Jul 8, 2013

AWRA_bab 6


“Aku memang tak boleh blah tengok muka dia tadi..” Ujar Faidh dalam sisa tawa. Lucu apabila teringat kembali wajah Awra yang masam mencuka saat mereka berlanggar di hadapan tandas tadi.

Faiq hanya menarik senyum tepi. Air teh tarik yang menjadi pilihan, disisip perlahan sebelum sebatang rokok mengambil tempat di bibirnya. “Kuat sangat ke kau langgar dia tadi?” Soalnya kemudian dengan asap berkepul keluar dari rongga hidung dan mulut. Ingin tahu keadaan gadis yang begitu mencabar hati lelakinya sejak kali pertama mereka bertemu.

“Kuat tak kuatlah. Tapi terduduk jugaklah minah comel tu.” Jawab Faidh dalam sengihan.

Faiq membuang pandang ke arah tempat letak kereta yang kian lengang. Hanya tinggal beberapa orang pelanggan sahaja yang ada memandangkan waktu ketika itu menginjak tiga pagi. Sesekali matanya terhala ke arah meja yang diduduki oleh Awra bersama ahli keluarganya tadi. Masih terbayang lagi wajah dingin gadis itu yang langsung tidak mahu mencuit spageti yang siap dimasak. Jelas benar api kebencian di dalam mata bulat gadis itu tadi. Dia yakin semuanya gara-gara salah faham yang berlaku.

“Pelik aku dia tu. Takkanlah tak boleh beza langsung aku dengan kau. Dia tak perasan ke kita pakai baju apa?” Sambung Faidh lagi. Masih setia senyuman di bibirnya.

“Orang tengah marah. Mana nak cam tu semua.” Jawab Faiq lebih tenang.

Mereka kembar seiras dan memang agak sukar untuk dibezakan pada siapa yang baharu sahaja mengenalinya. Ayah mereka sendiri kadang-kadang keliru jika mereka mengenakan pakaian yang sama. Secara fizikal, hampir seratus peratus mereka sama. Cuma yang membezakan mereka dari segi minat. Masing-masing punya kelebihan tersendiri.

“Tapi aku tengok dia memang boleh tahanlah. Mulut dia paling tak boleh blah sekali. Aku rasa, memang elok sangatlah jumpa kau.” Seloroh Faidh sebelum menghirup air kopinya yang sudah sejuk.

Faiq menarik senyum lagi.

“Dia perempuan yang paling gelabah, paling kelakar aku pernah jumpa bro. Cute pulak tu.” Selamba Faidh menambah ingin menduga lelaki pendua dirinya itu.

Apasal? Kau nak try?” Faiq laju mengajukan soalan.

Sorry bro.. Walaupun dia comel, dia bukan taste aku.” Balas Faidh dalam senyuman.

Faiq pula melebarkan senyuman. Dia cukup faham akan pilihan hati adik kembarnya itu.

“Kau tak payahlah senyum-senyum macam tu. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam kepala kau tu. Tak cakap pun aku tahu.” Ujar Faidh penuh makna.

Faiq tetap mengulum senyum.

“Sudah-sudahlah tu. Baik kau terima ajelah pilihan ibu. Senang. Tak payah susah-susah nak try sana-sini. Dah la semua perempuan yang nak dekat dengan kau tu semuanya tunggu poket kau aje. Lupakan ajelah bro..” Nasihat Faidh. Dia simpati dengan nasib yang menimpa abangnya itu. Kebanyakan perempuan yang mendekati Faiq semata-mata kerana kedudukan dan kesenangan yang dimiliki.

“Kau ingat aku tak tahu ke calon yang ibu nak kenalkan tu? Memang taklah. Harap muka aje cantik. Masuk dapur pun tak pernah.” Selamba dia mengutuk calon isteri yang pernah disuarakan oleh ibunya beberapa bulan lalu. “Dari dia, baik aku pilih minah gelabah tu.” Lanjutnya sebelum membuang puntung rokok ke dalam bekas tersedia.

