“Aku memang tak boleh blah tengok muka dia tadi..” Ujar Faidh
dalam sisa tawa. Lucu apabila teringat kembali wajah Awra yang masam mencuka
saat mereka berlanggar di hadapan tandas tadi.
Faiq hanya menarik senyum tepi.
Air teh tarik yang menjadi pilihan, disisip perlahan sebelum sebatang rokok
mengambil tempat di bibirnya. “Kuat sangat ke kau langgar dia tadi?” Soalnya
kemudian dengan asap berkepul keluar dari rongga hidung dan mulut. Ingin tahu
keadaan gadis yang begitu mencabar hati lelakinya sejak kali pertama mereka
bertemu.
“Kuat tak kuatlah. Tapi terduduk jugaklah minah comel tu.” Jawab Faidh dalam sengihan.
Faiq membuang pandang ke arah
tempat letak kereta yang kian lengang. Hanya tinggal beberapa orang pelanggan
sahaja yang ada memandangkan waktu ketika itu menginjak tiga pagi. Sesekali
matanya terhala ke arah meja yang diduduki oleh Awra bersama ahli keluarganya
tadi. Masih terbayang lagi wajah dingin gadis itu yang langsung tidak mahu mencuit
spageti yang siap dimasak. Jelas benar api kebencian di dalam mata bulat gadis
itu tadi. Dia yakin semuanya gara-gara salah faham yang berlaku.
“Pelik aku dia tu. Takkanlah tak
boleh beza langsung aku dengan kau. Dia tak perasan ke kita pakai baju apa?”
Sambung Faidh lagi. Masih setia senyuman di bibirnya.
“Orang tengah marah. Mana nak cam
tu semua.” Jawab Faiq lebih tenang.
Mereka kembar seiras dan memang
agak sukar untuk dibezakan pada siapa yang baharu sahaja mengenalinya. Ayah
mereka sendiri kadang-kadang keliru jika mereka mengenakan pakaian yang sama. Secara
fizikal, hampir seratus peratus mereka sama. Cuma yang membezakan mereka dari
segi minat. Masing-masing punya kelebihan tersendiri.
“Tapi aku tengok dia memang boleh
tahanlah. Mulut dia paling tak boleh blah
sekali. Aku rasa, memang elok sangatlah jumpa kau.” Seloroh Faidh sebelum
menghirup air kopinya yang sudah sejuk.
Faiq menarik senyum lagi.
“Dia perempuan yang paling
gelabah, paling kelakar aku pernah jumpa bro. Cute pulak tu.” Selamba Faidh menambah ingin menduga lelaki pendua
dirinya itu.
“Apasal? Kau nak try?”
Faiq laju mengajukan soalan.
“Sorry bro.. Walaupun dia comel, dia bukan taste aku.” Balas Faidh dalam senyuman.
Faiq pula melebarkan senyuman.
Dia cukup faham akan pilihan hati adik kembarnya itu.
“Kau tak payahlah senyum-senyum macam
tu. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam kepala kau tu. Tak cakap pun aku
tahu.” Ujar Faidh penuh makna.
Faiq tetap mengulum senyum.
“Sudah-sudahlah tu. Baik kau
terima ajelah pilihan ibu. Senang. Tak payah susah-susah nak try sana-sini. Dah la semua perempuan
yang nak dekat dengan kau tu semuanya tunggu poket kau aje. Lupakan ajelah
bro..” Nasihat Faidh. Dia simpati dengan nasib yang menimpa abangnya itu.
Kebanyakan perempuan yang mendekati Faiq semata-mata kerana kedudukan dan
kesenangan yang dimiliki.
“Kau ingat aku tak tahu ke calon
yang ibu nak kenalkan tu? Memang taklah. Harap muka aje cantik. Masuk dapur pun
tak pernah.” Selamba dia mengutuk calon isteri yang pernah disuarakan oleh
ibunya beberapa bulan lalu. “Dari dia, baik aku pilih minah gelabah tu.” Lanjutnya sebelum membuang puntung rokok ke
dalam bekas tersedia.
