“Kenapa kemas cepat-cepat ni? Dah
nak balik ke? Kan Ila kata nak pergi mandi sungai dulu dengan anak-anak?” tanya
Afrizal lembut sebaik dia masuk ke dalam bilik selepas bersarapan pagi dengan
ahli keluarga yang lain. Hanya Azila sahaja yang tidak makan bersama walaupun
dia tahu isterinya itu yang memasak tadi ketika dia masuk ke dapur.
“Tak payahlah. Lain kali aja.”
Jawab Azila mendatar tanpa menoleh ke wajah suaminya yang berdiri di sisi.
“Sayang kenapa ni? Dari tadi
abang tanya sayang tak nak jawab pun.. Makan pun tak.. sedap tau nasi lemak
yang sayang masak tadi.” Kata Afrizal cuba memancing perhatian isterinya itu
untuk bercakap.
“Iya ke sedap? Tadi bukan ke Ila
dengar mak komplen nasi lemak Ila takda rasa… Kak Long kata sambal udang Ila tu
pedas sangat.. Kak Lang pulak kata macam rasa makanan dekat hospital.” Jawab
Azila yang terasa hati dengan kata-kata ahli keluarga suaminya tadi.
Afrizal mengeluh panjang. Dia
sendiri dengar apa yang diperkatakan oleh ahli keluarganya tadi membuatkan
isterinya itu terus tidak jadi menyertai mereka. Dia melabuhkan duduk di
hadapan Azila yang sedang melipat baju mereka untuk dimasukkan ke dalam beg.
“Kan Ila tahu macam mana perangai
adik-beradik abang tu…” kata Afrizal lembut memujuk.
“Ila bukan takda telinga bang.
Telinga Ila elok lagi ni.. Hati Ila pun berfungsi lagi..” jawab Azila dalam
nada yang sama. Dia benar-benar berkecil hati dengan semua ahli keluarga
suaminya. Bersusah-payah dia memasak keseorangan di dapur tadi. Namun, hanya
kritikan pedas yang diterima. Sudah tawar hatinya untuk berlamaan di situ lagi
ditambah dengan hal yang baru diketahui.
“Habis tu, takkan kita nak balik
sekarang. Apa abang nak cakap dengan mak?” keluh Afrizal. Baru sahaja dia
berjanji dengan ibunya untuk pergi ke rumah bapa saudaranya selepas makan
tengah hari nanti.
Azila terhenti melipat pakaian.
Wajah ditegakkan memandang ke wajah suaminya.
“Ila nak balik. Abang izinkan aja
Ila balik rumah kita. Kalau abang tak boleh hantar, Ila boleh balik sendiri.”
Putus Azila akhirnya. Dia tahu suaminya itu akan sedaya upaya memujuknya agar
membatalkan rancangan untuk pulang ke rumah mereka hari itu juga.
“Sayang..janganlah buat abang
macam ni.. Bukan sehari dua sayang kenal adik-beradik abang…” pujuk Afrizal
sambil meramas perlahan jemari isterinya.
“Sebab Ila dah lama kenallah Ila
nak balik sekarang.” Jawab Azila tegas seraya menarik tangannya semula untuk menyambung
melipat baju anak-anaknya pula.
Afrizal mengeluh lagi. Dia tidak
berpuas hati dengan isterinya itu yang beriaksi pelik.
“Ila cuba cakap dengan abang apa
sebenarnya yang dah jadi. Takkan sebab nasi lemak tu sayang nak merajuk sampai
macam ni sekali?” ujar Afrizal cuba memahami situasi isterinya saat itu.
Azila mendiamkan diri. Sedaya
upaya dia cuba menahan diri dari menghamburkan segala-galanya kepada suaminya
ketika itu. Dia tidak mahu masalah itu dibincangkan di rumah ibu mertuanya.
Risau pergaduhan besar pula boleh berlaku. Dia hanya akan membincangkan perkara
itu hingga mereka tiba di rumah sahaja.
“Tengok tu… Abang tanya Ila tak
nak jawab. Tapi Ila nak mengamuk tak tentu pasal macam ni.” Lanjut Afrizal yang
mula hilang sabar pula melihat Azila yang mendiamkan diri. Keluhan berat meniti
bibirnya.
Azila masih tetap dalam keadaan
yang sama. Langsung tidak menjawab. Sebaliknya dia terus bangun untuk
mengeluarkan pakaiannnya dari dalam almari untuk dimasukkan ke dalam beg.
“Abang nak balik ke tak?” tanya
mendatar apabila semua pakaiannya sudah pun dikeluarkan dari dalam almari.
“Abang tak izinkan Ila balik.