Faidh terus melepaskan tawa mendengar kata-kata abang kembarnya itu. “Gilalah! Aku tak boleh bayang kau dengan dia duduk sama. Mahu terbalik rumah aku rasa. Aura Selera bergabung dengan Awra Firdaus. Memang dah cantik sangatlah tu.” Ujarnya dalam sisa tawa.

Faiq hanya tersengih. Dia sendiri tidak dapat membayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku.

“Rancak borak? Mengumpat fasal perempuan la tu.” Muncul gadis tinggi lampai seraya melabuhkan duduk di sisi Faidh.

“Mana tahu ni?” Sahut Faidh diiringi tawa besar.

Faiq melebarkan senyum seraya tangannya menyalakan sebatang lagi rokok.

“Faiq, sudah-sudahlah tu. Naik jerebu dah. Dari tadi you tak berhenti merokok.” Ujar Farhanah seraya menarik batang rokok itu dari tangan Faiq.

“Baru masuk dua batanglah..” Selamba Faiq menyambar semula rokoknya dan terus dinyalakan.

“Sekarang memanglah dua batang. Satu hari ni entah berapa banyak batang yang you dah bakar.” Balas Farhana yang cukup mengenali kembar tunangannya itu sejak zaman kampus lagi.

Faidh hanya mengukir senyum. “Biarkanlah dia you.. Dia memang suka bakar duit. Duit dah banyak sangat sampai dah tak tahu nak buat apa, memang macam tu.” Selamba dia menyindir abangnya kerana dia bukan perokok.

“You memang tak sayang nyawakan?” Bebel Farhanah lagi.

Faiq tidak membalas. Sebaliknya asap kepul kembali kelihatan terapung di udara lagi. Seperti tidak terkesan akan kata-kata bakal adik iparnya itu.

Farhanah menggelengkan kepala tanda mengalah. “You, I nak balik dululah. Kak Lela dengan Abang Zaki dah siap tu. You tadahlah asap rokok abang kesayangan you ni.” Ujarnya kemudian. Malas lagi mahu berlamaan di situ kerana terasa lemas dengan bau asap rokok. Tambahan pula hari sudah semakin lewat. Kakak dan abang iparnya pun sudah sedia menunggu.

“Iyalah. Hati-hati.” Balas Faidh berpesan.

“Ee.. Nasib baiklah I bertunang dengan adik you. Kalau dengan you, dah lama I sumbat rokok-rokok tu dalam mulut you tau.” Ujar Farhanah sedikit geram sebelum bingkas. Geram benar melihat Faiq yang masih mampu beriak selamba walaupun berkali-kali dia menyindir tajam. Seperti langsung tidak berbekas di hati lelaki itu.

“Takpa sayang. Lepas ni, akan ada orang tolong membebel pada dia. Confirm lepas ni dia berhenti merokok terus.” Jawab Faidh dengan senyuman penuh makna.

“I doakan sangat abang you ni dapat wife yang tak suka orang merokok. Baru padan muka dia!” Balas Farhanah sebelum berlalu. Sempat dia menampar bahu Faiq apabila lelaki itu mengajuk apa yang diperkatakan.

“Ee… Memang baguslah bukan aku yang bertunang dengan dia. Membebel macam apa entah perempuan tu.” Kata Faiq dalam sengihan selepas kelibat Farhanah menjauh.

Faidh terus melepaskan tawa. “Sebab tu la dia bertunang dengan aku. Bukannya dengan kau.” Sambungnya dalam sisa tawa.

Faiq hanya tersenyum tepi berserta gelengan. Kata-kata Farhanah kembali bergema di pendengarannya. ‘Wife yang tak suka orang merokok?’ Bibir serta-merta melebarkan senyum.

********

“Macam mana interview tadi? Okey?” Tanya Athirah selepas adik iparnya melabuhkan duduk di hadapan meja kerjanya.