Faidh terus melepaskan tawa
mendengar kata-kata abang kembarnya itu. “Gilalah! Aku tak boleh bayang kau
dengan dia duduk sama. Mahu terbalik rumah aku rasa. Aura Selera bergabung
dengan Awra Firdaus. Memang dah cantik sangatlah tu.” Ujarnya dalam sisa tawa.
Faiq hanya tersengih. Dia sendiri
tidak dapat membayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku.
“Rancak borak? Mengumpat fasal
perempuan la tu.” Muncul gadis tinggi lampai seraya melabuhkan duduk di sisi
Faidh.
“Mana tahu ni?” Sahut Faidh
diiringi tawa besar.
Faiq melebarkan senyum seraya
tangannya menyalakan sebatang lagi rokok.
“Faiq, sudah-sudahlah tu. Naik
jerebu dah. Dari tadi you tak berhenti merokok.” Ujar Farhanah seraya menarik
batang rokok itu dari tangan Faiq.
“Baru masuk dua batanglah..”
Selamba Faiq menyambar semula rokoknya dan terus dinyalakan.
“Sekarang memanglah dua batang.
Satu hari ni entah berapa banyak batang yang you dah bakar.” Balas Farhana yang
cukup mengenali kembar tunangannya itu sejak zaman kampus lagi.
Faidh hanya mengukir senyum.
“Biarkanlah dia you.. Dia memang suka bakar duit. Duit dah banyak sangat sampai
dah tak tahu nak buat apa, memang macam tu.” Selamba dia menyindir abangnya
kerana dia bukan perokok.
“You memang tak sayang nyawakan?”
Bebel Farhanah lagi.
Faiq tidak membalas. Sebaliknya
asap kepul kembali kelihatan terapung di udara lagi. Seperti tidak terkesan
akan kata-kata bakal adik iparnya itu.
Farhanah menggelengkan kepala
tanda mengalah. “You, I nak balik dululah. Kak Lela dengan Abang Zaki dah siap
tu. You tadahlah asap rokok abang kesayangan you ni.” Ujarnya kemudian. Malas
lagi mahu berlamaan di situ kerana terasa lemas dengan bau asap rokok. Tambahan
pula hari sudah semakin lewat. Kakak dan abang iparnya pun sudah sedia
menunggu.
“Iyalah. Hati-hati.” Balas Faidh
berpesan.
“Ee.. Nasib baiklah I bertunang
dengan adik you. Kalau dengan you, dah lama I sumbat rokok-rokok tu dalam mulut
you tau.” Ujar Farhanah sedikit geram sebelum bingkas. Geram benar melihat Faiq
yang masih mampu beriak selamba walaupun berkali-kali dia menyindir tajam.
Seperti langsung tidak berbekas di hati lelaki itu.
“Takpa sayang. Lepas ni, akan ada
orang tolong membebel pada dia. Confirm
lepas ni dia berhenti merokok terus.” Jawab Faidh dengan senyuman penuh makna.
“I doakan sangat abang you ni
dapat wife yang tak suka orang
merokok. Baru padan muka dia!” Balas Farhanah sebelum berlalu. Sempat dia
menampar bahu Faiq apabila lelaki itu mengajuk apa yang diperkatakan.
“Ee… Memang baguslah bukan aku
yang bertunang dengan dia. Membebel macam apa entah perempuan tu.” Kata Faiq
dalam sengihan selepas kelibat Farhanah menjauh.
Faidh terus melepaskan tawa. “Sebab
tu la dia bertunang dengan aku. Bukannya dengan kau.” Sambungnya dalam sisa
tawa.
Faiq hanya tersenyum tepi
berserta gelengan. Kata-kata Farhanah kembali bergema di pendengarannya. ‘Wife yang tak suka orang merokok?’ Bibir
serta-merta melebarkan senyum.
********
“Macam mana interview tadi? Okey?” Tanya Athirah selepas adik iparnya
melabuhkan duduk di hadapan meja kerjanya.
