilah Fir jumpa dia..” Jawabnya lambat. Tiada hati mahu bercerita tentang lelaki itu.

So, apa cerita? Hari tu Awra kata dia dah lama tak datang kan? Hari ni apa mimpi pulak dia datang?” Sengaja Athirah ingin mencungkil rahsia hati adik iparnya itu walaupun dia tahu akan kebenarannya.

“Entah.. Mimpikan Fir kut..” Balas Awra sambil tersengih.

“Kalau dia mimpikan Fir betul-betul macam mana?” Athirah cuba menduga.

“Eleh.. Takda maknanya. Siapalah Fir ni dia nak mimpi-mimpi. Buat lawan gaduh bolehlah. Dah la Fir makan gaji dengan dia. Lepas tu Fir suka-suka aje nak marah-marah dia hari tu. Tapi tadi Fir terkejut jugak bila dia ada. Fir ingat dia nak berhentikan Fir fasal hari tu. Nasib baik tak. Muka dia, macam muka orang takda perasaan aje Fir tengok kak. Macam langsung takda apa-apa yang jadi sebelum ni.. Padahal Fir dah buat dia marah hari tu..” Jawab Awra dengan perasaan sedikit pelik di hatinya. Kemunculan majikannya hari itu memang agak mengejutkan. “Erm.. Abang buat apa dekat dapur lewat-lewat ni?” Lanjutnya apabila terdengar bunyi barang jatuh ke lantai.

Athirah menarik senyum. “Dia tengah masak nasi goreng.” Jawabnya dengan senyuman yang kian melebar.

“Pandai ke dia masak kak? Silap-silap nanti ada yang food poisoning pulak..” Balas Awra yang turut melepaskan tawa kecil. Sejak kakak iparnya disahkan hamil, abangnya yang menunjukkan pelbagai ragam. Perkara yang pelik-pelik sahaja dilakukan oleh abangnya itu.

“Entah.. Biar ajelah. Kita tengok macam mana. Dia kata teringin nak makan nasi goreng sardin pulak. Tak pernah-pernah dia masak nasi goreng favourite akak tu.” Jawab Athirah diiringi tawa kecil.

“Entah apa yang jadi abang ni. Tadi dia tak cakap pun nak makan nasi goreng. Kalau tak, boleh singgah mana-mana tadi.” Balas Awra sebelum bingkas. Mahu melihat keadaan abangnya di ruang dapur. Dia cukup yakin yang abangnya itu tidak mampu memasak kerana belum pernah lagi dia melihat Firdaus memasak sebelum ini.

“Apa kau buat ni bang?” Ujarnya sebaik memijak lantai dapur. Kulit bawang merah dan bawang putih bersepah-sepah di tepi kabinet.

“Takkan tengah cuci kereta pulak.” Jawab Firdaus sebelum memasukkan bahan penumis ke dalam kuali yang sudah panas. Melompat setapak dia ke belakang apabila percikan minyak panas hampir mengenai wajah.

“Kau ni, tadi tak cakap pun nak makan nasi goreng. Kan senang beli aje dekat kedai mamak yang kau selalu lepak tu.” Ucap Awra sebelum mengambil sudip di tangan abangnya. Tidak sampai hati melihat abangnya seperti takut-takut untuk menghampiri kuali. Dia kini yang mengambil alih di tepi dapur. “Ish! Tengok, dah hangit. Dah takda besar lagi ke api dapur kau ni?” Sempat dia menyindir apabila melihat bahan penumis yang dimasukkan tadi mulai keperangan dan hampir hangus apabila api dapur begitu besar hingga minyak terlalu panas.

“Alah.. Penat-penat aku tumbuk tadi.. Kau punya fasal la ni dik..” Rungut Firdaus apabila melihat Awra sudah mengeluarkan bahan penumis yang hangus.

“Alah.. Kau pergi beli dekat luar ajelah bang.. Kedai mamak yang biasa tu pun ada kan?” Jawab Awra sambil membawa kuali tadi ke singki.

“Alah.. Tak sedaplah. Aku dah rasa hari tu. Dekat kedai Faiq aje best.” Rungut Firdaus dengan perasaan sedikit hampa.

“Dah tahu tu, pergi ajelah kedai dia. Kau ingat, kalau kau masak sendiri lagi sedaplah ya bang?” Balas Awra yang masih mahu menyindir. “Kau ni nak buat nasi goreng sardin ke nasi goreng halia? Bukan main lagi kau cincang halia ni.” Bebelnya pula apabila perasan ada halia yang siap dicincang di atas papan pelandas.

“Entah. Masak nasi goreng takda guna halia eh?” Balas Firdaus sambil tersengih-sengih.