Tunggu sampai abang balik dari hantar mak dekat rumah Pak Ngah, lepas tu baru
kita balik.” Putus Afrizal tegas sebelum dia berlalu keluar dari bilik. Dengan
cara itu sahaja isterinya akan mendengar kata.
Azila sedikit terpempan mendengar
jawapan yang berbaur ketegasan itu keluar dari bibir suaminya. Tidak sempat dia
membalas, kelibat suaminya itu sudah pun hilang. Saat itulah airmatanya terasa
murah untuk keluar. Kecewa dengan apa yang telah berlaku.
***********
“Assalamualaikum..” terdengar
suara suaminya memberi salam dari luar. Azila terus sahaja mengatur langkah ke
pintu untuk membuka kunci dan menyambut suaminya yang baru pulang dari kerja
seperti biasa.
Tangan suaminya itu dibawa ke
bibir sekilas sebelum dia cepat melepaskannya semula.
“Ila…” panggil Afrizal yang
sedikit hampa apabila isterinya itu cepat melarikan diri darinya. Tidak seperti
kebiasaan yang akan dilakukan. Pasti tubuh itu akan tenggelam dalam dakapannya
walau seketika.
Walaupun makan pakainya tidak
terabai, namun sudah hampir sebulan isterinya begitu. Sentiasa dingin
dengannya. Kini sukar benar untuk mendengar suara lembut isterinya itu lagi
semenjak peristiwa di kampung.
“Makanan Ila dah siapkan atas
meja.” Kata Azila mendatar. Saat itu dia sudah pun duduk kembali di sofa
bersama anak-anaknya yang sedang menonton tv.
“Teman abang makan sayang..” ujar
Afrizal lembut yang sentiasa cuba bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Azila
terhadapnya. Dia tahu apa yang berlaku berpunca dari dirinya sendiri hingga
menyebabkan Azila bertindak sedemikian. Sepanjang mereka berkahwin, tidak
pernah isterinya itu akan merajuk sebegitu lama.
Azila tanpa banyak soal hanya
menurut. Bingkas mengekori langkah suaminya yang sudah masuk ke ruang makan.
Dia tetap juga menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Segala kemahuan
suaminya itu tetap akan dilayan.
“Sampai bila Ila nak merajuk
dengan abang macam ni..” tutur Afrizal saat Azila menghulurkan pinggan yang
sudah berisi nasi kepadanya.
Azila tidak menjawab. Sedaya
upaya beriak selamba walaupun hatinya akan merintih sedih setiap kali suaminya
bertanya begitu. Bukan dia tiada hati dan perasaan. Dia sendiri sebenarnya
tidak sampai hati melayan dingin suaminya begitu. Namun apabila teringat
kembali apa yang telah terjadi dia menjadi tawar hati. Tangannya menuangkan
pula air kosong yang sudah disediakan tadi ke dalam gelas buat suaminya.
Afrizal mengeluh perlahan.
Begitulah yang terjadi apabila setiap kali dia mengajukan soalan kepada
isterinya. Langsung tiada jawapan yang kedengaran dari bibir Azila. Hilang
semangatnya sejak akhir-akhir ini apabila melihat kedinginan Azila. Mereka
seperti orang asing. Tiada lagi kemesraan dan senda gurau di antara mereka. Perut
yang kosong minta diisi sejak di tempat kerja tadi dirasakan sudah pun masuk
angin membuatkan baru sesuap dua nasi masuk, tekaknya mula menolak. Ditambah
pula denyutan di kepalanya yang semakin menjadi-jadi.
Azila yang memerhati dari tadi
mula tidak sedap hati apabila melihat kerutan di wajah Afrizal Seperti sukar
benar untuk menelan nasi yang disuap. Dia tahu sejak akhir-akhir ini suaminya
itu semakin kurang makan. Tubuh lelaki itu pun dilihat sedikit susut.
“Abang tak lalulah nak makan
sayang..” tuturnya perlahan seraya bangun untuk mencuci tangan.
“Abang…” Azila sempat menyambar
lengan Afrizal sebaik lelaki itu melewati meja makan untuk masuk ke dalam
bilik. Dia perasan wajah suaminya itu sedikit pucat dan cengkung.
“Abang tak sihat ke?” tanyanya
mendatar. Perasaan risau tetap wujud di hati walaupun rajuknya belum lagi terpujuk.
Dia tahu ada yang tidak kena. Jika tidak, suaminya itu akan tetap menghabiskan
sepinggan nasi yang disendukkan. Hari ini hanya dua suap yang masuk ke dalam
mulut, kemudian pinggan itu sudah ditolak ke tepi.
