Sep 11, 2014

YTPK_bab 2

Assalamualaikum.

Ok. Kepada yang saya dah aprove tapi berminat untuk join group, tolong pm ya. Insya-Allah saya akan balas. TQ.

...............
Bab 2

“Piah, kau ada buat lebih tak? Aku nak tapau bagi tunang aku boleh? Dia pun suka makan marie cheese kau yang marvellous ni.” Zafiq tersengih-sengih sambil menyudu marie cheese dari dalam bekas lut sinar segi empat selebar tapak tangan.

“Kau panggil aku apa?” Sufiya yang sedang mengacau adunan cream cheese terhenti. Sebelah kening pekatnya terjongket ke arah Zafiq yang masih menayangkan barisan gigi yang tersusun.

“Piah.” Selamba Zafiq ingin mengusik.

“Memang takkan dapatlah kau tapau. Wassalam!” balas Sufiya bersama jelingan tajam. Lincah tangannya memasukkan cream cheese ke dalam piping beg untuk menghias kek red velvet bersaiz kek cawan.

“Alah.. aku gurau aje pun. Macam tak biasa. Kalau si Izhar tu, bukan main lagi kau bagi dia macam-macam.” gerutu Zafiq sedikit tidak berpuas hati dengan sepupunya yang seorang itu.

Sufiya senyum tepi. “Suka hati akulah! Ni pun, dia yang tempah tau? Ada jugak mendatangkan hasil. Yang kau tu?” sindirnya tidak mahu mengalah.

Zafiq mencebik sama. “Kau ni Piah, dengan aku pun nak kedekut.” rungutnya.

“Kedekut mak kut.. kalau nak, sila bayar. Cakap aje berapa banyak kau nak, aku boleh buatkan. Takkanlah orang bergaji besar tak mampu nak beli ya tak?” Selamba Sufiya menyindir.

Cebikan juga terbias di bibir Zafiq. “Sudahlah kau Nurul Afni Sufiya.” Sengaja dia menekan nama penuh gadis itu sebelum bingkas dari kerusi tinggi warna merah hati yang diduduki dan membawa tubuh ke peti sejuk. Muk berisi jus oren dari dalam peti terus diteguk tanpa menghiraukan si pemiliknya yang sudah menghadiahkan jelingan tajam.

“Pakai telan aje kau kan?”

Zafiq tersengih-sengih. Berkongsi minum, berkongsi makanan tidak pernah menjadi isu besar sejak dari mereka kecil lagi.

“Pia, Izhar dah sampai ni!” Terdengar suara mamanya dari ruang hadapan.

“Eh, red velvet ni dia tempah ke?” tanya Zafiq sambil mencuci tangannya.

“Bukan yang ni. Yang kau makan tadi tu, dia yang tempah semalam.” Selamba Sufiya menjawab seraya berlalu ke peti sejuk berpintu cermin lut sinar khas buat menyimpan segala jenis tempahan kek.

“Erk..” Zafiq rasa tercekik. Tadi dengan selamba dia mencapai marie cheese dari peti sejuk tersebut lalu makan seperti biasa setiap kali bertandang di rumah sepupunya itu.

“Assalamualaikum.” Syed Izhar muncul di ruang dapur itu bersama senyuman manisnya seperti selalu.

Sejak mengenali Sufiya hampir setahun lalu, rumah gadis itu sudah seperti rumah keduanya kerana boleh dikatakan begitu kerap dia datang ke situ atas urusan jual beli yang dijalankan.

“Waalaikumussalam..” Mesra Sufiya menjawab. Manakala Zafiq di situ sudah terkebil-kebil memandang sepupunya menyusun marie cheese dalam sebuah kotak.

“Er.. Har, aku tak tahu kau tempah marie cheese ni. Si Piah ni tak cakap apa-apa pun masa aku ambik tadi. Aku dah bedal dua bekas tu tadi.” ucap Zafiq serba salah sebaik dia bersalaman dengan Izhar yang sentiasa murah dengan senyuman.

“Ada aku suruh ambik? Tak ada kan?” Sufiya mencelah.

Zafiq mencebik.

No hal la.. Selalu Pia buat lebih untuk aku. Tak pernah dia bagi cukup-cukup. Kan Pia?” tambah Izhar pula.

Sufiya menghadiahkan jelingan kepada Zafiq. “Tahu menggelabah! Lain kali, pakai telan ajelah!” kutuknya selamba.