“Erm.. Okeylah jugakkan. Cuma, hari tu akak kata Encik Faisal kan? Tapi yang interview tadi bukan Encik Faisal.” Balas Awra sambil menyandarkan tubuhnya.

“Habis tu siapa?”

“Encik Khairi.” Jawab Awra sepatah.

“Erm.. Share partner dia kut.” Balas Athirah bersangka baik. “Tapi takpalah, siapa-siapa pun tadi okeykan?” Lanjutnya lagi.

“Fir dah buat mana yang patut. Ada rezeki adalah.” Jawab Awra senang sambil tangannya teraba-raba di dalam beg tangan untuk mencari telefon bimbit kerana mahu menghubungi abahnya. Dia sudah berjanji mahu menghubungi abahnya selepas habis temu duga.

“Insha Allah.. Erm.. Awra nak balik hari ni jugak ke?” Tanya Athirah kemudian.

“Ha’ah kak. Abah suruh teman dia pergi Putrajaya esok. Sebelah petang baru kita orang datang rumah akak. Dinner ofis abang tu pukul 8 kan?” Jawab Awra dengan wajah yang mula berkerut-kerut. Satu persatu isi beg tangannya dikeluarkan semata-mata mahu mencari telefon bimbit lama milik abahnya.

“Cari apa dari tadi tu?” Soal Athirah tanpa menjawab pertanyaan Awra sebentar tadi.

“Akak ada nampak phone Fir tak? Nampak tak kalau-kalau Fir ada keluarkan?” Soal Awra yang sudah pun habis mengeluarkan semua isi beg tangannya hingga bersepah di atas meja Athirah. Kini dia terbongkok-bongkok pula melihat di bawah meja kalau-kalau gajet itu ada terjatuh tadi.

“Mana ada Awra keluarkan tadi. Akak tak nampak pun.” Balas Athira yang turut melihat bawah meja kerjanya. “Agaknya tertinggal dekat tempat tuisyen tu tak?” Sambungnya. Dia tahu adik iparnya itu sedikit cuai.

“Alah.. Malaslah nak pergi lagi. Dah la tingkat tiga. Penatlah nak naik tangga.” Rungut Awra berserta keluhan.

“Baik Awra pergi tengok sekarang. Nanti kalau lambat, abah dah datang pulak. Baik Awra pergi tengok dekat sana dulu.” Cadang Athirah.

“Haish! Time-time ni la ‘kau’ nak hilang.” Bebelnya sendiri sebelum bingkas. Mahu atau tidak, dia terpaksa kembali ke pusat tuisyen tadi.

Laju dia mengatur langkah keluar dari pejabat kakak iparnya. Mujur pusat tuisyen itu hanya di bangunan sebelah. Sebaik tiba di muka pintu, dia perasan ada dua kasut kulit lelaki di hadapan pintu. Tahu ada dua orang lelaki di dalam. Tidak ketika dia keluar tadi. Dengan berhati-hati dia memusingkan tombol pintu diiringi salam.

“Eh, tadi bukan awak dah interview ke?” Tegur Khairi sebaik wajah comel Awra muncul dari celah pintu.

Awra tersengih kelat. “Er.. Dah tadi.” Tergagap dia menjawab. Lelaki yang murah dengan senyuman itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya.

So, ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Ramah Khairi menawarkan diri.

“Erm.. Saya rasa macam tertinggal handphone. Er.. Encik Khairi ada nampak tak handphone warna kelabu dekat situ tadi.” Jawab Awra sambil menunjuk ke arah bangku menunggu yang diduduki sebelum ditemu duga.

“Oh.. Handphone awak ke? Kejap.” Balas Khairi sebelum bingkas. Dia masuk ke sebuah bilik di belakangnya.

Beberapa saat kemudian, Khairi muncul kembali bersama seorang lelaki.