Afrizal tersenyum nipis. Baru
hari itu dia mendengar suara isterinya bertanya akan keadaan dirinya. Jika
tidak, bibir itu hanya menjawab sepatah dua soalan yang dia tanya.
“Abang okay.. pening kepala
sikit.” Jawab Afrizal seraya meneruskan langkah. Dia ingin segera merebahkan
tubuhnya.
Azila gigit bibirnya sendiri
apabila terasa bersalah dengan apa yang dilakukan hampir sebulan itu. Bukan dia
tidak tahu suaminya itu kerap diserang sakit kepala sejak kebelakangan ini.
Memang segala makan pakai lelaki itu terjaga. Namun, tahap kesihatan Afrizal
langsung tidak diambil kira hanya kerana mengangkat perasaan rajuknya sahaja.
Selepas mengemaskan meja makan,
dia segera mengambil ubat dan segelas buat Afrizal. Dia sedar yang suaminya itu
sudah lama tidak mengambil sebarang ubat apabila sakit kepala dalam tempoh dia
melancarkan rajuknya.
“Abang, bangun dulu mandi. Lepas
tu makan ubat.” Ujar Azila sebaik melabuhkan duduk di birai katil. Dilihat
Afrizal sudah pun memejam mata.
Afrizal mengangkat kelopak
matanya perlahan. Bibir mengukir senyum nipis dengan air jernih yang bertakung
di hujung mata. Tersentuh hatinya apabila isterinya itu sudah mahu bercakap
banyak dengannya. Dia yakini apa yang berlaku ada hikmah yang menanti. Kesakitan
yang dialami juga telah membawa kebaikan dalam hubungan mereka. Isterinya itu
masih mahu mengambil berat akan dirinya.
“Abang ingat Ila dah tak kisah
pasal abang..” tutur Afrizal perlahan seraya menegakkan tubuhnya. Dia
membetulkan duduk agar berhadapan dengan Azila. Tangan isterinya itu diambil
dan dibawa ke bibir sekilas.
Azila pula hanya membiarkan setiap perlakuan Afrizal. Perasaan berdosa terhadap suaminya itu mula berbuku di dalam dada.
“Sayang… abang mintak maaf kalau
selama ni abang selalu menangkan family
abang dari sayang… Abang selalu buat sayang terasa hati dengan adik-beradik
abang, dengan mak abang…” tutur Afrizal lirih. Dia tahu hal itu yang
menyebabkan Azila berjauh hati dengannya.
Azila mula menahan sebak di dada
mendengar kata-kata Afrizal.
“Sayang cakaplah dengan abang apa
sebenarnya yang dah jadi sampai sayang layan abang macam ni…” pujuk Afrizal
sambil mengusap lembut wajah mulus di hadapannya itu. Terasa lama benar dia
tidak melihat isterinya tersenyum manis seperti selalu. Ibu jarinya cepat
menyeka air jernih yang mula mengalir dari tubir mata isterinya.
“Kenapa abang tak pernah cakap
dengan Ila selama ni yang Ila bukan pilihan mak abang..” tuturnya lirih.
Wajahnya sudah ditundukkan menahan tangis yang semakin sarat.
Afrizal tidak mampu berkata apa.
Seperti yang dijangka, pasti semuanya berpunca dari keluarganya sendiri. Cuma
dia tidak tahu siapa pula yang menyampaikan hal itu kepada isterinya.
“Hal tu dah lama sayang… Sekarang
sayang kan jadi isteri abang..” balas Afrizal lambat. Dia cuba mengatur
ayat-ayat yang sesuai untuk disampaikan kepada Azila agar isterinya itu tidak
terasa hati dengannya lagi.
“Memang Ila dah jadi isteri
abang. Tapi mak abang tak pernah pun suka dengan Ila. Patutlah selama ni semua
adik-beradik abang pun tak suka bila Ila ada sama. Jiran-jiran mak pun pandang
lain aja pada Ila. Semua tak suka Ila. Apa salah Ila bang.. Apa kurang Ila..”
jawab Azila dengan airmata yang semakin lebat menuruni pipi.
Afrizal mengeratkan lagi
pelukannya. Dia sendiri turut terasa sebak dengan apa yang diluahkan oleh
isterinya. Dia sendiri sebenarnya tidak mampu berbuat apa. Kedua-dua belah
pihak merupakan orang yang amat disayangi dalam hidupnya. Mahu atau tidak,
salah satu pihak pasti akan menanggung kesidahan. Dan dalam situasinya,
perasaan isteri yang terpaksa dikorbankan.