“Ialah-ialah..” Terpaksa Zafiq mengalah. Akui akan sikap lepas lakunya jika bersama Sufiya. “Erm.. Har, ni kau nak letak dekat kedai ke, atau ada orang lain tempah ni?” Lanjutnya berbasa-basi. Tidak kekok untuk berbual dengan Izhar kerana lelaki itu juga ramah dan mudah sahaja mesra.

“Separuh ada orang tempah majlis petang ni. Separuh lagi nak letak dekat kedai.” Izhar membalas senang.

“Dekat mana?”

“Dekat area rumah aku jugak.”

“Oh..” Zafiq mengerling sekilas ke arah jam tangannya. Sebaik ternampak akan jarum pendek menghampiri nombor dua belas dan jarum panjang pula hampir ke nombor sebelas, dia kalut sendiri.

“Mati aku kena bebel!” Dahi ditepuk.

“Kenapa Zaf?” Izhar memandang pelik.

“Dah terlewat nak jumpa tunang dia la tu!” Sambut Sufiya yang sengaja ambil peluang untuk mengenakan lelaki itu.

Zafiq menghadiahkan jelingan. Sempat ditarik hujung tudung bawal yang sentiasa dipakai oleh Sufiya setiap kali dia bertandang sebelum menghulur tangan ke arah Izhar.

“Aku gerak dulu bro. Next time kita borak lagi. Kau jangan layan lama sangat budak bumbum ni. Risau pulak dia ayat kau nanti. Maklumlah.. dia jealous aku ada tunang. Dia terdesak nak cari boyfriend tu.” Dia membalas serangan buat Sufiya sebelum terus sahaja meloloskan diri. Tahu yang dia akan mendapat habuan jika masih setia di situ.

Sufiya ketap bibir kuat. Telinga dapat mendengar ledakan tawa lelaki itu di ruang hadapan. Terasa mahu dilemparkan bekas-bekas marie cheese yang dipegang. Mujur sahaja Izhar ada di situ.

“Har, awak janganlah dengar cakap Zaf tu. Dia memang sewel. Saja nak kenakan saya. Macamlah saya terdesak sangat. Kalau saya nak awak pun, tak mungkin saya dapat. Gila ke apa. Memang saya tempah makan high heels tunang awak.” ujarnya cuba mengelakkan salah faham walaupun yakin Izhar sedia maklum akan perangai Zafiq yang gemar mengusiknya.

“Saya dah putus tunang bulan lepas.” Tenang Izhar melafazkannya. Senyum nipis terukir di bibir.

Sufiya yang sedang mengira bilangan marie cheese dalam kotak terakhir, terhenti. Wajah Izhar yang melabuhkan duduk di kerusi Zafiq tadi dipandang. Keningnya berkerut. Setahunya lelaki itu sudah mengikat tali pertunangan lebih dua tahun dan bakal menamatkannya hujung tahun nanti.

“Bulan lepas? Tapi, kenapa saya tengok awak macam..” Kata-katanya terhenti di situ. Risau kata-kata seterusnya akan menggores hati lelaki itu.

Izhar senyum tawar.

“Tak ada jodoh Pia. Saya dah usaha pertahankan. Kita merancang, Dia pun merancang. Apa saya boleh buat Pia..” tenang dia membalas.

“Ya.. saya faham tu. Tapi.. sorry to say.. awak macam happy. Tak macam orang putus tunang..” Terluah juga apa yang bersarang di hati Sufiya.

Hampir setiap minggu dia berurusan dan berbual mesra dengan segala jenis topik. Namun, sepanjang tempoh itu, langsung dia tidak perasan akan riak kecewa mahupun sedih pada wajah lelaki itu. Tidak terkesan semuanya atau sebenarnya dia yang buta menilai garis kesedihan ataupun kekecewaan yang terlukis?

Izhar senyum lagi.

“Allah dah janji akan bagi ganjaran pada orang yang bersabarkan?” Dia teringat akan maksud potongan ayat 153 surah Al-Baqarah. “Saya percaya pada janji Dia, Pia.” nafas dihela panjang. Senyum di bibir mengendur. “Tipulah kalau saya kata, saya tak sedih Pia. Sedih sebab ikatan yang saya pertahankan lebih dua tahun, akhirnya putus. Tapi, apa yang saya boleh buat Pia. Allah tak reda dengan hubungan tu. Mungkin ini yang terbaik untuk masing-masing. Dan mungkin dia nak hadiahkan saya orang yang lagi istimewa. Siapa tahu kan? ” Dipaksa bibirnya kembali mengoyak senyum.

Kisah bakal isteri yang curang di belakangnya, cukup memilukan hati. Namun, dia reda. Apa dayanya untuk menghalang jika itu jugalah keputusan yang dipilih oleh si tunang tanpa menghiraukan perasaannya yang terluka.