“Erm.. Okeylah jugakkan. Cuma,
hari tu akak kata Encik Faisal kan? Tapi yang interview tadi bukan Encik Faisal.” Balas Awra sambil menyandarkan
tubuhnya.
“Habis tu siapa?”
“Encik Khairi.” Jawab Awra
sepatah.
“Erm.. Share partner dia kut.” Balas Athirah bersangka baik. “Tapi
takpalah, siapa-siapa pun tadi okeykan?” Lanjutnya lagi.
“Fir dah buat mana yang patut.
Ada rezeki adalah.” Jawab Awra senang sambil tangannya teraba-raba di dalam beg
tangan untuk mencari telefon bimbit kerana mahu menghubungi abahnya. Dia sudah
berjanji mahu menghubungi abahnya selepas habis temu duga.
“Insha Allah.. Erm.. Awra nak
balik hari ni jugak ke?” Tanya
Athirah kemudian.
“Ha’ah kak. Abah suruh teman dia
pergi Putrajaya esok. Sebelah petang baru kita orang datang rumah akak. Dinner ofis abang tu pukul 8 kan?” Jawab
Awra dengan wajah yang mula berkerut-kerut. Satu persatu isi beg tangannya
dikeluarkan semata-mata mahu mencari telefon bimbit lama milik abahnya.
“Cari apa dari tadi tu?” Soal
Athirah tanpa menjawab pertanyaan Awra sebentar tadi.
“Akak ada nampak phone Fir tak? Nampak tak kalau-kalau
Fir ada keluarkan?” Soal Awra yang sudah pun habis mengeluarkan semua isi beg
tangannya hingga bersepah di atas meja Athirah. Kini dia terbongkok-bongkok
pula melihat di bawah meja kalau-kalau gajet itu ada terjatuh tadi.
“Mana ada Awra keluarkan tadi.
Akak tak nampak pun.” Balas Athira yang turut melihat bawah meja kerjanya.
“Agaknya tertinggal dekat tempat tuisyen tu tak?” Sambungnya. Dia tahu adik
iparnya itu sedikit cuai.
“Alah.. Malaslah nak pergi lagi.
Dah la tingkat tiga. Penatlah nak naik tangga.” Rungut Awra berserta keluhan.
“Baik Awra pergi tengok sekarang.
Nanti kalau lambat, abah dah datang pulak.
Baik Awra pergi tengok dekat sana dulu.” Cadang Athirah.
“Haish! Time-time ni la ‘kau’ nak hilang.” Bebelnya sendiri sebelum
bingkas. Mahu atau tidak, dia terpaksa kembali ke pusat tuisyen tadi.
Laju dia mengatur langkah keluar
dari pejabat kakak iparnya. Mujur pusat tuisyen itu hanya di bangunan sebelah. Sebaik
tiba di muka pintu, dia perasan ada dua kasut kulit lelaki di hadapan pintu.
Tahu ada dua orang lelaki di dalam. Tidak ketika dia keluar tadi. Dengan
berhati-hati dia memusingkan tombol pintu diiringi salam.
“Eh, tadi bukan awak dah interview ke?” Tegur Khairi sebaik wajah
comel Awra muncul dari celah pintu.
Awra tersengih kelat. “Er.. Dah
tadi.” Tergagap dia menjawab. Lelaki yang murah dengan senyuman itu sedikit
sebanyak menenangkan hatinya.
“So, ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Ramah Khairi menawarkan
diri.
“Erm.. Saya rasa macam tertinggal
handphone. Er.. Encik Khairi ada
nampak tak handphone warna kelabu
dekat situ tadi.” Jawab Awra sambil menunjuk ke arah bangku menunggu yang
diduduki sebelum ditemu duga.
“Oh.. Handphone awak ke? Kejap.” Balas Khairi sebelum bingkas. Dia masuk
ke sebuah bilik di belakangnya.
Beberapa saat kemudian, Khairi
muncul kembali bersama seorang lelaki.