Mata Awra membulat. ‘Biar betul ni.’ Bisiknya dalam hati. Seraut wajah yang cukup dikenali sedang mengukir senyum kepadanya.

“Cik Awra Firdaus kan?” Ujar lelaki itu tenang sebelum melabuhkan duduk di tempat Khairi tadi. Khairi pula menarik sebuah kerusi lain sebelum sama-sama duduk di ruangan pendaftaran.

“Er.. Ya.. Saya..” Tergagap dia menjawab. “Er.. Apa awak buat dekat sini? Awak bukan ke…” Awra ketap bibirnya rapat. Dia mula keliru dengan apa yang dilihat kini. Apa yang pernah bermain di dalam kepalanya sebelum ini kembali ligat berputar. Pelbagai persoalan muncul.

“Saya rasa memang rezeki you lah. Nak tak kalau I bagi jawatan ni pada you?” Ujar Faidh yang masih setia dengan senyuman. Tidak menyangka dia akan bertemu lagi dengan gadis yang dilanggarnya beberapa malam lalu. Jika Khairi tidak menunjukkan senarai calon yang ditemu duga hari itu, dia tidak tahu Awra salah seorang daripadanya.

“Hah?” Dua kali dia terkejut hari itu.

So macam mana? Nak ke tak nak?” Tanya Faidh lagi.

“Kejap eh? Saya macam confuse sekarang ni. Awak ni kerja apa sebenarnya ni? Kejap jadi tukang masak, kejap lagi saya nampak awak pakai smart-smart macam office boy. Kejap lagi, awak dekat sini.” Bebel Awra tanpa mempedulikan pertanyaan lelaki di hadapannya itu.

Faidh dan Khairi sudah berpandangan antara satu sama lain sebelum masing-masing mengukir senyum.

“Cik Awra Firdaus Abdul Shukor. Soalan I senang aje. You nak tak kerja ni? Kalau tak nak, takpalah. I tahu, you mesti rasa kerja ni tak sesuai untuk ex-student anugerah naib canselor macam you ni..” Balas Faidh yang juga tidak mempedulikan apa yang dibebelkan oleh gadis di hadapannya itu. Dia tahu Awra kini sedang keliru antara dia dan abang kembarnya.

“Er.. Bukan saya tak nak. Cuma..” Awra masih tidak berpuas hati. Dia tetap mahu tahu siapa sebenarnya lelaki di hadapannya itu.

No cuma-cuma. Just say yes or not?” Pintas Faidh langsung tidak mahu memberi peluang. Walaupun jawatan yang ditawarkan hanyalah sebagai seorang kerani, dia yakin Awra mampu untuk melaksanakan tugas itu sebaik mungkin. Peluang harus diberi walaupun memiliki segulung ijazah yang mana ianya kurang sesuai dengan jawatan yang ditawarkan.

“Tapi kenapa saya? Saya kan takda pengalaman kerja.” Awra selamba memulangkan soalan juga. Terasa ragu-ragu untuk menerima kerja yang ditawarkan walaupun sebenarnya dia terlalu ingin bekerja saat itu. Sudah puas rasanya dia duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

“You ni memang banyak cakapkan?” Balas Faidh dalam sengihan. “Sekarang ni awak nak ke tak nak? Tu aje yang I nak tahu.” Lanjutnya sedikit tegas.

“Erm.. Okey. Saya terima. Tapi sebelum tu..”

“Sebarang pertanyaan, awak boleh tanya dengan Khairi.” Sekali lagi Faidh memintas sebelum bingkas. “Lagi satu, fasal handphone.” Faidh menyeluk saku seluarnya. Gajet warna kelabu yang dicari oleh gadis itu tadi diletakkan di atas meja. “Tak sangka ada orang pakai lagi handphone macam ni kan?” Selamba dia menyambung sebelum meninggalkan ruangan itu.