“Izhar.. sorry..”

“Tak ada hal la Pia.. Awak tengok saya okey sekarang ni kan? Business pun alhamdulillah. Allah murahkan rezeki saya Pia. Tapi rezeki tu bukan untuk saya seorang. Dia nak saya share dengan awak..” Kembali berperisa senyum Izhar.

Sufiya senyum juga. Niat mahu menyoal lanjut terpaksa dimatikan kerana risau akan menyinggung perasaan lelaki itu pula. Tambahan pula, sepanjang mereka berkawan, jarang sekali lelaki itu berbual perihal peribadi. Dia sahaja yang lebih terbuka bercerita tentang dirinya selain mereka berkongsi akan minat yang sama.

“Pia, banyak lagi ke, red velvet yang awak kena buat ni?” Izhar terus menukar topik. Tidak mahu soal peribadinya menjadi subjektif perbualan.

“Dah habis. Tinggal tunggu sejuk yang atas tray tu aje.” jawab Sufiya senang sambil menunjuk ke arah kek cawan yang tersusun dalam dulang pembakar di atas counter island itu.

Sepi seketika. Sebaik habis menyusun kotak marie cheese yang siap dikira, dia kembali menyambung kerjanya tadi.

“Pia..”

Sufiya angkat wajah seketika.

“Macam mana interview hari tu? Okey?” Izhar berbasa-basi. Terasa kekok pula apabila tiada sebarang kata di antara mereka.

“Awak rasa?” Sufiya jongket kening sebelah.

Sepanjang mengenali Izhar, mudah sahaja dia bercerita mengenai pengalaman menghadiri temu duga. Namun tiada satu pun yang pernah diraih.

“Gagal?” Teka Izhar.

“Macam biasalah..” Sufiya tersengih. Jawapan itu sedikit pun tidak terkesan di hati kerana dia memang tidak meletak harapan untuk bekerja di bawah seliaan Yusran Adief yang sangat menyakitkan hati.

Izhar senyum. “Agaknya, memang dah rezeki awak dengan sayalah Pia..”

Sufiya tergelak pula. “Tapi memang bagus jugak saya tak dapat kerja tu. Tak nak saya kerja bawah dia tu.” jelasnya walaupun tanpa dipinta.

“Dia? Siapa dia?”

“Yusran Adief, si bagus-bagus.” Sufiya tergelak-gelak sendiri hingga jelas lekuk yang begitu dalam di sebelah pipi kirinya.

“Si bagus-bagus?” Izhar tertawa kecil.

“Haah. Bukan sikit-sikit punya perasan. Ini perasan banyak punya, sampai dah tak boleh handle. Menyampah betul!” jelas Sufiya bersungguh-sungguh. Apabila teringat seraut wajah yang sentiasa memandang sinis itu, perasaan geram mudah sahaja tercetus. Sungguh dia tidak menyangka akan bertemu lagi dengan Yusran selepas masing-masing tamat belajar, kerana dia sekalipun tidak pernah bertanya perihal lelaki itu kepada Zafiq.

Izhar tergelak pula. “Benci biar berpada-pada Pia.. Nanti yang awak benci, yang awak menyampah tu la yang awak syok nanti.” Sekadar menasihati walaupun dia sendiri sebenarnya tidak mengenali lelaki yang dimaksudkan.

Sufiya mencebik. “Dari saya syok dekat dia, baik saya syok dekat awak. Mata tak sakit, hati pun tak parah.” jawabnya selamba.

“Awak jangan Pia.. saya single and available sekarang ni. Sekali saya suka, saya susah nak reverse.” Izhar sengaja mengusik.

Sememangnya sepanjang mereka berkawan, hatinya sentiasa senang berkawan dengan gadis itu. Sufiya tidak pernah berpura-pura di hadapannya dan tidak pernah juga cuba menjadi orang lain.

“Eleh.. macamlah awak nak saya. Kalau nak, tu.. cakap sendiri dengan big boss saya tu. Ada bran?” cabar Sufiya tidak mengalah sambil menunjuk ke arah mamanya yang muncul di ruang dapur itu.

Sama seperti Zafiq. Lelaki itu juga gemar bergurau. Cuma gurauan lelaki itu lebih sopan berbanding sepupunya.

“Cik, boleh ke kalau saya nak Nurul Afni Sufiya ni?” Selamba Izhar bertanya kepada Asmi.

“Hah? Sungguh nak? Makcik on aje. Susah sangat si Pia ni cari boyfriend. Ada orang nak ni, makcik okey aje Har. Tak payah tunang-tunang, nikah aje terus.” Asma sempat menjeling anak tunggalnya yang sudah tercengang. Dia yakin kedua-duanya itu hanya bergurau.