“Abang mintak maaf sayang… Sebab
abang sayang jadi macam ni.. Maafkan mak abang… Adik-beradik abang… Abang tak
tahu nak buat apa sayang… Abang serba-salah.. dua-dua abang sayang. Dua-dua penting
dalam hidup abang. Abang mintak maaf sebab selama ni abang selalu terpaksa
korbankan perasaan sayang.” Ucap Afrizal tulus. Dia ingin sekali melihat ahli
keluarganya dapat menerima kehadiran Azila dalam keluarga. Sudah banyak kali
dicuba untuk memastikan hubungan ahli keluarganya dengan Azila kekal baik.
Namun, seringkali juga kedinginan layanan ahli keluarganya diperlihatkan kepada
Azila hingga menyebabkan isterinya itu berkecil hati. Bukan sekali dua
isterinya itu berkecil hati. Tetapi selama lima tahun isterinya banyak mengalah
hanya kerana mahu menjaga hati ahli keluarganya yang lain. Padahal tiada satu
pun kesalahan yang dibuat. Sepanjang Azila menjadi isterinya, belum pernah dia
melihat wanita itu berkasar dengan semua ahli keluarganya. Malah, isterinya itu
sentiasa memberi yang terbaik buat semua.
“Ila pun mintak maaf sebab dah
abaikan abang… sampai abang sakit kepala macam ni… muka abang dah kurus
sangat..” jawab Azila pula sambil menyentuh wajah Afrizal.
“Tak sayang.., abang sakit bukan
sebab sayang. Allah nak hukum abang sebab gagal jadi yang terbaik untuk
sayang..” balas Afrizal dengan denyutan di kepalanya yang semakin memberat.
“Abang jangan cakap macam tu.
Selama ni abang dah cukup baik untuk Ila..” tutur Azila yang semakin tenang
dalam pelukan suaminya. Dia terlalu rindu pelukan hangat itu.
“Lain kali kalau apa-apa jadi,
sayang cakaplah dengan abang. Kita bincang. Jangan buat abang macam ni lagi
sayang. Abang tak tenang nak buat kerja kalau sayang merajuk lama-lama macam ni.
Abang selalu sakit kepala, tapi takda siapa yang nak tolong picitkan..” kata
Afrizal seraya melonggarkan pelukan. Dia mengucup lembut dahi isterinya itu
seikhlas hati.
Azila hanya menganggukkan kepala.
Dia sedar sememangnya perlu tolak–ansur dalam rumahtangga. Dalam situasinya,
dia yang perlu lebih banyak mengalah kerana suaminya akan menjadi mangsa
keadaan. Dan kini, suaminya menanggung sakit kepala yang mungkin kerana sedikit
tertekan atas apa yang berlaku. Terasa menyesal dengan apa yang dilakukan hanya
kerana mahu melayan rajuk di hati.
Saat itu juga mereka dikejutkan
dengan bunyi telefon bimbit Afrizal dari atas meja solek. Azila yang kembali
tenang bingkas bangun dan mendapatkan telefon bimbit itu. Sebaris nama terpapar
di situ membuatkan Azila tawar hati untuk menjawab. Terus dihulurkan telefon
itu kepada suaminya. Dan kemudian Azila terus keluar dari bilik untuk melihat
anak-anak yang ditinggalkan duduk di hadapan tv tadi. Dia tidak berminat untuk
mengetahui apa yang dibualkan oleh Afrizal bersama kakak yang sulung.
Tidak sampai lima minit Azila
duduk bersama anak-anaknya di ruang tamu, dilihat suaminya menyusul dengan
kerutan di wajah.
“Abang kenapa?” tanya Azila yang
melihat wajah pucat suaminya.
Afrizal melabuhkan duduk di sisi
Azila dan menjatuhkan kepalanya bersandar di bahu wanita itu.
“Sayang… Mak jatuh bilik air…
kena strok.” Tutur Afrizal lambat.
“Hah? Habis tu mak macam mana?”
tanya Azila sedikit panik dengan berita yang disampaikan. Tubuh Afrizal yang
bersandar di bahunya tadi hampir rebah ke sofa apabila Azila tiba-tiba
menegakkan tubuh.
“Sekarang ada dekat wad kecemasan
lagi..” jawab Afrizal lambat sambil sebelah tangan memicit belakang lehernya
yang terasa tegang.
“Habis tu macam mana ni bang? Jomlah
kita pergi tengok mak..” kata Azila lagi yang mula kalut sebaik mendengar
keadaan ibu mertuanya. Memang dia ada terasa hati dengan wanita tua itu. Namun,
apabila memikirkan dia juga mempunyai ibu serta merupakan seorang ibu,dia perlu
belajar menerima dan redha dengan apa yang telah berlaku.