Awra ketap bibir. Sekali lagi dan orang yang sama mengutuk telefon bimbitnya. ‘Sabar Awra, sabar. Kau nak kerja kan? Sabar.. Sabar..’ Bisik hatinya untuk menenteramkan diri sendiri.

So, Cik Awra. Bila rasanya Cik Awra boleh mula kerja?” Khairi mencelah lalu mengambil tempat Faidh tadi.

*********
“Hoi! Kau tak kerja ke hari ni?” Sergah Faiq sebaik talian disambungkan.

“Kerja. Nak pergi kerja la ni. Masuk lambat sikit.” Balas suara garau di hujung talian.

“Habis tu, yang senang sangat call aku ni kenapa? Takkan rindu kut..” Seloroh Faiq diiringi tawa.

“Geli tapak kaki aku bro.” Balas adiknya yang turut sama menghamburkan tawa.

“Habis tu, nak suruh aku belanja lagi ke apa?” Serkap Faiq dalam sisa tawa.

“Erm.. Aku ada hot story nak bagi tahu kau ni.” Jawab suara itu lagi menyebabkan senyum di bibirnya mati.

“Apa yang hot sangat ni?”

“Awra Firdaus akan kerja dengan aku.” Ujar suara itu membuatkan dia yang baru sahaja menyedut air dari gelas di hadapannya terus tersedak. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari. Sepatah nama itu sahaja sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju.

“Kau apa hal? Aku baru sebut nama, kau dah tersedak-sedak ni.” Sambung adiknya diiringi tawa besar kedengaran.

“Kau ni salah orang kut.” Dia cuba menidakkan apa yang diucapkan oleh adiknya sebentar tadi.

“Apa yang salahnya. Dah tentu aku baru lepas jumpa dia ni. Kan aku nak cari kerani tempat tuisyen aku tu. So, dia antara calon yang datang tadi. Khery yang interview dia.” Balas suara di hujung talian membuatkan hatinya mula tidak senang. Dirasakan terlalu banyak kebetulan yang berlaku kini.

“Erm.. Kau ada bagi tahu tak siapa kau? Siapa aku?” Ujarnya sedikit risau. Dia amat berharap Awra tidak perasan akan perbezaan antara dia dan adik kembarnya.

“Tak. Tapi dia ada jugak tanya tadi. Lain yang aku tanya, lain yang dia jawab.”

“Erm.. Bila dia mula kerja?” Perasaan ingin tahu mula menular dalam hati. Dalam diam dia memang berkenan mahu mengenali Awra dengan lebih dekat lagi.

“Tu nanti aku tanya Khery balik. Ni aku dah nak masuk ofis. Aku biarkan Khery aje yang bincang dengan dia tadi.” Jelas suara itu membuatkan dia menghela nafas panjang. “Okeylah my beloved brother. Nanti kita jumpa aku story lagi. Aku dah nak gerak ni. Assalamualaikum.” Lanjut suara di hujung talian sebelum talian terputus.

Faiq menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Gelas di hadapannya dipandang lama sebelum bibir mengoyak senyum tepi. Bayang wajah cemberut Awra seperti sedang menari-nari di ruang matanya. ‘Perempuan pelik, tapi benar.’ Omelnya sendiri sebelum melebarkan senyum.

*******
“Bang, kau jangan nak perasan bujang sangat boleh tak? Ingat sikit Kak Ati tu.” Tegur Awra dengan suara tertahan apabila melihat abangnya sibuk membetulkan sut yang dipakai sejak tadi.

“Eh, Kak Ati tak bising, kau pulak bising. Kan aku tercalon pekerja cemerlang malam ni.” Jawab Firdaus dalam sengihan. “Yang kau tu, serba hitam malam ni kenapa?” Lanjutnya sambil memerhati pakaian yang tersarung di tubuh adiknya.

“Biar orang tak perasan.” Jawab Awra sambil mengulum senyum makna. Sebenarnya dia punya agenda pada malam itu. Mahu memerhati perilaku seorang hamba Allah yang turut sama berada di dalam majlis yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi.