Izhar sudah tergelak-gelak apabila melihat wajah Sufiya yang hampir terlopong.

“Mama!” Sufiya memandang mamanya geram. Terasa hangat kedua-dua belah pipi gebunya saat itu.

“Apa mama-mama? Tak betul apa mama cakap? Izhar dah beria-ia tu. Mama on ajelah. Esok anak-anak ada pangkat Syed dengan Syarifah, tak teringin ke?” Terangkat-angkat kening Asmi mengusik sambil memandang ke wajah dua anak muda di hadapannya itu bersilih ganti.

“Saya okey aje Cik.. tapi tak tahulah Pia ni. Manalah tahu kalau dia tak berkenan.” sambut Izhar mahu memanjangkan usikan bersama senyuman penuh makna.

Sufiya menelan liur yang mula terasa pahit.

“Main kasarlah awak ni Har. Saya sedar diri lagilah.. Kita ni macam gagak dengan merak tahu tak? Tak mungkinlah merak nak kahwin dengan gagak..” Kenyataan yang merupakan satu fakta sahih! Tidak boleh disangkal lagi.

“Itu kes merak dengan gagak. Bukan kita Sufiya. Kita ni manusia. Kenapa? Awak ingat saya macam lelaki lain ke? Kena cari perempuan cantik, kurus, pakai high heels, baru boleh buat calon isteri hmm?” Tingkah Izhar tenang.

“Mama tak nak masuk campur.” Asmi beredar dari ruang dapur itu. Malas mencampuri hal orang-orang muda. Apa-apa pun, andai Izhar serius dengan apa yang diluahkan sebentar tadi, dia tumpang gembira. Dia sendiri akui bukan mudah untuk bertemu dengan seorang lelaki yang segak, indah paras rupa ingin menerima gadis bertubuh gempal seperti anaknya itu sebagai teman hidup. Sukar sekali untuk ditemui pada alaf ini!

Sufiya hanya memandang mamanya yang berlalu bersama sengihan mengusik sebelum mata dihalakan ke wajah Izhar yang tersenyum-senyum.

Game dah habislah Har.” ujarnya lalu menunduk. Tangan lincah menghias kek red velvet yang masih berbaki. Malas mahu melanjutkan bicara yang mula mengundang debar di hatinya itu.

“Awak tak jawab soalan saya Pia..” lembut Izhar membalas. Masih mahu melihat reaksi gadis itu akan rentak bicara yang berubah serius.

Tangan Sufiya terhenti. Wajahnya diangkat kembali. Mata dipicingkan.

“Janganlah main-main Har. Awak tak payah nak uji hati saya. Saya sedar siapa saya. Saya bergurau aje tadi. Tak mungkin saya nak dekat awak. Dan sangat mustahil awak nak saya.” balasnya cuba menenangkan diri. Sedikit resah saat membalas renungan Izhar yang sedikit berlainan kala itu.

“Kalau saya serius, boleh awak serius?” Duga Izhar lagi.

Sufiya senyum segaris. Mata dihalakan ke arah susunan kek red velvet di hadapannya.

“Tak ada ‘kalau’ Har..” jawabnya setenang mungkin. Dan sebenarnya dia berusaha untuk bertenang berhadapan dengan lelaki yang tiba-tiba berubah watak tidak seperti kebiasaannya itu.

Izhar lorek senyum penuh makna.

“Pia.. kalau awak sudi, kita..”

“Har!”

Izhar lebarkan senyum.

“Saya tak paksa. Tapi peluang sentiasa terbuka untuk awak sementara saya single and available ni...” Lanjut Izhar selamba sebelum dia mengeluarkan beberapa helai not lima puluh untuk membayar harga marie cheese yang ditempah.

Sufiya terdiam.




7 comments:

MaY_LiN said...

alaaaa...
ngan sapa nnt
si bagus-bagus pun ok
izhar pun ok gak

nisha aini said...

BEST... x tau nak komen apa lg, nanti2 ep akan dtg aKAK komen. Baru bc ep 2 dah best,......

Unknown said...

Nak lagi....bagus bagus dah ada saingan nih....:)

Unknown said...

kita tunggu dulu....baru buat pilihan....takut tersalah pilih jer...

Anonymous said...

Tahniah Arsha. Best dan tetap memberi yang terbaik untuk tatapan kami peminat Arsha. Sentiasa memuaskan hati dan terus nak lagi..

K.Mid

Fiza said...

Best

Unknown said...

Mcm best je...sambung lg boleh....