Mata Awra membulat. ‘Biar betul
ni.’ Bisiknya dalam hati. Seraut wajah yang cukup dikenali sedang mengukir
senyum kepadanya.
“Cik Awra Firdaus kan?” Ujar
lelaki itu tenang sebelum melabuhkan duduk di tempat Khairi tadi. Khairi pula
menarik sebuah kerusi lain sebelum sama-sama duduk di ruangan pendaftaran.
“Er.. Ya.. Saya..” Tergagap dia
menjawab. “Er.. Apa awak buat dekat sini? Awak bukan ke…” Awra ketap bibirnya
rapat. Dia mula keliru dengan apa yang dilihat kini. Apa yang pernah bermain di
dalam kepalanya sebelum ini kembali ligat berputar. Pelbagai persoalan muncul.
“Saya rasa memang rezeki you lah.
Nak tak kalau I bagi jawatan ni pada you?” Ujar Faidh yang masih setia dengan
senyuman. Tidak menyangka dia akan bertemu lagi dengan gadis yang dilanggarnya
beberapa malam lalu. Jika Khairi tidak menunjukkan senarai calon yang ditemu
duga hari itu, dia tidak tahu Awra salah seorang daripadanya.
“Hah?” Dua kali dia terkejut hari
itu.
“So macam mana? Nak ke tak nak?” Tanya Faidh lagi.
“Kejap eh? Saya macam confuse sekarang ni. Awak ni kerja apa
sebenarnya ni? Kejap jadi tukang masak, kejap lagi saya nampak awak pakai smart-smart macam office boy. Kejap lagi, awak dekat sini.” Bebel Awra tanpa
mempedulikan pertanyaan lelaki di hadapannya itu.
Faidh dan Khairi sudah
berpandangan antara satu sama lain sebelum masing-masing mengukir senyum.
“Cik Awra Firdaus Abdul Shukor.
Soalan I senang aje. You nak tak kerja ni? Kalau tak nak, takpalah. I tahu, you
mesti rasa kerja ni tak sesuai untuk ex-student
anugerah naib canselor macam you ni..” Balas Faidh yang juga tidak mempedulikan
apa yang dibebelkan oleh gadis di hadapannya itu. Dia tahu Awra kini sedang
keliru antara dia dan abang kembarnya.
“Er.. Bukan saya tak nak. Cuma..”
Awra masih tidak berpuas hati. Dia tetap mahu tahu siapa sebenarnya lelaki di
hadapannya itu.
“No cuma-cuma. Just say yes or
not?” Pintas Faidh langsung tidak mahu memberi peluang. Walaupun jawatan
yang ditawarkan hanyalah sebagai seorang kerani, dia yakin Awra mampu untuk
melaksanakan tugas itu sebaik mungkin. Peluang harus diberi walaupun memiliki segulung
ijazah yang mana ianya kurang sesuai dengan jawatan yang ditawarkan.
“Tapi kenapa saya? Saya kan takda
pengalaman kerja.” Awra selamba memulangkan soalan juga. Terasa ragu-ragu untuk
menerima kerja yang ditawarkan walaupun sebenarnya dia terlalu ingin bekerja
saat itu. Sudah puas rasanya dia duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.
“You ni memang banyak cakapkan?”
Balas Faidh dalam sengihan. “Sekarang ni awak nak ke tak nak? Tu aje yang I nak
tahu.” Lanjutnya sedikit tegas.
“Erm.. Okey. Saya terima. Tapi
sebelum tu..”
“Sebarang pertanyaan, awak boleh
tanya dengan Khairi.” Sekali lagi Faidh memintas sebelum bingkas. “Lagi satu,
fasal handphone.” Faidh menyeluk saku
seluarnya. Gajet warna kelabu yang dicari oleh gadis itu tadi diletakkan di
atas meja. “Tak sangka ada orang pakai lagi handphone
macam ni kan?” Selamba dia menyambung sebelum meninggalkan ruangan itu.