Firdaus mencebikkan bibir. “Macamlah ada orang nak tengok kau.” Sengaja dia mengusik menyebabkan perutnya sedikit senak apabila tangan Awra singgah di situ.

“Macam-macam hal budak berdua ni.” Celah Shukor sambil menggelengkan kepala melihat Awra dan Firdaus tidak lekang bergurau.

Athirah yang ada di situ hanya tersenyum. Begitu juga dengan ibu mentuanya.

“Abang!” Muncul si kembar Alya dan Afza di ruangan khas itu.

Korang ni dari mana? Mesti sibuk pergi cuci mata kan?” Tebak Awra sambil memandang pasangan kembar yang baharu sahaja melangkah masuk itu.

“Biarlah. Sibuk aje angah ni.” Selamba Afza membalas sebelum melabuhkan duduk di sisi abahnya yang leka melihat buku atur cara majlis sebentar nanti.

“Abang, tadi kita orang jumpa Abang Faiq. Ingatkan siapalah yang tegur kita orang tadi. Dia tengah cari abang.” Ujar Alya pula yang melabuhkan duduk di sisi Faridah.

“Oh iya ke. Erm.. Kalau macam tu, jomlah kita masuk dewan. Tadi nama abang dah register. Meja nombor lima.” Balas Firdaus seraya mengeluarkan telefon bimbit yang berbunyi dari dalam saku sut yang dipakai. “Panjang umur mamat ni.” Omelnya sebaik melihat nama Faiq tertera di skrin segi empat itu. Talian segera disambungkan kerana yakin ada yang ingin disampaikan oleh lelaki itu tentang majlis sebentar nanti.

Sementara Awra saat itu sibuk memasang telinga. Mendengar perbualan antara adik-adik kembarnya dengan kedua-dua ibu bapanya. Semua tentang lelaki bernama Faiq membuatkan sesekali dia mencebikkan bibir sendiri. ‘Kejap jadi tukang masak, kejap jadi tauke tuisyen. Pening kepala aku fikir fasal dia. Mana aku pergi, situlah kau ada.’ Bebelnya sendiri dalam hati sebelum keluhan terlepas. Pada minggu hadapan, akan bermulalah episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi akan bergelar penganggur. Namun yang merunsingkan hatinya sejak beberapa hari itu, tentang majikannya. Terpaksa dilupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Mahu atau tidak, dia akan bekerja di bawah lelaki itu demi masa depannya.

“Dik, kau tunggu apa lagi tu?” Tegur Firdaus tiba-tiba menyentakkan lamunannya. Sengihan kelat dilemparkan. Adik-adiknya tadi sudah pun mendahului bersama emak dan kakak iparnya. Hanya tinggal dia dan abahnya di situ.

“Nanti Kak Ati tunjukkan meja.” Arah Firdaus saat mereka beriringan.

“Kau nak pergi mana bang?” Awra mengajukan soalan pula.

“Nak jumpa Faiq dekat belakang sana kejap. Kau bawak abah masuk dulu.” Arah Firdaus sebelum mendapatkan beberapa rakan pejabatnya yang baharu tiba.

“Awra, kamu temankan abah pergi tandas kejap.” Ujar abahnya sebaik mereka melangkah masuk ke dalam dewan yang dihiasi indah itu.

“Alamak bah.. Fir manalah tahu tandas dekat mana.” Jawabnya sambil meliarkan pandangan mata ke sekitar dewan.

“Pakcik!” Terdengar suara seseorang menegur membuatkan dia segera berpaling.

“Hai!” Sempat lelaki itu melemparkan senyum kepadanya sebelum menghulurkan tangan kepada abahnya.

“Ha.. Faiq, kamu tahu tak dekat mana toilet? Pakcik nak pergi toilet ni.” Ujar Shukor tanpa perasan akan kelainan pada wajah Awra.