“Apalah kau ni.. Pelik-pelik aje. Tak tahu masak, cakap tak tahu masak. Jangan nak pandai-pandai masak. Nanti tak fasal-fasal ada yang ke hospital makan nasi goreng kau ni. Dengan cili padi punya banyak kau cincang ni. Pergi ajelah kau beli dekat kedai si Faiq tu.” Bebel Awra lagi sambil mengemas semula bahan-bahan masakan serta peralatan yang telah digunakan.

“Akak dah cakap tadi Awra. Abang Awra ni yang degil.” Celah Athirah yang baru melangkah masuk ke ruang dapur sederhana besar itu.

“Alah.. Malaslah..” Jawab Firdaus sambil meraih jemari isterinya yang menghampiri.

“Habis tu, kalau dah hangus takkan nak makan jugak. Tak pun, esok ajelah abang pergi kedai dia.” Balas Awra senang.

“Ha’ah.. Esok ajelah bang kita makan dekat kedai Faiq. Abang tak payah susah-susah masak.” Tambah Athirah pula.

“Alah…” Panjang Firdaus mengeluh hampa. “Nak tunggu esok lambatlah.. Erm.. Dik, please.. Aku tahu, kalau kau yang masak, mesti sedap macam Faiq punya.” Lanjutnya kemudian mula memujuk.

Awra sudah menjuihkan bibir. Faham benar akan makna kata-kata pujian yang dilemparkan oleh abangnya itu. “Takda-takda. Fir penat. Nak tidur. Penat-penat Fir mandi tadi, malas nak mandi lagi. Habis berbau semua baju Fir ni nanti.” Dia memberi alasan walaupun sebenarnya dia tidak sampai hati membiarkan abangnya kelihatan hampa begitu.

“Ala… Please dik.. Malam ni aje.. Nanti aku bayar. Please.. Please..” Firdaus sudah melirihkan suaranya. Dia benar-benar teringin makan nasi goreng kegemaran isterinya.

Awra tiba-tiba tersengih. Kedua-dua keningnya terangkat. “Berapa kau nak bayar?” Ujarnya penuh makna. Sengaja mahu mengusik abangnya itu.

“Erm.. Kalau dekat kedai Faiq dalam lima ringgit.. Erm.. Aku bayar tiga kali ganda. Aku up lima belas ringgit. Amacam?” Balas Firdaus yang turut sama mengangkat kening. Penuh mengharap agar adiknya itu tidak menghampakan.

“Baik. Tapi sebelum tu, tolong jangan nak banding-bandingkan nasi goreng yang aku buat dengan nasi goreng si Faiq tu. Dah tentu aku punya lagi sedap dari nasi goreng lima ringgit dia tu. Kalau tak, aku tak nak masak. Kalau tak sedap pun aku tahu kau cakap sedap.” Awra memberi peringatan. Panas benar telinganya apabila nama Faiq meniti bibir abangnya itu.

Small the pieces.” Jawab Firdaus yang mula tersenyum lebar. Sempat dia mengangkat dua keningnya kepada Athirah.

“Susahkan Awra ajelah abang ni.” Ucap Athirah seraya menepuk lengan Firdaus yang sudah tersengih-sengih. “Awra, biarlah akak yang masak.” Ujarnya kemudian apabila melihat Awra mula mengeluarkan semula bahan masakan yang telah disimpan tadi.

“Takpalah kak. Biarlah Awra masak. Biar tekak abang tu tahu jangan asyik nak bagi si Faiq tu kaya aje. Macamlah kita tak boleh masak sendiri.” Balas Awra yang tidak keberatan untuk memasak memandangkan ia merupakan salah satu minatnya dari dulu lagi.

“Manalah abang tahu.. Kau tu yang jarang nak masak untuk aku siapa suruh.” Sahut Firdaus selamba.

Hello. Kau tu yang selalu nak makan dekat luar eh? Kalau tak kedai Faiq, kedai mamak. Tu ajelah yang kau tahu bang.. Entah apa yang best entah. Kan kak?” Awra tidak mahu mengalah. Dalam pada itu. Tangannya lincah mengupas kulit bawang manakala Athirah yang sudah membantu memotong lobak merah hanya tersenyum.

“Mana ada.” Sangkal Firdaus dalam nada yang sama.

“Eleh.. Iyalah tu. Sekarang ni bukan kau aje yang dah terjebak dekat kedai si Faiq tu, dengan abah-abah sekali kan? Macamlah aku tak tahu.” Balas Awra yang mula menumbuk segala bahan penumis di dalam lesung batu. Cepat sahaja dia melakukannya untuk hidangan seorang.