Awra ketap bibir. Sekali lagi dan
orang yang sama mengutuk telefon bimbitnya. ‘Sabar Awra, sabar. Kau nak kerja
kan? Sabar.. Sabar..’ Bisik hatinya untuk menenteramkan diri sendiri.
“So, Cik Awra. Bila rasanya Cik Awra boleh mula kerja?” Khairi
mencelah lalu mengambil tempat Faidh tadi.
*********
“Hoi! Kau tak kerja ke hari ni?”
Sergah Faiq sebaik talian disambungkan.
“Kerja. Nak pergi kerja la ni.
Masuk lambat sikit.” Balas suara garau di hujung talian.
“Habis tu, yang senang sangat call aku ni kenapa? Takkan rindu kut..”
Seloroh Faiq diiringi tawa.
“Geli tapak kaki aku bro.” Balas
adiknya yang turut sama menghamburkan tawa.
“Habis tu, nak suruh aku belanja
lagi ke apa?” Serkap Faiq dalam sisa tawa.
“Erm.. Aku ada hot story nak bagi tahu kau ni.” Jawab
suara itu lagi menyebabkan senyum di bibirnya mati.
“Apa yang hot sangat ni?”
“Awra Firdaus akan kerja dengan
aku.” Ujar suara itu membuatkan dia yang baru sahaja menyedut air dari gelas di
hadapannya terus tersedak. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari.
Sepatah nama itu sahaja sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju.
“Kau apa hal? Aku baru sebut
nama, kau dah tersedak-sedak ni.” Sambung adiknya diiringi tawa besar
kedengaran.
“Kau ni salah orang kut.” Dia
cuba menidakkan apa yang diucapkan oleh adiknya sebentar tadi.
“Apa yang salahnya. Dah tentu aku
baru lepas jumpa dia ni. Kan aku nak cari kerani tempat tuisyen aku tu. So, dia antara calon yang datang tadi.
Khery yang interview dia.” Balas
suara di hujung talian membuatkan hatinya mula tidak senang. Dirasakan terlalu
banyak kebetulan yang berlaku kini.
“Erm.. Kau ada bagi tahu tak
siapa kau? Siapa aku?” Ujarnya sedikit risau. Dia amat berharap Awra tidak
perasan akan perbezaan antara dia dan adik kembarnya.
“Tak. Tapi dia ada jugak tanya tadi. Lain yang aku tanya,
lain yang dia jawab.”
“Erm.. Bila dia mula kerja?”
Perasaan ingin tahu mula menular dalam hati. Dalam diam dia memang berkenan
mahu mengenali Awra dengan lebih dekat lagi.
“Tu nanti aku tanya Khery balik.
Ni aku dah nak masuk ofis. Aku
biarkan Khery aje yang bincang dengan dia tadi.” Jelas suara itu membuatkan dia
menghela nafas panjang. “Okeylah my beloved
brother. Nanti kita jumpa aku story
lagi. Aku dah nak gerak ni. Assalamualaikum.” Lanjut suara di hujung talian
sebelum talian terputus.
Faiq menyimpan kembali telefon
bimbitnya ke dalam saku seluar. Gelas di hadapannya dipandang lama sebelum
bibir mengoyak senyum tepi. Bayang wajah cemberut Awra seperti sedang
menari-nari di ruang matanya. ‘Perempuan pelik, tapi benar.’ Omelnya sendiri
sebelum melebarkan senyum.
*******
“Bang, kau jangan nak perasan
bujang sangat boleh tak? Ingat sikit Kak Ati tu.” Tegur Awra dengan suara
tertahan apabila melihat abangnya sibuk membetulkan sut yang dipakai sejak
tadi.
“Eh, Kak Ati tak bising, kau pulak bising. Kan aku tercalon pekerja
cemerlang malam ni.” Jawab Firdaus dalam sengihan. “Yang kau tu, serba hitam
malam ni kenapa?” Lanjutnya sambil memerhati pakaian yang tersarung di tubuh
adiknya.