“Oh.. Toilet ada dekat belakang sana Pakcik. Jom saya tunjukkan.” Mesra Faiq menjawab. Mata sempat mengerling ke wajah Awra yang membuang pandang ke sisi.

“Terima kasihlah Faiq.” Jawab Shukor senang. “Awra, jom kamu temankan abah.” Arahnya kepada anak gadisnya yang hanya mendiamkan diri.

“Er… Takkan Fir nak masuk toilet lelaki pulak bah..” Jawab Awra lurus.

“Apalah kamu ni. Abah takda suruh kamu masuk dalam toilet sekali. Kamu tunggulah dekat luar.” Balas Shukor diiringi gelengan kepala sebelum mengiringi langkah Faiq yang mendahului.

Awra sudah menayangkan wajah kurang senang. Mahu atau tidak, dia melangkah juga.

“Pakcik, toilet lelaki sebelah kanan.” Ujar Faiq saat mereka tiba di belakang dewan.

Awra berhenti beberapa tapak dari dua lelaki di hadapannya itu.

“Iyalah. Terima kasih Faiq. Buat susah-susah kamu aje. Pergilah kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor sebelum berlalu masuk.

Faiq sempat membalas dengan senyuman sebelum kelibat ayah kepada gadis comel yang turut ada sama di situ. “Ehem ehem.” Sengaja dia berdaham seraya merapati Awra yang bersandar di dinding batu. Tubuhnya turut disandarkan di situ.

“Terima kasih sebab tunjukkan toilet.” Ujar Awra mendatar tanpa menoleh mahupun sedar tubuh Faiq berdiri hampir.

“Sama-sama kasih.” Jawab Faiq selamba berserta senyuman.

Awra kerut dahi. Matanya sempat mengerling sekilas ke wajah lelaki itu. ‘Sengih-sengih. Macam handsome aje sengih macam tu.’ Gerutunya dalam hati. “Encik Faisal dah takda kerja ke? Bukan ke tadi Encik Faisal nak jumpa Abang Daus?” Ujarnya kemudian sambil membuang pandang ke tengah dewan yang mula dipenuhi rakan pejabat abangnya. Dia mula tidak selesa Faiq turut sama ada di situ.

“Belum lagi.” Jawab Faiq dalam nada yang sama sambil membetulkan bow-tie di lehernya.

So?” Awra menoleh ke wajah lelaki itu dengan harapan Faiq faham. Mahu lelaki itu terus beredar dan meneruskan kerja yang tergendala.

So?” Ulang Faiq tidak faham.

Awra merengus halus. “Encik Faisal ada kerja kan? Apa kata Encik Faisal buat aje kerja Encik Faisal. Fasal abah saya Encik Faisal tak payah risau. Saya boleh tunggu dekat sini.” Ujar Awra dengan senyuman paksa.

Faiq menggelengkan kepala beberapa kali dengan senyuman lebar tersungging di bibirnya. “Mesti penatkan sebut nama saya banyak kali? Panjang pulak tu. Apa kata saya mudahkan awak. Buang perkataan Encik Faisal tu. Panggil aje Faiq. Senang, pendek, ringkas, tepat, cepat dan lebih mesra. Lagipun, kita dah kenalkan?” Balas Faiq jauh menyimpang dari kata-kata Awra sebentar tadi.

“Hah?” Bertambah kerutan di wajah Awra. “Encik Faisal kan..”

“Kan lagi selesa macam tu. Adik-adik kembar awak tu pun elok aje panggil saya Abang Faiq.” Pintas Faiq yang begitu murah dengan senyuman.

“Dia orang lain, saya ni lain.. Takkanlah saya pun nak sama dengan dia orang.” Jawab Awra kurang berpuas hati.

“Apa yang lainnya?” Faiq pula menyoal lurus.