“Kita tunggu Kaklong call ajalah sayang… Abang tak larat nak drive ni..” jawab Afrizal seraya
merebahkan tubuhnya ke sofa.
“Abang ni kenapa? Tak risaukan
mak abang ke?” soal Azila yang pelik melihat riaksi suaminya seperti tidak
risau akan keadaan ibu yang sedang sakit.
“Abang tak larat ni sayang… rasa
nak pitam ni..” jawab Afrizal yang sudah memejam mata pula. Bukan dia tidak
risau akan keadaan ibunya. Namun disebabkan keadaan diri yang membuatkannya
benar-benar tidak mampu untuk memandu. Kelopak matanya begitu berat untuk
diangkat.
Azila mengerutkan dahi. Perasaan
risau di hati semakin menggunung tinggi pula melihat keadaan suaminya begitu.
“Erm.. abang makan ubat dulu..
Lepas tu kita pergi hospital tengok mak. Biar Ila yang drive.” Usul Azila lantas masuk semula ke bilik mengambil ubat dan
gelas yang dibawa tadi.
“Abang, makan ubat ni dulu..”
ujar Azila yang sudah kembali semula dengan ubat dan air segelas.
“Sayang… janganlah drive. Ila dah lama tak drive kan.. Sayang call Kak Mira. Mintak tolong dengan Shafiq. Tadi abang nampak dia
ada dekat rumah.” Balas Afrizal selepas menelan beberapa biji pil. Dia teringat
akan sahabat baiknya merangkap suami kepada kakak sulung Azila yang tinggal di
taman perumahan yang sama.
“Erm.. iyalah..” jawab Azila akur
dan terus mengambil telefon bimbitnya untuk menghubungi kakak sulungnya.
**********
“Zal, akak dah tak tahan nak
tunggu mak dekat hospital… Akak dah suruh Angah dengan Alang, tapi dia orang
sibuk sangat kerja. Tinggal kau aja Zal sekarang ni. Abang Said dah bising
dengan akak sebab rumah dah tak terjaga. Dengan budak-budak lagi..” Adu Azrina
yang sudah seminggu menanti Puan Sahara yang terlantar sakit. Setengah tubuh
Puan Sahara hampir lumpuh disebabkan serangan jantung yang tiba-tiba. Mujur dia
cepat dihantar ke hospital oleh anak Nek Miah yang kebetulan datang ke rumah
untuk menghantar kuih.
“Zal bukan tak nak jaga kak. Zal pun kerja
jugak. Macam mana Zal nak jaga.” Jawab Afrizal yang sudah dapat meneka tindakan
adik-beradiknya yang ingin melepas tangan daripada tanggungjawab.
“Kau suruh ajalah Zila jaga mak. Zila
pun tak kerja kan.. Akak dah seminggu cuti jaga mak. Akak dah tak boleh nak
cuti lagi minggu depan.” Usul Azrina pula yang mula berasakan segala
tanggungjawab menjaga ibu yang sedang terlantar sakit di atas bahunya sahaja.
“Senang-senang aja akak ni nak
suruh Zila jaga. Mak tu mak kita kak. Bukan mak Zila.” Balas Afrizal mula tidak
berpuas hati dengan cadangan kakaknya itu.
“Habis tu kau nak akak buat apa?
Kau ingat akak takda kerja lain ke? Bini kau tu aja yang tak kerja kan.. takkan
nak jaga mak pun tak boleh. Kita bergilirlah.” Jawab Azrina yang mula menaikkan
suara. Geram apabila cadangannya dipersoalkan oleh adiknya itu.
“Senang aja akak cakap kan… Bila
dah susah-susah macam ni, pandai pulak akak cari Zila. Kalau time semua bersuka-ria, bukan main akak
mengata dia.” Sindir Afrizal pedas. Geram benar hatinya apabila kakaknya itu
dengan suka hati menyuruh Azila pula menjaga ibunya.
Azrina terdiam. Akui apa yang
diperkatakan oleh adiknya.
“Kalau dah susah sangat, biar aja
mak dekat sini. Siang pun nurse ada tengokkan
mak. Malam biar aja Zal yang jaga.” Sambungnya lagi membuat keputusan. Dia
sendiri sebenarnya terpaksa berbuat begitu kerana dia juga punya tanggungjawab
lain. Pada masa yang sama, dia tidak mahu membebankan isterinya dengan masalah
keluarga yang sememangnya mereka adik-beradik masih boleh menyelesaikannya
sendiri.