Athirah dan Firdaus sudah berpandangan antara satu sama lain.

“Semua makanan dekat kedai dia tu memang best la.” Sahut Firdaus sengaja mahu melihat reaksi adiknya itu.

“Alah.. Mentang-mentanglah special dish dekat situ ikan patin masak tempoyak favourite semua orang. Ingat semua makanan dekat situ pun best la?” Balas Awra tidak berpuas hati mendengar pujian Firdaus.

“Betul apa. Kau pun pernah rasakan?” Jawab Firdaus lagi.

“Eh, sekali aje aku pernah makan dekat kedai tu eh. Korang aje yang banyak kali dah makan dekat situ.” Balas Awra sambil memasukkan bahan penumis bersama ikan sardin yang telah dihancurkan kakak iparnya sebentar tadi.

“Eleh.. Makanlah jugak. Bukan langsung tak pernah makan dekat kedai tu. Siap hari tu ada orang tu tak dengar bila orang panggil. Punyalah khusyuk dia makan sampai tak hengat dunia.” Firdaus tidak  mahu mengalah. Athirah di sisinya sudah memberi isyarat mata agar berhenti.

Awra mencebikkan bibirnya. Malas mahu mengingati peristiwa di restoran yang dimaksudkan. Kenangan yang tercipta bersama Aura Selera bukanlah satu kenangan manis yang boleh dikenang kerana ia hanya akan menambah sakit hatinya. Dalam pada itu, tangannya terus sahaja mencapai lobak merah yang sudah dipotong dadu sebelum sepinggan nasi putih yang tersedia ke dalam kuali. Dan tanpa Firdaus sedari, dia turut memasukkan cili padi yang telah dicincang oleh lelaki itu awal tadi sebanyak mungkin. ‘Ni barulah nasi goreng sardin lima belas ringgit..’ Omelnya dalam hati diiringi senyum penuh makna di bibir. Laju tangannya mengacau nasi goreng yang hampir masak. “Nah. Dah siap.” Ujarnya kemudian. “Kalau tak sedap, jangan nak banyak bunyi. Kalau banyak bunyi, lain kali aku tak nak masak!” Sempat lagi dia mengugut sebelum beredar dari ruang itu.

“Lima belas ringgit kau tu tolak duit sewa dengan makan minum dekat rumah aku ni la ya?” Balas Firdaus sengaja mengusik sebelum bingkas ke tepi dapur. Tidak sabar untuk merasa nasi goreng yang sudah siap dimasak.

“Alah! Kedekut, cakap ajelah kedekut!” Laung Awra yang masih lagi dapat mendengar suara abangnya.

“Abang ni.. Tak baiklah.. Dengan adik sendiri pun nak berkira.” Tegur Athirah akan perangai suaminya yang suka benar menyakat adik iparnya yang seorang itu.

Apasal nasi goreng ni..” Belum pun sempat Firdaus menghabiskan kata, laju dia menapak ke peti sejuk. Botol air mineral dikeluarkan. Tanpa sempat dia mengambil gelas, laju dia meneguk air itu.

“Kenapa pulak ni?” Soal Athirah sedikit pelik melihat suaminya begitu.

“Awra! Kau memang saja nak kenakan aku kan!” Terjerit Firdaus di situ tanpa menghiraukan kata-kata Athirah. Cepat-cepat pula dia mencapai sebiji gula-gula dari balang milik isterinya di atas peti sejuk untuk mengurangkan rasa pijar pada lidah.

Athirah sudah tergelak-gelak. Sedar nasi goreng yang dimasak oleh adik iparnya terlalu pedas hingga menyebabkan wajah suaminya merah padam begitu.


“Padan muka kau! Lain kali jangan suka-suka nak mengata orang!” Terdengar suara adiknya membalas diiringi tawa besar.

~alohh.. nak jugak tetibe.. 
selamat berbuka kepada yang berpuasa hari ni :)

8 comments:

MaY_LiN said...

hahaha..very noti c awra ni


buat muka selama~buat muka selamba

ayu salina said...

Agak2 bila nk dibukukan dan dipasarkan?

Ehem said...

TDK InshaaAllah klau ada rezeki hujung thun ni. :) thanks for reading yup :)

ayu salina said...

Tdk hujungbtahun ni. Awra bila lok?

Ehem said...

Awra msih di sini. Tidak dilamar. :)

mel rose said...

mcm suka awra dgn khery pulak. sbb khery nampak lebih cool..

Kak Sue said...

Khery cool tapi ja..
tapi Awra sesuai dgn Faiq sebab sama-sama degil dan keras hati...hehehe

ciknie said...

sdap ke nsi goreng sardin x pnah rasa..