“Biar orang tak perasan.” Jawab
Awra sambil mengulum senyum makna. Sebenarnya dia punya agenda pada malam itu.
Mahu memerhati perilaku seorang hamba Allah yang turut sama berada di dalam
majlis yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi.
Firdaus mencebikkan bibir.
“Macamlah ada orang nak tengok kau.” Sengaja dia mengusik menyebabkan perutnya
sedikit senak apabila tangan Awra singgah di situ.
“Macam-macam hal budak berdua
ni.” Celah Shukor sambil menggelengkan kepala melihat Awra dan Firdaus tidak
lekang bergurau.
Athirah yang ada di situ hanya
tersenyum. Begitu juga dengan ibu mentuanya.
“Abang!” Muncul si kembar Alya
dan Afza di ruangan khas itu.
“Korang ni dari mana? Mesti sibuk pergi cuci mata kan?” Tebak Awra
sambil memandang pasangan kembar yang baharu sahaja melangkah masuk itu.
“Biarlah. Sibuk aje angah ni.”
Selamba Afza membalas sebelum melabuhkan duduk di sisi abahnya yang leka
melihat buku atur cara majlis sebentar nanti.
“Abang, tadi kita orang jumpa Abang
Faiq. Ingatkan siapalah yang tegur kita orang tadi. Dia tengah cari abang.”
Ujar Alya pula yang melabuhkan duduk di sisi Faridah.
“Oh iya ke. Erm.. Kalau macam tu,
jomlah kita masuk dewan. Tadi nama abang dah register. Meja nombor lima.” Balas Firdaus seraya mengeluarkan
telefon bimbit yang berbunyi dari dalam saku sut yang dipakai. “Panjang umur mamat ni.” Omelnya sebaik melihat nama
Faiq tertera di skrin segi empat itu. Talian segera disambungkan kerana yakin
ada yang ingin disampaikan oleh lelaki itu tentang majlis sebentar nanti.
Sementara Awra saat itu sibuk
memasang telinga. Mendengar perbualan antara adik-adik kembarnya dengan
kedua-dua ibu bapanya. Semua tentang lelaki bernama Faiq membuatkan sesekali
dia mencebikkan bibir sendiri. ‘Kejap jadi tukang masak, kejap jadi tauke
tuisyen. Pening kepala aku fikir fasal dia. Mana aku pergi, situlah kau ada.’
Bebelnya sendiri dalam hati sebelum keluhan terlepas. Pada minggu hadapan, akan
bermulalah episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi akan bergelar penganggur.
Namun yang merunsingkan hatinya sejak beberapa hari itu, tentang majikannya. Terpaksa
dilupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Mahu atau tidak, dia akan bekerja
di bawah lelaki itu demi masa depannya.
“Dik, kau tunggu apa lagi tu?”
Tegur Firdaus tiba-tiba menyentakkan lamunannya. Sengihan kelat dilemparkan.
Adik-adiknya tadi sudah pun mendahului bersama emak dan kakak iparnya. Hanya
tinggal dia dan abahnya di situ.
“Nanti Kak Ati tunjukkan meja.”
Arah Firdaus saat mereka beriringan.
“Kau nak pergi mana bang?” Awra
mengajukan soalan pula.
“Nak jumpa Faiq dekat belakang
sana kejap. Kau bawak abah masuk
dulu.” Arah Firdaus sebelum mendapatkan beberapa rakan pejabatnya yang baharu
tiba.
“Awra, kamu temankan abah pergi
tandas kejap.” Ujar abahnya sebaik mereka melangkah masuk ke dalam dewan yang
dihiasi indah itu.
“Alamak bah.. Fir manalah tahu
tandas dekat mana.” Jawabnya sambil meliarkan pandangan mata ke sekitar dewan.
“Pakcik!” Terdengar suara
seseorang menegur membuatkan dia segera berpaling.
“Hai!” Sempat lelaki itu melemparkan
senyum kepadanya sebelum menghulurkan tangan kepada abahnya.