“Hah…kalau macam tu kau kata,
akak ikut aja… Nanti apa-apa jadi pada mak, kau jangan nak salahkan akak
pulak..” balas Azrina yang berasa senang hati dengan keputusan yang dibuat oleh
adik bongsunya itu.
“Akak jangan nak cepat puas hati
sangat. Bukan saya sorang yang kena jaga tiap-tiap malam. Akak cakap sikit pada
Angah dengan Alang tu. Jangan nak lepas tangan pulak. Jangan sibuk nak layan
bini dekat rumah aja. Nak kata ada anak, masing-masing takda anak pun.” Jawab Afrizal
yang sedikit tidak berpuas hati dengan kedua abangnya. Sepanjang ibunya
dimasukkan ke hospital, hanya dua kali sahaja mereka menunjuk muka. Dia dan
isterinya sahaja yang berulang-alik setiap hari melihat ibunya di hospital.
“Mulut kau sekarang boleh tahan
ya Zal. Tak pernah-pernah kau cakap macam ni dengan akak.” Balas Azrina yang
sedikit terkejut dengan ketegasan adik bongsunya itu. Selama ini Afrizal
merupakan seorang yang mendengar kata dan mudah bertolak-ansur dalam segala
hal.
“Memang tak pernah. Tapi sebabkan
perangai akak dengan yang lain-lain tu la Zal jadi macam ni.” Jawab Afrizal
berani diiringi nafas berat terlepas di bibirnya.
Tidak sempat Azrina membalas,
Azila muncul di hadapan mereka yang ketika itu duduk di ruang menanti hospital.
“Abang…” panggil Azila yang baru
keluar dari bilik wad di mana ibu mertuanya di tempatkan. Dia terdengar semua
perbualan Afrizal bersama kakak iparnya.
Azila mengambil tepat di sebelah
suaminya.
“Kenapa? Mak nak apa-apa ke?”
soal Afrizal ambil berat memandangkan ibunya masih lagi mampu bercakap cuma
kurang jelas.
Azila menggelengkan kepala dengan
senyuman tawar menghiasi bibirnya.
“Habis tu?” taya Afrizal lagi.
Azrina hanya diam dan langsung tidak
mencelah.
“Erm..biarlah Ila jaga mak..”
ujar Azila mengundang kerutan di dahi Afrizal.
Azrina pula mengukir senyum
sinis.
“Apa Ila cakap ni?” soal Afrizal
seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Hah.. baguslah tu. Kau bukan ada
kerja lain kan..” sahut Azrina pula.
“Kaklong!” marah Afrizal dengan
suara yang tertahan agar kakaknya itu diam.
Azrina terus bangun meninggalkan
pasangan itu dengan wajah yang masam mencuka.
Afrizal meraup wajahnya beberapa
kali tanda kurang bersetuju dengan apa yang ingin dilakukan oleh isterinya itu.
“Abang…” Azila menyentuh lembut
bahu suaminya yang jelas kelihatan kusut dengan masalah yang dihadapi.
Afrizal menyentuh tangan Azila di
bahunya di ramas perlahan. Dirasakan isterinya langsung tidak berhak untuk
menjaga ibunya setelah apa yang berlaku. Dia sendiri mahu dia dan adik-beradik lain
yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ibu mereka. Dia yakin mereka semua mampu
untuk menjaga ibunya yang seorang jika ada kerjasama. Namun, kini isterinya
pula menawarkan diri untuk menjaga seseorang yang telah melukakan hati kecil
itu. Entah apa yang Allah cuba tunjukkan kepadanya dia atas segala yang berlaku
saat itu.
********
“Sayang… mak dah tidur?” tanya
Afrizal saat Azila melangkah ke dalam bilik peraduan mereka.
“Baru aja tidur.” Jawab Azila
yang terus duduk di hadapan cermin meja solek.
“Anak-anak?” tanya Afrizal lagi
yang hanya terbaring lesu di atas katil selepas pulang dari kerja lewat maghrib
tadi.
“Dah lama tidur lepas makan
tadi..” jawab Azila yang sedang menyapu losyen di kedua belah tangannya.
“Abang mintak maaf sebab abang
dah banyak susahkan sayang…” tutur Afrizal lambat.
Azila menoleh ke wajah suaminya
yang sudah duduk bersandar di kepala katil. Kemudian dia terus mendapatkan
suaminya.
“Kenapa abang cakap macam tu?”
soal Azila lembut yang sudah mengambil tempat di sisi Afrizal.
“Sayang jaga mak untuk abang…”
jawab Afrizal dengan air jernih mula bertakung di tubir mata. Dia sebenarnya
malu dengan keperihatinan isterinya yang sanggup menjaga ibunya yang sedang
sakit berbanding adik-beradiknya yang lain.