“Bukan ke saya ni nanti jadi staf Encik Faisal. Takkanlah bos saya nak panggil nama aje..” Jawab Awra malas. Hanya perkataan bos sahaja yang sengaja ditekankan agar Faiq sedar akan perbezaan mereka.

“Oh..” Faiq senyum lagi. “Erm.. Kalau macam tu, saya yang bakal jadi bos awak, awak kenalah ikut cakap saya kan?” Ujarnya dengan kening terangkat. Suka benar dia melihat wajah Awra yang cepat memerah dan sesekali berkerut-kerut itu.

Awra ketap bibir lagi. Terasa menyesal apa yang terungkap di bibirnya tadi.

“So, kalau saya nak awak panggil saya macam adik-adik awak panggil saya boleh tak rasanya?” Lanjut Faiq sengaja menduga membuatkan mata Awra terus membulat.

“Awak ni kan..”

“Eh, kamu ada lagi dekat sini Faiq.” Shukor muncul kembali menyebabkan Awra tidak sempat membalas.

“Teman Awra ni Pakcik. Tadi dia kata tak berani tunggu dekat sini sorang-sorang.” Jawab Faiq selamba sambil mengerling ke wajah Awra yang sudah berubah.

“Hm.. Ada-ada ajelah kamu ni Awra. Terima kasihlah Faiq temankan anak Pakcik ni. Susahkan kamu aje. Pergilah kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor berserta senyuman nipis di bibir tuanya.

Awra hanya mampu mengetap bibir menahan geram. ‘Tak berani? Dia ingat aku dalam hutan ke? Hish! Nasib baiklah ada abah..’ Sempat lagi hatinya membebel.

“Erm.. Kalau takda apa-apa, saya pergi dulu pakcik. Jumpa lagi nanti.” Faiq tidak lagi punya alasan lain untuk berlamaan di situ. Terpaksa beredar walaupun masih terasa mahu berbual dengan Awra yang tidak semesra mana itu.

“Faiq, terima kasihlah sebab sudi terima anak Pakcik ni kerja dengan kamu.” Ujar Shukor sambil menepuk beberapa kali bahu Faiq.

“Er.. Rezeki Awra Pakcik.” Itu sahaja yang mampu dijawab oleh Faiq. Serba salah kerana turut membohongi lelaki itu semata-mata mahu menyimpan rahsianya daripada pengetahuan Awra. “Er.. Saya pergi dulu.. Assalamualaikum..” Lanjutnya sebelum terus berlalu. Meninggalkan Shukor dan Awra yang masih berwajah pelik di situ.



9 comments:

MaY_LiN said...

kemain faiq n faidh permainkan awra..
ceh memang nak kena ni c kembar ni

kak na said...

'sama2 kasih'

Ehem said...

kakna> er.. sama2 kasih? nape kak?

MaY_LiN said...

arsha ni..
kan faiq sebut sama2 kasih tu...
aishhhh

Ehem said...

ahaha..

Kak Sue said...

Faiq x rasa ke nak berterus terang dengan Awra tentang siapa diri awak ber2... x rasa berdosa ke bila sekali kita berbohong untuk satu soalan yg ada dan tabah lagi soalan yang seterusnyanya dan kita bagi jawapan yg bohong juga... dan bertambah rasa bersalah bila abah Awra pun beranggapan bahawa Faiq "bos' Awra ... dan jawapan Faiq buat tambah dosa lagi pada insan yg x tahu apa-apa... kasihan...
Marah sangat kat 2 beradik yang macam org x ada perasan ... kalau Awra tahu biar Awra buat 2 org beradik tu sentap ....ya Arsha SAYANGGGG....

Anonymous said...

Uiit..pening gan 2org kembar nie...kejap name faiq...kejap name faidh lak...dh confuse nie...

muda_13 said...

Haila awra, jangan sebal sangat ye, kang jadi sayang sangat, hehe

ciknie said...

awra nnti kje ngn faidh ke mkin krap la jmpa abg dia faiq nnti