“Ha.. Faiq, kamu tahu tak dekat
mana toilet? Pakcik nak pergi toilet ni.” Ujar Shukor tanpa perasan
akan kelainan pada wajah Awra.
“Oh.. Toilet ada dekat belakang sana Pakcik. Jom saya tunjukkan.” Mesra
Faiq menjawab. Mata sempat mengerling ke wajah Awra yang membuang pandang ke
sisi.
“Terima kasihlah Faiq.” Jawab
Shukor senang. “Awra, jom kamu temankan abah.” Arahnya kepada anak gadisnya
yang hanya mendiamkan diri.
“Er… Takkan Fir nak masuk toilet lelaki pulak bah..” Jawab Awra lurus.
“Apalah kamu ni. Abah takda suruh
kamu masuk dalam toilet sekali. Kamu
tunggulah dekat luar.” Balas Shukor diiringi gelengan kepala sebelum mengiringi
langkah Faiq yang mendahului.
Awra sudah menayangkan wajah
kurang senang. Mahu atau tidak, dia melangkah juga.
“Pakcik, toilet lelaki sebelah kanan.” Ujar Faiq saat mereka tiba di
belakang dewan.
Awra berhenti beberapa tapak dari
dua lelaki di hadapannya itu.
“Iyalah. Terima kasih Faiq. Buat
susah-susah kamu aje. Pergilah kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor sebelum
berlalu masuk.
Faiq sempat membalas dengan
senyuman sebelum kelibat ayah kepada gadis comel yang turut ada sama di situ.
“Ehem ehem.” Sengaja dia berdaham seraya merapati Awra yang bersandar di
dinding batu. Tubuhnya turut disandarkan di situ.
“Terima kasih sebab tunjukkan toilet.” Ujar Awra mendatar tanpa
menoleh mahupun sedar tubuh Faiq berdiri hampir.
“Sama-sama kasih.” Jawab Faiq
selamba berserta senyuman.
Awra kerut dahi. Matanya sempat
mengerling sekilas ke wajah lelaki itu. ‘Sengih-sengih. Macam handsome aje sengih macam tu.’ Gerutunya
dalam hati. “Encik Faisal dah takda kerja ke? Bukan ke tadi Encik Faisal nak
jumpa Abang Daus?” Ujarnya kemudian sambil membuang pandang ke tengah dewan
yang mula dipenuhi rakan pejabat abangnya. Dia mula tidak selesa Faiq turut
sama ada di situ.
“Belum lagi.” Jawab Faiq dalam
nada yang sama sambil membetulkan bow-tie
di lehernya.
“So?” Awra menoleh ke wajah lelaki itu dengan harapan Faiq faham.
Mahu lelaki itu terus beredar dan meneruskan kerja yang tergendala.
“So?” Ulang Faiq tidak faham.
Awra merengus halus. “Encik
Faisal ada kerja kan? Apa kata Encik Faisal buat aje kerja Encik Faisal. Fasal
abah saya Encik Faisal tak payah risau. Saya boleh tunggu dekat sini.” Ujar
Awra dengan senyuman paksa.
Faiq menggelengkan kepala
beberapa kali dengan senyuman lebar tersungging di bibirnya. “Mesti penatkan
sebut nama saya banyak kali? Panjang pulak
tu. Apa kata saya mudahkan awak. Buang perkataan Encik Faisal tu. Panggil aje
Faiq. Senang, pendek, ringkas, tepat, cepat dan lebih mesra. Lagipun, kita dah kenalkan?”
Balas Faiq jauh menyimpang dari kata-kata Awra sebentar tadi.
“Hah?” Bertambah kerutan di wajah
Awra. “Encik Faisal kan..”
“Kan lagi selesa macam tu.
Adik-adik kembar awak tu pun elok aje panggil saya Abang Faiq.” Pintas Faiq
yang begitu murah dengan senyuman.
“Dia orang lain, saya ni lain..
Takkanlah saya pun nak sama dengan dia orang.” Jawab Awra kurang berpuas hati.