Ibunya sudah tidak mampu untuk
menguruskan diri sendiri lagi. Sejak diserang sakit jantung, segala keupayaan
anggota tubuh menjadi lemah dan tidak berupaya. Segalanya terpaksa diuruskan
dengan bantuan Azila. Dari memberi makanan hinggalah memandikan. Semuanya
dilakukan oleh Azila. Sejak keluar dari hospital bulan lalu, di rumah itulah
ibunya tinggal apabila adik-beradik yang lain seperti langsung tidak menghiraukan
dan mengambil berat akan keadaan ibu yang sudah hilang keupayaan tubuh. Hanya
sekali dua adik-beradik yang lain datang menziarah sejak ibunya itu sejak keluar
dari hospital. Semuanya memberi alasan sibuk dan ketiadaan masa untuk datang
menziarah apabila setiap kali ibunya menyuarakan hasrat hati untuk bertemu
dengan adik-beradik yang lain.
“Mak abang kan mak Ila jugak… Apa
masalahnya..” balas Azila lembut sambil mengusap lembut wajah suaminya yang
semakin cengkung dari hari ke sehari. Dia langsung tidak rasa keberatan untuk
melaksanakan tanggungjawabnya yang baru itu. Hampir sebulan ibu mertuanya
tinggal bersama mereka, segala makan pakai wanita itu lebih terjaga.
“Tapi adik-beradik abang semua
dah buat macam-macam pada Ila sebelum ni… mak abang tak pernah suka pada Ila..
Tapi sekarang.. Ila yang kena jaga mak..” luah Afrizal yang tidak menyangka
adik-beradiknya akan meletakkan semua tanggungjawab menjaga ibu yang sedang
sakit ke atas dirinya seorang. Sedikit pun tidak membantu mahupun dari segi
perbelanjaan yang dikeluarkan sejak ibunya itu berada di hospital lagi. Kini perbelanjaan
bulanan keluarganya semakin bertambah dengan perlu membeli lampin pakai buang serta
susu khas buat ibunya pula. Semuanya memerlukan belanja yang banyak. Tidak
cukup dengan itu, isterinya sendiri berusaha menghantar ibunya menjalani terapi
untuk memulihkan semua anggota tubuh yang lemah untuk kembali berfungsi dengan
baik. Pelbagai cara dilakukan demi memulihkan ibunya. Tetapi ianya langsung
tidak dihargai dan dibantu oleh adik-beradik yang lain. Semua ditanggung
sepenuhnya oleh mereka berdua.
“Takpalah abang… Kita kan ada
anak-anak. Macam mana kita ikhlas jaga mak, esok lusa anak-anak pulak yang akan
jaga kita masa tua nanti.. Kita ada mak satu aja dalam dunia ni bang.. Mak tak boleh diganti kalau dia dah takda...” balas Azila menenangkan suaminya. Dia tahu akan
kesulitan yang dihadapi oleh keluarganya kini. Dengan keadaan dirinya yang
tidak kerja, dia tidak mampu menambah pendapatan keluarga bagi menampung segala
perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Abang risau kita tak mampu nak tanggung
semua ni sayang… Abang selalu sakit... Abang tak dapat nak tolong sayang
uruskan semua kerja rumah…Sayang nak uruskan hal anak-anak lagi… uruskan mak
abang…” kata Afrizal lagi yang sedar tubuhnya seakan-akan semakin kehilangan
tenaga walaupun dia tetap cuba makan setiap hari. Namun apabila tiap kali sakit
kepalanya menyerang, sebiji nasi pun tidak mampu ditelan membuatkan dia semakin
tidak bermaya. Kini dia sendiri sering memohon cuti sakit setiap kali diserang
sakit kepala yang membuatkan dia tidak mampu untuk bekerja.
“Abang janganlah risau. Dia kan
ada selalu dengan kita. Ila mampu lagi nak uruskan semua. InshaAllah… kita
mampu tanggung semua ni bang...” jawab Azila seraya menyandarkan kepalanya di
bahu Afrizal.
Dalam hatinya hanya Allah sahaja
yang tahu. Dia bersyukur dikurniakan sebuah keluarga yang begitu memahami
keadaan diri. Sungguhpun semua ahli keluarganya bukanlah dalam kalangan yang
berharta, namun sokongan sentiasa dihulurkan demi dia menjalani hari-hari yang
mendatang dengan lebih sabar dan kuat. Ibubapanya sendiri tidak pernah
mempersoalkan kenapa dia sanggup bersusah-payah untuk menjaga ibu mertuanya.
Malah, kerana ada sokongan daripada ibubapa dan adik-beradiknya yang lainlah
dia semakin bersemangat dan tidak pernah mengeluh dengan apa yang dilakukan
kini.
Afrizal terus memeluk tubuh
isterinya dengan linangan airmata. Tiada apa lagi yang mampu diucapkan kerana
dia dikurniakan seorang isteri yang terlalu baik dan sempurna buat dirinya. Hanya
dia sahaja sebelum ini terlalu bodoh kerana sanggup membiarkan isterinya itu
bersedih hati kerana mahu menjaga hati dan perasaan ahli keluarganya.
“Abang… Ila nak mintak izin abang…”
tutur perlahan sambil mencari wajah suaminya yang berairmata. Tangan naik
menyapu lembut wajah suaminya itu.
“Apa dia?” soal Afrizal kembali.
“Boleh tak kalau Ila nak ambik
upah jahit baju?” tanya Azila penuh mengharap untuk membantu meringankan beban
suaminya.
“Sayang tak penat ke nanti? Kan
semua kerja sayang kena buat?” tanya Afrizal pula yang tidak mahu isterinya itu
rasa terbeban dengan pertambahan rutin baru yang akan dilakukan nanti.
“Takpa… Ila boleh buat..” jawab
Azila yakin dengan kemampuannya. Kebetulan salah seorang adiknya bekerja di
butik pengantin, dia boleh mengambil upah untuk menjahit labuci pada baju. Dia
sendiri sebelum ini memang pernah mengambil kursus jahitan. Tambahan pula
mereka bakal menyambut hari raya dalam masa empat bulan lagi. Pada masa yang
sama dia masih boleh mengambil upah untuk menjahit baju juga.
“Abang risau sayang penat…” tutur
Afrizal perlahan sambil mengusap lembut wajah Azila.
“InshaAllah… Abang dengan
anak-anak ada dengan Ila selalu, dah cukup buat Ila kuat..” balas Azila seraya
memeluk erat tubuh suaminya yang semakin melidi itu erat. Dalam diam airmatanya
mengalir kerana berasakan dia sememangnya perlu menjadi lebih kuat buat suami
dan keluarganya. Dengan keadaan Afrizal begitu, kerisauan di hati tidak pernah
hilang.
“Terima kasih sebab sanggup buat
semua ni untuk abang sayang..” balas Afrizal perlahan seraya membalas pelukan
isterinya. Dia sendiri akan cuba yang termampu untuk memastikan keluarganya sentiasa
dalam keadaan baik dan lebih tabah menghadapi hari-hari yang mendatang.
14 comments:
sayu nya n3 ni...
hidup ni perlu terduga..baru sedar diri..tq arsha
Sian..
tgk skrg,.menantu y dia duk kutuk2 tu lah y berjasa,.
Erks.. Tacin r..
Jgn ar husben dia ssakit teruk.. Sian illa :(
dugaan demi dugaan..
anak/menantu yg xd sukai gak yg jg..
tul kt acu tu..
tamo la watzal sakit..
cian ila
Rizal sakit ke?
Janganlah sakit kronik, harap sakit2 biasa je takpun sakit sebab alahan yang sebenarnya Azila pregnant... hihi
sedihlah kalau suami dia pun sakit :(
Kak jangan bagi Rizal ada sakit yamg chronic k... cian dgn Zila then... sedihnya... Kavita...
ala..afrizal nie de skit pe plak?sbar je la ngn dgaan sme nie
saya seorng mnantu yg xbrp disukai mertua,pernah mnjaga ibu mertua yg trkena angin ahmar sdgkn dia pnya mnantu prmpuan yg bkerja sbg jururwt dan tggl berdekatan,slama mertua sakit mnantu hnya mnjgh 2,3 kali dan snggup cuti blk kmpung smasa suaminya berkursus....stelah sihat mertua mntak suami saya hntar kerumah ank prmpuannya....badan saya susut hmpir 10kg...
Erks.. Sadisnya.. Skrg cmne? Ok ke x hbngn awak dgn mertua..
alamak ai.. sangat tragis pulak tu..
erm...
tkutnyer...jgnla ape2 berlaku pd afrizal
mizz acu...hbgn dgn kluarga mertua msh dingin smpai skrg....
saya ttp kerumah mertua wlwpn dilyn sdemikian dan saya akn pstikn yg sy xkn brtmbung dgn biras yg jururwt krn dia trlalu sombong utk didekati...
Alahaii.. Harap awak sabar bykk2 yer.. Insyaallah ada ganjaran atas budi bbaik awak.. All the best yer..
Post a Comment