“Apa yang lainnya?” Faiq pula
menyoal lurus.
“Bukan ke saya ni nanti jadi staf
Encik Faisal. Takkanlah bos saya nak panggil nama aje..” Jawab Awra malas.
Hanya perkataan bos sahaja yang sengaja ditekankan agar Faiq sedar akan perbezaan
mereka.
“Oh..” Faiq senyum lagi. “Erm..
Kalau macam tu, saya yang bakal jadi bos awak, awak kenalah ikut cakap saya
kan?” Ujarnya dengan kening terangkat. Suka benar dia melihat wajah Awra yang cepat
memerah dan sesekali berkerut-kerut itu.
Awra ketap bibir lagi. Terasa
menyesal apa yang terungkap di bibirnya tadi.
“So, kalau saya nak awak panggil
saya macam adik-adik awak panggil saya boleh tak rasanya?” Lanjut Faiq sengaja
menduga membuatkan mata Awra terus membulat.
“Awak ni kan..”
“Eh, kamu ada lagi dekat sini
Faiq.” Shukor muncul kembali menyebabkan Awra tidak sempat membalas.
“Teman Awra ni Pakcik. Tadi dia
kata tak berani tunggu dekat sini sorang-sorang.”
Jawab Faiq selamba sambil mengerling ke wajah Awra yang sudah berubah.
“Hm.. Ada-ada ajelah kamu ni
Awra. Terima kasihlah Faiq temankan anak Pakcik ni. Susahkan kamu aje. Pergilah
kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor berserta senyuman nipis di bibir tuanya.
Awra hanya mampu mengetap bibir
menahan geram. ‘Tak berani? Dia ingat aku dalam hutan ke? Hish! Nasib baiklah ada
abah..’ Sempat lagi hatinya membebel.
“Erm.. Kalau takda apa-apa, saya
pergi dulu pakcik. Jumpa lagi nanti.” Faiq tidak lagi punya alasan lain untuk
berlamaan di situ. Terpaksa beredar walaupun masih terasa mahu berbual dengan
Awra yang tidak semesra mana itu.
“Faiq, terima kasihlah sebab sudi
terima anak Pakcik ni kerja dengan kamu.” Ujar Shukor sambil menepuk beberapa
kali bahu Faiq.
“Er.. Rezeki Awra Pakcik.” Itu
sahaja yang mampu dijawab oleh Faiq. Serba salah kerana turut membohongi lelaki
itu semata-mata mahu menyimpan rahsianya daripada pengetahuan Awra. “Er.. Saya
pergi dulu.. Assalamualaikum..” Lanjutnya sebelum terus berlalu. Meninggalkan
Shukor dan Awra yang masih berwajah pelik di situ.
9 comments:
kemain faiq n faidh permainkan awra..
ceh memang nak kena ni c kembar ni
'sama2 kasih'
kakna> er.. sama2 kasih? nape kak?
arsha ni..
kan faiq sebut sama2 kasih tu...
aishhhh
ahaha..
Faiq x rasa ke nak berterus terang dengan Awra tentang siapa diri awak ber2... x rasa berdosa ke bila sekali kita berbohong untuk satu soalan yg ada dan tabah lagi soalan yang seterusnyanya dan kita bagi jawapan yg bohong juga... dan bertambah rasa bersalah bila abah Awra pun beranggapan bahawa Faiq "bos' Awra ... dan jawapan Faiq buat tambah dosa lagi pada insan yg x tahu apa-apa... kasihan...
Marah sangat kat 2 beradik yang macam org x ada perasan ... kalau Awra tahu biar Awra buat 2 org beradik tu sentap ....ya Arsha SAYANGGGG....
Uiit..pening gan 2org kembar nie...kejap name faiq...kejap name faidh lak...dh confuse nie...
Haila awra, jangan sebal sangat ye, kang jadi sayang sangat, hehe
awra nnti kje ngn faidh ke mkin krap la jmpa abg dia faiq nnti
Post a Comment